PEMANDANGAN lelaki berusia lebih 50 tahun bermain dengan kanak-kanak mungkin mudah diterima dengan tanggapan kedua-duanya merupakan datuk dan cucu.
PEMANDANGAN lelaki berusia lebih 50 tahun bermain dengan kanak-kanak mungkin mudah diterima dengan tanggapan kedua-duanya merupakan datuk dan cucu. Namun, juruhebah radio era 80-an, Mohd. Noor Amin, 60, atau lebih dikenali sebagai Noramin mengakui, penerimaan itu tidak sama apabila orang ramai mengetahui kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangkunya ialah anak bongsunya sendiri.
"Mereka menyindir kami sedang menghadiri konsert sekolah cucu. Kami sudah lali dengan situasi seperti itu," kongsi Noramin dan isteri, Hanizah Mohd. Hamzah, 50, yang kadangkala terpaksa berpakaian dengan cita rasa orang muda untuk mengurangkan jurang usia antara mereka dengan ibu bapa lain.
Noramin popular menerusi segmen radio 'moshi-moshi' yang mengajar bahasa Jepun di saluran Radio Malaysia Ibukota (RMIK) yang kini diberi nama baru, KLFM. Beliau juga pernah merakamkan dua buah album.
Layan kerenah
Menjangkakan bapa kepada empat orang anak yang berusia antara 26 hingga lima tahun itu akan cepat letih melayan kerenah Mohammad Noriman, 5, dan kakaknya, Nur Hanna, 9, yang ternyata aktif dan bertenaga tinggi, berlari ke sana dan ke mari, memanjat naik dan turun kerusi restoran ketika ditemui di pusat membeli-belah Subang Parade, Noramin bagaimanapun kelihatan tenang dan bersahaja.
"Tak perlu dikejar dan diturut ke mana mereka pergi. Cukuplah dengan memerhati dari jauh. Buatlah kerja apa pun, mata kami akan terus mengikut pergerakan mereka. Tetapi kalau mereka hilang dari pandangan kami akan cepat-cepat pergi mencari mereka," jelas Noramin.
Katanya, kemahiran menjadi ibu bapa sudah dimiliki ketika membesarkan anak sulung, Mohd Noramin, 26, dan Nur Haniz, 20.
Didikan moden
NADIM menganggap isterinya, Siti Aishah dan dua anak mereka Raysha serta Sofea menjadikan beliau awet muda.
"Bezanya kami perlu menyesuaikan didikan dengan zaman sekarang. Bahasa pertuturan anak-anak pada hari ini juga berbeza, jadi, kerana tidak mahu anak-anak berasa tersisih, kami belajar bahasa percakapan mereka. Kalau bercakap dengan Hanna dan Iman, kami rendahkan darjah bahasa ke darjah percakapan mereka," katanya yang tidak menolak untuk menemani anak-anaknya menonton rancangan kartun setiap kali diajak.
Malah, Noramin juga memilih pendekatan yang unik untuk menarik perhatian anak-anaknya yang masih kecil itu dalam situasi tertentu.
Menurun
"Anak-anak tidak takut dengan saya. Jadi apa yang saya lakukan ialah menggunakan kelebihan suara dan berlakon seperti menurun. Contohnya apabila mereka masih bermain-main sedangkan waktu tidur sudah tiba, mereka akan ikut cakap saya jika saya menurun sebagai seorang lelaki bersuara garau. Kalau mereka sedih, saya menurun sebagai Doraemon. Teknik itu membantu," ujarnya yang sudah sering 'dikenakan' anak-anak seperti dicat kuku dengan pewarna kuku ketika sedang tidur.
Masih aktif beraktiviti dengan rutin berjalan pantas selama 30 minit sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu, Noramin juga mendedahkan beliau lebih betah bercampur dengan orang muda dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun supaya dirinya menjadi lebih relevan dalam zaman ini.
"Bukan sombong, tetapi bapa-bapa yang sebaya dengan saya lebih banyak berbual tentang penyakit dan masalah rumah tangga. Ia memberi tekanan dan saya tidak mampu untuk sakit dengan adanya anak-anak yang masih kecil. Saya perlu sentiasa berfikiran positif.
"Saya juga tidak mahu fikir sekiranya saya akan sempat melihat anak-anak saya menamatkan pengajian, berkahwin atau berkeluarga. Saya serahkan semua itu kepada ketentuan Tuhan. Kalau ada rezeki dan umur panjang, sempatlah. Kalau tidak, saya tidak risau kerana anak sulung dan anak kedua sudah berjanji akan menjaga adik-adik mereka.
Awet muda
Tambahan, apabila berada dalam kalangan orang muda, kita juga akan dapat berkongsi 'tenaga' muda mereka. Disebabkan itu saya sentiasa berasa seperti baru berumur 33 tahun," terangnya sambil tertawa.
Hasrat hatinya dan isteri memang mahukan ramai anak dari awal perkahwinan.
Namun disebabkan tuntutan kerja yang memisahkan pasangan itu dengan jarak dan masa yang panjang, rezeki anak seumpama terhenti selepas Hanizah melahirkan Haniz.
"Saya terikat dengan kontrak selama lima tahun untuk bertugas di Jepun. Selepas melahirkan Haniz, saya hamil lagi tetapi keguguran. Selepas itu kami agak serik untuk mencuba lagi. Hanya 12 tahun selepas itu barulah saya hamil dengan Hanna. Ketika masih menyusukan Hanna, tanpa kami sangka, saya hamil dengan Iman pula. Pada waktu itu umur saya sudah mencecah 45 tahun.
"Doktor menjelaskan semua risiko yang mungkin saya hadapi. Malah, ketika hamil empat bulan, doktor menyarankan saya membuat ujian sintesis cecair amnio untuk melihat sekiranya kandungan saya menghidap Sindrom Down dan kecacatan lain. Saya menolak dan hanya berserah kepada Tuhan. Alhamdulillah, Iman lahir sihat," cerita Hanizah yang tidak menafikan rezeki yang diberikan setelah lama mengidamkan ramai anak. Kini Hanizah menjawat Eksekutif Kanan Jabatan Program di Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) yang beribu pejabat di Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR) di Angkasapuri.
Terasa baru kahwin
GAMBAR keluarga berbeza generasi (dari kiri) Noramin, Haaniz, Hanizah, Noriman, Mohd. Noor dan Hanna.
Menurut Noramin, setelah 12 tahun tidak mempunyai anak kecil, kehadiran Nur Hanna dirasakan seperti menerima kelahiran anak sulung.
"Pada waktu itu saya berasa seperti pasangan baru berkahwin yang mendapat anak sulung. Saya sangat teruja menyambut Hanna. Menyaksikan kelahiran anak-anaklah masa yang paling bermakna dalam hidup saya. Sekali gus ia memberi semangat kepada saya untuk kembali menjalani kehidupan seperti di awal perkahwinan," dedah Noramin yang kaya dengan humor dan gemar berseloroh.
Bersara dari kerja dengan dua anak kecil di sisi, Noramin kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama anak-anak.
"Nasib Hanna dan Iman baik kerana pada usia sekarang saya sudah berdarah 'dingin'. Tetapi itu tidak bermakna dua anak pertama kami sering menjadi mangsa darah panas saya kerana walaupun dulu saya lebih banyak marah-marah, perasaan itu masih terkawal. Pendek kata kalau saya marahkan anak-anak pun sekadar dengan bertempik saja. Tidak ada sampai dipukul," katanya.
Berlainan pula halnya dengan Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadim Johan, 50.
Nadim mengakui beliau sedikit tersinggung apabila anak-anaknya yang berusia empat tahun dan sebelas bulan disapa sebagai cucunya.
Marah disindir
"Saya bukan marah, tetapi mungkin masyarakat perlu lebih berhati-hati apabila bertanya soalan seperti itu. Tambahan saya fikir 50 tahun tidaklah terlalu tua," ujarnya sambil tertawa.
Memiliki lima anak hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Nadim kini mempunyai tujuh orang anak secara keseluruhan, berumur di antara 25 tahun hingga 11 bulan setelah berkahwin dengan isteri kedua, Siti Aishah Husin, 28.
Berbeza berbanding Noramin, Nadim masih giat menjalankan aktiviti persatuan selain mengusahakan sebuah kafe di pusat beli-belah The Mall, Kuala Lumpur.
"Mempunyai anak kecil membuatkan saya berasa lebih muda berbanding usia saya yang sebenar. Ramai anak maka bertambah murah rezeki. Tetapi rahsia sebenar terletak pada aktiviti yang saya lakukan. Maksudnya kita perlu terus aktif sepanjang masa," kongsinya.
Melakukan senaman berbentuk regangan selama sejam hampir setiap hari, Nadim mendedahkan beliau seboleh-bolehnya membudayakan kesihatan dalam keluarga.
"Saya amalkan makan dalam kuantiti yang sedikit selain mengambil herba seperti habbatus sauda dan jus mengkudu sebagai dalam diet seharian," ujar Nadim sambil melayan kerenah dua puterinya, Darin Raysha Johor, 11 bulan, dan Dya Sofea Johor, 4 tahun.
Tidak timbul masalah bagi Nadim untuk menjaga si kecil kerana isterinya suri rumah sepenuh masa.
"Kalau hendak dibandingkan antara bapa muda dalam keluarga kami, dia (Nadim) lebih rasional apabila berdepan dengan anak-anak yang masih kecil. Memang dia kurang memujuk anak-anak secara berlebihan tetapi marahnya pada anak-anak pun tidak keterlaluan. Marah sekadar cakap tidak sampai dipukul," kata Siti Aishah.
Kahwin banyak
SALLEH bersama empat daripada 10 orang anak yang dikurniakan melalui tiga perkahwinan.
Pelakon dan pengacara terkenal, Salih Yaacob, 49, tidak mempunyai persepsi negatif terhadap lelaki berusia yang masih mempunyai anak kecil.
"Arwah datuk saya dahulu juga mempunyai anak jauh berbeza usia berbanding ibu saudara pertama saya hasil perkahwinannya dengan empat isteri. Jadi saya sudah biasa dengan pemandangan itu.
"Tambahan, kalau dibandingkan dengan lelaki muda yang ada anak kecil tetapi mendera atau membunuh anak sendiri, lelaki berusia yang memiliki anak kecil lebih baik kedudukannya. Jadi apa hinanya lelaki untuk memiliki anak di lewat usia?" soalnya.
Pakar Kesihatan Lelaki, Dr. Ismail Tambi berkata, lelaki berusia tetapi beranak kecil tidak perlu dibimbangkan.
"Jangka hayat lelaki pada hari ini sudah meningkat di antara 72 hingga 73 tahun kerana teknologi perubatan, kesihatan dan pemakanan yang jauh semakin baik berbanding lima tahun yang lalu. Angka itu meletakkan Malaysia tidak jauh ketinggalan berbanding lelaki di Singapura yang mempunyai jangka hayat sehingga 78 tahun. Sekali gus ia menggambarkan status hidup yang semakin baik di negara ini.
"Ini menyebabkan walaupun lelaki Malaysia melewati umur 50 tahun, mereka tidak kelihatan seperti usia mereka, malah lebih muda. Bagaimanapun jangka hayat itu hanya boleh dicapai sekiranya golongan ini menjalankan pemeriksaan kesihatan berjadual sekurang-kurangnya sekali dalam setahun dan bersedia mengubah gaya hidup seperti meninggalkan amalan merokok kerana pada usia 50 tahun dan ke atas, mereka berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kronik," jelasnya.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
18 April 2010
Rahsia kekal muda
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment