TERUMBU karang menjadi habitat pelbagai spesies yang melengkapkan ekosistem
PARA saintis dan kerajaan di seluruh dunia sedang mempertimbangkan apa akan berlaku sekiranya terumbu karang pupus dari muka bumi ini.
Idea tersebut melahirkan perasaan menakutkan dan bakal memberi impak serta kesan yang besar kepada masyarakat dunia.
Terumbu karang merupakan sebahagian daripada asas rantaian makanan lautan dan hampir semua spesies marin di dunia mendapatkan sumber makanan serta menjadikan khazanah samudera tersebut sebagai habitat.
Jika terumbu karang itu lenyap, pakar berkata, kelaparan, kemiskinan dan ketidakstabilan politik boleh berlaku. Apakah kaitannya?
"Seluruh negara di dunia akan terancam jika bercakap mengenai ancaman kewujudan terumbu karang," kata Carl Gustaf Lundin dari Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi.
KOMUNITI penyelam perlu memainkan peranan dalam menyampaikan mesej tentang kepentingan pemuliharaan terumbu karang.
Banyak kajian meramalkan terumbu karang kini menuju ke arah kepupusan di seluruh dunia. Sebahagian besar daripada ancaman ini disebabkan oleh pemanasan global, pencemaran dan pembangunan di pesisiran pantai.
Ia juga berpunca daripada kerosakan yang disebabkan penyeretan di dasar laut oleh bot-bot nelayan. Itu tidak lagi menyentuh tentang industri perdagangan barang kemas dan cenderamata antarabangsa yang diperbuat daripada terumbu karang.
Menurut Pentadbiran Hidupan Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), Amerika Syarikat (AS), sekurang-kurangnya 19 peratus daripada terumbu karang dunia sudah pupus.
Ini tidak termasuk lebih kurang 50 peratus lagi mengalami nasib yang sama di Kepulauan Caribbean dan tambahan 15 peratus lagi akan pupus dalam masa 20 tahun.
Profesor Kent Carpenter dari Universiti Old Dominion, Virginia, Amerika Syarikat yang merupakan pengarah bancian spesies marin seluruh dunia, memberi amaran bahawa jika pemanasan global berterusan dan tidak dapat disekat, kesemua terumbu karang akan pupus dalam tempoh 100 tahun.
SELAIN masalah pemanasan global yang menaikkan suhu air laut hingga membunuh terumbu karang, khazanah istimewa ini juga boleh terancam kerana sikap manusia yang tidak ambil peduli kepada peraturan dan larangan ketika melakukan aktiviti rekreasi di laut.
"Keruntuhan keseluruhan ekosistem marin akan terjadi dan ia adalah satu satu malapetaka akibat kehilangan terumbu karang. Anda akan melihat kesan lata yang hebat untuk semua hidupan dalam lautan." kata Carpenter.
Eksotik dan berwarna-warni, terumbu karang bukanlah batu-batu mati tetapi ia terdiri daripada rangkaian hidupan yang mengumuhkan satu rangka luar kalsium karbonat keras. Apabila ia mati, struktur-struktur batu itu akan menghakis sekali gus membataskan peluang peneluran dan lokasi pemakanan ikan di dasar lautan.
Langkah yang boleh dilakukan manusia adalah mengurangkan pengeluaran karbon di muka bumi. Itu dapat melambatkan proses kenaikan suhu dan pengasidan air lautan.
Dalam pada itu, mewartakan kawasan terumbu daripada aktiviti memancing, menyelam dan pengawalan pembangunan pesisiran pantai serta pencemaran dapat mengekang ancaman terhadap khazanah lautan ini.
Bayangkan, sekiranya terumbu karang pupus, spesies kerapu dan tenggiri yang biasanya menjadi tarikan pengguna akan menjadi kenang-kenangan sahaja. Begitu juga dengan tiram, kepah serta lain-lain hidupan yang penting dalam diet orang ramai, juga akan terjejas.
Senario lebih teruk daripada itu terjadi apabila industri perikanan komersial boleh lumpuh akibat gagal memenuhi keperluan dan kehendak pengguna untuk menikmati makanan laut.
JIKA hasil laut berkurangan akibat habitat pembiakan yang terhapus, harga ikan di pasaran akan melambung hingga mengakibatkan keresahan awam.
"Ikan akan menjadi barangan mewah," kata Cassandra deYoung dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Terdapat berbilion-bilion orang sedang berdepan dengan masalah kelaparan dan khabar buruk dari laut ini hanya akan menambah keperitan situasi. Kita tidak mampu mengekalkan keselamatan sumber makanan di seluruh dunia.," tambahnya.
Menurut PBB, ekonomi akan terjejas dengan teruk sekali. Perikanan lautan menyediakan pekerjaan untuk kira-kira 38 juta penduduk di seluruh dunia dan 162 juta orang terlibat secara tidak langsung dalam industri ini.
Lokasi terumbu karang pada hari ini mampu menarik penyelam-penyelam skuba, dan pelancong-pelancong untuk bercuti di resort-resort tepi laut seperti di Pulau Hawaii, AS, Asia Tenggara serta Kepulauan Caribbean.
Tanpa terumbu karang ini, hotel-hotel, restoran-restoran dan pusat peranginan di kawasan pesisiran pantai serta kepulauan mungkin akan mengalami masalah kewangan.
"Dunia tanpa terumbu karang tidak dapat dibayangkan," kata Ketua Ahli Biologi NOAA, Jane Lubchenco.
"Terumbu merupakan sesuatu yang amat berharga kepada sumber makanan, perubatan dan sumber pendapatan untuk beratus ribu orang di seluruh dunia. Nilai anugerah alam ini terlalu tinggi hingga menjadikan ia khazanah global." jelasnya.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
01 April 2010
Kita membunuh terumbu karang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment