Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






28 April 2010

Jambangan comel


















HADIFAH bersama sebahagian tepiari rekaannya yang sesuai diletakkan di pejabat.

Topiari bunga berasaskan padanan warna, aksesori mini pelengkap hiasan kediaman, pejabat

"BENTUK bulat dan memikat membuatkan saya terpaut hati dengan hiasan topiari. Selepas mengikuti kursus jangka pendek langkah membuatnya, saya cuba hasilkan sendiri produk kraf itu untuk dijadikan sebahagian hiasan rumah manakala selebihnya, dijual di laman sesawang," kata pengusaha kraf topiari, Hadifah Abdul Hayon. Selain menghadiri kursus singkat, Hadifah juga kerap melayari internet bagi mendapatkan maklumat terkini produk berkenaan, mengenalpasti rekaan baru seterusnya mengubahsuai serta mencari aksesori tambahan yang mampu mencantikkan lagi bentuk topiari. “Sebolehnya, topiari dihasilkan tampil unik dan menarik berbanding yang dijual di kedai kraf,” katanya.

Selain menjadikan bekas bunga sebagai badan topiari, Hadifah juga gemar menguji kreativitinya melakukan eksperimen dengan pelbagai bahan lain seperti seperti cawan, baldi mini logam, pasu seramik dan aluminium dihiasi corak decoupage serta aneka bekas hiasan bermotif haiwan terutama arnab dan beruang.

“Kursus jangka pendek untuk mendapatkan pendedahan dan ilmu asas membuat topiari manakala di internet, saya didedahkan dengan seribu macam cara serta ilham menjadikan produk berkenaan lebih cantik dan berbaloi dimiliki. Saya ada terserempak dengan laman web yang menunjukkan cara menghasilkan topiari bentuk kon, tetapi belum berkesempatan cuba membuatnya,” katanya yang hampir tiga tahun menceburkan diri dalam bidang jual beli topiari menerusi internet.

Kata Hadifah, setakat ini, sambutannya amat menggalakkan sehinggakan beliau tidak menang tangan mengadakan tempahan dalam kuantiti yang banyak.
Apa istimewanya hasil tangan Hadifah ini? Bagi wanita gigih ini, keistimewaan topiari itu adalah setiap satunya dalam bentuk berbeza yang berpandukan ilham, cita rasa serta trend atau aliran ketika itu. Misalnya, sewaktu teknik decoupage popular dan menjadi buruan pencinta gaya Inggeris, topiari dihasilkan Hadifah banyak mengetengahkan unsur dan pengaruh tema itu.

Bagi memastikan topiarinya tampil unik, Hadifah turut menyelitkan beberapa hiasan tambahan seperti lumut tiruan bagi menutupi permukaan span, rumput dan daun buatan, riben di samping bermacam aksesori yang membantu menjadikan barangan kraf itu rimbun seperti jambangan bunga halus.

Meskipun decoupage mendapat tempat dan kian diminati, namun teknik itu jarang dicubanya pada cawan seramik kerana berpendapat kualiti seramik memadai menyerlahkan estetika topiari.

“Cawan seramik elok dibiarkan polos tanpa hiasan kerana nampak semula jadi. Maklum balas diterima daripada pelanggan menyatakan mereka suka topiari cawan polos ini dikekalkan. Pada masa hadapan, saya mungkin cuba memperkenalkan teknik folk art pula,” katanya yang menawarkan harga serendah RM20 untuk topiari mini sehingga yang paling mahal bernilai kira-kira RM180.

Hadifah berkata, langkah paling rumit menyediakan cuma ketika proses membentuknya menjadi bulat. Selebihnya, bergantung kepada inisiatif serta daya kreatif menjadikan lebih menarik dipandang.

“Selesai membuat bentuk dan mencantikkannya dengan bunga hiasan, proses selanjutnya bergantung kepada budi bicara di samping keinginan pelanggan misalnya menambah hiasan rumput, lumut, riben dan sebagainya.

“Cabaran utama bagi saya ialah ketika membungkus untuk penghantaran secara pos kerana tanpa prosedur yang betul, barang berkemungkinan pecah dan retak sebelum sampai ke tangan pelanggan.

“Saya kerap menghadapi masalah ini dan apabila berlaku, terpaksa menggantikannya dengan yang baru. Kini, ada seorang teman berminat menjualnya di kedai hiasan dalamannya di Johor Bahru. Jadi, peminat topiari boleh terus membelinya di sana saja,” katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sesawang www.sohomecrafts.blogspot.com dan email dinizahra@yahoo.com.
tamat

Comel, menarik
Apa kata anda hasilkan topiari sendiri dengan menggunakan bahan yang mudah serta murah? Topiari bunga hiasan ini bukan saja boleh menyerikan meja dan sudut kediaman mahu pun di pejabat, malah lebih membanggakan, ia adalah hasil usaha sendiri yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga mahu pun rakan.

Perlu diingat, pilihan warna bunga dan pasu boleh disesuaikan dengan warna dinding tempat hiasan ini bakal diletakkan.

Berikut bahan yang diperlukan:

•Bunga hiasan

•Ranting

•Bebola span

•Gam tembak

•Hiasan lumut dan bunga

•Pemotong wayar

Langkah 1
* Leraikan bunga hiasan daripada tangkainya menggunakan pemotong wayar. Selepas semua bunga dipotong, ambil bebola span. Sebelum hiasan bunga dicucuk pada bebola itu, anda digalakkan merancang dulu koordinasi warnanya. Warna merah muda misalnya cantik diletak di tengah dan dikelilingi bunga warna ungu. Begitu juga gabungan bunga biru firus berselang putih dan lain-lain.

Langkah 2
Dalam pada itu, pastikan anda meninggalkan sedikit ruang di bahagian bawah span untuk dicucuk ranting kayu.

Langkah 3
* Selaraskan ukuran ranting dengan besar topiari. Di sini, dua ranting dijadikan satu dengan mengikatnya menggunakan dawai. Ranting berkenaan kemudiannya berfungsi sebagai kayu penyokong topiari. Pastikan ranting dibenam jauh ke dalam span.

Anda disyor mengeluarkan sebentar topiari dari bebola span untuk meletak gam berkuasa di bahagian atas ranting. Selesai digam, cucuk kembali topiari kepada tangkainya namun kali ini ditekan sedalam setengah inci lagi.

Langkah 4
Penuhkan hiasan bunga di bahagian bawah topiari yang lohong itu tadi. Lekat sehingga merimbun dan tidak nampak langsung spannya..

Langkah 5
Sebagai persediaan tapak, ambil blok span untuk dipotong mengikut acuan bekas atau bentuk pasu yang hendak digunakan. Supaya topiari berdiri tegak dan kemas dalam bekas serta pasu, ruang kosong sekeliling blok span disarankan diisi batu-batu halus dan pasir.

Langkah 6
Secara berhati-hati, , cucuk tangkai topiari pada blok span. Kemudian, keluarkan sebentar topiari untuk disapu gam di pangkal tangkai dan pada lubang span. Cara ini menyebabkan kedudukan topiari lebih kemas dan kukuh. Agar nampak cantik dan hidup, permukaan span kemudiannya ditutupi dengan hiasan lumut dan bunga kecil.

Langkah 7
Selesai menyiapkan topiari, undur beberapa tapak ke belakang untuk melihat lebih jelas rupa bentuk topiari. Dari jauh, anda dapat mengetahui sama ada kedudukannya sempurna atau sebaliknya. Lakukan perubahan pada mana-mana bahagian yang silap sehingga anda berpuas hati dengan gubahan topiari anda itu.

No comments: