DERAUAN air terjun menggamit pengunjung untuk melihat pelbagai spesies ikan air tawar dan tumbuhan akuatik yang dipamerkan.
SUNGAI mempunyai pengaruh yang sangat penting dalam pembangunan tamadun agung zaman silam. Tamadun Mesopotamia misalnya wujud di sepanjang Sungai Tigris dan Sungai Euphrates, begitu juga tamadun Mesir yang terletak berhampiran Sungai Nil dan tamadun Indus di Sungai Indus, India.
Pada zaman moden ini, sungai dilihat sebagai lambang ketamadunan bangsa. Ekosistem sungai sangat dipengaruhi oleh aktiviti pembangunan di lembangannya, tahap kualiti air sungai menjadi petanda atau kayu pengukur kecekapan sesuatu bangsa mengurus sumber alamnya.
Di sesetengah kawasan, sungai menjadi sumber rezeki golongan nelayan, petani mengharapkan air sungai sebagai minuman ternakan dan menyiram sayur-sayuran. Tidak kurang juga yang menjadikan air sungai sebagai sumber minuman, mandi, mencuci pakaian dan sebagainya.
Sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber air, Malaysia mempunyai 189 jaringan lembangan sungai. Terdapat 3,000 batang sungai di negara ini dengan jarak keseluruhan menjangkau beribu-ribu kilometer.
PARI sungai yang kini jarang ditemui dan hanya membiak di sekitar kawasan Kuala Selangor.
Bagaimanapun, pembangunan dan kegiatan industri yang tidak terkawal menyebabkan air sungai yang satu ketika dahulu mengalir jernih kini mula bertukar warna dan tercemar.
Pelbagai kempen yang dilakukan kerajaan untuk memastikan sungai di negara ini bebas daripada pencemaran seperti Kempen Cintai Sungai Kita dilihat gagal mencapai matlamatnya.
Sungai Klang misalnya, masih lagi menjuarai kelas sungai paling tercemar di negara ini. Setiap tahun sebanyak 1.2 juta tan kelodak dan sampah terpaksa dipunggah dari sungai itu.
Akuarium tertua
"Ramai yang tidak mengetahui, ekosistem sungai merupakan ekosistem yang berdiversiti tinggi perlu dipelihara dan dilindungi seperti juga terumbu karang dan hidupan marin yang lain.
"Masyarakat perlu dididik untuk menghargai sungai, jika berlaku pencemaran sungai kesannya bukan sahaja dirasai oleh hidupan marin semata-mata, malah kepada kita semua," kata Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah.
Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga sungai dan khazanah marin negara, Zoo Negara mengambil inisiatif mewujudkan semula Akuarium Tunku Abdul Rahman di lokasi seluas 48 hektar zoo tersebut.
Mohamad berkata, jika Underwater World Langkawi atau Aquaria KLCC memaparkan koleksi hidupan marin di lautan, akuarium di situ menampilkan konsep Perjalanan Sungai Malaysia.
"Pembukaan akuarium ini menjadi salah satu tarikan baru kepada pengunjung di Zoo Negara. Sebelum ini pengunjung yang datang ke ke sini hanya melihat pelbagai haiwan darat daripada kategori reptilia, mamalia, burung dan sebagainya," katanya.
Ujar beliau, keseluruhan akuarium itu memberi gambaran sebenar konsep hidupan air tawar dan tumbuhan akuatik di Malaysia secara menyeluruh bermula dari hulu sungai sehinggalah ke laut.
"Pengunjung akan dapat menyaksikan spesies ikan yang berbeza untuk setiap keadaan seperti ikan yang berada di kawasan berbukit berbeza dengan ikan di kawasan tanah rendah," katanya yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan untuk memastikan ikan-ikan yang dipelihara itu berada dalam yang keadaan baik.
Akuarium berkeluasan 15,000 kaki persegi dengan 56 tangki itu merupakan akuarium tertua di negara ini sejak dibuka pada 1972. Bagaimanapun, ia ditutup pada 2005 berikutan kerja-kerja menaiktaraf dengan kos sebanyak RM2.5 juta sebelum dibuka semula awal tahun lalu.
Terletak berhampiran Pintu Masuk B, pengunjung yang berkunjung ke sini pasti kagum melihat keunikan bangunan akuarium berkenaan yang merupakan sebuah bangunan lama dikenali sebagai Rothmans Pavillion.
Sebaik menjejakkan kaki, pengunjung akan disambut dengan deruan air terjun dan kolam ciptaan yang dihuni beberapa spesies ikan air tawar dan kura-kura.
Di permulaan pameran pengunjung akan melihat carta tujuh zon sungai yang terdapat di Malaysia bermula di hulu sungai, pertengahan sungai, hilir sungai, kolam atau lombong buatan, paya gambut, paya bakau dan laut.
3,000 ekor ikan
Penolong kuratornya, Herman Bernard Panapathy berkata terdapat lebih 3,000 jenis daripada 200 spesies ikan air tawar serta tumbuhan akuatik yang dipamerkan di situ.
SELAIN melihat pameran, masyarakat khususnya generasi muda dapat dididik untuk menghargai alam semula jadi.
Antara ikan-ikan yang dipamerkan ialah kelah, jelawat, sebarau, toman, tilan dan udang galah, ketam dan sebagainya.
"Ada di antara spesies ikan yang dipamerkan merupakan spesies terancam dan sukar dijumpai di sekitar sungai-sungai di negara ini akibat pencemaran dan pembangunan yang dilakukan.
"Selain tangki-tangki kecil dan sederhana, kami juga menempatkan sebuah tangki besar yang menempatkan pelbagai spesies ikan-ikan sungai di negara ini." ujarnya
Herman menjelaskan, melalui pameran itu pengunjung dapat melihat dengan lebih jelas perbezaan spesies ikan air tawar dan tumbuhan akuatik yang berevolusi mengikut persekitarannya.
Katanya, spesies ikan di kawasan pergunungan dan hulu sungai, bentuknya agak tirus dan kecil memandangkan arusnya yang agak deras dan suhunya yang rendah.
"Berbanding di pertengahan sungai dan hilir sungai seperti di Sungai Pahang dan Sungai Perak, kebanyakan ikannya seperti belida, lampam, patin mempunyai saiz lebih besar disebabkan arusnya perlahan. Tidak hairanlah ia sering menjadi lokasi kaki-kaki pancing," jelasnya.
Di samping melihat pameran, pengunjung juga berpeluang mengetahui fakta-fakta mengenai sungai serta hidupan di sekitarnya.
SALAH satu spesies ikan belida yang hidup di kawasan pertengahan sungai dan sering menjadi buruan kaki-kaki pancing.
--------------------------------------------------------------------------------
Beliau berkata, peranan sungai tidak hanya tertumpu sebagai sumber air atau menjadi sumber rezeki masyarakat semata-mata, sebaliknya ia juga mempunyai fungsi sebagai pengimbang semula jadi.
Kawasan paya bakau dan paya gambut yang agak berasid misalnya berperanan sebagai penampan ombak, pemecah angin dan penahan banjir.
Pada masa yang sama, ia juga berfungsi sebagai penapis semula jadi di samping membekalkan protein kepada terumbu-terumbu karang dan menjadi tempat pembiakan sesetengah spesies ikan laut.
"Jika ia tercemar atau dimusnahkan oleh pembangunan maka akan memberi kesan bukan sahaja kepada hidupan akuatik di sungai malah di laut.
"Sebab itu kami menekankan konsep pameran seperti ini walaupun ia agak sukar kerana terpaksa menyediakan persekitaran yang bersesuaian dengan habitat asal, namun apa yang penting mesejnya sampai kepada masyarakat," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Azman Adnan, 37 berkata, inisiatif Zoo Negara dalam mewujudkan akuarium tersebut harus diberi pujian kerana ia bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan.
DERAUAN air terjun menggamit pengunjung untuk melihat pelbagai spesies ikan air tawar dan tumbuhan akuatik yang dipamerkan.
--------------------------------------------------------------------------------
Malah, dengan adanya akuarium sedemikian rupa, ia mampu memberi maklumat kepada masyarakat mengenai spesies ikan air tawar dan habitatnya yang mungkin tidak diketahui ramai.
Kakitangan swasta yang menetap di Cheras itu memberitahu ada di antara ikan yang dipamerkan itu sukar ditemui seperti pari sungai yang hanya membiak di kawasan kuala sungai, seperti di Sungai Lipis.
"Pencemaran yang berlaku pada hari ini terutama melibatkan sungai menyebabkan manusia sendiri merasai akibatnya. Ini termasuklah kepupusan spesies ikan air tawar yang kehilangan habitat asal dek kerakusan manusia mengejar pembangunan semata-mata.
"Oleh itu, tindakan pihak Zoo Negara ini secara tidak langsung memberi satu kaedah kepada orang ramai untuk mengetahui tentang hidupan ikan air tawar," ujarnya.
TERDAPAT lebih 200 spesies ikan air tawar dan tumbuhan akuatik yang menjadi tarikan di Akuarium Tunku Abdul Rahman.
Secara simboliknya, Azman memberitahu banyak yang boleh dipelajari di akuarium ini terutama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara sungai dan hidupan di sekitarnya.
"Secara tidak langsung ia memberi pengajaran kepada generasi muda pada hari ini agar meletakkan diri dalam kelompok masyarakat yang tahu menghargai alam semula jadi yang tidak terhitung nilainya.
"Apa yang lebih penting, ia turut menjadi tarikan baru kepada pengunjung ke Zoo Negara kerana kepelbagaian haiwan yang terdapat di sini merangkumi darat, sungai dan laut," katanya yang datang bersama keluarga.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
24 April 2010
Akuarium Zoo Negara-Tentang spesies air tawar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment