Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






16 April 2010

Bumi dicipta untuk manfaat manusia















Keindahan dan kemudahan yang ada di muka bumi adalah untuk kebaikan dan manfaat manusia. - Gambar hiasan

AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menceritakan kisah Nabi Musa a.s dan Firaun kepada orang musyrik, berikutnya ditunjukkan bahawa kaum Nabi Musa tidak dapat dilemahkan oleh perancangan jahat Firaun.

Allah SWT mengazabnya dan menjadikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran kepada orang lain. Kisah ini untuk menghiburkan hati rasul-Nya agar baginda tidak susah hati kerana didustakan dan tidak diimani oleh kaumnya berhubung dengan apa yang disampaikannya.

Selanjutnya Allah SWT berfirman kepada golongan yang menolak adanya hari kebangkitan. Dia mengingatkan mereka tidak layak mengingkarinya sebab kebangkitan itu amat mudah bagi-Nya apabila dibandingkan dengan mencipta langit yang kukuh dan tersusun sebagai bukti betapa luas ilmu Allah SWT dan kekuasaan-Nya.

Firman Allah SWT: (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan kukuh)! Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya.

Syed Qutb berkata: Pertanyaan ini tidak mempunyai jawapan yang lain melainkan jawapan menyerah kalah dan mengaku bahawa langitlah yang lebih sukar diciptakan.

Ini tidak dapat dipertikaikan lagi dan yang demikian, mengapa kamu masih tertipu dengan kekuatan kamu sedangkan langitlah yang lebih sukar diciptakan dari kamu, dan yang menciptakan langit lebih gagah dari langit? Dan ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.

Disebutnya siang sebagai dhuha kerana ia merupakan waktu yang paling baik dan bersih. Kesegaran jiwa hanya terdapat pada waktu itu dan tidak terdapat pada waktu lain seperti kata al-Maraghi.

Firman Allah SWT: Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya).

Syed Qutb berkata: Diratakan permukaannya supaya sesuai untuk berjalan di atasnya. Prof. Zaglul al-Najjar mengemukakan teori bahawa hamparan bumi dan pembentukan kulitnya lalu pemecahannya serta pergerakan oasis dan pembentukan benua-benua, gunung-gunung serta sungai-sungai dan lain-lain hanya terjadi pada fasa kelima dari enam fasa penciptaan alam buana.

Pada fasa keenam pula iaitu yang terakhir barulah terjadi pembentukan kehidupan dalam bentuknya yang paling sederhana hingga kepada penciptaan manusia.

Alam buana ini dianggarkan usianya antara 10 hingga 15 bilion tahun. Sedang batu-batu yang terdapat di bumi tertua dianggarkan terbentuknya sekitar 4.6 bilion tahun.

Ini serupa dengan hasil penelitian berkenaan batu-bata yang terdapat di bulan dan aneka benda angkasa yang jatuh ke bumi. Kesan kehidupan di bumi yang tertua dianggarkan sekitar 3,800 juta tahun.

Jika demikian, masa bumi untuk dapat dihuni oleh makhluk yang hidup dianggarkan sekitar 800 juta tahun. Sedangkan kehidupan makhluk yang bernama manusia dianggarkan wujud sekitar 100,000 tahun yang lalu.

Firman Allah SWT: Ia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya), (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Ayat ini menggambarkan ciptaan Allah untuk manusia bagi melangsungkan kehidupan termasuk binatang ternakan mereka.

Dalam tafsir al-Misbah menyebut: Perkataan mar'aha pada mulanya bererti tempat penggembalaan. Tetapi ia juga dapat difahami dengan makna rumput dan makanan binatang.

Agaknya kata itu dipilih walau yang dimaksudkan ayat di atas adalah tumbuhan secara umum baik yang dimakan oleh manusia mahupun binatang.

Ini kerana konteks ayat ini berbicara berkenaan golongan yang kafir lagi menolak kepercayaan hari kiamat. Mereka itu seperti binatang bahkan lebih sesat dari binatang.

Sheikh Tahir Ibn 'Asyur memperolehi kesan dari penyebutan kata yang hanya khusus digunakan untuk binatang ternak itu, bahawa ini menunjukkan rahmat Allah yang demikian luas kepada makhluknya kerana kepada binatang sahaja Dia telah menyiapkan bahan makanannya apatah lagi kepada manusia.

Penutup

Syed Qutb berkata: Itu ialah sebab-sebab hayat atau faktor-faktor hidup adalah cukup di bumi. Ukurannya cukup sesuai, jarak jauhnya sederhana dan strukturnya adalah sesuai untuk menemukan anasir-anasir benda pada nisbah yang boleh mencergaskan kegiatan hidup.

Ukuran bumi yang sesuai itu adalah perlu kerana kekalnya udara dingin di sekeliling bumi bergantung kepada daya tarikan yang ada pada bumi.

Dengan menukilkan pendapat Ustaz al-Aqqad melalui bukunya Aqaid al-Mufakkirin berkata: Kedudukan bumi merupakan satu kedudukan yang paling sesuai untuk menyempurnakan syarat-syarat tersebut yang pasti untuk pertumbuhan hayat dalam bentuk yang kita ketahui dan sehingga sekarang tiada bentuk hayat yang lain diketahui oleh kita.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa berfikir pada kejadian Allah SWT, seterusnya dapat ma'rifatullah. Amin.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

No comments: