JETPACK dari Martin Aerospace merupakan pek jet pertama ditawarkan secara komersial untuk orang ramai.
PEK jet, pek roket, tali pinggang roket atau apa sahaja nama yang dipanggil, tetapi ia merupakan barangan yang sama iaitu sejenis alat yang dipakai di belakang yang kemudiannya membolehkan kita terbang tinggi ke udara.
Menarik bukan? Mungkin lepas ini kita tidak lagi memerlukan kereta untuk ke tempat kerja dan terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya kerana kita boleh pakai pek jet, isikan gas atau apa-apa bahan bakar, pakai topi keledar dan kemudian terus terbang ke pejabat.
Kelihatan ia seperti satu lagi gajet yang diperkenalkan dalam filem fiksyen sains yang bermula sejak 1920-an dan dipopularkan pada 1960-an.
Pihak tentera Amerika Syarikat pada 1961 telah berusaha membangunkan pek jet itu bagi kegunaan pergerakan di kawasan bukit kerana ia sukar diakses oleh kenderaan biasa.
Ciptaan terbaik adalah Rocket Belt dari Bell yang hanya mampu terbang selama 26 saat yang digunakan oleh Sean Connery sebagai James Bond dalam filem Thunderball pada 1965.
Pada 1984, ketika upacara pembukaan Olimpik di Los Angeles, Bill Scooter telah terbang menggunakan pek jet yang mengkagumkan para penonton di seluruh dunia. Kemudian perkembangan teknologi itu seakan terhenti dan tiada usaha membangunkannya selepas itu.
Jika adapun, penggunaan luas pek jet setakat ini lebih banyak digunakan oleh para angkawasan ketika mereka berada di luar kapal angkasa hendak membaiki pesawat tetapi penggunaannya di bumi masih belum ke peringkat komersial.
Bagaimanapun jangan putus asa. Teknologi angkasa itu sebenarnya telah diperkenalkan secara komersial baru-baru ini oleh Martin Aircraft dari Christchurch di New Zealand.
Syarikat yang ditubuhkan pada 1998 itu dibentuk untuk memperbaiki teknologi Rocket Belt Bell yang berjaya mencatatkan penerbangan sehingga 100 kali.
DibangunkanPek jet atau Jetpack yang dibangunkan oleh Glenn Martin, Pengurus Martin Aircraft pada 1981 disahkan oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, University of Canterbury, New Zealand.
Sejak itu, sembilan prototaip telah dibangunkan dan rekaan Jetpack yang kesembilan itu diterima sebagai rekaan akhir dan berjaya mencatatkan beberapa penerbangan stabil.
Memandangkan setiap penerbangan mempunyai risiko, Martin Aircraft juga menyediakan pek dengan sistem sokongan yang akan mengambil alih sistem utama yang gagal berfungsi ketika di udara.
Jika pendaratan cemas perlu dilakukan, sistem pengendalian pemandu akan mengeluarkan payung terjun balistik (seperti sistem beg udara dalam kereta) untuk membolehkan pendaratan dilakukan dengan selamat.
Ia juga mempunyai teknologi penyerap hentak yang dipatenkan untuk teknologi kipas jet dan enjin 1,000 TBO (Time Between Overhaul).
Penggunaan teknologi berlepas dan mendarat vertikal (VTOL) yang memenuhi peraturan pesawat penerbangan ringan menjadikan JetPack ini merupakan pek jet yang paling selamat pernah dibina.
Jetpack Martin Aircraft itu mampu terbang selama 30 minit dan menggunakan bahan bakar petroleum yang digunakan oleh kenderaan biasa.
Tetapi tentu ramai akan memberi pandangan pelik jika anda singgah di mana-mana stesen minyak untuk mengisi semuka tangki minyak JetPack anda.
Memandangkan 'pesawat' ini dibina mengikut peraturan pesawat ringan, maka penggunanya tidak memerlukan lesen juruterbang di Amerika Syarikat tetapi peraturan itu mungkin berbeza mengikut negara.
Bagaimanapun, Martin Aircraft mengenakan syarat kepada bakal pemilik 'pesawat' ini untuk menjalani latihan khusus oleh syarikatnya sebelum membenarkan mana-mana pembeli menggunakannya.
Selain itu, hanya mereka dengan berat badan dari 62 hingga 108 kilogram sahaja yang dibenarnya menaiki JetPack untuk tujuan keseimbangan.
Bagaimana pula harganya? Selepas membangunkan sembilan prototaip, Martin Aircraft menjangkakan harga JetPack ini boleh mencecah sehingga RM280,000 dan harga itu mungkin akan turun jika pengeluarannya boleh dilakukan dalam skala besar.
Bagaimana, sehingga kini sesiapa yang berminat untuk mendapatkan JetPack boleh membuat tempatan dengan Martin Aircraft dengan pembayaran 10 peratus deposit. Pembayaran sepenuhnya boleh dilakukan selepas menerima 'pesawat' yang dijangka mengambil masa 12 bulan.
Oleh MOHD. RIDZWAN MD. IMAN
ridzwan.iman@utusan.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
12 April 2010
Jom terbang ke pejabat!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment