Penularan penyakit berjangkit disebabkan oleh virus dan bakteria yang bersarang di tangan kita tanpa kita sedari.
TAHUN lalu, ketika jangkitan virus Influenza A (H1N1) berleluasa, ramai bimbang dan mengambil pelbagai langkah proaktif untuk mengelak daripada terkena penyakit dengan mencuci tangan sekerap mungkin, menutup mulut dan hidung apabila batuk atau orang lain batuk serta membawa tisu dan cecair pembersih tangan ke mana saja mereka pergi.
Malah, ada yang sangat berhati-hati sehingga menggunakan kunci kereta atau pen untuk menekan butang lif atau tidak mahu memegang susur tangan ketika menaiki mahupun menuruni tangga.
Semua ini dilakukan untuk mengelak daripada menyentuh permukaan yang kerap disentuh dan mengurangkan risiko mendapat jangkitan virus berkenaan. Jika di hospital pula ramai yang sanggup beratur hendak menggunakan cecair pembersih tangan sebelum dan selepas melawat pesakit.
Bagaimanapun, amalan itu tidak bertahan lama, ia hanya dilakukan kerana kebimbangan mendapat jangkitan virus H1N1 saja. Kini, apabila keadaan kembali ‘tenang,’ ramai mula lupa saranan yang diberikan untuk melindungi diri daripada jangkitan.
Menurut Ketua Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr Christopher Lee, mencuci tangan adalah antara kaedah paling mudah, murah dan berkesan untuk menyekat penularan penyakit berjangkit.
Menurutnya, mencuci tangan bukan sekadar mencegah pemindahan virus H1N1 saja, malah turut membabitkan semua virus dan bakteria berbahaya yang sentiasa menunggu peluang untuk menyerang kita.
Katanya, apa yang menyedihkan ramai masih memandang remeh kepentingan mencuci tangan dengan betul dan mungkin mereka tidak tahu bahawa tangan adalah antara anggota yang banyak organisma halus, sama ada bakteria, virus atau alga.
Malah, ia juga menjadi ‘pengangkutan’ paling efisien untuk bakteria dan virus berpindah kerana apabila kita menyentuh muka terutama mata, hidung atau mulut; organisma halus ini akan terus sampai ke ‘pintu masuk’ badan.
“Tangan petugas perubatan seperti doktor, jururawat dan pekerja hospital lain juga boleh tercemar melalui pelbagai cara termasuklah ketika mengambil darah pesakit, memeriksa tekanan darah atau nadi pesakit, membantu pesakit bergerak, menyentuh pakaian atau cadar tilam pesakit, memegang peralatan dalam wad termasuklah katil, lampu meja mahupun pam intravenus (bagi memasukkan cecair ke dalam salur darah).
“Inilah sebabnya pencucian tangan sangat penting bagi petugas perubatan kerana mereka boleh memindahkan bakteria atau virus daripada seorang pesakit kepada pesakit lain atau pada diri sendiri,” katanya pada majlis penutup kempen ‘Tangan Bersih, Hidup Sihat’ yang dijalankan dengan kerjasama Antabax dan Hospital Sungai Buloh.
Jurnal Perubatan New England 2006 melaporkan ramai doktor dan jururawat ‘terlupa’ untuk mencuci tangan mereka sebelum menyentuh pesakit. Walaupun kajian ini dilakukan di luar negara tetapi tidak mustahil turut berlaku di kalangan kakitangan perubatan di sini. Jadi, sebagai pesakit kita berhak meminta doktor atau jururawat untuk membersihkan tangan mereka terlebih dulu sebelum memberi rawatan atau membuat pemeriksaan terhadap pesakit.
Dalam kempen ini, 33 sekolah, lebih 2,000 kedai makanan dan minuman, suku juta pengguna pengangkutan awam dan petugas barisan depan pelancongan di hab pengangkutan Semasa Sentral serta pesakit dan pelawat Hospital Sungai Buloh menerima bahan pendidikan yang disediakan Kementerian Kesihatan dan produk Antabax. Bahkan, mereka juga diberikan panduan bagaimana dan bila seseorang itu mesti membasuh tangan.
Pada 2009, lebih 17,000 kes penyakit tangan, kaki dan mulut dilaporkan di Malaysia; 18,000 kes batuk kering dan 15,584 kes terkumpul (sehingga Ogos 2010) jangkitan H1N1. Itu belum termasuk kes keracunan makanan. Sebenarnya, semua jangkitan ini boleh dicegah dengan memberi penekanan terhadap kebersihan tangan.
Malangnya, selepas pelbagai kempen kesihatan dan kesedaran dijalankan, pengetahuan masyarakat mengenai cara pencucian tangan masih kurang memuaskan walaupun ramai tahu kepentingannya. Hasil kajian selepas demonstrasi kebersihan tangan yang dijalankan dalam kempen itu, didapati hampir 90 peratus peserta bukan daripada sektor kesihatan tidak tahu cara mencuci tangan dengan betul, kata Pengurus Pemasaran Bahagian Penjagaan Diri dan Isi Rumah Lam Soon, Carmen Foo.
Katanya, kajian itu juga menunjukkan orang dewasa juga perlu diberi pendedahan kepada kaedah penjagaan kesihatan paling asas (mencuci tangan) walaupun kumpulan sasaran kempen berkenaan ialah kanak-kanak sekolah rendah yang lebih terdedah kepada kuman kerana kebanyakan masa mereka dihabiskan di luar rumah.
Cara mencuci tangan
Ia sangat mudah, iaitu dengan menggunakan sabun dan air. Sabun mandi biasa sudah memadai kerana ia juga memberi kesan yang sama dengan sabun antibakteria.
Caranya: Basahkan tangan dan lumurkan dengan sabun. Gosok kedua-dua tangan selama sekurang-kurangnya 15 saat, dengan tumpuan kepada tapak tangan, celah jari, kuku, bahagian belakang dan pergelangan tangan. Akhir sekali, bilas dengan air bersih dan lap hingga kering.
Perlukah menggunakan air suam untuk mencuci tangan? Tidak perlu kerana air hangat tidak cukup panas untuk membunuh bakteria. Kajian menunjukkan penggunaan air suam tidak memberi kesan lebih baik daripada air pada suhu bilik dalam mengurangkan jumlah bakteria di tangan.
Sebaliknya bakteria membiak dengan lebih cepat pada suhu badan (37�C). Bagaimanapun, jika tangan anda berminyak, air suam dan sabun dapat membersihkan tangan dengan lebih baik.
Perkara penting yang perlu anda ingat selepas mencuci tangan ialah mengelap tangan hingga kering sama ada menggunakan kertas tisu atau tuala bersih. Penggunaan tisu didapati lebih baik daripada mesin pengering tangan seperti yang tersedia di kebanyakan pusat komersial.
Kajian Universiti Westminster London pada 2008 mendapati jumlah bakteria pada tangan yang dikeringkan dengan mesin pengering (menggunakan udara panas) meningkat 254 peratus pada tapak tangan dan 194 peratus di hujung jari).
Tangan yang dikeringkan dengan mesin pengering jet udara (lebih moden) didapati menunjukkan peningkatan jumlah bakteria sebanyak 15 peratus pada tapak tangan dan 42 peratus di hujung jari. Sebaliknya, tangan yang dikeringkan dengan tuala kertas menunjukkan pengurangan jumlah bakteria sehingga 77 dan 76 peratus pada tapak tangan dan hujung jari.
Malah penyelidik juga mendapati penggunaan mesin pengering tangan yang biasa juga boleh menyebabkan bakteria tersebar sejauh 0.25 meter daripada kedudukan mesin. Mesin pengering jet udara yang mempunyai kelajuan tiupan sehingga 1,036 ksj boleh menerbangkan bakteria sejauh dua meter. Ini bermakna penggunaan mesin pengering tangan ini boleh membuatkan bakteria tersebar ke seluruh bilik air. Selain itu, gunakan tisu untuk mengalas jari apabila menutup paip; atau anda boleh membersihkan kepala paip (dengan sabun) setiap kali mencuci tangan.
Bila perlu cuci tangan? Bila-bila dirasakan perlu, terutama apabila tangan kelihatan kotor; sebelum menyedia dan menyentuh makanan; keluar tandas; jika tangan terkena darah atau cecair badan; selepas bermain dengan haiwan peliharaan dan sebelum memegang kanak-kanak kecil.
“Tangan yang kelihatan bersih tidak bermakna ia benar-benar bersih (bebas daripada kuman) kerana ia terlalu halus untuk dilihat dengan mata kasar. Jika kita berada di tempat yang sukar mendapat air bersih, contohnya ketika dalam kenderaan awam dan tangan tiada tanda kotor, kita boleh gunakan cecair pembersih tangan beralkohol anti bakteria.
“Cara betul menggunakan cecair pembersih tangan anti bakteria - letakkan beberapa titis cecair pembersih di tapak tangan kiri, rapatkan kelima-lima jari kanan dan gosokkan hujung jari (supaya ia mengenai kuku) dan segera gosokkan kedua-dua belah tangan (depan, belakang dan pergelangan tangan) sehingga cecair pembersih kering. Ulang untuk kuku sebelah lagi. Mulakan kerja selepas tangan benar-benar kering,” katanya.
Ada yang bertanya, adakah kandungan alkohol dan bahan anti kuman itu mendatangkan kesan sampingan jika seseorang itu makan sejurus selepas itu? Jawapannya tidak. Ia tidak berbahaya kerana alkohol dalam cecair pembasmi kuman ini meruap (sejat) dalam 20 hingga 30 saat.
Selain itu penggunaan tisu lembap juga pilihan baik (kini sudah ada tisu lembap antibakteria), terutama ketika anda jauh dari punca air dan sabun. Namun begitu, pastikan tangan anda benar-benar kering sebelum menyentuh orang lain.
Sikap penduduk
Dr Lee berkata, walaupun semua orang tahu mencuci tangan itu penting, masih ramai yang tidak memberikan penekanan pada perkara ini.
Dalam Soal Selidik Kebersihan Antarabangsa 2009 untuk mengetahui sikap penduduk Malaysia terhadap kebersihan; 31 peratus responden berkata mereka mencuci tangan selama lima saat selepas keluar dari tandas. Responden lain memberitahu mereka mencuci tangan selama 10 saat (34 peratus); 20 saat (15 peratus) dan 60 saat (18 peratus).
“Lima saat adalah tempoh yang sangat singkat; besar kemungkinan mereka hanya membasahkan tangan saja dan berasakan ia sudah bersih. Seperti yang sering diulang; tangan perlu dicuci sekurang-kurangnya selama 15 saat dengan sabun dan air. Murid sekolah di Hong Kong digalakkan menyanyi lagu tertentu ketika mencuci tangan bagi memastikan tangan mereka dicuci dengan betul,” katanya.
Apabila ditanya cara paling berkesan bagi mengelak jangkitan selesema, ada dua kaedah yang dicadangkan iaitu kerap mencuci tangan (21 peratus) dan menutup mulut dan hidung apabila orang lain bersin (30 peratus). Sebenarnya dua langkah ini baik tetapi jika anda yang bersin, anda perlu menutup hidung dan mulut dengan tisu dan buangkan tisu ke dalam tong sampah.
“Jika tiada tisu dan ketika itu anda berada di tempat sesak, batuk atau bersinlah pada lengan baju (bahagian dalam; dekat dengan badan) kerana ia adalah tempat yang paling jarang bersentuhan dengan orang lain. Namun, cara yang lebih baik ialah sentiasa membawa tisu atau sapu tangan dan cecair pembersih tangan ke mana saja anda pergi,” katanya.
Antara penemuan lain di dalam soal selidik berkenaan ialah:
•Tempat paling tercemar ialah kepala paip sinki dapur. Kajian menunjukkan 45 peratus kepala paip sinki dapur di negara ini dicemari bakteria Staphylococcus aureus (S aureus) dan 10 peratus tercemar dengan bakteria Escherichia coli (E coli).
Bagaimana ia boleh terjadi? Kepala paip sinki dapur ialah antara benda yang kerap disentuh dan pencemaran boleh berlaku ketika memasak. Biasanya, selepas mengendalikan bahan mentah, kita mencuci tangan sebelum memegang makanan yang sudah dimasak. Bagaimanapun, berapa ramai antara kita yang mencuci kepala paip ini? Mungkin ada yang tidak pernah langsung.
Bakteria paling banyak dikesan (pada lebih 50 peratus sampel) ialah E coli yang menjadi petanda penting terhadap tahap kebersihan rendah. S aureus dan E coli adalah dua bakteria yang paling lazim menyebabkan keracunan makanan dan cirit-birit. S aureus pula boleh menyebabkan pelbagai masalah ringan pada kulit seperti jerawat, nanah pada luka sehinggalah yang lebih teruk contohnya pneumonia (keradangan paru-paru) dan meningitis (keradangan selaput otak).
•Didapati hampir 40 peratus papan pemotong penduduk Malaysia tercemar dan 15 peratus daripada itu dikategorikan ‘sangat tercemar’. Ini bermakna risiko untuk mengalami keracunan makanan adalah tinggi bagi penghuni rumah berkenaan.
Dalam kajian sama pada 2008 mendapati, secara global, kain lap dapur adalah ‘peralatan’ rumah paling kotor, tercemar dan mengandungi banyak kuman. Lebih 89 peratus rumah seluruh dunia mengandungi bakteria pada tahap tidak memuaskan, 78 peratus lagi dikategorikan sebagai sangat tercemar dan kotor. Malaysia lebih teruk kerana 100 peratus rumah responden di sini mempunyai kain lap dapur yang sangat kotor dan tercemar.
Perkara ini disebabkan sikap tidak mencuci kain lap dapur, membiarkannya terperap dalam keadaan basah dan disidai di tepi sinki atau dapur meningkatkan lagi tahap pencemaran di rumah. Selain itu, menggunakan kain sama untuk tujuan pembersihan selepas masak turut membantu menyebarkan bakteria ke seluruh dapur.
•Antara objek yang paling kerap disentuh ialah tombol pintu tandas dan ia sangat tercemar. Kira-kira 20 peratus responden mengakui tidak pernah membersihkan tombol pintu tandas di rumah mereka.
•Kira-kira 40 peratus alat kawalan jauh di negara kita sangat tercemar dan 63 peratus pemilik berkata tidak pernah membersihkan alat kecil yang sangat kerap digunakan itu. Keputusan ini juga menunjukkan bahawa pemiliknya kurang memberi penekanan terhadap kebersihan tangan.
•Permukaan yang paling bersih di dalam rumah ialah telefon dan tombol penyimbah tandas.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
19 December 2010
Tangan banyak bakteria, virus
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment