TEKUN...pendidikan santai dan berstruktur perlu diguna pakai supaya murid mampu menguasai pembelajaran.
APABILA cadangan mewujudkan sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun ada yang melihatnya sebagai kurang praktikal dan sangat membebankan.
Hanya bayangan peperiksaan, bebanan akademik, wajah tekanan guru serta suasana kucar-kacir melayan kerenah pelajar tergambar.
Apatah lagi, sistem pendidikan sedia ada lebih menumpukan aspek kecemerlangan membuatkan masyarakat bimbang pelajar dan institusi pendidikan yang memikul tanggungjawab itu gagal mencapai matlamat.
Ada yang melihat perubahan itu tepat pada masanya dalam menyediakan pembinaan modal insan lebih awal selain bersaing dengan perubahan pendidikan alaf baru.
Persoalannya, mampukah sistem pendidikan negara meneruskan tradisi pendidikan sedia ada atau perlu berubah?
Pensyarah Psikologi dan Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata tidak timbul masalah jika ingin melaksanakan sistem pendidikan berkenaan kerana sudah didedahkan dengan pendidikan asas pra sekolah.
Menurutnya, sudah cukup asas itu dijadikan pengukur aras bagi menjana proses pembelajaran formal, bagaimanapun perlu dimantapkan lagi dengan penggunaan elemen pengajaran dan pembelajaran lain.
"Memberi pendidikan awal berbentuk formal adalah langkah bijak untuk mengembangkan lagi tahap pencapaian sosial, kemahiran dan akademik selain belajar lebih menguasai dan memahami.
"Proses itu tidak boleh dilakukan mengikut sistem sedia ada dan perlu dilengkapi elemen lain yang membolehkan mereka faham serta dapat mengikuti proses pembelajaran dengan selesa.
"Paling penting, pastikan proses penerimaan ilmu tidak terlalu sukar, bersesuaian faktor umur dan tahap penerimaan" katanya.
Cadangan memulakan pendidikan formal seawal usia lima tahun dibentangkan baru-baru ini sebagai usaha memperkasakan lagi sistem pendidikan negara serta memperkukuhkan nilai modal insan.
Ia diharap dapat mengubah paradigma pendidikan negara dengan mencontohi kejayaan negara maju dalam melaksanakan sistem pendidikan awal.
Bagi tujuan pemantauan, beliau menyarankan pendidikan santai tapi berstruktur diguna pakai sebagai konsep asas pembelajaran dan pengajaran.
Pendekatan itu mampu menilai potensi penerimaan dan pencapaian pelajar sekali gus memberi peluang guru memperbaiki kelemahan.
"Jangan terlalu fokus pada pendekatan akademik semata- mata kerana ia lebih memberi tekanan.
"Penyampaian biarlah lebih mudah dan santai asalkan matlamat pembelajaran mampu disampaikan sepenuhnya.
"Perlu ikut kemampuan supaya pelajar atau guru tidak tertekan. Persekolahan dalam usia muda memang mencabar selain masyarakat juga wajar diberi penerangan jelas," kata Dr Mariani.
Dr Mariani berkata ia bagi mengelakkan berlakunya salah faham hingga menyebabkan banyak percanggahan pendapat.
"Kebanyakannya sudah melalui alam pra sekolah, boleh pendidikan asas termasuk mengenal huruf, nombor dan objek.
"Hanya selaraskan proses pembelajaran berdasarkan tahap kemampuan pasti tidak timbul masalah," katanya yang turut menekankan kepentingan persediaan tenaga pengajar.
Apatah lagi falsafah pendidikan mementingkan keupayaan guru dalam menjalankan tanggungjawab dan elakkan timbulnya masalah atau lebih memberikan tekanan kerana tidak bersedia.
"Guru perlu dilengkapkan dengan kelayakan setara dan mempunyai keupayaan fizikal serta emosi bagi membantu menangani kerenah, kehendak selain keupayaan pelajar," katanya.
Ibu bapa dan masyarakat harus bersikap terbuka, berfikiran positif serta memberi sokongan kepada institusi sekolah.
"Masalah timbul apabila kurangnya keyakinan terhadap institusi, sistem dan guru hingga mewujudkan pertikaian selain ada yang hanya pandai mengkritik tapi tidak mahu berkongsi pendapat.
"Perubahan ini memerlukan masa, penyesuaian dan perbandingan sebelum boleh diakui berjaya. Bagaimanapun, tidak mustahil jika semua pihak memberi sokongan.
"Kepada guru, tidak timbulkan bebanan kerana mendidik anak bangsa memang memerlukan pengorbanan," katanya.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
12 July 2010
Ubah paradigma, contohi negara maju
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment