Namun trend kebelakangan ini semacam terbalik. Belum pun sempat Ramadan menjenguk, iklan-iklan hari raya melimpah-ruah.(Gambar hiasan)
KURANG dua minggu lagi umat Islam akan menyambut Ramadan. Maknanya ada kira-kira sebulan lebih, hari raya akan diraikan. Bagi umat Islam, Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu. Banyak fadilat dan manfaat yang datang bersama Ramadan. Apatah lagi tahun ini umat Islam di Malaysia sekali lagi menyambut ulang tahun kemerdekaan tanah air dalam bulan Ramadan. Tentu banyak nostalgia mahu dibangkitkan sepanjang Ogos yang merupakan bulan merdeka dan juga bulan untuk umat Islam di negara ini menunaikan ibadah puasa.
Sememangnya rezeki juga datang mencurah-mencurah pada bulan yang menguji ketahanan mental dan fizikal umat Islam.
Manakala hari raya atau kedatangan Syawal pula bagi meraikan kejayaan umat Islam melawan godaan nafsu dengan berpuasa selama 30 hari. Begitulah susun-aturnya - Ramadan datang dahulu sebelum Syawal.
Namun trend kebelakangan ini semacam terbalik. Belum pun sempat Ramadan menjenguk, iklan-iklan hari raya melimpah-ruah. Jualan murah yang tidak diketahui murah atau mahal berlangsung di sana-sini, semua sempena menyambut hari raya. Jualan murah pula tidak terhad pada satu item sahaja. Namakan apa saja pasti ada saja jualan murah yang berkaitan. Baik pakaian, perabot, aksesori, tiket kapal terbang malah pakaian dalam sekali pun kononnya dijual murah semata-mata untuk memeriahkan hari raya.
Bagaimana pula dengan persiapan menyambut Ramadan. Apa yang diuar-uarkan? Terbacakah kita tentang iklan sembahyang terawih di Dataran Merdeka misalnya? Adakah iklan-iklan yang mengajak anak-anak muda bersama-sama menghidupkan Ramadan di Dataran Pahlawan? Atau sama-sama bertadarus di masjid-masjid bagi menambah pengisian sepanjang Ramadan?
Berbuka
Kebiasaannya, yang diuar-uarkan berkaitan bulan puasa adalah bufet berbuka puasa di hotel-hotel. Hotel itu menawarkan RM65++++, manakala hotel ini pula mempromosikan 100 hidangan berbuka dengan hanya RM95++ satu kepala. Ada pula hotel menyediakan hiburan sampingan seperti persembahan ghazal mengiringi majlis berbuka puasa. Untuk menjadi lebih pelbagai dan kononnya kreatif, ada tawaran menginap di hotel dengan pakej bersahur di dalam bilik.
Jelas apabila datangnya puasa dan hari raya, aspek yang diketengahkan hanyalah soal berbelanja, makan, makan dan makan. Seolah-olah Ramadan dan Syawal adalah bulan untuk umat Islam makan sepuas-puasnya seperti mana iklan - dengan RM95++ anda boleh menikmati 100 juadah berbuka puasa. Nikmatilah harga runtuh dan potongan istimewa untuk perabot baru bagi memeriahkan hari raya anda. Jualan musim perayaan, bazar raya dan macam-macam iklan yang mula memenuhi akhbar dan berkumandang di radio serta televisyen.
Bukan untuk menyalahkan iklan lantaran itu adalah strategi perniagaan mereka, tetapi daripada mana mereka belajar strategi itu kalau bukan berpunca daripada sikap umat Islam itu sendiri.
Mungkin hasil kaji-selidik dan pemerhatian syarikat-syarikat iklan, orang Melayu beragama Islam gemar berlebih-lebihan dalam soal menyediakan juadah berbuka puasa. Mereka juga tidak lokek berbuka puasa di hotel. Seperkara lagi, orang Melayu ada kecenderungan makan di hotel semasa Ramadan seolah-olah sepanjang 11 bulan yang lain mereka tidak oleh berbuat demikian. Peliknya harga bufet yang ditawarkan bukanlah rendah - malah dari tahun ke tahun boleh saja dirumuskan harga bufet berbuka puasa semakin mahal. Namun keterujaan berbuka puasa di hotel menyebabkan hotel-hotel berlumba-lumba mengiklankan promosi berbuka puasa di premis mereka.
Perabot
Lebih daripada itu, orang Melayu memang suka menukar perabot, membeli barang kemas, langsir baru, perhiasan rumah yang baru dan pelbagai lagi setiap kali mahu menyambut kedatangan Syawal. Bukan cerita dongeng kalau dikatakan ada yang sanggup berhutang untuk memenuhi keinginan tersebut. Sedangkan jika dihayati konsep Ramadan dan Syawal itu sendiri, elemen pembaziran, menunjuk-nunjuk dan membuang masa tidak termasuk di dalam senarai. Hakikatnya baik Ramadan maupun Syawal membawa nilai muhasabah diri, mengenang insan yang tidak bernasib baik, bersedekah, meningkatkan amalan kebaikan dan mengeratkan silaturrahim.
Sehubungan itu, kepada umat Islam di Malaysia, biarlah Ramadan menjadi persiapan kepada sambutan hari raya yang serba sederhana. Seperkara yang perlu diingat - Ramadan dan Syawal tahun ini mungkin yang terakhir untuk kita. Atau belum tentu kita dapat melalui dua bulan istimewa itu, justeru kurangkan keterujaan yang tiada kaitan dengan ajaran Islam itu sendiri.
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
31 July 2010
Hari raya atau puasa dulu
29 July 2010
Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau
SEKOLAH akan dikelompokkan mengikut prestasi bagi membolehkan apa sahaja inisiatif di bawah program penambahbaikan sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. - Gambar hiasan
KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi tinggi menjelang tarikh keramat itu.
Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini, program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.
Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik.
Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing - khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah berprestasi tinggi.
Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.
Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:
1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada setiap tahun.
2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri.
3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.
Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang, program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi kurikulum.
Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau penambahbaikan program keguruan masing-masing.
Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di seluruh negara.
Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.
Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan memudahkan untuk dibantu.
Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.
Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.
Read more...
28 July 2010
Menajamkan konsentrasi
OTAK perlu dilatih dengan permainan yang merangsangnya untuk bekerja keras.
SETIAP daripada kita pasti pernah melalui pengalaman hilang tumpuan semasa melakukan sesuatu sama ada ketika melakukan tugasan di pejabat, menghadiri kuliah atau di dalam bilik darjah, bersukan memandu dan sebagainya.
Masalah keluarga, tekanan kerja, gangguan bunyi telefon atau televisyen juga boleh menjejaskan tumpuan seseorang terhadap kerja yang sedang dilakukan. Mengapakah konsentrasi itu sangat penting?
Konsentrasi membantu kita menumpu, memusat dan memfokuskan fikiran pada sesuatu perkara pada satu-satu masa sahaja. Kekuatan konsentrasi juga berkait rapat dengan daya mengingat dan berfikir. Kelemahannya membuatkan pemikiran kita mudah menerawang dan terganggu. Kesannya, segala maklumat yang diperoleh tidak didaftarkan ke dalam memori.
Kemampuan konsentrasi tidak dikaitkan dengan bakat yang diperoleh sejak lahir namun lebih kepada cara kita melatihnya. Konsentrasi boleh diibaratkan seperti otot tubuh kita. Semakin kita rajin membentuk semakin terserlah kepaduan dan kekuatan yang timbul pada otot tersebut. Bayangkan kerjaya seorang pemahat, pelukis dan penulis.
Karya mereka tidak akan menarik tanpa latihan yang berterusan dan fokus terhadap kerja yang dilakukannya. Meskipun ia mengambil masa, ia mampu meningkatkan nilai produktiviti individu pada masa akan datang.
Mungkin apa yang disenaraikan oleh GenK dapat dijadikan panduan dalam memperoleh kunci kejayaan dalam hidup anda.
Tetapkan sasaran
Sekiranya kita mempunyai sasaran bermakna individu terbabit telah menetapkan perkara yang ingin dicapainya dalam satu tempoh yang tertentu. Ini akan memudahkan kita merancang tugas dan jadual harian.
Ia akan membangkitkan komitmen dan membuat keputusan untuk menjayakan apa yang telah dirancang. Namun, sekiranya kita lalai untuk mengikut setiap perancangan yang dijadualkan bermakna anda menggadaikan masa depan anda sendiri.
Turut serta
Sasaran yang dilakukan tidak akan lengkap jika kita tidak melakukannya. Bagi memastikannya benar-benar bermanfaat disiplin amat ditekankan.
Cuba lakukan sesuatu yang dapat mendekatkan diri anda dengan sasaran yang dirancang. Selain itu, cuba libatkan diri anda dengan masyarakat yang dapat membantu anda merealisasikan matlamat tersebut.
Contohnya jika anda ingin menjadi seorang pakar teknologi maklumat seharusnya mendekati komuniti terbabit. Ini membantu anda menimba ilmu dan pengalaman dalam mencapai tujuan yang telah disematkan di dalam hati.
Berdialog dengan diri sendiri
Cuba berikan ruang dan kesempatan untuk anda berkomunikasi dengan diri sendiri. Bayangkan kerjaya seorang penembak tepat atau sniper sanggup duduk berjam-jam sehinggakan matanya tidak terpejam bagi memastikan musuhnya dapat dihapuskan.
Kita juga mampu menjadi seperti itu kerana musuh utama dalam diri kita adalah sifat malas, bosan atau pesimis. Tanyakan pada diri adakah masa yang digunakan dihargai sebaiknya? Ini semua mempunyai pengaruh yang kuat terhadap minda separa sedar seterusnya mampu membentuk imej kendiri kita.
Tanamkan minat
Dengan minat yang tinggi, ia memberikan anda semangat dan perangsang dalam menggali pelbagai sumber untuk mendapatkan informasi berkaitan bahan yang ada mahukan.
Ia membuatkan anda lebih konsisten dalam melakukan kerja yang direncanakan. Kemudian pupuk rasa tanggungjawab terhadap sesuatu yang anda putuskan. Secara tidak langsung, ia memberikan anda kuasa dalam menjayakan misi anda.
Melatih fikiran
Untuk menjadikan fikiran kita lebih tajam, latih otak dengan melakukan permainan yang berunsurkan teka-teki seperti soduku atau jenis permainan yang mampu membantu merangsang otak kita. Aktiviti sebegini mampu mengembangkan kecerdasan dan daya fokus kita dalam membuat keputusan seterusnya meningkatkan daya ketahanan mental.
Read more...
27 July 2010
Panduan umum untuk pentadbir sekolah
Kursus Profesionalisme yang dihadiri oleh Guru Besar dan Pengetua sekolah banyak membantu meningkatkan prestasi akademik di sekolah masing-masing.(Gambar hiasan)
BERIKUT ialah gambaran senarai semak untuk menjadi rujukan kepada pihak sekolah menilai aspek pelaksanaan dan pencapaian sekolah masing-masing.
1.Prestasi pelajar ditanda aras dengan penilaian dan piawaian antarabangsa. Sudahkah sekolah anda mencapai tahap antarabangsa atau masih di takuk lama? Atau anda sebenarnya tidak peduli?
2.Sistem pendidikan negara akan terus menekankan penerapan nilai dan etika yang menjadi asas penting kepada pencapaian Wawasan 2020. Adakah masalah disiplin di sekolah anda menjadi-jadi? Atau semakin baik?
3. Dianggarkan 10 peratus guru besar dan pengetua berprestasi rendah akan diberi latihan kemahiran pengurusan sebagai usaha untuk meningkat prestasi mereka. Bagaimana dengan prestasi anda? Anda perlu ke Institut Aminuddin Baki (IAB)?
4. Kaedah penyampaian latihan di IAB akan berubah daripada berasaskan syarahan kepada penekanan terhadap pembelajaran berdasarkan pengalaman. Kursus pendidikan dan pengurusan akan dijalankan di kampus dan secara atas talian menggunakan platform e-learning, serta dilengkapi repositori pengetahuan digital. Adakah anda mengikuti perkembangan baru ini?
5. Setiap tahun, kementerian menerima lebih 175,000 permohonan untuk menyertai profesion keguruan dan 20,000 orang ditempatkan di sekolah. Ramai pemohon tidak mempunyai sikap dan aptitud yang sesuai untuk menjadi guru. Bagaimana dengan prestasi guru lepasan maktab yang ditempatkan di sekolah anda? Adakah beliau perlu latihan susulan?
6. Bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pula, hanya 3 peratus pemohon mempunyai purata gred terkumpul 3.5 dan ke atas daripada 4.0. Ini menunjukkan profesion keguruan bukanlah pilihan calon cemerlang. Apakah anda merasakan layak untuk lepasan guru seperti ini mengajar di sekolah anda?
7. Menarik siswazah cemerlang menyertai profesion keguruan adalah kritikal dan kerajaan akan melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan kesedaran tentang keguruan sebagai profesion yang berprestij. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?
8. Kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti dan ketekalan latihan praktikum kepada guru pelatih, seperti memanjangkan tempoh latihan praktikum dan meningkatkan kerjasama guru berpengalaman yang mempunyai kemahiran membimbing yang tinggi untuk menyelia guru pelatih. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?
9. Dalam tempoh rancangan, latihan praktikum kepada guru pelatih akan ditingkatkan - KPLI akan dilanjutkan daripada satu tahun kepada satu tahun setengah untuk meningkatkan pengalaman praktikum guru pelatih. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?
10. Program praktikum akan menjadi sebahagian daripada penilaian prestasi sekolah dan guru pembimbing. Adakah anda mahu mengambil kesempatan daripada peluang ini dengan memastikan sekolah benar-benar menyumbang kepada program praktikum ini?
11. Pada masa ini, guru pelatih daripada IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh rancangan. Dengan ini, hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan guru. Apakah peranan anda membantu melahirkan guru berkualiti?
12. Pelaksanaan latihan perguruan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya daripada IPG dan IPTA. Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?
13. Guru berijazah di sekolah menengah daripada 89.4% dalam tahun 2009 kepada 90.0% menjelang tahun 2015. Bagi sekolah rendah pula, kadar ini akan ditingkatkan daripada 28% dalam tahun 2009 kepada 60% menjelang tahun 2015. Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?
14. Melalui inisiatif Tawaran Baru, pergerakan gred yang lebih cepat berasaskan kompetensi dan prestasi akan dilaksanakan. Laluan cepat untuk kenaikan pangkat secara automatik akan diberi kepada semua guru tanpa mengira tempoh perkhidmatan dan keperluan memajukan permohonan. Sistem laluan kerjaya baru dijangka bermula pada tahun 2011 dan dilaksana sepenuhnya menjelang tahun 2015. Apakah sikap anda terhadap prestasi guru anda? Terbuka atau pilih kasih? Atau anda gentar untuk bersikap jujur?
15. Dalam tempoh rancangan, kurikulum baru untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada 2011 dan ini akan diikuti dengan kurikulum baru untuk sekolah menengah. Kurikulum baru berbentuk modular ini akan memberi peluang kepada setiap pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Adakah anda sudah bersedia menerima kurikulum baru dan mengadakan program perubahan sikap kepada guru anda?
16. Sebagai usaha untuk membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baru ini akan menjadikan sukan sebagai satu subjek mata pelajaran bermula tahun 2011. Dasar '1Murid, 1Sukan' mewajibkan setiap pelajar mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan. Setiap pelajar dikehendaki mengikuti aktiviti sukan pilihan masing-masing selama 90 minit seminggu bagi sekolah menengah dan 60 minit bagi sekolah rendah. Adakah anda sudah bersedia melaksanakan program yang penting ini?
Read more...
26 July 2010
Perit sembelit
Bersenam, kerap minum, pengambilan serat mampu kurangkan gangguan usus
SEMBELIT bukan sekadar satu masalah kesihatan sebaliknya 'gangguan' yang boleh menjejaskan mood serta rutin harian. Bayangkan, desakan ke tandas, terbantut apabila 'hajat' anda gagal dilepaskan kerana kesukaran membuang air besar. Hakikatnya, sembelit memberi maksud berbeza. Kebiasaannya, masyarakat memahaminya sebagai aktiviti pengosongan usus yang jarang berlaku manakala sesetengah lain pula berdepan masalah seperti najis yang keras dan kecil, sukar buang air besar atau rasa tidak puas selepas buang air besar. Apakah punca masalah ini? Setiap jenis sembelit yang disebutkan tadi mungkin berbeza dan pendekatan bagi tujuan rawatan juga perlu sesuai dengan jenis sembelit yang tertentu. Apapun ia banyak dipengaruhi dengan amalan gaya hidup seseorang individu itu.
Malah, kekerapan individu membuang air besar dalam sehari juga berbeza. Mungkin dua hingga tiga kali sehari atau sekali dalam tiga hari. Namun, individu itu dikatakan mengalami sembelit jika membuang air besar hanya dua kali seminggu atau kurang. Ia turut dikaitkan perbuatan meneran ketika membuang air besar. Sembelit juga bukan hanya dialami si kecil, tetapi turut dianggap biasa bagi wanita serta warga emas melebihi 65 tahun.
Apabila kita sering mengalami sembelit, ada beberapa cara untuk mengatasinya. Apa yang penting adalah berusaha supaya najis dapat keluar dengan lancar. Untuk keluar dengan lancar, najis harus lembik dan tidak keras.
Perkara asas adalah banyakkan pengambilan serat sebanyak 20-35 gram sehari, banyak minum air serta bersenam.
Berikut adalah beberapa jenis sembelit:
•Sembelit sekali-sekala - adalah jenis sembelit yang paling lazim dialami termasuk warga tua, wanita hamil, pengembara, pesakit yang mengambil ubatan tertentu atau yang pernah menjalani pembedahan. Ia lebih mudah dirawat dengan mengubah gaya hidup dan pengambilan julap.
•Sembelit Akut - sembelit bersifat sementara, berlaku secara tiba-tiba akibat kesan daripada sebab tertentu. Keadaan ini boleh berulang.
•Sembelit Hypotonic atau sembelit atonic - berlaku apabila otot abdomen jadi lemah tidak mampu menolak pergerakan usus seperti sepatutnya. Masalah ini disebabkan gaya hidup tidak sihat, kurang pengambilan serat dan kurang cairan dalam tubuh.
•Sembelit ‘Fungsian tiada kaitan dengan fizikal, hormon atau kimia dalam tubuh tetapi ia sebaliknya berkemungkinan disebabkan faktor psikologi akibat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.
•Sembelit Rektum - Apabila individu terlalu sibuk atau leka dengan gesaan mengosongkan usus, dia sebenarnya melatih rektum untuk menjadi tidak sensitif. Akibatnya rektum tidak menghantar isyarat pada otak walaupun ia penuh. Bahan fekal yang kering dan kesat menjadikan lebih sukar untuk digerakkan.
Sembelit tidak harus diambil ringan dan harus dirawat pada peringkat awal sebaik punca masalahnya diketahui selepas berbincang dengan doktor anda.
INFO: Punca sembelit
•Kurang serat, gemarkan makanan berlemak dan bergula
•Kurang minum air
•-Kerap menahan diri daripada buang air besar
•Kurang bersenam atau melakukan pergerakan (selepas kemalangan)
•Faktor emosional seperti tekanan perasaan
•Berkaitan hormon seperti hamil dan kedatangan haid
•Kesan ubat-ubatan seperti ubat batuk (codein), ubat gastrik (aluminium/kalsium), penenang
•Pengambilan makanan tambahan seperti zat besi
•Otot perut dan usus semakin lemah (warga tua)
Gejala-gejala
•Najis lebih kering, keras dan sukar membuang air besar
•Meneran semasa membuang air besar
•Sakit semasa pergerakan usus
•Kekejangan di bahagian abdomen.
Tip cegah sembelit:
•Jangan menangguh buang air besar
•Minum sekurang-kurangnya lapan gelas cecair sehari. Ini seperti putih dan jus buah-buahan.
•Amalkan tabiat buang air besar secara rutin, dengan waktu yang tetap misalnya ketika mandi pagi.
•Bersenam atau aktif bergerak.
Read more...
25 July 2010
23 July 2010
Rahsia Sepanyol juara
PARA pemain pasukan Sepanyol meraikan kemenangan mereka selepas menewaskan Belanda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010 pada 11 Julai lalu di Stadium Soccer City, Afrika Selatan
SEPANYOL yang pernah dilabelkan sebagai pasukan underachiever di persada bola sepak antarabangsa melakar sejarah tersendiri dengan menjulang dua piala berprestij dalam tempoh dua tahun.
Pasukan yang mendapat jolokan La Roja telah membuktikan mereka setanding dengan pasukan hebat dunia apabila menjuarai Euro 2008 dan menjulang trofi Piala Dunia 2010 baru-baru ini.
Bagaimanapun, kejayaan pasukan Sepanyol tidak datang bergolek tetapi dengan semangat juang yang tinggi dan pendekatan gaya permainan Tiki Taka menjadi resipi generasi emas bola sepak La Roja.
Pendekatan gaya Tiki Taka cukup mengujakan penonton yang menyaksikan perlawanan pasukan Sepanyol dengan menekankan permainan pantas, kawalan dan berpuluh hantaran bola menarik sehingga pihak lawan keletihan disusuli serangan.
.
--------------------------------------------------------------------------------
Permainan cantik itu terbukti berkesan apabila Sepanyol hanya tewas dua kali sahaja sejak November 2006 sekali gus menamatkan kemarau 44 tahun menjuarai piala berprestij dengan menewaskan pasukan Jerman untuk menjuarai Euro 2008 di bawah kendalian Luis Aragones.
Tiki Taka yang diperlihatkan dalam pasukan Sepanyol sebenarnya mempunyai pengaruh permainan Total Football yang cukup sinonim dengan Belanda.
Bahkan, permainan cantik yang ditonjolkan Sepanyol sudah lama menjadi asas kelab gergasi Barcelona apabila legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff menjadi jurulatih pasukan tersebut pada tahun 1988.
Ini terbukti apabila sembilan pemain kebangsaan Sepanyol yang menjulang Piala Dunia 2010 merupakan produk akademi bola sepak remaja Barcelona, La Masia.
Mereka ialah Victor Valdes, Pepe Reina, Carles Puyol, Gerard Pique, Sergio Busquets, Xavier Hernandez, Andres Iniesta, Cesc Fabregas dan Pedro Rodriguez.
Kesinambungan permainan cantik gaya Tiki Taka kelab Barcelona diteruskan jurulatih Belanda Louis van Gaal dan Frank Rijkaard sehingga menjadi ikutan pasukan Liga Sepanyol yang lain.
PARA pemain Sepanyol disambut penuh meriah dalam satu perarakan di Madrid.
--------------------------------------------------------------------------------
Bekas jurulatih Belanda yang berkhidmat di Barcelona juga tidak terkecuali mengenengahkan bakat-bakat muda dari akademi remaja La Masia ke dalam skuad senior sehingga memberi impak kepada pasukan kebangsaan Sepanyol.
Senarai bakat-bakat muda itu terlalu ramai tetapi ia termasuk pemain tengah Sepanyol, Busquests yang membuat penampilan sulung dalam Piala Dunia 2010.
"Anda perlu menyebut Van Gaal dan Cruyff yang tidak takut mengenengahkan pemain-pemain penting daripada sistem remaja.
"Rijkaard juga bertanggungjawab memperkenalkan formasi 4-3-3 untuk kelab Barcelona dan membantu perkembangan pasukan kebangsaan.
"Gaya permainan dan prinsip adalah sama dengan kelab dan Sepanyol. Pada pandangan saya ia adalah satu bonus kerana memudahkan persefahaman dan kerjasama apabila bermain bersama sepanjang musim," jelasnya.
Pengaruh Tiki Taka
Sementara itu, pertahanan Sepanyol, Carlos Marchena percaya pengaruh gaya permainan Tiki Taka pemain Barcelona memberi kelebihan kepada pasukannya pada perlawanan akhir Piala Dunia menentang Belanda.
KEJAYAAN pasukan bola sepak Sepanyol tidak datang tanpa semangat juang yang tinggi.
--------------------------------------------------------------------------------
"Barcelona merupakan pasukan terbaik dunia. Mereka mengenali antara satu sama lain sehingga permainan menjadi sempurna dan menyeronokkan.
"Ia juga memainkan peranan penting dalam memastikan Sepanyol mencapai kejayaan dalam Piala Dunia," kata bintang Valencia itu .
Dalam penampilan sulung perlawanan akhir Piala Dunia 2010 menentang Belanda, jaringan tunggal Iniesta pada minit ke-116 masa tambahan sudah memadai memastikan Sepanyol menjulang Piala Dunia.
Sepanyol juga melakar sejarah pasukan Eropah pertama memenangi Piala Dunia di luar benua Eropah.
Kejayaan pasukan kendalian, Vicente Del Bosque telah menerima sambutan wira sebaik pulang ke negara mereka dengan hampir sejuta orang memenuhi Madrid.
Read more...
22 July 2010
Internet taman permainan penjenayah siber
ADAKAH anda tahu, laman web apakah yang dilayari oleh anak anda hari ini?
ADAKAH anda tahu, laman web apakah yang dilayari oleh anak anda hari ini? Tahukah anda berapa jumlah rakan-rakannya di rangkaian laman sosial Facebook, Friendster, Twitter, Tagged dan sebagainya yang diakses hampir setiap hari tanpa kawalan anda?
Jika jawapannya tidak, mulai hari ini anda perlu menyimpan rasa ragu dan sedikit bimbang terhadap aktiviti siber anak anda kerana mereka sebenarnya terdedah kepada bahaya di alam maya.
Sememangnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat penting dan anda selaku ibu bapa tidak boleh menyekat anak anda untuk mendalami bidang tersebut supaya mereka tidak ketinggalan dalam bidang ICT yang semakin berkembang pesat. Bagaimanapun pemantauan golongan dewasa dari semasa ke semsa asangat diperlukan.
"Anak saya sudah didedahkan dengan permainan komputer dan Internet sejak darjah tiga lagi tetapi mereka perlu mematuhi jadual yang disediakan oleh saya bersama sedikit pemantauan.
"Sebelum mendedahkan anak-anak dengan alam siber, saya terlebih dahulu menerangkan mengenai apa yang bakal dilaluinya. Saya kerap berpesan supaya jangan sekali-kali meletakkan maklumat diri, membuka e-mel yang tidak dikenali dan bertemu dengan orang yang tidak dikenali dalam Facebook, Friendster dan sebagainya," kata Khairul Basir Mohamad, 45.
Khairul Basir yang merupakan seorang guru memberitahu bahawa ibu bapa perlu menyiapkan diri masing-masing dengan ilmu ICT supaya tidak tercicir kerana anak-anak zaman sekarang sangat pantas menguasainya.
"Saya sendiri pun mempunyai akaun Facebook sendiri dan anak saya merupakan rakan saya dalam laman sosial tersebut. Dengan cara ini kita dapat memantau dengan siapa anak kita bergaul," ujarnya.
Kegunaan pembelajaran
NORTON menawarkan perkhidmatan pemantauan aktiviti Internet anak anda secara percuma.
--------------------------------------------------------------------------------
Bagaimanapun bagi Yusoff Abdullah, 43, yang bekerja sebagai pembantu am memberitahu, oleh kerana dirinya kurang arif menggunakan komputer dia berusaha memastikan anak-anaknya yang bersekolah, celik ICT dengan membelikan sebuah komputer untuk kegunaan pembelajaran.
"Saya tidak pernah tahu apa yang dilakukan mereka dengan komputer tersebut kerana saya sendiri tidak mahir menggunakannya lebih-lebih lagi apabila mahu mengakses Internet.
"Apa yang saya harapkan mereka tidak mengkhianati kepercayaan yang saya berikan kepada mereka," katanya yakin.
Dua senario tersebut merupakan apa yang berlaku kepada ibu bapa di negara ini. Bagaimana pula dengan anak-anak membesar di kampung-kampung yang mana ibu bapa mereka buta ICT?
Kemungkinan anak-anak mereka akan terdedah dengan risiko bahan kandungan negatif dan jenayah siber yang mencari mangsa tidak kira usia. Apatah lagi memetik laporan Kosmo! remaja Melayu antara golongan muda yang paling gemar melayari laman web lucah baik di siber kafe atau di rumah.
Malah, ibu bapa perlu ada kegusaran di hati mereka setiap kali membenarkan anak-anak mereka mengakses Internet kerana satu kajian Norton Online Family Report 2010 mendedahkan bahawa 87 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami pengalaman negatif ketika melayari Internet.
Sekat akses
"Sebagai contoh, empat daripada 10 kanak-kanak telah melakukan sesuatu yang mereka kesali dan 27 peratus kanak-kanak memberitahu terdapat orang yang tidak dikenali cuba berjumpa mereka di alam nyata.
PEMANTAUAN ibu bapa terhadap akses Internet anak-anak sangat penting untuk mengelakkan mereka terjerumus dengan laman web negatif. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------
"Ibu bapa di Malaysia secara umumnya mengetahui mengenai aktiviti dan bahaya yang mungkin dihadapi oleh anak-anak mereka melalui pendedahan pada bahan yang tidak sepatutnya tetapi mereka masih memandang ringan terhadap risiko sebenar dan ada pula yang tidak tahu berapa lama anak mereka meluangkan masa di depan komputer melayari Internet," kata Effendy Ibrahim daripada Norton's Internet Safety Advocate & Consumer Business Lead Asia.
Menurutnya, kanak-kanak meluangkan purata 19 jam menggunakan Internet dalam seminggu, sedangkan ibu bapa mereka mengandaikan mereka memperuntukkan masa 11 jam sahaja.
"Kajian tersebut juga mendapati 25 peratus kanak-kanak berpendapat ibu bapa mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan di Internet tetapi hanya tiga peratus sahaja yang mengakuinya sementara 40 peratus ibu bapa yakin bahawa mereka tahu aktiviti anak-anak mereka ketika mengakses Internet.
"Ketidakprihatinan ibu bapa mengenai alam maya ini menyebabkan anak mereka terdedah kepada jenayah siber. Sehubungan itu, ibu bapa perlu sedar mengenai risiko sebenar yang dihadapi oleh anak masing-masing," jelasnya.
Laman web kini merupakan taman permainan penjenayah siber yang menjadikan pengguna Internet muda seperti anak anda dan sesiapa sahaja sebagai mangsa. Kanak-kanak yang mengalami pengalaman buruk di Internet dihantui perasaan emosi yang memberikan impak kepada mereka seperti marah, sedih, sakit hati, terkejut, takut dan meluat.
"Segelintir ibu bapa telah menggariskan peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak mereka tetapi ia tidak mencukupi tanpa adanya pemantauan.
"Norton kini memperkenalkan perkhidmatan Norton Online Family (NOF) bagi menjamin keselamatan anak-anak anda ketika menggunakan Internet dan ia membolehkan anda mengetahui dan mengawal aktiviti anak anda ketika melayari alam maya," katanya.
Ibu bapa boleh memuat turun NOF secara percuma dengan 25 pilihan bahasa. Dengan ini, ia memberikan peluang kepada ibu bapa memantau aktiviti Internet anak dalam masa yang sama dapat menyekat laman-laman web negatif selain mengadakan perbincangan terbuka bersama anak masing-masing mengenainya.
NOF boleh didapati secara percuma di https://onlinefamily.norton.com. Muat turun aplikasi ini pada komputer anda di rumah dan anda dapat memantau aktiviti anak anda di Internet.
"Jika mereka mengakses laman-laman web yang telah anda sekat, sistem ini akan memaklumkan kepada anda dan pada masa yang sama memberikan anak anda amaran mengenai larangan melayari laman web tersebut. Uniknya sistem ini dapat memantau 15 orang kanak-kanak yang menggunakan komputer yang sama.
"Larangan dalam NOF boleh disesuaikan mengikut peringkat umur. Jika ada cubaan melanggar sekatan yang dilakukan, jangan sesekali memarahi mereka seelok-eloknya, berdialoglah bersama mereka dan jelaskan mengapa anda berbuat demikian," katanya.
Read more...
20 July 2010
19 July 2010
Susu dalam diet kanak-kanak
Susu terserlah penuh dengan manfaat kesihatan.
Susu merupakan sumber pemakanan penting yang sering kali diambil ringan oleh ramai orang. Ia bukan sahaja penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar malah sepanjang hayat.
Sebenarnya susu atau susu badan, merupakan makanan pertama bayi dan satu-satunya sumber pemakanan semasa enam bulan pertama kehidupannya. Ia membekalkan semua zat makanan penting yang diperlukan untuk hidup dan tumbesaran.
Bagaimanapun, susu masih perlu dijadikan sebahagian daripada diet kanak-kanak selepas usia enam bulan. Di samping mengandungi kalsium, ia turut mengandungi zat makanan penting lain seperti protein, vitamin A, riboflavin, zat besi dan fosforus yang penuh dengan manfaat kesihatan.
Penyelidikan sentiasa menunjukkan kanak-kanak dan dewasa yang minum susu akan kurang berisiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular, obesiti dan osteoporosis.
Mengapa susu?
Anda mungkin tertanya mengapa susu penting dalam diet kanak-kanak. Mengapa tidak makanan atau minuman lain?
Susu kaya dengan kalsium. Kalsium disarankan untuk kanak-kanak yang sedang membesar kerana ia memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan dan kesihatan gigi dan tulang yang kuat.
Pengambilan susu yang mencukupi dari peringkat kanak-kanak bukan sahaja boleh mencegah osteoporosis di kemudian hari, malah ia turut membantu mencegah kehilangan kalsium dan fosfat daripada gigi bagi memastikan satu set gigi yang lengkap sepanjang hayat.
Di samping itu kalsium juga penting untuk melancarkan degupan jantung, pemulihan luka dan pengecutan otot.
Menurut Saranan Pengambilan Nutrien (zat makanan) atau RNI, kanak-kanak kecil antara usia satu hingga tiga tahun memerlukan sekurang-kurangnya 500 miligram (mg) kalsium sehari yang boleh diperoleh dengan mudah daripada 1-2 cawan susu.
Sebagai satu daripada makanan yang paling lengkap zat, susu membekalkan sejumlah besar zat makanan berbanding kepada jumlah tenaganya.
Sebenarnya, segelas susu mengandungi lebih banyak zat makanan daripada segelas jus epal, jus oren atau sebarang minuman lain (lihat jadual).
Susu juga menghilangkan rasa lapar dengan segera. Tahukah anda bahawa 32.1 peratus kanak-kanak di Malaysia tidak bersarapan pagi setiap hari.
Setelah berpuasa selama 8-10 jam semasa tidur, sarapan pagi yang berkhasiat adalah penting untuk mengembalikan tenaga.
Semua orang tahu bahawa kanak-kanak yang tidak bersarapan pagi kurang bertenaga, tidak dapat menumpukan perhatian di sekolah dan mudah letih serta rasa jengkel.
Segelas susu suam adalah baik sebagai sarapan pagi ringkas dan segera, terutama sekali apabila diambil bersama makanan lain, kerana ia sangat berkhasiat dan mengandungi semua mineral dan vitamin penting yang diperlukan untuk tubuh dan minda yang sihat.
Oleh Prof.Madya Dr. Norimah A Karim (Pakar Pemakanan)
Read more...
18 July 2010
Cheng Ho kembali
Replika kapal laksamana China Islam singgah Melaka tahun depan
LAKSAMANA Cheng Ho sememangnya tidak asing bagi kita. Malangnya, di luar lingkungan rantau Asia, kisah kehebatan pelayar unggul ini tenggelam berikutan agenda Barat menjaja kehebatan Christopher Columbus atau Ferdinand Magellan. Buktinya, Cheng Ho terlebih dulu membelah samudera luas berdekad-dekad lebih awal awal sebelum dua tokoh pelayar Barat itu memulakan pengembaraan mereka. Cheng Ho atau dieja dan disebut ‘Zheng He’ dalam bahasa Mandarin, adalah pegawai diraja Dinasti Ming yang beragama Islam itu dan disifatkan penjelajah China paling popular. Malah, kehebatannya itu turut membantu mengubah negara Tembok Besar itu sebagai kuasa besar dunia ketika itu. Sudah pasti, Cheng Ho juga barangkali rakyat China paling dikenali oleh penduduk Malaysia kerana nama dan pengembaraannya terpahat dalam sejarah Kesultanan Melaka.
Kisah kehebatan Cheng Ho yang akhirnya mencatatkan namanya sebagai pelayar legenda bermula pada 1405 apabila terpilih mengetuai ekspedisi laut terbesar dalam sejarah ketika itu. Sehingga 28 tahun kemudian, Cheng Ho mengemudi tujuh kapal melawat hampir 40 negara, dari Asia Tenggara sehingga ke Afrika dan Arab. Ketika itu, China sudah jauh ke depan dengan memiliki kapal paling besar di dunia dan pada tahun 1420, angkatan laut Dinasti Ming sudah pun mengatasi gabungan angkatan laut Eropah. Sayangnya, kehebatan Cheng Ho jarang sekali dapat meletakkannya setaraf Columbus walaupun reputasinya jauh mengatasi pengembara Eropah itu.
Namun, dunia kini boleh mengenang semula kehebatan Cheng Ho apabila kerajaan China memutuskan membina semula kapal kayu sama seperti replika yang pernah digunakan laksamana itu dalam pelayarannya mengelilingi dunia 600 tahun lalu.
Penulis yang mengikuti lawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ke Nanjing, baru-baru ini, sempat melihat sendiri usaha mengembalikan semula zaman kegemilangan pelayar agung berkenaan.
Malah, penubuhan Nanjing Dragon Treasure Boat Development Co Ltd (DTB) itu menjadi pertaruhan China menghidupkan membina semula kapal yang dianggarkan menelan kos AS$20 juta (RM64 juta).
Apa yang menarik, seperti dinyatakan Timbalan Pengurus Besar DTB, T J Jia, kapal berkenaan dibina menggunakan balak yang diimport dari Sabah kerana ia jauh lebih berkualiti dan melepasi semua ujian yang diadakan termasuk kalis air.
“Bukan sebarangan balak yang diperlukan untuk membina kapal ini. Balak paling sesuai ialah dari Sabah. Bagi membina asasnya saja kami memilih tiga batang balak paling teguh daripada lebih 500 batang.
“Selain batang balak yang lurus, kami juga perlu mencari batang balak yang agak bengkok untuk membentuk badan kapal kerana usaha membengkokkan balak yang lurus bukan kerja mudah,” katanya pada sesi taklimat.
Replika yang dinamakan Kapal Harta Karun Zhenghe itu dilengkapi dua enjin diesel 600 kuasa kuda dan peralatan pelayaran moden. Panjangnya berukuran 71.1 meter, 14.5 meter lebar dan kedalaman 5.7 meter, ia adalah bot pelayaran kayu gaya purba terbesar dunia apabila pembinaannya siap pada September tahun depan.
Mengambil kira kedudukan Melaka dalam sejarah pelayaran Cheng Ho, negeri itu akan menjadi persinggahan pertama kapal berkenaan dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan laksamana itu sebagai pengembara laut terunggul.
Pembinaan semula Bot Harta Karun Zhenghe akan membangkitkan semula seni reka kapal laut klasik bagi bot layar kayu yang besar. Ia turut membuka jalan bagi pertukaran budaya, sejarah, perdagangan, agama dan kajian sains.
Selepas siap dibina, ia bakal belayar menyusuri ‘Laluan Sutera Laut’ yang pernah dilalui Cheng Ho untuk membawa tamadun marin China dan mengukuhkan kesedaran rakyat mengenai maritim.
Namun, paling penting, ia mendedahkan fakta yang disembunyikan oleh Barat mengenai kehebatan pelayar Islam menguasai samudera.
Fasih berbahasa Arab
LAKSAMANA Cheng Ho, yang namanya terpahat dalam mata pelajaran Sejarah kerana membuka jalan hubungan diplomatik dua negara, Melaka dan China adalah seorang pelayar Islam legenda pada kurun ke-15.
Dikenali sebagai Ma He pada awalnya, beliau dilahirkan pada tahun 1371 dalam sebuah keluarga Cina Islam etnik Hui yang miskin. Kunjungan bapa dan datuknya ke Makkah untuk menunaikan haji, amat menyumbang kepada pendidikan Cheng Ho sejak awal. Beliau membesar dengan fasih bertutur dalam bahasa Arab selain bahasa ibundanya, serta belajar mengenai dunia sehingga ke Barat dan geografi serta budayanya.
Bertugas sebagai pekerja istana ketika berusia 10 tahun, Cheng Ho ditugaskan menjadi pengiring Duke Yan, yang kemudian dinobatkan sebagai Maharaja Yong Le yang memerintah dalam Dinasti Ming. Beliau mengiringi Yan dalam banyak siri kempen ketenteraan yang membawa kejayaan dan memainkan peranan penting dalam menakluk Nanjing, ibu negara China ketika itu. Beliau kemudian dianugerahkan pangkat tinggi dalam istana dan diberi nama keluarga Zheng.
Maharaja Yong Le berusaha menaikkan imejnya dengan menghantar pegawainya belayar dan tugas nakhoda pelayaran diserahkan kepada orang kepercayaannya, Cheng Ho.
Sebuah kapal besar dengan sembilan tiang layar dan dikemudi 500 anak kapal pada setiap satunya, memulakan pelayaran pada Julai 1405 iaitu kira-kira 50 tahun sebelum Columbus menemui Amerika Syarikat.
Kebanyakan kapal dibina di Teluk Naga berhampiran Nanjing, dan peninggalannya masih boleh dilihat sehingga hari ini. Armada pertama Cheng Ho termasuk 27,870 pekerja di atas 317 kapal, termasuk kelasi, kerani, penterjemah, askar, pakar perubatan dan pakar kaji cuaca. Mereka membawa kuantiti besar kargo termasuk sutera, emas, perak, peralatan tembaga serta barangan kapas.
Armada itu berlayar ke Champa yang berhampiran Vietnam dan selepas melepasi Laut China Selatan, ia melawat Jawa, Sumatera dan sampai ke Sri Lanka dengan melepas Selat Melaka.
Dalam perjalanan pulang, ia belayar di sepanjang pantai barat India dan tiba pada tahun 1407. Pada musim luruh 1413, Cheng Ho meneruskan pelayaran dengan 30,000 ahli rombongan ke Arab dalam pelayarannya yang keempat dan paling penting. Ketibaan armada diketuai Cheng Ho itu mencetuskan sensasi di rantau berkenaan, dan 19 negara menghantar duta menaiki kapalnya dengan hadiah untuk Maharaja Yong Le.
Pada tahun 1417, selepas dua tahun di Nanjing dan melawat bandar raya lain, pembesar asing itu diiringi pulang oleh Cheng Ho sendiri. Dalam pelayaran itu, beliau mengunjungi pantai timur Afrika, berhenti di Mogadishu, Matindi, Mombassa dan Zanzibar serta berkemungkinan besar sampai ke Mozambique.
Maharaja Yong Le meninggal dunia pada tahun 1424 sejurus selepas Cheng Ho kembali daripada pelayarannya yang keenam. Pada tahun 1430, beliau masih lagi dipercayai untuk mengetuai armada untuk kali ketujuh yang juga terakhir. Pada usia 60 tahun, Cheng Ho melawat semula Teluk Parsi, Laut Merah dan Afrika. Beliau meninggal dunia di India dalam perjalanan pulang pada tahun 1433.
INFO: Armada kapal Cheng Ho
•Memulakan pelayaran pada 1405
•Pekerjanya seramai 27,870 orang di atas 317 kapal
•Ini termasuk kelasi, kerani, penterjemah, askar dan pakar kaji cuaca
•Membawa barangan termasuk sutera, emas, perak dan produk kapas
•Cheng Ho menjelajah hampir 30 negara sehingga Afrika Barat, Teluk Parsi, Mesir, Sri Lanka.
Replika kapal
•Dikenali ‘Kapal harta Karun Zhenghe’
•Kini dibina di Nanjing dan dijangka siap September 2011
•Menggunakan balak Sabah yang disifatkan paling teguh
•Dilengkapi dua enjin diesel 600 kuasa kuda dan peralatan pelayaran moden
•Panjangnya berukuran 71.1 meter, 14.5 meter lebar dan kedalaman 5.7 meter.
Read more...
17 July 2010
Bahaya Di sebalik gula
GULA yang tersembunyi terdapat dalam makanan
KEKURANGAN bekalan dan kenaikan harga runcit gula menimbulkan persoalan.Apa yang ada pada gula sehingga pengguna yang bijak turut membiarkan diri mereka menjadi semut sanggup berebut kerana bahan pemanis itu?
Gula memudaratkan kesihatan. Gula itu racun. Gula penyebab pelbagai penyakit kronik. Ini antara perkara negatif yang dikaitkan dengan gula. Malah pepatah Melayu ada juga menyebut mati semut kerana gula.
Namun, di sebalik impak negatif yang dikaitkan dengan pengambilan gula secara berlebihan, adalah jelas sesetengah pengguna di negara ini masih tidak mahu mengambil peduli bahaya yang disebabkan oleh gula.
Kepada mereka, kesihatan mungkin bukan isu utama dalam kehidupan mereka. Peringatan atau nasihat baik daripada pakar pemakanan atau perubatan bak masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Mahu tidak mahu gula pasir menjadi sebahagian daripada kehidupan masa kini sehinggakan ada yang seperti tidak boleh hidup tanpa bahan pemanis itu.
Menurut Ensiklopedia bebas, Wikipedia, bahan utama yang digunakan dalam pembuatan gula ialah tebu kuning dan tebu hitam.
Dilaporkan kira-kira 107 buah negara menanam tebu untuk menghasilkan sekitar 1,324 juta tan gula. Negara pengeluar terbesar gula, mengikut Wikipedia ialah Brazil, India, China dan Pakistan.
Batang tebu yang tebal menyimpan sukrosa. Secara ringkasnya, gula dihasilkan daripada air tebu yang kaya dengan sukrosa.
Rasa gula sememangnya manis tetapi di sebalik kemanisan itu ia sebenarnya mengundang bahaya. Pada tahun 1929, Sir Frederick Banting, individu yang menemui insulin iaitu hormon utama mengawal metabolisme glukos dalam tubuh manusia mendapati, diabetes adalah penyakit lazim di kalangan pemilik ladang tebu warga asing di Panama sementara pemotong tebu yang terdiri daripada penduduk peribumi Panama tidak menghidap penyakit kronik itu.
Sebabnya? Pemilik ladang tebu mengambil gula putih halus yang dihasilkan daripada tebu pada kadar yang banyak sedangkan pemotong tebu sekadar mengunyah keratan tebu. Impak negatif gula putih turut ditekankan oleh pakar pemakanan dunia yang tersohor, Dr. William Coda Martin.
Punca penyakit
Pada tahun 1957, beliau tampil mengklasifikasi gula putih halus sebagai racun. Martin membuat takrifan itu daripada segi perubatan kerana gula merupakan antara bahan yang jika diaplikasi ke tubuh, ditelan atau diproses di dalam tubuh akan menyebabkan atau mungkin menyebabkan penyakit.
Beliau turut mengklasifikasi gula sebagai racun kerana kandungan vitamin dan galiannya rendah. Apa yang tinggal hanyalah karbohidrat tulen.
Gula akan melahap vitamin dan galian yang berharga daripada tubuh manusia untuk tujuan pencernaan dan detoksifikasi.
Pengambilan gula setiap hari juga dilapor menghasilkan keadaan lebihan asid dan galian di dalam tubuh dan ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan.
Selain gula pasir dan gula perang sebagai bahan pemanis, terdapat bahan pemanis lain seperti madu dan sirap maple serta gula yang tidak dapat dilihat.
Pakar pemakanan tempatan, Mary Easaw John menjelaskan bahawa gula yang tersembunyi boleh ditemui di dalam roti, aiskrim, coklat, pastri, pai dan kuih-muih.
GULA dihasilkan daripada batang tebu yang tingi kandungan sukrosa.
--------------------------------------------------------------------------------
"Untuk membuat roti, ia memerlukan yis atau ragi. Bahan ini pula memerlukan gula untuk mengaktifkannya dan memastikan roti menjadi," katanya. Jeli dan jem juga mempunyai kandungan gula yang tinggi.
Sebagai contoh, 60 peratus kandungan jem adalah gula. Sepotong kuih pula, katanya, mengandungi setengah sudu teh gula, sementara minuman berkarbonat pula mengandungi lapan hingga sembilan sudu teh gula.
Justeru, kita sebenarnya tidak memerlukan gula pasir halus dalam kehidupan harian. "Apa yang perlu ialah mendidik cita rasa kita. Kalau hendak pun mengambil gula pasir, enam atau tujuh sudu teh gula pasir halus sudah memadai. Ini termasuk gula yang tersembunyi seperti dalam kek dan manisan yang lain.
"Gula yang berlebihan dalam tubuh manusia akan disimpan sebagai lemak.
"Ini berbeza jika kita makan sayur atau buah-buahan, ada galian dan vitamin dan ia tidak disimpan dengan cara begitu," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati apabila mahu membeli makanan yang sudah diproses.
"Ambil sedikit masa untuk teliti label makanan. Periksa kandungan lemak dan gula," kata Easaw John.
Sebuah agensi berita Barat baru-baru ini melaporkan, makanan ringan menjadi punca ledakan penyakit diabetes di rantau Asia Tenggara.
Kajian mendapati, kira-kira 11 peratus lelaki dan 12 peratus wanita di bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam, tanpa mereka sedar menghidap diabetes Jenis 2, tidak termasuk empat peratus rakyat negara itu yang disahkan sebagai pesakit diabetes.
Diabetes Jenis 2, paling lazim disebabkan paras lemak dan gula yang tinggi dalam pemakanan di samping kurang senaman. Ia boleh menyebabkan kegagalan ginjal dan penyakit jantung.
Di peringkat global, Persekutuan Diabetes Antarabangsa menganggarkan menjelang tahun 2025 seramai 147 juta orang penghidap diabetes berusia 60 tahun atau lebih.
Statistik negara turut menunjukkan peningkatan dalam jumlah penghidap diabetes.
Pada tahun 2009, sebanyak 17 peratus daripada 27 juta penduduk menghidap diabetes sementara data tahun 2006 pula menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obes.
Apakah kita mahu terus menikmati kemanisan gula dan menjadi penderita penyakit diabetes atau penyakit kronik lain terutama pada usia senja kita? - Bernama
Read more...
16 July 2010
KETAGIH FACEBOOK
Ketagihan Facebook boleh memudaratkan pengurusan harian kita.(Gambar hiasan)
PETIKAN : KETAGIH FACEBOOK
“Sayang, abang balik. Lapar ni, boleh siapkan makan?” Tanya Ali kepada isteri yang sedang berada di bilik.
“Kejap, bang. Sayang tengah bagi ‘kambing’ makan ni.” Jawab Aminah, sambil terus melayan ternakan virtual dalam facebook, permainan yang digilai ramai orang,
“Kambing bodoh tu bagi makan, suami lapar kena tunggu pulak?” Leter suami yang setiap hari menahan sabar dengan sikap isteri yg melekat dengan facebook.
Sejam kemudian aminah pergi ke dapur. Didapatinya pinggan bekas makan suami dalam sinki dan sebuah kuali di atas dapur. Suami, seperti biasa, menggoreng sendiri telur untuk dijadikan lauk kerana tidak dapat menahan lapar menunggu hidangan isteri.
“Mama, tolong Amar buat karangan ni. ” Rayu Amar kepada ibunya, Aminah malam itu.
“Amar buat dulu. Kejap lagi mama datang.” Jawab ibunya. Aminah masih meneruskan hobi melayan kawan2 lama dalam facebook.
Dua jam kemudian, selepas Aminah menutup komputer didapatinya Amar sudah tertidur menangkup atas buku tulis dengan pensel di tangan. Karangannya tidak habis ditulis. Terlalu lama menunggu mama yang tidak kunjung datang membantu.
Aminah adalah salah seorang dari jutaan manusia yang menjadi mangsa ketagihan facebook. Kes ketagihan facebook semakin parah dalam masyarakat barat dan kini menyusupi masyarakat Malaysia yang menyerang bukan saja anak2 muda malah warga emas yang menghabiskan masa berjam2 menulis dan menjawab status kawan2.
Facebook dijadikan pelarian dari masalah dan tanpa disedari ia menyedut berjam-jam masa produktif yang sepatutnya digunakan untuk melunaskan amanah dan tanggungjawab. Bagi pelajar masa yg sepatutnya untuk membuat kerja sekolah, membuat assignment, membaca buku terbuang begitu saja kerana merasakan semua itu membebankan dan beralih kepada facebook untuk melegakan perasaan.
Masa untuk membaca buku bertukar kepada masa membaca facebook.
Waktu beribadah tahajjud pun boleh turut terjejas kerana tarikan facebook.
Hari ini tidak lagi perkara luar biasa melihat suasana di rumah orang bandar jam 8 malam yang biasanya keluarga berkumpul dan bergurau senda di ruang keluarga sambil menonton tv kini masing2 menghadapi facebook di tempat masing2. Ibu dan ayah dg laptop masing2 di bilik. Anak2 di bilik mereka atau di ruang tamu dan masing2 punya laptop sendiri. Tiada bunyi, tiada suara kecuali bunyi keyboard dan suara bibik sedang mencuci pinggan di dapur.
Adalah masih dikira baik kalau mereka masih berkomunikasi sesama sendiri. Yang malangnya setiap orang sedang berfacebook dengan kawan2 masing dan ahli keluarga tidak termasuk dalam senarai yang di ‘add’ sebagai ‘friends’ dan tiada ‘mutual friends’ di kalangan ahli keluarga.
Ciri-ciri ketagihan facebook:
1. Tidak dapat berenggang dg. internet
2. Terus mencapai facebook sebaik saja bangun dari tidur, sampai di pejabat atau sampai di rumah.
3. Sentiasa terbayang apa yg ada dalam facebook semasa offline,
4. Sentiasa terbayang untuk menulis sesuatu dalam facebook
semasa offline
5. Lebih selesa melayari facebook dari keluar rumah atau menonton tv
6. Masa dihabiskan lebih setengah jam setiap kali melayari facebook.
7. Melayari facebook lebih 3 kali sehari sekadar berbual kosong.
8. Facebook dijadikan tempat meluahkan perasaan.
9. sentiasa mengharapkan ramai orang memberi komen.
10. Rasa gelisah yang amat sangat apabila berada lama di tempat yang tiada internet.
Facebook amat berguna untuk merapatkan hubungan persahabatan dan keluarga, mencari teman2 lama atau siapa saja yg ingin dihubungi sekiranya tidak dapat dihubungi dg tel.
Adakalanya pada waktu2 kritikal facebook amat diperlukan utk menghubungi seseorang.
Mat rempit dan kaki lepak dikaitkan dengan masalah anak2 generasi Y.
Tetapi anak2 generasi Z rasanya lebih selamat dari gejala rempit kerana mereka lebih suka duduk di rumah melayari internet menghubungi rakan2 dalam dunia maya.
Malangnya mereka sukar berinteraksi secara alam realiti.
Sesuatu yang baik itu boleh digunakan untuk keburukan jika kita mahu. Sesuatu yang buruk itu boleh juga digunakan untuk kebaikan sekiranya kita mahu. Hanya akal yang terpimpin dengan prinsip agama saja yang mampu menjadikan setiap sesuatu itu menjadi berharga untuk dirinya, orang lain dan alam seluruhnya.
Read more...
15 July 2010
Orang beriman tidak gentar seksaan dunia
Rakyat Palestin yang sentiasa dizalimi oleh Zionis di dunia, insya-Allah akan mendapat balasan pahala dan syurga di akhirat kelak.
- Gambar hiasan
Mukadimah
SYED Qutub berkata: "Surah yang pendek ini membentangkan hakikat-hakikat akidah Islam dan asas kefahaman keimanan. Ia mengemukakan persoalan-persoalan yang mata besar yang memancarkan disekelilingnya sinaran cahaya yang kuat dan jauh pandangannya.
"Ia memancarkan di belakang konsep-konsep dan hakikat-hakikat secara langsung yang diungkapkan oleh nas ini sehingga hampir-hampir setiap ayat dan kadang-kadang setiap kalimatnya membuka pintu yang menampakkan sebuah alam hakikat yang luas dan sayup saujana memandang.
"Yang menjadi pokok perbicaraan secara langsung surah ini ialah peristiwa-peristiwa pembesar-pembesar yang menggali parit.
"Di zaman sebelum Islam ada sekumpulan orang-orang mukmin, yang menurut satu pendapat, mereka adalah penganut-penganut Kristian yang berpegang dengan akidah tauhid.
"Mereka diseksa oleh musuh-musuh mereka yang kejam dan zalim. Mereka dipaksa meninggalkan akidah tauhid dan agama yang dipegang mereka, tetapi mereka enggan dan tetap mempertahankan akidah mereka.
"Lalu pembesar-pembesar yang zalim itu menggali sebuah parit yang besar dan menyalakan api di dalamnya. Kemudian mereka campakkan kumpulan orang beriman itu ke dalam parit ini menyebabkan mereka mati terbakar. "Pembunuhan itu dilakukan di hadapan khalayak ramai yang dikerah dan dikumpulkan oleh para pembesar yang berkuasa untuk menyaksikan kematian orang mukmin yang terbunuh dengan cara amat dahsyat dan kejam itu.
"Pembesar-pembesar itu begitu terhibur dengan pemandangan pembakaran itu, iaitu pembakaran manusia-manusia mukmin".
Firman Allah SWT: Demi langit Yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang.
Sheikh al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan bintang-bintang ini kerana penciptaan-Nya yang hebat. Hikmahnya yang besar dan kegunaannya bagi kehidupan manusia.
Ini menunjukkan bahawa benda-benda tersebut mempunyai pencipta Yang Maha Bijak dan Maha Mengatur. Allah SWT mendorong kita memperolehi bukti keagungan kekuasaan-Nya dan kebesaran Hikmah-Nya.
Firman Allah SWT: dan hari (pembalasan) Yang dijanjikan; dan makhluk-makhluk Yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan Yang disaksikan.
Ibn Kathir berkata: "Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai hal tersebut. Dan kebanyakan berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan asy-Syahid (yang menyaksikan) adalah hari Jumaat, sedangkan al-Masyhud (yang disaksikan) adalah hari Arafah.
Firman Allah SWT: Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang yang beriman.
Sheikh al-Maraghi berkata: "Kejadian ini telah berlaku di Yaman hingga ke Najran. Kisah seorang pemeluk agama Nabi Isa a.s berdakwah kepada kaumnya yang masih beragama Yahudi. Dia memberitahu bahawa Allah SWT telah mengutuskan Nabi Isa dengan syariat baru, bagi menggantikan syariat mereka.
"Sebahagian kaum ini beriman. Kejadian ini sampai kepada Raja Dhu Nuwas, seorang yang beragama Yahudi. Dia segera datang dengan pasukan tenteranya dari Kota Himyar. Ketika orang itu ditangkap, mereka disuruh memilih antara tetap menganut agama Yahudi atau dibakar.
"Mereka dibuatkan pari, lalu dipenuhi bahan bakar dan dinyalakan. Kemudian seorang daripada orang yang beriman itu dibawa ke parit lalu disuruh membuat pilihan. Orang yang gentar melihat api dan takut akan seksa, kembali menganut agama Yahudi. Akan tetapi orang yang tetap teguh dengan Nabi Isa a.s dan menganggap ringan seksaan dunia kerana keyakinan mereka kepada pahala yang telah Allah SWT janjikan, mereka sanggup dilemparkan ke dalam api sampai binasa.
Syed Qutub berkata: "Ayat ini menggambarkan sikap mereka dan pemandangan ketika mereka menyalakan api dan mencampakkan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan ke dalam api itu, sedangkan mereka duduk di tempat itu menyaksikan peristiwa penyeksaan yang kejam itu dari dekat.
"Mereka melihat peringkat-peringkat perkembangan penyeksaan itu, dan melihat bagaimana api itu menjilat badan-badan mangsanya. Mereka menonton dengan penuh kelazatan dan kegila-gilaan, seolah-oleh mereka mahu menerapkan pemandangan yang kejam itu di dalam hati mereka".
Firman Allah SWT: dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!
Ini kerana keimanan mereka yakni orang kafir amat benci kepada mereka yang beriman dalam kisah Ashab al-Ukhdud ini.
Firman Allah SWT: Tuhan Yang Menguasai Segala alam langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. Ini menunjukkan betapa kuasanya Allah dan mampu melakukan apa sahaja. Ingatlah apa yang mereka kerjakan pasti menerima akibatnya.
Penutup
Tamatlah riwayat peristiwa parit api itu dalam beberapa ayat yang pendek yang membuatkan kita penuh dengan perasaan benci dan jijik terhadap keganasan perbuatan itu, dan terhadap kekejaman orang yang tergamak melakukannya. Di samping merangsang hati kita merenung dan meneliti apa yang ada di sebalik peristiwa itu, dan memikirkan betapa beratnya peristiwa itu dalam peristiwa itu dalam pertimbangan Allah, dan betapa hebatnya kemarahan dan kemurkaan-Nya.
Namun, perkara ini tidak tamat setakat ini sahaja, malah di belakangnya terdapat ekoran yang lebih jauh dalam perkiraan Allah.
Demikian tamatlah kisah peristiwa pembunuhan kejam yang dilakukan membuatkan hati kita dipenuhi perasaan kagum terhadap kehebatan iman yang mengalahkan penindasan dan penyeksaan terhadap kekuatan akidah yang mengatasi nyawa dan terhadap kebebasan jiwa dari segala belenggu keinginan jasmani dan dari daya tarikan hidup di bumi.
Orang mukmin yang terbunuh itu memang dapat menyelamatkan nyawa mereka apabila mereka memilih kekalahan dari keimanan, tetapi andainya mereka berbuat begitu, betapa besar kerugian diri mereka di dunia sebelum akhirat!
Betapa besar kerugian seluruh dunia! Betapa besarnya kerugian mereka kerana membunuh konsep yang agung itu dan konsep kekerdilan hidup tanpa akidah dan konsep kejelikan hidup tanpa kebebasan dan konsep kerendahan dan kemunduran hidup apabila para pemerintah yang zalim menguasai jiwa manusia setelah mereka menguasai tubuh badan mereka.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Read more...
14 July 2010
Aedes bijak jerat mangsa
NYAMUK Aedes aegypti boleh dikenali menerusi jaluran hitam putih pada kakinya.
DEMAM denggi yang berpunca daripada gigitan seekor nyamuk kecil, Aedes aegypti lazimnya berlaku di kawasan tropika dan separa tropika. Gigitan yang tidak seberapa itu mampu berkembang menjadi lebih serius.
Hampir dua juta kanak-kanak daripada 230 juta orang yang terkena denggi menderita demam denggi berdarah. Di Asia Tenggara, demam denggi berdarah menjadi antara punca utama kemasukan wad.
Malah, penularan penyakit denggi telah meningkat di serata Asia Pasifik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menunjukkan peningkatan sebanyak tiga kali ganda.
Di Malaysia, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan sejumlah 23,189 kes denggi dengan 78 kematian.
Sindrom kejutan denggi dan demam denggi berdarah sahaja telah meragut lebih jutaan nyawa di serata dunia. Namun, di sebalik keseriusan penyakit itu apakah teknik pengasapan (fogging) telah melahirkan generasi vektor nyamuk yang lebih bijak dan kebal asap?
Unit Penyelidikan dan Kawalan Vektor (VCRU), Universiti Sains Malaysia (USM) yang dihubungi Kosmo! berkata, vektor daripada populasi Aedes itu tidak menunjukkan sebarang kekebalan. Hasil itu diperoleh ketika ujian menggunakan kit ujian WHO dijalankan ke atas ubat penyembur antara lain seperti ermethrin, deltamehrin, lambdacyhalothrin dan etofenprox.
Tetapi, nisbah kekebalan menunjukkan sedikit peningkatan memandangkan penggunaan ubat semburan boleh memberi tekanan kepada populasi nyamuk itu. Biarpun aktiviti pengasapan dijalankan antara seminggu hingga tiga minggu setiap kali ada kes melaporkan usaha itu dihentikan selama beberapa bulan apabila kes telah reda.
Penyemburan asap
"Maknanya sesuatu populasi nyamuk tidak akan kebal melainkan penyemburan asap dilakukan untuk tiga generasi bagi populasi nyamuk tertentu selama berbulan-bulan," jelas VCRU dalam jawapan menerusi e-mel.
Pembentukan telur nyamuk dewasa yang hanya mengambil masa enam hingga lapan hari bermakna kaedah terbaik untuk mengurangkan populasinya ialah menerusi pembasmian sumber pembiakan nyamuk.
NYAMUK Aedes kini dikelaskan sebagai serangga yang lebih gemarkan kehidupan kota.
--------------------------------------------------------------------------------
VCRU mendapati, evolusi perkembangan secara tidak langsung telah membentuk kelompok nyamuk spesies Aedes aegypti yang cenderung hidup berdekatan dengan manusia atau di dalam rumah. Hakikatnya, kelompok serangga itu merupakan nyamuk urban yang lebih menggemari kehidupan di kota berbanding pinggir bandar.
Mudah dikenali dengan jaluran hitam putih pada kaki-kakinya, kedua-dua nyamuk jantan dan betina itu turut terkenal dengan jolokan Harimau Asia. Pada asasnya, nyamuk-nyamuk itu memiliki ukuran sepanjang dua hingga sepuluh milimeter (mm) dengan purata panjang abdomen sekitar 2.63 mm. Saiz nyamuk jantan adalah jauh lebih kecil berbanding nyamuk betina. Satu petanda fizikal untuk membezakan nyamuk jantan dan betina dapat dilihat pada bulu antena nyamuk jantan yang lazimnya lebih lebat.
Malah, jangan terkejut jika nyamuk aedes aegypti ini dikelaskan sebagai antara spesies bijak berbanding sepupu-sepupu nyamuk yang lain. Sebabnya, para saintis melihat spesies nyamuk itu bijak menjerat mangsa dengan bunyi desingan sayapnya yang kurang kuat selain pantas menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran.
Nyamuk Aedes aegypti juga didapati amat menggemari bahagian buku lali manusia. Lokasi itulah yang dirasakan sesuai untuk melabuhkan satu gigitan maut.
Bagi meningkatkan peningkatan masyarakat dalam aktiviti pencegahan demam denggi, KKM telah menjalankan sejumlah 1,598 aktiviti ceramah dan sebanyak 2,115,459 keping risalah diedarkan di seluruh negara. Malangnya, tahap kesedaran dan usaha orang ramai masih kurang memuaskan memandangkan hanya 13 peratus aktiviti gotong-royong dicatatkan daripada sejumlah 6,682 aktiviti yang disasarkan di seluruh negara.
Justeru, pengacara terkemuka, Aznil Nawawi turut dilantik menjadi ikon antidenggi oleh KKM bagi mempromosikan kempen Jom Ganyang Aedes. - YEO LI SHIAN
Read more...
13 July 2010
Anak obes
Gemuk melampau ancaman utama kanak-kanak di Malaysia, termasuk di luar bandar
BAYI yang gempal sering menjadi tumpuan kerana disifatkan sebagai comel. Namun, di sebalik kecomelan itu, sebenarnya terkandung bahaya jika bayi yang montel itu kekal gemuk dan seterusnya obesiti apabila dewasa. Lebih membimbangkan, obesiti bukan masalah peribadi atau individu itu semata-mata tetapi turut menjejaskan pembangunan negara. Apalagi kanak-kanak yang berperanan sebagai generasi muda negara. Anak obes ini berdepan pelbagai risiko kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan tahap lemak dalam darah abnormal, penolakan insulin dan diabetes jenis dua, hati dan pundi kencing terjejas serta kemurungan.
Risiko Masalah lain yang turut menjejaskan kehidupan seharian mereka termasuk sering tercungap-cungap, gelisah atau masalah tidur, kelihatan lebih berusia atau lebih dewasa sebelum usia (kanak-kanak terlebih berat mungkin lebih tinggi atau cepat matang dari segi seksual berbanding rakan sebaya). Bagi kanak-kanak perempuan pula, mereka berhadapan masalah gangguan kitaran haid dan masalah kesuburan.
Di Malaysia, masalah itu tidak terkecuali apabila semakin ramai kanak-kanak ‘dibiarkan’ obes akibat sikap ibu bapa yang tidak prihatin soal pemakanan anak-anak. Bayangkan, si kecil yang didedahkan dengan makanan segera yang mengandungi banyak lemak pada usia awal lagi.
Kanak-kanak Melayu berusia 7 hingga 12 tahun misalnya, menjadi kumpulan terbesar atau 67 peratus yang bermasalah obesiti di Semenanjung Malaysia berbanding kumpulan etnik lain.
Hasil dua kajian oleh universiti tempatan menunjukkan 23 peratus kanak-kanak Cina dan 10 peratus kanak-kanak India mengalami masalah lebihan berat badan dalam lingkungan usia sama.
Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (Maso), Prof Dr Mohd Ismail Noor, menyifatkan hasil kajian penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2007/2008 itu sebagai membimbangkan kerana turut membabitkan kanak-kanak di luar bandar.
Beliau mendakwa perkembangan itu agak luar biasa kerana hanya ditemui di Malaysia dan tidak di kalangan kanak-kanak negara membangun yang lain.
“Obesiti menjadi ancaman utama kanak-kanak di Malaysia. Secara keseluruhan, masalah lebihan berat badan di kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun tahun meningkat 1.8 peratus iaitu kepada 12.8 peratus pada tahun 2007/2008 berbanding 11 peratus pada tahun 2001/2002.
“Malah, obesiti pula meningkat kepada empat peratus pada menjadi 13.7 peratus. Secara umumnya, kalau kita bandingkan dengan kajian pada 2001 iaitu seorang bagi setiap lima kanak-kanak mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes, kajian pada 2009 itu pula menyaksikan masalah itu dialami seorang bagi setiap empat kanak kanak,” katanya.
Jelasnya, walaupun kebanyakan kanak-kanak yang obes dan mengalami masalah lebihan berat badan berada di kawasan bandar namun peningkatan jumlah kanak-kanak luar bandar semakin membimbangkan.
Misalnya, sekitar 47 peratus kanak-kanak luar bandar di negeri Pantai Timur dikategorikan sebagai obes berbanding 53 peratus kanak-kanak bandar. Sebanyak 43 peratus kanak-kanak luar bandar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor adalah obes berbanding 56 peratus kanak-kanak di kawasan bandar.
Di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, 42.6 peratus kanak-kanak di kawasan luar bandar mengalami masalah obes dan lebihan berat badan berbanding 57.4 peratus kanak-kanak di kawasan bandar.
Prof Ismail berkata, jika tidak ditangani segera, perkembangan ini boleh memberi kesan negatif kepada kanak-kanak itu dan juga pembangunan negara.
“Gejala pelik ini perlu ditangani sebaik-baiknya kerana kanak-kanak yang obes pada waktu kecilnya memiliki kecenderungan untuk kekal obes apabila dewasa. Obesiti dan masalah lebihan berat badan seperti yang kita tahu membawa kepada pelbagai implikasi kesihatan seperti masalah jantung,” katanya.
INFO: Tangani obesiti si kecil
•Seawal usia kehamilan hingga setahun
Susu ibu bantu cegah masalah berat badan dan bayi yang menyusu lebih berupaya kawal pengambilan makanan.
•Usia dua ke enam tahun
Sesuai memulakan tabiat pemakanan yang baik. Bantu anak membentuk pemilihan makanan dengan pengenalan kepada pelbagai jenis makanan yang sihat. Galakkan juga mereka untuk aktif bersukan.
•Usia 7- 12 tahun
Galakkan mereka dengan aktiviti fizikal. Jika tidak menyepak bola di padang, berjalan-jalan atau bermain di laman sudah memadai.
•Usia 13 ke 17
Remaja gemarkan makanan ringan dan segera. Namun, hadkan kepada tiga bulan sekali, andai mereka benar-benar mahukannya. Didik mereka hargai makanan sihat selain babitkan mereka dalam usaha menyediakan makanan sihat bersama-sama di rumah.
•Kurangkan masa menonton televisyen, komputer atau bermain komputer. Jangan biasakan mereka makan sambil menonton televisyen.
Read more...
12 July 2010
Ubah paradigma, contohi negara maju
TEKUN...pendidikan santai dan berstruktur perlu diguna pakai supaya murid mampu menguasai pembelajaran.
APABILA cadangan mewujudkan sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun ada yang melihatnya sebagai kurang praktikal dan sangat membebankan.
Hanya bayangan peperiksaan, bebanan akademik, wajah tekanan guru serta suasana kucar-kacir melayan kerenah pelajar tergambar.
Apatah lagi, sistem pendidikan sedia ada lebih menumpukan aspek kecemerlangan membuatkan masyarakat bimbang pelajar dan institusi pendidikan yang memikul tanggungjawab itu gagal mencapai matlamat.
Ada yang melihat perubahan itu tepat pada masanya dalam menyediakan pembinaan modal insan lebih awal selain bersaing dengan perubahan pendidikan alaf baru.
Persoalannya, mampukah sistem pendidikan negara meneruskan tradisi pendidikan sedia ada atau perlu berubah?
Pensyarah Psikologi dan Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata tidak timbul masalah jika ingin melaksanakan sistem pendidikan berkenaan kerana sudah didedahkan dengan pendidikan asas pra sekolah.
Menurutnya, sudah cukup asas itu dijadikan pengukur aras bagi menjana proses pembelajaran formal, bagaimanapun perlu dimantapkan lagi dengan penggunaan elemen pengajaran dan pembelajaran lain.
"Memberi pendidikan awal berbentuk formal adalah langkah bijak untuk mengembangkan lagi tahap pencapaian sosial, kemahiran dan akademik selain belajar lebih menguasai dan memahami.
"Proses itu tidak boleh dilakukan mengikut sistem sedia ada dan perlu dilengkapi elemen lain yang membolehkan mereka faham serta dapat mengikuti proses pembelajaran dengan selesa.
"Paling penting, pastikan proses penerimaan ilmu tidak terlalu sukar, bersesuaian faktor umur dan tahap penerimaan" katanya.
Cadangan memulakan pendidikan formal seawal usia lima tahun dibentangkan baru-baru ini sebagai usaha memperkasakan lagi sistem pendidikan negara serta memperkukuhkan nilai modal insan.
Ia diharap dapat mengubah paradigma pendidikan negara dengan mencontohi kejayaan negara maju dalam melaksanakan sistem pendidikan awal.
Bagi tujuan pemantauan, beliau menyarankan pendidikan santai tapi berstruktur diguna pakai sebagai konsep asas pembelajaran dan pengajaran.
Pendekatan itu mampu menilai potensi penerimaan dan pencapaian pelajar sekali gus memberi peluang guru memperbaiki kelemahan.
"Jangan terlalu fokus pada pendekatan akademik semata- mata kerana ia lebih memberi tekanan.
"Penyampaian biarlah lebih mudah dan santai asalkan matlamat pembelajaran mampu disampaikan sepenuhnya.
"Perlu ikut kemampuan supaya pelajar atau guru tidak tertekan. Persekolahan dalam usia muda memang mencabar selain masyarakat juga wajar diberi penerangan jelas," kata Dr Mariani.
Dr Mariani berkata ia bagi mengelakkan berlakunya salah faham hingga menyebabkan banyak percanggahan pendapat.
"Kebanyakannya sudah melalui alam pra sekolah, boleh pendidikan asas termasuk mengenal huruf, nombor dan objek.
"Hanya selaraskan proses pembelajaran berdasarkan tahap kemampuan pasti tidak timbul masalah," katanya yang turut menekankan kepentingan persediaan tenaga pengajar.
Apatah lagi falsafah pendidikan mementingkan keupayaan guru dalam menjalankan tanggungjawab dan elakkan timbulnya masalah atau lebih memberikan tekanan kerana tidak bersedia.
"Guru perlu dilengkapkan dengan kelayakan setara dan mempunyai keupayaan fizikal serta emosi bagi membantu menangani kerenah, kehendak selain keupayaan pelajar," katanya.
Ibu bapa dan masyarakat harus bersikap terbuka, berfikiran positif serta memberi sokongan kepada institusi sekolah.
"Masalah timbul apabila kurangnya keyakinan terhadap institusi, sistem dan guru hingga mewujudkan pertikaian selain ada yang hanya pandai mengkritik tapi tidak mahu berkongsi pendapat.
"Perubahan ini memerlukan masa, penyesuaian dan perbandingan sebelum boleh diakui berjaya. Bagaimanapun, tidak mustahil jika semua pihak memberi sokongan.
"Kepada guru, tidak timbulkan bebanan kerana mendidik anak bangsa memang memerlukan pengorbanan," katanya.
Read more...
11 July 2010
Seni menikmati kopi
ADI FISFAISAL menyarankan penggemar kopi menikmati minuman itu mengikut seninya yang unik
MINUM kopi merupakan sebahagian daripada gaya hidup sama ada dihidangkan secara panas atau sejuk. Meneguk kopi memberikan kepuasan kepada peminatnya pada sebarang peralihan waktu. Malahan kandungan kafiennya mampu menjadi perangsang dalam membangkitkan semangat dan kenangan tersendiri kepada peminumnya.
Masyarakat lama di kampung khasnya menjadikan amalan meminum kopi sebagai satu bentuk ganjaran dan penghargaan setelah penat membanting tulang melakukan sesuatu pekerjaan. Amalan tersebut juga menjadi satu saluran dalam merapatkan hubungan silaturahim di samping menggalakkan pertukaran maklumat dan pendapat mengenai sesuatu isu.
Natijahnya, peredaran zaman membuatkan rangkaian kafe yang menawarkan perkhidmatan berunsurkan minuman kopi kini boleh ditemui sepanjang deretan jalan dan pasar raya besar. Pengunjung yang mengunjungi tidak pernah putus. Namun realitinya masih ramai yang kurang peka terhadap cara menikmati kelazatan kopi tersebut.
Menurut Duta Starbucks, Adi Fisfaisal Norbasha, seni meminumnya dimulakan dengan menghidu aroma yang terdapat pada kopi tersebut. Kemudian dirasai dengan lidah dan bukannya diteguk seterusnya ditelan. Ini membolehkan kita mengetahui keharuman sesuatu kopi yang disediakan sebelum mentafsirkan kopi tersebut berdasarkan pengalaman masing-masing.
Pemegang Diploma Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Bandar Utama itu menjelaskan di rangkaian Starbucks, kopi dibekalkan dari beberapa benua seperti Amerika Selatan, Afrika dan Asia. Setiap daripadanya memberikan cita rasa yang berbeza. Kopi dari Arab khasnya akan berasa sedikit pahit dan agak kelat disebabkan kandungan kafiennya lebih rendah. Dengan itu, ia lebih sesuai dihidangkan dalam bentuk Mocha.
TUGAS sebagai Duta Starbucks mencabar Adi Fisfaisal untuk berkongsi maklumat kopi dengan kreatif kepada pelanggan syarikatnya.
--------------------------------------------------------------------------------
"Apabila anda meletakkan air panas dalam serbuk kopi seharusnya perlu menunggu sekurang-kurangya dalam masa empat minit," terangnya ketika ditemui oleh GenK.
GenK: Boleh anda jelaskan serba sedikit skop kerja anda ?
Adi Fisfaisal Norbasha: Seperti duta-duta produk yang lain, peranan yang dimainkan oleh saya adalah sebagai jurucakap dan sumber bergerak kepada masyarakat yang ingin mengetahui tentang kopi di Starbucks. Tanggungjawab saya juga dalam menyokong program berkaitan Coffee Master bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka mengenai kopi. Di samping itu, saya juga mengkaji hasil program-program yang dijalankan kepada pekerja-pekerja.
Ini bermakna rangkaian Starbucks ini amat mementingkan pendidikan dalam budaya kerjanya. Komen anda?
Sememangnya kerana lingkungan budaya kerja rangkaian perniagaan ini sentiasa mahu melahirkan pekerja yang berkualiti dan berpengetahuan seterusnya menyerlah ketrampilan mereka. Ini akan memberi kesan dalam meningkatkan perkhidmatan di Starbucks. Kerana itu, setiap daripada mereka harus menjalani peringkat ujian setelah enam bulan bekerja bermula dengan ujian Cofee Master.
Justeru itu, apakah pegangan yang sentiasa diterapkan oleh para pekerja di Starbucks?
Setiap daripada kami percaya bahawa setiap hari pasti ada satu perkara yang boleh dipelajari. Ia disebabkan budaya Starbucks sentiasa menekankan pengetahuan dan kemahiran tentang kopi. Dengan itu, lima prinsip pengalaman Starbucks sentiasa menjadi pegangan setiap pekerja termasuklah melakukan dengan cara anda, semuanya penting, kejutan dan kebahagiaan, terbuka kepada kritik serta keterlibatan terhadap sosial. Ini bersesuaian dengan misi Starbucks dalam menyediakan satu pengalaman yang berbeza kepada setiap pelanggan melalui kopi yang disediakan oleh rangkaian ini.
STARBUCKS antara jenama kopi mewah yang menjadi kegemaran ramai hari ini.
--------------------------------------------------------------------------------
Dengan pengalaman anda dalam dunia kopi ini, apakah pendekatan terbaik dalam menikmati minuman kopi ini?
Apabila anda meletakkan air panas dalam serbuk kopi seharusnya perlu menunggu sekurang-kurangya dalam masa empat minit. Dalam tempoh tersebut campuran air dan serbuk kopi akan sebati. Seeloknya kopi yang telah dihasilkan haruslah dinikmati tidak melebihi 20 minit bagi memastikan rasanya sentiasa di tahap optimum.
Jika dilihat ada sesetengah pengunjung meminati esperesso. Boleh anda jelaskan bagaimana ia dihasilkan?
Dalam penghasilan esperesso ia adalah gabungan daripada kopi Amerika Selatan dan Afrika kerana rasanya agak pahit dan masam. Ia memiliki dua lapisan yang disebut cairan dan elemen buih yang berwarna kecoklatan dan tebal crema.
Ia dihasil menggunakan mesin espresso yang akan mendorong air tersebut dipadatkan dalam tempat khusus (portafilter) dan memiliki suhu dan tekanan air tertentu.
Read more...