Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






16 February 2010

Buli di tempat kerja


















Buli di tempat kerja bukanlah satu rahsia lagi.

KEJADIAN buli di sekolah, sama ada melibatkan pelajar lelaki atau perempuan, sudah acap kali dilaporkan media. Umum juga kerap diberitahu tentang tindakan disiplin yang diambil terhadap pelajar dalam kes buli, termasuk dibuang sekolah.

Bagaimana pula dengan kejadian buli di tempat kerja?

Berikut ialah satu situasi yang diceritakan seorang petugas pentadbiran di sebuah syarikat swasta, Azman Bahar (bukan nama sebenar) yang berusia lewat dua puluhan.

"Saya selalu dibebankan dengan kerja-kerja rumit dan berat oleh pegawai atasan saya. Walaupun ada rakan lain di pejabat lain yang mempunyai tanggungjawab sama, sayalah yang selalu dijadikan 'mangsa'.

"Saya jarang dapat pulang tepat selepas tamat waktu kerja seperti petugas lain iaitu pukul 6 petang. Biasanya saya hanya boleh balik kira-kira 8 malam. Bila sudah siap sesuatu kerja, dengan sengaja saya dilonggokkan fail-fail lain walaupun ada orang lain yang semasa itu tiada tugasan," katanya kepada penulis.

Azman juga mengadu beliau sukar mendapat kebenaran cuti.

"Bila saya tunjuk sijil cuti sakit pun, banyak soalan yang ditanya seolah-olah saya buat-buat sakit", kata beliau lagi.

Kenapa tidak bekerja di syarikat lain saja atau laporkan kepada majikan? Penulis melontarkan soalan ini kepada graduan perakaunan sebuah IPTA itu.

"Pernah saya laporkan kepada majikan tetapi saya diberitahu itu sebahagian daripada cara hidup kerja. Kalau kerja di tempat lain pun, tidak tentu perkara sebegini tidak akan berulang," kata Azman.

Tidak kenal tempat

Buli di tempat kerja tidak mengenal tempat.

Bagi Norlina Samad (juga bukan nama sebenar), beliau selalu dibuli oleh rakan setugas yang lebih senior bila mula-mula bertugas dulu.

"Buli di tempat kerja bukanlah satu rahsia lagi. Petugas yang baru biasanya akan disuruh menjalankan tugas yang lebih berat bila mula-mula bertugas. Alasannya ialah petugas junior mesti belajar, tetapi sebenarnya 'buli' yang berselindung di sebalik tugasan," kata beliau.

Bagi pensyarah serta juga aktivis sosial, Abdul Rashid Ismail, buli di tempat kerja tidak dapat dielak.

"Buli ialah satu penyakit sosial dan ia boleh berlaku dimana-mana sahaja".

Apa itu 'buli'

Menurut Abdul Rashid, tiada definisi tentang buli secara 'universal'.

Kata beliau, masyarakat memahami tabiat buli di tempat kerja sebagai satu 'tindakan berulang yang tidak munasabah ditujukan kepada pekerja yang menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan atau keselamatan'.

"Terdapat beberapa jenis buli. Antaranya kata-kata pedas atau kesat, tindakan meminggirkan pekerja, menyuruh pekerja berbuat kerja yang tidak bersangkut-paut dengan bidang tugas serta gangguan psikologi.

"Tindakan buli yang lain ialah memberikan tugas yang memang tidak boleh dilaksanakan, sengaja menukar jadual kerja tanpa sebab selain untuk menyusahkan petugas dan sengaja menyembunyikan maklumat bagi menghalang atau menyusahkan petugas melaksanakan tugasan," kata beliau kepada Bernama.

Katanya tiada undang-undang yang spesifik bagi melindungi mangsa buli di tempat kerja, melainkan jika ada kekerasan fizikal serta ancaman berlaku barulah boleh digunakan kanun jenayah.

Jantina serta keturunan

Menurut Abdul Rashid, ada beberapa kes buli disebabkan jantina serta keturunan dan juga personaliti.

"Mangsa buli akan mengalami stres. Begitu juga bagi saksi yang melihat insiden buli, mereka akan mengalami ketakutan serta gangguan emosi," kata beliau.

Menurut Abdul Rashid, bagi yang melakukan buli mereka mungkin berasa seronok melakukannya dan tiada rasa penyesalan akan timbul. Malangnya mangsa buli mungkin akan melakukan perkara sedemikian sebagai 'membalas dendam' terhadap orang lain pula.

Buli tidak kenal jantina

"Buli tidak terhad hanya pada kaum lelaki, wanita juga ada kebolehan membuli. Biasanya lelaki hanya akan membuli lelaki juga tetapi ada insiden wanita membuli kaum sejenis dan juga lelaki," kata beliau.

Pakar psikologi, Dr. Anne Ng berkata, buli akan membuat mangsa mengalami masalah kesihatan berpunca daripada stres dan ketegangan.

"Terdapat beberapa indikasi klinikal yang dialami mangsa buli antaranya seperti keresahan, naik berat badan (tanpa makan berlebihan), sakit kepala, sakit belakang, rasa mual, ulser di mulut, insomnia (tidak boleh tidur), mimpi buruk, radang kulit, diarhea serta iritasi perut, tekanan darah tinggi, murung, serta kurang keyakinan diri," kata beliau.

Dr. Ng menjelaskan bahawa buli di tempat kerja bukan sahaja berkenaan masalah kerja tetapi boleh juga dalam bentuk kata-kata kurang manis menyentuh hal peribadi seperti keluarga, gaya hidup, bentuk dan berat badan, pakaian serta penampilan.

Buli juga meliputi diskriminasi terhadap kurang keupayaan atau masalah perubatan, kata beliau.

Buli di tempat kerja akan mengakibatkan penurunan produktiviti.

"Mangsa akan sakit dan akan kerap mengambil cuti sakit. Ataupun mangsa akan kerap mengambil cuti untuk mengelak daripada dibuli dan ini secara langsung akan merendahkan produktiviti kerja beliau serta juga organisasi pada keseluruhannya," kata Dr. Ng.

Bagaimana hindari buli?

Jadi bagaimana hendak mengelak diri daripada dibuli?

Bagi Dr Ng, senjata utama ialah hanya dengan 'membuat tidak tahu atau tidak kisah'.

"Pembuli akan merasa seronok apabila mangsa memberi respons. Mereka akan cuba untuk membuat mangsa tidak selesa. Senjata utama ialah hanya membuat tidak kisah dan ini akan melemahkan semangat si pembuli.

"Bila pembuli mula mengusik anda, reaksi anda yang tidak ambil kisah akan membuatkan dia berasa hampa dan lambat laun dia akan menghentikan perbuatannya", katanya.

Satu lagi cara ialah dengan mewujudkan satu perwatakan yang anda bukannya seorang yang senang dibuli. Pembuli di pejabat biasanya hanya akan mencari mangsa daripada mereka yang dianggap lemah serta tidak berupaya melawan balik.

Oleh ZULKIPLE IBRAHIM

No comments: