Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






17 July 2009

Perkasa budaya ilmu
























MENGHAYATI Budaya Ilmu: Faham Ilmu, Amalan dan Panduan karya Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, mengumpul pandangan dan dimensi berkaitan konsep, nilai dan amalan ilmu dalam ruang lingkup memperkasakan budaya ilmu di institut pengajian tinggi (IPT).

Bergerak daripada pandangan sarjana terkemuka Amerika Syarikat (AS), Wahsington Irving dan Charles Henry Parkhurst, yang menekankan kepentingan menentukan matlamat sebagai petanda kepada minda besar, buku ini menjentik pemikiran pembaca untuk memahami dan menetapkan maklumat tertentu dalam hidup mereka.


Pengarang memberi tiga soalan yang perlu dijawab pembaca, iaitu membabitkan matlamat dan perancangan jangka pendek, kualiti dan jenama IPT serta matlamat hidup secara umum.

Bab 2: Konsep Ilmu mempermudahkan takrifan ilmu dengan melihatnya berdasarkan perspektif Islam dan meminjam sudut pandang sarjana seperti Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas serta Jonathan Lyons.

Dalam bab sama juga, beliau meninjau konsep pendidikan dengan memberi pengertian ilmu dan hikmah yang dikutip daripada al-Quran serta budaya ilmu di alam Melayu yang diperlihatkan oleh Raja Ali Haji, Hamka dan Pendita Za’ba.












Prof Zaini Ujang
Pengarang turut mengambil kesempatan berkongsi sejarah penubuhan UTM selepas mencatatkan gagasan universiti yang berasal daripada bahasa Latin, iaitu universitas yang bererti keseluruhan, komuniti, masyarakat atau perbadanan dan kemudian digunakan dengan meluas dalam institusi pengajian dalam menjalankan aktiviti keilmuan.

Dalam bab itu, pengarang melihat sepintas lalu mengenai perbezaan antara konsep universiti yang digagaskan tamadun Barat dengan budaya ilmu dalam tamadun Islam seperti perkembangan institusi keilmuan Universiti al-Azhar di Mesir yang berasaskan pembinaan Masjid al-Azhar.

UTM sebagai institusi sebenarnya mempunyai sejarah panjang seawal 1904, bermula dengan Sekolah Teknik Treacher di Brickfields, Kuala Lumpur sehingga dinaikkan taraf sebagai Maktab Teknik pada 1955 dan Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) yang akhirnya statusnya dinaik taraf sebagai UTM pada 1975.

Lewat Bab 4: Budaya Ilmu, pengarang memetik cadangan Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud untuk menyuburkan budaya itu, selain menyarankan perbahasan dan pertukaran idea tanpa terikat dengan sumber dari internet saja.

Dalam konteks penyuburan budaya ilmu dalam situasi setempat, pengarang mengingatkan pembaca untuk memperkasa ilmu pengetahuan sebagai asas pembangunan insan melalui pendidikan bersepadu dan menyediakan ekosistem intelektual, bersesuaian dengan matlamat budaya ilmu yang ditetapkan di IPT berkenaan.

Sesuai dengan latar belakang pengarang yang terbabit secara langsung dalam interaksi dengan golongan siswa siswi, beliau menekankan sembilan amalan hidup yang perlu dipraktikkan mereka untuk mengisi kehidupan sepanjang bergelar pelajar.

Pengarang sangat menitikberatkan pengurusan masa secara optimum, memiliki integriti dan keprihatinan sosial, mengasah kemahiran insaniah dan membaca sehingga mewujudkan tabiat membaca, keseimbangan antara pembelajaran berkesan dengan aktiviti kolej kediaman serta menjana minda kreatif dan inovatif.

Pengarang menamatkan perbincangan dengan memberi senario impian setiap pelajar di IPT, iaitu hari konvokesyen yang ada nilai tersendiri dalam manifestasi pengiktirafan universiti kepada graduan mereka dengan majlis dipenuhi tanda yang simbolik terhadap ketulusan dan keredaan pensyarah dalam menyampaikan ilmu serta mewarisi tradisi ilmu.

Buku ini turut meletakkan profil ringkas ulama, pemikir, ilmuwan dan sarjana seperti Ibnu Sina, Thomas Kuhn, Albert Einstein, Dr Ahmad Zewail, Za’ba, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof Dr Syed Hussein al-Attas dan Tan Sri Ainuddin Wahid, yang pandangan mereka dikutip oleh pengarang, sekali gus dapat memperkenalkan mereka kepada pembaca.

Selain itu, anekdot daripada sahabat Rasulullah saw dan ulama terdahulu serta petikan buku yang menarik, turut digunakan oleh pengarang yang dapat memberi tambahan ilmu kepada pembaca, sekali gus memudahkan kefahaman mereka dalam memahami idea pengarang.

Meskipun buku setebal 122 halaman terbitan UTM Press ini ditujukan kepada pelajar baru UTM sesi 2009/2010, kandungannya bersifat sejagat lalu layak ditatap oleh semua pelajar terutama yang baru melangkah di menara gading agar perjalanan ilmu mereka membentuk kematangan berfikir dengan tidak terperangkap dalam bidang yang diambil.

INFO:

Menghayati Budaya Ilmu: Faham Ilmu, Amalan dan Panduan

Pengarang: Prof Datuk Dr Zaini Ujang

Tebal: 122 halaman

Penerbit: UTM Press

Harga: Tidak dinyatakan

Bintang: ****

Pakar kejuruteraan alam sekitar

PROF Datuk Dr Zaini Ujang tidak hanya dikenali sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar, sebaliknya dianggap pemikir dan intelektual tempatan yang sering mengemukakan gagasan dalam ruang lingkup pemerkasaan budaya ilmu.

Anak kelahiran Kampung Inas, Johol, Negeri Sembilan, pada 3 Mac 1965 itu, menerima pendidikan di Sekolah Menengah (SM) Kem Terendak, Sungai Udang dan SM Ghaffar Baba, Masjid Tanah, sebelum menyambung pengajian ke UTM dalam bidang Kejuruteraan Kimia serta melanjutkan pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Newcastle, United Kingdom (UK).

Ibarat sirih pulang ke gagang, Prof Zaini kembali untuk berkhidmat di UTM pada 1988 dan diberi kepercayaan sebagai Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (Ipasa) bermula 2001 hingga 2006; Dekan Fakulti Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli (FKKKSA - 2006 hingga 2007 ) dan Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi (2007 hingga 2008).

Mantan Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA) dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia ini, mempunyai kepakaran dalam bidang rawatan air dan air sisa menggunakan kaedah inovatif seperti teknologi membran dan CP, selain turut diiktiraf berkepakaran dalam pengurusan sisa berbahaya serta pemodelan, pemeliharaan dan pengurusan sungai.

Kepakaran dan kepimpinannya turut dimanfaatkan pada peringkat kebangsaan apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan pada akhir 1990-an sehingga dianggap orang di belakang tabir dalam merealisasikan inisiatif dalam pengajian tinggi nasional seperti pengkorporatan universiti awam, pembentukan universiti swasta dan portfolio strategik dalam penyelidikan dan pembangunan akademik.

Beliau yang juga penulis ruang pojok di Berita Harian, menghasilkan lebih 15 buku termasuk Pengenalan Pencemaran Udara, Pengurusan Masa, Masa: Konsep & Pengurusan, Islam dan Alam Sekitar, Pencemaran Alam Sekitar: Perspektif Islam dan Universiti Mendukung Tradisi Intelektual.


No comments: