virus H1N1
Seorang wanita berusia 20 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka semalam, disahkan akibat Influenza A (H1N1). Dengan kematian terbaru itu, bilangan yang maut di seluruh negara akibat wabak babi setakat petang semalam ialah empat.
Marilah kita sama-sama berdoa bilangan kematian akibat virus berbahaya itu tidak meningkat lagi. Tetapi, kemungkinan untuk bilangan itu terus meningkat memang ada. Hakikatnya ialah setakat pagi semalam mereka yang disahkan positif H1N1 di seluruh negara ialah 1,219 orang.
Ternyata wabak ini semakin serius. Tidak sahaja di negara kita, di seluruh dunia pun virus ini sudah semacam tidak dapat dikawal, sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak berupaya mengesan bilangan sebenar yang telah dijangkiti. Sehingga pagi semalam 163,715 kes dengan 1,025 dilaporkan di 159 negara.
Di negara kita wabak ini sudah semakin menjadi-jadi. Kemungkinan jiran, rakan sekerja, sanak saudara, atau kita sendiri untuk tidak bernasib baik dan terkena kuman maut itu, memang ada. Malah, kemungkinan untuk kita mati kerana si kuman babi itu pun ada juga. H1N1 bila-bila masa boleh hinggap dan masuk ke tubuh kita.
Pendek kata udara yang kita sedut sudah tidak selamat. Sama ada di dalam rumah, apa lagi di tempat-tempat awam seperti pasar raya, taman awam, stesen LRT, pawagam, kantin pejabat, disko, kawasan jual durian, pasar lambak, hatta tandas awam mungkin ada virus itu di udara.
Tetapi, kita masih seperti tidak berbuat apa-apa. Kita melihat satu demi satu sekolah, kolej dan universiti ditutup di seluruh negara. Kita membaca angka-angka pesakit baru yang terus naik. Dan, setakat semalam sudah empat nyawa melayang kerana penyakit ini. Kita terus lega berjalan ke sana-sini.
Tentu kita masih ingat jerebu teruk yang memalapkan udara kita awal satu ketika dahulu. Semua orang memakai topeng muka sebab kualiti udara yang rendah. Topeng penutup hidung dan mulut naik mendadak. Orang rela tidak makan roti canai sebab duit makanan kegemaran ramai itu digunakan untuk membeli topeng.
Walaupun tidak ada yang mati akibat jerebu, orang ramai, terutama di KL, menutup muka dengan topeng tanpa sebarang arahan dari mana-mana pihak. Mereka takut mati akibat menyedut udara berjerebu. Demikian prihatinnya kita ketika itu.
Sekarang lebih seribu telah disahkan terhidu atau tersentuh virus Influenza A, empat telah maut kerananya, tetapi orang tidak membeli topeng seperti serangan jerebu dulu. Apakah kita beranggapan virus baru lebih seribu nyawa di seluruh dunia itu tidak berbahaya? Atau, apakah kita hendak menunggu lebih ramai lagi maut, baru kita hendak membeli topeng?
Kerajaan tidak mahu menimbulkan suasana panik dalam kalangan orang ramai. Dari semasa ke semasa rakyat diberitahu bahawa keadaan di bawah kawalan. Dalam keadaan bawah kawalan itulah bilangan meningkat setiap hari. Jangan tunggu sehingga keadaan sudah tidak terkawal baru kita hendak dikejutkan.
Pada hemat saya keselamatan diri adalah hal kita sendiri. Walaupun keadaan dijamin di bawah kawalan, tidak ada jaminan bahawa kita akan terhindar dari wabak maut itu. Sebab itu kita kena menjaga diri kita dan keluarga kita, juga orang-orang di sekeliling kita dari jangkitan H1N1.
Langkah-langkah ini perlu ditimbangkan: Pertama, pakai topeng ketika berada di tempat-tempat awam. Beli topeng sekarang sebab harganya belum naik. Apabila ada arahan semua orang kena bertopeng nanti, pasti harga penutup hidung dan mulut ini akan naik berkali-kali ganda. Biasalah peniaga selalu mengaut untung dalam keadaan begini.
Kedua, mereka yang dikenakan perintah ‘berkurung’ mesti mematuhi perintah tersebut. Kalau dikenakan kuarantin seminggu, ertinya seminggu tidak boleh keluar. Ada orang degil, sudah disenaraikan berkurung masih juga mahu ke disko atau mencari durian di luar rumah. Orang seperti ini tidak bertanggungjawab, dan perlu dikenakan hukuman.
Ketiga, mereka yang baru pulang dari luar hendaklah membuat pemeriksaan rapi mengenai kesihatan. Walaupun saringan di lapangan terbang mengesahkan mereka bebas virus maut itu, ada baiknya mereka sekali lagi mendapatkan pengesahan di klinik dan hospital.
Keempat, peraturan kebersihan diri perlu dipatuhi setiap masa, di mana sahaja. Pastikan kita mencuci tangan sebelum dan selepas makan. Sekiranya ada batuk atau selesema, segerakan mendapat rawatan doktor. Tidak perlu jumpa bomoh, sebab H1N1 bukan perbuatan makhluk halus, tidak juga angkara jin tanah atau penunggu pohon beringin.
Kelima, sentiasa ada perasaan takut pada H1N1. Sekiranya kita takut pada wabak ini kita akan menjaga diri setiap masa. Malangnya sekarang tidak ramai yang takut wabak baru H1N1, tetapi lebih ramai yang takut wabak lama B1N1.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
30 July 2009
Awas, virus H1N1 ada di sekeliling kita!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment