Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






18 May 2009

Virus kini lebih pintar



















Sebanyak 5,000 virus telah ditemui di seluruh dunia namun ada juga virus yang memberi kebaikan kepada manusia

Sumber: MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
lutfi.abdulrahim@kosmo.com.my
PAKAR virologi Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Suri Arshad, 46, telah lebih 20 tahun terlibat dengan pengkajian virus penyakit pada haiwan terutama ayam dan arnab.

Jadi, apabila wabak influenza A (H1N1) melanda dunia kini, beliau sudah menjangkakan keadaan itu. Wabak ini pada mulanya dikatakan berpunca daripada babi di Mexico.

Selepas merebak ke 34 buah negara dan mencatatkan hampir 7,300 kes termasuk 65 kematian, H1N1 dikesan di Malaysia minggu ini.

Mangsa pertama itu dipercayai seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari New York, Amerika Syarikat, Rabu lalu.

Kini mangsa ditempatkan di Hospital Sungai Buloh sejak dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut Siti Suri, pengkajian beliau khusus kepada virus yang menyebabkan kematian, mencacatkan pertumbuhan serta mencari vaksin penawar bagi haiwan terbabit.

Namun beliau sangat khuatir wabak penyakit yang disebabkan oleh virus.

"Virus ialah organisma yang bergantung kepada perumah untuk terus hidup.

"Malah sekarang terdapat 80 famili virus dengan 5,000 jenis. Banyak lagi masih belum dikesan terutama disebabkan influenza yang mampu menyebarkan penyakit kepada manusia," ujarnya.


Sifat virus yang sering berubah-ubah telah menyukarkan pencarian vaksin kepada wabak yang melanda. Kerana itulah ada orang menganggap virus kini 'lebih pintar' malah boleh melepasi pemeriksaan ketat di lapangan terbang!

Bagaimanapun, kemajuan dalam bidang perubatan moden memudahkan pengkaji perubatan mengenal pasti virus dengan lebih cepat.

"Mengesan virus secara konvensional mengambil masa selama sebulan tetapi kini dalam masa dua hingga tiga jam sahaja. Kaedah lama ialah percambahan virus dalam sel hidup (tisu kultura atau dari telur).

"Kini ujian pantas kaedah reaksi perubahan polineras masa sebenar (PCR) memudahkan kita melihat reaksi tisu sampel serta kehadiran virus berdasarkan graf komputer.

"Jika graf naik, ia menunjukkan ada virus dikesan dan begitulah sebaliknya," katanya.

Siti Suri menambah, terdapat beberapa kaedah lain untuk mengenal pasti virus iaitu antigen (virus itu sendiri) dan kaedah morfologi menggunakan mikroskop elektron.

Beliau tidak menolak haiwan liar dan serangga berupaya membawa mikroorganisma berbahaya kepada manusia.

"Pembukaan hutan untuk industri, perumahan dan perladangan mendedah manusia kepada hidupan liar.

"Patogen yang ada di dalam badan haiwan boleh menyebabkan penyakit pada manusia.

"Sebagai contoh, Virus Nipah yang berasal daripada kelawar menyebabkan penyakit pada manusia melalui perantaraan babi dan juga mereka yang terlibat dengan babi itu sendiri.

"Faktor demografi haiwan dan manusia, perubahan cuaca, patogen yang berubah-ubah dan perubahan dalam amalan perladangan turut membawa kepada penyakit ini," ujarnya.

Beliau memberitahu, kumpulan subviral yang lebih ringkas daripada virus juga berbahaya. Agen subviral hanya mempunyai sama ada asid nukleik atau protein.


"Agen subviral ini boleh menyebabkan penyakit lembu gila. Manusia yang memakan daging lembu tercemar boleh mengalami kerosakan pada sel otak dan mengakibatkan gangguan saraf yang teruk," katanya.

Kebaikan virus

Virus juga mempunyai kebaikan kepada manusia.

"Bacteriophage (virus yang membunuh bakteria) digunakan sebagai vektor untuk terapi gen bagi penyakit Parkinson.

"Virus tidak merosakkan sel tetapi terus membiak bersama dengan gen perumah. Ia menukarkan gen virus berbahaya menyebabkan gen cacat pesakit diperbetulkan," ujar Siti Suri.

Katanya lagi, virus Vesicular stomatitis (VSV) pula boleh digunakan untuk merawat kanser yang dimasukkan ke dalam sel darah putih jenis Tsel yang bertindak sebagai 'pemburu kanser'.

"Ia berperanan menjejak dan membunuh sel barah dalam nodus limpa, hati, dan limpa tanpa menjejaskan sel normal spleen," katanya.

Prof. C.T Tan, 55, pakar perubatan dari Universiti Malaya yang mempunyai pengkhususan dalam kajian otak manusia adalah seorang lagi 'pemburu virus' yang aktif di negara ini.

Beliau ialah salah seorang daripada kumpulan saintis perubatan Universiti Malaya (UM) yang mengenal pasti virus Nipah.

"Bayangkan anda menyelamatkan ratusan nyawa manusia apabila satu wabak melanda pada September 1998 dan Jun 1999 di kawasan penternakan babi di Perak, Negeri Sembilan serta Selangor.

"Sebanyak 265 orang individu dijangkiti dan mengakibatkan 105 kematian. Jika kita tidak mengenal pasti dengan cepat mungkin wabak ini akan mengakibatkan jumlah kematian yang lebih besar.

"Malah ramai menyangka wabak ini disebabkan oleh Japanese Ensefalitis (JE) tetapi punca sebenarnya ialah virus Nipah bawaan kelawar yang terus menyerang otak manusia.

"Mangsa akan mengalami sakit kepala yang teruk, sawan, loya dan demam panas," katanya.

Untuk mengenal pasti penyakit seseorang, kaedah Pengimejan Resonan Magnetik digunakan untuk mengesan bahagian otak pesakit yang terjejas.

Kemudian ujian serologi iaitu kajian tentang serum darah dan juzuk-juzuk khususnya sumbangan kepada perlindungan tubuh menentang penyakit dilakukan.

Ini untuk mengenal pasti antibodi yang menentang virus serta menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti virus atau tidak.

"Namun saya begitu khuatir dengan penyebaran wabak disebabkan oleh virus selesema yang menyebabkan banyak kematian dan memberi kesan ekonomi yang teruk.

"Bayangkan kesan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang berlaku di Asia dahulu apabila tersebar ia kepada manusia," ujar Tan.

Kuasa membunuh yang menakutkan

Bagi pakar virologi terkenal dan juga bekas pengarah Pusat Influenza Kebangsaan (Malaysia) WHO, Prof. Emeritus Datuk Dr. Lam Sai Kit, 66, minatnya untuk mengkaji virus tercetus apabila mendapati virus berbeza daripada bakteria dan mempunyai kuasa membunuh yang menakutkan.

"Malah kesukaran mencari penawar virus menyebabkan saya menyambung pengajian di universiti di Australia dengan mengutip pengalaman daripada pakar virologi terkenal di sana.

"Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah semasa menyiapkan projek sarjana. Bagi melaksanakan tugasan itu saya dihantar ke sebuah kawasan hutan di Papua New Guinea untuk mengkaji virus baru di kalangan haiwan liar.

"Bayangkan di hutan tebal kita tidak biasa dengan persekitarannya. Namun apabila Universiti Malaya membuka Fakulti Perubatan saya ditawarkan menjadi pakar virologi," katanya kepada Jurnal.

Dr. Lam memberitahu, beliau suka mencabar diri mengenal pasti virus yang menyebabkan penyakit kepada pesakitnya.

"Beribu-ribu ujian dilakukan seperti wabak denggi EV71 encephalitis yang bermula di Malaysia Timur pada 1997, Chikungunya pada 1998 dan virus Nipah pada 1999.

"Malah kita berbangga kerana penyelidik negara kita sendiri yang menemui Virus Nipah serta membantu negara lain seperti Bangladesh yang sedang menghadapi wabak itu kini," katanya.

Namun Dr. Lam melahirkan kebimbangan tidak ramai saintis perubatan yang minat mengkaji virus.

"Virus sendiri banyak merebak contohnya virus H1N1. Baru kita mencari vaksin bagi virus selesema burung yang baru pula timbul. Malah tiada vaksin ditemui bagi kes demam denggi selain vaksin HIV.

"Realitinya penyakit mampu merebak dengan pantas dan kini satu kes H1N1 dikesan di Malaysia.

"Kerana itu perlunya kajian berterusan dan melahirkan ramai lagi pakar virus untuk kebaikan sejagat," katanya.


No comments: