Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






22 May 2009

Bersenamlah setiap hari



















SHEIKH MUSZAPHAR menyarankan orang ramai supaya bersenam setiap hari, selain menjaga pemakanan mereka

Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN
fatiminadiah.zainudeen@kosmo.com.my

Angkasawan Negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor, mengajak orang ramai bersenam dengannya di Taman Rekreasi Taman Jaya, Petaling Jaya, Ahad ini.
ANGKASAWAN Negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor, 36, belum melupakan bidang ortopedik yang sebelum ini giat diburunya.

"Memang artritis tidak membunuh, tetapi ia penyakit degeneratif. Ia menjadi semakin teruk seiring dengan peningkatan usia. Saya pernah berjumpa dengan pesakit yang menghidap artritis dan sudah menjalani dua pembedahan lutut. Kini dia tergolong dalam kelompok OKU. Baru dia pelajari betapa susahnya menjadi OKU di Malaysia.

"Rugi kalau sakit semasa usia sudah meningkat. Waktu itulah kita hendak menikmati kehidupan dengan keluarga. Sekarang pula sudah ada yang hidap artritis pada umur semuda 30 tahun," ujar Sheikh Muszaphar yang menekankan penyakit tulang ini lebih berisiko tinggi di kalangan wanita.

Kalau sendi terasa kaku atau sakit, pesan Sheikh Muszaphar, segeralah berjumpa doktor kerana artritis boleh dirawat. Kalau ditangguh, kos pembedahan untuk penyakit ini boleh mencecah sehingga RM18,000 di pusat rawatan swasta dan RM4,000 di pusat rawatan awam iaitu satu angka yang nyata membebankan.

Bagaimanapun katanya, pencegahan merupakan penyelesaian yang terbaik.

"Bersenam sepatutnya dilakukan setiap hari, bukan sekali seminggu. Ia juga perlu konsisten dan berterusan, selain menjaga pemakanan seperti mengelakkan makanan berminyak, terlalu manis atau bersantan," kata Sheikh Muszaphar yang terkilan dengan jawapan 'tidak cukup masa' daripada kebanyakan orang memandangkan beliau masih berkesempatan untuk melakukannya pada penghujung setiap hari.

"Saya pasti semua orang sibuk dengan kerja dan rumah tangga, tetapi kesihatan sepatutnya menjadi keutamaan," ujarnya yang mengamalkan gaya hidup aktif sejak kecil.

Dididik minum susu dan mengambil lebih banyak protein oleh ibunya, Sheikh Muszaphar pernah menjadi perenang negara di samping bermain pelbagai jenis sukan sewaktu di bangku sekolah dan terlibat dalam bidang peragaan. Bukti paling hebat yang pernah dicapai sehingga kini, tentulah menjadi angkasawan negara yang perlu memenuhi kriteria-kriteria tertentu seoptimumnya.

Disebabkan keprihatinan terhadap kesihatan tulang itu jugalah Sheikh Muszaphar memilih untuk menyokong Larian Amal Kordel's - Yayasan Artritis Malaysia 2009 yang bakal berlangsung pada 24 Mei ini di Taman Rekreasi Taman Jaya, Petaling Jaya pada pukul 7 pagi.

"Acara keluarga yang turut disertai Yayasan Artritis Malaysia (AFM) itu ialah salah satu cara untuk mendekati orang ramai dan berkongsi dengan mereka tentang penyakit ini. Tambahan, ramai penghidap yang tidak tahu ke mana hendak dituju dan untuk bertanya soalan, jadi inilah peluang mereka," jelasnya.

Malah, Sheikh Muszaphar juga bersetuju dengan acara berbentuk larian beramai-ramai ini.

"Bukan saja ia memberi peluang kepada orang ramai untuk bersosial, tetapi juga untuk orang ramai bersenam. Lebih ramai, lebih seronok. Seharusnya penghidap melakukan senaman berimpak rendah seperti berjalan perlahan seperti ini atau berenang (untuk mengurangkan kesan artritis) selain mengambil ubat-ubatan. Mengambil ubat atau suplemen semata-mata tidak memadai untuk mengembalikan kesihatan tulang," ujarnya yang mengakui ada mengambil suplemen seperti vitamin dan kalsium.

Jika wanita hari ini lebih cenderung untuk meneroka gedung membeli-belah berbanding berkunjung ke gimnasium, komen Sheikh Muszaphar: "Ia tentunya lebih baik daripada melepak di rumah dan menonton televisyen. Tetapi pakailah kasut yang bersesuaian."

Pemilik bersama restoran Rebung di Bangsar, Kuala Lumpur ini yang mengakui rindu hendak menjalankan pembedahan berkata, dia juga tidak akan melupakan pengajian yang terpaksa ditangguhkan sebelum ini.

"Walaupun sekarang saya terikat dengan program Angkasawan, saya masih (bekerja) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Selepas tamat program ini saya akan sambung semula pengajian peringkat sarjana dalam bidang pembedahan ortopedik yang terpaksa saya tinggalkan sebelum ini," luahnya.

Malah, Sheikh Muszaphar juga sudah merangka untuk menunaikan impiannya untuk bekerja di Afrika selama dua tahun dan menjadi seorang juruterbang menjelang 2013.

"Saya mahu mencuba banyak benda. Saya tak mahu menutup mana-mana pintu peluang mahupun mengatakan tidak mempunyai masa (yang cukup)," ujarnya.


No comments: