Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






27 May 2009

Ibu bapa contoh anak

















Jadikan diri teladan supaya anak tak hilang pedoman

KEBANYAKAN ibu bapa beriltizam apabila anak dewasa, mereka menjadi insan berjaya dan berjasa kepada keluarga. Namun, harapan hanya tinggal harapan jika hasrat itu tidak diseimbangkan dengan perbuatan dalam memacu arah bagi menuju kejayaan.

Dalam memenuhi harapan itu, pasti ada cara atau halangan yang menunggu. Hanya mereka yang merancang dengan penuh berhemah, disiplin yang tinggi mencapai apa yang dihasratkan.

Dalam mencapainya bukan hanya memastikan anak 24 jam duduk di meja menghadap buku, sebaliknya mereka memerlukan ruang bermain dan melakukan aktiviti lain yang berfaedah.


Perkara berikut mungkin membantu ibu bapa memandu anak mereka menuju kejayaan.


- Ibu bapa sebagai model
Ibu bapa model contoh paling berkesan untuk anak-anak. Segala apa yang mereka lakukan akan dilihat dan diikuti anak-anak. Oleh itu, setiap ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh terbaik dari segi akidah. Ibu bapa yang tidak mementingkan persoalan ini boleh menjadikan anak-anak hilang pedoman. Merekalah yang akan menentukan arah mana yang menjadi ikutan anak-anak.

- Membaca al-Quran
Ibu bapa dan sekolah perlu memperuntukkan masa untuk mengajar al-Quran kepada kanak-kanak. Di rumah, ibu ataupun bapa boleh mengajar anak-anak dengan al-Quran. Ia boleh dimulakan dengan mengajar buku Iqra' atau buku lain permulaan bagi membolehkan kanak-kanak mengenal dan kemudian dapat membaca al-Quran dengan lancar.

Selepas itu, mempelajari al-Quran bukan terhad kepada pembacaan semata-mata tetapi menjurus kepada pemahaman dan pengamalan kandungannya. Pendedahan awal kepada bahasa Arab memudahkan usaha memahami al-Quran.

- Berbincang
Ibu bapa perlu memperuntukkan masa berbincang dengan anak-anak dan berusaha mewujudkan suasana perbincangan dalam keluarga. Pendekatan demikian akan memudahkan kanak-kanak meluahkan masalah dihadapi.

- Pendidik tidak formal
Ibu bapa juga bertindak sebagai pendidik secara tidak formal. Pendekatan secara nyata dan tersurat boleh digunakan dalam pendidikan akidah. Misalnya, memperkenalkan cerita Rasul dan orang-orang soleh. Begitu juga dengan mendedahkan anak-anak kepada al-Quran atau tulisan jawi. Dengan ini pegangan agama dan akidah yang kuat, mereka boleh menghubungkan segala aspek kehidupan dengan pegangan akidah.

- Pendorong anak-anak
Ibu bapa bertindak sebagai pendorong kepada anak-anak. Mereka boleh menguatkan pegangan akidah dengan menyediakan segala kemudahan pembelajaran.

Mereka boleh menjawab persoalan yang dikemukakan anak-anak dengan mewujudkan suasana mesra di rumah. Ibu bapa adalah penghalang utama kepada pengaruh negatif yang mungkin menyerang kanak-kanak dari pelbagai sudut seperti bahan bacaan, hiburan dan keadaan sekeliling.

Di samping itu, ibu bapa bertindak sebagai penyampai maklumat atau ilmu. Ini kerana ibu bapa orang pertama yang dikenali kanak-kanak. Mereka hendaklah menyampaikan maklumat sepenuhnya mengenai Islam terutama akidah keimanan dan tatacara kehidupan seorang Muslim.

- Pendidikan kolektif
Kanak-kanak juga perlu mendapat pendidikan secara kolektif di rumah. Antaranya solat berjemaah, membaca al-Quran, makan bersama, lawatan ke tempat bersejarah yang ada hubungan dengan Islam, perbincangan atau sambutan hari kebesaran Islam.

Salah satu amalan yang boleh dilakukan pihak keluarga dan sekolah untuk kanak-kanak adalah solat berjemaah.

Setiap hari, pihak sekolah misalnya menyediakan suatu waktu supaya murid-murid dapat melaksanakan amalan solat secara berjemaah dengan bapa sebagai imam.

- Makan bersama
Anak-anak perlu dididik dengan amalan makan bersama ahli keluarga. Di samping menikmati hidangan bersama, ibu bapa boleh menggunakan kesempatan memberi nasihat sambil berbual dengan anak.

Ibu bapa juga boleh mengambil kesempatan pada waktu berbuka puasa ketika Ramadan. Ini peluang yang baik memberi nasihat kerana semua ahli keluarga berkumpul untuk menanti waktu berbuka dan menikmati hidangan bersama.
Dalam sejarah dakwah Rasulullah, baginda pernah menjemput kaum keluarga baginda bagi menyampaikan seruan Islam.

- Lawatan ke tempat bersejarah
Satu lagi aktiviti yang boleh dijalankan oleh ibu bapa ialah lawatan ke tempat bersejarah. Hal ini bertepatan dengan ajaran al-Quran yang menganjurkan umatnya mengembara ke merata tempat bagi mengambil pengajaran dan menambah pengalaman hidup.

Anak-anak tidak sepatutnya dibiarkan terperap di dalam rumah sehingga membantutkan akal dan pemikiran mereka. Kata orang, banyak berjalan banyak pengalaman.

- Sambutan hari besar
Meraikan sambutan hari penting dalam kalendar Islam seperti Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban, permulaan puasa bulan Ramadan, tahun baru Hijrah, Maulidur Rasul dan sebagainya boleh mengeratkan hubungan anak-anak dengan Islam. Ia boleh membentuk jati diri anak-anak apabila kuatnya tautan mereka dengan ajaran agama.



No comments: