
PROSES pembelajaran tidak terhad di bilik darjah. – Gambar hiasan
MENURUT statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO ) tahun lalu, Malaysia berada pada kedudukan ke-11 dalam senarai 137 buah negara yang memperuntuk perbelanjaan paling tinggi untuk sektor pendidikan.
Secara purata, peruntukan kepada sektor pendidikan di Malaysia bagi dekad ini ialah sekitar 25.2 peratus daripada keseluruhan bajet negara. Ia sekali gus menjadikan sektor pendidikan antara penerima peruntukan terbanyak daripada kerajaan.
Dengan peruntukan yang besar, sistem pendidikan di negara ini melalui proses transformasi dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Tujuannya tidak lain ialah untuk menjamin kualiti pendidikan di samping melahirkan masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan.
Sebagai prasyarat penting untuk negara mencapai kejayaan, nilai pendidikan turut dijadikan sebagai satu daripada teras di dalam gagasan 1Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan proses pendidikan tidak hanya berlaku di dalam kelas sahaja. Sebaliknya, proses itu adalah seumur hidup sama ada di dalam dan luar bilik darjah.
Ia akan membentuk rakyat Malaysia yang berupaya berfikir dan bertindak tanpa terlalu mementingkan diri sendiri, malah lebih mementingkan masyarakat setempat mereka.
Selain itu, nilai pendidikan ditekankan kerana kekuatan dan ketahanan sesebuah negara berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
Dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu, bukan pendidikan secara formal sahaja yang perlu ditekankan. Sebaliknya pemupukan budaya membaca juga antara teras dalam melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan.
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), menerusi Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 menyatakan, jumlah buku yang dibaca oleh setiap individu di Malaysia untuk tempoh sedekad meningkat sebanyak dua buah buku setahun berbanding dua buku secara purata pada 1996.
Sungguhpun menunjukkan peningkatan, namun ia sangat minimum untuk sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai 28 juta. Semua orang perlu sedar bahawa budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang terbuka.
Menyokong usaha ini, langkah pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kerjasama PNM meletakkan bahan-bahan bacaan umum di dalam setiap gerabaknya untuk perkhidmatan kereta api antara bandar ialah usaha yang wajar dipuji.
Selain itu, usaha pemupukan 1Malaysia di bidang pendidikan sangat wajar bermula dari zaman persekolahan kerana kanak-kanak belajar bersosial di sekolah.
Interaksi bersama
Justeru, kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran sekolah rendah juga hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk 1Malaysia dan memberi ruang mereka berinteraksi bersama.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya pada majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini berkata, pengwujudan sekolah SBT sebagai sekolah model di negara ini bukanlah untuk meminggirkan sekolah-sekolah yang lain.
Tetapi kerajaan akan melaksanakan program yang dirangka khusus untuk mengekal dan melonjakkan pencapaian sekolah SBT di samping menekankan tangungjawab sosial sekolah-sekolah tersebut.
Selain pendidikan, nilai meritokrasi juga ialah salah satu daripada nilai yang ditekankan dalam 1Malaysia. Mungkin ramai yang mengaitkannya dengan pendidikan sahaja terutama tentang kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Meritrokasi 1Malaysia
Pada 2002 sistem meritokrasi dilaksanakan buat pertama kalinya bagi menggantikan sistem kuota. Sistem itu menetapkan sebanyak 55 peratus pelajar bumiputera dan 45 peratus untuk pelajar bukan bumiputera bagi kemasukan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Sistem yang memberi peluang kepada semua pihak mendapat hak pendidikan itu sebenarnya mahu membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, tanpa memikirkan kepentingan kaum masing-masing.
Jika semua pihak berfikiran untuk menambah ilmu, nilai ini amat berguna kerana setiap individu tidak dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan yang sempurna.
Bagaimanapun, nilai meritokrasi bukan hanya ditekankan dalam bidang pendidikan. Tetapi maksud sebenar nilai meritokrasi dalam 1Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri ialah satu hala tuju yang perlu diamalkan di dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria, berpeluang untuk memacu pembangunan negara.
PENDIDIKAN bukan diukur apabila seseorang itu telah melangkah ke universiti semata-mata.– Gambar hiasan
Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru.
Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria itu, berhak dipilih.
Dalam pelaksanaannya, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.
Sebagai contoh dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilikan syarikat untuk ditawarkan secara kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Ini termasuklah dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya.
Tujuannya ialah untuk membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.
Semua pihak tidak seharusnya merasakan diri mereka tercicir kerana setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. – Bernama
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
04 March 2010
Memupuk masyarakat berilmu
03 March 2010
Ingat nama 50 ekor kucing

"Kucing juga perlu dilatih dan diajar untuk lebih disiplin, mendengar kata dan menyesuaikan diri dengan yang lain," kata Pn.Norhayati,pemilik kucing.
"UPIN! Berapa kali mama cakap jangan nakal-nakal, kenapa tak nak dengar cakap mama ni?"
Kedengaran Norhayati Zakaria, 50, menegur tingkah laku 'anak terunanya' supaya tidak bergaduh dengan 'anak-anak' Norhayati yang lain.
Akhirnya, Norhayati mengambil keputusan mengurung Upin selama 15 minit di dalam bilik sebagai pengajaran kepada Upin supaya tidak mengulangi perbuatannya lagi.
"Upin memang macam ni, buat perangai dan nakal sikit berbanding kucing-kucing yang lain. Selepas 'dihukum' dia akan tahu kesalahannya dan akan berkelakuan baik.
"Kucing juga perlu dilatih dan diajar untuk lebih disiplin, mendengar kata dan menyesuaikan diri dengan yang lain," katanya.
Saat menjejakkan kaki ke rumah wanita yang lebih mesra dipanggil Kak Yati, terdetik bagaimana wanita ini sanggup memelihara hampir 50 ekor kucing daripada baka terbaik seperti anak-anaknya sendiri.
Menurutnya, minat memelihara kucing dan haiwan peliharaan lain timbul ketika masih kecil lagi sebelum dia mula serius memelihara kucing baka baik pelbagai jenis pada 1993.
KUCING-KUCING peliharaan Norhayati bukan saja mendengar kata, bahkan faham jika dimarahi.
"Saya mula memelihara seekor kucing jenis Domestic Long Hair iaitu kacukan daripada baka Parsi dan baka lain pemberian seorang rakan.
"Kini, Kak Yati ada 48 ekor kucing daripada lapan jenis baka yang berlainan iaitu Sphynx, Mine Coon, Parsi, Exotic, Ame rican Curl, American Short Hair, Oriental dan Somali," katanya.
Tambahnya, apabila sudah banyak kucing, dia sudah masak dengan ragam dan perangai kesemua kucing kesayangannya itu. Ada yang suka menyendiri, lincah, nakal dan tidak kurang yang suka mengusik.
"Ini pula namanya Jebat Arjuna, suka panjat almari dan yang ini pula Exora, seekor kucing betina yang bijak daripada jenis American Curl.
"Exora gemar menutup dan memasang televisyen selain pandai membuka sangkarnya sendiri untuk keluar tetapi sebab ada orang lain hari ini, dia jadi baik," kata Kak Yati yang memiliki kucing paling tua berusia 16 tahun.
Nama unik
Setiap kucing mempunyai cara penjagaan dan perapian yang berlainan. Contohnya, kucing jenis Sphinx. Kucing yang tidak mempunyai bulu itu sepatutnya lebih mudah diurus jika dibandingkan dengan jenis Mine Coon dan Parsi, sebaliknya kulit kucing Sphinx cukup sensitif dan memerlukan penjagaan rapi.
NORHAYATI akan memastikan makanan kucing-kucingnya tidak berminyak dan bergaram bagi mengelakkan bulu kucing gugur.
Apabila digigit nyamuk dan mengalami luka akibat digaru sendiri, kesannya mengambil masa berbulan-bulan untuk hilang. Malah, kucing jenis itu tidak boleh sejuk dan panas sangat jika tidak ia akan jatuh sakit.
Apa yang mengagumkan, Kak Yati mengingati nama kesemua kucingnya yang mempunyai nama-nama unik.
Antaranya ialah Gelangi, McD, Jebat Arjuna, Ronggeng, Kersani, Kesatria, Sirsila, Illusions, Aman Putra dan Aroma.
Walaupun nama kucing-kucingnya diberikan berdasarkan apa yang terlintas di fikirannya, namun pemberian nama dilakukan berpandukan jantina dan warna kucing.
"Perkara yang sangat penting apabila memelihara kucing ialah kita perlu membelainya setiap hari. Kita juga perlu memahami mereka kerana setiap kucing mempunyai keperluan yang berlainan.
"Kita juga perlu peka dengan keadaan kucing peliharaan. Jika ada yang selesema dan tidak sihat, kucing tersebut perlu diasingkan segera supaya penyakitnya tidak berjangkit dengan kucing lain sebelum di bawa berjumpa veterinar," jelasnya.
Kata Kak Yati, aspek kebersihan sangat penting dalam penjagaan kucing. Rumah perlu dibersihkan dan dicuci seminggu sekali bagi memastikan tiada bau kurang menyenangkan yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa jiran-jiran.
Sepanjang 15 tahun tinggal di kawasan tersebut tiada sebarang aduan daripada jiran berhampiran kerana Kak Yati akan memastikan rumahnya dibersih dan diurus dengan baik.
--------------------------------------------------------------------------------
"Saya tak kisah kalau ada kawan-kawan dan saudara-mara nak datang, tapi jangan suruh saya simpan kucing-kucing ini.
"Pernah sekali ada kenalan meminta saya menyimpan kesemua kucing kerana dia mahu datang ke rumah dan saya cakap pada dia, 'sorry, I takkan simpan kucing-kucing I, you tak datang pun tak apa'," ceritanya.
Menyentuh mengenai pemakanan pula, Kak Yati memberitahu, untuk mendapatkan kucing yang cantik dan sihat, makanan kucing perlu bebas garam dan minyak. Jika tidak ia akan menjejaskan bulu kucing selain menyebabkan kucing kehilangan berat badan.
Ujarnya, setiap bulan beliau berhabis hampir RM2,000 untuk perbelanjaan makanan kucing seperti biskut, makanan dalam tin, daging, ayam, suplemen, vitamin dan ubat cacing yang perlu diberikan tiga bulan sekali.
Walaupun membela hampir 50 ekor kucing, beliau langsung tidak menganggapnya sebagai suatu bebanan. Bagi Kak Yati, minat mengatasi segala-galanya.
Biakkan kucing
"Kerana minat yang mendalam untuk memiliki kucing-kucing yang jarang dimiliki oleh orang lain, saya sanggup buat apa sahaja.
"Pada masa yang sama, saya akan membiakkan kucing mengikut jenis masing-masing mengikut etika dan peraturan yang telah ditetapkan oleh badan dunia.
"Setiap jenis kucing ada induknya. Anak kucing yang berusia tiga bulan ke atas akan dijual dan harganya mengikut jenis," kata Kak Yati.
Jelasnya, anak kucing hanya dijual pada usia tiga bulan kerana sudah bercerai susu dengan ibunya dan mampu makan sendiri.
"Untuk membiakkan kucing ada etikanya. Ibu kucing hanya boleh beranak tiga kali dalam tempoh dua tahun berbanding empat kali setahun mengikut kebiasaan dan tempoh buntingnya di antara 63 hari hingga 65 hari," ujarnya.
Mengulas mengenai isu buang kucing, Kak Yati memberitahu, pernah ada orang meletakkan anak kucing dalam peti suratnya gara-gara mengetahui dirinya amat sukakan kucing.
MENGEMBIRIKAN kucing salah satu kaedah untuk menyelamatkan kucing daripada terus membiak dan hidup tanpa tuan.
Pada mulanya hanya dua ekor dan kemudian bilangannya semakin banyak sehingga mencecah 18 ekor.
"Bukan tak mahu ambil dan bela tetapi rumah ini sudah dijadikan macam pusat pembuangan kucing pula. Jika tidak mahukan anak kucing, kembirikan sahaja kucing itu, itu lebih baik daripada membiarkan anak-anak kucing dibuang dan tidak terjaga," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid memberitahu, sesiapa yang mahu membela kucing sebagai haiwan peliharaan perlu ada minat yang mendalam selain dapat memperuntukkan masa untuk membelai dan bermain dengan haiwan tersebut.
"Kucing juga ada perasaan. Ia perlu dibelai seperti bayi. Jika tidak mereka akan merajuk dan buat dek sahaja dengan kita.
"Kalau nak mudah, pelihara sahaja kucing yang berbulu pendek kerana penjagaannya tidak renyah seperti kucing berbulu panjang seperti kucing Parsi yang perlu disikat setiap hari," katanya yang pernah mempunyai hingga 30 ekor kucing tetapi kini hanya tinggal enam ekor sahaja.
Khalid juga menasihatkan kepada mereka yang tidak sanggup memelihara kucing supaya tidak membuang haiwan tersebut di merata-rata tempat tetapi sebaliknya diserahkan kepada Kelab Kucing Malaysia.
"Kelab akan cuba carikan ibu bapa angkat kepada kucing itu atau berikan kepada mana-mana ahli yang berminat melalui program kucing angkat yang diperkenalkan sejak setahun lalu.
"Jika ada pertunjukan kucing, kita akan sediakan satu sudut untuk ruangan kucing angkat. Di situ orang ramai boleh melihat kucing-kucing yang mereka mahukan dan tiada sebarang bayaran dikenakan cuma bagi kucing yang mendapat vaksinasi kita caj sebanyak RM30," ujarnya.
Read more...
02 March 2010
'Mata' elektronik saksi situasi

DUA imej rakaman perlakuan jenayah melalui CCTV ini telah membantu proses pengecaman wajah dan penyiasatan pihak berkuasa.
ISU keselamatan sudah lama menjadi perkara yang serius untuk dipertimbangkan. Tanpa sikap berwaspada atau sebarang usaha untuk menjamin faktor tersebut, nyawa dan aset fizikal menjadi pertaruhannya.
Dari bangunan pejabat, kompleks beli-belah, hinggalah ke kawasan taman awam, sistem kamera litar tertutup (CCTV) semakin banyak dipasang. Namun kini, fungsinya sebagai peranti kawalan telah menjangkau lebih daripada keperluan di premis komersial.
Dengan pelbagai kes rompakan, pecah rumah, penculikan dan pembunuhan dilaporkan di media, kawalan keselamatan di kawasan kediaman turut diperketatkan.
Sama ada banglo, teres, kondominium atau apartmen, langkah keselamatan tambahan sudah dipelbagaikan seperti menggajikan pengawal keselamatan, penggunaan kad pintar dan sistem akses eksklusif yang terus membawa penghuni ke aras atau muka pintu kediaman sendiri.
KAWALAN keselamatan melalui rakaman kamera litar tertutup dan paparan monitor sudah banyak dipasang di kediaman persendirian.
Perkara tersebut diakui oleh seorang penduduk yang tinggal di kawasan kejiranan SS1, Petaling Jaya, Siti Norhaizan Tamin, 55. Dia yang mendiami kawasan terbabit bersama keluarganya sejak 13 tahun lalu tidak sekali-kali memandang sebelah mata terhadap tahap keselamatan rumahnya.
Oleh kerana setiap ahli keluarganya sibuk menjalani urusan harian masing-masing, banglo dua tingkat itu sering kali terbiar kosong terutama ketika waktu siang.
Walaupun mempunyai pembantu rumah, Siti Norhaizan tidak merasakan ia selamat. Bukannya dia tidak mempercayai pembantunya itu, tetapi kebimbangannya berpunca daripada bayangan kemungkinan si pelaku jenayah yang semakin licik dan banyak muslihat.
Suri rumah itu memberitahu, rumahnya pernah sekali dipecah masuk oleh perompak. Meskipun kediamannya dilengkapi sistem penggera keselamatan, kebolehan penjenayah dengan modus operandi yang berkesan membuatkan mereka mudah membolos rumahnya itu.
"Mereka tidak menggunakan kekerasan yang boleh menyebabkan alat penggera itu berbunyi. Sebaliknya, penjenayah itu berpura-pura ingin menghantar barang kepada tuan rumah. Ketika kejadian, memang saya tiada di rumah. Yang ada hanyalah orang gaji.
"Pembantu saya pula mudah percaya dengan kata-kata orang tersebut itu lalu membenarkan mereka masuk. Sejurus sudah berada di dalam rumah, pembantu rumah saya telah diikat," katanya ketika ditemui Kosmo!.
Ketatkan pemantauan
PEMASANGAN kamera litar tertutup di premis niaga antara lain bertujuan untuk memantau aktiviti dan kejujuran para pekerja.
Bermula daripada episod hitam itu, Siti Norhaizan yang tidak lagi mahu kejadian itu berulang, membuat keputusan untuk memasang CCTV.
Jelasnya, memiliki sistem rumah pintar mungkin tidak seperti dahulu iaitu ia hanya digunakan oleh golongan berada memandangkan mereka mampu menanggung kos pemasangan yang tinggi. Kini, dengan bermodalkan kira-kira beberapa ribu ringgit, seluruh keluarga sudah dipantau sistem keselamatan tersebut.
Norhaizan menjelaskan, suaminya, Mohamed Mustapha, 63, hanya memperuntukkan kira-kira RM5,000 untuk memasang empat CCTV yang dilengkapi dengan dekoder. Pemasangan CCTV itu walau bagaimanapun terhad untuk rakaman di luar rumah.
"Kami sekeluarga tidak mahu pasang di dalam rumah kerana lebih mementingkan faktor keselamatan di kawasan luar. Sebab itulah, empat CCTV itu ditempatkan di bahagian hadapan, bahagian tepi dan belakang rumah," terang ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Sementara itu, lokasi yang menempatkan monitor pula tidak diletakkan di bilik khas yang tersorok. Sebaliknya, dia lebih selesa meletakkan ketiga-tiga monitor itu di bahagian ruang tamu dan bilik tidur.
BILIK kawalan keselamatan Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur pernah merakam kes penculikan Canny Ong.
CCTV yang beroperasi 24 jam itu cukup memuaskan hati apabila imej yang dirakam ketika waktu malam atau hujan lebat masih kelihatan jelas. Paparan monitor tersebut menunjukkan empat lokasi rakaman mengikut kedudukan kesemua CCTV tersebut.
Tambah Siti Norhaizan, tujuan pemasangan itu dilaksanakan antara lain adalah sebagai langkah berjaga-jaga sebelum membenarkan orang yang tidak dikenali memasuki kawasan rumah.
"Pada waktu malam, monitor di bahagian ruang tamu akan dimatikan. Tetapi, monitor di dalam bilik saya dan anak akan sentiasa beroperasi. Jadi bila kita rasa tidak sedap hati terhadap sesuatu aktiviti di luar rumah pada lewat malam, tidak perlulah untuk terus membuka pintu.
"Tengok dahulu di CCTV," katanya yang juga masih percaya terhadap penggunaan sistem penggera keselamatan.
Memori rakaman CCTV itu bertahan selama seminggu sahaja sebelum ia secara automatik terpadam. Sekiranya berlaku suatu kejadian tidak diingini, pemilik rumah pastinya akan terus membuat laporan polis. Maka, simpanan rakaman pada hari berkenaan boleh terus digunakan sebagai rujukan.
Kepentingan pelanggan
Kehebatan penggunaan CCTV turut dikongsi bersama dengan salah sebuah restoran terletak di Bandar Sunway iaitu Kafe Restrees Kopitiam. Pengurusnya, Rasip Suratmin menjelaskan alat keselamatan itu kini tidak lagi terhad digunakan oleh pihak tertentu sahaja.
Disebabkan ingin meningkatkan tahap keselamatan premis, dia memilih untuk meletakkan sebanyak lapan CCTV di sekitar lokasi restoran itu.
Katanya, sudah menjadi kemestian CCTV akan dipasang menghala ke arah kaunter. Di samping itu, tidak lupa juga di bahagian dapur dan ruang tengah para pelanggan.
Banyak kegunaan jika pasang CCTV di restoran. Antaranya adalah kita boleh pantau kegiatan pekerja sekiranya ada yang yang tidak jujur dalam tugas," jawabnya ringkas.
Kawasan yang boleh dikatakan sering berlaku kegiatan jenayah itu merupakan punca CCTV dipasang sebagai kawalan utama.
"Dulu, restoran jarang dilengkapi CCTV. Kalau ada sekalipun, mungkin di rumah atau pejabat. Tetapi, memandangkan peningkatan kes jenayah rompakan atau kecurian, peniaga restoran mula membuka mata untuk mendapatkan bantuan sistem keselamatan elektronik ini," jelasnya.
Selain memastikan gerak-geri petugas restoran itu, ia juga dimanfaatkan untuk menjaga keselamatan pelanggan. Memandangkan di luar restoran turut menempatkan ruang untuk pelanggan, Rasip menyediakan sebanyak empat buah CCTV di bahagian itu.
"Namun, pernah juga terjadi kes telefon bimbit pelanggan di ruang hadapan kedai dirampas begitu sahaja oleh penjenayah.
"Kejadian itu berlaku sepantas kilat, hinggakan sistem kami tidak dapat merakam wajah suspek dengan jelas," terangnya kesal sambil berharap agar setiap orang lebih berhati-hati menjaga barangan peribadi masing-masing di tempat awam.
Read more...
01 March 2010
Terik matahari bawa penyakit

KEPALA berdenyut-denyut dan pening sering dialami oleh mereka yang terdedah di bawah cahaya terik matahari. - Model Sasqia Dahuri.
CUACA panas dan tidak menentu yang melanda seluruh negara ketika ini merunsingkan semua. Di negeri-negeri sebelah utara, cuaca panas terik disusuli kemarau yang mengeringkan sungai-sungai dan juga sawah.
Sementara di Lembah Kelang pula, bahang panas tetap terasa sekali pun selepas hujan turun untuk seketika. Di kawasan selatan dan pantai timur juga turut mengalami keadaan yang sama.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini berada dalam fasa terakhir monsun timur laut yang mana cuaca lebih panas dan kering berbanding bulan Disember dan Januari lalu.
Secara perbandingan, suhu lebih tinggi pada Februari hingga April berbanding bulan lain.
Suhu yang dicatatkan pada 1 hingga 23 Februari lalu menunjukkan antara 34oC hingga 36oC. Sedangkan purata suhu negara ini adalah sekitar 28oC hingga 33oC.
Rekod suhu paling tinggi pernah dicatatkan di negara ini pada 9 April 1998 di Chuping, Perlis ialah 40.1oC iaitu ketika fenomena El Nino melanda.
Sementara itu, suhu maksimum juga pernah dicatatkan ditempat yang sama, Chuping dan Pulau Langkawi pada 21 dan 26 Februari 1998 dengan suhu 38.6oC.
Sepanjang tempoh 1 hingga 23 Februari lalu juga, bacaan di 26 daripada 35 stesen meteorologi di seluruh negara menunjukkan hujan turun kurang daripada paras sederhana, empat stesen pula pada paras sederhana dan hanya lima melebihi paras itu.
Kawasan yang menerima hujan rendah adalah Perlis, Kedah (termasuk Pulau Langkawi), Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, Sabah (semua bahagian) dan Sarawak (Miri, Bintulu dan Limbang).
Terdapat tiga peringkat HRI berlaku iaitu:
1. Kejang akibat kepanasan (heat cramps)
l Sakit otot di bahagian abdomen, lengan dan kaki yang berlaku disebabkan oleh aktiviti berterusan.
l Badan tidak berpeluh ketika melakukan aktiviti berat yang berterusan menyebabkan anda terdedah kepada heat cramps.
l Perpeluhan melampau hingga menyebabkan garam dan cecair dalam badan kehabisan, menyebabkan paras garam rendah dalam otot.
l Heat cramps juga merupakan contoh lesu akibat kepanasan (heat exhaustion).
2. Lesu akibat panas (heat exhaustion)
l Bentuk ringan HRI yang boleh berlaku akibat beberapa hari terdedah kepada suhu tinggi dan tidak mendapat keseimbangan cecair dalam badan.
l Mereka yang berusia dan mempunyai tekanan darah tinggi serta berkerja atau bersukan di bawah terik mentari lebih terdedah kepada masalah ini.
l Tanda-tanda adalah berpeluh melampau, pucat, kejang otot, keletihan, lemah tubuh badan, pening-pening, sakit kepala, muntah, mabuk dan pengsan.
l Lain-lain simptom berkaitan - kulit sejuk dan lembap, denyutan lemah atau laju, pernafasan lemah atau terlalu laju.
Jika mengalami lesu akibat panas, sila ambil langkah ini:
l Minum air kosong, jus buah-buahan atau minuman isotonik.
l Rehat dalam kawasan pendingin hawa.
l Mandi atau berendam dalam air.
l Pakai pakaian nipis
3. Strok panas (heat stroke)
Keadaan paling teruk bagi HRI. Biasanya disebabkan bersukan atau kerja berat di kawasan panas ditambah dengan cecair yang kurang dalam tubuh badan. Tanda-tanda mengalami heat strok:
l Suhu badan terlalu tinggi (melebihi 40oC boleh menyebabkan pengsan)
l Kulit menjadi merah, panas dan kering (tiada peluh)
l Nadi kuat dan laju
l Kepala berdenyut-denyut
l Pening-pening, muntah, keliru, tidak sedar diri.
Kanak-kanak, orang tua, individu obes dan individu yang kurang berpeluh (akibat keturunan) berisiko tinggi mengalami masalah ini.
Bagi atlet yang mengalami keadaan ini di padang, tiba-tiba mereka hilang kawalan diri dan tidak memahami permainan. Atlet itu tidak sedar dia sedang mengalami keadaan strok panas, simptom hanya boleh dilihat oleh orang di sekelilingnya.
Rawatan strok panas:
Seandainya sukar untuk merendamkan mangsa dalam air sejuk gunakan kaedah ini:
l Mandikan mangsa dengan air sejuk
l Renjis air sejuk pada mangsa menggunakan pam air taman
l Span mangsa dengan air sejuk
l Letakkan beg ais pada leher, ketiak dan kawasan sulit.
l Jika kelembapan rendah, balut mangsa dengan selimut basah dan sejuk dan kipas.
Perhatikan suhu badan dan teruskan proses penyejukan hingga suhu badan menurun kepada 36oC atau 37oC (mangsa perlu dikeluarkan daripada air untuk menghalang penyejukan lampau apabila suhu stabil).
l Jika mangsa sedar, beri dia minum air sejuk
l Pesakit perlu dibawa ke hospital untuk pemerhatian doktor sekali pun rawatan di padang berjaya.
Ruam panas
Satu lagi penyakit yang sangat sinonim dengan cuaca panas. Ia terjadi akibat pendedahan kepada suhu yang panas secara berterusan. Juga disebut miliaria. Masalah seperti urtikaria (gatal-gatal) dan tidak berpeluh juga termasuk sebagai ruam panas. Biasa berlaku ketika musim panas terutama jika kelembapan tinggi. Keadaan ini boleh berlanjutan berhari-hari jika tidak dirawat dan memerlukan rawatan profesional andai peringkat serius.
Jenis-jenis ruam panas
l Jernih (miliaria kristalina)
l Putih/ kuning (miliaria pustulosa)
l Merah (miliaria rubra)
l Dalam (miliaria profunda)
Risiko ruam panas
Semua orang terdedah kepada ruam panas. Namun mereka yang lebih terdedah kepada masalah ini adalah:
l bayi
l kanak-kanak berumur di bawah empat tahun
l atlet atau individu yang berkerja di kawasan panas atau terik matahari
l obesiti
l pesakit yang sukar bergerak (bed ridden)
l individu yang kurang atau tidak berpeluh secara kongenital (keturunan)
l pekerja ketenteraan
Punca
Berlaku apabila liang peluh dan bulu roma pada permukaan kulit tersumbat. Kelenjar peluh dengan peluh yang terperangkap menyebabkan muncul benjolan kecil yang mengandungi air pada kawasan kulit.
Peluh manusia mengandungi garam yang tinggi, sangat berpotensi menyebabkan iritasi kulit dan ruam panas.
Kerana itu pentingnya membasuh peluh dengan air dan sabun.
Simptom
Ruam panas biasanya muncul dalam bentuk benjolan kecil dalam jumlah yang banyak di bahagian folikel bulu roma. Di sesetengah kawasan, ia mungkin berwarna merah atau merah jambu.
Lebih teruk, ruam panas boleh menyebabkan iritasi teruk dan muncul tompok-tompok merah lebih besar dan gatal-gatal.
Sesetengah individu mengalami ruam panas sangat gatal dan sesetengah pula tiada kesan tertentu.
Kawasan yang sering terjadi ruam panas adalah muka, leher, belakang, abdomen, kemaluan, di bawah dada, lipatan siku dan punggung.
Rawatan profesional
Kebanyakan kes ruam panas pulih dengan sendiri tanpa rawatan doktor. Ruam panas yang berpanjangan perlu didiagnos melalui karakter kulit dan sejarah ruam sebelum ini. Ruam yang teruk memerlukan ujian mikroskopik atau biopsi kulit. Lain-lain ujian yang perlu dilakukan adalah untuk memastikan sama ada jangkitan bakteria, ekzema atau jangkitan kulat.
Penjagaan sendiri di rumah
Kebanyakan ruam panas boleh pulih tanpa rawatan. Sesetengah kes pulih sehari selepas bertukar kepada kawasan yang lebih sejuk.
Langkah untuk penjagaan ruam panas:
1. Basuh kawasan ruam dengan sabun lembut. kemudian bilas dengan air dan kringkan dengan tuala. Basuh beberapa kali setiap hari terutama selepas bersenam atau bersukan, berjalan jauh atau terdedah kepada matahari.
2. Duduk di kawasan yang sejuk (di bawah bumbung dan biarkan kulit bebas bernafas).
3. Mandi atau berendam dalam air sejuk.
4. Rehat dalam kawasan berpendingin hawa (21 hingga 22oC) sebagai terapeutik. Jika tiada alat pendingin hawa di rumah, boleh keluar bersiar-siar di kawasan mempunyai pendingin hawa.
5. Elakkan sentuhan kulit ke kulit di kawasan lipatan seperti bawah dada dan abdomen dengan meletakkan kain kapas atau material menyerap peluh.
6. Letak pek sejuk di kawasan yang mengalami ruam panas (jangan letak melebihi 20 minit dalam satu jam).
7. Gunakan ubat niacin.
Cara mengelak ruam panas
l Pakai pakaian menyerap peluh seperti kapas.
l Elakkan penggunaan fabrik nylon dan poliester.
l Pastikan bayi berada dalam keadaan selesa dan kering. Periksa lampin mereka dan tukar lebih kerap kerana bayi lebih mudah terkena ruam lampin.
l Air liur bayi yang meleleh mengundang penyumbatan folikel liang roma menyebabkan ruam panas.
l Individu yang terlantar sakit di katil perlu bergerak untuk mengelakkan peluh berterusan di kawasan yang sama.
Faktor yang memburukkan ruam panas
l kelembapan tinggi
l Suhu tinggi
l Aktiviti jakuzi, sauna dan bilik stim.
l demam
l selaran matahari (sunburn)
l berpeluh kerap atau hiperhidrosis
l pakaian yang ketat dan fabrik tidak mesra pengaliran udara
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
(Terima kasih Jabatan Pemasaran dan Perhubungan Awam DEMC)
Read more...
28 February 2010
Inovasi berwuduk-Elak jangkitan dan pembaziran

PANCURAN air pada bahagian atas mesin ini memudahkan basuhan muka, tangan dan kepala.
RAMAI yang maklum betapa perlunya penyediaan tempat mengambil wuduk yang selesa, lebih-lebih lagi jika kekerapan ia digunakan digandakan lagi dengan bilangan orang yang menggunakannya.
Mungkin apa yang difikirkan paling sempurna bagi seseorang pengguna adalah aspek keberkesanan fungsi. Lebih penting, ketika berwuduk, perkara yang perlu dijaga selain adab adalah soal kesucian kawasan atau tempatnya serta cara mengelakkan pembaziran air kerana itu menyumbang kepada kekhusyukan dalam beribadah.
Apabila memikirkan perkara-perkara tersebut, ilham boleh datang kepada sesiapa pun melalui pemerhatian. Sama seperti yang dialami seorang ahli perniagaan, Anthony Gomez, dalam satu kejadian pada tahun 2006.
Pengalaman hendak menggunakan tandas di dalam sebuah feri dalam perjalanan dari Pelabuhan Aqaba, Jordan ke Pelabuhan Taba, Mesir telah membuka Anthony untuk mencipta satu inovasi terkini bagi membantu umat Islam mengambil wuduk.
Ketua Pegawai Eksekutif AACE Technologies Sdn. Bhd., (AACE Technologies) itu berasa terkejut apabila melihat keadaan tandas sempit yang dipenuhi kira-kira 40 jemaah haji. Mereka dilihat sedang mengambil wuduk dengan menggunakan besen.
Anthony seperti terpanggil untuk melakukan sesuatu demi membantu sekali gus mengatasi masalah keselesaan para jemaah di dalam feri itu.
Sistem praktikal
Dia yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan penerbangan mula memikirkan tentang suatu ciptaan berteknologi tinggi namun mudah, ergonomik dan praktikal. 
MESIN Auto Wudu Washer tercipta selepas mengambil kira beberapa faktor dan sebab.
“Saya telah mengambil masa kira-kira dua tahun dalam penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan mesin automatik Auto Wudu Washer. Ia adalah mesin wuduk pertama di dunia yang dihasilkan syarikat tempatan.
“Hampir semua bahan yang digunakan untuk membangunkan produk ini adalah bahan tempatan. Kos bagi penyelidikan dan pembangunan bagi Auto Wudu Washer pula mencecah AS$1 juta (RM3.4 juta) dan keseluruhan pelaburan untuk projek membabitkan kira-kira AS$2.5 juta (RM8.5 juta),” katanya.
Beliau menambah, terdapat dua model dalam proses pengeluaran AACE Technologies iaitu model 707 dan model 708 dijangka akan memasuki pasaran pada bulan Julai ini.
Perbezaan mengenai dua model ini ialah model 707 disasarkan untuk kegunaan di pejabat dan rumah.
Ia mempunyai ketinggian 190 sentimeter (sm) dan lebar 110 sm manakala model 708 dibina khusus bagi kegunaan seperti masjid, lapangan terbang, hotel serta pusat membeli-belah dengan ketinggian 150 sm serta lebar 86 sm.
Ujar Anthony, antara keistimewaan mesin ciptaannya adalah ia tidak menggunakan air yang begitu banyak dan hanya memerlukan 1.3 liter untuk seseorang menyempurnakan wuduk.
Katanya, ia tentu sekali dapat menjimatkan penggunaan air kerana berbanding menggunakan paip biasa, seseorang tanpa disedari akan ‘membazirkan’ lapan liter air.
“Sebagai contoh, mesin ini hanya memerlukan 10 juta liter air untuk kegunaan wuduk harian bagi dua juta umat Islam ketika musim haji di Mekah.
“Sebab itu AACE Technologies menyasarkan pasaran di negara Asia Barat untuk menjual mesin wuduk ini kerana kebanyakan daripada negara tersebut berdepan kekurangan bekalan air,” ujarnya lagi.
Menghindar jangkitan
Selain daripada menjimatkan air, mesin Auto Wudu Washer turut mengetengahkan teknologi khas bagi memastikan ia bersih dan selamat digunakan.
Penasihat AACE Technologies, Dr. Taufiq Thiagi, berkata: “Dalam pembangunan mesin wuduk automatik ini, kita telah membuat kajian agar pengguna terhindar daripada mendapat jangkitan kuman atau kulat air pada kaki mereka.
“Teknologi nano yang diterapkan dalam pembangunan mesin wuduk ini amat membantu. Nano perak yang terdapat pada mesin ini biasanya digunakan untuk mengecat dinding hospital kerana ia membunuh kuman.
Ujar beliau lagi, mesin wuduk tersebut juga didatangkan dengan sistem pengering untuk membolehkan pengguna berada dalam keadaan kering apabila menggunakan Auto Wudu Washer.
Katanya, itu menggalakkan persekitaran tempat mengambil wuduk sentiasa dalam keadaan kering. Idea ini dipraktikkan kerana kuman boleh merebak dengan pantas di persekitaran yang basah dan lembap.
“Secara tidak langsung, kelembapan yang dapat dielakkan itu dapat mengurangkan kerosakan pada permaidani dan mengatasi masalah bau hapak di masjid atau surau,” ujarnya.
Kualiti amat ditekankan dalam pembangunan mesin automatik wuduk ini apabila sistem pengesan pemencar (diffuse sensor) turut digunakan agar ia lebih tahan lama.
“Misalnya, jangka hayat mesin basuh dapat dipanjangkan apabila mekanisme yang sama digunakan untuk mengelakkan kerosakan akibat terkena air, hentakan dan sebagainya.
Dalam pada itu, Dr. Taufiq menjelaskan, mesin wuduk yang diperbuat daripada keluli tahan karat itu berfungsi dengan dua bahagian punca air.
Di bahagian atas mesin ini terletak tiga titik pancuran air untuk keperluan membasuh muka, tangan dan kepala manakala satu lagi pancuran terletak di bahagian bawah mesin.
“Terdapat lampu pemancar cahaya diod (LED) yang akan membimbing pengguna ketika menggunakan punca air di bahagian atas atau bawah.
“Selain daripada itu, mesin ini turut menggunakan program komputer untuk memberitahu turutan melakukan wuduk,” ujarnya.
Memandangkan teknologi ini direka bagi membantu penjimatan air, program komputer yang terdapat pada mesin wuduk ini membolehkan pengguna untuk mengubah kadar dan sukatan air digunakan mengikut kesesuaian masa serta lokasi ia dipasang kelak.
Dr. Taufiq menambah, mesin tersebut mudah dipasang dan amat sesuai digunakan di kediaman, masjid, surau, pejabat serta kapal terbang penumpang.
Read more...
26 February 2010
25 February 2010
Didik anak nilai wang

Anak-anak perlu dididik menghargai nilai wang supaya mereka tidak menjadi individu yang boros apabila dewasa nanti.
IBU bapa tentunya mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Namun dalam usaha membesarkan generasi muda di zaman kebangkitan media massa ini, ada yang alpa mendidik anak menghargai nilai wang.
Ini tidak bermaksud isu itu diabaikan sama sekali. Kebanyakan ibu bapa memberikan wang poket malah elaun mingguan atau bulanan bagi mengajar anak mereka menguruskan wang secara bijak.
Persoalannya, adakah memadai memberikan anak-anak kebebasan membuat keputusan atau kadangkala terlalu besar sehingga anak langsung tidak peduli apa yang dibelanjakan dengan duit saku tersebut.
"Ini kerana ramai ibu bapa ketika zaman kanak-kanaknya terpaksa melalui kesukaran apatah lagi dimanjakan dengan kemewahan hidup.
"Sekarang mereka cuba memberikan segala-gala yang termampu untuk anak-anak kerana tidak mahu melihat mereka hidup susah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Tune Money Sdn. Bhd., Joyce Lai.
Apabila ibu bapa tidak teragak-agak menunaikan segala yang dihajati, sudah tentu anak-anak membesar dengan tidak tahu menghargai nilai wang.
Malangnya, tabiat itu menjadikan generasi seterusnya bukan sahaja enggan memahami nilai wang malah mendorong mereka menjadi boros dan tidak pandai menabung untuk masa depan.
Sehinggalah suatu ketika apabila mereka menjadi golongan dewasa yang bukan sahaja terpaksa menanggung kos kehidupan dengan pendapatan tidak seberapa malah dibebani pula hutang peribadi seperti ansuran kenderaan, rumah dan kad kredit.
Sebagai wanita berusia 30-an yang hidup di tengah-tengah metropolitan, Joyce juga pernah melalui kepayahan yang sama dan terperangkap dalam bebanan hutang kad kredit.
"Saya tahu ramai terpaksa belajar mendisiplinkan diri hanya selepas dikejar bebanan hutang kad kredit yang cepat 'membukit'.
"Apatah lagi sukar untuk mengawal kegunaan kad kredit yang boleh digunakan di mana-mana termasuk membeli barangan dapur, mengisi petrol, makan di restoran dan banyak lagi," kata Joyce.
Bagaimanapun, katanya, pemilihan 'wang plastik' yang betul sama ada kad kredit mahupun debit dapat membezakan antara penjimatan dan pembaziran ketara lebih-lebih lagi jika digunakan tanpa kawalan.
Ini kerana beliau sendiri mengharungi pengalaman menggunakan kedua-dua jenis kad tersebut bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaiannya terutama bagi masyarakat urban di zaman teknologi ini.
Kata Joyce, dia bukan sekadar 'menjual produk' malah mengamalkan penggunaan kad debit sebagai sebahagian gaya hidup sejak wujudnya Tune Money.
"Seperti kebanyakan orang, saya juga pernah menggunakan kad kredit dan faham benar masalah serta kepayahan menguruskan wang jika terlalu bergantung kepadanya.
"Apatah lagi bila kad ada di tangan, leret saja tanpa fikir. Apabila bil sampai, sudah tentu faedah dikenakan juga melambung tinggi," kata Joyce.
Kad debit bukan satu fenomena baru. Kebanyakan negara asing telah menggunakannya sejak lebih dua dekad lalu bagi menguruskan perbelanjaan harian.
Tetapi ia kurang popular jika dibandingkan dengan kad kredit yang masih menjadi pilihan ramai lebih-lebih lagi golongan eksekutif muda yang memperoleh gaji permulaan lumayan.
Ramai berpendapat penggunaan wang plastik mampu mengawal perbelanjaan bulanan yang bukan sekadar melibatkan bil malah tol, minyak, barangan dapur dan banyak lagi.
Menurut Joyce, tidak mustahil satu hari semua rakyat Malaysia mengikuti jejak komuniti negara maju yang sudah pun mempraktikkan penggunaan wang plastik pra bayar seperti Tune Money.
Ini kerana, masyarakat umum mula menerima baik perubahan itu apatah lagi pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan dan ganjaran bagi menarik lebih ramai pengguna kad pra bayar tersebut.
Golongan paling sesuai dan berpotensi mendapat banyak manfaat hasil penggunaan kad debit adalah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang memerlukan wang bagi tujuan yuran, buku rujukan, kurikulum dan sebagainya.
Di samping itu mereka berada dalam lingkungan usia yang memerlukan kebebasan dalam berbelanja pada masa sama berjimat untuk mendapatkan kelengkapan belajar.
"Anak remaja sekarang terdedah kepada media massa yang menyajikan pelbagai pilihan untuk berbelanja.
"Kebanyakan mereka mampu membuat keputusan sendiri bila diminta membuat pilihan, jauh berbeza dengan generasi satu atau dua dekad lalu," jelasnya.
Atas kesedaran itu juga, ibu bapa perlu melakukan sesuatu untuk mengawal perbelanjaan anak-anak yang semakin meningkat, ditambah dengan bebanan kenaikan harga barangan keperluan saban tahun.
Salah satu caranya adalah menggunakan kad pra bayar yang mengehadkan penggunaan wang mengikut bajet tertentu setiap bulan menggunakan Tune Money.
Melalui cara ini, kata Joyce, generasi muda berpeluang membuat pilihan sendiri dengan lebih bertanggung jawab dan berhati-hati.
Read more...
24 February 2010
Segala-galanya ada di Melaka

WARNA merah bangunan Stadhuys ini menjadi antara ikon kegemaran untuk peluang fotografi.
PENGUNJUNG ke Melaka akan disambut dengan slogan, Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia. Slogan itu jelas tertera di pintu gerbang ketika memasuki negeri itu di Lebuh Raya Ayer Keroh-Jalan Tun Razak.
Benarkah apa yang ada di seluruh Malaysia ada di Melaka? Secara amnya, banyak produk pelancongan ditawarkan kepada pengunjung baik dari segi kemudahan awam, tempat kunjungan, pusat beli-belah, hotel, institusi pendidikan, pantai, pulau dan sebagainya.
Melaka juga bercirikan 1Malaysia, kata seorang peserta rombongan ketika berkunjung ke Melaka baru-baru ini. Dia menegaskan, pendapatnya itu berdasarkan nilai-nilai yang ketara di mata kasarnya.
Dari segi perpaduan dan penerimaan, sejarah membuktikan Melaka sudah lama menerima kewujudan pelbagai kaum.
Dari zaman pedagang Cina dan India, hinggalah ke zaman Kesultanan Melaka kemudian ke zaman penjajahan seterusnya era sebelum dan selepas merdeka.
Kini, keluarga Baba Nyonya, Portugis dan Chitti hidup dalam suasana aman damai di tengah-tengah kelompok komuniti Melayu, Cina dan India. Nilai kepelbagaian itu jelas mempunyai kuasa tarikan untuk pelawat domestik dan pelancong asing.
Keistimewaan diiktiraf
Bandar raya Melaka bagaikan bandar dalam taman, kerana di celah-celah sistem jalan raya yang teratur dan bangunan tinggi serta moden, mata akan dipukau pemandangan indah landskap taman dan bunga-bungaan yang ditata rapi dan bersih.
Melaka yang dinobatkan negeri maju pada Oktober ini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandar Raya Warisan Dunia.
Seramai 8.9 juta pelancong melawat Melaka pada tahun lepas iaitu melepasi sasaran 7.4 juta orang, manakala pada 2008 seramai 7.4 juta orang melawat negeri bersejarah itu.
Melaka terkenal dengan aset sejarah peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis dan Belanda yang terletak di sekitar Bandar Hilir.
Terdapat lebih 20 muzium termasuk Muzium Baba Nyonya dan Muzium Chitti yang menceritakan secara terperinci khazanah sejarah ini.
Pelawat juga boleh mengunjungi perkampungan Portugis di Ujong Pasir, perkampungan Chitti di Jalan Gajah Berang dan Kampung Morten iaitu perkampungan Melayu di tengah-tengah bandar raya Melaka.
Pelbagai taman disediakan untuk dilawat tetamu selain Zoo Melaka, iaitu Taman Mini Malaysia dan Asean, Taman Buaya, Taman Rama-Rama, dan Taman Botanikal Melaka.
Tidak ketinggalan, Kampung Buku Malaysia Melaka, Muzium Lebah dan Taman Seribu Bunga menawarkan pengalaman istimewa. Semua lokasi tersebut terhimpun di sekitar Ayer Keroh.
Produk pelancongan lain yang patut dilawati ialah menyusuri sungai Melaka dengan bot Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Eye On Malaysia, Duck Tour, Water Taxi dan Kompleks Planetarium.
Jika beberapa negeri di Malaysia bangga dengan pantai mereka, Melaka juga mempunyai pantai yang indah dan bersih seperti Pantai Puteri dan Pantai Tanjung Bidara di samping Pulau Besar.
Kolam air panas di Gadek dan Bemban serta air terjun di Asahan, menambahkan lagi tarikan Melaka. Peminat agropelancongan pula boleh ke daerah Alor Gajah dan Jasin untuk meninjau produk di sana.
Syurga beli-belah
Melaka diibaratkan syurga kepada mereka yang gemar membeli-belah daripada produk kraf tangan hinggalah pelbagai barang berjenama terkemuka.
Pengunjung boleh berjalan kaki dari satu bangunan ke satu bangunan untuk memasuki pusat beli-belah seperti Kota Fesyen di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Batik House dan Dataran Pahlawan Megamall.
MUZIUM Samudera di Bandar Hilir paling diingati kerana reka bentuknya adalah berdasarkan replika kapal Flor De La Mar.
Mereka yang menyukai barang antik boleh mengunjungi Jonker Walk. Premis menjual produk kraf tangan terdapat banyak di pusat bandar dan di kawasan khas serta di tepi-tepi jalan.
Bagi mereka yang mencari tempat untuk menjamu selera, Melaka kaya dengan keistimewaan makanan seperti asam pedas dan ikan bakar.
Malah, tidak sempurna kunjungan kalau tidak pergi ke medan ikan bakar Melaka di Umbai, Kuala Duyung, Serkam dan Alai.
Melaka turut berbangga dengan variasi kemudahan sukan yang disediakan kepada umum di tempat bertaraf dunia seperti Pusat Bowling Antarabangsa Melaka, Sirkit Sukan Pemotoran Antarabangsa Melaka dan padang golf.
Bagi menjadikan Melaka pusat pendidikan terulung, kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan dari peringkat rendah hingga tinggi. Kemudahan pendidikan itu juga terbuka kepada pelajar antarabangsa.
KREATIVITI hiasan beca dan keramahan pengayuh beca di Melaka pasti meninggalkan kenangan istimewa buat pelancong.
Antara institusi yang mempunyai reputasi terbaik ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Multimedia, MCET UniKL Alor Gajah dan Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka.
Begitu juga dengan Kolej Komuniti, Politeknik, Kolej Yayasan Melaka, Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka, Kolej Stamford, Kolej Antarabangsa DMDI dan Kolej Risda.
Kecemerlangan Melaka yang banyak dikongsi dengan pelancong, menggerakkannya untuk menawarkan kemudahan pelancongan kesihatan yang boleh diperoleh di hospital dan klinik kerajaan serta swasta negeri ini.
Melaka juga sedang berkembang dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan yang terbaru dilengkapi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan satu gigabit per saat.
Bioteknologi pula ialah bidang yang semakin berkembang sebagai penjana pendapatan baru kepada Melaka, termasuk penubuhan Perbadanan Bioteknologi Melaka dan Institut Bioteknologi Melaka.
Sebagai usaha mewujudkan insentif menarik kepada pelabur, Melaka turut menyediakan kawasan perindustrian untuk pelabur yang ingin membuka kilang di negeri ini.
Jika bukan kerana pelancongan rekreasi, Melaka juga merupakan destinasi terbaik mengadakan pameran, bengkel, seminar dan konvensyen antarabangsa.
MENYUSURI Sungai Melaka dengan bot pesiaran Melaka River Cruise memudahkan orang ramai mendalami sejarah pembangunan negeri itu.
Ini berikutan kemudahan yang terdapat di MITC, hotel dan resortnya. Chalet dan konsep inap desa turut disediakan kepada pengunjung untuk memastikan mereka tidak hanya singgah, tetapi bermalam di Melaka.
Read more...
23 February 2010
Mengatur tabiat makan anak

Tabiat mengambil makanan ringan di kalangan kanak-kanak tidak digalakkan. Gambar hiasan.
KECENDERUNGAN kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu (junk food) sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan tidak sihat.
Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan tertarik dengan iklan-iklan makanan segera berjenama terkenal yang menggiurkan.
Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan mudarat.
Begitu juga dengan kandungan lemak tidak tepu, gula dan garam yang tinggi ditambah lagi kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.
Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah lagi mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat.
Ada juga ibu bapa yang beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak pil-pil vitamin yang boleh dibeli untuk anak-anak di pasaran.
Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplemen seperti ini.
Menurut Coughlin (2003) dalam penulisan jurnalnya bertajuk 'Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence' terdapat tiga faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat.
Pertama, apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah.
Misalnya melambakkan sebegitu banyak stok makanan ringan, gula-gula atau air berkarbonat di dapur sekadar tujuan untuk dinikmati secara ringan sambil bersantai menonton televisyen.
Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat.
Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak, yogurt atau pun kismis.
Faktor kedua, keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran. Kadang kala, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa untuk makan satu-satu jenis makanan sahaja.
Ia akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa.
Maka ibu bapa harus bijak mempelbagaikan jenis atau cara masakan yang disajikan sama. Yang pentingnya, khasiat makanan tetap terpelihara dan memberi faedah kepada perkembangan tubuh badan dan mental anak-anak.
Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng seperti mana yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.
Faktor ketiga pula adalah emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan.
Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka.
The American Academy of Peadiatrics misalnya mencadangkan beberapa perkara dalam menyusun-atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak-anak yang sihat.
Banyak ibu bapa yang risau anak-anak mereka makan mungkin terlalu sedikit atau terlalu banyak. Maka, untuk mengelak kerisauan dan membimbing anak-anak makan dengan betul, kedua-dua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing.
Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan pilihan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam) dan makan ringan seperti minum petang.
Ibu bapa menentukan apa untuk dimakan, di mana dan bila. Tanggungjawab anak-anak pula untuk memilih berapa banyak mereka perlu makan makanan yang disediakan ibu bapa.
Kaedah ini mungkin mengambil masa jika ia baru hendak dipraktikkan, namun ia akan membentuk disiplin makan yang baik untuk anak-anak di mana mereka memperoleh jumlah makanan berkhasiat yang sepatutnya, pada waktu yang tepat dan tempat yang betul.
Ibu bapa sendiri patut mengamalkan tabiat pemakanan harian yang sihat supaya anak-anak akan melihat dan mengikutnya sebagai contoh yang baik.
Begitu juga ibu bapa yang merokok perlu seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada merokok di hadapan anak-anak, atau lebih baik lagi berhenti terus daripada merokok.
Membuat aktiviti fizikal dan jasmani secara tekal dan kerap bersama anak-anak akan membantu mereka menjadi sihat. Senaman yang dilakukan mampu membakar kalori yang diambil dalam makanan, mengeluarkan toksik di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.
Makan secara bersama-sama dalam keluarga sekerap mungkin. Sediakan menu makanan yang menarik, pelbagai dan segar. Dalam sesi makan seperti inilah ibu bapa dan anak-anak lebih mudah untuk mendapatkan kata sepakat tentang tabiat pemakanan dan jenis makanan yang baik untuk seisi keluarga.
Jika mampu, bawa anak-anak berjumpa pakar pemakanan atau ke pusat kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya.
Kadang kala, anak-anak akan lebih terpengaruh dan mempercayai kata-kata seorang doktor berkaitan tabiat makan yang betul daripada nasihat ibu bapanya. Namun ia bukanlah satu isu yang besar, asalkan anak-anak dapat terus sihat dan membesar dengan normal dan baik.
Kesimpulannya, jika tabiat makan anak-anak tidak diselaraskan dan dikawal sebaiknya oleh ibu bapa, dikhuatiri mereka akan mudah menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa pendek mahu pun panjang.
Pemilihan makanan yang tepat turut mampu membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.
Duit tidak dibazirkan membeli makanan yang tidak berkhasiat lagi 'beracun', bahkan jimat daripada terpaksa membayar bil-bil perubatan kerana keadaan ahli keluarga sakit dek tabiat makan yang buruk.
Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Read more...
22 February 2010
Memulih sahsiah pelajar

APAKAH yang harus kita lakukan untuk membanteras masalah dalam kalangan pelajar ini? - Gambar hiasan
SABAN hari kita disajikan dengan laporan-laporan kes jenayah yang kebanyakan dilakukan oleh golongan remaja seperti meragut, merogol, membunuh dan lain-lain.
Kisah-kisah yang menjadi tumpuan media cetak mahupun elektronik itu hanya sekadar menjadi bahan bacaan harian yang telah dianggap sebagai insiden biasa dalam masyarakat kita pada masa kini.
Siapakah yang wajar dipersalahkan? Tidakkah kita prihatin melihat anak bangsa yang bakal menjadi generasi negara diserang penyakit mental atau stres?
Dalam menangani isu membimbangkan ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menggesa kerajaan mengambil serius dan telus dalam menangani masalah remaja terutama golongan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan pada masa kini.
Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) serta Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan berharap kerajaan menyelaraskan intipati pendidikan mengikut transformasi persekitaran.
Presiden PIBGN, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibubapa-Guru) 1998 yang termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 perlu dilihat semula dan diberi nafas baru.
"Kini pelbagai masalah melibatkan remaja seperti bunuh, dadah, merompak lebih banyak melibatkan golongan remaja yang bersekolah. Oleh itu kita kena lihat dengan lebih menyeluruh untuk memberi pendidikan secara holistik kepada anak-anak masa kini bermula dari akar umbi," katanya ketika di temui Kosmo! selepas mempengerusikan mesyuarat bersama NGO yang terlibat di Memorial Tun Hussien Onn baru-baru ini.
Kekurangan dana
Antara barisan panel yang membincangkan isu tersebut ialah Yang Dipertua Mubarak, Aziz Yassin, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo, Setiausaha Mubarak, Prof. Datuk Seri Ibrahim Saad dan Panel Pemikir GPMS, Datuk Mohd. Ali Baharom.
Merujuk kepada akta tersebut di bawah fasal 5 (1), dinyatakan tujuan-tujuan persatuan ialah untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam sekolah dalam meningkatkan imej sekolah.
Untuk tujuan itu kata Mohamad Ali lagi, PIBG perlu meminta sumbangan daripada ibu bapa pelajar yang kadangkala diiringi dengan rungutan yang tidak enak didengar.
"PIBG berusaha untuk anjurkan aktiviti dan program untuk melibatkan ibu bapa, guru serta pelajar untuk mewujudkan suasana yang sihat dan secara tidak langsung para pelajar khususnya golongan belia dapat menghabiskan masa dengan aktiviti yang berfaedah.
"Tetapi PIBG kesal kerana sumbangan dana yang tidak mencukupi menjadi kekangan kepada kami untuk terus melaksanakan tujuan asal pertubuhan ini diwujudkan," katanya.
Tambahnya, dalam mesyuarat tersebut, turut disentuh ialah Bahagian IV, fasal 13 akta tersebut iaitu persatuan tidak boleh bergabung dengan mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau lain-lain pertubuhan yang didaftarkan atau diperbadankan di bawah undang-undang bertulis yang berkuat kuasa berhubung dengannya.
"Kita bukan mahu berpolitik di sekolah, kita perlukan permuafakatan daripada semua pihak tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkang, dengan kekangan di bawah dasar berkenaan, PIBG umpama 'terhalang' untuk bermuafakat dengan pertubuhan luar.
"Diharap kerajaan dapat meneliti balik perkara ini kerana ia umpama kerajaan sendiri 'menghalang' PIBG untuk membantu memulihkan sahsiah pelajar sekolah," katanya.
Mohamad Ali turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Jawatankuasa untuk mewujudkan Majlis Penasihat Pendidikan.
"Apa yang kita lihat selalunya hanya ada penasihat dan pemerhati dalam bidang ekonomi sahaja, kenapa tidak wujudkan untuk bidang pendidikan pula?
"Sekarang ini, kita perlu lihat aspek pendidikan secara keseluruhan iaitu bermula daripada prapendidikan sehingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mencari satu pendekatan baru untuk membentuk remaja melalui pendidikan yang berkesan," ujarnya.
Kaji dasar pendidikan
Tambah Mohamad Ali, dasar dan peraturan yang telah diwujudkan untuk pendidikan negara perlu diteliti serta dikaji dengan lebih telus. Bukannya hanya melontarkan idea secara ad-hoc.
"Kita bukan mahu wujudkan agenda politik dalam pendidikan, tetapi mereka yang membuat peraturan perlu memikirkan bagaimana orang bawahan mahu melaksanakan dasar berkenaan.
PENDIDIKAN yang menyeluruh diperlukan untuk membantu membanteras masalah yang melanda golongan remaja. - Gambar hiasan
"Kita ambil contoh Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pelaksanaan dasar itu tidak menyeluruh, implikasinya ia menjadi beban kepada kita semua," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mustafa Latif berkata, kerajaan sepatutnya memberi sokongan terhadap PIBG sekolah dalam membentuk sahsiah remaja dan bukannya hanya tertumpu kepada akademik sahaja.
"Kita lihat dengan pengiktirafan seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), ia dilihat seperti memberi pengiktirafan terhadap guru besar dan pengetua sahaja dan ia hanya melibatkan sekolah-sekolah yang pelajarnya memang daripada kategori bijak.
"Bagi sekolah-sekolah panas yang sentiasa bermasalah, hanya PIBG yang bertungkus-lumus menyediakan pelbagai aktiviti kokurikulum untuk mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti tidak sihat diluar," katanya.
Tambah Mohammad Ali, kerajaan sepatutnya melihat bidang pendidikan sebagai satu bidang yang menyeluruh bukan sahaja melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi tetapi kesemua kementerian secara amnya.
Panel Pemikir GPMS, Datuk Mohd. Ali Baharom yang juga Pegawai Khas Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan Malaysia berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan Malaysia untuk menganjurkan beberapa aktiviti yang melibatkan golongan belia.
"Bagi pemimpin-pemimpin parti politik tidak kira parti pemerintah ataupun parti pembangkang, keprihatinan dan respon yang positif amat di perlukan. Janganlah hanya berpolitik sahaja.
"Sebagai masyarakat majmuk, remaja dan belia-belia kita perlukan keprihatinan daripada kita untuk menghindarkan mereka daripada terjebak ke kancah yang tidak sihat ini," katanya.
Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
rencana@kosmo.com.my
Read more...
