
SIKAP agresif kanak-kanak turut disumbangkan keadaan persekitarannya, sama ada melalui perbuatan atau percakapan orang lain.
MEMBESARKAN anak-anak adalah cabaran besar yang perlu dilalui oleh ibu bapa. Cabaran itu lebih hebat jika berhadapan dengan perilaku anak-anak yang nakal, degil, sukar dikawal dan agresif.
Tidak semua ibu bapa dapat bersabar apabila berhadapan dengan anak-anak sebegini. Ada antara mereka yang mengambil jalan mudah dengan memukul anak bagi memberikan pengajaran, namun tindakan tersebut bukanlah pendekatan terbaik.
Malah, tindakan tersebut memburukkan lagi keadaan dan mendatangkan masalah baru. Pendekatan sedemikian boleh mempengaruhi kehidupan anak itu kerana anak-anak yang dilayan sebegitu cenderung menjadi lebih agresif. Jangan terkejut kalau satu hari nanti mereka menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah.
Jangan salahkan anak apabila mereka menjadi seperti itu kerana secara tidak langsung ia berpunca daripada ibu bapa sendiri yang kurang mengawal anak dan jarang melibatkan diri dalam kegiatan harian anak-anak.
Pencegahan adalah perkara terbaik dalam menangani masalah ini. Berikut adalah tip bagi mengatasi anak agresif daripada Pusat Psikologi Malaysia.
Tunjuk kelakuan baik
Anak-anak cenderung meniru apa yang mereka lihat dan dengar. Pada tahap membesar, mereka lebih rentan terhadap pengaruh negatif. Mereka menyerap sifar-sifat negatif orang lain jauh lebih cepat daripada sifat yang positif.
Pengalaman buruk seperti gangguan lisan dan fizikal ketika mengharungi fasa perkembangan kanak-kanak akan kekal di fikiran mereka. Jadi, pastikan bahawa mereka membesar dalam satu persekitaran yang mendedahkan mereka pada perbuatan dan percakapan yang baik.
Disiplin cara tegas
Ketika anak-anak dimarahi atau disogokkan dengan disiplin yang ketat, mereka cenderung membalas balik dengan lebih agresif. Mereka mungkin akan menunjukkan sikap agresif tanpa henti, jika anda melayan mereka dengan cara yang salah. Ibu bapa perlu berlembut namun tegas.
Ajar kawal kemarahan
Menzahirkan kekerasan bukanlah perkara yang disenangi orang lain. Ibu bapa perlu bijak menenangkan anak-anak secara rasional setiap kali berlaku konflik kehendak yang mencetuskan kemarahan si kecil.
Tunjukkan pada anak-anak itu kesan atau akibat yang berlakun sekiranya sesuatu pilihan itu dibuat dengan salah. Didiklah mereka tentang cara yang baik untuk berhadapan dengan sesuatu situasi dengan menunjukkan contoh yang baik.
Tenangkan diri
Setiap kali anak menjadi agresif, berikannya cukup masa untuk menenangkan diri. Cari waktu yang sesuai untuk menjelaskan bahawa sikap agresif bukanlah satu cara untuk menyelesaikan masalah.
Hormati perasaan
Ibu bapa sering berfikir bahawa kemarahan yang tiba-tiba merupakan masalah serius kepada anak-anak yang agresif.
Jangan sesekali menganggap anak tersebut kerap membawa masalah kepada orang di sekelilingnya. Sebaliknya, anggap ia sebagai rintangan untuk memperbaiki tingkah laku anak yang agresif. Anda sebagai ibu bapa perlu untuk mendidik mereka bagaimana melepaskan atau mengungkapkan perasaan mereka dengan cara yang betul. - NURUL IZZA ROSLY
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
13 May 2010
Lembut lawan agresif
11 May 2010
Kanak-kanak gemuk sasaran buli

Kanak-kanak yang menghadapi masalah berat badan berlebihan terdedah kepada perbuatan buli oleh rakan-rakan sebaya.
- Gambar hiasan
PENYELIDIKAN terbaru mendapati bahawa kanak-kanak yang menghadapi masalah berat badan berlebihan atau gemuk menghadapi risiko lebih tinggi untuk menjadi mangsa buli di kalangan rakan sebaya.
Lain-lain faktor yang biasanya memain peranan dalam kejadian buli seperti jantina, kaum dan tahap pendapatan keluarga sudah tidak menjadi hal berbanding jika anak tersebut gemuk.
Gemuk atau obesiti menenggelamkan semua faktor-faktor lain apabila ia berkaitan dengan tingkah-laku agresif yang dilakukan oleh kanak-kanak lain.
Pembantu Penyelidikan di Pusat Pertumbuhan dan Pembangunan Manusia, Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Dr. Julie Lumeng, berkata, kajian mendapati bahawa gemuk atau obes meningkatkan risiko menjadi sasaran buli sebanyak 63 peratus.
"Salah satu sebab kami memulakan kajian ini adalah kerana obesiti semakin menjadi-jadi pada masa ini. Ketika ini kira-kira separuh daripada kanak-kanak mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes," kata Lumeng,
Dia berkata, para penyelidik juga berharap mereka mungkin boleh menemui beberapa faktor mengelakkan daripada buli, seperti cemerlang dalam persekolahan.
"Tetapi apa yang kami temui cukup merisaukan di mana perkara-perkara yang sebelum ini merupakan punca kanak-kanak dibuli seolah-olah sudah tidak menjadi hal lagi.
"Sebaliknya semuanya berkaitan dengan gemuk. Jika anda gemuk, anda kemungkinan besar menjadi sasaran buli walau apa pun berlaku," katanya
Kajian membabitkan 821 kanak-kanak lelaki dan perempuan yang dipilih dari 10 kawasan berbeza di AS.
Tingkah-laku membuli kerap berlaku pada kanak-kanak sekolah tahun tiga, lima dan enam. Paling muda kebanyakannya kanak-kanak kulit putih, separuh daripada mereka lelaki dan 15 peratus mengalami berat badan berlebihan sejak tahun tiga.
Bagi kanak-kanak tahun enam, para guru melaporkan bahwa 34 peratus mereka yang tersenarai dalam kaji selidik itu telah dibuli. Selain itu, 45 peratus melaporkan anak-ana mereka telah di buli, manakala 25 peratus kanak-kanak itu sendiri mengaku mereka dibuli.
Kajian sebelum ini menunjukkan bahawa budak lelaki dari kumpulan minoriti dan kanak-kanak daripada kumpulan berpendapatan rendah lebih terdedah untuk menjadi mangsa buli.
Jadi para penyelidik mengambil faktor ini dalam kajian mereka untuk melihat sama ada terdapat perbezaan.
Kajian juga memasukkan sekali kanak-kanak yang mempunyai skil sosial dan pencapaian akademik dalam analisis mereka.
"Walau banyak mana kami mengulangi ujian, hasilnya tetap sama dan sangat nyata. Kanak-kanak obes lebih terdedah menjadi mangsa buli," kata Lumeng.
Dia berkata salah satu sebab mengapa dia percaya bahawa penemuan tersebut amat konsisten ialah sikap prejudis terhadap individu gemuk atau obes.
Sementara itu Penolong Profesor di Pusat Pengurusan Berat Badan dan Kesejahteraan di Hospital Kanak-Kanak Pittsburg, Dana Rofey berkata, dia tidak terkejut dengan penemuan baru ini.
"Buli adalah aduan psikologi paling kerap diajukan oleh pesakit kami," katanya.
Bagi ibu bapa dan pakar pediatrik, salah satu sebab kajian ini dibangkitkan untuk memberi ingatan kepada anak-anak mereka yang mengalami berat badan berlebihan.
"Jika anda prihatin pada anak atau kanak-kanak yang obes, anda perlu memberitahu fakta ini dan sesekali mungkin perlu membangkitkan isu ini pada anak-anak.
"Tanya mereka 'bagaimana anda di sekolah hari ini? Atau 'ada sesiapakah yang berkata sesuatu yang membuatkan anda marah'. Ini kerana ia mungkin isu yang sukar untuk diceritakan oleh anak-anak," katanya.
Katanya, jika anak-anak memberitahu bahawa dia dibuli, respon pertama ibu bapa haruslah memastikan perasaan anak ketika itu dan biar mereka tahu bahawa adalah salah bagi seseorang melayan anak anda sebegitu.
"Beri sokongan kepada anak dan pastikan mereka tahu bahawa anda sedang menolong mereka.
"Berbincang dengan anak-anak bagaimana anda boleh campur tangan dalam hal ini. Ini kerana kebanyakan anak-anak dalam usia meningkat remaja tidak suka ibu bapa campur tangan," katanya.
Begitupun, dia mencadangkan agar ibu bapa menetapkan garis panduan tertentu.
"Sebagai contoh, anda mungkin melihat keadaan sudah terkawal, tetapi sesekali bertanya pada mereka dan selidik mengenainya."
Rofey juga mencadangkan didik anak bagaimana untuk mengelak situasi yang mungkin boleh membawa kepada ejek-mengejek atau buli.
"Beritahu pada anak juga bagaimana untuk mendapat pertolongan daripada orang dewasa jika mereka memerlukan," katanya.
Read more...
10 May 2010
Pencuri idam Toyota

KERETA mewah menjadi tumpuan pencuri untuk tujuan eksport.
KEHILANGAN kereta adalah satu pengalaman yang menyakitkan apatah lagi jika kereta itu merupakan satu-satunya kenderaan yang digunakan untuk ke tempat kerja atau menghantar anak sekolah.
“Pengalaman kehilangan kereta adalah sesuatu yang memeritkan,” ujar Za’im Ikmal Mohd, Azhar, 35.
Dia yang pernah kehilangan kereta dua tahun lalu mengakui hampir gila apabila mendapati kereta buatan Jepun yang baru dibelinya itu lesap ketika diletakkan di ruang parkir kondominium yang didiaminya.
“Memang sakit hati bila teringat semula kes kereta saya dicuri dua tahun lalu. Kejadian itu berlaku selepas dua bulan saya membelinya.
“Hampir dua minggu saya ambil cuti untuk mencari kereta itu. Saya dan rakan pergi ke setiap kompleks beli-belah, hotel atau tempat tumpuan awam. Mata saya tajam mencari kereta yang sama jenis. Asalkan berjumpa dengan kereta Subaru Impreza, pasti saya akan menekan alat penggera automatik namun tidak berhasil,” katanya.
Atas nasihat seorang rakan, Ikmal ke pelabuhan untuk mencari keretanya di sana. Dia syak keretanya dicuri oleh satu sindiket dan tidak mustahil kereta itu akan dihantar ke luar negara.
KERETA curi yang bernilai rendah sering dilerai untuk dijadikan alat ganti.
--------------------------------------------------------------------------------
Tanpa berlengah, Za’im terus bergegas ke Pelabuhan Klang dan bertindak berani menekan alat penggera automatik keretanya. Bukan sahaja di kawasan parkir yang luas itu tetapi di setiap kontena yang ditemuinya.
Hampir sebulan kehilangan kereta, lelaki ini masih belum berputus asa dan lokasi carian masih di Pelabuhan Klang. Untuk kesekian kalinya, punat alat penggera yang ditekan Za’im akhirnya menyebabkan alat penggera sebuah kereta berbunyi dari dalam sebuah kontena yang sedang diangkut ke atas kapal.
“Saya sangat yakin itu adalah kereta saya. Malangnya, nasib tak menyebelahi saya kerana pengawal di kawasan berkenaan lambat membantu dan kapal sudah mahu berlepas. Pihak berkuasa yang datang selepas itu pun tidak mampu berbuat apa-apa,” ceritanya.
Kisah Za’im bukan kisah luar biasa kerana saban tahun ribuan kenderaan bermotor yang dicuri, sama ada diseludup ke luar negara mahupun dipotong dan dijual sebagai alat ganti.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutif ISM Insurance Services Malaysia Bhd., Charl Rajendram, kes kecurian kereta menurun daripada 9,899 pada 2008 kepada 8,673 pada 2009.
“Kecurian tersebut melibatkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM446 juta pada 2008 dan RM404 juta pada tahun 2009.
CHARL (kiri) dan rakan setugasnya, Danny Yap menjelaskan statistik terkini kecurian kereta di Kuala Lumpur baru baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------
“Walaupun angka tersebut menunjukkan penurunan namun kes kecurian kereta masih di tahap membimbangkan,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Selangor merupakan negeri sasaran pencuri kereta di mana 20 peratus daripada kes kecurian kereta berlaku di negeri itu. Ini diikuti Johor iaitu 13 peratus dan Perak 10 peratus.
“Jenayah curi kereta adalah jenayah yang mampu mengaut keuntungan lebih setengah bilion ringgit setahun,” ujarnya.
Sementara itu, Penasihat Teknikal Persatuan Insurans Malaysia (PIAM), Tan Eng Leong berkata, jenama Proton merupakan kereta yang paling banyak dilaporkan hilang.
“Sebanyak 3,873 kereta Proton dicuri sepanjang tahun lepas. Walaupun jumlahnya banyak, namun kereta jenis ini bukan kereta kegemaran pencuri. Sebaliknya, kereta jenis Toyota adalah jenama pilihan yang paling kerap dicuri. Sepanjang tahun lepas, sebanyak 1,472 kes kecurian kereta Toyota dilaporkan kepada PIAM.
“Kereta jenis Perodua pula dilaporkan hilang sebanyak 921 buah pada tahun yang sama,” katanya.
SEBUAH kereta Proton Waja dileraikan oleh satu sindiket di Pulau Pinang untuk dijadikan alat ganti.
--------------------------------------------------------------------------------
Tambah Eng Leong, kereta mewah seperti Mercedes Benz, BMW dan Audi juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran pencuri kereta.
“Kebanyakan kereta mewah yang dicuri didalangi sindiket yang akan menyeludupnya ke luar negara. Kereta tempatan dan murah pula akan dipotong alat gantinya dijual kepada bengkel-bengkel kereta,” ujarnya.
Jelas Eng Leong, dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, kehilangan kereta di Malaysia melibatkan kerugian secara purata RM550 juta setiap tahun.
“Ia adalah kerugian yang sangat besar bukan sahaja dari segi nilai harta tetapi juga kesempitan kewangan dan emosi individu yang berdepan dengan situasi ini.
“Oleh itu, tidak kira sama ada kereta itu murah atau mahal, pemilik tidak boleh sambil lewa terhadap keselamatan harta benda mereka sebaliknya perlu berwaspada dan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan,” nasihatnya.
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
Read more...
09 May 2010
Robot kampung

PENCIPTA robot berkelulusan sekolah rendah ini telah mencipta 47 jenis robot, termasuk robot penarik lanca ini yang disifatkannya sebagai anak yang ke-31.
IKA kita berbangga dengan Zulkifli Haron yang juga dikenali sebagai 'McGyver Malaysia' kerana berjaya mencipta pelbagai peralatan canggih daripada bahan-bahan yang murah, negara China juga mempunyai seorang pencipta yang gemar mencipta robotnya sendiri.
Wu Yulu, 49, seorang petani yang tinggal di pinggir bandar Beijing, boleh dianggap hebat kerana telah mengabdikan hidupnya untuk mencipta robot-robot dengan hanya menggunakan bahan-bahan terbuang.
Sejak kecil lagi, Yulu begitu obses dengan pergerakan mekanikal dan beliau sentiasa ingin menggerakkan mesin agar mampu berjalan seperti manusia.
Nama Yulu sememangnya telah terkenal dalam dunia penciptaan robot di negaranya kerana beliau telah mencipta sebanyak 47 buah robot yang boleh melakukan pelbagai tugasan.
Antara kemampuan robot-robotnya ialah berjalan, melompat, menuangkan teh kepada tetamu, mencucuh rokok untuk perokok, mengurut dan juga melukis gambar.
Yulu yang kini sedang menyertai Ekspo Dunia Shanghai berkata, beliau mula mencipta dan membina robot-robotnya sendiri sejak 1986.
Pencipta robot yang hanya berkelulusan sekolah rendah ini mengaku yang ketaksubannya kepada penciptaan robot merupakan satu cabaran dalam kehidupan berkeluarga.
Misalnya, isterinya pernah mengugut untuk meninggalkannya bersama dua anak kerana membelanjakan hampir kesemua wang yang ada untuk membina robot.
Seperti kebanyakan pencipta robot lain, Yulu juga menghadapi pelbagai masalah ketika proses ciptaan seperti bateri meletup, hidup berhutang dan hampir membakar rumahnya apabila salah satu robotnya menyebabkan litar pintas.
Bagaimanapun, beliau berharap penyertaannya bersama robot-robot yang dianggap sebagai anaknya di dalam Ekspo Dunia kali ini akan memberi sinar baru dalam kehidupan dan juga dunia penciptaan.
Yulu akan mempamerkan lebih 30 jenis robotnya sepanjang ekspo itu yang berlangsung selama enam bulan.
Pencipta ini juga semakin diiktiraf ciptaan-ciptaannya termasuk menerima hadiah dan kontrak dari universiti-universiti di negara itu.
"Saya semakin popular sekarang. Walaupun saya telah melakukan kesemua kerja-kerja ini sejak 20 tahun lalu tetapi setiap tahun akan lebih ramai orang yang menyedari mengenai kehadiran robot-robot saya," kata Yulu.
"Dalam ekspo ini, saya menerima pengiktirafan daripada setiap orang. Saya mewakili kesemua petani dan ia merupakan satu kebanggaan," tambahnya.
Yulu memulakan karier penciptaannya dengan membuat peralatan-peralatan untuk membantunya di ladang seperti menukarkan basikalnya menjadi mesin membenih.
Kemudian beliau terus mencipta pelbagai jenis robot dengan pelbagai fungsi seperti projeknya yang terkini iaitu membina sebuah robot yang mampu mengurut.
"Saya mahu membina lebih banyak robot yang mampu membantu manusia. Saya juga telah mereka bentuk robot yang mampu memotong daging bagi membantu kerja-kerja di dapur," katanya yang bercita-cita untuk membawa ciptaannya ke Britain.
Lelaki ini sememangnya mengakui yang beliau boleh dikatakan lebih mencintai robot-robot ciptaannya berbanding anak sendiri.
Beliau yang menganggap robot penarik lancanya sebagai anak ke-31 dan memprogramkan android itu agar boleh berkata: "Wu Yulu ialah bapa saya, saya akan membawanya ke pekan."
Begitulah hebatnya anak kampung ini yang walaupun hanya tidak berpendidikan tinggi tetapi disebabkan minat dan kreatif, beliau mampu melakukan sesuatu yang mungkin ada menggangap sebagai mustahil.
Read more...
08 May 2010
Hargai pengorbanan ibu

DEMI ANAKKU...kasih sayang ibu kepada anaknya sememangnya tiada bandingan.
PENGHORMATAN yang tinggi kepada ibu menjadikan setiap tahun satu hari dikhususkan untuk meraikan dan menghargai golongan tersebut.
Masyarakat di 46 buah negara termasuk Malaysia memilih hari Ahad kedua dalam bulan Mei sebagai Hari Ibu.
Tahun ini, Hari Ibu jatuh pada 9 Mei. Antara negara lain yang turut memilih hari Ahad kedua bulan Mei sebagai Hari Ibu ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan Singapura.
Terdapat negara yang memilih tarikh lain bagi menyambut Hari Ibu, misalnya Sweden menyambut Hari Ibu pada Ahad terakhir dalam bulan Mei, Norway pada Ahad kedua pada Februari dan Poland memilih sambutan Hari Ibu pada tarikh 26 Mei.
Hari Ibu yang pertama disambut di AS pada 1914. Tradisi menyambut Hari Ibu kemudiannya tersebar di beberapa negara.
Bagaimanapun, budaya sambutan Hari Ibu di setiap negara adalah berbeza berdasarkan amalan sesebuah masyarakat.
Biar bagaimanapun cara Hari Ibu disambut di serata dunia, ideanya adalah sama iaitu menyatakan rasa cinta, hormat dan terima kasih di atas kasih sayang yang dicurahkan dan pengorbanan ibu.
Detik menjadi seorang ibu merupakan antara detik dan pengalaman paling indah dalam hidup wanita.
Namun, pada hari ini, mungkin masih ada wanita yang tidak bersedia atau tidak menghargai pengalaman menjadi seorang ibu.
Golongan itu tidak bersedia untuk menjadi ibu mungkin kerana sebab-sebab tertentu. Seperti laporan yang kita baca sebelum ini, ada yang tergamak mendera anak sendiri, membuang atau membunuh bayi yang baru dilahirkan.
Terdapat juga kes ibu tunggal yang membiarkan anak perempuan mereka bersama teman lelaki sehingga kanak-kanak itu didera sampai mati.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebelum ini pernah mengingatkan golongan wanita terutamanya ibu tunggal yang bekerja supaya tidak cuai dalam menjaga anak mereka dan meninggalkan kanak-kanak itu sewenang-wenangnya.
Peningkatan kes membuang bayi dan penderaan kanak-kanak kebelakangan ini menyebabkan akhbar Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin pada bulan lalu. Kempen berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk golongan artis dan pemimpin masyarakat.
Bekas Wanita Pertama Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata, mereka yang tergamak membuang bayi dan mendera kanak-kanak berkemungkinan tidak mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya terutama daripada ibu sejak kecil.
''Kurangnya nilai kasih sayang dalam diri menjadikan golongan berkenaan tidak mempunyai perasaan terhadap mereka yang tidak tahu apa-apa seperti bayi dan kanak-kanak.
''Selain memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak, seorang ibu juga bertanggungjawab mendidik mengenai perkara-perkara yang boleh dilakukan dan perlu dijauhi.
"Ini akan membantu anak tersebut menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan dapat berfikir dengan matang apabila meningkat remaja dan dewasa," katanya.
Beliau ditemui pada majlis minum petang Forum Malaysia Hijau 2010 di Kelab Tasik Putrajaya baru-baru ini.
Tambah Jeanne, dalam zaman serba moden yang mempunyai banyak cabaran, wanita muda perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada mereka mampu memberikan sepenuh kasih sayang dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu sebelum memiliki anak.
''Jika mereka merasakan tidak mampu untuk memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada seorang anak, ini bermakna mereka belum bersedia untuk menjadi seorang ibu. Menjadi seorang ibu memerlukan pengorbanan," jelasnya.
Menurut Jeanne, sebagai seorang yang berpengalaman menjadi ibu bekerja ketika membesarkan dua orang anak perempuannya yang kini berusia 32 dan 30 tahun, beliau sedar tidak mudah untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
''Ibu bekerja perlu melakukan pengorbanan yang besar dalam mengimbangi kerjaya dan anak-anak. Selain membataskan aktiviti sosial dan lain-lain. Aspek-aspek yang penting seperti membantu kerja sekolah anak-anak, mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni perlu menjadi keutamaan. Ini kerana aset terbaik seorang ibu adalah anak-anaknya," tambah beliau.
Jelasnya, hubungan yang erat di antara ibu dan anak adalah sangat penting supaya anak-anak boleh berterus-terang dan berkongsi sebarang masalah dengan ibunya.
''Jika anak-anak tidak berani atau tidak selesa menceritakan masalah kepada ibunya, mereka akan mendapatkan nasihat daripada kawan-kawan. Dan jika rakan-rakan berkenaan memberikan nasihat yang salah, mereka akan terjebak dalam pelbagai masalah seperti yang dapat kita lihat pada hari ini.
''Oleh itu, setiap ibu perlu memastikan mereka memberikan sepenuh kasih sayang, menjadi pendengar yang baik dan rakan yang memahami kepada setiap anak-anak mereka. Langkah ini mampu mengeratkan hubungan di antara ibu dan anak sekali gus menyuburkan nilai kasih sayang dalam masyarakat," katanya.
Read more...
06 May 2010
Kenderaan 'tiga alam'

HOVERKRAF 19XRW Hoverwing boleh digunakan untuk tujuan rekreasi, perindustrian, komersial dan ketenteraan.
SEMUA daripada kita tahu yang hoverkraf merupakan kenderaan yang dicipta untuk 'dua alam' kerana kebolehannya untuk meluncur laju di atas air dan juga bergerak di atas jalan atau tanah.
Bagaimanapun, kita mungkin termenung sejenak apabila mengetahui terdapat kenderaan itu yang boleh beroperasi dalam 'tiga alam' pula kerana ia bukan sahaja mampu beroperasi di atas air dan tanah, tetapi juga terbang di udara!
Hoverkraf yang pertama sebenarnya dicipta oleh Sir Christopher Cockerell pada 1956 dan ia merupakan kenderaan yang bergerak menggunakan tekanan udara dan tidak bergantung kepada tayar seperti lain-lain kenderaan darat atau kipas untuk kenderaan laut.
Cara hoverkraf beroperasi adalah menggunakan tekanan angin ke bawah bertujuan menaikkan kenderaan itu beberapa inci dari permukaan air atau tanah dan tekanan angin ke belakang pula akan mengerakkannya ke hadapan.
Terdapat pelbagai jenis hoverkraf di pasaran sama ada yang digunakan sebagai bot kecil atau feri yang mengangkut penumpang di pelabuhan.
Bagaimanapun perkembangan hoverkraf tidak berhenti setakat itu kerana terdapat beberapa usaha untuk meningkatkan kemampuan kenderaan itu termasuk terbang di udara setinggi beberapa meter.
Rudy Heeman dari Nelson, New Zealand misalnya merupakan seorang daripada beberapa pencipta di seluruh dunia yang berminat untuk menerbangkan hoverkraf.
Dalam ciptaannya, Heeman mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk membangunkan hoverkraf terbangnya yang dilakukan secara sambilan.
Secara asasnya, mesin ini beroperasi sebagai sebuah bot asalkan ia tidak mencapai kelajuan 70 kilometer sejam (km/j) kerana selepas kelajuan itu, ia akan terbang ke udara. Kelajuan maksimumnya ialah 100 km/j.
Mesin yang menggunakan enjin 1.8 Subaru itu juga boleh bergerak sejauh 225 km dan sayapnya boleh dibuka daripada badan kenderaan.
Apabila terbang, mesin ini hanya boleh dinaiki oleh dua orang dengan jumlah berat 160 kilogram tetapi ia boleh membawa tiga orang apabila beroperasi sebagai hoverkraf.
Terbang tiga meter
Hoverkraf ini boleh terbang setinggi tiga meter dan pengendalinya tidak memerlukan lesen penerbangan kerana mesin ini hanyalah sebuah bot.
Heeman berkata, beliau menghabiskan masa lebih 800 jam dan beribu dollar untuk membangunkan mesin yang kini ditawarkan untuk jualan di Internet.
"Mesin ini sangat sesuai untuk petani kerana anda boleh terus masuk ke dalam ladang tanpa perlu membuka pintu pagarnya," kata Heeman.
Sebelum Heeman, sebenarnya terdapat juga syarikat dari Rockford, Illinois, Amerika Syarikat yang telah membangunkan hoverkraf boleh terbang untuk pasaran komersial.
Syarikat Universal Hovercraft telah memperkenalkan hoverkraf dikenali sebagai 19XRW Hoverwing yang boleh digunakan untuk tujuan rekreasi, perindustrian, komersial dan ketenteraan.
Hoverkraf ini boleh terbang hingga 1.8 meter apabila mencapai kelajuan 120 km/j. Bagaimanapun, jika perlu melalui halangan lebih tinggi, ia mampu 'melonjak' sehingga enam meter.
Seperti juga hoverkraf Heeman, sayap bagi Hoverwing boleh dibuka dan ia boleh dilakukan dalam masa 10 minit sahaja.
Sebaik sayap dibuka, Hoverwing akan berada dalam mod Sport yang mana ia menjadi hoverkraf berkuasa dan mampu membawa sehingga enam penumpang untuk memasuki kawasan-kawasan yang sukar diakses oleh bot atau kereta.
Kelebihan Hoverwing juga ialah ia boleh diubahsuai untuk memenuhi keperluan penumpang untuk beroperasi di kawasan berair, berpasir, berlumpur, paya atau salji.
Setakat ini, Universal Hovercraft hanya menjual kenderaan ini untuk tujuan komersial, perindustrian, menyelamat dan ketenteraan sahaja dengan harga kira-kira RM270,000
Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN
ridzwan@utusan.com.my
Read more...
04 May 2010
Budaya makan waktu malam punca obesiti

Kewujudan warung dan restoran Mamak yang dibuka 24 jam mendorong kepada budaya makan waktu malam. - Gambar hiasan
TENTU ramai bersetuju bahawa orang Malaysia makan mengikut selera. Apa sahaja makanan yang sedap akan diambil tanpa memikirkan kesan pada kesihatan.
Malah ramai juga yang berpegang pada falsafah, 'hidup hanya sekali dan makanlah selagi ada selera sebab jika sudah sakit, semuanya tidak boleh dimakan'.
Pepatah 'mencegah lebih baik daripada mengubati' tidak dihiraukan sehingga timbul falsafah baru, 'dulu orang mati tak cukup makan, sekarang mati sebab berlebih makan'.
Makan mengikut selera bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit malah menjadikan ramai di kalangan rakyat Malaysia gemuk atau obesiti.
Sebab itu tidak menghairankan apabila kajian menunjukkan jumlah penduduk negara ini yang mengalami obesiti semakin membimbangkan dan menjadi punca masalah kesihatan di Malaysia.
Bukan saja di kalangan orang dewasa, malah lebih teruk menular di kalangan kanak-kanak dan remaja yang rata-rata dilanda masalah kesihatan adalah disebabkan oleh obesiti.
Akibatnya kes-kes penyakit kronik meningkat di kalangan rakyat negara ini.
Salah satu daripada sebab kepada masalah ini ialah kegemaran kanak-kanak, remaja malah dewasa terhadap makanan segera.
Makanan segera seakan-akan telah menjadi budaya dan kebanggaan mereka yang menikmatinya daripada sarapan pagi, makan tengah hari dan malam.
Budaya makan makanan segera yang sebahagian besarnya datang dari negara luar hakikatnya tidak sesuai dengan budaya kita.
Ini kerana makanan segera lazimnya berkalori tinggi yang mungkin menjadi keperluan penduduk negara sejuk tetapi bukan di Malaysia.
Ibu bapa harus memainkan peranan mendidik anak-anak agar tidak bergantung kepada makanan segera.
Nikmati makanan yang dimasak sendiri di rumah kerana kita dapat mengawal kandungan kalori, lemak dan sebagainya di dalam makanan.
Satu lagi punca obesiti tanpa disedari ialah budaya atau tabiat suka makan pada waktu malam.
Restoran dan gerai-gerai yang berselerak di Kuala Lumpur yang dibuka 24 jam membuatkan ramai yang menghabiskan waktu santai mereka makan dan minum sehingga lewat malam.
Memetik kata-kata mantan Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang pernah penulis temui tidak lama dulu, banyak negara yang telah dikunjunginya dan puas mengelilingi dunia, tiada negara yang restoran atau gerai makan yang dibuka 24 jam kecuali Malaysia.
Penduduk negara ini memang bertuah kerana boleh makan 24 jam atau lebih tepat jika dikatakan Malaysia sebagai syurga makanan.
Keistimewaan ini juga yang menarik ramai pelancong ke negara ini kerana mereka boleh makan sehingga lewat malam.
Lebih bertuah mereka yang sememangnya tidak boleh tidur malam lantas menghabiskan masa dengan makan-makan di restoran mamak 24 jam atau gerai yang menjual bermacam-macam jenis makanan yang enak.
Tetapi yang buruknya, kadar metabolisme kita rendah pada waktu malam. Ini membuatkan lemak lebih mudah berkumpul. Kebanyakan restoran 24 jam menjual makanan yang tinggi kandungan lemak, kalori dan kolesterol.
Contohnya sekeping roti canai mengandungi 301 kalori, roti telur ( 356 kalori), capati (300 kalori), mi goreng (281 kalori) dan ayam goreng (255 kalori).
Banyak yang harus diubah seperti diet yang tidak seimbang dan tabiat makan pada waktu malam.
Pada masa lalu, kebiasaannya orang makan dua kali sehari, iaitu tengah hari dan malam. Tetapi pada hari ini, kebanyakannya makan lima hingga enam kali sehari termasuk makan lewat malam di kedai Mamak.
Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Ismail Noor berkata, gejala obesiti yang tidak dibendung boleh melemahkan struktur masyarakat kerana sebahagian besar generasi muda yang gemuk tidak aktif dan berpenyakit.
Justeru katanya, obesiti mesti ditangani secepat mungkin sebelum semakin ramai rakyat Malaysia mengalaminya.
"Obesiti boleh menyebabkan perubahan dalam sistem enzim dan hormon tubuh dan memberikan kesan negatif pada kesihatan.
"Pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang, jantung serta menjejaskan sistem reproduksi berpunca daripada obesiti," katanya.
Statistik menunjukkan obesiti di kalangan orang dewasa negara ini meningkat mendadak kepada 250 peratus pada tempoh 10 tahun lalu daripada 1996.
Sementara itu, jumlah mereka yang mengalami kegemukan turut bertambah kepada 70 peratus.
Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 pula menunjukkan dua daripada setiap lima orang dewasa atau 43 peratus mengalami sama ada kegemukan atau obesiti.
Lebih membimbangkan jumlah dewasa obes bertambah lebih tiga kali ganda lebih sedekad lalu, daripada empat peratus pada tahun 1996 kepada 14 peratus pada 2006.
Selain itu, kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih berat.
Kajian yang dilakukan baru-baru ini terhadap 10,000 orang pelajar menunjukkan 24 peratus yang berumur di antara enam tahun hingga 12 tahun terlebih gemuk atau obesiti.
Bagi membendung masalah obesiti yang semakin membimbangkan di negara ini, Kementerian Kesihatan akan menempatkan kira-kira 300 pakar pemakanan di klinik kerajaan terpilih secara berperingkat bagi memberi kaunseling mengenai obesiti.
Kerajaan benar-benar memandang serius masalah obesiti di kalangan rakyat dengan menubuhkan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (Mcom) baru-baru ini.
Dr. Mohamad berkata, masalah obesiti di Malaysia berada pada tahap membimbangkan bagi semua peringkat umur.
Terdapat dua punca utama yang dikesan menyebabkan kepada masalah obesiti, iaitu makan berlebihan dan kurang bersenam.
Terdapat juga kes kegemukan yang disebabkan oleh kes keadaan kesihatan seperti masalah endokrin dan pengambilan ubat-ubatan atau dadah tertentu.
''Kajian yang dilakukan mendapati masyarakat kita tidak suka bersenam kerana menganggap senaman tidak penting dan tidak ada alasan untuk mereka bersenam.
''Banyak faedahnya bersenam kerana badan akan menjadi sihat dan kuat serta menjauhkan daripada pelbagai penyakit.
"Dengan bersenam, kita dapat membina kekuatan otot, meningkatkan keupayaan badan mengawal paras glukosa darah, membantu mengawal lipid darah yang tidak normal, menguatkan tulang dan melambatkan proses osteoporosis.
''Selain itu, tidak banyak tempat untuk beriadah, kes ragut, rogol, bunuh dan sebagainya menghalang orang untuk keluar bersenam lebih-lebih lagi selepas Subuh di mana sekeliling masih gelap.
''Tidak ramai yang mampu untuk ke kelab kesihatan atau membeli peralatan untuk diletakkan di rumah.
"Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dilakukan di rumah bagi mengeluarkan peluh seperti menari, mengemas rumah, berkebun dan mencuci kereta. Aktiviti seperti ini juga dapat membantu menguatkan otot-otot.
''Kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat seperti menyediakan lebih banyak tempat beriadah tetapi amat sukar untuk melaksanakan kerana kekurangan peruntukan.
''Sebenarnya banyak cara untuk bersenam. Berjalan kaki juga salah satu daripada jenis senaman.
"Tetapi orang kita terlalu bergantung kepada kereta, hendak pergi kedai yang dekat pun hendak naik kereta. Hendak pergi tingkat satu pun nak naik lif. Mereka tidak mahu naik tangga sedangkan itu adalah senaman yang baik, mudah dan ringkas ,'' ujar Prof Mohamad Ismail lagi.
Beliau menambah, setiap orang harus mengubah cara pemikiran mereka mengenai obesiti.
Ramai yang memandang remeh dan tidak takut pada obesiti kerana pada mereka obesiti tidak membunuh. Tetapi H1n1 membunuh dan mereka amat takut kepada penyakit-penyakit seperti ini.
Bagaimanapun katanya, jika seseorang itu telah obesiti maka ia akan selama-lamanya begitu. Banyak kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat dan Eropah mengenai obesiti namun tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menanganinya.
Read more...
Teori makhluk asing

Saintis kemuka alasan dakwa makhluk asing wujud, ganas.
PERBAHASAN benar atau tidak kewujudan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), makhluk asing dan segala misteri berkaitan kejadian itu yang sebelum ini di tahap suam-suam kuku kembali panas dengan pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud. Mengiringi pengakuan yang mengejutkan itu ialah amaran Hawking supaya manusia seharusnya mengelak daripada kemungkinan bertembung dengan makhluk asing yang dikatakan menghuni planet lain di angkasa. Ini kerana, pertembungan sedemikian hanya mengundang padah. Malah, saintis yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya berkerusi roda itu dan pakar matematik, turut menyamakan kesan pertembungan itu dengan apa yang berlaku apabila Christopher Columbus menjejakkan kaki di tanah Amerika Syarikat yang kehadirannya tidak menyenangkan penduduk pribumi.
“Jika makhluk asing melawat kita, hasilnya sama ketika Columbus mendarat di Amerika, yang tidak disenangi golongan pribumi. Kita perlu meneliti diri sendiri untuk melihat bagaimana kehidupan lebih pintar mungkin berkembang menjadi sesuatu yang kita tidak mahu temui.
“Makhluk asing maju seperti itu mungkin menjadi nomad, mencari jajahan dan takluk apa saja planet yang boleh mereka sampai,” kata Hawking kepada rangkaian Discovery Channel.
Temu bual itu bagi siri ‘Into the Universe with Stephen Hawking’ disiarkan Discovery Channel di Amerika Syarikat pada Ahad lalu.
Bagi mempertahankan dakwaannya itu, Hawking turut mengaitkannya dengan teori matematiknya.
“Mengikut teori itu, bilangan angka atau nombor saja sudah cukup menjadikan pemikiran mengenai makhluk asing itu sesuatu yang rasional. Namun, cabaran sebenar ialah apa sebenarnya makhluk asing itu,” katanya yang menyifatkan konsep kewujudan kehidupan asing di tempat lain di alam semesta ini boleh diterima.
Kenyataan Hawking itu, bagaimanapun mengundang reaksi berbeza dengan sebahagian saintis menyangkal pandangan itu secara terbuka, mengkritik ramalan pesimis itu mengenai pertembungan dengan makhluk asing. Sementara beberapa penyelidik lain berdiri teguh di belakangnya, malah memberikan ramalan hampir sama.
Pakar fizik Universiti Manchester, Britain, Profesor Brian Cox, yang menyifatkan bukti bahawa kemungkinan wujudnya hidupan di Planet Marikh semakin nyata.
“Kita cuma akan pasti apabila kapal angkasa baru dilancarkan ke bulan Zuhal dan Marikh dalam dekad akan datang,” katanya.
Hakikatnya, usaha menjejaki makhluk asing dan UFO ini dibuat sejak beberapa dekad lalu. Malah pelbagai cara dilakukan bagi menjejaki asal usul, bentuk, komunikasi dan tamadun yang mungkin wujud itu, termasuk menerusi gelombang radio. Banyak sudah rakaman dan cakera yang turut diletakkan di angkasa lepas selain teleskop radio yang menghantar pelbagai kod misteri.
Saintis organisasi seperti Search For Extra-Terrestrial Intelligence atau SETI, pula berharap hubungan dapat dimulakan dalam masa terdekat. Malah salah satu projek SETI pada 1977, mencatat kejayaan penyelidik Universiti Ohio, Dr Jerry R Ehman, mengesan isyarat 72 saat dalam bentuk kod himpunan angka dan abjad yang dikatakan berasal dari sumber makhluk asing.
Pengarah dokumentari dan filem kreatif, Jose Escamilla, yang menyertai barisan saksi UFO paling terkenal berikutan siri video yang dirakamkan daripada tahun 1994 hingga 1998, percaya tidak ramai makhluk asing yang suka bertindak ganas.
“Berdasarkan pengalaman sendiri merakamkan UFO di siang hari di Roswell, saya boleh nyatakan dengan jelas bahawa seperti juga banyak jenis manusia di kalangan kita, kemungkinan juga sudah ada banyak jenis makhluk asing di kalangan kita. Tiada alasan untuk berasakan yang kita belum dilawati atau mereka tidak membuat hubungan dengan kita. Seperti manusia juga, ada yang jahat, begitu juga dengan makhluk asing. Tiada bezanya,” kata Escamilla.
Namun, pakar fizik juga mahir dalam soal UFO, Dr Steven Greer, mempertikaikan kenyataan Hawking yang dianggapnya menambah kebimbangan dan takut terhadap apa yang digelar makhluk asing.
“Sebagai saintis, dia sepatutnya lebih tahu. Jika makhluk asing berniat jahat, ia sudah jelas sejak kita meletupkan bom atom pertama pada tahun 1945 tetapi sehingga hari ini, bumi belum pernah diceroboh, diserang atau dijajah,” katanya.
Persoalannya, apakah ada rasional di sebalik pandangan negatif Hawking bahawa makhluk asing ini memberi ancaman dan lebih maju daripada peradaban manusia hari ini?
Pengurus laman web Cosmic Conspiracies, Dave Cosnette, yang melabelkan laman itu sebagai Pangkalan Data UFO Terbesar Eropah, mendakwa ia mencatatkan penemuan dan analisis perspektif kepada bukti pertembungan makhluk asing di seluruh dunia.
“Saya sependapat Hawking bahawa makhluk asing mungkin spesis yang memberi ancaman dan mungkin lebih maju daripada kita. Malah dalam banyak keadaan, manusia yang berhubungan dengan makhluk asing dicederakan. Saya teringat satu kes di Brazil yang mana seorang mangsa dibunuh dengan kejam, kulitnya dilapah dan beberapa bahagian tubuhnya dikeluarkan menggunakan laser,” katanya.
Cosnette juga berpendapat, kepelbagaian kehidupan makhluk asing mungkin sudah cukup untuk mereka mewujudkan pelbagai jenis personaliti.
“Dalam kajian setakat ini, saya menyiasat lebih 60 spesis makhluk asing berbeza. Ia cuma sedikit dan sukar dibayangkan kebanyakannya lebih sukakan permusuhan di bumi,” katanya.
Sejarawan di Universiti Temple, David M Jacobs, yang dikenali sebagai pakar UFO paling unggul di dunia turut bersetuju sepenuhnya dengan Hawking.
“Berhubung dengan makhluk asing tidak digalakkan dan perlu dielakkan sama sekali. Semua yang saya lihat sepanjang karier saya membuatkan saya berani merumuskan pertembungan manusia dengan makhluk asing boleh membawa bencana kepada kita semua,” katanya.
Jacobs berkata, penilaian negatif mengenai hubungan manusia dan makhluk asing berdasarkan penyelidikannya mengenai beratus-ratus kisah penculikan.
“Saya sebenarnya berterima kasih kerana Hawkings mengembalikan semula minat dan perhatian kepada subjek itu dan tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan pertembungan dengan makhluk asing selagi komuniti saintifik berasakan ia mengarut,” katanya.
'Roswell bukti kewujudan'
Berbicara mengenai kisah makhluk asing dan UFO, tidak sah rasanya tanpa mengaitkan kejadian di Roswell, New Mexico, pada Julai 1947. Kemalangan membabitkan sebuah UFO tetapi tidak ramai mengetahui maklumat terperinci mengenainya biarpun ia menjadi bukti kukuh kepada pemburu UFO untuk meyakinkan dunia makhluk asing memang wujud.
Dalam kejadian itu, W W Brazel, keluar awal untuk memeriksa ternakannya selepas semalaman dilanda ribut petir. Dia menemui banyak serpihan luar biasa berselerak di ladangnya. Brazel mengambil sebahagian serpihan itu, menunjukkan ia kepada rakan-rakan dan jirannya. Seterusnya dia menghubungi pegawai polis George Wilcox.
Mengesyaki serpihan yang ditemui Brazel mungkin mempunyai kaitan dengan operasi polis, Wilcox memberitahu pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tentera Roswell untuk mendapatkan bantuan.
Pada 8 Julai, akhbar Roswell Daily Record menyiarkan berita mengenai bangkai UFO yang ditemui di sebuah ladang di kawasan berkenaan. Apabila ditanya, Mejar Jesse Marcel, yang terbabit dalam penemuan itu memberitahu bangkai itu sudah dipindahkan dari New Mexico ke ibu pejabat.
Komander ke-59 Unit Bom, Kolonel William Blanchard, membuat kenyataan akhbar menyatakan bangkai UFO yang terhempas itu sudah ditemui. Sementara itu, Pusat Pengebumian Ballard mempunyai kontrak menyediakan ambulans dan khidmat pengebumian untuk tentera di Roswell. Glenn Dennis, yang bekerja dengan pusat itu, menerima beberapa panggilan telefon daripada pegawainya sejurus sebelum mengetahui berita penemuan bangkai pesawat.
Dennis ditanya mengenai keranda kecil dan cadangannya untuk mengawet mayat yang sudah terdedah selama beberapa hari. Semua itu menimbulkan tanda tanya kepada Dennis yang kemudian melawat hospital dan diiringi memasuki bangunan itu. Persoalan itu mendorongnya mengatur pertemuan dengan seorang jururawat yang ada ketika bedah siasat diadakan ke atas beberapa ‘mayat bukan manusia.’
Dennis turut menyimpan lakaran makhluk asing dilukis jururawat berkenaan di atas kain pengalas ketika pertemuan mereka. Pertemuan itu adalah yang terakhir bagi kedua-duanya dan Dennis untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai mayat makhluk asing itu manakala jururawat berkenaan dipindahkan segera ke England dalam masa beberapa hari.
Pada 9 Julai, Roswell Daily Record melaporkan bangkai pesawat itu ditemui di Ladang J B Foster. Beberapa hari berikutnya, semua bukti kemalangan itu dipindahkan segera atau tiba-tiba hilang dari muka bumi yang mencetuskan curiga bahawa ia rahsia kerajaan yang berusaha menyembunyikannya. Beberapa tahun selepas itu, buku, temubual dan artikel daripada beberapa kakitangan tentera, yang terbabit dalam insiden berkenaan, cuma menambah kecurigaan mengenai usaha kerajaan itu.
Pada tahun 1979, Jesse Marcel yang ditemubual mengenai peranannya dalam pencarian bangkai pesawat, berkata: “Bangkai (UFO) itu tidak terbakar. Ia diperbuat daripada bahan yang ringan, amat nipis dan tidak boleh bengkok. Kami cuba membengkokkan ia dengan penukul tetapi gagal.”
INFO: UFO dan makhluk asing
•Objek terbang yang tidak dikenali berlaku hampir di seluruh dunia. Saksi yang melihatnya mengenal pasti objek itu berupa piring terbang dan kapal angkasa dengan pelbagai reka bentuk, malah ada yang mendakwa terserempak dengan makhluk asing.
•Ada pihak berpendapat sebahagian besar kejadian UFO adalah satu imaginasi seperti diakui pakar Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) yang menghentikan penyelidikan pada 1993 kerana menganggap 90 peratus kejadian UFO tidak benar.
•Pada 2008, NASA memainkan lagu Beatles, ‘Across the Universe’ ke ruang angkasa lepas bagi menghantar mesej damai kepada mana-mana makhluk asing yang berada di wilayah Polaris, juga dikenali sebagai North Star.
•Amerika mendapati Pioneer 10 dan 11 yang dilancarkan pada 1972 dan 1973 membawa plak seorang lelaki berbogel dan wanita serta simbol mengenai kedudukan bumi dan matahari.
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
Read more...
02 May 2010
Anak pintar

"Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak".Fadzilah Kamsah,Pakar motivasi
Definisi tepat tahap kecerdikan sebenar individu
BUKAN sedikit ibu bapa yang mengidamkan anak seperti Sufiah Yusof, 24, yang memasuki universiti pada usia 13 tahun dan Adi Putra Abdul Ghani yang mengejutkan ramai pihak kerana kemampuan menyelesaikan masalah matematik. Tidak kurang juga yang mengidamkan anak seperti Muhammad Ahmad Zahid yang bergelar hafiz muda pada usia 13 tahun.
Semua pasti mahukan zuriat yang pintar kerana inilah ‘tiket’ kepada masa depan lebih cerah. Penat lelah membesarkan mereka seakan berbaloi apabila si anak membawa pulang kejayaan. Namun, apakah mereka ini pintar, berbakat, genius atau pun prodigy? Jangan keliru kerana inilah takrifan sebenar keupayaan mereka berdasarkan istilah psikologi. Seperti kata-kata ‘serupa tapi tak sama,’ pakar linguistik dan Pengasas PTS Publications and Distributors Sdn Bhd, Ainon Mohd, berkata masih ramai yang tidak dapat membezakan istilah sebenar ini.
"Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak"
Fadzilah Kamsah
Pakar motivasi “Aspek berbakat, pintar dan genius adalah antara perkataan yang kerap digunakan untuk menggambarkan kebolehan seseorang anak kecil mengatasi usia tanpa menyedari ia sebenarnya merujuk kepada makna yang kurang tepat.
“Genius adalah individu normal, tetapi mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah teknikal yang sukar atau tidak dapat diselesaikan pakar lain. Contoh paling tepat menggambarkan seseorang yang dianggap genius ialah Albert Einstein dalam bidang sains fizik manakala Thomas Edison dalam bidang elektrik,” katanya yang berkelulusan ijazah sarjana muda linguistik Universiti Malaya dan sarjana dalam bidang sama Leeds University.
Beliau yang pernah mengikuti kursus kedoktoran dalam bidang psikologi, berkata seseorang itu disebut genius apabila dapat menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan mereka yang normal. Justeru Einstein dan Edison layak digelar genius disebabkan mereka berjaya menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan saintis dan jurutera lain.
“Kanak-kanak yang layak digelar genius adalah kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan orang dewasa. Jika tidak, mereka setakat digelar berbakat atau pintar, bukan genius. Mereka yang dapat menghafal al-Quran pada usia tujuh tahun adalah berbakat, bukan genius.
“Istilah genius tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak kerana belum ada kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah setaraf orang dewasa. Einstein menyelesaikan masalah teori relativiti pada usia 25 tahun, selepas lulus universiti,” katanya.
Ainon mendakwa, disebabkan genius adalah pakar dalam sesuatu bidang, tiada kanak-kanak genius kerana anak kecil itu tidak mempunyai kepakaran ilmu. Oleh itu, baginya, tiada kanak-kanak genius dalam bidang sains, kejuruteraan, kedoktoran ataupun perfileman atau yang bergelar pakar bedah.
Satu lagi istilah ‘prodigy’ yang merujuk keupayaan kanak-kanak melakukan perkara yang hanya dapat dilakukan orang dewasa.
“Kanak-kanak pada usia lapan tahun yang dapat mengikuti pelajaran matematik peringkat universiti atau mencipta muzik seperti pemuzik dewasa, selayaknya digelar ‘prodigy.’ Mereka ini hanya ada dalam dua bidang iaitu matematik dan muzik. Kanak-kanak prodigiy mempunyai kepintaran orang dewasa dalam bidang matematik ataupun muzik saja. Dalam lain-lain hal, mereka adalah kanak-kanak seperti budak lain,” katanya.
Persoalannya, apakah ada sebarang petua mendapatkan anak pintar ini? Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata ini terletak kepada usaha ibu bapa mencari dan memperbaiki kelemahan diri terlebih dulu selain mengamalkan doa dan ajaran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
“Doa adalah senjata umat Islam dan sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan bacaan surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Bapa juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut isteri.
“Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati terang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur,” katanya.
Katanya, satu perkara perlu diingati oleh semua ibu bapa iaitu semua anak dilahirkan pintar cuma cara merangsang yang membezakan impaknya. Ini wujud dalam bentuk pakej iaitu mesti membetulkan hati, otak, makanan, persekitaran dan didikan.
Beliau menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai misi jelas dalam usaha memulakan keluarga.
“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Bagi tujuan itu, ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak sebagai doktor misalnya. Ibu dan bapa perlulah memupuk minat anak menjadi doktor dengan membaca buku berkaitan perubatan sejak hamil.
“Wanita Yahudi misalnya, mendidik anak sejak dalam kandungan. Sebaik hamil, mereka akan membuat latihan matematik, mendengar muzik dan bermain muzik untuk merangsang perkembangan anak. Ia terbukti berkesan dan jangan hairan jika anak-anak Yahudi dilahirkan bijak. Kita juga boleh berbuat demikian. Malah sebagai orang Islam kita mempunyai 1,001 cara untuk membentuk anak menjadi pintar dan soleh pada masa sama,” katanya.
Dr Mohd Fadzilah berkata, dia sendiri pernah bertemu dengan seorang wanita yang tidak pernah lalai membaca sehingga satu juzuk al-Quran setiap hari sepanjang hamil.
“Jika dia keletihan, suaminya akan menyambung membaca dan pahala dihadiahkan kepada bayi dalam kandungan. Anak itu dilahirkan dan membesar menjadi seorang lelaki yang bijak, pintar dan tinggi akhlaknya. Ini bukti betapa ayat Quran dan doa cukup berkesan dalam usaha membentuk anak pintar. Jika tidak berkesempatan mendidik anak dari dalam perut, belum terlambat untuk berbuat demikian walaupun mereka sudah menjejak alam persekolahan,” katanya.
Malah, baginya, antara saat paling mustajab mendidik anak ialah ‘hypnagogic moment’ iaitu masa antara anak berada dalam keadaan antara sedar dan tidak ketika hendak tidur.
“Ketika itu, mereka seolah-olah terpukau dan apa saja yang disebutkan ketika itu akan meresap masuk ke dalam hati. Rebut peluang untuk membisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan ketika mereka dalam keadaan itu dan Insya-Allah anak-anak akan menurut apa yang dikatakan.
“Waktu lain yang turut memberi impak besar kepada usaha ibu bapa memberi didikan ialah sebelum anak-anak tidur, sedang tidur dan baru bangun tidur. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat,” katanya.
Beliau turut menegur tindakan ibu bapa yang selalu terlanjur mengeluarkan perkataan negatif ketika marah.
“Kata-kata itu satu doa. Anak boleh dimarah dan kena dimarah tetapi biarlah marah itu berunsurkan positif. Jangan sesekali keluarkan perkataan degil, keras kepala kepada anak. Sebaliknya jika mereka melakukan sesuatu kesilapan, katakan kepada mereka: “Kamu anak baik. Kamu anak bijak. Mengapa lakukan perkara itu,” katanya.
'Formula Adi Putra berasaskan kiraan Islam'
IMPIAN untuk bertentang mata dengan Adi Putra Abdul Ghani, 11, tidak kesampaian kerana dia berada di kampung neneknya yang baru meninggal dunia. Namun peluang bertemu ayahnya memberi kesempatan mengenali siapa sebenarnya Adi Putra yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan sehingga kini sudah mencipta 228 formula menyelesaikan masalah matematik.
Kisah kepintaran Adi Putra menyelesaikan masalah matematik sudah terlalu banyak diperkatakan tetapi kali ini penulis dihidangkan dengan sisi lain budak cerdik itu.
Menerusi paparan cakera padat, Adi Putra hanya menonjol dalam matematik tetapi pelbagai bidang lain yang melampaui usia sebenarnya.
“Ia satu anugerah Allah yang wajar kita syukuri. Ia juga satu bukti kehebatan Allah yang mampu memilih sesiapa saja untuk diberikan keistimewaan biarpun makhluk itu semuda Adi Putra,” kata Abdul Ghani ketika ditemui baru-baru ini.
Menariknya mengenai Adi Putra ialah semua formula matematiknya berasaskan cara kiraan Islam 100 peratus dan cara penyelesaiannya berdasarkan cakerawala, peredaran bulan, matahari, bumi serta menggunakan semua ciptaan Allah SWT di muka bumi ini seperti bukit dan tidak ketinggalan mengguna pakai perkiraan orang dulu.
Abdul Ghani mendakwa, kaedah pengiraan itu diiktiraf pakar antarabangsa malah di luar negara satu formula Adi Putra dinilai bersamaan RM1 juta dan modul sifir yang dihasilkannya bernilai berbilion ringgit.
“Jangan anggap Adi Putra budak kecil kerana selain pintar dalam matematik, dia juga mampu mengajar, petah berbicara walaupun ketika ditemubual stesen televisyen antarabangsa malah tidak kekok bersama dengan pembesar negara,” katanya.
Katanya, anaknya itu juga diiktiraf memiliki pengetahuan ilmu matematik berusia 400 hingga 500 tahun dulu yang pernah dikuasai ilmuwan Islam. Adi Putra bukan hanya menguasai formula matematik sebaliknya mengkaji setiap nombor.
“Kita dianugerahkan jari dan pelbagai bentuk bantuan semula jadi untuk mengira. Adi Putra juga menggariskan tiga perkara yang merosakkan dan melemahkan minda umat Islam iaitu terciptanya kalkulator, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan permainan video.
“Matematik dan sains tidak dimonopoli sesuatu bangsa sebaliknya terpulang kepada kita untuk menguasainya. Ilmuwan Islam terdahulu sudah membuktikan betapa kita sebenarnya menguasai matematik, bukan orang lain.
“Apa yang penting ialah bukan sekadar anak kita bijak tetapi juga kreatif. Adi Putra mengajar budak lain untuk turut kreatif mencari penyelesaian kepada masalah matematik dengan tempoh paling cepat,” katanya.
Malah, kata Abdul Ghani, salah seorang pelajarnya cuma mendapat satu markah daripada 50 soalan matematik dan selepas mengikuti kelas Adi Putra, dia mampu memperoleh 100 peratus selepas dua hari.
INFO: Tip untuk ibu bapa
•Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.
•Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.
•Waktu ketika anak antara sedar dan tidak. Rebut peluang bisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat.
•Doakan kejayaan anak, rakan anak mereka, anak rakan dan jiran.
FAKTA: Rahsia pemakanan ilmuwan Islam
•1) Madu - Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.
•2) Kismis - Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.
•3) Susu segar - Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri - biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.
•4) Telur - Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli - ahli kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.
•5) Halia - Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan Dimakan sedikit saja pada waktu pagi.
•6) Buah Delima - Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”
Read more...
01 May 2010
Bersahabat dengan buaya

Chito (kiri), mempercayai sahabatnya.
Sang bedal yang diselamatkan seorang nelayan daripada mati akibat tembakan jadi 'rakan baik'
MELIHAT kemesraan dan persahabatan sejati antara sesama manusia sudah cukup menyentuh perasaan, apatah lagi jika menyaksikan keakraban dua makhluk berlainan kejadian. Namun jika sebelah pihak yang bersahabat baik itu hadir dalam bentuk seekor haiwan ganas yang pernah menjadikan manusia sebagai makanan, ia memang pelik. Ia mungkin aneh bagi manusia lain tetapi pada Gilberto Shedden atau Chito, nelayan dari Costa Rica, persahabatannya dengan Pocho, buaya sepanjang 5.1 meter dan seberat 444 kilogram, membawa makna yang begitu besar dalam hidupnya. Menyedari asas persahabatan ialah menerima diri rakan seadanya, Chito langsung tidak cuba menjinakkan sahabat ‘ganasnya’ itu, sebaliknya lebih suka bermain-main dan bergusti dengan Pocho di dalam air.
Nelayan berusia 52 tahun itu cukup mengagumkan orang ramai dengan tindakannya mengharung air separas dada dan mula bersiul memanggil sahabatnya dan memberikan buaya itu pelukan mesra.
“Pocho adalah sahabat saya. Ini memang rutin bahaya tetapi kami mempunyai hubungan amat baik. Ia akan merenung mata saya dan tidak akan menyerang. Bahaya bagi orang lain untuk masuk ke dalam air ini. Kawasan ini cuma untuk kami berdua,” katanya.
Persahabatan unik itu bermula 20 tahun lalu selepas Chito menemui Pocho dengan kesan tembakan di tebing sungai Parismina di Amerika Tengah. Pocho ditembak pada mata kiri oleh seorang pengembala lembu dan hampir mati. Namun Chito berjaya mendapatkan bantuan beberapa rakan untuk mengangkat reptilia itu ke dalam botnya.
“Ketika menemui Pocho, ia hampir mati. Jadi, saya bawa ia ke rumah. Ia amat kurus, cuma seberat 68 kilogram. Saya memberikan ia makan ikan dan ayam serta ubat selama enam bulan untuk membantu Pocho pulih.
“Saya berada di sisinya ketika ia sakit, tidur di sebelahnya pada waktu malam. Saya cuma mahu dia rasa ada seseorang menyayanginya, dan tidak semua manusia jahat. Ia memerlukan pengorbanan besar. Saya perlu sentiasa di sisinya setiap hari. Saya sayangkan semua haiwan terutama yang cedera,” katanya.
Bagaimanapun, Chito perlu mengambil masa beberapa tahun sebelum berasakan Pocho sudah benar-benar mesra dengannya untuk dia mendekati haiwan ganas itu.
“Selepas 10 tahun, saya memutuskan untuk mendekatinya. Saya bermula dengan perlahan, bermain dengannya dan melakukan dengan lebih kerap selepas itu. Kemudian saya dapati apabila memanggil namanya, ia datang kepada saya,” kata Chito.
Pada satu masa selepas Pocho semakin pulih, Chito meninggalkan buaya itu dalam tasik berhampiran rumahnya. Namun sebaik dia berpaling, Pocho tiba-tiba keluar dari tasik dan mengikutnya pulang.
Katanya, kejadian itu meyakinkan dia bahawa buaya boleh dijinakkan tetapi apabila dia memasuki tasik bersama-sama reptilia itu buat pertama kali, keluarganya tidak menyaksikan peristiwa itu kerana terlalu takut. Berikutan itu, dia cuma bermain-main dengan Pocho di dalam tasik selepas ahli keluarganya tidur.
Empat tahun lalu, Chito mempamerkan keakraban mereka kepada rakan-rakannya, termasuk mengarahkan Pocho mendekatinya sehingga mereka bertentangan mata dan ia meyakinkan Chito untuk mempamerkan persahabatan itu kepada orang ramai.
Kini, Chito masih terus berenang dan bermain dengan Pocho, selain memberi makan kepada buaya itu di tasik berhampiran rumahnya di Sarapiqui.
Pasangan aneh itu kini menjadi tarikan pelancongan utama, dengan beberapa agensi pelancongan termasuk Crocodile Adventures, membawa pelancong menaiki bot untuk menyaksikan mereka.
Laman web Crocodile Adventures menggambarkan keajaiban itu sebagai: “Salah satu perkara paling menakjubkan yang tidak mahu dilepaskan oleh penumpang kapal persiaran, pertunjukan menakjubkan antara manusia dan buaya.”
Buaya Amerika yang banyak di Amerika Utara, Tengah dan Selatan, boleh hidup sehingga berusia 70 tahun. Pocho dianggarkan berusia 50 tahun, hampir sebaya dengan sahabatnya, Chito. Ia juga dikatakan tidak begitu agresif berbanding buaya Australia.
Seorang aktivis alam sekitar, Chito turut menawarkan khidmat melancong dengan bot untuk memberi makluman kepada pelancong mengenai pelbagai kehidupan liar.
Dia, bagaimanapun cuma mengenakan bayaran paling rendah untuk menonton pertunjukan buaya kerana tidak mahu mengambil kesempatan di atas persahabatannya dengan Pocho.
“Ia rakan saya. Saya tidak mahu melayannya seperti hamba atau mengeksploitasi Pocho. Saya gembira kerana menyelamatkan ia dan ia gembira bersama saya kerana ia mempunyai semua yang diperlukan,” katanya.
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
Read more...