Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






09 April 2010

Makan bukan punca gemuk







Jalan utama mengurangkan berat badan adalah mengurangkan pengambilan kalori dan mengambil hanya makanan yang mempunyai glycemic indeks rendah serta bersenam.

HAIRAN betul tengok Laila. Dia makan banyak tapi badannya kecil dan langsing. ''Kadang-kadang tengok dia makan tak berhenti. Mulutnya asyik mengunyah namun berat badannya tak pernah berganjak,'' kata Naemah kepada saya.

Naemah berasa hairan kerana setelah tiga bulan mengamalkan diet yang ketat dia masih belum mampu menurunkan berat badannya. Sedangkan sahabatnya Laila yang makan banyak tidak pula menjadi gemuk.

Jelaslah bagi kita bahawa faktor makan bukannya sebab yang tepat mengapa seseorang menjadi gemuk. Seseorang menjadi gemuk disebabkan tubuhnya tidak mampu menukar makanan kepada tenaga untuk digunakan. Sebaliknya makanan disimpan menjadi lemak. Orang yang mengalami masalah ini tentu akan berasa letih dan kekurangan tenaga.

Apabila dia makan lebih banyak untuk meningkatkan tenaganya, makanan tersebut terus menjadi lemak pada badan dan dia akan bertambah gemuk.

Adakah berat badan satu masalah bagi anda? Adakah anda sedang mencari-cari panduan yang berkesan untuk menurunkan berat badan? Adakah anda sering mencuba untuk kurus tetapi gagal? Adakah anda berasa kecewa apabila doktor dan para pakar tidak mampu membantu anda menurunkan berat badan?

Sebenarnya anda tidak bersendirian dalam menghadapi masalah ini.

Ramai yang bermasalah dan mencari-cari jalan jalan keluar masalah berat badan. Kerana itulah wujudnya pelbagai perniagaan pelangsingan yang rata rata mengambil peluang ke atas anda. Apabila anda mengunjungi pusat-pusat sebegini dan gagal mereka mempersalahkan anda semata mata. Anda akan dituduh makan banyak dan tidak berdisiplin, atau mereka sekali lagi cuba mengosongkan kocek anda dengan menawarkan sesuatu program yang lebih mahal.

Hakikatnya, anda tidak perlu berbelanja mahal untuk kurus. Anda hanya memerlukan pengetahuan yang baik mengenai jenis makanan yang mampu meningkatkan kadar metabolik dan senaman yang berkesan untuk mencapai berat badan idaman anda.

Bila enzim dan hormon pembakar lemak tidak ada dalam badan kita, sudah tentu badan tidak mampu membakar lemak. Akibatnya berat badan tidak berganjak meskipun berpuasa dan berdiet dengan bersungguh-sungguh. Jadi diet dan kaedah meningkatkan enzim dan hormon badan perlulah seiring.

Perubahan dalam hidup anda

Anda adalah apa yang anda makan. Makan adalah satu daripada nikmat anugerah Tuhan dalam hidup kita. Makanan yang sedap mengghairahkan selera sehingga apabila kenyang kita masih mahu makan. Oleh kerana makanan kita mengandungi banyak lemak dan gula, kita berhadapan dengan masalah pengambilan lebihan gula dan lemak. Kesilapan memilih makanan menjadikan ramai rakyat Malaysia menjadi gemuk. Keadaan ini disebut sebagai klinikal obesiti.

Di negara kita terdapat beraneka jenis makanan hasil integrasi budaya antara penduduk berbilang bangsa. Tidak kurang juga makanan segera dari negara luar. Hampir semua jenis makanan menggoda selera makan kita.

Lebihan berat badan dan obesiti

Mengikut istilah ada perbezaan di antara overweight dan obesiti. Overweight adalah lebihan berat badan daripada yang sepatutnya dari segi saiz kerangka badan.

Misalnya seorang ahli bina badan atau ahli sukan tertentu mungkin mempunyai berat badan yang lebih. Ini kerana kelebihan pada otot berat tulang badan dan kandungan air berbanding orang biasa namun dia tidak mengalami obesiti. Jadi yang dimaksudkan dengan obesiti ialah kelebihan lemak badan.

Jelaslah bagi kita bahawa menimbang berat sahaja bukan satu ukuran yang tepat bagi mengukur tahap obesiti.

Cara yang tepat adalah mengukur ketebalan lemak. Anda boleh mengambil ukur lilit lengan paha dan perut sebelum memulakan program melangsingkan badan. Jadikan ukuran sebagai rujukan anda menentukan keberkesanan program

BMI yang sering di jadikan rujukan ukuran berat adalah tidak tepat dijadikan takat rujukan kerana ia mengambil kira keseluruhan berat kita (berat tulang, otot dan lemak) tanpa mengambil kira amaun lemak dalam badan.

Jadi, apabila anda bersedia untuk memulakan program menurunkan berat badan anda perlu mengambil ukuran ukur lilit pinggang, lengan, dada, leher. Ini lebih tepat berbanding berat semata mata.

Persediaan mental untuk kurus

1) Sudahkah anda memikir dengan teliti mengapa anda mahu mengurang berat badan? Keazaman dan kekuatan minda sangat perlu kerana tanpa keazaman yang kukuh anda tidak mungkin mampu menghadapi cabaran yang hebat sewaktu menjalani proses menurunkan berat badan.

2) Adakah anda ingin mengurangkan berat badan untuk diri sendiri atau untuk orang lain? Mereka yang mahu kurus atas desakan naluri sendiri lebih berjaya pada amnya.

3) Adakah anda bersedia untuk memberi tumpuan dan kesungguhan menukar tabiat, jenis makanan dan aktiviti anda bagi menjayakan rancangan pengurangan berat badan?

Jawapan ya kepada soalan-soalan di atas memberi erti anda bersedia untuk memasuki era baru dalam hidup anda. Semestinya hadiah yang menunggu anda sangat besar ertinya dalam kehidupan anda dan keluarga.

Makanan yang perlu dalam diet

Banyak kalori boleh dikurangkan dengan mengelak makanan berlemak dan bergula. Kalau membeli makanan pilihlah makanan yang labelnya menunjukkan kandungan kalori atau kandungan gula yang rendah. Makan daging merah, daging ayam dan ikan. Makan makanan yang kandungan gula sedikit. Perlu diingat jus buahan juga mengandungi gula yang tinggi. Minuman beralkohol mengandungi kalori yang tinggi.

Makanan yang berkanji dan jenis tenusu patut ada dalam diet harian kerana ia membantu badan kita mendapat zat dan vitamin untuk keperluan kesihatan. Kita juga perlu mengambil bahan dan bijirin sayuran tiap-tiap hari. Dadih, susu kurang lemak, keju dan apa-apa makanan yang mengandungi susu rendah lemak. Kaum wanita perlu mengambil kalsium untuk mengelak reput tulang.

Kaunseling pil diet

Pil diet boleh menyebabkan tekanan darah meningkat ke paras bahaya. Janganlah sekali-kali ambil pil diet tanpa preskripsi doktor kerana tidak berbaloi untuk mendedahkan diri kepada bahaya semata-mata kerana ingin badan yang cantik.

Saya tidak bersetuju dengan pil diet kerana ia hanya boleh menurunkan berat badan buat sementara sahaja. Jika kita tidak berubah sikap dan aktiviti kita, kita akan tetap berhadapan dengan permasalahan sebegini. Pengambilan pil diet tidak harus jadi amalan secara rutin kerana kesan sampingan yang tidak baik.

Jalan utama mengurangkan berat badan adalah mengurangkan pengambilan kalori dan mengambil hanya makanan yang mempunyai glycemic indeks rendah serta bersenam.

Inilah jalan utama untuk membakar kalori dalam badan. Ia cara yang penting untuk mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan yang dikehendaki.

Senaman dapat menghalang berbagai penyakit dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Tidak menjadi hal untuk kita memilih apa sahaja senaman asalkan ia dapat membakar kalori dalam badan kita. Untuk menjadikannya berkesan, senaman hendaklah diikuti dengan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Sekurang-kurangnya sehari kita perlu membuat senaman selama 30 minit. Kita perlu tukar gaya hidup pasif kepada gaya hidup aktif. Bila ada peluang untuk berjalan kaki kita berjalan. Bila ada peluang untuk naik tangga kita naik dengan kaki bukan dengan lif atau eskalator.

Kaunseling dalam pemilihan diet selalunya diadakan untuk mengurangkan berat badan. Terdapat dua jenis terapi diet iaitu diet berkalori rendah (800-1500 kalori) harian dan diet yang kalori sangat rendah bawah daripada 800 kalori dengan mengguna cecair protein.

Hentikan memakan makanan yang kaya dengan karbohidrat, pada peringkat permulaan anda akan berasa lapar, cuba alihkan perhatian anda dengan aktiviti yang menyibukkan. Ambil hanya makanan berprotein seperti telur ikan dan berfiber seperti sayur dan buah. Selepas seminggu tubuh anda akan segar dan kembali bertenaga dan lemak akan mula pecah.


Read more...

08 April 2010

Selamatkah rumah anda?
























Seeloknya bina pintu berpagar di bahagian tangga rumah bagi mengelak anak terjatuh.

ARTIKEL ini bukan dibuat untuk menakut-nakutkan tapi semata-mata untuk membantu anda mengurangkan risiko kemalangan bayi di rumah sendiri.

Walaupun yakin persekitaran dalam dan luaran rumah adalah selamat, mungkin informasi berikut dapat digunakan sebagai tindakan pencegahan.

Lima jenis kemalangan yang sering terjadi

Jatuh - Memang tidak ada apa yang pelik kalau kanak-kanak terjatuh. Masakan tidak bayi memang gemar belajar memanjat dan menaiki berbagai objek. Jadi tidak hairanlah kalau mereka sering terjatuh.

Keracunan - Ia terjadi apabila bayi tidak dapat membezakan antara bahan pencuci sabun dengan air minuman kerana warnanya yang menarik.

Lemas - Proses tenggelam terjadi sekelip mata, oleh itu waspadalah dengan baldi, besen atau kolam yang mengandungi air.

Luka dan terbakar - Kulit bayi menyerap asap dengan lebih cepat, jadi mereka sangat mudah untuk mengalami kesulitan bernafas.

Sulit Bernafas - Kecelakaan ini banyak melibatkan kegiatan tidur si kecil. Mungkin kerana posisi tidur yang salah, tertindih oleh orang tuanya yang tidur dekatnya atau tersedak benda-benda kecil seperti duit syiling, butang, mainan, makanan dan lain-lain.

Keselamatan di dapur

Jangan biarkan pemegang periuk mengadap keluar ketika sedang memasak.

Simpan pisau serta alat masak lainnya di dalam almari yang terkunci dan tidak mudah dibuka oleh si kecil.

Hindari penggunaan lapik meja. Bayi anda boleh menariknya dan menjatuhkan benda-benda yang berada di atasnya.

Jangan membiarkan peralatan pembersih lantai di merata-rata. Jangan biar kolam, baldi atau besen ditadah air kerana bayi anda boleh tenggelam walaupun pada air sedalam tiga sentimeter sahaja.

Jangan masak sambil dukung anak.

Keselamatan di bilik mandi

Hati-hati jika anda menggunakan pemanas air di bilik mandi. Pastikan anda menutup suisnya jika tidak dipakai.

Jika tandas di rumah anda jenis duduk, pastikan anda mempunyai pengunci khas supaya anak tidak boleh membuka penutupnya.

Letakkan sabun, syampu, pembersih lantai serta ubat-ubat pada tempat yang tidak terjangkau oleh si kecil.

Rak-rak yang ada di bilik mandi sebaiknya diletakkan pintu dan dikunci. Walaupun tidak ada benda yang berbahaya di dalamnya, bayi atau anak anda akan berusaha untuk memanjatnya jika ia dibiarkan terbuka.

Keselamatan di bilik tidur

Jangan membiarkan katil anak anda penuh dengan bantal dan anak patung, ini untuk mengelakkannya lemas ketika tidur.

Selain itu elak daripada membeli katil dua tingkat kerana dikhuatiri anak akan terjatuh ketika bermain memanjat.

Jika menggunakan bantal peluk, pastikan talinya ditanggal supaya anak anda tidak terjerut ketika tidur.

Barang permainan yang sudah rosak baiklah dibuang kerana ia mungkin akan mendatangkan kecederaan pada anak.

Keselamatan di ruang lain

Jika mempunyai anak kecil, sebaiknya gunakan meja dan perabot yang bersaiz lebar dan tidak beroda. Ini untuk mengelakkan anak anda tertindih ketika bermain berhampirannya.

Pastikan almari, rak buku dan perabot berat di skru ke dinding rumah untuk mengelak ia terjatuh jika dicapai oleh anak kecil.

Berhati-hati apabila menyusun hiasan dinding, biarlah kedudukannya tinggi supaya anak tidak boleh mencapainya.

Pastikan kabel-kabel alat elektronik ditutup dengan menggunakan penutup kabel.

Letakkan tempat sampah di mana bayi tidak boleh ke situ atau gunakan tempat sampah yang bertutup.

Jika membawa balik kerja ke rumah pastikan anda menyimpan semua peralatan tulis seperti pen, pensel, klip kertas dan sebagainya kerana ia berbahaya untuk bayi.

Memang kita tidak mampu untuk mengawasi bayi setiap waktu, namun ikhtiar panduan di atas boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan di rumah. Jangan ingat bayi anda tidak tahu apa-apa kerana mereka sebenarnya mampu melakukan banyak perkara di luar dugaan.

lsumber dari tipsbayi.com


Read more...

07 April 2010

Bila guru luah rasa…

















Usik-usik Bersama Khazim.

TABIK dan salam semua guru. Selamat pagi.

Dengan rasa rendah diri, saya memohon maaf sekiranya berlaku kesilapan fakta ,dalam kolum Perspektif dalam Mysekolah Isnin lalu, berjudul Mencemburui Gaji Guru. Saya menerima puluhan warkah e-mel daripada guru, ada pro dan kontra. Ada yang menghentam peribadi saya 360 darjah tanpa saya sempat membela diri - tanpa belas kasihan. Namun saya tidak menyimpan sebarang sentimen.

Tidak sangka saya akan guru-guru kita yang pandai menulis dalam nada sebegitu keras. Tetapi ada juga yang bersetuju dengan pendapat saya itu, dan mahu saya terus membongkar dan melondehkan hakikat .

Tapi dalam diri saya yang masih mempunyai pertimbangan, maka saya berpendapat kalau saya menyiarkan pandangan yang saling bertentangan itu, tentu masyarakat akan menjadi tambah keliru – mana satu yang betul dan yang mana satu salah tentang guru-guru kita ini.

Namun begitu, saya tetap percaya bahawa guru berhak mendapat apa yang setimpal dengan beban tugasan mereka – khususnya guru yang mengajar, yang memimpin, yang mendidik, dan yang menjadi lilin kepada kesamaran dan kegelapan di pedalaman – walau mereka sendiri terpaksa bergelap.

Keikhlasan ,keberanian pengorbanan, perjuangan dan kemahuan yang tidak boleh diukur dengan apa-apa juga alat pengukur itu hanya boleh dihargai dengan ucapan terima kasih dan syabas. Mungkin sedikit penghargaan boleh diluahkan melalui sejambak bunga, kad ucapan, ciuman pada tangan atau persembahan penghargaan pada hari-hari yang istimewa seperti Hari Guru, hari lahir, perayaan dan sebagainya.

Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Berikut saya petik sebahagian daripada reaksi emel:.

Sepucuk emel daripada Shafarizan Mohamed, eddeved@hotmail.com berkata, gaji pokok permulaan guru DG1 P1T4 bersamaan RM1,967.82 sen, bukan RM2,500 sehingga RM2,700.

Kata beliau, tidak adil membuat `pukul rata’ bahawa semua guru yang ada di Malaysia ini tergila-gila kepada kenaikan pangkat dan kenaikan gaji.

``Sebelum saudara terbawa-bawa dengan tuduhan ini, saya cadangkan agar saudara memohon untuk kursus KPLI sekiranya saudara berumur belum 35 tahun dan masuk ke mana-mana institut perguruan kalau nak tahu macam mana kami menghadapi perkara-perkara yang tak masuk akal dan mencabar,’’ tegas beliau.

Tambah beliau: ``Saya bersyukur dan berterima kasih akhirnya kepada bapa saya kerana memaksa saya memilih kerjaya sebagai guru kerana setelah setahun saya menjadi guru, baru saya memahami maksud saya itu. Tugas sebagai seorang guru bagi saya lebih menyeronokkan kerana, i) kerja kurang daripada lima jam , ii) tidak terlalu pening kepala, iii) Tiap-tiap hari jumpa murid yang comel dan petah bercakap menyebabkan kita bersemangat nak mengajar mereka.’’

Kata beliau: `` Bagi saya biarlah akaun gaji duniawi saya tidak seberapa asalkan akaun gaji akhirat saya melimpah ruahkerana saya percaya Allah sahaja yagn boleh menilai kerja say dan keikhlasan saya.’’

Elia Hasimi di eliahasimi@yahoo.com pula menceritakan susahnya bertugas di pedalaman.

Berikut ialah luahan isi hati beliau.

``Saya sendiri seorang guru dan bertugas di kawasan pedalaman. Kalau hendak ke sekolah saya, kita akan naik van dari bandar S ke bandar K. Selepas itu, kita perlu naik perahu selama lima minit untuk menaiki van ke tebing sungai yang satu lagi selama 15 minit. Setelah sampai di situ, kita perlu naik long boat selama satu jam ke sekolah. Kami hanya keluar sekali seminggu untuk mendapatkan bekalan makanan.

Hanya beberapa rumah staf di sini mempunyia Astro. Itu pun bukan disediakan oleh kerajaan. Saya pernah pada satu ketika dahulu memiliki antena televisyen biasa. Semua ditanggung sendiri. Untuk pengetahuan saudara, bukan senang bertugas di kawasan seperti ini lebih-lebih lagi dalam kalangan guru beragama Islam. Oleh itu, saya rasa usaha yang bagus kerajaan sediakan rumah untuk kami berteduh.

Yang paling kelakar saya baca tulisan saudara ialah berkenaan dapur pun disediakan oleh kerajaan. Sebenarnya dapur dan tong gas kami beli dan bawa sendiri dari pekan. Bukan mudah bertugas di tempat ini lebih-lebih lagi tiada coverage untuk talian telefon. Kalau nak bertelefon, kena panjat bukit yang tinggi baru dapat coverage.

Anda tidak berada di tempat kami, dan anda tidak rasa apa yang kami rasa.’’

Adni Atha e-mel athaadni@yahoo.com.my dalam coretannya bertajuk Pendidik pedalaman wajar di hormati menegaskan, setelah 20 tahun menabur bakti , hampir 13 tahun saya mengajar di pedalaman, tiada yang percuma, di pedalaman , semuanya memerlukan perbelanjaan yang besar. Semua perkakas terpaksa dibeli, seperti katil, tilam, apatah lagi jika hendak memasang Astro.

Jangan menyalahkan guru atas kurniaan gaji yang Kemenetrian Pelajaran berikan, tetapi carilah mengapa pihak KPM memberi elaun pedalaman kepada warga pendidikan di pedalaman.

Berkenaan akujanji pula, pengirim emel itu berkata, ``bagi guru-guru yang baru dilantik, mereka diwajibkan `bersumpah’ untuk menyimpan rahsia serta menjalankan tugas dengan penuh amanah dalam borang akujanji. Selain daripada itu, para guru juga diberikan sasaran tertentu seperti Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang perlu dicapai untuk digunakan oleh ketua jabatan (Guru Besar/Pengetua) menilai prestasi dipenghujung tahun dalam borang Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

Hal ini bermakna semua warga pendidik sudah ada akujanji atau Bai’ah seperti yang saudara sebutkan. ‘’

Tambah pengirim emel itu: `` Kami warga pendidik amat mengharapkan sokongan berterusan daripada semua pihak dalam menjayakan hasrat murni kerajaan untuk mewujudkan rakyat celik huruf dan angka melalui NKRA Pendidikan.’’

Pengirim email fazlinfy@gmail.com mengirim emel dalam bahasa Inggeris dan saya alih bahasa. Lebih kurang seperti berikut: ``Saya tinggal di dalam rumah yang disediakan oleh kerajaan. Rumah itu kosong, kecuali almari pakaian di setiap bilik dan kabinet dapur. Tiada katil, tiada tilam dan sudah tentulah tiada peti televisyen. Jika seorang guru baru masuk ke sebuah rumah yang sudah lengkap, maka itu adalah titik keringkat penghuni guru sebelum mereka.

Saya terpaksa menunggu enam bulan sebelum saya memiliki televisyen dan dekoder. Saya terpaksa tidur di atas tilam angin. Saya tinggal bergelap bila solar hybrid mengalami kerosakan yang teruk, dan solar hybrid kadang kala mengalami kerosakaan menyebabkan kami tinggal dalam kegelapan - sehinggalah ke hari ini.’’

Katanya: `` Sekolah di pedalaman masih kekurangan guru dan kakitangan. Guru menjalankan tugas pentadbrian untuk melicinkan perjalanan harian. Sekolah di bandar mempunyai juruteknik dan pustakawan mereka sendiri. Tetapi di pedalaman tidak ada semua itu.Guru terpaksa menjadi juruteknik dan pustakawan.

Ada Guru Pusat Sumber terpaksa mengajar 37 waktu subjek English kerana kekurangan guru English. Dengan 37 waktu mengajar, maka guru-guru ini hanya tinggal satu masa senggang setiap hari, menyebabkan tugas pentadbiran di perpustakaan menjadi perlahan.’’

Kata beliau: `` Mengajar di pedalaman dengan murid yang sedikit lebih susah daripada mengajar sebuah kelas dengan 40 orang murid, kerana faktor kurang pendedahan dalam kalangan murid. Dengan kepadatan waktu mengajar tujuh hingga lapan waktu sehari menyebabkan cikgu hilang kederat dek keletihan pada penghujung waktu dalam sehari. ‘’

Tentang elaun pedalaman, katanya, bila tinggal di pedalaman banyak duit dihabiskan untuk pengangkutan.

``Ambil contoh berikut, seorang guru yang ingin mengeluarkan duit terpaksa ke Sandakan kerana tiada mesin ATM di Beluran. Kos pengangkutan degan bot dari Kampung Bukit Besi ke Beluran berharga RM256 seorang. Kalau guru ini tidak mepunyai ekreta, dia terpaksa membayar RM18 lagi untuk ke Sandakan. Kos yang sama terpaksa ditanggugnnya apabila tugasnya selesai dn hendak berpatah balikke Kampung Bukit Besi.Kesemunay akan menelan kos RM86. Kesemua ini akan menyebabkan elauan pedalamannya habis.

Hal in belum termasuk tiket penerbangan yang mahal jika hendak pulang ke Semananjung untuk bertemu yang tersayang.’’

Seterusnya beliau bertanya: ``En Wahid, kalau anda cemburu dengan gaji dan elaun guru pedalaman, kenapa tidak saudara datang dan tinggal di pedalaman, dan mengajar di sini, Anda juga akan mendapat insentif. Apa kata saudara?.’’

Berikut ialah jawapan saya, rerus terang saya katakan, saya sangat mencintai profesion perguruan. Jika diberi peluang mengapa tidak?

Jika ada kesempatan dan ruang, saya akan siarkan lagi beberapa emel minggu hadapan di ruangan istimewa Mysekolah ini.

Oleh WAHID HASHIM pendidikan@utusan.com.my


Read more...

06 April 2010

Ke mana hilangnya air?

















GENERASI akan datang mungkin tidak lagi dapat merasai bekalan air besih secara semula jadi.

BAYANGKAN suatu hari nanti, anda terpaksa menggunakan air osmosis balikan (RO) untuk keperluan harian. RO berharga kira-kira 50 sen seliter dan kalau anda menggunakan 1,000 liter sebulan, bil anda boleh mencecah RM500.

Sanggupkah anda membayar sebegitu mahal untuk air yang digunakan bagi tujuan memasak, mandi atau membasuh baju?

Mungkin sukar membayangkan senario ekstrem sebegitu. Apa tidaknya, kita kini secara purata hanya membayar 70 sen bagi satu meter padu atau 1,000 liter air. Sumber air bersih dan dirawat dirasakan seperti tidak akan kehabisan.

Tapi hakikatnya, Malaysia semakin kekurangan sumber air bersih.

Masalah ini bukan saja membelenggu Malaysia, malah seluruh dunia. Ingat, hanya dua peratus daripada sumber air seluruh dunia boleh digunakan manusia. Selebihnya ialah air laut.

Jika kita gagal menjaga dan melindungi sumber bekalan air yang dua peratus itu, kita mungkin terpaksa menggunakan proses desalinasi untuk bekalan air harian kita.

Desalinasi adalah proses yang menjadikan air laut selamat diminum oleh manusia, seperti osmosis balikan. Namun begitu, prosesnya menelan kos yang begitu tinggi dan tentunya orang ramai tidak sanggup membayar harganya.

Tadahan air dimusnahkan

Mengapa begitu sukar untuk mendapatkan sumber air bersih?

"Di Malaysia, sebab utama adalah pencemaran dan tadbir urus yang lemah di kawasan tadahan air," kata Setiausaha Agong Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia, S. Piarapakaran.

"Antara petanda pertama perkara ini sedang berlaku ialah tarif air yang semakin meningkat."


Kata beliau, kawasan tadahan air dan sekitarnya harus diwartakan. Namun, apa yang sedang berlaku adalah kerajaan negeri memberi kebenaran kepada syarikat pembalakan dan perladangan menggunakan kawasan itu demi keuntungan jangka pendek.

Hasilnya? Pencemaran berlaku di kawasan tadahan air hingga meningkatkan kos rawatan air. Lebih buruk, jika tahap pencemarannya mencapai tahap kritikal, loji rawatan air berkaitan terpaksa ditutup.

Beliau memberi contoh projek terbaru di sebuah negeri yang merupakan satu projek ladang getah seluas 443 hektar. Projek ini membabitkan penerokaan hutan di dua stesen pengambilan dan penapisan air.

"Apa yang sedang berlaku di situ adalah hutan-hutan ditebang dan pokok getah pula ditanam. Tanah pula ditabur baja dan racun perosak dalam jumlah yang banyak. Semua bahan kimia ini akan meresap ke dalam tanah seterusnya terbawa ke dalam sungai apabila hujan.

"Kalau ada kawasan petempatan di kaki bukit di situ yang menggunakan air telaga, kesemua bahan berbahaya ini akan masuk sekali. Baja dan racun perosak mengandungi amonia, nitrat dan fosfat. Kalau ketiga-tiga bahan kimia ini berada di dalam air, kos merawatnya amat tinggi. Biasanya, jika pencemaran amonia dikenal pasti berlaku di sesuatu loji rawatan air, ia akan ditutup serta-merta," katanya.

Itulah yang berlaku di Sungai Batang Nilai, Negeri Sembilan dan Sungai Langat, Selangor.

Piarapakaran mengingatkan bahawa racun yang digunakan untuk membunuh haiwan perosak turut boleh membunuh manusia.

Hutan kita, sumber air kita

Malaysia masih banyak sumber air kerana hutan dan fungsinya sebagai kawasan tadahan air.

"Tetapi kalau pihak berkuasa sering tunduk kepada syarikat pembalakan yang hanya ingin membuat pembalakan terancang, kita akan menghadapi masalah yang besar," kata Piarapakaran.

Katanya di Perak, banyak hutan hujan di Banjaran Titiwangsa telah dimusnahkan.

Keratan rentas Semenanjung Malaysia menunjukkan bagaimana banjaran itu merupakan tulang belakang kepada kehidupan rakyat Malaysia. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari Pantai Timur ke Pantai Barat dengan dikawal oleh pokok-pokok di hutan yang menadah air hujan itu dan melepaskannya perlahan-lahan ke seluruh Semenanjung.

Selebihnya akan diserap ke dalam tanah dan juga menjadi sumber air tanah yang dilepaskan sedikit demi sedikit ke dalam tasik. Ini memastikan sumber air yang berterusan tidak kira pada musim hujan atau pun kemarau.

"Dengan cara itulah hutan menyokong kehidupan kita," kata Piarapakaran.

Kegagalan melindungi khazanah ini boleh mengakibatkan masalah air yang kronik, seperti halnya di Perak. Dahulu, jarang sekali didengar banjir berlaku di Perak, lebih-lebih lagi di kawasan seperti Larut Matang dan Selama.

Kawasan itu menerima kadar hujan tertinggi di Malaysia iaitu 5,000 milimeter (mm) setahun. Namun, ia tidak pernah dilanda banjir sehinggalah baru-baru ini bila Bukit Larut di Taiping mengalami banjir.

Itu semua gara-gara penebangan hutan yang berleluasa di bukit itu, kata Piarapakaran.

Beliau menerangkan kadar aliran masuk yang rendah ke dalam tanah menyebabkan air hujan mengalir terus ke dalam tasik sehingga berlakunya banjir.

Apabila cuaca panas kembali, tasik itu akan kekeringan dan keseluruhan sumber air akan hilang begitu sahaja.

Katanya perkara itu sudah pun berlaku di Gunung Semanggol, Perak, yang kehilangan sebuah sungai disebabkan aktiviti pembalakan di sekelilingnya.

Katanya negeri-negeri yang mengalami tekanan air yang sama ialah Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.

"Lihat sahaja Melaka, yang pernah mengalami krisis air yang teruk. Mengapa? Cubalah lihat berapa hutannya yang tinggal. Hampir tiada, kerana semuanya dikorbankan untuk aktiviti perladangan."

Di Kelantan pula, mana-mana aktiviti pembalakan akan memberi kesan buruk serta-merta kerana tanahnya merupakan tanah liat yang mempunyai paras ketelapan air yang rendah. Ini dicerminkan melalui banjir teruk yang berlaku saban tahun di negeri itu.

Bukan perubahan iklim

Memang selalu didengar pihak yang mengatakan perubahan iklimlah penyebab krisis air, kemarau, banjir dan pelbagai masalah lain.

"Tetapi bukan perubahan iklim semata-mata yang mengakibatkan kekurangan bekalan air. Kita juga telah 'mendera' sistem itu," kata Piarapakaran.

Sistem yang dimaksudkan bukanlah rumit - jika keseimbangan hutan dikacau ganggu, impaknya akan menjejas bekalan air. - Bernama

Read more...

05 April 2010

Ketagihan laman sosial maya

















KETAGIHAN Facebook boleh mengakibatkan perubahan tingkah laku seseorang tanpa disedari.

FENOMENA Facebook menyerap dengan pantas dalam masyarakat di seluruh dunia. Sejak enam tahun lalu, pelbagai peringkat lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas, ahli-ahli politik dan selebriti tidak ketinggalan mengikuti arus kemajuan teknologi maklumat yang menjadi trend pada masa kini.

Individu yang tidak mengikuti perkembangan semasa dianggap ketinggalan dan membosankan. Justeru, ramai yang menyertai Facebook semata-mata tidak mahu dikatakan kolot.

Kebaikan Facebook diakui sebagai medium untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia melalui komunikasi alam maya. Individu-individu yang terpisah dapat dipertemukan kembali hanya menggunakan Facebook. Pemimpin dapat berkomunikasi secara terus dengan rakyat menerusi Facebook.

Namun, seiring perkembangan positif, laman interaktif sosial Facebook turut menyumbang kepada pelbagai gejala negatif. Di Amerika Syarikat (AS), seorang wanita mati dibunuh kekasihnya kerana menukar status berkahwin kepada bujang.

Seorang pekerja wanita di London pula dipecat selepas mendedahkan keluhannya di Facebook berhubung suasana di tempat kerjanya dengan mengatakan dia membenci tugasnya.

Selain itu, seorang guru sekolah antarabangsa di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mati kerana minum racun berikutan hidup dalam ketakutan disebabkan bekas teman lelakinya telah memuatkan gambar tidak senonohnya ke dalam Facebook.

Kebimbangan pengaruh negatif Facebook menyebabkan Majlis Ulama Indonesia mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, namun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai tidak wajar.

"Alangkah baiknya kalau dapat berfacebook hari-hari...tapi kalau tak dapat pun tak apa."

Pemikiran sebegini mungkin dapat membantu individu yang tidak dapat berpisah dengan Facebook walau sehari, kata Ketua Pengarah Institut Sosial Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din.

Menurut Mohamed Fadzil, individu yang ketagihan Facebook tidak menyedari masalah yang dihadapinya. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab individu terdekat membantunya merawat ketagihan itu selepas melihat perubahan sikap, tabiat dan tingkah laku individu berkenaan.

Ketagihan Facebook

"Ketagihan boleh dikenal pasti apabila terbentuknya satu jadual atau proses pelaziman seseorang itu tidak dapat berpisah dengan sesuatu tabiat yang wujud akibat pengaruh atau pancingan.

"Manusia mudah dipengaruhi oleh faktor psikososial iaitu mengikut arus yang berlaku dan mereka percaya sekiranya mereka tidak terbabit, mereka dianggap kumpulan yang ketinggalan dan membosankan," jelasnya yang mengganggap sistem itu sebagai tidak rasional.


Tambahnya, penyelesaian ketagihan Facebook boleh dilakukan menggunakan pendekatan ekstrem, kompromi mahupun psikologi.

"Ada pihak kata haramkan penggunaan Facebook. Ini kaedah ekstrem, manakala pendekatan kompromi memberi peluang kepada individu berkenaan untuk menggunakan Facebook tetapi mereka dididik supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyalah gunakan laman sosial itu.

"Kaedah psikologi perlu bagi mengurangkan ketagihan individu yang mempunyai pemikiran tidak rasional akibat pengaruh Facebook. Di sini perlunya sokongan individu terdekat seperti keluarga, pasangan dan teman rapat," katanya.

Kaunseling, bimbingan dan nasihat mampu membantu menyedarkan individu yang ketagihan Facebook supaya mereka tidak berterusan gagal menguruskan masa dan kehilangan kemahiran sosial akibat terikat dengan komunikasi alam maya.

Selebriti terkenal, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, 32, mengaku ketagihan Facebook apabila dia sentiasa memikirkan pos-pos terbaru yang ingin diletakkan di dinding Facebooknya. Beliau juga rasa teruja setiap kali menerima komen daripada para peminatnya.

"Facebook membuatkan saya leka dan melekat di depan komputer selama berjam-jam tanpa sedar. Tetapi, saya menggunakan alternatif lain iaitu iPhone supaya saya dapat melaksanakan tanggungjawab tanpa membazirkan masa di depan komputer.

"Bagi saya, Facebook dapat meningkatkan komunikasi secara efisien dan tidak patut diharamkan. Tindakan mengharamkan Facebook ibarat menafikan perkembangan teknologi maklumat dan kita akan ketinggalan dalam pelbagai sudut," katanya.

Tambah Faizal, apa yang wajar dilakukan ialah pemantauan daripada kerajaan supaya menyekat laman-laman Facebook yang mengajak masyarakat menghina atau membangkitkan isu-isu yang boleh mengakibatkan pepecahan.


Pembaca berita RTM, Norhaslina Ibrahim berpendapat, masyarakat hari ini memanfaatkan Facebook atas dasar kesibukan dan melaluinya banyak maklumat terkini diperoleh daripada teman-teman serta mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.

"Facebook penting bagi saya kerana saya tidak mempunyai masa untuk berkomunikasi dengan teman-teman rapat dan mengetahui perkembangan diri mereka. Melalui Facebook saya dapat bertemu dengan rakan-rakan sekolah yang sudah lama terpisah," katanya.

Pelakon dan hos, Julie Woon mengatakan dia tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif yang berlaku disebabkan Facebook kerana menganggap ia tindakan individu yang mempunyai agenda tertentu.

"Saya sentiasa mengemaskini laman Facebook kerana bidang kerja yang memerlukan saya berhubung dengan teman-teman dan para peminat. Selain itu, banyak ejen mencari saya di Facebook untuk tujuan kerja kerana tidak mempunyai nombor telefon saya," katanya.

Read more...

04 April 2010

Bahana kencing tikus





















SEORANG petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini. - Gambar hiasan
BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.

Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.

Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.

Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.

Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.














TIKUS mula aktif seks seawal usia enam minggu dan boleh melahirkan sehingga 170 ekor anak sepanjang hayatnya. - Gambar hiasan

“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).

“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.

Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.

“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.

“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.

Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.

Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.

“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.
















DR. INTAN

Rumput


“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.

“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.

“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.

Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.

“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.

“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.

Gerudi

Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.

“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.

“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.

“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.

Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.

“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.

“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.

Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.

“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.

“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.

Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.

“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.

“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.

“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
Read more...

03 April 2010

Memandu cara yang betul

















KEMALANGAN jalan raya antara penyumbang utama kematian di seluruh dunia
KETIKA memandu di jalan raya, kita perlu menerapkan satu perkara yang paling asas di fikiran. Kita tidak keseorangan. Jalan raya adalah tempat yang digunakan secara bersama, maka sama ada anda memandu sebuah kereta murah atau berharga berjuta-juta ringgit, ia merupakan lorong yang kita semua wajib patuhi.

Jalan raya direka dengan sistem dan undang-undang. Kenderaan juga begitu, datang dengan sistem. Jadi apabila sistem tidak dipatuhi, maka kepincangan seperti kemalangan dan kesesakan akan terjadi.

Nilai sendiri kualiti pemanduan anda. Setiap orang memiliki daya kepekaan berbeza sewaktu memandu. Ada orang yang tidak pernah mengalami kemalangan walaupun jarang memandu perlahan. Ramai juga yang keretanya calar balar biarpun memandu pada posisi seperti mencium stereng. Perbezaannya adalah kepekaan dan teknik memandu.

Adakah anda sering menjadi sasaran kemarahan pemandu lain atau adakah anda sering diekori rapat ketika memandu dan dihala dengan lampu tinggi?

Jika semua ini berlaku, ini bermakna memang ada yang tidak kena dengan gaya pemanduan anda. Satu perkara penting yang harus diingat, ketika memandu anda harus memastikan setiap pergerakan dapat dijangka oleh pemandu lain.

Pandu secara konsisten

Pastikan anda memandu secara konsisten, tidak kiralah agresif atau tidak. Ini perlakuan yang baik bagi membantu pemandu lain menjangka pergerakan anda.

Banyak padahnya jika tidak memandu dengan konsisten, atau dengan kata lain memandu seperti orang yang tiada pedoman. Sekejap laju, sekejap perlahan. Ini konsep yang penting dan harus diamalkan bagi mengelakkan pemandu lain di sekeliling tidak terkejut dengan perubahan perilaku pemanduan anda.

Kelajuan yang betul

Sebagai contoh, jika had kelajuan di lebuh raya ialah 90km/j dan majoriti pemandu lain memandu di antara 90 hingga 110 km/j, janganlah anda memandu 90km/j di lorong paling kanan. Beredar ke lorong tengah atau ke lorong paling kiri jika anda tidak berminat untuk menyamai kelajuan pemandu lain.


KEMALANGAN jalan raya antara penyumbang utama kematian di seluruh dunia.

--------------------------------------------------------------------------------


Beri isyarat jika anda terpaksa memandu perlahan kerana hendak mencari sesuatu lokasi atau kereta mengalami masalah mekanikal. Dengan memberi isyarat, pemandu lain akan faham dan seboleh-bolehnya beri laluan kepada kenderaan lain di belakang.

Jika kereta lain masih sukar untuk melepasi anda kerana keadaan trafik, sentiasalah mencari peluang atau posisi yang sesuai untuk membolehkan kereta lain memintas dan meneruskan perjalanan dengan lancar.

Jangan mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat. Jika kereta di hadapan tidak memberi laluan dan kereta dari arah bertentangan tidak putus-putus, sebagai pilihan terakhir, kembali ke jarak selamat dan beri lampu tinggi secara sopan (jangan dinyalakan berkali-kali).

Pemandu di hadapan mungkin akan faham dan bertimbang rasa untuk memberi laluan kepada anda. Jika anda pula berada dalam keadaan dirapati oleh kenderaan belakang, anda dinasihatkan untuk memberi laluan.

Guna cermin sisi

Cermin sisi direka untuk melihat ke belakang. Gunakan cermin sisi, cermin pandang belakang dan melihat titik buta (blindspot) sebelum memotong. Ini kerana mungkin ada kenderaan di belakang anda yang sedang memotong dalam kelajuan tinggi. Beri laluan kepada mereka dahulu. Apabila selesai mereka memotong, barulah anda meneruskan pemanduan di lorong kanan.

Lampu isyarat jangan lupa

Menggunakan lampu isyarat untuk menunjukkan ke mana arah anda supaya pergerakan tidak mendatangkan kejutan kepada pemandu lain. Seelok-eloknya bagi isyarat lebih awal, terutama dalam keadaan trafik yang sibuk. Jangan sudah hampir memasuki simpang, baru hendak memberi signal atau suka-suka bertukar lorong tanpa melihat kenderaan di belakang.

Brek dengan perlahan

Jika anda perlu membrek, tekan dengan perlahan-lahan. Bagi amaran awal kepada pemandu di belakang. Sebagai anggaran untuk masa membrek yang praktikal, lihat kereta selang kereta di hadapan anda. Membrek secara mengejut merupakan perbuatan berbahaya.

Jika keadaan trafik memaksa anda membrek secara mengejut (kemalangan atau sebagainya) cuba cari ruang lega di hadapan agar kenderaan di belakang anda mempunyai masa yang cukup untuk membrek.

Memecut pada masanya.

Memecutlah di tempat sepatutnya seperti apabila lampu isyarat bertukar hijau atau ketika giliran anda di simpang bertanda berhenti.

Ia membantu mempercepatkan kelancaran trafik. Sebaik lampu bertukar hijau, bersedia dengan kedudukan gear dan kemudian terus bergerak. Jangan 5 saat sudah lampu trafik bertukar hijau baru terkial-kial mencari tuil gear.

Jika hendak memasuki trafik yang sedang bergerak, anggar dengan baik dan pantas masuk ke dalamnya. Jadi, anda tidak memaksa pemandu dari belakang menekan brek. Cuba bersabar, tunggu ruang yang agak luas dan terus masuk dengan pantas.

Berhenti di tempat sepatutnya

Tiada faedah berhenti melebihi garisan. Ini hanya boleh menyusahkan kenderaan lain dan mungkin alat pengesan lampu isyarat juga tidak dapat mengesan anda.

Di persimpangan jalan raya dengan saiz jalan yang terhad, anda hanya menjadi penghalang kepada kenderaan dari simpang bersebelahan. Ia akhirnya akan memperlahankan trafik secara keseluruhan.

Jangan berhenti di tengah jalan tanpa tujuan. Jika terpaksa berhenti di bahu jalan, berikan isyarat dan bukannya berhenti sesuka hati.


PEMANDUAN berhemah dapat menyelamatkan anda dan orang tersayang.

--------------------------------------------------------------------------------


Beretika

Jika berada di lebuh raya yang sedang sesak, pilih lorong anda dan tetap di situ. Jangan terlalu kerap bertukar lorong kerana ia tidak membuatkan anda lebih pantas menuju ke destinasi.

Sebaliknya, ia membuatkan keadaan trafik bertambah teruk. Jika kenderaan di lorong sebelah kanan anda dipandu laju melepasi anda, tidak perlu anda meningkatkan kelajuan kerana hendak menunjuk-nunjuk.

Jangan memotong ikut kiri. Ini perlakuan yang berbahaya dan dikategori kurang sopan ketika lebuh raya sesak dan biasa dilihat pada musim perayaan.

Selain menyalahi undang-undang, ia berbahaya kepada kenderaan lain yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak.

Lampu kecemasan

Lampu kecemasan (hazard light) adalah untuk kecemasan. Ia digunakan ketika kenderaan berhenti, bukannya ketika sedang bergerak. Bukan sama sekali digunakan ketika hujan. Ketika hujan, pasang lampu utama. Walaupun pihak berkuasa selalu menggunakan lampu kecemasan ketika mengiringi konvoi, jangan sesekali anda menyalakan lampu itu ketika anda berkonvoi.

Anda tidak kacak untuk berbuat begitu dan hanya membahayakan pengguna lain.

Bayangkan anda menyalakan lampu kecemasan ketika hujan kemudian perlu masuk ke simpang kiri. Jadi bagaimana?

Read more...

02 April 2010

Misi melencongkan planet kecil






















ADAKAH benar seperti yang didakwa oleh pelbagai pihak apabila asteroid jatuh ke Bumi dunia akan kiamat?

ADAKAH benar seperti yang didakwa oleh pelbagai pihak apabila asteroid jatuh ke Bumi dunia akan kiamat?

Bahkan, ramai yang membayangkan penghujung tamadun dunia bakal berakhir apabila batu dari angkasa itu jatuh ke atmosfera.

Itu semua bayangan penduduk dunia apabila kita dikejutkan dengan penemuan yang mengaitkan punca sebenar kepupusan dinosaur disebabkan oleh asteroid berukuran kira-kira 15 kilometer (km) lebar menghentam Bumi.

Penemuan terbaru itu secara tidak langsung menyangkal kajian yang dibuat oleh saintis sebelum itu mengenai kepupusan hidupan purba tersebut berpunca daripada satu siri letusan gunung berapi di India.

Lipatan sejarah juga pernah menceritakan, 65 juta tahun lalu, hentaman asteroid melanggar Bumi di Chicxulub, Mexico dengan kuasa berbilion-bilion bom atom sehingga menghapuskan lebih separuh spesies di planet Bumi termasuk dinosaur.

Akibat hentaman tersebut yang dikatakan mempunyai kekuatan bilion kali ganda berbanding bom atom di Hiroshima, ia menyebabkan mamalia menjadi spesies dominan di Bumi. Akhirnya mencetuskan insiden seperti musim sejuk secara melampau yang memusnahkan kebanyakan hidupan dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Itu cerita 65 juta tahun dahulu. Bagaimana dengan sekarang dan akan datang? Adakah manusia yang menghuni Bumi akan mengalami nasib yang sama seperti dinosaur yang telah musnah akibat hentaman asteroid?

Ancaman 2036

Pada 20 Februari 2007, Reuters melaporkan bahawa sebuah asteroid mungkin menghampiri Bumi pada tahun 2036.

Sehubungan itu, para saintis menyarankan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan misi angkasa lepas bagi melencongkannya.

Asteroid yang diberi nama Apophis itu dijangka merempuh Bumi pada 13 April 2036 sedang dipantau, malah misi untuk melencongkan asteroid sepanjang 40 meter itu dijangka menelan belanja sebanyak RM1.04 bilion.

Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia merangkap Penyelaras Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, Profesor Madya Nasirun Mohd. Salleh memberitahu, asteroid kadangkala dipanggil planet kecil atau platenoid.













HENTAMAN asteroid 65 juta tahun lalu dikatakan menghapuskan separuh spesies di planet Bumi termasuk dinosaur.

Menurutnya, asteroid terbina daripada batu-batuan pejal yang tidak sempat menjadi planet semasa permulaan pembentukan sistem matahari.

"Batu-batuan pejal ini bukanlah dalam erti kata batu tetapi ia terdiri daripada batuan dan logam besi iaitu nikel. Secara umumnya permukaan asteroid terdiri daripada batuan logam sedangkan terasnya adalah besi padu. Bentuk dan saiz asteroid adalah pelbagai dan tidak mempunyai rupa yang tetap, ada yang berupa bentuk kentang dan ada yang bujur telur.

"Dakwaan mengenai asteroid tergolong daripada kumpulan planet kecil tidak benar kerana tidak semua asteroid dapat dianggap sedemikian. Terdapat lebih daripada 40,000 asteroid dikenalpasti yang melebihi satu kilometer saiz garis pusatnya, manakala saiz yang mencapai ukuran 1,000 km diameter ialah Ceres yang terletak di antara Marikh dengan Musytari yang boleh dianggap sebagai planet kerdil mengikut takrifan Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) berserta dengan planet Pluto," katanya.

Tambah Nasirun, terdapat 16 asteroid yang melebihi saiz 240 km diameter. Kesemua asteroid tersebut berada di dalam jaluran asteroid yang terletak di antara planet Marikh dan Musytari.

"Rata-rata asteroid yang menghentam Bumi bersaiz sepuluh meter hingga 30 meter sahaja dan tidak membawa kemusnahan besar. Namun terdapat asteroid yang pernah jatuh ke Bumi bersaiz 100 meter iaitu di New York pada 2,300 tahun yang lalu.

"Kesan tsunami yang dicetusnya sangat dahsyat," jelasnya.

Sementara itu, Felo Bersekutu di Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Geri Kibe Ak Gopir, memberitahu orang ramai tidak perlu panik dengan jangkaan Asteroid Apophis yang panjangnya menyamai Menara Kembar Petronas akan menghentam Bumi. Ini kerana peratusannya untuk menghentam Bumi pada tahun 2036 ialah 2.7 peratus dengan kebarangkalian tiga dalam satu juta.

"Asteroid besar menghentam Bumi jarang terjadi. Ia berlaku dalam tempoh berpuluh juta tahun hingga berbilion juta tahun. Kita tidak perlu risau kerana sudah ada teknologi yang membolehkan asteroid dikesan dan dipantau.

"Kedudukan asteroid sebenarnya adalah di jaluran asteroid yang terletak di antara orbit Marikh dan Musytari. Asteroid dalam jaluran berukuran dua hingga empat Unit Astronomi (UA) mengorbit matahari. Satu UA adalah bersamaan dengan 150 juta kilometer," katanya.

Jelas Geri, terdapat beratus ribu asteroid di dalam jaluran asteroid yang mengorbit. Dalam masa yang sama ia pecah akibat berlanggar antara satu sama lain sehingga ada di antaranya terlepas daripada jajaran.

"Jika ia terkeluar dari jajaran dan ditarik oleh graviti Musytari, kita tidak perlu risau kerana ia jauh dari Bumi. Tetapi jika ia tersasar masuk ke dalam orbit Bumi, kebarangkalian ia menghentam Bumi itu ada.

"Sememangnya kita risau kejadian 65 juta tahun lalu berulang kembali. Sebenarnya setiap hari bumi dihentam asteroid. Sesetengah fakta memberitahu, kalau dicampur-campurkan jisim asteroid itu, ia mencecah 1,000 kilogram satu hari, tapi asteroid yang kecil-kecil sahaja," ujarnya.








ANCAMAN asteroid boleh menyebabkan tsunami besar.

--------------------------------------------------------------------------------
Geri menambah umur Bumi sangat tua dan sentiasa berubah atau berevolusi walaupun suatu ketika dahulu Bumi banyak kali dihentam asteroid.

"Kalau nak tahu kita kena hentam, lihat sahaja jiran terdekat kita iaitu Bulan. Permukaannya berkawah-kawah dan itu bukti yang paling jelas Bulan dihentam oleh asteroid. Kenapa ia (kawah) kelihatan jelas di Bulan dan bukan di Bumi? Ini kerana Bumi mempunyai atmosfera, udara, tumbuhan dan gunung berapi yang sentiasa mengubah bentuk muka bumi kita

"Bulan tidak mempunyai atmosfera, tiada udara dan permukaannya tidak berevolusi. Jika rupa Bulan sedemikian satu bilion tahun yang lalu, begitu jugalah rupanya kini," jelasnya.

Ditanya mengenai kepupusan dinosaur adalah disebabkan hentaman asteroid, beliau memberitahu ia merupakan salah satu teori dan pendapat itu semakin diterima sekarang sedangkan ia mula dibangkitkan sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Mengapa ia semakin diterima? Geri memberitahu suatu ketika dahulu dinosaur adalah dominan. Persoalannya bagaimana binatang yang sangat besar itu tiba-tiba pupus dan bagaimana pula binatang lebih tua di air iaitu penyu, buaya dan sebagainya boleh meneruskan survival sedangkan binatang di darat semuanya pupus?

"Apabila asteroid menghentam bumi, kemungkinan ombak naik tinggi, kebakaran besar berlaku menyebabkan semua binatang di darat pupus. Apabila kebakaran berlaku, udara menjadi toksik sehingga menyebabkan binatang tidak boleh bernafas dan tumbuhan yang menjadi sumber makanan mati.

"Kerana itulah hidupan di air seperti penyu dan buaya dapat hidup kerana haiwan tersebut berada di dalam air," katanya.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) melalui Observatori Negara Langkawi (ONL) telah memulakan pencerapan objek angkasa khususnya komet pada tahun 2008 dan 2009. Namun untuk pencerapan asteroid secara spesifik program itu belum bermula lagi.

Pegawai Penyelidik Sains Angkasa, Mohd. Fairos Asillam, memberitahu, kebanyakan saintis percaya objek bersaiz 100 ke 500 meter diameter dapat menembusi atmosfera dan menyebabkan kemusnahan sama ada terbakar semasa memasuki atmosfera Bumi atau menghentam daratan atau lautan.

"Jika hentaman tersebut berlaku di bandar besar atau di lautan berhampiran bandar utama, ia dapat menghasilkan gelombang besar dan bakal memberi kesan berbahaya kepada manusia.

"Secara umumnya, kesan-kesan hentaman asteroid yang dapat dikenalpasti adalah pembentukan kawah besar, penyejukan atmosfera, perubahan iklim dunia akibat kotoran di atmosfera yang menghalang cahaya matahari, hujan asid, kemusnahan hasil pertanian dan tsunami," katanya.

Mengenai ramalan impak pada masa hadapan, Mohd. Fairos memberitahu, penduduk dunia tidak perlu bimbang kerana ancaman daripada penyakit dan kemalangan sehingga menyebabkan kematian adalah lebih tinggi berbanding ancaman asteroid.

Bagaimanapun, ancaman tersebut perlu dibimbangkan dalam jangka masa panjang, namun kebarangkaliannya adalah kecil.

Sebenarnya, kira-kira 100 asteroid telah dikesan pada orbit yang menjadikannya berada hampir dengan orbit Bumi yang membolehkannya menghentam Bumi suatu hari nanti.

Ini kerana orbit asteroid berubah secara perlahan-lahan mengikut masa. Namun jika orbitnya tidak bersilang dengan Bumi, perlanggaran hanya akan berlaku dalam beribu tahun lagi.
Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my
Read more...

Sihat melalui pilihan makanan












Pilihan sayur-sayuran berwarna terang membantu merangsang sistem imun badan.
- Gambar hiasan.

BERAPA kerap anda mendapat selesema atau batuk? Adakah luka yang anda alami mengambil masa yang agak lama untuk sembuh? Adakah anda sering mengalami keletihan amat sangat atau sakit kepala? Semua gejala di atas merupakan simptom-simptom penyakit yang kerap mengganggu sistem imunisasi tubuh manusia yang setiap waktu dikeliling bakteria dan virus.

Untuk itu selain mengamalkan gaya hidup sihat termasuk bersenam dan menjaga pemakanan, setiap individu juga dinasihatkan memantau kedudukan sistem daya tahan badan.

Pakar Terapi Rawatan Semulajadi dan Nutrisi Kordel, Esther Peh berkata, untuk meningkatkan sistem daya ketahanan badan, pemilihan kombinasi makanan yang berkhasiat amat penting di samping pengambilan vitamin-vitamin tambahan.

Jelas beliau, tabiat mengambil makanan yang mengandungi banyak lemak dan gula tetapi kurang atau tidak langsung melakukan senaman juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada gangguan sistem daya ketahanan badan seseorang.

''Corak pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat mengakibatkan masyarakat Malaysia hari ini mudah dijangkiti penyakit.

''Ini kerana dunia yang semakin maju turut mengakibatkan gaya hidup serta pemakanan masyarakat hari ini menjadi semakin moden.

''Ia ditambah pula dengan kesibukan bekerja dan tiada masa untuk bersenam yang secara tidak langsung menjadi penyumbang untuk dijangkiti penyakit berjangkit,'' ujarnya ketika pada forum terbuka mengenai gaya hidup sihat di Pusat Perubatan Sunway, di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah beliau, untuk merangsang daya ketahanan badan, disaran agar minum banyak air - sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Selain itu, seseorang individu turut dinasihatkan mengamalkan diet yang seimbang di samping memperbanyakkan pengambilan sayuran serta buah-buahan berwarna terang.

Senaman juga salah satu cara paling cepat dan berkesan untuk merangsang sistem imun badan.

Rehat dan tidur yang mencukupi juga salah satu cara untuk tampil sihat.

"Tidur adalah salah satu cara terbaik untuk merehatkan badan dan disarankan agar tidur antara enam atau tujuh jam satu malam.

"Selain itu elak ketagihan terutama alkohol, dadah dan rokok kerana semua itu boleh merosakkan sistem imun kita," katanya.

Dalam pada itu menurut Esther, mengurangkan pengambilan ubat juga merupakan salah satu cara untuk meningkatkan sistem ketahanan badan.

Ini kerana pengambilan terlalu banyak ubat akan menjejaskan sistem pertahanan badan disebabkan kandungan dadah di dalamnya.

Bagi penyelesaian kepada masalah sistem imunisasi badan, Esther menyarakan agar orang ramai mengambil kombinasi vitamin seperti vitamin C, zink dan selenium

Ketiga-tiga kombinasi vitamin tersebut merupakan kombinasi yang bagus kerana ia memberikan perlindungan yang diperlukan.

''Sebaik-baiknya bagi mereka yang mengambil vitamin tambahan digalakkan mengambil kombinasi antara vitamin C, zink dan selenium.

''Ini kerana ketiga-tiganya mempunyai peranan masing-masing dalam memberi perlindungan kepada sistem imunisasi badan anda,'' katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa vitamin C banyak terkandung dalam buah kiwi berbanding buah oren di samping buah jambu dan betik.

''Seperti yang kita ketahui vitamin C terkenal sebagai perangsang daya tahan dan juga diperlukan dalam pembentukan kolagen.

''Pada masa sama, ia turut mengekalkan sistem imun badan di samping mempercepatkan proses penyembuhan,'' katanya.



Read more...

01 April 2010

Kita membunuh terumbu karang




















TERUMBU karang menjadi habitat pelbagai spesies yang melengkapkan ekosistem
PARA saintis dan kerajaan di seluruh dunia sedang mempertimbangkan apa akan berlaku sekiranya terumbu karang pupus dari muka bumi ini.

Idea tersebut melahirkan perasaan menakutkan dan bakal memberi impak serta kesan yang besar kepada masyarakat dunia.

Terumbu karang merupakan sebahagian daripada asas rantaian makanan lautan dan hampir semua spesies marin di dunia mendapatkan sumber makanan serta menjadikan khazanah samudera tersebut sebagai habitat.

Jika terumbu karang itu lenyap, pakar berkata, kelaparan, kemiskinan dan ketidakstabilan politik boleh berlaku. Apakah kaitannya?

"Seluruh negara di dunia akan terancam jika bercakap mengenai ancaman kewujudan terumbu karang," kata Carl Gustaf Lundin dari Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi.



















KOMUNITI penyelam perlu memainkan peranan dalam menyampaikan mesej tentang kepentingan pemuliharaan terumbu karang.
Banyak kajian meramalkan terumbu karang kini menuju ke arah kepupusan di seluruh dunia. Sebahagian besar daripada ancaman ini disebabkan oleh pemanasan global, pencemaran dan pembangunan di pesisiran pantai.

Ia juga berpunca daripada kerosakan yang disebabkan penyeretan di dasar laut oleh bot-bot nelayan. Itu tidak lagi menyentuh tentang industri perdagangan barang kemas dan cenderamata antarabangsa yang diperbuat daripada terumbu karang.

Menurut Pentadbiran Hidupan Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), Amerika Syarikat (AS), sekurang-kurangnya 19 peratus daripada terumbu karang dunia sudah pupus.

Ini tidak termasuk lebih kurang 50 peratus lagi mengalami nasib yang sama di Kepulauan Caribbean dan tambahan 15 peratus lagi akan pupus dalam masa 20 tahun.

Profesor Kent Carpenter dari Universiti Old Dominion, Virginia, Amerika Syarikat yang merupakan pengarah bancian spesies marin seluruh dunia, memberi amaran bahawa jika pemanasan global berterusan dan tidak dapat disekat, kesemua terumbu karang akan pupus dalam tempoh 100 tahun.














SELAIN masalah pemanasan global yang menaikkan suhu air laut hingga membunuh terumbu karang, khazanah istimewa ini juga boleh terancam kerana sikap manusia yang tidak ambil peduli kepada peraturan dan larangan ketika melakukan aktiviti rekreasi di laut.

"Keruntuhan keseluruhan ekosistem marin akan terjadi dan ia adalah satu satu malapetaka akibat kehilangan terumbu karang. Anda akan melihat kesan lata yang hebat untuk semua hidupan dalam lautan." kata Carpenter.

Eksotik dan berwarna-warni, terumbu karang bukanlah batu-batu mati tetapi ia terdiri daripada rangkaian hidupan yang mengumuhkan satu rangka luar kalsium karbonat keras. Apabila ia mati, struktur-struktur batu itu akan menghakis sekali gus membataskan peluang peneluran dan lokasi pemakanan ikan di dasar lautan.

Langkah yang boleh dilakukan manusia adalah mengurangkan pengeluaran karbon di muka bumi. Itu dapat melambatkan proses kenaikan suhu dan pengasidan air lautan.

Dalam pada itu, mewartakan kawasan terumbu daripada aktiviti memancing, menyelam dan pengawalan pembangunan pesisiran pantai serta pencemaran dapat mengekang ancaman terhadap khazanah lautan ini.

Bayangkan, sekiranya terumbu karang pupus, spesies kerapu dan tenggiri yang biasanya menjadi tarikan pengguna akan menjadi kenang-kenangan sahaja. Begitu juga dengan tiram, kepah serta lain-lain hidupan yang penting dalam diet orang ramai, juga akan terjejas.

Senario lebih teruk daripada itu terjadi apabila industri perikanan komersial boleh lumpuh akibat gagal memenuhi keperluan dan kehendak pengguna untuk menikmati makanan laut.















JIKA hasil laut berkurangan akibat habitat pembiakan yang terhapus, harga ikan di pasaran akan melambung hingga mengakibatkan keresahan awam.


"Ikan akan menjadi barangan mewah," kata Cassandra deYoung dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Terdapat berbilion-bilion orang sedang berdepan dengan masalah kelaparan dan khabar buruk dari laut ini hanya akan menambah keperitan situasi. Kita tidak mampu mengekalkan keselamatan sumber makanan di seluruh dunia.," tambahnya.

Menurut PBB, ekonomi akan terjejas dengan teruk sekali. Perikanan lautan menyediakan pekerjaan untuk kira-kira 38 juta penduduk di seluruh dunia dan 162 juta orang terlibat secara tidak langsung dalam industri ini.

Lokasi terumbu karang pada hari ini mampu menarik penyelam-penyelam skuba, dan pelancong-pelancong untuk bercuti di resort-resort tepi laut seperti di Pulau Hawaii, AS, Asia Tenggara serta Kepulauan Caribbean.

Tanpa terumbu karang ini, hotel-hotel, restoran-restoran dan pusat peranginan di kawasan pesisiran pantai serta kepulauan mungkin akan mengalami masalah kewangan.

"Dunia tanpa terumbu karang tidak dapat dibayangkan," kata Ketua Ahli Biologi NOAA, Jane Lubchenco.

"Terumbu merupakan sesuatu yang amat berharga kepada sumber makanan, perubatan dan sumber pendapatan untuk beratus ribu orang di seluruh dunia. Nilai anugerah alam ini terlalu tinggi hingga menjadikan ia khazanah global." jelasnya.



Read more...