Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






01 April 2010

Kita membunuh terumbu karang




















TERUMBU karang menjadi habitat pelbagai spesies yang melengkapkan ekosistem
PARA saintis dan kerajaan di seluruh dunia sedang mempertimbangkan apa akan berlaku sekiranya terumbu karang pupus dari muka bumi ini.

Idea tersebut melahirkan perasaan menakutkan dan bakal memberi impak serta kesan yang besar kepada masyarakat dunia.

Terumbu karang merupakan sebahagian daripada asas rantaian makanan lautan dan hampir semua spesies marin di dunia mendapatkan sumber makanan serta menjadikan khazanah samudera tersebut sebagai habitat.

Jika terumbu karang itu lenyap, pakar berkata, kelaparan, kemiskinan dan ketidakstabilan politik boleh berlaku. Apakah kaitannya?

"Seluruh negara di dunia akan terancam jika bercakap mengenai ancaman kewujudan terumbu karang," kata Carl Gustaf Lundin dari Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi.



















KOMUNITI penyelam perlu memainkan peranan dalam menyampaikan mesej tentang kepentingan pemuliharaan terumbu karang.
Banyak kajian meramalkan terumbu karang kini menuju ke arah kepupusan di seluruh dunia. Sebahagian besar daripada ancaman ini disebabkan oleh pemanasan global, pencemaran dan pembangunan di pesisiran pantai.

Ia juga berpunca daripada kerosakan yang disebabkan penyeretan di dasar laut oleh bot-bot nelayan. Itu tidak lagi menyentuh tentang industri perdagangan barang kemas dan cenderamata antarabangsa yang diperbuat daripada terumbu karang.

Menurut Pentadbiran Hidupan Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), Amerika Syarikat (AS), sekurang-kurangnya 19 peratus daripada terumbu karang dunia sudah pupus.

Ini tidak termasuk lebih kurang 50 peratus lagi mengalami nasib yang sama di Kepulauan Caribbean dan tambahan 15 peratus lagi akan pupus dalam masa 20 tahun.

Profesor Kent Carpenter dari Universiti Old Dominion, Virginia, Amerika Syarikat yang merupakan pengarah bancian spesies marin seluruh dunia, memberi amaran bahawa jika pemanasan global berterusan dan tidak dapat disekat, kesemua terumbu karang akan pupus dalam tempoh 100 tahun.














SELAIN masalah pemanasan global yang menaikkan suhu air laut hingga membunuh terumbu karang, khazanah istimewa ini juga boleh terancam kerana sikap manusia yang tidak ambil peduli kepada peraturan dan larangan ketika melakukan aktiviti rekreasi di laut.

"Keruntuhan keseluruhan ekosistem marin akan terjadi dan ia adalah satu satu malapetaka akibat kehilangan terumbu karang. Anda akan melihat kesan lata yang hebat untuk semua hidupan dalam lautan." kata Carpenter.

Eksotik dan berwarna-warni, terumbu karang bukanlah batu-batu mati tetapi ia terdiri daripada rangkaian hidupan yang mengumuhkan satu rangka luar kalsium karbonat keras. Apabila ia mati, struktur-struktur batu itu akan menghakis sekali gus membataskan peluang peneluran dan lokasi pemakanan ikan di dasar lautan.

Langkah yang boleh dilakukan manusia adalah mengurangkan pengeluaran karbon di muka bumi. Itu dapat melambatkan proses kenaikan suhu dan pengasidan air lautan.

Dalam pada itu, mewartakan kawasan terumbu daripada aktiviti memancing, menyelam dan pengawalan pembangunan pesisiran pantai serta pencemaran dapat mengekang ancaman terhadap khazanah lautan ini.

Bayangkan, sekiranya terumbu karang pupus, spesies kerapu dan tenggiri yang biasanya menjadi tarikan pengguna akan menjadi kenang-kenangan sahaja. Begitu juga dengan tiram, kepah serta lain-lain hidupan yang penting dalam diet orang ramai, juga akan terjejas.

Senario lebih teruk daripada itu terjadi apabila industri perikanan komersial boleh lumpuh akibat gagal memenuhi keperluan dan kehendak pengguna untuk menikmati makanan laut.















JIKA hasil laut berkurangan akibat habitat pembiakan yang terhapus, harga ikan di pasaran akan melambung hingga mengakibatkan keresahan awam.


"Ikan akan menjadi barangan mewah," kata Cassandra deYoung dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Terdapat berbilion-bilion orang sedang berdepan dengan masalah kelaparan dan khabar buruk dari laut ini hanya akan menambah keperitan situasi. Kita tidak mampu mengekalkan keselamatan sumber makanan di seluruh dunia.," tambahnya.

Menurut PBB, ekonomi akan terjejas dengan teruk sekali. Perikanan lautan menyediakan pekerjaan untuk kira-kira 38 juta penduduk di seluruh dunia dan 162 juta orang terlibat secara tidak langsung dalam industri ini.

Lokasi terumbu karang pada hari ini mampu menarik penyelam-penyelam skuba, dan pelancong-pelancong untuk bercuti di resort-resort tepi laut seperti di Pulau Hawaii, AS, Asia Tenggara serta Kepulauan Caribbean.

Tanpa terumbu karang ini, hotel-hotel, restoran-restoran dan pusat peranginan di kawasan pesisiran pantai serta kepulauan mungkin akan mengalami masalah kewangan.

"Dunia tanpa terumbu karang tidak dapat dibayangkan," kata Ketua Ahli Biologi NOAA, Jane Lubchenco.

"Terumbu merupakan sesuatu yang amat berharga kepada sumber makanan, perubatan dan sumber pendapatan untuk beratus ribu orang di seluruh dunia. Nilai anugerah alam ini terlalu tinggi hingga menjadikan ia khazanah global." jelasnya.



Read more...

31 March 2010

Tetikus 18 butang






















TETIKUS unik direka untuk menyokong pelbagai aplikasi di tempat kerja.

TETIKUS pertama di dunia yang menyokong lebih daripada 52 arahan melalui 18 butang dan satu joystick analog. Inilah kehebatan OpenOfficeMouse, tetikus baru yang diperkenalkan WarMouse dengan kerjasama OpenOffice.

Gajet terbaru itu direka bentuk khas untuk aplikasi pejabat dan membolehkan penggunaan aplikasi yang lebih efisien berbanding sebelumnya. Ia juga sesuai untuk kebanyakan perisian kompleks.

Kesemua 18 butang OpenOfficeMouse boleh ditetapkan fungsinya, malah roda tetikusnya juga boleh diklik. Butang-butang itu juga terdiri daripada tiga mode berbeza iaitu Key, Keypress dan Makro.

Selain itu, ia dilengkapi memori flash sebanyak 512k, sokongan kepada lebih 63 profail aplikasi yang boleh ditetapkan pada tetikus dan sokongan terbina kepada lebih 20 aplikasi termasuk Adobe Photoshop, GIMP, World of WarCraft dan Call of Duty.

OpenOfficeMouse turut membawakan sokongan kepada sistem operasi Windows, Linux serta Macintosh.

Ia boleh didapati mulai April ini atau boleh dibeli secara dalam talian di www.warmouse.com dan www.oomouse.com pada harga AS$74.99 (RM248).

Read more...

30 March 2010

Menikmati keyakinan diri























APABILA keseorangan dan tiada siapa membimbing, teman terbaik ialah diri sendiri. -Gambar hiasan.


MENEMPUHI alam remaja, ia menuntut cabaran yang bukan sedikit. Inilah fasa paling penting dalam kehidupan setiap orang kerana ia bakal menentukan hala tuju hidup pada masa depan.












KEMAHIRAN berkomunikasi adalah antara elemen penting dalam mengukur tahap keyakinan diri. - Gambar hiasan.

Dalam berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran, sudah menjadi kebiasaan jika ada ketika kita meraikan saat-saat gembira dan ada pula masanya diduga dengan kegagalan.

Namun, tatkala berdepan dengan kekecewaan remaja tidak seharusnya hilang keyakinan diri. Bersikap putus asa tidak harus dibenarkan kerana ia membataskan perkembangan anda sebagai remaja.

Ada di kalangan remaja yang dihantui rasa kurang keyakinan diri kerana masalah tubuh badan, gagal dalam peperiksaan, kemiskinan atau masalah keluarga. Namun apa juga masalah anda, percaya pada diri adalah langkah pertama untuk menikmati keyakinan dalam hidup.

GenK senaraikan beberapa tip untuk membantu meningkatkan keyakinan diri remaja:

Senyum

Orang ramai sukakan individu yang peramah dan suka tersenyum. Dengan memberi senyuman seseorang itu dapat melegakan individu dalam kesedihan dan kesakitan.

Misalnya, seorang jururawat yang memberi layanan dengan senyuman manis dapat melegakan rasa sakit pesakit.

Membuat hubungan mata

Kadang-kadang, melalui mata sahaja kita dapat melihat sama ada seseorang itu berasa selesa atau tidak. Jika mereka terlalu pemalu, mata akan memberitahu segala-galanya. Maka, jika anda berhadapan dengan pemuda kacak atau gadis jelita, tunjukkan keyakinan melalui mata anda. Berikan tarikan mata yang tajam tetapi mesra kepada mereka. Dengan itu, individu tersebut akan berasa selesa untuk didekati atau mendekati anda.

Menjadi berani



Remaja harus berani dan aktif menyertai aktiviti-aktiviti luar seperti menyertai kelas renang, taekwando, rakan muda dan sebagainya. Ia secara tidak langsung dapat memberi banyak pendedahan kepada remaja untuk mempunyai ramai teman dan tidak kekok apabila berada di tempat terbuka.

Selesa pada diri

Tidak ada individu yang sempurna, tetapi jika remaja sudah terlalu obses tentang keburukan pada diri sendiri, orang di sekeliling remaja terbabit perlu melakukan sesuatu. Misalnya, jika remaja yang terlalu obses ingin kurus sehingga merosakkan kesihatan diri, seseorang perlu menasihati remaja terbabit.

Lakukan sesuatu yang disukai

Tidak semua anak-anak sependapat dengan ibu bapa mereka. Tetapi, selagi anak-anak tidak melakukan sesuatu yang bahaya, ibu bapa seharusnya memberi sokongan walaupun aktiviti yang dilakukan tidak disukai mereka.

Sebagai contoh, ada ibu bapa yang inginkan anak mengikuti kelas seni bela diri tetapi anak lebih meminati kelas muzik. Biarkan anak buat pilihan dan anda seharusnya menyokong minat anak.

Bersiap sedia

Alam remaja sememangnya penuh dengan keseronokan. Maka, adakalanya mereka sedikit alpa dengan keseronokan dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru atau pensyarah. Lebih buruk kalau anak-anak itu sedang menghadapi peperiksaan besar. Cara yang paling baik adalah dengan merancang jadual belajar dan mengimbanginya dengan aktiviti lain.

Read more...

28 March 2010

Dunia bergelap sejam




























KOMBINASI gambar menunjukkan Stadium Kebangsaan China atau 'Sarang Burung' sebelum dan selepas memadamkan lampu selama sejam, semalam.
126 negara sertai kempen bertujuan ubah cuaca dunia

SYDNEY: Masyarakat antarabangsa, bermula di Asia Pasifik, mengambil bahagian dalam kempen diberi nama ‘Earth Hour 2010’ (Detik Dunia) bertujuan menggerakkan usaha mengubah cuaca dunia dengan mematikan suis tenaga elektrik selama sejam, semalam.
Antara bangunan terkenal antarabangsa yang turut serta ialah Sydney Opera House, Stadium Kebangsaan ‘Sarang Burung’ di China selain Bandar Larangan, menara pejabat Taipei 101, Taiwan dan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. Langkah bergelap sejam mulanya dilaksanakan di Sydney pada 2007 dan menjadi acara tahunan. Penajanya, Tabung Alam Semula Jadi Sedunia (WWF) menjangka penyertaan tahun ini adalah yang terbanyak.
Kepulauan Chatham menjadi tempat pertama memadamkan elektrik pada 8.30 malam waktu tempatan disusuli lokasi lain di seluruh dunia dan berakhir di Samoa, 24 jam kemudian.

Tuvalu yang gusar ditenggelami air kerana kenaikan paras laut berikrar memutuskan bekalan kuasa di sembilan pulau kecilnya selain meminta pemandu kereta dan motosikal tidak menggunakan kenderaan untuk seketika.

Di Antartika, stesen penyelidikan Davis berikrar mengurangkan penggunaan lampu.
Penaja bersama acara itu, Andy Ridley memberitahu, 126 negara sudah bersetuju mengambil bahagian. Acara sampingan turut dirancang termasuk parti di pantai utara Sydney.

Menara kedua tertinggi dunia, Taipei 101, memadamkan semua lampu luarannya dan memujuk 99 peratus penghuninya turut serta, kata jurucakapnya.

Di Singapura, lebih 1,000 orang berhimpun di tengah kota bagi melihat lampu dipadamkan di pejabat, hotel dan bangunan utama lain.

Bagaimanapun, ada yang kecewa kerana mereka masih melihat lampu tidak dipadamkan di bangunan tertentu termasuk tempat pembinaan.

“Saya kecewa kerana banyak lampu bangunan tidak dipadamkan. Saya menjangka lebih banyak syarikat akan mengambil bahagian,” kata Mat Idris, 26.

Di India, bangunan Red Fort turut memadamkan lampu selain piramid dan patung Sphinx di Mesir serta kawasan sekitar patung ‘Christ the Redeemer’ di Rio de Janeiro.

Lampu juga dipadamkan di semua jambatan Sungai Seine di Paris; Istana Buckingham dan Tower Bridge di London manakala di 30 daripada 50 gabenor Amerika Syarikat menyatakan sokongan kepada kempen itu.

Kadar penyertaan dianggap melonjak berbanding 2009 apabila 88 negara mengambil bahagian membabitkan lebih 4,000 bandar dan kota besar.

Dari segi penyertaan penduduk di seluruh dunia, penaja menganggarkan 500 hingga 700 juta orang memadamkan lampu kediaman tahun lalu. – Reuters

Read more...

26 March 2010

'Burung besi' yang digeruni














Pesawat ini bukan hanya boleh digunakan untuk mengintip pergerakan musuh tetapi juga dijadikan senjata untuk menyerang musuh dalam senyap.

PESAWAT tanpa juruterbang (UAV), peninjau atau pesawat dengan kawalan jarak jauh merupakan antara nama yang diberikan kepada pesawat kecil yang semakin digeruni masa kini.

Bagi kebanyakan negara, memiliki pesawat UAV atau boleh juga dipanggil 'burung besi' itu seakan menjadi satu keperluan kepada pasukan angkatan tentera mana-mana negara.

Ini kerana pesawat itu bukan hanya boleh digunakan untuk mengintip pergerakan musuh tetapi juga dijadikan senjata untuk menyerang musuh dalam senyap.

Kelebihan pesawat ini ialah selain tidak memerlukan pemandu, ia boleh terbang di bawah pengesanan radar dan boleh juga dijadikan seperti peluru berpandu iaitu meletupkan dirinya sendiri ke sasaran.

Malaysia sendiri dikatakan telah menggunakan beberapa buah pesawat UAV yang berperanan sebagai pesawat peninjau dan berkemungkunan akan menggunakan pesawat UAV buatan tempatan di masa depan.

Selain digunakan untuk aktiviti ketenteraan, UAV juga sebenarnya banyak digunakan dalam kerja-kerja seperti penyelidikan saintifik, remote sensing, memadam kebakaran, memeriksa kedudukan paip dan sebagainya.

Menurut sumber industri, kira-kira 44 negara di seluruh dunia hari menggunakan pesawat UAV untuk pelbagai tujuan.

Jumlah UAV di seluruh dunia, sebenarnya bukan hanya bertambah tetapi ia menjadi semakin pantas, kuat dan pintar dalam pelbagai model yang dibangunkan.

Avenger, misalnya merupakan UAV yang mampu memburu dan membunuh tiga kali lebih pantas berbanding model sebelumnya, Predator yang banyak digunakan di dalam perang di Iraq dan Afghanistan.

Bagi melihat sejauh mana perkembangan teknologi 'burung besi' ini, Mingguan Malaysia ingin memaparkan beberapa UAE yang sedang dibangunkan untuk kegunaan di masa depan.

Phantom Ray

Pesawat berkelas Stealth ini dibangunkan oleh The Boeing Company dengan berpangkalan di Pangkalan Tentera Udara Edwards, Lancaster, California, AS.

Prototaip ini menggunakan sayap berkuasa jet yang menggunakan teknologi perang terkini seperti menganggu radar, mengisi minyak di udara, anti peluru berpandu dan sebagainya.

Jurutera menjangkakan pesawat ini boleh terbang sehingga 12,192 meter (m) dan mempunyai kelajuan sehingga 982 kilometer/jam (km/j) yang akan menjadikannya UAV paling laju pernah dicipta.

Demon

Pesawat ini dibangunkan oleh BAE Systems dan ketika ini masih berada dalam makmal pertahanan syarikat itu di London.

Pesawat ini terbang tanpa sirip atau bahagian yang boleh diubah kerana seluruh badan berbentuk seperti sayap.

Keseluruhan pesawat dikawal oleh perisian yang menentukan bagaimana ia terbang ke atas dan bawah, termasuk membelok kiri dan kanan.

BAE menjangkakan pesawat ini boleh diuji tidak lama lagi.

Vulture

Pesawat yang dijana oleh tenaga solar ini dibina oleh Lockheed Martin.

Pesawat berbentuk seperti tali pinggang ini dibina untuk kemampuan terbang setinggi 16,764 meter dan boleh berada di udara sehingga tempoh lima tahun secara berterusan.

Ia sangat sesuai diletakkan dengan kamera pemantauan yang boleh memantau sejauh 965 kilometer di bawah bumi.

Badan pesawat ini boleh membengkok atau melurus apabila berhadapan dengan rintangan angin.

RQ-170 Sentinel

Pesawat jenis Stealth ini dibangunkan oleh Lockheed Martin dan dikatakan menjalankan misi rahsia dan dipercayai berada di pangkalan tentera AS di Afghanistan.

Tidak banyak yang diketahui mengenai pesawat ini dan dipercayai mempunyai kemampuan terbang dengan ketinggian sehingga 15,240 meter.

Pesawat ini dijangka tidak digunakan sebagai pesawat pengebom kerana ia tidak membawa senjata bersamanya tetapi berfungsi sebagai pesawat pengintip.

Avenger (Predator C)

Pesawat ini dibina oleh General Atomics Aeronautical Systems dengan fungsi memburu dan memusnahkan.

Pesawat ini mampu membawa peralatan seberat 1,360 kg sama ada dalam bentuk kamera pengawasan dan peluru pemusnah seperti peluru berpandu kawalan laser Hellfire.

Pesawat ini boleh terbang dengan kelajuan 853 km/j dan boleh terbang tanpa henti selama 20 jam.

Embla

Pesawat UAV yang dibina oleh Aesir dari Britain ini berada dalam kategori Hovercraft dan digunakan di Afghanistan dan zon bencana.

Ia mempunyai kemampuan terbang dan mendarat menegak (VTOL) seperti helikopter dan sesuai untuk membantu tentera di lereng-lereng bukit.

Pesawat ini boleh terbang dengan ketinggian 3,048 meter dan kelajuan 80 km/j.

Ion Tiger

Pesawat ini dibangunkan oleh Naval Research Laboratory, Washington yang mempunyai tugasan lasak dengan berkhidmat di kawasan Eropah. Ia juga mungkin boleh terbang sehingga Asia Barat jika teknologi sel bahan bakarnya dipertingkat.

Ia boleh terbang tanpa dapat didengar walaupun berada pada ketinggian 305 meter atau sehingga mencapai ketinggian 4,267 meter.

Kemampuannya untuk terbang selama 24 jam memberikan kelebihan untuk beroperasi di kawasan lereng bukit dan saiznya yang kecil membolehkan ia menghampiri musuh dengan kameranya yang ringan dan murah.

Excalibur

Pesawat UAV ini mempunyai fungsi memburu dan memusnah dan boleh digunakan dalam zon perang di laut dan darat.

Ia juga boleh terbang dan mendarat tanpa lapangan terbang dan boleh terbang dengan ketinggian 9,144 meter.

Dilengkapi dengan 181 kg peluru berpandu laser, Excalibur boleh memusnahkan sasaran yang berada sejauh 966 km dari tempat pelancarannya.

Sebenarnya banyak lagi pesawat UAV atau 'burung besi' yang sedang dibangunkan untuk masa depan, selain yang digunakan pada masa kini.

Antara pesawat masa depan itu ialah S-100 Camcopter dari Austria, Skylite dari BAE Systems, Mantisdari Bluebird Aero Systems, Boeing HALE (High Altitude Long Endurance) dari Boeng, Global Observer dari AeroVironment dan Samarai dari Lockheed Martin.

Manakala pesawat UAV yang sedang digunakan pula ialah RQ-11B Raven, Wasp III, Desert Hawk, MD4-200 (Microdrone), T-Hawk/gMAV, Aerosonde, FINDER, ScanEagle, RQ-7 Shadow (AAI), Hermes 450/Watchkeeper, MQ-1 Predator, MQ-9 Reaper dan sebagainya.


Read more...

25 March 2010

Mengasah kreativiti anak

















"Ketika mengukir dan mewarna kanak-kanak akan menggunakan imaginasi mereka yang kadang kala hasilnya cukup mengagumkan," katanya.

KANAK-KANAK sememangnya kaya dengan imaginasi kerana ia salah satu medium untuk belajar tentang dunia di sekeliling mereka.
Imaginasi sebenarnya mampu diterjemahkan dengan cara yang positif jika ia dikolaborasi bersama kreativiti.

Sebagai contoh menterjemahkan imaginasi melalui seni kreatif mengukir tanah liat seperti yang yang dilakukan oleh sekumpulan kanak-kanak di Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Keterujaan jelas terbayang pada wajah kanak-kanak ini ketika berpeluang menguli dan mengukir doh tanah liat dengan tunjuk ajar pengukir tanah liat terlatih, Xze Anne.

Acara yang dipanggil sebagai Expressing Passion with Clay itu merupakan salah satu aktiviti mengisi waktu lapang sempena cuti sekolah baru-baru ini anjuran pusat beli belah tersebut.

Aktiviti lain ialah pertandingan fotografi (Make a Funny Face) dan pertandingan melukis (My Best Holiday Drawing).

Menurut Anne, tanah liat yang disediakan untuk kanak-kanak tersebut bukan seperti tanah liat biasa (plastisin)yang dimainkan di sekolah mahupun di rumah.

Ia merupakan tanah liat tulen yang perlu dikeringkan selepas dibentuk.

"Cara membentuk tanah liat tidak sukar kerana kanak-kanak ini hanya perlu menggunakan kemahiran jari-jemari dan imaginasi mereka untuk mengukir bentuk yang diingini dan diwarnakan selepas ia dikeringkan," katanya.

Anne mengakui, walaupun aktiviti 'bermain' dengan tanah liat nampak mudah tetapi sedikit sebanyak ia mengasah minda serta kreativiti kanak-kanak.

"Ketika mengukir dan mewarna kanak-kanak akan menggunakan imaginasi mereka yang kadang kala hasilnya cukup mengagumkan," katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Bahagian Sewa Wangsa Walk Mall, Martin Tan, berkata pihaknya telah memperuntukkan 30 peratus daripada pusat membeli-belah tersebut bagi tujuan hiburan.

"Kami akan terus menyediakan aktiviti menarik sempena cuti sekolah di masa hadapan memandangkan populasi di sini kebanyakannya keluarga muda yang mempunyai anak bersekolah rendah," ujarnya.

Sambutan hangat daripada kanak-kanak yang menyertai aktiviti hujung minggu ini katanya, memberi petanda bahawa kanak-kanak ini memerlukan aktiviti santai bersama keluarga yang mana mampu membuka minda mereka.

"Kami akan terus menyajikan yang terbaik untuk kesemua komuniti di sini," katanya.


Read more...

24 March 2010

Dengar dahulu,nilai kemudian





















Komunikasi yang berkesan mewujudkan suasana yang hamorni di pejabat.



KEJAYAAN seseorang pekerja secara berpasukan bukan sahaja bergantung kepada tahap profesionalisme dan kesungguhan kerja yang dipraktikkannya.
Sebahagian lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah keberkesanan jaringan perhubungan dirinya dengan orang lain.

Di sebalik kemajuan teknologi maklumat yang memudahkan urusan perhubungan, kemahiran berkomunikasi yang dimiliki seseorang pekerja adalah elemen teras bagi pertukaran maklumat yang berkesan.

Dalam kehidupan seharian, terutama dalam perbualan interpersonal, kegagalan komunikasi sering kali menyebabkan salah faham dan salah tanggapan di antara rakan sekerja.

Sukar untuk dipercayai, kegagalan komunikasi sebenarnya tidak selalu terjadi gara-gara perbezaan budaya atau bahasa.

Sebaliknya, ramai pula yang menghadapi masalah untuk membina perhubungan sihat dengan majikan atau pekerja bawahan kerana masalah remeh seperti kekangan komunikasi, persepsi negatif, syak wasangka, gosip sekeliling dan masalah peribadi.

Walau bagaimanapun, perhubungan yang sihat boleh tercetus apabila komunikasi yang lebih berkesan berlangsung dalam sesebuah organisasi.

Dalam hubungan tersebut, kefahaman yang bersifat bertimbal balik mudah terjalin selagi kerelaan untuk mendengar dan berkongsi pendapat boleh dicapai secara bersama.






















AMALAN komunikasi yang sihat adalah dengan cara tolak-ansur dan tidak gopoh membuat persepsi negatif.

Setiap individu di pejabat pasti mahukan suasana yang aman di tempat kerja. Dengan mengamalkan cara berkomunikasi yang berkesan, kelancaran penyampaian maklumat pasti mudah terlaksana.

Komunikasi yang berkesan juga, membolehkan hubungan antara rakan sekerja sentiasa dalam keadaan baik sekali gus menjadikan suasana bekerja lebih harmoni.

Andai berlaku salah faham dalam sesuatu hubungan, ia adalah kerana ada halangan dalam penyampaian itu. Justeru, bagi menjaga hubungan baik semua pihak di tempat kerja, tip-tip berikut boleh dijadikan panduan:

1) Fokus pada maklumat, bukannya pada penyampainya.

Kadang-kadang seseorang itu mempunyai pandangan tersendiri tentang seseorang yang lain sebelum betul-betul mendengar apa yang hendak disampaikannya. Apabila perasaan prejudis wujud di antara dua individu, maklumat yang disampaikan tidak dapat dihayati sepenuh perhatian dan ketelusan.

2) Dengar dahulu dan nilai kemudian.

Seseorang perlu cuba memahami pandangan orang yang bercakap, menterjemah pendirian dan keperluannya. Jika perlu untuk penerangan lanjut, jangan malu untuk berbuat demikian.






















ELAKKAN ketegangan di pejabat kerana ia boleh menjejaskan prestasi kerja.

Penilaian boleh dibuat selepas perbualan berakhir. Jangan sesekali menilai, membuat keputusan atau merumuskan sesuatu selagi maklumat keseluruhan belum dipastikan.

Apabila dia telah selesai menyatakan pendapatnya, anda bolehlah memberi respons.

3) Komunikasi bertulis juga penting jika maklumat gagal disampaikan secara lisan.

Mereka yang mempunyai personaliti emosional atau golongan yang sukar untuk mendengar kata-kata orang lain lazimnya bermasalah untuk berkomunikasi.

Maka, golongan ini dinasihatkan untuk menulis pendapat mereka sebelum sebarang perbualan dimulakan.

Mereka biasanya boleh berekspresi dengan lebih baik secara bertulis berbanding secara lisan. Kaedah itu boleh dipraktikkan untuk mengurangkan kesilapan ketika bercakap.

Selain tiga panduan di atas, komunikasi berkesan juga boleh dicapai melalui penggunaan bahasa yang mudah, mengamalkan sistem maklum balas, mempunyai perasaan hormat-menghormati dan memahami cara serta protokol perbualan di kalangan teman pejabat yang berlainan hierarki.

Read more...

Lelaki paling bijak dunia tolak hadiah AS$1 juta


















"Saya tidak memerlukan hadiah. Apa yang saya miliki sudah mencukupi," kata Perelman berhubung tawaran oleh Institut Matematik Clay di Cambridge, Negeri Massachusetts
ST PETERSBURG - Walaupun memenangi hadiah wang sebanyak AS$1 juta (RM3.3 juta) kerana menyelesaikan masalah matematik paling sukar sejak 100 tahun lalu, hadiah itu ditolak bulat-bulat oleh pakar matematik Rusia, Dr Grigory Perelman (gambar).

Bukan sahaja hadiah, lelaki berkenaan turut menolak gelaran manusia paling bijak di dunia yang diberikan kepadanya.

"Saya tidak memerlukan hadiah. Apa yang saya miliki sudah mencukupi," kata Perelman berhubung tawaran oleh Institut Matematik Clay di Cambridge, Negeri Massachusetts iaitu sebuah institut berprestij dari Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu.

Dia yang berusia 44 tahun, diberikan hadiah itu kerana berjaya menyelesaikan masalah geometri sukar yang dinamakan Poincaré conjecture.

Empat tahun lalu, setelah dia menghantar jawapan bagi masalah matematik itu di Internet, Perelman tidak hadir untuk menerima anugerah penghargaan daripada Kesatuan Matematik Antarabangsa (IMU) di Madrid.

Pakar matematik itu yang tidak lagi bekerja dengan institut Steklov kini tinggal berseorangan di sebuah flat kecil di sini yang kotor dan dipenuhi lipas.

"Saya tidak berminat dengan wang atau pun nama," kata lelaki itu.

Seorang jirannya, Vera Petrovna berkata, dia terkejut melihat keadaan daif di flat Perelman.

"Lelaki itu cuma memiliki sebuah meja, kerusi dan katil dengan cadar kotor,".

"Kami cuba menghapuskan lipas di blok kami tetapi semua serangga itu bersembunyi di flatnya," kata wanita tersebut.

Perelman mula menghantar jawapan untuk masalah matematik itu semasa bekerja sebagai penyelidik di Institut Matematik Steklov, di sini pada 2003. - Agensi

Read more...

21 March 2010

Akademik, sukan sama penting


















SIHAT...sukan berupaya melahirkan pelajar yang sihat dan cemerlang - Gambar Hiasan
SATU Pelajar Satu Sukan...Mungkin itulah tema paling sesuai menggambarkan hasrat Kementerian Pelajaran yang mahu mewajibkan semua pelajar menyertai satu jenis sukan mulai tahun depan.


















SEIMBANG...akademik dan sukan perlu diseimbangkan untuk menjamin masa depan yang cerah - Gambar Hiasan

Laporan akhbar menyatakan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pelajar sekolah rendah dan menengah wajib menyertai satu jenis sukan.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa sementara akan ditubuhkan bagi mengkaji untuk memberikan kredit kepada pelajar yang menyertai sukan.


Kajian untuk memberikan kredit atau markah kepada pelajar yang terbabit sukan adalah bagi mengubah persepsi ibu bapa sebelum ini melihat aktiviti sukan tidak memberi makna, sebaliknya lebih menekankan pencapaian akademik anak mereka.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan sebenarnya penyertaan pelajar dalam sukan sudah diwajibkan dalam kokurikulum sebelum ini cuma tidak diberikan penekanan.


“Kita mahu terapkan nilai sukan di sekolah dan mengembalikan sekolah sebagai institusi utama untuk melahirkan bakat sukan di peringkat akar umbi,” katanya.




Selain itu, kajian juga akan dilakukan bagi membolehkan aktiviti sukan di sekolah dijalankan sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan dan tidak hanya bertumpu pada tiga bulan pertama sesi persekolahan seperti mana sekarang.


Kalau konsep ini sememangnya sudah lama dilaksanakan di sekolah, kenapa kini ia perlu diwajibkan sehingga akan ada jawatankuasa yang akan memantau?

Di mana silapnya dan adakah ia datang dari pihak sekolah atau sebenarnya sukan ini dipandang enteng oleh sesetengah sekolah?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata konsep ini sememangnya sudah mana wujud di sekolah terutama di sekolah berasrama penuh (SBP).


Justeru, katanya saranan kementerian itu memang kena pada masanya.


“Memang konsep ini sudah lama wujud di sekolah, tetapi selama ini tidak banyak sekolah yang mewajibkan pelajarnya mengambil mengikuti satu jenis sukan.


“Jadi, bila arahan ini sudah dikeluarkan, sekolah tidak akan mementingkan akademik semata sebaliknya turut menitikberatkan sukan,” katanya.


Kata Azam yang juga Pengetua baru Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan, konsep satu pelajar satu sukan masih tidak berjalan seperti mana yang diinginkan pihak berkenaan kerana guru terlatih dalam bidang sukan tidak ada.


“Ketiadaan guru sukan berkelayakan dan berkebolehan adalah faktor utama kenapa perkara ini masih sukar dilaksanakan.


“Kebanyakan guru yang mengajar subjek sukan tidak berkelayakan, tetapi terpaksa juga melakukannya dan akhirnya aktiviti sukan itu tidak rancak,” katanya.


Mengulas mengenai arah kementerian untuk mewajibkan pelajar menyertai satu jenis sukan, menurut Azam, dia sangat bersetuju dengan langkah itu.


“Sukan adalah sangat penting terutama dalam membentuk pelbagai kemahiran insaniah terutama dalam berkomunikasi, bekerjasama dan sebagainya.


“Seperti di SBP, kita tahu pelajar memang bijak. Tetapi kalau kita membiarkan mereka menjadi ulat buku, susah nanti.


“Ini kerana sukan atau aktiviti kokurikulum dapat melahirkan pelajar berkebolehan dalam pelbagai kemahiran dan bukannya akademik semata-mata,” katanya.


Menurut Azam lagi, sekiranya pelajar bijak dibiarkan tanpa aktiviti lain seperti sukan, tidak mustahil mereka akan menjadi pelajar yang sombong apabila menamatkan persekolahan kerana tidak punya kemahiran berkomunikasi.


“Bagi mengelak perkara ini berlaku, pengetua dan guru besar harus optimis dalam hal ini kerana sukan boleh membentuk peribadi seseorang pelajar.


“Ini tidak, ada sekolah yang menukar subjek pendidikan jasmani dengan subjek dianggap lebih penting seperti sains, matematik atau subjek lain.


“Jadi, pengetua patut mengubah sikap dan memastikan pelaksanaan mewajibkan pelajar menyertai satu sukan yang akan dilaksanakan bermula tahun hadapan berjaya,” katanya.


Selain mengubah sikap, Azam berkata pengetua dan guru besar perlu menyamaratakan sukan dan akademik kerana jika ia tidak seimbang, ini bermakna Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak mencapai matlamat yang di kehendaki.


“Falsafah Pendidikan Kebangsaan mahu sekolah dapat melahirkan pelajar yang terbaik dalam empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek.


“Jasmani yang dimaksudkan dalam falsafah pendidikan negara itu adalah sukan. Justeru, jika sukan tidak dititik beratkan, maka cacatlah falsafah itu.


“Selain itu, kalau tidak ada sukan, tidak sihatlah pelajar-pelajar kita,” katanya.


Sebagai pengetua dan juga Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, saya berharap guru besar dan pengetua perlu berubah.


“Kita perlu sedar akademik tidak semestinya menjamin masa depan pelajar walaupun mereka memperoleh 10A dalam peperiksaan.


“Sebagai ketua, wajibkan sukan kerana ia adalah salah satu komponen penting dalam pendidikan.


“Memang tidak dinafikan akademik penting tapi sukan pun sama penting dan ia perlu diseimbangkan,” katanya yang baru bertugas di Sekolah Sains Rembau itu

Read more...

20 March 2010

Rupa bumi Marikh


















GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan imej rupa bumi planet Marikh.
WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) semalam menyiarkan imej beberapa bentuk bumi bergunung-ganang di planet Marikh.

Gambar-gambar itu dihasilkan berdasarkan rakaman kamera Resolusi Tinggi Pengimejan Eksperimen Sains (HiRISE) pada sebuah kapal angkasa penjelajah Marikh miliknya.

Ia turut menunjukkan permukaan Kawah Mojave di bahagian yang dikenali sebagai Xanthe Terra, di tenggara planet itu.

Kawah berkenaan mempunyai keluasan 60 kilometer dan merupakan antara kawah paling baru di Marikh. - AFP

Read more...