Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






21 February 2010

Bau badan satu gangguan


















Bau badan menimbulkan perasaan kurang senang orang sekeliling.

SAYA harap anda semua tidak salah faham kenapa saya yang diundang ke majlis ini. Begitu juga sebaliknya, saya tidak akan salah faham atau berfikir yang bukan-bukan kenapa agaknya anda yang dihantar ke majlis ini," kata-kata pelakon komedi Douglas Lim bersahaja mengundang ketawa wakil media yang hadir.

Mana tidaknya, majlis hari itu diadakan khusus untuk memperkenal deodoran Shower Clean terbaru Rexona.

Pertanyaan Douglas menyebabkan semua yang hadir terfikir adakah mereka individu paling bermasalah dengan bau badan hingga dihantar untuk tugasan itu!

Bercakap tentang bau badan, mungkin bagi sesetengah individu bunyinya memang lucu. Tetapi tidak bagi mereka yang mengalaminya dan tidak juga bagi mereka yang berada di sekitar orang yang memiliki bau badan.

Penulis juga pernah terbaca laporan pasangan suami isteri yang bercerai-berai kerana tidak tahan dengan bau badan pasangan.

Malah, di negara China, satu syarat yang ditetapkan dalam permohonan menjadi austronaut ialah tidak menghadapi masalah bau badan.

Sukar untuk menanganinya

Bagi Hasrul Omar, 33, pengalamannya memiliki sahabat yang menghadapi masalah itu agak melucukan.

Menurut beliau, temannya itu seorang yang gemar bersukan. Sayangnya, bau badannya yang terlalu kuat menyebabkan beliau tidak disenangi rakan-rakan.

"Sebagai kawan, saya memang simpati dengan dia. Lama jugalah saya fikir macam mana nak bagi tau. Tapi disebabkan dia jenis yang selamba, akhirnya saya berterus terang saja.

"Berterus-terang rupa-rupanya lebih mudah. Dia marahkan saya pula sebab tak bagi tahu lebih awal. Sekarang perkara ni jadi bahan lawak apabila kami sesekali berkumpul beramai-ramai," cerita Hasrul.

Berbeza pula dengan Marini Zulkifli, 27, kerana terpaksa menahan nafas setiap kali berhadapan dengan rakan sekerjanya.

"Saya tidak pasti apa puncanya. Mungkin dia jarang mandi pagi atau memang tidak suka memakai deodoran. Orangnya peramah tapi malangnya dia tak sedar di belakang ramai yang mengata," cerita Marini.

Menurut Marini, macam-macam cadangan yang diberi bagaimana hendak memberitahu si pemilik bau badan berkenaan. Hingga ada yang menyarankan mereka membeli set wangian dan deodoran kepadanya.

"Tapi tak ada yang sanggup buat begitu sebab bimbang akan memalukan dia. Kalau lelaki mungkin lebih mudah, tapi untuk seorang wanita, ia satu perkara yang amat memalukan."

Jika bernasib baik, ada yang baik hati menegur dengan cara yang berhemah. Jika tidak, ia berterusan tanpa disedari dan akan terus menimbulkan perasaan kurang senang orang sekeliling.

"Muka cantik, tapi sayang badan berbau," ayat yang biasa didengar. Tetapi masalah ini bukan hanya untuk kaum wanita sahaja. Kaum lelaki juga perlu tahu bahawa mereka juga mempunyai masalah yang serupa.

Maka, selalu jugalah kita ditunjukkan dengan iklan deodorant khusus untuk lelaki. Ini kerana bau badan lelaki lebih kuat dan menyengat daripada bau badan wanita.

Punca bau badan

Tidak kiralah lelaki atau wanita, penyebab kepada masalah bau badan tetap sama.

Peluh antara penyebab utama kepada masalah ini. Terdapat dua kelenjar peluh iaitu kelenjar ekrin yang bertindak mengeluarkan sisa metabolisme tubuh dan turut berguna untuk mengawal suhu badan.

Satu lagi ialah kelenjar apokrin yang terletak di daerah ketiak, payu dara, daerah anus dan alat sulit. Ia berfungsi aktif setelah remaja dan peluh yang dihasilkan dipengaruhi oleh rangsangan emosi.

Oleh kerana peluh dari kelenjar apokrin mengandungi banyak lemak dan protein, ia menimbulkan bau yang tidak enak apabila diuraikan oleh bakteria. Bau inilah menyebabkan ramai yang lari apabila berdekatan dengan si pemilik bau badan.

Faktor pemakanan juga antara penyumbang kepada masalah ini. Ada jenis makanan yang boleh menyebabkan badan berbau contohnya bawang putih, bawang Bombay, terlalu banyak makanan berempah dan juga merokok.

Selain itu, faktor kebersihan diri juga perlu dititikberatkan. Cara paling umum ialah menggunakan deodoran dan anti perspiran. Deodoran yang mengandungi bahan antiseptik dapat menghalang bakteria manakala anti perspiran pula mengandungi bahan yang dapat mengurangkan pengeluaran peluh.

Menyedari dilema ini, Rexona, satu daripada jenama deodoran turut mengeluarkan deodoran Shower Clean khusus untuk kaum wanita.

Dengan teknologi responsif kepada badan, deodoran itu dapat menghalang bau badan dalam jangka waktu yang panjang di samping memastikan bawah lengan (ketiak) sentiasa kering dan terlindung daripada bau.

Menurut Pengurus Jenama Rexona, Tanya Teng, pihaknya sentiasa mendengar kehendak pengguna dan menyedari pentingnya wanita berasa bertenaga dan dapat menumpukan perhatian bagi mencapai matlamat mereka.

"Di negara yang bercuaca panas dan lembap, kita mudah berpeluh sebaik sahaja keluar dari rumah. Oleh itu, pihak kami sentiasa mencari cara baru untuk meningkatkan kualiti produk kami supaya wanita boleh menikmati rasa kesegaran dan dilindungi sepanjang masa," jelasnya kepada Bernama.

Untuk lelaki juga

Selain untuk wanita, Rexona turut mengeluarkan produk khusus untuk bau badan lelaki yang dilancarkan pada Disember tahun lalu iaitu Rexona Men.

Sama ada berbau atau tidak, setiap individu perlu menjaga kebersihan diri. Mandi dan bersabun tiga kali sehari sahaja tidak cukup buat badan yang memang mengeluarkan bau semula jadi. Cegahlah gangguan diri terhadap orang lain dengan cara memakai deodoran dan anti-perspiran.

Bagi yang berkulit sensitif, mungkin boleh mencuba tawas atau batu mineral. Dengan cara ini, bukan sahaja si pemilik bau badan selesa, tetapi orang di sekelilingnya juga turut berasa nyaman. Tidak kiralah sama ada sewaktu bekerja atau bermain, bersesak di stesen LRT, bersenam di gim atau sekadar bersantai di rumah. - Bernama


Read more...

19 February 2010

Didikan ibu bapa penentu akhlak anak

REMAJA sering dikaitkan dengan zaman paling mencabar dan kritikal, penuh dengan keseronokan dan kebebasan.




















BERI DIDIKAN SEMPURNA...anak adalah pelaburan besar yang bakal menjadi modal insan negara. - Gambar hiasan

Remaja adalah manusia yang tidak suka dikongkong dengan peraturan termasuk kekangan ibu bapa dalam mencari jati diri sebenar.

Justeru, dalam perjalanan yang panjang itu, mereka mudah terpengaruh dengan pelbagai elemen termasuk persekitaran, rakan sebaya dan media massa.


Remaja era 30-an, 70-an dan zaman siber mempunyai masalah yang sama, cuma persekitaran mungkin berbeza. Anak muda kini menghadapi krisis yang amat parah kerana mereka terdedah dengan pelbagai masalah sosial yang saban hari menjadi tatapan akhbar.


Seks bebas, minum arak, pembuangan bayi, lumba haram, rogol dan meragut antara beberapa kes membabitkan remaja masa kini.


Justeru, apakah kita tiada penyelesaian dan membiarkan masalah itu diwarisi turun temurun. Bagaimana dengan Islam, mengapa kita tidak mahu mengikut acuan Islam dalam membentuk remaja?

Rasulullah s.a.w membesar sebagai remaja yatim piatu tetapi Baginda mampu bangun sebagai manusia yang hebat. Apakah rahsianya?

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara iaitu masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua dan masa kaya sebelum papa." (Riwayat Hakim dan Baihaqi). Jelas Rasulullah s.a.w menerangkan perkara yang penting diberikan tumpuan.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan Mu'az bin Jabal, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat hingga disoal empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, mengenai hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah dibuatnya."

Namun kehidupan remaja tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai model ikutan sepanjang zaman kerana baginda memiliki keperibadian unggul dan terpuji.

Allah berfirman yang bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab ayat 21).




Watak Rasulullah dibentuk Allah melalui al-Quran. Sifat Nabi Muhammad terserlah daripada peribadinya yang mulia, bijaksana, bersederhana dalam kehidupan harian dan bersifat lemah-lembut.

Rasulullah s.a.w juga mampu membuktikan dirinya sebagai individu terbaik walaupun tanpa didikan, perhatian dan kasih sayang seorang ayah yang meninggal dunia ketika baginda masih di dalam kandungan.


Kemudian baginda menjadi yatim piatu selepas ibunya pula meninggal dunia dalam usia nabi begitu muda. Keperitan membesar tanpa kedua-dua ibu bapanya menjadikan Nabi Muhammad seorang yang matang dan berdikari.

Justeru, remaja harus dididik agar memahami dengan sepenuh hati kaitan penghayatan sirah dengan kelangsungan hidup mereka terutama sebagai remaja serta kepentingan mereka menghargai sirah demi menjayakan misi hidup.


Cara dan gaya mendidik remaja perlu bersesuaian dengan jiwa remaja iaitu ke arah melatih mereka lebih bertanggungjawab memikul amanah yang Rasulullah tinggalkan kepada setiap umat Islam.

Selain itu, Rasulullah ditonjolkan sebagai tokoh terbaik ketika baginda melalui zaman remaja. Ketokohan baginda sebagai ahli perniagaan terserlah kerana berjaya membina strategi perniagaan berlandaskan nilai murni dan kejujuran.

Baginda terkenal sebagai pengembala kambing yang memiliki sifat amanah, jujur, sabar dan ikhlas sehingga membawa keuntungan. Bayangkan sejak berusia lapan tahun lagi, Nabi Muhammad sudah mula hidup berdikari dan mencari rezeki hasil usahanya sendiri.

Selain diri Rasulullah, ramai tokoh remaja lain yang gemilang hasil didikan Rasulullah seperti Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid ,Tariq bin Ziyad, Abdullah bin Abu Bakr, Abdullah bin Zubair, Fatimah binti Muhammad, Aisyah binti Abu Bakr, Asma binti Abu Bakar dan ramai lagi tokoh remaja yang menonjol kewibawaannya dalam masyarakat.

Rasulullah mendidik mereka mewarisi peribadi unggul dan keberanian dalam menegakkan agama Islam. Baginda menampilkan perubahan besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek teladan yang boleh dicontohi. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat seluruh alam.


Pensyarah Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata proses pendidikan awal kanak-kanak sangat penting bagi menentukan keperibadian anak apabila remaja.

"Proses tarbiah (pendidikan) sejak kecil adalah faktor terbesar dalam menyumbang serta menentukan kejayaan anak pada masa depan.

"Nabi Muhammad dihantar menyusu dengan suku kaum Saad kerana ia tradisi Arab Quraisy. Selain itu, ia bagi memudahkan si anak menguasai bahasa Arab yang tulen, biasa dengan kesusahan, tahan lasak dan hidup dalam persekitaran yang bersih," katanya.


Katanya, ibu bapa tidak boleh disalahkan sepenuhnya terhadap masalah sosial remaja.


"Anak-anak perlu bijak menilai baik atau buruk perbuatan itu dan dengan siapa mereka berkawan," katanya.

Beliau berkata, sebelum remaja, anak perlu diberikan penekanan aspek sahsiah dan akhlak.

"Didikan dan komitmen ibu bapa terhadap pembangunan ilmu dan sosial perlu berlaku secara berterusan walaupun membabitkan pelaburan besar," katanya.

Rasulullah s.a.w menggariskan landasan utama bagi menyempurnakan akhlak terbaik untuk dijadikan ikutan. Usamah, anak angkat Nabi adalah contoh yang unggul.


Usamah hidup dalam keluarga Rasulullah yang penuh dengan kasih sayang. Walaupun sibuk dengan tugas harian, Rasulullah sentiasa meluangkan masanya bermain dengan cucunya, Hassan dan Hussien.

Kasih sayang Rasulullah kepada cucunya itu menyamai kasih dan sayang diberikan kepada Usamah. Perwatakan Usamah sangat terserlah apabila meningkat dewasa.


Inilah kesan didikan Rasulullah kepada Usamah walaupun bukan daripada keturunan baginda.

Jelas, keperibadian seseorang itu akan terbentuk melalui didikan ibu bapa. Jika baik perangai ibu dan bapanya di rumah, maka baiklah perwatakan anak mereka.

Anak diibaratkan seperti sehelai kain putih. Maka ibu bapa mereka yang bertanggungjawab mencorak anak mereka itu menjadi seorang Islam, Majusi atau Nasrani.


Tidak hairanlah, Rasulullah memerintahkan ibu bapa menitikberatkan soal akhlak dan solat terhadap anak seperti maksud hadis yang bermaksud: "Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur" (Hadis Abu Daud).

Perintah menunaikan solat juga termaktub dalam al-Quran yang bermaksud, "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa" (Surah Toha ayat 132).


Ibadah itu akan memberi kesan yang baik bukan saja terhadap diri, bahkan juga kehidupan masyarakat seluruhnya. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai Tuhanku. Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" (Surah Ibrahim ayat 40).


Jadi, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hala tuju kehidupan anak mereka selain mengurus masa dengan bijaksana.
Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Read more...

18 February 2010

Google Buzz saingan Facebook?























MAMPUKAH Google Buzz mencuri perhatian penggemar aplikasi seumpamanya?

Dominasi Facebook dan Friendster dalam dunia tanpa batasan telah mendapat reaksi daripada gergasi enjin carian, Google, yang menawarkan pilihan baru bagi penggemar rangkaian sosial maya.















APABILA berbicara tentang laman rangkaian sosial, tentunya dua 'F' bermain di kotak fikiran kita. Facebook dan Friendster - kedua-dua laman rangkaian sosial ini telah berjaya menarik ratusan juta pengguna Internet di seluruh dunia.

Laman web yang suatu ketika dahulu hanya digunakan sebagai wadah menghimpunkan teman-teman lama dan baru, kini turut digunakan oleh syarikat-syarikat bagi mempromosi produk mereka.

Golongan selebriti juga memudahkan peminat mereka mengetahui perkembangan terkini menegnai aktiviti mereka.

Tidak hairan lagi apabila ia turut dijadikan platform oleh tokoh-tokoh politik untuk mendekatkan diri mereka dengan lingkungan berkepentingan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun telah mengambil inisiatif meletakkan dirinya bersama-sama rakyat jelata melalui Facebook bagi menyelami masalah dan mendengar cadangan secara terus daripada rakyat.

Pendekatan penerimaan input secara terus daripada rakyat ini tidak pernah diguna pakai sebelum ini. Pastinya fungsi tersebut dapat menambat hati rakyat kerana mereka tidak sekadar dapat melihat pemimpin mereka melalui kaca televisyen, tetapi dapat terus berinteraksi melalui wall atau dinding profil pemimpin mereka itu.












Dominasi Facebook dan Friendster di dalam dunia tanpa batasan ini telah mendapat reaksi dari gergasi enjin carian Google.

Sungguhpun Google telahpun memiliki laman web sosial versi mereka sendiri yang dikenali sebagai Orkut, namun sambutan terhadapnya agak hambar dan lebih mendapat sambutan pengguna di India dan Brazil.

Agar tidak ketinggalan dalam persaingan rangkaian sosial, pada 9 Februari lalu Google telah memperkenalkan Google Buzz, satu komponen rangkaian sosial yang diintegrasikan ke dalam aplikasi email web Gmail mereka. Pembangunan Buzz tertumpu kepada perkongsian foto, video dan juga pautan kepada pengguna Buzz yang lain.

Buzz membolehkan pengguna untuk memilih sama ada untuk berkongsi setiap kemas kini yang dilakukan secara global ataupun tertutup kepada sekumpulan teman-teman tertentu sahaja. Ia turut diintegrasikan dengan laman seperti Picasa, Flickr, YouTube, Blogger dan juga Twitter.

Buzz versi bergerak pula digandingkan dengan aplikasi popular Google Maps membolehkan pengguna melihat siapa yang berada berdekatan dengan mereka. Setiap pos kemas kini yang dibuat melalui Google Maps boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menggunakan aplikasi tersebut.


Selain dari teks, pengguna Buzz versi ini juga boleh memuat naik gambar ke dalam pos mereka.

Langkah Google memperkenalkan Buzz dilihat oleh penganalisa industri tidak lain tidak bukan sebagai satu langkah untuk memecahkan monopoli rangkaian sosial yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tidak kira peringkat umur.

Tetapi apa yang lebih penting, perlindungan privasi terhadap pengguna wajar dititikberatkan agar tidak berlaku kebocoran maklumat peribadi pengguna kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Read more...

17 February 2010

Membaca rangsang otak bayi



















Masa paling baik untuk membentuk keupayaan si kecil menumpukan perhatian adalah ketika di peringkat bayi. Membaca kepada bayi terbukti sebagai salah satu kaedah terbaik. Tambahan pula, amalan bercakap dengan mereka memang berkesan.Gambar Hiasan.

ADAKAH si kecil anda sering hilang perhatian? Adakah mereka mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian walaupun tugas itu cukup mudah?

Berikut beberapa cara membantu kanak-kanak memberi perhatian dengan penuh minat:
Untuk kanak-kanak berusia antara setahun hingga tiga tahun, mereka belajar dengan begitu cepat kerana otak mereka berupaya menyerap apa saja yang mereka lihat dan terokai.

Masa paling baik untuk membentuk keupayaan si kecil menumpukan perhatian adalah ketika di peringkat bayi. Membaca kepada bayi terbukti sebagai salah satu kaedah terbaik. Tambahan pula, amalan bercakap dengan mereka memang berkesan.


Tidak kira apa saja yang dituturkan kerana biarpun mereka tidak memahami perkataan itu, bunyi suara dan ekspresi muka anda akan menarik minat si kecil buat seketika.


Kajian menunjukkan kegiatan membaca kepada kanak-kanak pada sebarang usia akan merangsang perkembangan otak mereka.




Selepas si kecil melepasi usia setahun, selera makan mereka mula berkurangan. Si kecil yang dua tiga bulan sebelum ini begitu menikmati makanan, kini hanya duduk dan bermain dengan makanan mereka. Pada peringkat umur ini, lebih baik letakkan sejumlah kecil makanan dalam pinggan dan biarkan si kecil habis makan dan seterusnya meminta untuk menambah makanan.



Pada usia ini, berikan si kecil Dutch Lady 123 dengan TT-Ratio Advance yang mengandungi nutrien penting bagi membantu mereka meneroka dunia yang indah ini.




Untuk kanak-kanak tiga hingga enam tahun, mereka lazimnya dihantar ke taman didikan dan diperkenalkan dengan pembelajaran berstruktur.

Bentuk pembelajaran di sini berlainan daripada apa yang mereka lalui sebelumnya, jadi amat penting kanak-kanak diberikan sokongan mental serta nutrien yang betul.




Kanak-kanak juga gemar bertanya. Menjawab soalan mereka dengan betul dan secara yakin adalah satu cara menarik untuk membantu mereka belajar dengan lebih berkesan. Sikap suka ambil tahu dengan minda yang terbuka amat penting untuk pembelajaran yang berkesan. Ini dapat membantu si kecil itu apabila dia memasuki alam persekolahan, universiti mahupun apabila bekerja kelak.



Satu lagi cara untuk meningkatkan perhatian si kecil adalah melalui kaedah memupuk sikap bertanggungjawab.

Beri mereka haiwan kesayangan supaya mereka dapat belajar banyak perkara. Salah satu ialah sikap memberi perhatian terhadap haiwan terbabit.


Dia juga akan belajar erti kasih sayang, mula bertanggungjawab dan berbangga pada diri sendiri.




Hadkan masa menonton televisyen. Menonton televisyen untuk jangka masa yang terlalu lama akan menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk memberi perhatian dalam jangka panjang.

Biasanya, rancangan televisyen akan bertukar dari satu topik ke topik yang lain semata-mata untuk menarik minat penonton. Rancangan itu juga disertai pelbagai jenis iklan, malah anda dianggap bertuah sekiranya minda anda akan terus tertumpu pada apa yang ditonton selama beberapa minit! Tambahan pula, kemudahan alat kawalan jauh memudahkan anda menukar saluran dengan senang, sehingga fokus anda semakin berkurangan, daripada beberapa minit kepada beberapa saat!

Ketika tempoh pembesaran, si kecil terdedah kepada gula-gula, biskut, minuman dan makanan ringan. Kebanyakan makanan ini kurang mengandungi khasiat yang diperlukan untuk perkembangan otak si kecil.



Read more...

16 February 2010

Buli di tempat kerja


















Buli di tempat kerja bukanlah satu rahsia lagi.

KEJADIAN buli di sekolah, sama ada melibatkan pelajar lelaki atau perempuan, sudah acap kali dilaporkan media. Umum juga kerap diberitahu tentang tindakan disiplin yang diambil terhadap pelajar dalam kes buli, termasuk dibuang sekolah.

Bagaimana pula dengan kejadian buli di tempat kerja?

Berikut ialah satu situasi yang diceritakan seorang petugas pentadbiran di sebuah syarikat swasta, Azman Bahar (bukan nama sebenar) yang berusia lewat dua puluhan.

"Saya selalu dibebankan dengan kerja-kerja rumit dan berat oleh pegawai atasan saya. Walaupun ada rakan lain di pejabat lain yang mempunyai tanggungjawab sama, sayalah yang selalu dijadikan 'mangsa'.

"Saya jarang dapat pulang tepat selepas tamat waktu kerja seperti petugas lain iaitu pukul 6 petang. Biasanya saya hanya boleh balik kira-kira 8 malam. Bila sudah siap sesuatu kerja, dengan sengaja saya dilonggokkan fail-fail lain walaupun ada orang lain yang semasa itu tiada tugasan," katanya kepada penulis.

Azman juga mengadu beliau sukar mendapat kebenaran cuti.

"Bila saya tunjuk sijil cuti sakit pun, banyak soalan yang ditanya seolah-olah saya buat-buat sakit", kata beliau lagi.

Kenapa tidak bekerja di syarikat lain saja atau laporkan kepada majikan? Penulis melontarkan soalan ini kepada graduan perakaunan sebuah IPTA itu.

"Pernah saya laporkan kepada majikan tetapi saya diberitahu itu sebahagian daripada cara hidup kerja. Kalau kerja di tempat lain pun, tidak tentu perkara sebegini tidak akan berulang," kata Azman.

Tidak kenal tempat

Buli di tempat kerja tidak mengenal tempat.

Bagi Norlina Samad (juga bukan nama sebenar), beliau selalu dibuli oleh rakan setugas yang lebih senior bila mula-mula bertugas dulu.

"Buli di tempat kerja bukanlah satu rahsia lagi. Petugas yang baru biasanya akan disuruh menjalankan tugas yang lebih berat bila mula-mula bertugas. Alasannya ialah petugas junior mesti belajar, tetapi sebenarnya 'buli' yang berselindung di sebalik tugasan," kata beliau.

Bagi pensyarah serta juga aktivis sosial, Abdul Rashid Ismail, buli di tempat kerja tidak dapat dielak.

"Buli ialah satu penyakit sosial dan ia boleh berlaku dimana-mana sahaja".

Apa itu 'buli'

Menurut Abdul Rashid, tiada definisi tentang buli secara 'universal'.

Kata beliau, masyarakat memahami tabiat buli di tempat kerja sebagai satu 'tindakan berulang yang tidak munasabah ditujukan kepada pekerja yang menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan atau keselamatan'.

"Terdapat beberapa jenis buli. Antaranya kata-kata pedas atau kesat, tindakan meminggirkan pekerja, menyuruh pekerja berbuat kerja yang tidak bersangkut-paut dengan bidang tugas serta gangguan psikologi.

"Tindakan buli yang lain ialah memberikan tugas yang memang tidak boleh dilaksanakan, sengaja menukar jadual kerja tanpa sebab selain untuk menyusahkan petugas dan sengaja menyembunyikan maklumat bagi menghalang atau menyusahkan petugas melaksanakan tugasan," kata beliau kepada Bernama.

Katanya tiada undang-undang yang spesifik bagi melindungi mangsa buli di tempat kerja, melainkan jika ada kekerasan fizikal serta ancaman berlaku barulah boleh digunakan kanun jenayah.

Jantina serta keturunan

Menurut Abdul Rashid, ada beberapa kes buli disebabkan jantina serta keturunan dan juga personaliti.

"Mangsa buli akan mengalami stres. Begitu juga bagi saksi yang melihat insiden buli, mereka akan mengalami ketakutan serta gangguan emosi," kata beliau.

Menurut Abdul Rashid, bagi yang melakukan buli mereka mungkin berasa seronok melakukannya dan tiada rasa penyesalan akan timbul. Malangnya mangsa buli mungkin akan melakukan perkara sedemikian sebagai 'membalas dendam' terhadap orang lain pula.

Buli tidak kenal jantina

"Buli tidak terhad hanya pada kaum lelaki, wanita juga ada kebolehan membuli. Biasanya lelaki hanya akan membuli lelaki juga tetapi ada insiden wanita membuli kaum sejenis dan juga lelaki," kata beliau.

Pakar psikologi, Dr. Anne Ng berkata, buli akan membuat mangsa mengalami masalah kesihatan berpunca daripada stres dan ketegangan.

"Terdapat beberapa indikasi klinikal yang dialami mangsa buli antaranya seperti keresahan, naik berat badan (tanpa makan berlebihan), sakit kepala, sakit belakang, rasa mual, ulser di mulut, insomnia (tidak boleh tidur), mimpi buruk, radang kulit, diarhea serta iritasi perut, tekanan darah tinggi, murung, serta kurang keyakinan diri," kata beliau.

Dr. Ng menjelaskan bahawa buli di tempat kerja bukan sahaja berkenaan masalah kerja tetapi boleh juga dalam bentuk kata-kata kurang manis menyentuh hal peribadi seperti keluarga, gaya hidup, bentuk dan berat badan, pakaian serta penampilan.

Buli juga meliputi diskriminasi terhadap kurang keupayaan atau masalah perubatan, kata beliau.

Buli di tempat kerja akan mengakibatkan penurunan produktiviti.

"Mangsa akan sakit dan akan kerap mengambil cuti sakit. Ataupun mangsa akan kerap mengambil cuti untuk mengelak daripada dibuli dan ini secara langsung akan merendahkan produktiviti kerja beliau serta juga organisasi pada keseluruhannya," kata Dr. Ng.

Bagaimana hindari buli?

Jadi bagaimana hendak mengelak diri daripada dibuli?

Bagi Dr Ng, senjata utama ialah hanya dengan 'membuat tidak tahu atau tidak kisah'.

"Pembuli akan merasa seronok apabila mangsa memberi respons. Mereka akan cuba untuk membuat mangsa tidak selesa. Senjata utama ialah hanya membuat tidak kisah dan ini akan melemahkan semangat si pembuli.

"Bila pembuli mula mengusik anda, reaksi anda yang tidak ambil kisah akan membuatkan dia berasa hampa dan lambat laun dia akan menghentikan perbuatannya", katanya.

Satu lagi cara ialah dengan mewujudkan satu perwatakan yang anda bukannya seorang yang senang dibuli. Pembuli di pejabat biasanya hanya akan mencari mangsa daripada mereka yang dianggap lemah serta tidak berupaya melawan balik.

Oleh ZULKIPLE IBRAHIM
Read more...

15 February 2010

Keaslian rumah Melaka















Rumah Melayu Melaka sememangnya dibina dengan mempunyai pengertian, kegunaan atau fungsi yang tersendiri.

SEJAK zaman Kesultanan Melayu Melaka, bentuk istana Melaka dikatakan telah menjadi asas kepada rupa bentuk rumah tradisional Melayu Melaka dan seterusnya menjadi bentuk asli rumah Melayu di Malaysia.

Pembinaan rumah-rumah tradisional didirikan oleh orang-orang tua dahulu mengikut petua dan cara yang disesuaikan dengan faktor persekitaran, adat resam, kepercayaan dan Islam sebagai agama mereka.

Rumah tradisional Melayu Melaka mempunyai tarikannya yang tersendiri kerana ia melambangkan ketinggian peribadi dan jati diri pemiliknya.

Kebanyakan rumah tradisional di Melaka dibina bertiang, berlantai tinggi dari tanah, berbumbung lipat kajang dan bertebar layar.

Dahulu, rumah orang Melayu diperbuat daripada papan dan kayu yang terbaik.

Ini bererti orang Melayu dahulu sudah pandai menilai mutu kayu dari hutan untuk keperluan hidup mereka.

Antara kayu yang sering digunakan adalah seperti meranti, cengal, belian, resak, tembusu, merang dan sebagainya.

Peredaran zaman telah mempengaruhi minda pemilik rumah tradisional untuk mengubah reka bentuk kepada yang lebih moden.

Jika anda ke Melaka, anda pastinya teruja untuk melihat dengan lebih dekat lagi rumah-rumah tradisional ini.

Salah sebuah rumah yang boleh dikunjungi jika ke Melaka ialah kepunyaan Zohaime Muhamad Sori yang terletak di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka.

Dibina semula di atas tanah seluas setengah hektar, rumah yang menelan belanja sehingga RM500,000 ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya di samping sedikit sentuhan moden.

''Walaupun rumah ini telah dibina semula, tetapi sebagai anak jati Melaka, saya masih lagi mengekalkan keaslian tradisionalnya walaupun memberi sentuhan moden di sudut-sudut tertentu.

''Asalnya hanya pondok, iaitu rumah ibu saya dan untuk mengekalkan keasliannya saya bina semula dengan menggantikan kayu-kayu yang lama dan yang telah rosak,'' ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Melaka baru-baru ini.

Mengandungi empat buah bilik, rumah yang dibina dengan menggunakan 90 peratus kayu resak ini turut menggunakan empat batang kayu cengal sebagai tiang utama.

Selain itu, satu keunikan yang dapat dilihat di rumah tersebut ialah loteng yang dibina di bahagian atas rumah tersebut.

Boleh menempatkan katil serta almari baju, pembinaan loteng tersebut dilihat satu perkara yang jarang dilakukan bagi rumah-rumah hari ini.

Ia juga berfungsi sebagai tempat menyimpan barang.

Jika dilihat secara keseluruhannya, rumah yang didiami Zohaime sekeluarga masih lagi sebuah rumah tradisional yang mempunyai bumbung panjang untuk sistem pengudaraan yang baik.

Beliau juga masih mengekalkan tiga penggalan (bahagian) utama yang terdiri daripada tiang, badan dan bumbung.

Rumah tersebut juga dilihat satu kebanggaan bagi masyarakat Melaka dengan tangga baru yang menggunakan jubin pelbagai motif dan warna.

Sementara itu, penggalan tiang bermula dari tiang sehingga aras lantai yang mempunyai tapak konkrit juga masih boleh dilihat.

Bukan itu sahaja, penggalan badan pula terletak di antara tiang dan bumbung dan terdiri daripada dinding, serambi, pintu dan tingkap yang turut melengkapkan keaslian rumah tersebut.

Jika diteliti menurut Zohaime, bahagian-bahagian rumah tradisional Melaka, setiap satunya mempunyai pengertian, kegunaan atau fungsi yang tersendiri.

Sebagai contoh, bahagian serambi berfungsi sebagai tempat duduk tetamu, tempat mengadakan perundingan atau permuafakatan yang penting terutamanya dalam menjalankan urusan adat istiadat seperti majlis perkahwinan, kenduri dan juga kematian.

Selepas serambi, terdapat pintu yang menghubungkannya dengan bahagian rumah ibu.

Rumah ibu sering menjadi tempat pelbagai upacara bagi kaum wanita berhubung dengan urusan perkahwinan.

Seterusnya ruang yang dipanggil bilik dalam dijadikan bilik pengantin apabila majlis perkahwinan berlangsung. Dari rumah ibu, terdapat sebuah pintu menuju ke pelantar yang menghubungkannya dengan rumah dapur.

Seperti diketahui, sejak zaman dahulu lagi, rumah tradisional Melayu Melaka menjadi lambang kepakaran orang Melayu terutamanya dalam bidang seni bina.

Bagaimanapun kini, hanya terdapat segelintir sahaja yang masih mengekalkan keaslian rumah Melayu Melaka untuk tatapan umum.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
Gambar WAHIDAH ZAINAL ARIPIN

Read more...

Dekati bidang forensik






















MELIHAT siri televisyen berbentuk penyiasatan, Crime Scene Investigation (CSI) nyata sangat mengujakan, terutama bagi yang meminati bidang sains kerana memperlihatkan keupayaan sekumpulan pakar dalam merungkai pelbagai jenis kes jenayah

Sejak siri itu disiarkan, bidang penyiasatan saintifik atau lebih dikenali sebagai forensik semakin dikenali dan diminati, sekali gus ramai mahukan kerjaya ahli forensik sebagai cita-cita masa depan mereka.


Malah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga menawarkan pengajian dalam bidang sains forensik itu, sekali gus membuka peluang lebih besar untuk pelajar melanjutkan pelajaran sehingga bergelar ahli forensik.


Selain boleh mendapat mendapat pendedahan itu di peringkat universiti, sebenarnya pelajar di peringkat sekolah kini boleh mendekati bidang siasatan forensik itu, terutama kepada yang bercita-cita mahu menjadi seperti pelakon dalam siri CSI.


Kini ada CSI Forensic Kit, satu set kelengkapan seperti ahli forensik yang diusahakan oleh seorang anak muda berjiwa besar dan kerana minatnya yang mendalam terhadap bidang sains.


Mohamad Fazdlee Mohamad Isa, 28, anak muda berasal dari Bentong, Pahang yakin set yang menjurus kepada permainan berinovasi kanak-kanak dan remaja itu mampu memberi pendedahan awal kepada golongan muda untuk mengenali lebih dekat dunia sains, sekali gus memberi gambaran jelas mengenai bidang forensik.


Tentu ramai tidak terfikir anak muda berjiwa besar dari Malaysia sepertinya mampu menghasilkan produk permainan berasaskan sains seperti itu, tetapi sebenarnya dia mendapat ilham mengenai hasil pengalamannya yang pernah bertugas sebagai jurutera di syarikat di luar negara serta pernah menjelajah serata dunia, termasuk Hong Kong, Indonesia, India dan Singapura.


Pada waktu itu Mohamad Fadzlee yang memiliki pengetahuan dalam bidang sains dengan kelulusan dalam Kejuruteraan Kimia di Universiti Of Minnesota, Amerika Syarikat di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak mengendalikan bengkel bertemakan sains untuk pelajar di luar negara dan mendapati ramai golongan itu meminati bidang terbabit.


Atas dasar minatnya terhadap pendidikan dengan cita-cita untuk menjadi pendidik, CSI Forensic Kit dihasilkannya bukan hanya set permainan semata-mata tetapi juga mampu dijadikan alat bantuan mengajar.


"Saya banyak merantau sebelum ini, dari situlah idea untuk menghasilkan set permainan ini timbul dan juga antara langkah untuk menyahut cabaran kerajaan yang menggalakkan generasi muda terbabit dalam bidang inovasi.


"Produk CSI Forensic Kit sebenarnya lebih kepada permainan mengesan cap jari di sesuatu tempat dan membandingkannya dengan corak cap jari. Pelajar juga berpeluang mempraktikkan teknik merekod dan mendapatkan cap jari dengan betul," katanya.


Menurutnya, setiap set produk itu mengandungi beg, gunting, serbuk arang atau karbon, bekas cap jari, sarung tangan getah, carta cap jari, kad contoh cap jari, kad plastik latihan, pelekat terang dan buku panduan aktiviti.



Katanya, sebagai contoh, kanta pembesar boleh digunakan untuk mengesan cap jari pada permukaan dan menggunakan berus yang dicelup serbuk karbon untuk disapu secara perlahan ke atas kesan cap jari.


"Kesan jari akan kelihatan dan mereka perlu membuat salinan menggunakan sekeping pelekat yang ditampal pada kesan berkenaan. Pelekat itu mesti ditampal perlahan sebelum dilekatkan semula ke atas sekeping kad yang disediakan.


"Selain itu, boleh juga dipelajari bagaimana contoh cap jari itu boleh dibandingkan dengan jenis cap jari yang ada berdasarkan carta yang disediakan untuk menentukan coraknya yang dibahagikan kepada tiga kumpulan besar iaitu Arch, Loop dan Whorl.


Selain tiga corak utama itu, jenis cap jari boleh dibahagikan lagi kepada kumpulan kecil iaitu plain arch, tent arch, radial ulnar loop, plain whorl, central pocket whorl, double loop whorl dan accidental whorl.


"Semua peralatan disediakan itu selamat dan mudah digunakan serta sesuai untuk kanak-kanak serta kompak. Manakala, ada bahan yang disediakan, umpamanya serbuk karbon, sememangnya seperti yang digunakan di luar termasuk pihak berkuasa, sekali gus memberi gambaran lebih dekat dan situasi lebih realiti," katanya.


Menurut, aktiviti itu pasti menarik perhatian dan minat pelajar, bahkan mereka boleh berkongsi dengan rakan atau ahli keluarga kerana ia sebenarnya memudahkan pemahaman bagaimana proses mengesan cap jari dijalankan.


Menceritakan usaha awal untuk mencipta set itu, Mohamad Fazdlee berkata, dia mengambil masa kira-kira setahun untuk mendapatkan model yang lengkap spesifikasinya dan sesuai untuk dipasarkan.


Katanya, produk seumpamanya banyak di Barat tetapi yang pertama di Asia, sekali gus mampu membawa nama Malaysia yang berupaya menghasilkan set permainan berinovatif itu.


Dengan bantuan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), produk itu kini dibangunkan Mohamad Fazdlee dengan sebuah syarikat milik penuh Bumiputera yang bercirikan khidmat konsultan pendidikan yang memfokus kepada pendidikan sains, matematik dan teknologi maklumat, Ardent Educational Consultants Sdn Bhd (ArdentEdu).


Selain set permainan CSI Forensic Kit, melalui ArdentEdu turut ditawarkan satu lagi produk Ardent Gooey Slime Edukit iaitu polimer slime berbentuk gel untuk mendedahkan konsep pembelajaran kimia kepada remaja dan kanak-kanak.


"Ia sesuai digunakan sebagai aktiviti di dalam bilik darjah atau rumah kerana ia 100 peratus selamat dan tidak mengandungi toksik. Ia mampu memberi keseronokan kepada pelajar walaupun untuk mendalami bidang sains," katanya.


Mohd Iznan yang juga Pengarah Ardent Educational Consultantsv Sdn Bhd berkata, dia mengusahakan syarikat itu bersama Mohd Suhaimi Ramly yang juga rakyat Malaysia pertama memenangi pingat gangsa dalam pertandingan International Mathematical Olimpiad (IMO) pada 2001, dengan memanfaatkan kepakaran individu daripada pelbagai latar belakang pendidikan.


Menurutnya, ArdentEdu adalah peneraju inovasi pendidikan melalui pembangunan modul (R&D) dan projek pendidikan di seluruh negara dengan penganjuran program latihan akademik.


"ArdentEdu juga mempunyai modul inovatif dalam bidang teknologi maklumat iaitu dalam e-Learning dengan membangunkan pelbagai laman web dan portal e-Leraning," katanya.


Menurutnya, dengan kerjasama dan kepakaran Mohamad Fazlee banyak memberi manfaat, termasuk bakal menghasilkan beberapa produk lain selepas CSI Forensic Kit.




Perkakasan di dalam Ardent Gooey Slime Kit:


•Cecair Polyvinyl Alcohol

•Cecair Cross Linker

•Cawan kecil

•Kayu pengacau

•Pipet

•Beg plastik (untuk menyimpan slime)
Perkakasan dalam CSI Forensic Kit:


•Berus penyiasatan

•Serbuk karbon hitam

•Kanta pembesar

•Dakwat cap jari

•Gunting

•Pita pelekat

•Alas plastik

•Carta jenis2 cap jari

•Kad pengesanan cap jari

•Beg perkakasan penyiasatan

•Sarung tangan getah

•Lampu sinaran UV

•Buku penerangan
>Info
> CSI Forensic Kit dan Ardent Gooey Slime Edukit sesuai untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas
> Mula dipasarkan pada awal 2010
> Buat masa ini boleh ditempah di ArdentEdu di talian 03-41473985 03-41473985 atau layari www.funsciencekit.com dan www.ardent-edukit.blogspot.com


>Profil
NAMA: Mohd Iznan Shamsuddin
UMUR: 29 tahun
LAHIR: 6 Januari 1981 di Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Sulung daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak dan Ijazah Kejuruteraan di Universiti Albstadt-Sigmaringen, Jerman
KERJAYA: Pengarah Ardent Educational Consultants Sdn Bhd

NAMA: Mohamad Fazdlee Mohamad Isa
UMUR: 28 tahun
LAHIR: 13 Ogos 1982 di Bentong, Pahang
ADIK-BERADIK: Ketiga daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka dan Kejuruteraan Kimia di Universiti Of Minnesota, Amerika Syarikat
KERJAYA: Pengurus Jenama, Pemaju Program dan Koordinator di Ardent Educational Consultants Sdn Bhd
Oleh ISMA ISMAIL
isma@hmetro.com.my

Read more...

14 February 2010

Chinese New Year Dedication




Happy New 2010 Year - Year of the Tiger!


Read more...

13 February 2010

Hadapi kerenah degil























SIKAP si kecil yang degil bukan bermakna dia memberontak dan tidak memerlukan perhatian ibu bapanya.Gambar hiasan.

Degil adalah tanda si kecil sudah membina identitinya sendiri, selain berasa dirinya sudah berada dalam zon selamat.ANAK anda enggan makan bersama apabila diajak? Kalau diminta mengemas barang permainannya, dia hanya berdiam diri atau cuba mengelak. Mungkin juga si kecil itu sengaja membuat bising apabila si adik sedang tidur atau akan lari ketika disuruh mandi.

Anda yang mempunyai anak kecil mungkin sudah biasa menghadapi situasi seperti ini. Siapa sangka dalam usia sementah itu, si comel ini sudah mula mengaplikasi soal pendirian dan kemahuannya.

Percaya atau tidak, anak yang berusia tiga tahun ke atas berasa kurang bergantung pada anda. Itu adalah tanda bahawa dia sudah membina identitinya sendiri selain berasa dirinya sudah dalam zon selamat. Namun, itu bukan bermakna dia menjadi pemberontak.

Berdegil adalah cara bagi anak kecil itu menunjukkan ketegasannya. Jadi, apabila dia menolak untuk bekerjasama dengan anda, dia sebenarnya cuba memberitahu, 'saya tidak sukakan peraturan mama'. Maka, apakah yang perlu anda lakukan?

Menurut jurnal Adolescent Child Specialty Services yang ditulis oleh Rebecca S. Blakeman, setiap kanak-kanak akan menunjukkan kemerdekaan diri melalui cara yang tidak sepatutnya dari semasa ke semasa. Meskipun begitu, adalah sangat penting bagi ibu bapa itu memahami situasi anak tersebut.

Ibu bapa tidak harus berleter apabila tidak berasa senang dengan kelakuan anak-anak. Ia sebaliknya akan membuatkan sikap anak menjadi lebih buruk.

Beri pilihan

Jurnal Rebecca itu meminta ibu bapa cuba memahami kehendak anak mereka. Dalam situasi anda memintanya makan namun dia menjerit tidak mahu, usah dipaksa lagi. Paksaan hanya akan membuatkan dia menangis atau menunjukkan kemarahan.














Maka, cuba letakkan diri anda di tempatnya. Jika anak sibuk bermain, hampiri dia dan dakap si kecil itu sambil memberitahunya mengapa perlu makan. Itu adalah langkah pujukan psikologi.

Tanpa disedari, anda sebenarnya menunjukkan bahasa tubuh dan ucapan yang membuatkan dia sedar dirinya diambil berat. Tanpa perlu memarahinya, tunjukkan betapa anda hendak ambil tahu mengapa dia tidak mahu makan.

Walau apapun yang dilakukannya, pastikan anak anda tahu bahawa semua perkara ada hadnya. Pendirian mereka mudah dilentur apabila anda menyatakan bahawa anda menyayanginya dan setiap yang disuruh itu adalah untuk kebaikannya.

Memberi pilihan adalah cara terbaik untuk si anak mematuhi sesuatu peraturan. Jika dia ada masalah mengikuti sesuatu permintaan atau suruhan, fikirkan alternatif untuk mencari penyelesaiannya.

Contohnya, jika anak kecil sering 'meragam' gara-gara tidak mahu tidur dalam gelap, berikannya lampu suluh atau pasangkan lampu yang bercahaya suram. Di situ, aspek tolak ansur sudah terbina antara ibu bapa dengan si anak tersebut.













ANAK yang sudah pandai berdegil apabila disuruh makan memerlukan pendekatan psikologi yang lembut.


Orang dewasa perlu sentiasa menunjukkan sikap yang baik. Selain memberi perhatian ketika dia menunjukkan kenakalan atau kedegilan, anak kecil perlu sentiasa didekati dan dilayani semasa dia sedang dalam keadaan 'angin baik' atau mengikut kata.

Beritahu anak-anak tentang apa yang betul atau tidak betul. Selalunya apabila si anak membuat kesalahan, dia pasti akan rasa bersalah.

Oleh itu, jangan cepat marah. Sebaliknya, cakaplah secara baik dan terangkan kepadanya mengapa anda tidak mahu kesalahan itu diulanginya.

Read more...

12 February 2010

Baran merosak hubungan

















TINGKATKAN kesabaran dalam berdepan kemelut hubungan kerana sikap baran boleh menyebabkan pasangan anda menjauhkan diri.

KEMARAHAN adalah emosi semula jadi manusia untuk menangkis persepsi, ancaman atau serangan terhadap diri. Ia juga adalah sebagai refleksi pertahanan seseorang terhadap sesuatu prinsip yang diyakininya.

Namun, masalah sering terjadi apabila kemarahan itu disalah urus dan lebih teruk sekiranya ia kekal menjadi tabiat yang dilabelkan sebagai ciri peribadinya.

Sikap baran boleh menjadi penyebab utama berlakunya konflik dalam kehidupan peribadi dan perhubungan profesional.

Tidak hairanlah hari ini, kemarahan yang melampau itu sering dizahirkan dalam perbuatan seperti keganasan domestik, sikap buruk di jalan raya, konfrontasi di pejabat hinggalah kepada perlakuan yang menjejaskan ikatan suami isteri.

Dalam soal cinta, adakah anda seorang yang berjaya mengawal emosi? Bagi setiap perselisihan pendapat yang berlaku, adakah penyelesaian akan diiringi dengan cara mengherdik atau menengking? Mungkin lebih dahsyat, bagi yang tidak dapat mengawal perasaan, kemarahan itu disertai dengan keganasan fizikal.

Sebagai langkah menghadapi situasi seperti itu, adalah disyorkan agar seseorang itu meningkatkan paras kesabarannya. Selain berfikir secara rasional, berikan peluang untuk komunikasi dua hala berlangsung.

Apabila seseorang sedang bercakap, seorang lagi perlu mendengar. Peluang untuk memberi penjelasan hendaklah diberi secara saksama. Berikut adalah antara tip untuk membimbing mereka yang mempunyai pasangan yang panas baran.

Berdiam diri

Api tidak boleh dilawan dengan api. Maka, apabila salah seorang sedang dalam keadaan marah, hendaklah pasangannya berdiam diri dan cuba mendengar butir bicara itu sebagai input penyelesaian. Setelah habis kemarahan itu dilepaskan, berikannya 'masa tambahan' untuk meredakan perasaan. Tunggu sehingga waktu yang sesuai untuk berkata-kata.

Menjauhkan diri buat seketika

Dalam tempoh yang diberikan kepada orang yang panas baran untuk meredakan kemarahannya, jangan cuba melakukan sesuatu yang mengganggu ruang privasinya.

Ini termasuklah gangguan keselesaan persekitaran dari aspek bunyi, ruang dan pandangan. Orang yang panas baran sentiasa akan mencari sebab untuk menyalahkan orang lain jika sesuatu faktor itu diterjemah sebagai masalah buatnya.

Berikan masa untuk reda

Orang yang panas baran lazimnya akan malu sendiri akan perbuatannya. Waktu yang diberikan kepadanya tanpa diganggu akan membuatkan si baran itu memikirkan semula apa yang telah dilakukannya.

Sama ada kemarahan itu kerana dia di pihak yang benar ataupun tidak, dia akan kembali kepada pasangannya untuk sesi penyelesaian yang lebih terhormat.

Memilih corak percakapan

Berhati-hati dengan pemilihan perkataan anda. Jika anda tersilap menuturkan sesuatu, lebih-lebih lagi ketika kemarahannya belum reda, ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Keras lawannya lembut. Maka, lenggok bahasa yang santun boleh memujuk hati pasangan yang baran. Meskipun berlembut, itu tidak bermakna prinsip dan kebenaran tidak boleh disampaikan secara efektif.

Terapi minda dan fizikal

Kaedah bertenang yang paling ringkas dan mudah adalah dengan mengambil nafas panjang dan dalam. Bayangan visual yang menenangkan dari dalam ingatan atau imaginasi juga boleh membantu meredakan rasa marah. Banyak buku dan majalah yang boleh membimbing seseorang yang sedang marah atau bagi mereka yang menghadapi orang yang sedang marah.

Bagi mereka yang mengakui memiliki tabiat pemarah, boleh mencuba teknik ini. Tarik nafas panjang dan bayangkan udara memenuhi diafragma. Kemudian lepaskannya semula dengan perlahan dan pujuk diri secara psikologi dengan memikirkan perkataan seperti bertenang atau anggap mudah.

Bagi menambah kekuatan diri dalam menghadapi situasi tegang itu, seseorang boleh mencuba teknik regangan seperti dalam riadah yoga ataupun rutin ibadah sembahyang. Dalam berdepan dengan ujian perhubungan itu, kita masih perlu berharap dan berdoa.


Read more...