
Jangan menjerit pada anak. Ini menunjukkan rasa tidak puas hati anda padanya sehingga menyimpang daripada objektif untuk mendisiplinkan anak.
ANAK-anak perlu dididik mengenai pentingnya menghormati orang lain sejak dari kecil lagi. Sayang sekali, ramai di antara ibu bapa sendiri yang memberi contoh tidak baik seperti menggunakan panggilan ‘bodoh’ atau ‘tak guna’ sama ada di dalam atau luar rumah.
Tahukah anda bahawa anak itu mungkin menganggap label yang digunakan oleh ibu atau bapa mereka itu adalah benar.
Dan beberapa tahun kemudian anak yang sama mungkin memenuhi gambaran berkenaan, menjadikan gelaran yang diajukan oleh ibu bapanya itu sebagai satu realiti.
Ada juga yang memalukan anak di khalayak ramai sama ada menampar atau mendedahkannya kepada tindakan memalukan sehingga mengalami tekanan psikologi.
Sebagai ibu bapa, anda perlu mendisiplinkan diri sendiri terlebih dahulu dan memahami konsep ‘hormat’ yang bermula dengan rasa hormat terhadap diri sendiri, diikuti dengan rasa hormat terhadap orang lain.
Pertama sekali hormat perasaan anak. Ambil berat dan jangan ketawa jika dia meluahkan perasaan seperti ketakutan atau rahsia peribadinya.
Sebaliknya, cuba ajar anak itu kemahiran atau tip agar dia dapat mengatasi kebimbangan dan membuka jalan baginya untuk menyelesaikan perasaan itu dengan berdikari.
Ibu bapa mempunyai kuasa mutlak terhadap apa jua keputusan di rumah. Namun begitu, anda perlu menjelaskannya kepada anak lebih-lebih lagi jika dia tidak bersetuju.
Dengan memahami logik di sebalik keputusan ibu bapa, anak tidak akan menaruh dendam atau marah dan membuktikan bahawa anda menghormati kematangannya membuat pertimbangan.
Setiap anak mempunyai bakat dan kelebihan individu masing-masing. Ibu bapa perlu menerima keunikan itu dan bimbing dia mengembangkan kreativiti dalam bidang seni, bahasa, muzik, drama atau sukan.
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
06 November 2009
Asuh anak hormat diri sendiri
Kaedah dan Adab Berdoa

Menghadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk tawaduk selain merendah diri kepada Allah.
Hendaklah dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar selain memakai pakaian bersih serta tempat berdoa yang selesa.
Menghadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk tawaduk selain merendah diri kepada Allah.
Doa dimulakan dengan membaca al-Fatihah atau memuji Allah sekurang-kurangnya, “Alhamdulillahirabbilalamin” diikuti dengan membaca selawat atas nabi.
Angkat tangan hingga kelihatan kedua-dua ketiak disamping perut anak jari menghadap ke atas.
Selepas selesai berdoa, sapukan kedua-dua tangan ke muka.
Berdoa perlulah dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memperkenankan doa kita itu. Jangan sekali-kali berdoa dalam keadaan hati lara dan lalai atau kurang yakin kemahuannya.
Rasulullah bersabda, maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh yakin Dia akan memperkenankan doa kamu. Dan, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh kesah. (Riwayat At-Tarmizi).
Setiap orang Islam hendaklah banyak berdoa kepada Allah ketika dalam keadaan senang atau mudah supaya Allah akan memperkenankan doanya dalam keadaan susah.
Berdoa dengan suara yang perlahan dan merendah diri selain mengakui segala kesalahan serta dosa-dosa yang pernah dilakukan.
Firmah Allah yang bermaksud: Berdoalah kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan (Surah al-Araaf ayat 55).
Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah dan ringkas serta mempunyai pengertian yang luas, contohnya:
“Ya, Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka”.
Untuk memohon sesuatu hajat, ulangi perkara itu sekurang-kurangnya tiga kali
Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga. Ingat, apabila berdoa jangan meminta sesuatu yang mustahil.
Jangan mudah merajuk apabila doanya tidak dikabulkan Allah. Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa selain berserah diri kepada Allah.
Sebelum mengakhiri dengan ucapan Amin, setiap doa perlu ditutup dengan selawat ke atas Nabi s.a.w selain puji-pujian kepada Allah.
Read more...
05 November 2009
Membudayakan amalan membaca
"Budaya membaca yang aktif mampu memberikan pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian seperti penjanaan idea, kemahiran berfikir dan berkomunikasi.
REALITINYA pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi melahirkan masyarakat membaca.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Raslin Abu Bakar berkata, adalah penting dalam melahirkan lebih ramai generasi muda yang sukakan membaca dan menjadikan amalan itu sebagai satu budaya agar tidak ketinggalan dalam perlumbaan teknologi yang semakin sengit.
''Ini kerana masyarakat yang komited terhadap amalan membaca dan menguasai ilmu akan terus maju dan gemilang,'' katanya ketika merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 1Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Raslin, untuk membudayakan amalan membaca , semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam mengaplikasi ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian.
Menjadi contoh
"Budaya membaca yang aktif mampu memberikan pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian seperti penjanaan idea, kemahiran berfikir dan berkomunikasi.
''Malah sebagai ibu bapa sendiri, kita harus menjadikan contoh utama kepada anak-anak dalam membudayakan amalan membaca di rumah.
''Tanpa perlu menuding jari ke arah pihak lain, kita sendiri seharusnya menjadi contoh dalam merealisasikan budaya membaca kepada anak-anak,'' tegasnya.
Ujarnya, selain berperanan sebagai guru pertama bagi setiap individu yang lahir ke dunia, ibu bapa juga memang dipertanggungjawabkan untuk membimbing dan mendidik zuriat yang dilahirkan dengan sebaik-baiknya.
Tidak dinafikan ada ibu bapa yang terlupa menyedarkan anak-anak peri pentingnya ilmu kerana ibu bapa itu juga tidak berilmu.
Tuntutan hidup juga sering kali menyukarkan ibu bapa menunjukkan teladan ilmu dan kesannya kepada anak-anak.
Read more...
Kapal gergasi RM4.6 bilion

Kapal penumpang, Oasis of the Seas BERHARGA AS$1.341 bilion (RM4.6 bilion).
PEMBINAAN kapal penumpang, Oasis of the Seas memakan masa enam tahun dan menelan belanja AS$1.341 bilion (RM4.6 bilion).
Kini, kapal terbesar dan paling mahal pernah dibina di dunia itu akhirnya akan dilancar ke laut dan pelayaran pertamanya dijadual bermula Disember ini.
Kapal itu diserahkan syarikat pembinaan kapal Finland, STX yang berpangkalan di pelabuhan Turku, 161 kilometer ke barat laut Helsinki kepada syarikat perkapalan Royal Caribbean Rabu lalu.
Dengan ketinggian 73 meter atau 16 tingkat, panjang 360 meter dan lebar 47 meter, Oasis of the Seas mampu mengangkut 6,360 penumpang dan 2,160 krew.
Tetamu yang berada di atas kapal ini dijangka menikmati hiburan berbeza, termasuk Panggung Aqua, yang menjadi kolam renang pada siang dan panggung dikelilingi lautan dan dinding memanjat pada waktu malam.
Kapal ini turut dibahagikan kepada beberapa zon khas, Taman Utama, Boardwalk, Royal Promenade, kolam dan sukan, Pusat kecergasan dan spa, hiburan dan remaja.
Semuanya memiliki keistimewaan selain kelainan, termasuk taman tema air pertama di laut dan 28 kamar mewah berdindingkan kaca dari lantai ke siling.
Ketua Eksekutif Royal Caribbean, Richard Fain berkata, tempahan untuk pelayaran pertama menggalakkan meskipun dunia berdepan krisis kewangan.
“Misi kami menarik pelanggan baru yang tidak pernah belayar sebelum ini,” katanya.
Namun, masih ada halangan yang perlu diatasi sebelum pelayaran pertama Disember ini.
“Antara perkara utama adalah untuk membuang mitos daripada fikiran masyarakat mengenai pelayaran. Selain itu, sukar buat kami menerapkan erti pelayaran kepada tetamu kerana terlalu banyak perkara yang mereka boleh lakukan di atas kapal ini,” kata Fain lagi.
Oasis of the Seas yang akan berlayar di perairan Caribbean lebih menumpukan terhadap pasaran remaja, pelanggan yang aktif dan kanak-kanak dan menawarkan tarikan 21 kolam renang, taman aqua dan makmal sains.
Meskipun kakitangan STX kini sibuk membina sebuah lagi kapal Royal Caribbean, Allure of the Seas yang dijangka siap pertengahan tahun depan, Fain mengaku, krisis kewangan global menyebabkan majoriti syarikat kapal perlayaran enggan memesan kapal baru.
Kapal itu berlepas dari Finland kelmarin dan akan dijangka tiba di Fort Lauderdale, Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu.
Oasis of the Seas akan memulakan perlayaran empat malam pertamanya dari Fort Lauderdale ke Labadee, Haiti pada 1 Disember.
Read more...
04 November 2009
Budaya Malaysia mengagumkan

Rakan-rakan sekolah sentiasa memberi semangat kepada gadis Jerman ini.
"SAYA ingatkan Malaysia negara miskin. Sebelum menjejakkan kaki ke sini, saya membawa beberapa bekalan asas seperti bateri, lampu suluh dan beberapa pasang kasut.
"Saya takut susah hendak dapatkan semua barang-barang itu. Jadi, saya membelinya untuk stok setahun tinggal di sini."
Begitulah pandangan pertama pelajar yang mengikuti program AFS (American Field Service) Antarabudaya Malaysia, Jessica Jung, 16, mengenai Malaysia.
Merupakan antara 80 peserta luar negara yang dihantar ke Malaysia, remaja dari Dortmund, Jerman itu berminat untuk mengenali budaya penduduk negara Asia dengan lebih dekat menerusi program AFS.
Jessica memperoleh maklumat mengenai AFS setelah mengunjungi satu laman web berkaitan program pertukaran budaya. Selepas mendapatkan borang permohonan, dia mengisi butir-butir yang dikehendaki termasuk pemilihan negara.
Mengenai pemilihan Malaysia, dia menyifatkan keunikan negara ini membuatkan hatinya tertarik untuk mengenali budaya, bahasa dan cara hidup penduduknya.
Malah, kedatangan Jessica ke Malaysia turut mendapat sokongan daripada ahli keluarganya. Keistimewaan yang dimiliki Malaysia meyakinkan ibu bapanya untuk membenarkan anak mereka datang ke sini melalui program AFS.
Hakikatnya, hasrat gadis itu untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan merasai sendiri alam persekolahan di sini begitu membuak.
Sebelum ini, dia hanya mengenali Malaysia menerusi mercu tanda Menara Berkembar Petronas. Itupun setelah diberitahu oleh gurunya di sekolah Helene-Langymnasium, Dortmund, Jerman.
"Memang benar, Malaysia ada kelebihan tersendiri. Saya kagum melihat penduduk berbilang bangsa tinggal dalam satu negara. Rakyatnya hidup aman damai tanpa sebarang ancaman," ujar Jessica yang ingin dikenali sebagai Jinab kerana mahu melihat dirinya sebagai saudara Islam.
Berkaitan penerimaan keluarga angkat, jelasnya, dia tidak berhadapan masalah sewaktu pertama kali berjumpa. Ini kerana, sebelum datang ke Malaysia, mereka saling bertukar-tukar gambar dan berbual menerusi laman maya.
Cuma, dia terpaksa menggunakan bahasa tubuh apabila ingin menyatakan sesuatu perkara yang tidak jelas. Itulah perkara yang dianggap paling sukar baginya. Kesukaran memahami perbualan bermula dari hari pertama sehinggalah minggu ketiga tinggal di rumah keluarga angkatnya di Bangi Perdana, Bangi, Selangor.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, walaupun mereka mahir bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi dia masih mengalami masalah untuk memahami apa yang dituturkan kerana perbezaan slanga.
Jinab yang merupakan anak kepada seorang jurugambar di salah sebuah syarikat produksi di Jerman itu berkata, berkomunikasi dan belajar bahasa Malaysia antara perkara pertama yang dia pelajari sebaik sahaja menjejak kaki ke bumi Malaysia.
Buktinya, penulis mendengar sendiri Jinab membaca akhbar Kosmo! dengan sebutan yang pekat dalam slanga orang Barat. Kini, hampir tiga bulan menetap di Malaysia, Jinab sudah boleh membaca akhbar bahasa Melayu.
Sepanjang setahun berada di Malaysia, Jinab ditempatkan dalam kelas tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan 3, Bangi Perdana. Dia mengakui pada awalnya, dia sukar memahami konsep pembelajaran yang diketengahkan di sekolah itu.
Selain itu, katanya, dia berasa agak gugup sewaktu hari pertama persekolahan. Wajahnya sering menjadi tumpuan ramai pelajar, membuatkan dia seperti seorang manusia yang baru datang dari sebuah planet asing.
"Semua mata memandang ke arah saya. Wajah-wajah seragam itu membuatkan saya tidak selesa. Adakah mereka tidak suka orang asing?"
"Lama saya berdiri di sebelah cikgu. Kemudian, barulah saya diperkenalkan kepada mereka. Mujur saya dan rakan-rakan kelas tahu berbahasa Inggeris. Jadi, tidaklah saya berasa kekok apabila hendak berkomunikasi dengan mereka," katanya gembira setelah diberi peluang mengenakan pakaian seragam sekolah.
Mengenai pemahamannya dalam mata pelajaran bahasa Malaysia, katanya, penggunaan tatabahasa dalam setiap perkataan begitu mengelirukan. Dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk memahami satu perkataan walaupun maksudnya sama.
Berkongsi pengalaman sepanjang tinggal bersama keluarga angkat, dia menganggap dirinya seperti anak yang baru lahir. Jinab perlu belajar bagaimana menjalani kehidupan baru di bumi Malaysia. Lebih-lebih lagi, dia berada dalam sebuah keluarga Islam.
"Bagi saya, Islam adalah agama menakjubkan. Walaupun saya beragama Kristian, namun hati saya terdetik untuk mendalami agama Islam kerana ia mempunyai banyak kelebihan.
"Anda bayangkan, saya berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan. Biarpun hari pertama, saya mengalami kesukaran seperti berasa pening dan lapar, tetapi saya mampu bertahan sehingga waktu berbuka," katanya bangga kerana berjaya menyesuaikan diri bersama keluarga angkat dalam tempoh kurang tiga bulan.
Jinab mengakui menunaikan ibadah puasa antara perkara paling mencabar selama mengenali Islam dengan lebih mendalam.
Selain itu, dia turut mendalami banyak perkara lain seperti cara pemakanan serta adat dan budaya orang Melayu. Selama tinggal di sini, Jinab mengamalkan pemakanan sayur-sayuran sahaja. Pengalamannya melihat penyembelihan lembu di tempatnya membuatkan dia berasa 'kasihan' untuk makan daging.
Walaupun ibu angkatnya menyediakan hidangan seperti nasi dengan lauk daging atau ayam masak merah, dia hanya mengambil kuahnya sahaja dan tidak sesekali menolak apa jua hidangan yang disediakan.
Di Jerman, selain popular dengan masakan Barat, katanya, terdapat juga restoran yang mengetengahkan menu masakan Asia seperti Cina dan India. Oleh itu, tidak hairanlah jika di sini, Jinab boleh menikmati hidangan nasi goreng dan roti nan sebagai makanan kegemarannya.
"Saya suka budaya di sini. Mereka saling membantu antara satu sama lain. Misalnya pada Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali, masyarakat berbilang bangsa mengunjungi jiran dan sahabat handai.
"Paling seronok, saya berpeluang mempelajari cara menganyam ketupat, membuat manisan kuih India sehinggalah menggayakan sari dan baju kurung," katanya. Layanan baik keluarga angkat sekurang-kurangnya mengubat kerinduan terhadap keluarganya di Jerman.
Menghabiskan masa hujung minggu dengan bermain taekwondo, Jinab menyimpan hasrat untuk datang semula ke Malaysia. Apa yang pasti, dia ingin berkongsi pengalaman manisnya itu sebaik sahaja tiba di tanah airnya nanti.
Ibu angkatnya, Siti Badarny Hassan memberitahu, kehadiran Jinab dalam keluarganya memberi satu perubahan besar dalam kehidupan dia dan anak-anak.
Walaupun sudah tiga kali menerima anak angkat dari negara luar, tetapi kali ini, tempohnya lebih lama iaitu setahun, berbanding dua pelajar Jepun sebelumnya.
"Saya ambil Jinab pun sebab nak dedahkan anak-anak dengan budaya luar. Selain itu, pergaulan seharian dengan Jinab membantu menambah kemahiran dan mengikis rasa malu anak-anak untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan orang asing," jelasnya.
Menurutnya, ia satu situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak. Maknanya, mereka bukan sahaja bertukar-tukar bahasa dan budaya tetapi berpeluang meningkatkan pengetahuan mengenai dunia luar.
Badarny menganggap Jinab seperti anaknya sendiri. Mereka tidak lepas pandang dalam mendidik anak gadis itu.
"Kami dekatkan diri Jinab dengan peraturan dan adab ketika berada di dalam dan luar rumah. Contohnya, Jinab perlu mengemas rumah dan berpakaian yang sesuai," ujarnya telus.
Mendengar itu, Jinab mencelah. Katanya, program tersebut memberi impak luar biasa dalam kehidupannya. Jika dahulu, dia seorang yang tidak peka tentang perkara yang melibatkan karakter peribadi seperti tingkah laku atau perangai.
"Bergaul dengan rakan-rakan berlainan bangsa sedikit sebanyak mengajar saya membezakan perkara baik dan buruk. Paling penting, saya bangga dapat mengenali diri sendiri," ujar Jinab sambil mempamerkan wajah gembira.
Read more...
03 November 2009
Pendidikan berguna dalam Boo & Me

Boo & Me itu memberi pengajaran kepada kanak-kanak mengenai pemuliharaan alam sekitar
"IMAN, kenapa asyik tengok kartun je ni. Dah tutup TV tu. Pergi buat kerja sekolah," rungut si ibu yang risau akan pelajaran dan tingkah laku anak dipengaruhi kartun animasi di kaca televisyen.
Sesetengah ibu bapa menganggap bahan tontonan seperti kartun memberi impak yang kurang baik. Namun, tanpa mereka sedari, kini terdapat banyak animasi yang memberi pendidikan dan pengajaran berguna kepada kanak-kanak.
Malah, perkembangan tersebut telah menarik perhatian syarikat-syarikat animasi tempatan untuk menghasilkan kartun animasi sebagai satu medium mendidik.
Terbaru, syarikat multimedia kreatif, Inspedia Malaysia telah menghasilkan siri animasi pendek 13 episod iaitu Boo & Me. Siri animasi pendidikan itu memaparkan orang utan dan dua orang sahabat iaitu Aiman dan Yasmin sebagai watak utamanya.
Ia bukan sahaja sesuai untuk tontonan kanak-kanak, malah buat orang dewasa bagi mempelajari tentang persahabatan, kesetiaan dan isu alam sekitar di Malaysia.
Inspedia bekerjasama dengan KidsCo Limited, satu rangkaian televisyen kanak-kanak antarabangsa yang berpusat di United Kingdom (UK) untuk menghasilkan siri animasi tersebut.
Menariknya, rangkaian televisyen kanak-kanak antarabangsa keempat terbesar di dunia itu telah memilih Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sabah sebagai tema untuk mengadakan siri animasi kanak-kanak Boo & Me.
"Animasi Boo & Me ini memfokuskan kepada isu alam sekitar yang berbeza dalam setiap episod. Ia tertumpu kepada kurikulum pemuliharaan alam sekitar yang dipanggil 5R iaitu Reduce (mengurang), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula), Renew (memperbaharui) dan Respect (menghormati).
"Ia mengajar kanak-kanak bagaimana untuk menjaga alam sekitar dengan melakukan sesuatu seperti menggunakan semula tayar lama, beg plastik sebagai beg sampah, mengitar semula tin aluminium, plastik dan banyak lagi," kata Pengarah Urusan KidsCo, Paul Robinson.
Jelasnya, animasi Boo & Me itu memberi pengajaran kepada kanak-kanak mengenai pemuliharaan alam sekitar.
Memandangkan kanak-kanak hari ini bakal mewarisi dunia di masa hadapan, pendidikan awal mengenai alam sekitar amat penting.
"Kami ingin membantu menyalurkan pengetahuan bagi membolehkan kanak-kanak membesar menjadi orang dewasa yang sentiasa peka dan prihatin terhadap alam sekitar," katanya.
Siri animasi itu telah dialih suara ke dalam 15 bahasa yang akan disiarkan di 58 buah negara. Antaranya ialah Jerman, Perancis, Rusia, Asia Barat, Korea Selatan, Hong Kong, Asia Tenggara dan Afrika.
Menurut Pengarah Urusan Inspedia, Andrew Ooi, dengan adanya siri animasi pendidikan tersebut, kanak-kanak di serata dunia mendapat pendedahan mengenai Malaysia.
"Rancangan animasi ini juga dapat membantu menyemai sikap cintakan alam sekitar di kalangan kanak-kanak," katanya.
Inspedia merupakan antara 11 buah syarikat multimedia kreatif yang dijemput oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) untuk menyertai misi perdagangan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perancis baru-baru ini.
Tujuannya untuk meningkatkan hubungan ekonomi Malaysia dalam industri kreatif dengan syarikat-syarikat digital di seluruh dunia.
Bercerita mengenai siri animasi Boo & Me, Robinson memberitahu beliau dan Pengerusi KidsCo, Doug Murphy telah mengadakan pertemuan Najib di Cannes, Perancis dua minggu lalu.
"Perdana Menteri amat tertarik dengan animasi ini dan berharap ia akan membantu usaha kerajaan membudayakan penjagaan alam sekitar, kitar semula dan teknologi hijau.
"Malah, ia dapat memberi pendedahan kepada kanak-kanak bukan sahaja mengenai orang utan tetapi juga cara pemuliharaan haiwan, penjagaan alam sekitar dan bagaimana hendak memastikan dunia terus mempunyai flora serta fauna yang menarik," katanya.
Jelasnya, orang utan hanya terdapat di negara Asia Tenggara terutama di Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, orang utan begitu istimewa kerana ia dilindungi dan menjadi tumpuan para pencinta alam sekitar.
"Apabila program seperti pemulihan orang utan ini menjadi keutamaan sesebuah kerajaan, tentunya ia mempunyai nilai yang tinggi untuk diketengahkan bagi menarik kanak-kanak untuk menonton haiwan yang manja dengan manusia ini," katanya.
Pelbagai tema yang diutarakan itu bertujuan mendidik kanak-kanak mengenai tindakan yang sepatutnya diambil untuk menjaga alam sekitar.
Komitmen KidsCo terbukti apabila sebanyak 5,000 keping cakera padat digital (DVD) yang mengandungi dua episod pertama Boo & Me akan diedarkan di beberapa sekolah terpilih di seluruh negara di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.
Robinson berharap DVD tersebut akan digunakan oleh para guru sebagai pembelajaran tambahan dalam mendidik kanak-kanak mengenai nilai dan perkara asas alam sekitar.
Siri animasi Boo & Me itu juga boleh ditonton menerusi laman web rasmi KidsCo di www.kidscotv.tv.
Read more...
Membentuk peribadi anak

Puji anak bila mereka berkelakuan baik .Gambar hiasan.
ZURIAT merupakan permata hati kepada pasangan setiap suami isteri malah kelahirannya pasti menjadi debaran serta ditunggu oleh pasangan.Kehidupan dan kebahagiaan sebuah rumah tangga akan menjadi lebih berseri dengan kehadiran cahaya mata
Malah, kelahiran anak disambut dengan penuh gembira, kebanggaan dan rasa syukur yang tidak terhingga. Ibu bapa pula sanggup berkorban segala-galanya atas nama kasih sayang dan rasa cinta demi melihat zuriatnya terus berjaya dan menjadi insan mulia.
Apabila lahir zuriat ke dunia maka setiap ibu bapa perlu memberi perhatian serius dan pengawasan yang secukupnya.
Ini kerana setiap zuriat yang dilahirkan ibarat kain putih yang siap menerima untuk diwarnai. Jika dibiasakan dengan nilai-nilai yang baik, maka ia akan berkembang dengan kebaikan sehingga orang tua juga akan mendapat pahala.
Menurut pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah A. Ghani, anak-anak adalah lakaran ibubapa. Sekiranya lakaran tersebut ke arah kemuliaan pastinya ia membawa kebaikan kepada anak tersebut.
Tetapi sekiranya anak-anak dibiasakan dengan hal-hal buruk, maka ia akan membesar dengan keburukan.
"Oleh itu, tidak harus bagi setiap ibu bapa melalaikan tanggungjawab yang besar ini dengan mengabaikan aspek pendidikan yang baik dan menanamkan adab yang baik ketika membesarkan anak-anak,'' katanya.
Dia yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam pengurusan kaunseling keluarga memberitahu, biasalah mendidik anak agar makan dengan menggunakan tangan kanan, membaca bismillah disudahi dengan alhamdulilah.
Malah ceritanya lagi, ajar anak agar tidak makan dengan tergesa-gesa ataupun gelojoh. Makan dengan tertib, mengunyah makanan dengan perlahan dan jangan biasakan memasukkan makanan ke dalam mulut sebelum habis di mulut.
"Adab-adab ini penting memandangkan mereka masih kecil dan ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membentuk anak dengan nilai-nilai Islam yang terpuji,'' jelasnya lagi.
Selain itu, latihlah anak-anak dengan sikap hormat dan jangan biasakan anak bersikap kasar, berbahasa kesat dan berperilaku sombong.
"Keadaan ini penting bagi membiasakan peribadi anak supaya tidak berterusan dengan budaya yang kasar dan tidak bertamadun.
Jelasnya lagi, apabila anak semakin besar, latihlah anak-anak supaya bersikap berani dan sabar dalam menghadapi kesusahan.
"Biasakan memuji tindakan mereka apabila berbuat demikian kerana tindakan tersebut boleh mendorong mereka bersikap terpuji,'' katanya.
Apabila anak mencapai usia tujuh tahun, perintahkan mereka supaya bersolat secara tetap. Disiplinkan mereka mengenai tanggungjawab solat.
"Bagaimanapun elakkan melakukannya secara paksaan kerana ini akan menyebabkan mereka memberontak serta memendamkan perasaan,'' ujarnya.
Jelasnya lagi, biasakan anak-anak juga bersikap taat kepada orang tua, guru dan kepada yang lebih berusia darinya. Ajarkan anak-anak memandang dengan rasa hormat agar mereka tidak tergolong daripada anak-anak yang bersikap derhaka dan biadap.
Tip membentuk anak berkelakuan baik
*Jika boleh, jangan menghukum, sebaliknya mengajar. Matlamat mendisiplinkan anak ialah untuk mengajar anak itu berkelakuan baik. Memukul kanak-kanak bukanlah cara mengajar. Sebaliknya ia mengajar kanak-kanak bahawa memukul ialah cara menyelesaikan masalah.
*Anggaplah kenakalan anak-anak sebagai kesilapan. Ia akan memudahkan anda mencari jalan untuk mengajar tentang kelakuan baik. Jika boleh, kaitkan akibat dengan kenakalan.
*Jangan bertengkar atau membebel mengenai peraturan. Jika sesuatu peraturan dilanggar, ingatkan anak anda mengenai peraturan itu dan akibatnya jika tidak dipatuhi. Apabila anda memberikan arahan, bercakap dengan tegas dan ulangi arahan itu.
*Halang anak-anak kecil semasa mereka sedang membuat sesuatu yang anda tidak sukai atau jauhkan mereka dari situasi tersebut. Anak-anak kecil tidak faham apa yang salah dan apa yang betul, dan mereka tidak sepatutnya dipukul atau digoncang.
*Gunakan bahasa yang sopan semasa bercakap dengan kanak-kanak mengenai kelakuan mereka. Pastikan anda gunakan perkataan seperti "Maafkan saya" dan "Bolehkah saya?" bila sesuai. Jadilah contoh yang baik untuk anak anda di dalam percakapan dan perbuatan anda.
*Puji anak bila mereka berkelakuan baik kerana ini akan menggalakkan mereka terus berkelakuan baik. Pelukan, senyuman dan perkataan-perkataan lembut boleh digunakan untuk menunjukkan penghargaan.U/M
Read more...
02 November 2009
Cemerlang melalui sukan

Cadangan Kementerian Pelajaran mewa jibkan subjek sukan dan pendidikan jasmani dalam ku rikulum sekolah menengah seperti di Australia boleh men capai kejayaan jika sistem pelaksanaannya berkesan
PENDIDIKAN jasmani adalah subjek yang pastinya di tunggu-tunggu pelajar setiap minggu termasuk penulis ketika pada zaman persekolahan. Subjek pendidikan jasmani bukan sekadar untuk bersukan tetapi menghilangkan tekanan se lepas seharian belajar.
Bagaimanapun, subjek pendidikan jasmani itu hanya di pandang remeh dan tiada perhatian khusus kerana ia bu kanlah salah satu subjek dalam kokurikulum.
Malah, sesetengah pelajar juga tidak mengendahkan aktiviti sukan atau pendidikan jasmani dan hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran semata-mata.
Namun, Kementerian Pelajaran melihat kepentingan subjek itu dalam merealisasikan kecemerlangan pelajar di sekolah.
Dalam pendidikan menengah di Australia, setiap pelajar diwajibkan mengambil subjek sukan dan pendidikan jasmani yang diterapkan dalam kurikulum sekolah.
Usul itu kini sedang diteliti untuk diperkenalkan di semua sekolah di negara ini kerana ia didapati berjaya dilaksanakan di sekolah di Australia meskipun maksimum enam subjek dihadkan untuk pelajar menengahnya bagi memasuki uni versiti.
Perkongsian kos prasarana sukan dengan universiti ber dekatan mungkin dilakukan. Pelajar yang berminat me ngambil pendidikan jasmani, boleh berbuat demikian sebagai satu mata pelajaran.
Jika diteliti, langkah untuk melaksanakan perkara itu amat bagus. Tetapi adakah ia sesuai dilaksanakan di negara ini?
Adakah kita cukup yakin konsep yang dilaksanakan di sekolah menengah di Australia itu akan mencapai kejayaan apabila diperkenalkan di negara ini kerana budaya dan latar belakang pendidikan berbeza?
Yang dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata cadangan Kementerian Pelajaran itu boleh mencapai kejayaan tetapi sistemnya perlu diperting katkan.
Beliau berkata, pendidikan jasmani adalah mata pelajaran yang wajib di sekolah sejak dulu lagi. Bagaimanapun, ia tidak diberi perhatian sepenuhnya.
“Justeru, jika sukan dan pendidikan jasmani ini wajib diterapkan dalam kokurikulum sekolah menengah, ia satu usaha yang baik.
“Selain itu, langkah itu pasti berhasil jika sistem yang diguna pakai dalam subjek pendidikan jasmani di sekolah ditambah baik,” katanya.
Azam berkata, Kementerian Pelajaran perlu melihat semua aspek terutama tenaga pengajar yang mahir.
“Jika dilihat senario di kebanyakan sekolah, guru yang mengendalikan pendidikan jasmani tidak mempunyai latar belakang dalam bidang itu.
“Bayangkan jika guru agama, Matematik atau Bahasa Me layu terpaksa mengambil alih tugas itu, tentu hasilnya mengecewakan,” katanya.
Beliau berharap apabila subjek itu diwajibkan kelak, jangan berlaku seperti sesetengah mata pelajaran wajib yang tidak mempunyai tenaga pengajar berkelayakan.
Katanya, mengenai cadangan kementerian mahu mengguna pakai sistem pendidikan jasmani yang dilaksanakan di se kolah menengah di Australia dan berkongsi kos prasarana sukan dengan universiti berdekatan, ia sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi.
“Tidak semua sekolah di negara ini mempunyai peralatan sukan yang lengkap. Jadi, dengan berkongsi prasarana itu dengan universiti, aktiviti sukan dan pendidikan jasmani ini boleh berjalan dengan baik.
“Perkongsian itu dapat menjimatkan perbelanjaan sekolah,” katanya.
Katanya, jika pelajar berminat mengambil pendidikan jas mani, dia boleh berbuat demikian sebagai satu subjek pe lajaran seperti yang dicadangkan.
Bagaimanapun, ia mungkin menghadapi sedikit masalah di sekolah di negara ini.
“Sistem pendidikan di Australia hanya mengehadkan enam subjek sahaja untuk memasuki universiti tetapi kita me merlukan maksimum 10 subjek.
“Namun, saya berharap kementerian akan melaksanakan program itu di negara ini jika kajian membuktikan ia membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar dan se kolah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Se menanjung Malaysia (GPSM), Mohd Nordin Awang, berkata langkah itu wajar dilaksanakan kerana sukan penting bagi melahirkan pelajar cemerlang.
Katanya, walaupun kokurikulum itu penting, tapi kita tidak mahu kualiti pelajar kita hanya dikategorikan sebagai pandai tetapi tidak cerdik.
“Kebanyakan pelajar kita lebih menumpukan kepada ko kurikulum semata-mata dan tidak mengendahkan sukan atau pendidikan jasmani.
“Kokurikulum memang penting tetapi aktiviti sukan juga memberi manfaat terutama dari aspek kesihatan dan ke cemerlangan,” katanya.
Senario pendidikan di negara ini mendapati kebanyakan pelajar yang dikategorikan pandai, gagal dalam sukan atau tidak mengambil berat aspek itu.
“Keadaan ini perlu dielakkan kerana dengan mengikuti aktiviti sukan atau berpersatuan, banyak ilmu yang mereka boleh peroleh.
“Pendidikan jasmani atau sukan bukan hanya bermain bola sepak tetapi skopnya luas,” katanya.
Nordin berkata, mungkin pelajar tidak sedar dengan me ngikuti aktiviti sukan dan berpersatuan, mereka boleh belajar banyak kemahiran terutama dalam komunikasi.
“Selain itu, banyak aspek sains sukan yang boleh memberi manfaat kerana di peringkat antarabangsa, ia bidang yang menjadi tumpuan masyarakat.
“Kerjaya dalam sukan juga menjamin masa depan kerana banyak majikan berminat mengambil mereka yang mem punyai latar belakang dalam bidang itu,” katanya
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
Read more...
01 November 2009
Piza- Kelazatannya tidak terkata !

PIZA adalah antara sajian yang sentiasa mendapat tempat di hati kanak-kanak.
PIZA berasal dari Itali dan sungguh popular sebagai makanan segera. Malah, ia boleh didingin beku dengan mudah untuk disimpan selama beberapa minggu di dalam peti pembeku.
Ada tiga langkah utama dalam menyediakan piza. Pertama, bahagian dasar. Memandangkan doh menggunakan yis, ketelitian perlu bila mengadunnya. Yis adalah bahan yang amat sensitif dengan suhu. Pastikan yis yang digunakan masih baru dan aktif.
Yis yang tidak aktif atau mati tidak mampu mengembangkan adunan. Hasilnya, piza akan menjadi keras dan tidak gebu. Yis menjadi tidak aktif jika ia terkena garam. Jadi, hendaklah dimasukkan garam ke dalam tepung terlebih dulu. Dengan cara ini, ia tidak akan tersentuh secara langsung dengan yis.
Jangan gunakan air panas kerana fungsi yis akan terbantut. Hanya gunakan air suam. Namun begitu, jika anda menguli dengan mesin, lebih sesuai menggunakan air sejuk. Ini kerana kepanasan doh meningkat dengan sendirinya bila diuli dengan mesin dalam jangka masa yang agak lama.
Teknik ulian mesti betul bila membuat doh piza. Lakukan di atas papan pencanai yang ditaburkan dengan tepung. Tolak doh dengan tapak tangan secara terus-menerus. Tarik dan tolak doh sehingga ia menjadi lembut, licin dan halus permukaannya. Jangan lupa gunakan tepung roti atau tepung berprotein tinggi kerana kandungan gluten memudahkan doh kembang.
Pelembut roti akan membuat doh piza lebih lembut.
manakala bread improver mempercepatkan proses mengembangkannya. Doh mesti diletak di tempat hangat supaya mudah kembang. Tempat paling baik adalah di dalam kereta yang diletakkan di bawah matahari terik.
Cara lain ialah menyediakan bekas besar atau periuk pengukus berisi air mendidih. Letak mangkuk berisi doh dengan penutup tuala. Kemudian tutup pengukus itu dan biarkan. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sos piza di dalam botol. Anda juga boleh menyediakannya sendiri dan menyimpannya untuk digunakan pada waktu lain. Sos ini jugalah asas kepada sos tomato untuk spageti bolognese dan lasagne. Jika tidak cukup masa, campurkan sos tomato dan sos cili. Kemudian sapukan di atas doh piza.
Bahan atas untuk piza boleh diubahsuai mengikut selera masing-masing. Jika menggunakan daging atau ayam cincang, anda hendaklah memasaknya terlebih dulu. Tambahkan cili Benggala atau lain-lain sayuran yang anda gemari. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sardin atau tuna di dalam tin.
Hirisan sosej atau salami lembu adalah pilihan yang sesuai. Salami adalah daging atau ayam dalam bentuk sosej yang sudah dicampur rempah dan disalai atau diproses hingga masak. Bagi penggemar sayur-sayuran pula, boleh mencelurnya sebelum digunakan.
Selain keju mozarela, anda boleh gunakan parutan keju cheddar. Sebaik-baiknya anda parut terus ke atas piza untuk mengelakkan ia berketul atau bergumpal.
Jika sukar mendapatkan oregano kering dalam botol, boleh gantikan dengan Italian seasoning. Herba seperti ini adalah penting untuk memberikan rasa asli atau autentik piza. Sekiranya anda boleh memperoleh daun basil segar, taburkan di atas piza sebaik saja ia dikeluarkan dari ketuhar.
Untuk menyimpan piza secara dingin beku, bakar sehingga separuh masak. Kemudian biar sejuk. Bungkus dengan plastik nipis sebelum diletak di dalam bekas bertutup. Anda juga boleh membungkus dengan kertas timah. Kemudian barulah disimpan dalam peti pembeku. Biar piza kembali ke suhu bilik semula sebelum dibakar seperti biasa.
Bagi yang tidak mempunyai masa atau kesabaran untuk menguli doh piza sendiri, boleh gunakan roti pitta. Selain menjimatkan masa, anda juga boleh mempelbagaikan bahan atasnya mengikut bajet dan kreativiti sendiri.
--------------------------------------------------------------------------------
Read more...
Hilang pendengaran kerana bakteria

KANAK-KANAK yang dihantar ke pusat jagaan harian lebih mudah dijangkiti.Pilih pusat jagaan kanak-kanak yang mengutamakan kebersihan, tidak terlalu ramai serta peka terhadap perubahan kesihatan anak.
DEMAM yang tidak berpenghujung, kerap menangis dan tidak dapat tidur menjadikan ibu bapa Aqil gelisah.

Bukan itu sahaja, tahap kesihatan anak mereka yang berusia dua tahun itu semakin merudum sejak dihantar ke pusat jagaan harian kanak-kanak berhampiran pangsapuri mereka.
Setelah berlarutan selama hampir dua minggu dan keadaan tidak bertambah baik, Aqil dibawa berjumpa dengan pakar dan diagnosis dengan segera.
Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami jangkitan dalam telinga yang disebabkan oleh bakteria.
Jelas Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Aminuddin Saim, gejala jangkitan ini dikenali sebagai Otitis Media atau jangkitan dalam telinga (OME).
“Bukan perkara luar biasa apabila seorang kanak-kanak berusia di antara dua hingga enam tahun mendapat penyakit ini. Namun, yang membimbangkan ialah ramai ibu bapa yang tidak sedar anak mereka menghidap penyakit ini,” katanya serius.
Bukan sekadar itu, pilihan yang terhad sehingga memaksa kebanyakan ibu bapa menghantar anak mereka seawal usia beberapa bulan selepas kelahiran ke pusat jagaan kanak-kanak menyebabkan penyakit ini semakin berleluasa.
Tegas Aminuddin lagi, kepadatan bayi dan kanak-kanak serta tahap kebersihan yang tidak dapat dipastikan di pusat jagaan itu menjadi faktor utama dalam penyebaran penyakit ini di kalangan kanak-kanak.
Menjelaskan lebih lanjut, Aminuddin berkata, OME merupakan jangkitan di dalam telinga terutama di kawasan selepas gegendang telinga.
Malah OME langsung tiada kaitan dengan telinga luar, tahi telinga atau aktiviti berenang. 
OME merupakan jangkitan di dalam telinga terutama di kawasan selepas gegendang telinga.
Sambungnya lagi, kanak-kanak mudah mendapat OME selepas demam selesema. Seringkali ia terjadi seminggu selepas demam tersebut.
Paling utama, penyakit ini berlaku secara berulang-ulang. Lebih banyak kanak-kanak terdedah kepada persekitaran yang tidak bersih, lebih kerap jangkitan ini berulang.
Dalam kes jangkitan yang lebih kronik, jangkitan tersebut boleh menyebabkan gegendang telinga berlubang dan nanah yang berterusan.
“Lebih parah, cecair dalam telinga ini yang dibiarkan akan menanah dan akhirnya mampu merosakkan gegendang telinga,” kata Aminuddin.
Hilang pendengaran
Menyentuh mengenai kesan penyakit ini, sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang tidak dirawat dengan segera bakal mengalami masalah pendengaran.
Bukan itu sahaja, kehidupan sosial kanak-kanak OME juga akan terjejas termasuk tahap pembelajaran mereka.
“Kanak-kanak OME cenderung untuk menjadi lebih agresif. Pertuturan mereka juga terjejas dan tahap kesihatan yang sering saja terganggu,” ujar Aminuddin yang membuat kajian penyakit ini beberapa tahun lalu melibatkan seramai 1,097 kanak-kanak prasekolah.
Malahan kanak-kanak OME cenderung mendapat radang otak, jangkitan pada tulang telinga serta mengakibatkan pekak berkekalan.
Bagi merawat OME, lazimnya pemberian antibiotik menjadi pilihan pakar kecuali jangkitan tersebut mencapai tahap kronik.
“Jika keadaan telinga menjadi kronik, pakar akan melakukan pembedahan kecil bagi memasukkan sejenis tiub bagi mengeluarkan cecair yang tersumbat di kawasan dalam telinga tersebut,” ujar Aminuddin.
Tambahnya, tiub tersebut bersifat sementara dan bertujuan menstabilkan tekanan dalam telinga. Selepas tiga hingga empat bulan, tiub itu akan terkeluar dengan sendirinya.
Dalam pada itu, lebih mengejutkan apabila laporan tersebut yang disiarkan dalam jurnal Otorhinolaryngol Pediatric mendedahkan sebanyak 13.8 peratus kanak-kanak menghidap penyakit ini.
Justeru, Aminuddin menggesa ibu bapa agar lebih prihatin dalam penjagaan anak-anak mereka terutama yang berumur enam tahun ke bawah.
“Paling utama, pilih pusat jagaan kanak-kanak yang mengutamakan kebersihan, tidak terlalu ramai serta peka terhadap perubahan kesihatan anak.
“Ini penting kerana OME menyerang secara senyap. Tiada simptom khusus kecuali anak mula meragam dan demam berterusan,” kata Aminuddin.
Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.abdullatib@kosmo.com.my
Read more...