
Upin & Ipin membawa lembaran baru dalam filem animasi tempatan
FILEM Geng: Pengembaraan Bermula telah mendapat satu lagi pengiktirafan bertaraf global apabila meraih kejayaan bagi kategori Audience Choice Award dalam Indonesian International Film Festival for Kids 2009 (Kidsfest 2009) di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Filem anismasi tiga dimensi (3D) pertama Malaysia ini merupakan satu-satunya filem tempatan yang tercalon untuk bersaing dengan filem luar negara seperti The Happiness of Kati' (Thailand), The Letter for the King (Belanda), Mia & The Migoo' (Perancis), Niko & The Way to the Stars (Finland) dan 'Teo's Voyage' (Mexico).
Filem hasil karya Produksi Les' Copaque ini mempamerkan gelagat lucu sepasang kembar comel yang telah berjaya menambat hati penonton.
Filem tersebut buat kali pertama ia ditayangkan di Blitz Megaplex pada 18 Julai lepas.
Kembar kesayangan ramai ini telah pun mempunyai pengikutnya sendiri setelah muncul di saluran TPI Indonesia pada tahun lepas.
Dengan sambutan yang hebat ini, Produksi Les' Copaque yakin bahawa filem ini bakal menjadi gempar apabila ia ditayangkan di Blitz Megaplex, Indonesia September ini.
Ini akan menjadikan filem Geng sebagai filem animasi tempatan pertama yang mendapat keistimewaan tayangan perdana di Indonesia.
Segala persiapan bagi mempromosikan filem ini sedang diusahakan bagi menghangatkan lagi kemunculannya.
Siri mini animasi 3D Upin & Ipin mendapat sambutan yang menggalakkan setelah ditayangkan di saluran TPI Indonesia pada tahun lalu.
Kini TPI Indonesia masih lagi meneruskan tayangan Upin & Ipin musim kedua yang memaparkan aktiviti mereka sepanjang bulan Ramadan.
Siri mini Upin & Ipin kini telah pun memasuki musim ketiga dengan cerita yang lebih menarik dan berintipatikan imej global.
Produksi Les' Copaque berharap ini akan menjadi pemangkin pada jualan barangan Upin & Ipin serta akan menambahkan lagi bilangan peminat apabila filem Upin & Ipin Angkasa yang dijangka muncul pada 2011.
Geng akan meneruskan lagi perjuangannya untuk ke peringkat antarabangsa dan bakal menggegarkan pawagam di India pada bulan November ini berikutan minat yang mendalam dari syarikat antarabangsa.
Trailer yang telah dialih bahasa ke bahasa Hindi boleh disaksikan di laman web http://www.indiatales.com.
Filem Geng: Pengembaraan Bermula telah ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Februari lalu.
Filem ini telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila berjaya mencatatkan kutipan kedua tertinggi dalam sejarah perfileman iaitu sebanyak RM6.314 juta untuk hasil jualan tiket sahaja.
Ini telah menaikkan lagi penjualan barangan cenderahati dan telah berjaya menarik TM-salah sebuah rangkaian telekomunikasi
terkemuka untuk menjadi penaja utama siri ini
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
16 August 2009
Upin & Ipin ke peringkat antarabangsa
15 August 2009
Masjid Selat atas laut
MELAKA bukan sahaja merupakan sebuah negeri yang kaya dengan peninggalan sejarah tetapi ia juga merupakan sebuah pusat penyebaran dan perkembangan Islam yang terulung di Nusantara.
Sehubungan itu, masjid-masjid telah didirikan untuk dijadikan tempat belajar ilmu agama seperti fikah, usuluddin, tasauf, tafsir dan mengaji al-Quran.
Masjid-masjid yang kekal hari ini menjadi monumen dan warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.
Tidak hanya setakat itu, kerajaan negeri Melaka turut membina masjid-masjid baru dalam usaha meningkatkan lagi syiar Islam di samping memenuhi keperluan berikutan pertambahan penduduk di negeri itu sendiri.
Terbaru dan terkini, Masjid Selat, Melaka, yang dibina di Pulau Melaka dan terletak di tepi Selat Melaka, selat yang terpanjang dan tersibuk di dunia.
Menelan belanja hampir RM11 juta, masjid tersebut yang dibina di atas tanah yang berkeluasan 1.8 hektar mempunyai ciri-ciri seni bina Melayu dan Timur Tengah.
Daripada jumlah RM11 juta, kerajaan Persekutuan memberi peruntukan sebanyak RM7 juta.
Masjid tersebut mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
Ia mula dibina pada Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika itu pada 24 November 2006.
Menurut Pemandu Pelancong, Shaukani Abbas, masjid tersebut penting kerana ia dapat meniup semangat baru kepada seluruh masyarakat Islam di negeri ini.
Ini kerana, katanya, masjid berkenaan terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan eksklusif selain perumahan yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama.
Beliau memberitahu, selain untuk tujuan solat, rakyat dan para pelancong juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pemandangan di perairan Selat Melaka pada bahagian pelantar masjid.
"Pembinaan masjid tersebut di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan Bandar Hilir adalah mercu tanda baru di negeri ini serta menunjukkan usaha kerajaan negeri yang sentiasa meningkatkan syiar Islam.
"Masjid yang dibina di atas permukaan laut berdekatan pulau buatan manusia ini akan menjadi satu lagi mercu tanda dan tarikan pelancongan di negeri ini," ujarnya ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.
Jika diteliti, seni bina dan kedudukan Masjid Selat, Melaka, amat menarik. Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, masjid berkenaan begitu mirip sebuah masjid terapung yang terdapat di bandar Jeddah, Arab Saudi.
Untuk pengetahuan bersama, masjid tersebut merupakan ilham daripada Ali Rustam yang pernah menyertai lawatan ke Jeddah satu ketika dahulu.
Jika kita meninjau masjid ini dengan lebih dekat lagi, pastinya seribu ketenangan jiwa tercipta bagi melupakan sebentar segala cengkaman masalah dunia.
Masjid yang didominasi rona putih lambang kesucian, benar-benar jelmaan keindahan dan kehalusan seni bina bagi menarik hamba-hamba-Nya supaya lebih dekat dengan Allah SWT.
Bersujud di dalamnya sambil dihembus angin selat yang bertiup pastinya menjadikan solat tarawih sempena bulan Ramadan ini misalnya adalah terbaik pernah kita laksanakan.
Pada masjid ini terdapat pelbagai keunikan yang sukar untuk diungkap melalui kata-kata. Namun yang paling ketara ialah binaan menaranya yang setinggi 30 meter. Menara yang menjulang tinggi di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat itu sebenarnya tidak sekadar menara untuk melaungkan azan ke seluruh alam. Sebaliknya, dengan kedudukan fizikal terletak di pinggiran selat itu maka menara itu mempunyai dwi fungsi sebagai Rumah Api.
Rumah Api yang mengeluarkan cahaya amaran kepada perahu-perahu sehinggalah kapal-kapal yang melalui Selat Melaka itu. Memberikan juga panduan kepada pesawat yang terbang di ruang udara.
Kubah Besar Masjid Selat yang mampu dilihat jelas dari jarak jauh dengan warna biru keemasan yang bergabung dengan birunya air laut, mencetuskan satu lagi fenomena perpaduan yang menjadi tunggak Melaka Bersejarah.
Ini kerana ada rekod sejarah yang mengatakan walaupun bangsa-bangsanya terdiri dari Melayu, Cina yang digelar Baba dan Nyonya sehinggalah India dikenali sebagai Jawi Peranakan atau Chettiar, itulah uniknya Melaka, mereka kesemuanya bersatu atas nama Islam.
Siri lawatan ke Melaka kini tidak akan lengkap jika kita tidak mengunjungi Masjid Selat.
Walaupun mungkin akan lebih dipengaruhi emosi dan nostalgia sejarah dengan keunikan-keunikan Masjid-masjid lain seperti Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Kampung Hulu, Peringgit dan sebagainya.
Rekaan masjid ini mendaulatkan konsep seni bina Melayu. Ini apabila kita dapati elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian menjadi konsep rekaan.
Empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah yang besar. Iaitu kubah besar yang indah dan unik menaungi Dewan Besar Solat yang berukuran 24 diameter.
Masjid Selat begitu lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi segala fungsi dan aktiviti yang mengimarahkan masjid.
Selain Dewan Solat, terdapat Dewan Serba Guna, Perpustakaan, Kelas-kelas Pengajian dan sebagainya.
Namun pandangan mata begitu tertumpu juga kepada keindahan seni buatan mimbar masjid ini. Berasaskan kepada kayu jati, mimbar tersebut diukir dengan seni ukiran yang sangat halus bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bunga.
Seni-seni kaligrafi, ayat-ayat suci al-Quran turut memenuhi ruang dan dinding masjid.
Seni muqarnas di bahagian atas mihrab terdiri dari jubin-jubin yang terpilih namun dibina dengan paten-paten geografi dengan kedalaman yang berbeza bagi menghasilkan sistem bunyi akustik baik dan mengurangkan gema.
Untuk kenal lebih dekat, marilah ke Masjid Selat bagi memperhebatkan lagi ibadat dan menyuntik lagi semangat Ramadan tahun ini!
Read more...
H1N1 ancaman kepada ibu hamil

MINUM air dengan banyak mampu meningkat tahap kesihatan ibu mengandung.
KALI terakhir dunia diserang wabak pandemik influenza A ialah dalam tahun 1918. Wabak yang melanda selama lebih kurang dua tahun itu dikenali sebagai Spanish Flu telah menyebabkan kematian lebih 50 juta manusia di seluruh dunia.
Kini wabak daripada virus yang sama iaitu H1N1 daripada jenis influenza A kembali menjadi pandemik yang membimbangkan penduduk dunia.
Salah satu golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit ini ialah ibu mengandung.
Terdapat beberapa faktor mengapa ibu mengandung dikategorikan sebagai berisiko untuk terkena jangkitan virus H1N1.
Pakar perbidanan dan sakit puan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. S. Silvam berkata, ketika mengandung lazimnya pernafasan wanita terbabit akan berubah berbanding wanita normal.
"Ketika mengandung, rahim akan mengembang dan meningkatkan tekanan pada bahagian usus sekali gus menyebabkan pengembangan diafram (bahagian antara paru-paru dan perut) terhad dan membuatkan nafas tersekat-sekat (pendek).
"Keadaan akan menjadi bertambah buruk jika wanita hamil tersebut dijangkiti H1N1 yang lazimnya akan menyerang sistem pernafasan dengan memasuki bahagian kerongkong pesakit," jelasnya ketika ditemui di kliniknya yang terletak di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Selain itu, menurut Dr. Silvam sistem imuniti (kekebalan tubuh) bagi ibu mengandung juga rendah menyebabkan mereka mudah terdedah dan mendapat jangkitan penyakit termasuk H1N1.
Jadi walaupun seorang ibu mengandung itu berada dalam tahap kesihatan yang memuaskan mereka tetap berisiko untuk dijangkiti kuman kerana kuasa daya lawan penyakit kurang ketika mengandung.
Dr. Silvam berkata, apabila ibu mengandung berhadapan dengan masalah kesihatan, doktor yang merawat akan lebih berwaspada untuk memberi ubat-ubatan kerana takut mendatangkan kesan negatif kepada bayi dalam kandungan.
"Dalam tiga peringkat mengandung, pertama, kedua dan ketiga trimester, peringkat pertama dan ketiga perlu diberi perhatian. Peringkat ketiga mengandung lebih berisiko untuk mendapat jangkitan dan kesannya sehingga boleh menyebabkan kematian.
"Di Amerika Syarikat, setakat ini sudah lebih 300 kematian akibat H1N1 dan antara lima dan enam peratus mangsa adalah daripada kalangan ibu mengandung.
"Perlu diingatkan juga bahawa wabak ini masih belum menemui penawarnya justeru langkah pencegahan sebelum terkena amatlah penting," katanya.
Sehubungan itu kata beliau, ibu mengandung dinasihatkan jangan pergi ke tempat yang menjadi tumpuan ramai orang kerana dikhuatiri akan mengalami jangkitan daripada orang yang tidak dikenali.
Sekiranya terdapat sedikit simptom seperti demam, selesema, sengal-sengal sendi dan sebagainya, sebaiknya mereka mengasingkan diri (kuarantin) di rumah dan pakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan daripada menjangkiti ahli keluarga lain.
"Kurangkan mencium anak-anak lain dan mesti buang topeng, tisu bekas hingus dan batuk ke tempat yang tertutup," jelasnya.
Rawatan
Dr. Silvam menerangkan apa yang penting ialah setiap ibu mengandung tidak perlu panik apabila muncul simptom sebaliknya segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pengesahan tentang sama ada mereka telah terkena jangkitan.
"Pengesahan boleh dilakukan melalui ujian dengan mengambil sampel air liur untuk dihantar ke makmal.
"Rawatan profilaksis atau cara untuk mengelak daripada terkena jangkitan dengan menggunakan antiviral juga boleh diberi kepada ibu mengandung.
"Virus ini masih tiada ubatnya dan apa yang perlu dibuat ialah menjaga kebersihan diri sebaik mungkin," katanya.
Selain itu, Dr. Silvam menambah, apa yang perlu ditekankan ialah pentingnya pemahaman tentang penyakit ini.
Apabila simptom Influenza A H1N1 ini terjadi kepada wanita hamil, doktor akan memberikan rawatan secara simptomatik iaitu rawat satu persatu masalah mereka.
"Jika demam, maka doktor akan merawat demam hingga baik. Jika demam terlalu tinggi memang akan membahayakan ibu dan bayi tetapi ibu akan dirawat dengan memberikan beberapa dos paracetamol.
"Begitu juga jika selesema dan batuk. Jika simptom terjadi pada trimester pertama kandungan, doktor akan lebih berhati-hati dalam memberi ubat kerana khuatir risiko ubat kepada bayi.
"Tetapi kalau selesema si ibu agak teruk maka mereka perlu dirawat dengan ubat yang diberi nama Tamiflu dan Revenza," jelasnya lagi.
Sewaktu kelahiran dan penyusuan bayi
Dr. Silvam berkata, jika simptom H1N1 terjadi kepada ibu yang hendak bersalin perkara paling tidak digalakkan oleh doktor ialah memberi ubat mempercepat kelahiran (induce). Ini kerana induce akan menyebabkan bayi mudah dijangkiti virus.
"Sebaiknya ibu perlu melahirkan bayi secara normal apabila tiba masanya. Ketika meneran untuk bersalin sudah tentu ibu yang mempunyai simptom tidak boleh memakai topeng (penutup hidung dan mulut), jadi orang di sekeliling mestilah mengambil langkah keselamatan dengan memakai topeng dan basuh tangan dengan bersih.
"Dalam tempoh 72 jam selepas ibu melahirkan dan menerima rawatan, ibu tersebut dianggap tidak menyebarkan virus tetapi langkah pencegahan kebersihan masih perlu diikuti dengan teliti. Sebagai contoh menutup mulut ketika batuk dan cuci tangan dengan kerap," jelasnya.
Dr. Silvam berkata, sebaiknya ibu yang baru melahirkan memberikan susu badan kepada bayi mereka dan jangan berhenti kerana susu ibu banyak antibodi yang membantu menguatkan ketahanan bayi daripada dijangkiti penyakit.
"Virus H1N1 tidak akan berjangkit menerusi susu ibu. Yang penting amal langkah berjaga-jaga, jangan terlalu dekat dengan orang lain dan jika ada sentuhan pastikan tangan dicuci dengan bersih," ujarnya.
Read more...
14 August 2009
Majlis Persaraan Guru Besar SK Seri Laksamana,Masjid Tanah.Melaka.
Tarikh :14 Ogos 2009 Masa :8.30am Tetamu Kehormat-Tn.Hj.Isa Hj.Abu,Pengarah Pelajaran Melaka.Yang diraikan,Pn.Hjh.Siti Minah bt.Mahamud,Guru Besar,SK Sri Laksamana,78300 Masjid Tanah.Melaka
Read more...
Jumaat hari kebesaran umat Islam

JIKA orang Yahudi selalu bermegah dengan hari Sabtu sebagai hari kebesaran mingguan mereka, orang Islam pula dengan hari Jumaat yang disifatkan penghulu segala hari dan hari raya mingguan umat Muslimin.
Jumaat mendapat penghargaan istimewa berbanding hari lain sehingga dalam al-Quran dinamakan satu surah iaitu al-Jumu'ah yang diturunkan di Madinah dengan 11 ayat.
"Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (al-Jumu'ah:9)
Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, ia dinamakan surah al-Jumu'ah (hari Jumaat) kerana pada ayat 9, Allah Taala memerintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan urusan kerja masing-masing seperti berjual beli.
Kitab itu menerangkan, dalam ayat terbabit Allah Taala menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Muhammad s.a.w serta memerintahkan supaya mengadakan satu solat khusus menandakan kebesaran hari Jumaat menggantikan sembahyang Zuhur.
"Dengan ayat ini dan berikutnya Allah Taala perintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja lain untuk mendengar khutbah dan mengerjakan solat Jumaat.
"Selesai solat Jumaat, mereka digalakkan untuk meneruskan usaha mencari rezeki sambil mengingati Allah.
"Mereka yang mematuhi ajaran Allah akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat," terang kitab itu.
Nabi s.a.w juga melalui hadisnya ada menjelaskan kemuliaan hari Jumaat sebagai hari raya mingguan umat Islam seperti dalam beberapa hadis yang dinukilkan dari kitab Ihya Ulumiddin karya Imam al-Ghazali.
Diriwayatkan Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah, maksudnya: "Bahawa ahli dua kitab itu (orang Yahudi dan Nasrani), diberikan kepada mereka hari Jumaat, maka bertengkarlah mereka, lalu berpaling daripadanya. Dan diberi petunjuk kita oleh Allah Taala untuk menerima hari Jumaat itu dan dikemudiankan oleh Allah memberikannya kepada umat ini dan dijadikannya menjadi hari raya bagi mereka. Maka adalah umat ini menjadi manusia yang lebih utama didahulukan dan ahli kedua kitab itu menjadi pengikutnya."
Melalui hadis lain Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari ialah hari Jumaat. Pada hari Jumaat, dijadikan Adam a.s., dia dimasuk ke syurga, diturunkan ke bumi, diterima taubatnya, dia meninggal dan berdirinya kiamat. Adalah hari Jumaat pada sisi Allah itu hari kelebihan. Begitulah hari Jumaat dinamakan oleh kalangan malaikat di langit iaitu hari memandang kepada Allah Taala dalam syurga." (Diriwayatkan Muslim dari Abu Hurairah)
Al-Ghazali dalam kitab terbabit berkata, hari Jumaat adalah hari besar dan agama Islam dibesarkan (dimuliakan) oleh Allah dengan sebab hari berkenaan.
Menurutnya, orang Islam dikhususkan dengan hari berkenaan dan diharamkan orang Islam melakukan urusan duniawi, malah setiap perbuatan yang menghalangi mereka daripada menghadiri masjid menunaikan solat Jumaat.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan atasmu solat Jumaat pada hariku ini, pada tempatku ini." (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Jabir)
Hadis berkenaan secara tegas memaklumkan kepada orang Islam mengenai kewajipan meraikan keistimewaan hari yang mulia itu dengan melakukan solat Jumaat. Sesiapa yang berkewajipan, tetapi tidak menunaikannya dikira berdosa.
Malah, Rasulullah s.a.w mengingatkan mereka yang sengaja meninggalkannya melalui sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa halangan, nescaya dicap oleh Allah pada hatinya." (Riwayat Ahmad)
Satu kisah diceritakan. "Datang seorang lelaki kepada Ibnu Abbas, menanyakan mengenai orang yang mati tidak menghadiri Jumaat dan solat Jumaat.
Lalu jawab Ibnu Abbas: "Dalam neraka."
Orang itu berulang kali menemui Ibnu Abbas selama sebulan lamanya, menanyakan yang demikian. Tetapi Ibnu Abbas tetap menjawab: "Dalam neraka."
Daripada hadis yang diriwayatkan Anas daripada Nabi s.a.w bahawa Nabi bersabda: "Datang kepadaku Jibril a.s dan pada tangannya sebuah cermin putih, seraya berkata: 'Inilah Jumaat, yang diwajibkan atas engkau oleh Tuhan engkau, untuk menjadi hari raya bagi engkau dan umat engkau sesudah engkau.'"
Lalu aku berkata: "Apakah yang ada untuk kami pada hari Jumaat itu?"
Jawab Jibril: "Engkau mempunyai waktu yang baik. Sesiapa berdoa padanya kebajikan, nescaya dianugerahkan dia oleh Allah atau dia tiada memperoleh bahagian, maka disimpankan oleh Allah bahagiannya yang lebih besar.
"Atau berlindung ia daripada kejahatan yang telah dituliskan kepadanya, nescaya dilindungi Allah yang lebih besar daripada kejahatan itu. Hari Jumaat adalah penghulu segala hari pada kita. Kita bermohon kepada Allah pada hari akhirat, akan menjadi hari kelebihan."
Lalu aku bertanya: "Mengapa demikian?"
Maka jawab Jibril a.s: "Sesungguhnya Tuhan engkau Azzawajalla telah menjadikan dalam syurga sebuah lembah yang luas, dari kasturi putih. Maka apabila datang hari Jumaat, nescaya turunlah ia dari syurga yang tinggi di atas kerusinya.
Lalu jelaslah ia kepada mereka, sehingga mereka memandang kepada wajahnya yang mulia." (Diriwayatkan as-Syafie dan at-Tabrani daripada Anas, isnad daif)
Dalam hadis lain dinyatakan: "Bahawa tiap-tiap hari Jumaat Allah Azzawajalla mempunyai enam ratus ribu orang yang dimerdekakan dari api neraka."
Pada hadis yang diriwayatkan Anas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila selamatlah hari Jumaat, nescaya selamatlah segala hari."
Bersabda Nabi s.a.w, maksudnya: "Bahawa neraka jahim itu menggelegak pada tiap-tiap hari sebelum tergelincir matahari pada tengah hari di puncak langit. maka janganlah kamu mengerjakan solat pada saat itu, selain hari Jumaat. Maka hari Jumaat itu adalah solat seluruhnya dan neraka jahanam tiada menggelegak padanya."
Berkata Kaab: "Bahawa Allah Azzawajalla melebihkan
Makkah dari segala negeri, Ramadan dari segala bulan, Jumaat dari segala hari dan Lailatul Qadar dari segala malam. Dan dikatakan bahawa burung dan haiwan yang berjumpa satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan: "Selamat, hari yang baik."
Nabi bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malamnya, nescaya dituliskan Allah pahala syahid dan dipeliharakan Allah daripada fitnah kubur."
Di dalam buku Fatwa-fatwa Terkini oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Syeikh Abdullah bin Abdurahman al-Jibrin dan Syeikh Saleh bin Fauzan al-Fauzan ada menyatakan hari raya yang disyariatkan sudah diketahui kaum Muslimin iaitu Aidilfitri dan Aidiladha serta hari raya mingguan.
Hari raya mingguan yang dimaksudkan itu ialah hari Jumaat. Dengan ini tidak ragu lagi Jumaat adalah hari yang cukup besar dalam Islam.
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
Read more...
13 August 2009
Khasiat buah 'superstar'

DR NORZITA menunjukkan cara makan kiwi.
KUALITI udara kurang baik dan serangan Influenza A (H1N1) hari ini memerlukan setiap individu meningkatkan tahap imun atau kekebalan tubuh bagi menentang penyakit tidak diingini. Tahap imun rendah mendedahkan kepada risiko penyakit dengan tanda ringan seperti demam, selsema dan batuk berpanjangan.
Pengamal Perubatan Holistik dan Antipenuaan, Dr Norzita Mohd Yusof, berkata orang ramai perlu diberikan kesedaran mengenai kepentingan meningkatkan tahap imuniti pada waktu kritikal ini sebagai perisai untuk melawan penyakit.
“Sementara menanti vaksin H1N1 yang dijangka siap September ini, sebaiknya tahap imuniti ditingkatkan secara semula jadi. Antara caranya melalui diet seimbang dan gaya hidup sihat seperti bersenam dan tidak merokok. Cara paling mudah meningkatkan tahap kekebalan diri ialah dengan memakan banyak buah-buahan mengandungi antioksida bagi menentang radikal bebas,” katanya.
Beliau berkata, buah kiwi adalah antara yang terbaik untuk menentang radikal bebas berbanding betik, oren mahupun epal kerana mengandungi antioksida yang tinggi. Kandungan vitamin C dalam sebiji kiwi adalah bersamaan dengan dua biji oren serta tiga biji epal. Selain itu, kiwi juga tinggi kandungan asid folik yang bersamaan dengan empat biji aprikot.
“Kiwi digambarkan sebagai buah ‘superstar’ dekad ini kerana kehebatannya dari segi khasiat pemakanan. Kadar kemampatan nutrien dalam setiap 100 gm kiwi adalah tinggi berbanding epal dan pisang. Ia juga kurang garam dan tinggi potasium selepas betik. Kajian menunjukkan kiwi mampu meningkatkan tahap imuniti kerana kandungan vitamin C larut air dan vitamin E larut lemak yang meningkatkan tahap antioksida dalam badan,” katanya.
Kandungan asid folik membina sel darah merah, sangat berguna untuk wanita hamil bagi mengurangkan risiko spina bifida. Magnesium dan potasium pula adalah mineral penting untuk jantung serta mampu menstabilkan tekanan darah. Kiwi juga mengandungi enzim yang boleh membantu mencernakan makanan dalam usus. Kandungan fiber atau serat yang tinggi mengelakkan masalah sembelit.
“Sembelit antara punca pelbagai masalah penyakit. Apabila najis berkumpul dalam usus, ia menyebabkan toksin berkumpul dan menurunkan sistem imuniti yang menyebabkan seseorang mudah diserang penyakit seperti batuk, selsema atau alahan. Kandungan beta kerotin di dalam kiwi juga membantu untuk melawan radikal bebas dan bertindak sebagai anti oksida serta anti barah. Kajian di Itali menunjukkan kiwi mampu mengurangkan risiko lelah sebanyak 24 peratus dan mengandungi probiotik yang baik untuk membiakkan bakteria baik di dalam usus yang mengurangkan masalah sembelit,” katanya.
Kiwi tergolong dalam keluarga berri yang berasal dari kebun di China. Ia kemudian dibawa oleh Isabel Fraser yang memperkenalkan pelbagai buah kiwi, kini dikenali sebagai kiwi hijau ke New Zealand sebaik pulang dari China dengan benih ‘yang tao’ pada 1904. New Zealand mula menanam buah kiwi pada 1910 dan selepas 24 tahun, ia ditanam di Bay of Plenty, kawasan yang menerima hujan mencukupi dengan tanah gunung berapi yang subur. Ia dikenali sebagai Zespri yang masih ditanam sehingga ke hari ini.
“Terdapat dua jenis kiwi iaitu kiwi kuning emas dan kiwi hijau yang berwarna zamrud. Kedua-duanya baik dan mengandungi khasiat yang sama banyak. Kiwi kuning emas kurang berbulu pada kulit yang membolehkan anda makan dengan kulitnya sekali. Rasanya seakan mangga tropika, manakala kiwi hijau berbulu kulitnya dan rasa masam manis.
“Bagi menikmati khasiatnya, sebaiknya makan dua biji kiwi segar sehari iaitu sebiji buah kiwi emas pada waktu pagi dan sebiji kiwi hijau pada sebelah petang. Tidak perlu mengupas kulitnya sebaiknya hanya dibelah dua dan dimakan bersama sudu kecil yang disertakan. Hanya skop dengan sudu dan makan,” katanya.
Memilih kiwi berkualiti penting bagi memastikan kandungan khasiatnya kekal. Pastikan kiwi tidak lebam dan pegang dengan hujung jari pada bahagian atas dan bawah kiwi untuk memastikan kiwi lembut dan cukup masak. Pastikan ia hanya dipotong apabila ingin dimakan. Jangan biarkan isi kiwi terdedah kerana kandungan khasiatnya boleh berkurangan. Kiwi boleh disimpan di dalam peti sejuk antara dua hingga tiga hari. Sekiranya membeli kiwi belum cukup masak, anda boleh menyimpannya di dalam plastik bersama pisang kerana pisang akan mengeluarkan gas untuk membuat kiwi cukup masak.
Info:
Kebaikan dan khasiat kiwi:
Tinggi kandungan vitamin C
Penting sebagai perisai untuk melawan demam dan selsema. Ia meningkatkan imuniti dan mengurangkan risiko jatuh sakit.
Kaya mineral
Potassium boleh mengurangkan tekanan darah tinggi dan membantu memulihkan saraf dan otot. Kiwi juga mengandungi kalsium, fosforus, magnesium, selenium, tembaga, zat besi dan zink. Asid folik penting semasa hamil dan perkembangan bayi serta diperlukan untuk kulit mahupun sel darah sihat.
Penuh vitamin E
Memiliki antioksida, polifenols dan karotenoids ia melindungi anda daripada radikal bebas, merendahkan kolesterol dan memperbaiki tisu kulit rosak.
Serat sama banyak dengan tiga batang seleri.
Membantu meningkatkan sistem penghadaman serta jantung sihat.
Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
Read more...
12 August 2009
Jangan tutup lampu itu!

Mungkin pelik jika kita memikirkan konsep dan tujuan bermalam di dalam muzium. Namun, bagi yang mahukan pengalaman baru apabila bertandang ke Melaka, tarikan pelancongan ini menggabungkan rasa seronok, janggal dan seram!
SEJURUS diberitahu tentang pengisian program ini, fikiran sudah melayang ke turutan babak yang penuh kejutan dan aksi seperti yang pernah ditayangkan dalam filem terbitan Hollywood, Night At The Museum dan juga sekuelnya.
Mungkinkah ada, kalau tidak banyak, sedikit keterujaan bakal dialami seperti watak pegawai keselamatan yang dijayakan aktor Ben Stiller itu?
Jika tiada rangka dinosaur yang berlari mengejar mangsanya, atau sekumpulan figura sejarah kecil yang tiba-tiba 'hidup' dan mampu berinteraksi, pasti ada keistimewaan lain yang bakal mengisi aktiviti unik ini.
Namun begitu, kru Jurnal yang diberi peluang merasai pengalaman bermalam di Muzium Samudera, Bandar Hilir, Melaka baru-baru ini tidak mahu terlalu jauh berimaginasi.
"Anda akan merasai pengalaman tidur bersama pelbagai artifak yang berusia ratusan tahun. Mungkin nanti ada yang tidur di sebelah patung Hang Tuah, mungkin juga ada yang tidur di sebelah replika berunsur sejarah yang menyimpan pelbagai kisah," kata Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas.
Mendapat kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Melaka, Hotel Naza serta Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka, Khamis memberitahu bahawa program itu bertujuan mendekatkan orang ramai kepada artifak, kisah sejarah dan urutan peristiwa yang membentuk karakter budaya Melaka pada hari ini.
DALAM suasana suram dan gelap, seseorang perlu memikirkan perkara yang seronok untuk dilakukan sendirian.
RAMAI peserta yang pada mulanya berasa curiga akhirnya mampu untuk melelapkan mata dan tidur dengan nyenyak
Tambah beliau, terdapat 21 muzium dan enam galeri di Melaka di bawah pentadbiran Perzim yang kebanyakannya terletak di kawasan Tapak Warisan Dunia di Bandar Hilir.
Sewaktu memperkenalkan nama dan latar belakang setiap muzium tersebut, Khamis sempat bercerita mengenai salah sebuah muzium yang dikatakan telah dihuni oleh sekumpulan makhluk halus lantaran sudah 16 tahun terbiar kosong.
"Ketika usaha mengubah fungsinya mula dibuat, kami terpaksa akur dengan kehadiran 'entiti' yang tinggal di dalamnya. Kami terpaksa memindahkannya dengan meminta bantuan orang yang pakar dalam hal tersebut," ujar beliau.
Saat mendengarkannya, para peserta program pun berpandangan sesama sendiri. Ada yang berkerut dahi kerana sudah membayangkan kalau-kalau ada 'gangguan' sewaktu bermalam di Muzium Samudera pada malam nanti. 
MUZIUM replika kapal Flor de La Mar ini menyimpan pelbagai artifak bersejarah.
Bagi sebahagian peserta lain yang suka menduga kehadiran unsur mistikal, inilah masanya. Belum cuba belum tahu!
Dari sungai ke perut kapal
TANGAN patung yang mengundang seram jika tersentuh dalam gelap.
Malam itu, kami (peserta program) dibawa menyusuri Sungai Melaka dengan bot siar. Ramai yang leka menyaksikan panorama sekeliling sambil telinga peka mendengar penerangan tentang bangunan lama, trivia masyarakat dan kisah perdagangan lampau di sepanjang lengkok sungai itu.
Semua cerita itu suatu kompilasi maklumat yang menarik untuk dihayati hinggakan tidak sedar kami sudah tiba ke muara sungai.
Dari pangkalan bot, pandangan mata masing-masing sudah tertumpu pada Muzium Samudera yang disimbah cahaya benderang. Tersergam dalam aura silam yang misteri, replika kapal Flor de La Mar itu begitu menonjol dilatari langit malam.
Di dalam perut kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan lapan meter lebar itulah tubuh yang letih berwisata ini akan tinggal semalaman.
"Sejak program ini diperkenalkan Januari lalu, kami menerima pelbagai reaksi. Ada yang panik apabila terdengar bunyi-bunyian aneh termasuk suara wanita mengilai atau terhidu bau kemenyan.
"Namun tiada apa yang perlu dibimbangkan. Segala perasaan curiga dan gerun akan berakhir dengan keseronokan. Mereka juga tidur nyenyak seperti bayi," ujar pemandu pelancong, Shaukani Abbas yang sentiasa kreatif dengan pelbagai gimik.
Selepas menikmati kudapan lewat malam yang disediakan penganjur, kami ditunjukkan tempat tidur masing-masing. Suasana menjadi gelap dalam muzium menjelang tengah malam setelah pintu dikunci dan peserta ditinggalkan.
"Jangan padam lampu itu! Saya takutlah," kata satu suara.
Penulis cuba memejam mata dan membiarkan deria pendengaran menjadi sensitif. Memang tiada yang aneh dikesan, melainkan sayup-sayup kedengaran suara dendangan malam dari sebuah warung karaoke terbuka yang terletak 100 meter dari lokasi muzium. Oh, suara mak cik yang menyanyi off key nyata lebih menakutkan!
Berjalan sendirian
Jarum jam menunjukkan waktu 3.30 pagi, penulis masih segar terjaga, walaupun tidak dapat menafikan tubuh yang lenguh kerana kepadatan aktiviti pada siang harinya.
Apabila teringat akan kata-kata Shaukani yang
memberitahu bahawa peserta program bebas untuk bergerak di dalam ruang pameran muzium ketika bermalam, penulis bingkas bangun.
Dalam kegelapan suasana dan hanya diterangi lampu-lampu suram di sudut tertentu untuk membimbing langkah, penulis berjalan menyusuri lorong-lorong dan tangga. Sekali-sekala lengan dan kaki terasa menggigil, bukan kerana memikirkan yang bukan-bukan, tetapi kerana berjalan melewati corong hembusan pendingin hawa.
Dengan bertemankan lampu suluh kecil, penulis bersendirian melihat ke segenap ruang pameran. Daripada carta, gambar-gambar, artifak hinggalah ke diagram, sempat juga penulis menyingkap semula kisah sejarah kelautan dan pergolakan politik maritim di negeri itu suatu masa dahulu.
Tiba-tiba penulis terpijak suatu yang sejuk dan lembut. Berderau darah dan hampir terjerit jadinya kerana objek itu memberi reaksi dengan menepuk kaki penulis.
"Siapa yang pijak aku ni?" tegas suara itu. Penulis ketawa sendiri dan meminta maaf. Rupa-rupanya yang dipijak itu adalah tangan seorang teman media yang baru hendak dibuai mimpi. Di sudut-sudut gelap, habis semuanya dilanggar dan dipijak!
Tidak mahu insiden itu berulang, langkah dituju kembali ke arah tempat tidur penulis. Waktu ketika itu ialah 5.30 pagi. Tinggal satu jam setengah lagi petugas muzium akan mengejutkan peserta program untuk dibawa kembali ke Hotel Naza.
Dalam percubaan terakhir untuk mencari kehangatan dan keselesaan di bawah selimut, penulis terus memujuk diri untuk lena. Wahai mata, tidurlah. Eh, bunyi apakah itu?
Read more...
11 August 2009
Kristal yang menyakitkan

<
PUNDI hempedu merupakan organ badan yang terdiri daripada karung kecil berbentuk buah pear yang terletak di bawah bahagian kanan hati. Jus hempedu yang dirembeskan oleh hati disimpan sehingga diperlukan oleh tubuh bagi penghadaman lemak. 
INILAH fizikal batu hempedu yang dikeluarkan dari pundi hempedu yang gagal berfungsi dengan baik
Meskipun bahagian ini jarang diberi perhatian, namun kegagalan pundi hempedu berfungsi sebaiknya akan menyebabkan kemudaratan yang cukup berbahaya. 
Menurut Pakar Pembedahan Hepatobiliari Klinikal Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Hairol Othman, kesakitan yang dialami bukan sahaja melibatkan bahagian abdomen malah terasa sehingga ke tulang belikat. 
Gejala yang sering dihadapi adalah radang pada pundi hempedu berkenaan. Ini berlaku apabila batu terbentuk di dalam pundi hempedu pesakit. Keadaan menjadi kritikal sekiranya batu tersebut tersekat dan menghalang jus hempedu daripada dirembes keluar.
Beliau menjelaskan, terdapat dua faktor utama terjadinya batu dalam pundi hempedu iaitu kolesterol dan kalsium bilirubinate yang tinggi dalam badan.
“Batu hempedu terbentuk apabila kolesterol dan garam hempedu menjadi tepu. Ia akan membentuk kristal dan lama-kelamaan akan membesar lalu menjadi batu,” ujarnya.
Kesakitan yang dialami oleh pesakit biasanya disebabkan batu tersebut bergesel pada dinding pundi hempedu. Seringkali terjadi apabila seseorang itu mengambil makanan berlemak, pundi hempedu akan mengecut untuk merembeskan jus hempedu ke dalam usus untuk ‘meleburkan’ lemak tersebut. 
BATU hempedu ditarik keluar dengan menggunakan endoskopi.
Jika batu hempedu tersekat di pangkal pundi hempedu, ini membolehkan berlakunya radang pundi hempedu. Lebih parah jika serpihan batu hempedu tersumbat pada saluran hempedu yang menyambungkan pundi tersebut pada usus. Ia seterusnya akan menyebabkan jaundis.
“Kerana itu, ramai antara pesakit yang mengalami penyakit kuning (jaundis) jika lambat menerima rawatan,” katanya.
Tambah Hairol, batu hempedu terdiri daripada tiga jenis iaitu batu hempedu kolesterol, pigmen dan campuran kedua-duanya yang dapat diketahui melalui warna.
“Batu kolesterol biasanya berlaku di kalangan masyarakat Barat, lembut serta berwarna kuning seolah-olah tanah liat,”
“Batu pigmen pula terdapat pada mereka yang menghidap penyakit berkaitan darah seperti anaemia hemolitik dan berwarna hitam serta agak keras,” jelasnya.
Bagi batu bercampur pula, kriterianya mirip kedua-dua batu tadi. Jenis ini selalunya terdapat di kalangan masyarakat Asia yang disebabkan oleh jangkitan atau pemakanan yang mengandungi kolesterol dan kalsium tinggi.
Justeru, tidak kira besar atau kecil saiz batu hempedu, ia perlu dibuang dengan teliti bagi mengelakkannya tersumbat atau beralih dan terlekat pada salur hempedu.
Rawatan
Proses bagi membuang pundi hempedu beserta batu-batu hempedu di dalamnya boleh dilakukan menerusi kaedah kolesistektomi laparoskopik .
“Di PPUKM, kami menggunakan kolesistektomi laparoskopik iaitu dengan memasukkan kamera melalui luka di bahagian pusat dan tiga lagi luka kecil di bahagian atas abdomen untuk mengeluarkan pundi hempedu berkenaan,” jelas Hairol.
Tambahnya, kaedah pembedahan lubang kekunci tersebut memiliki beberapa kelebihan iaitu ia lebih selamat, kurang meninggalkan kesan parut dan tempoh pemulihan yang lebih pantas.
Pencegahan
Corak dan gaya hidup adalah faktor utama dalam mencegah masalah pembentukan batu hempedu.
“Ia melibatkan cara hidup kita, terutama melibatkan aspek pemakanan. Hanya itu caranya untuk mencegah kewujudan batu hempedu tepu kolesterol dalam pundi,” tegas Hairol.
Menurutnya lagi, makanan yang mengandungi kolesterol seperti makanan segera, berminyak dan berlemak adalah penyumbang utama dalam masalah pundi hempedu ini
Disebabkan faktor tersebut, mengikut statistik, 15 hingga 20 peratus daripada populasi masyarakat akan mendapat masalah batu hempedu terutama di negara Barat.
Dalam pada itu, jus hempedu dihasilkan oleh hati dan jus hempedu yang dikeluarkan setiap hari boleh menampung keperluan badan.
Walaupun hempedu dibuang, Hairol menjelaskan tiada kesan sampingan pada sistem tubuh manusia biarpun dengan ketiadaan organ tersebut.
Oleh SHANIKA ABDULLATIB
Read more...
10 August 2009
Rahsia Dahi dan Personaliti Wanita

Gambar Hiasan.
“Hai..pantang tengok yang berdahi licin sikit. Mulalah nak ‘test power!’” Tentu kamu cukup ‘familiar’ dengan kata-kata seperti di atas tu ? Selalunya orang mengaitkan ‘dahi licin’ dengan perempuan yang cantik dan menawan. Itu sekadar ungkapan saja kan? Bercakap soal dahi ini,tahukah kamu bahawa dengan memandang dahi seseorang saja sudah terungkap lagi rahsia pada diri kamu! Bahayakan..Jadi lain kali sesiapa yang dahinya agak luas tu cepat-cepatlah ‘cover’kannyer sikit.Kalau tidak tentu ada yang boleh menilik perangai dan tingkah laku kamu walau pun baru pertama kali bersua. Kalau kamu nak tahu apa rahsia yang tersirat mengenai dahi kamu tu hah… cubalah baca artikel ini hingga habis.Baca tau, jangan tak baca! Tapi seperti biasa, ada syaratnya. Kenal pasti dulu bentuk dahi kamu tu! Tak susah kan? Siapa cakap susah?
Dahi Jendol
Dahinya agak luas dan seolah-olah ‘benjol’ ke hadapan sedikit. Tapi jangan ingat,orang yang berdahi jendol ini tak cantik tau! Kalau kena gaya rambutnya, memang cantik. Jangan pula asyik mengikat rambut ke belakang. Dahlah dahi tu jendol. Tentu agak ‘buruk’ rupanya. Tapi itu tak penting. Yang penting, apa rahsia disebalik bentuk dahi itu? Sebenarnya si Jendol ni mempunyai keistimewaan tersendiri. Dahi jendol melambangkan bahawa si pemiliknya mempunyai kecergasan yang tinggi. Mereka juga rajin dan cekal dalam usaha mereka untuk mencapai apa yang dihajati dalam hidup. Sifat tanggungjawab mereka juga cukup jelas kerana tiap tanggungjawab yang diberikan pasti akan sangat. Selain itu,mereka juga pandai bergaul danmenempatkan diri mereka didalam apa situasi sekalipun. Tiap manusia ini kan ada kelemahannya. Bagi pemilik dahi sebegini,mereka dikatakan terlalu setia pada cinta hingga boleh membuatkan diri mereka sendiri yang merana. Sekali dia jatuh cinta, sukar untuk dia melepaskan ‘burung’ di dalam genggaman walaupun dia sedar pilihannya itu punya banyak kelemahan! Hai.. untunglah sesiapa yang menjadi kesayangan mereka ni. Tapi usahlah setia ‘membuta’ sangat. Nanti diri yang tewas dan berendam air mata! Setialah pada yang juga benar-benar setia pada kamu! Satu lagi kelemahan mereka ini, punya rasa percaya dan yakin pada diri yang sangat rendah. Sebabitulah mereka perlukan dorongan!
Dahi sempit
Sebahagian dahinya dipenuhi dengan anak-anak rambut yang banyak hingga membuatkan ruang dahinya kelihatan kecil saja. Sifat mereka ini, suka sangat berdikari dan tak suka bergantung pada orang lain. Bagi mereka, tak ‘mati’ kalau hidup sorang- sorang pun. Mereka juga tak mudah menyerah kalah dalam apa juga yang dilakukan. Nampak saja dahi sempit, tapi jiwa dan semangat tak ’sempit’! Kamu yang memiliki dahi ini tentunya bangga bila baca rahsia dahi sebegini. Dikatakan mereka yang berdahi sempit jarang mendapat kesukaran dalam urusan pembelajarannya. Sebaliknya, entah mengapa mereka agak sukar mencari pasangan/kekasih!
Dahi lebar
Wah! Saiz dahinya agak ‘lapang’ dan luas. Kadangkala mereka punya bentuk muka yang kecil tapi saiz dahi membuatkan wajah mereka agak ‘lebar’ di bahagian atasnya. Biasanya mereka ini lebih suka bersikap pendiam dan lebih suka membuat hal sendiri saja. Tapi ini bukan bermakna mereka ini tak suka berkawan. Sebenarnya mereka jarang suka memulakan bicara terlebih dahulu. Kalau ada yang mulakan, boleh saja! Selain itu mereka juga sangat pakar dalam soal ’simpan menyimpan’ ini. Jadi tak hairanlah kalau mereka ini mempunyai banyak wang simpanan! Bagus lah tu, sebagai jaminan masa depan.
Dahi bersegi
Ha! Si dahi bersegi ini rupanya kuat bekerja rupanya. Segala kerja yang dilakukan itu pasti akan dilakukan dengan tekun sekali. Mungkin sebab itu juga dia pasti lebih menonjol daripada teman-teman yang lain di sekolah/pejabat. Kelemahan diri mereka pula,mereka tidak mempunyai ramai teman memandangkan sikap mereka sendiri yang suka memilih teman. Hai..pilih bulu nampak? Mereka juga sukar menjalinkan kemesraan dengan orang lain kerana sikap mereka yang agak kaku memulakan perbualan.
Dahi berbentuk ‘M’ atau ‘hati’
Kuat imaginasi rupanya kamu ni yek! Pantang ada kelapangan asyik nak berangan saja. Sebab itu tak hairanlah kalau mereka ini suka menyendiri. Tapi itu tak bermakna mereka tak suka bergaul tapi mereka lebih ’serasi’ dengan orang-orang yang ’sekepala’ dengan mereka juga. Mereka juga dikatakan sangat beruntung dalam hidup. Ada saja ‘rezeki’ yang mereka dapat. Dah nasib badankan! Kelemahan mereka pula, tidak suka menjadi ketua kerana bagi mereka ia terlalu membebankan dan tidak mampu untuk dipikul. Selain itu,mereka juga’mulut tempayan’ dan sukar simpan rahsia! Jadi awas sebelum kamu ‘membuka’bicara di hadapan mereka. Kalau kamu hendak berita itu ’satu dunia tahu’,bolehlah kamu khabarkan pada mereka! Rahsia sudah bukan rahsia lagi!
Dahi dengan juntaian anak rambut
Rambutnya dibiarkan berjuntaian di dahinya. Mereka dikatakan seorang yang bijak serta sangat pemurah. Mereka juga suka memberikan pertolongan kepada teman – teman yang memerlukan hinggakan kadangkala mengenepikan kepentingan sendiri. Itu menyebabkan ramai yang menyayangi mereka.Kelemahan diri pula, mereka agak boros dalam soal berbelanja. Tak hairanlah,asyik ‘over budget’ saja! Mereka juga sukar bersikap tegas dan lembut hati. Itu menyebabkan mereka mudah dipengaruhi hingga dipergunakan oleh orang lain.
(Koleksi Pegawai KGSK PPD Jasin)
Read more...
09 August 2009
Sedap atau sihat

“BERALIHLAH daripada makanan sedap kepada makanan sihat. Kebanyakan makanan sedap boleh menjadi makanan sihat jika kena caranya iaitu bermula daripada pemilihan bahan, penyediaan, kaedah memasak dan makan. Makanan harian sebenarnya boleh menjadi ubat atau pelindung daripada pelbagai penyakit.
“Banyak individu dan keluarga menderita kerana penyakit. Malah yang menyedihkan ialah, semakin ramai golongan muda menghidap penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi dan sesetengah jenis kanser, sedangkan ia boleh dicegah melalui penjagaan pemakanan harian,” kata aktivis kesihatan sosial yang juga Pegawai Penyelidikan Pusat Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Lim Hin Fui.
Kajian membuktikan banyak penyakit hari ini disebabkan gaya hidup dan tabiat pemakanan tidak sihat. Dianggarkan 15 hingga 25 peratus rakyat Malaysia mungkin mendapat kanser dan setiap jam kira-kira enam orang diserang angin ahmar atau strok.
Lebih 50 peratus golongan dewasa berumur 40 tahun ke atas menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit dan antara penyakit kronik paling lazim ialah kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Meskipun jumlah pesakit kronik bertambah setiap tahun, ia belum dapat menimbulkan kesedaran masyarakat untuk berubah kerana ramai menganggap penyakit berbahaya itu hanya berlaku kepada orang lain dan tidak akan menimpa mereka.
Bahkan kita juga bangga dengan budaya menjamu yang semakin kukuh dalam masyarakat kita. Dalam sebarang aktiviti, termasuk perjumpaan mahu pun mesyuarat kecil, pasti dilengkapi dengan makanan; sekurang-kurangnya teh tarik serta kuih muih walaupun ia diadakan sejurus selepas waktu makan tengah hari.
Menurut Dr Lim, makanan mempunyai dua ciri iaitu positif (menyihatkan badan dan memulihkan penyakit) atau negatif (menyebabkan penyakit).
Sama ada membawa faedah atau padah, jangan salahkan makanan kerana kuasa memilih ada di tangan kita dan kita yang bertanggungjawab terhadap tahap kesihatan diri.
Kegemukan adalah hasil pertama daripada amalan pemakanan tidak sihat yang menjadi pencetus kepada pelbagai masalah kesihatan lain kerana mengandungi banyak toksik.
Beliau berpendapat, makanan tidak sihat ini mengandungi banyak bahan toksik yang akhirnya merosakkan badan dengan mengakibatkan masalah obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi, angin ahmar, sakit jantung, kanser dan lemah tulang.
Katanya, penyakit tidak menyerang mendadak tetapi datang perlahan-lahan dalam tiga peringkat iaitu badan menjadi kurang selesa, mengalami gangguan pada bahagian tertentu dan akhirnya menyebabkan masalah pada seluruh badan hinggalah ia disahkan doktor.
Kira-kira 90 peratus masalah kesihatan berpunca daripada makanan yang mengakibatkan sistem pertahanan badan menjadi lemah.
Badan kita membabitkan kira-kira 60 trilion sel kecil termasuk sel darah, lemak, otot dan kulit. Pengumpulan toksik menyebabkan sel ‘demam’ dan akhirnya berlaku pelbagai masalah kesihatan.
Antara sumber bahan toksik ini ialah:
Makanan berasid
Terlalu banyak mengambil ubat moden
Terlalu banyak lemak
Kolesterol
Pencemaran alam sekitar
“Apabila ditimpa penyakit, orang berbeza pendapat. Ada yang menganggap ia disebabkan faktor cuaca atau genetik, daya ketahanan badan yang lemah, tekanan, konflik, kurang bersenam, tidak cukup tidur dan rehat atau pencemaran alam sekitar. Bahkan ada yang menerimanya sebagai takdir, sedangkan kita boleh berusaha mengurangkan risiko mendapat penyakit.
“Banyak jenis makanan boleh dikaitkan dengan penyakit, umpamanya makanan berlemak dan kolesterol tinggi menyebabkan penyakit jantung dan strok, manakala makanan mengandungi banyak garam boleh merangsang kenaikan tekanan darah yang akhirnya membawa kepada pelbagai masalah lain,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena sambutan Bulan Kesihatan anjuran FRIM.
Formula untuk sihat
Untuk menjadi sihat, Dr Lim menyarankan enam panduan iaitu:
Bertukar kepada jenis makanan yang menyihatkan
Buat perubahan secara perlahan-lahan; satu persatu
Fahami kesan detoksifikasi (penyingkiran toksik dari badan)
Laksanakan amalan pemakanan yang baru ini dengan yakin
Mulakan bersenam
Kuatkan pegangan rohani (keagamaan)
Untuk sihat, pemakanan kita harus mengandungi 80 peratus makanan bersifat alkali dan 20 peratus lagi makanan bersifat asid bagi meningkatkan daya ketahanan badan. Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya iaitu 80 peratus makanan bersifat asid dan hanya 20 peratus makanan beralkali.
“Semua makanan yang dihadam dipecahkan kepada partikel kecil yang boleh bersifat asid, alkali atau neutral. Ia bergantung kepada kandungan galian di dalam makanan berkenaan.
“Individu yang mengambil banyak makanan bersifat asid lebih mudah jatuh sakit berbanding individu yang melebihkan makanan beralkali,” katanya.
Komposisi makanan yang disarankan ialah 60 peratus sayur-sayuran, 20 peratus buah-buahan, 10 peratus sumber karbohidrat dan 10 peratus lagi protein (lebih baik jika protein tumbuh-tumbuhan).
Walaupun tahu sayur dan buah itu penting, pengambilan serat harian kebanyakan rakyat Malaysia sekitar lima gram sehari. Komposisi ini membolehkan kita mencapai saranan pengambilan serat harian oleh sebanyak 20 gram sehari.
Makanan yang dianggap beralkali:
Sayur-sayuran segar
Buah-buahan segar
Bijirin (milet)
Kekacang dan produk kekacang
Jus buah segar
Makanan yang dianggap berasid:
Bijirin (beras perang, beras putih, gandum, oat)
Daging
Makanan laut
Ayam
Telur
Sayur-sayuran dan buah-buahan awet
Makanan dihasilkan daripada karbohidrat (roti, mi, biskut)
Makanan yang banyak menggunakan gula putih (ais krim, coklat, makanan dalam tin, sos)
Minuman contohnya susu diproses, dadih, kopi, minuman ringan dan berkarbonat
Susu dan produk tenusu
Bahan masak (bawang merah dan putih, halia, minyak haiwan dan lada)
Perubatan semula jadi
Bapa pakar perubatan moden, Hippocrates pernah berkata ‘makanan sihat adalah ubat paling baik’. Bagi Dr Lim, kata-kata ini terbukti apabila bapa mentuanya kini disahkan sembuh daripada kanser prostat selepas mereka sekeluarga mengubah corak pemakanan dengan melebihkan makanan beralkali dan mengurangkan semua jenis makanan mengandungi banyak bahan toksik.
Mereka sekeluarga juga lebih berhati-hati ketika memilih sayur di pasar. Pilihan mereka ialah sayur organik kerana kebanyakan sayur yang dijual di pasar menggunakan baja kimia dan racun serangga bagi memastikan ia kelihatan cantik dan bebas daripada dimakan serangga atau ulat.
Katanya, dua bahan ini boleh menambah beban pada badan, terutama hati yang berfungsi sebagai penapis bahan toksik.
Memahami kesan negatif daripada makanan yang dikelaskan sebagai berasid, Dr Lim berkata, secara perlahan-lahan mereka mengeluarkan daging, ayam, telur, makanan dalam tin dan semua makanan sejuk beku berproses daripada menu harian.
Ia digantikan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Dia sekeluarga juga memilih beras perang yang terbukti kaya khasiat dan ada banyak kelebihan berbanding beras putih.
“Menjaga makanan saja tidak cukup kerana perubatan semula jadi memerlukan pendekatan menyeluruh atau holistik yang membabitkan pembersihan badan, ketenangan minda dan rohani.
“Biasanya pendekatan holistik diambil apabila ubat moden tidak lagi berkesan atau tidak mahu mendapat kesan sampingan ubat moden. Namun kebanyakan orang menggabungkan rawatan moden dan tradisional.
“Pendekatan agama seperti bersembahyang juga penting untuk menenangkan fikiran dan jiwa. Ia secara tidak langsung mengurangkan tekanan dan meningkatkan tahap kesihatan seseorang,” katanya.
Kenali kesan detoksifikasi
Selepas tempoh tertentu mengamalkan pemakanan sihat, anda mungkin mengalami kesan detoksifikasi iaitu pengeluaran toksik dari badan. Namun jangan panik kerana ia bukan tanda penyakit, sebaliknya permulaan kepada kesihatan lebih baik.
Detoksifikasi boleh dilakukan dengan mengamalkan pemakanan sihat, minum teh hijau atau herba atau menggunakan kaedah penyingkiran toksik lain.
Menurutnya, kesan dialami mereka sekeluarga termasuk demam, hidung berair, batuk, sembap, perut terasa senak, sakit kepala (sedikit), najis menjadi cair dan badan menyingkirkan banyak lendir atau mukus.
Namun dalam tempoh ini anda tidak digalakkan mengambil ubat moden kerana ubat moden menghentikan proses detoksifikasi.
Sebagai permulaan untuk menyingkir toksik dari badan ialah meminum jus buah atau sayur (bersama seratnya) yang disediakan sendiri di rumah.
Permulaan pemakanan sihat
Dr Lim berkata, pemakanan sihat boleh dilakukan secara perlahan-lahan dan berperingkat. Antara perubahan mudah yang boleh dilakukan ialah:
Makan beras perang menggantikan beras putih. Bukan semua orang boleh menerima rasa beras perang. Jadi, anda boleh memasukkan sedikit (segenggam) beras perang ke dalam beras putih. Tambah kuantiti beras perang selepas satu tempoh tertentu. Kaedah ini bertujuan membiasakan lidah anda sekeluarga dengan rasa beras perang.
Ganti roti putih dengan roti gandum mil penuh (berserat)
Guna garam laut untuk menggantikan garam putih
Guna gula perang, madu atau molases bagi menggantikan gula putih. Gula putih dikatakan antara penyebab utama yang boleh melemahkan daya ketahanan badan.
Elak penggunaan monosodium glutamat (MSG)
Kurangkan penggunaan sos soya dan sebarang sos lain kerana ia mengandungi banyak garam
Kurangkan pengambilan daging, ayam dan telur; lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Ini kerana ayam dan daging mengandungi terlalu banyak protein dan lemak. Ayam pula mengandungi banyak antibiotik dan hormon pembesaran supaya anak ayam yang diternak boleh dipasarkan dalam tempoh 32 hari saja!
Hentikan mengambil makanan yang mempunyai pewarna dan perasa tiruan
“Orang Melayu sangat beruntung kerana secara tradisionalnya mereka mengambil banyak ulam. Ulam sangat baik kerana ia bukan saja kaya vitamin dan mineral (kalsium, fosforus, zat besi dan kalium) tetapi ia juga mengandungi antioksidan untuk melawan kesan radikal bebas yang merosakkan sel.
“Antara ulam yang kaya antioksidan ialah pegaga, selom dan ulam raja yang murah dan mudah diperoleh. Ia juga mengandungi enzim untuk menyihatkan sel.
“Selain itu banyak jenis sayur-sayuran kampung dan herba yang boleh membantu meningkatkan kesihatan seperti misai kucing, bunga kantan, daun kari, gajus dan jantung pisang.
“Amalan ini menjadikan kami sekeluarga jarang sakit dan tanpa disedari, berat badan kami turun perlahan-lahan tanpa perlu berdiet atau mengambil ubat. Lebih penting, ayah mentua saya sembuh walaupun tidak menjalani rawatan kemoterapi,” katanya.
Cari langkah pertama
Kita tidak perlu menjadi vegetarian, sebaliknya lakukan apa yang anda mampu untuk meningkatkan kesihatan. Anda masih boleh mengambil makanan kegemaran tetapi kurangkan kuantitinya dan lebihkan sayur dan buah. Selain itu ambil langkah pertama yang sesuai dengan anda seperti:
Minum jus buah atau sayur sekurang-kurangnya segelas sehari. Sebaiknya sediakan jus tanpa gula, jika mahu masukkan gula perang atau madu
Guna beras perang (campurkan segenggam beras perang setiap kali anda masak nasi. Ini untuk membiasakan lidah menerima rasa beras perang sebelum beralih sepenuhnya kepada beras perang)
Kurangkan penggunaan sos, kicap, garam dan gula dalam masakan; gantikan dengan rempah dan herba
Kurangkan daging, ayam dan telur
Kurangkan makanan bergoreng dan berlemak
Guna kaedah memasak yang lebih sihat seperti mereneh, kukus atau bakar berbanding goreng
Gantikan roti putih dengan roti gandum mil penuh (berserat)
Makan buah-buahan sebagai pembuka selera atau pencuci mulut. Hidangkan ia selepas makan bersama keluarga untuk membiasakan anak dengan corak pemakanan ini
Jadikan buah-buahan sebagai snek
Jadikan ulam atau sayur-sayuran sebagai bahan yang wajib ada dalam pinggan anda setiap kali makan.
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
Read more...