
SEBAHAGIAN daripada pelajar menunjukkan buku yang mereka hasilkan pada majlis pelancarannya di SMK Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor semalam
MENARIK. Siapa sangka, sebuah buku berjaya dihasilkan oleh 33 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor yang menampilkan 42 buah esei yang dikarang dan disunting sendiri tanpa bantuan guru.
Buku From Teens To Teens merupakan usaha bersama pelajar tingkatan 5A sekolah tersebut yang pada asalnya merupakan luahan para pelajar. Ia dijual pada harga RM4.90 senaskhah.
"Buku ini adalah lebihan esei yang dibuat oleh kami semasa cuti semester tahun lepas atas arahan guru.
"Daripada membazir, baik kami bukukan esei ini untuk dijadikan bahan bacaan rakan sebaya dan tanda kenangan kami sebagai pelajar sekolah ini," kata seorang pelajar yang terlibat, Nurul Azalea Azarae.
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
04 July 2009
Pelajar hasilkan buku 42 cerita pendek
03 July 2009
Lalat Dan Penyakit; Rasulullah Dan Saintis

Gambar Hiasan.
Hadis :
Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: " "Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat." Riwayat al-Bukhari
Huraian :
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya. Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah. Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya. Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini. Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.
Read more...
02 July 2009
Pupuk kerjasama sejak kecil elak polarisasi kaum
Gambar Hiasan.
Oleh Lee Lam Thye
PERANAN ibu bapa sangat penting. Mereka perlu bimbing anak-anak untuk memupuk persefahaman dengan rakan daripada pelbagai kaum dan agama.
Saya rasa ia amat relevan pada saat ini di mana isu polarisasi kaum di sekolah, pusat pengajian tinggi dan di kalangan golongan muda dan belasan tahun menjadi isu yang membimbangkan negara.
Hubungan antara kaum di sekolah boleh dieratkan dengan mengadakan pertukaran aktiviti akademik, sukan dan perkhemahan. Ia dapat memupuk persefahaman dan keharmonian kaum.
Polarisasi kaum bukan isu remeh yang dapat diselesaikan dengan mudah. Generasi muda kita mesti mempelajari dan menghayati kepentingan hidup yang harmoni sejak di bangku sekolah lagi.
Sewaktu sistem pendidikan diharap memainkan fungsi penting untuk memupuk perpaduan, ibu bapa juga bertanggungjawab menggalakkan anak-anak berinteraksi, bermain dan membesar bersama kanak-kanak daripada kaum dan agama lain. Ia adalah satu daripada usaha untuk memupuk persefahaman antara kaum.
Pelajar sekolah menjadi golongan paling utama untuk memecahkan halangan yang wujud dalam hubungan di antara kaum, memperbaiki integrasi dan menyumbang kepada integrasi.
Generasi muda kita perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan perpaduan kaum kerana ia adalah asas kepada kejayaan dan pembangunan negara.
Golongan pelajar adalah pemimpin masa depan. Oleh itu, amat penting untuk mereka memupuk hubungan lebih erat di antara kaum, budaya dan agama demi keharmonian negara.
Ibu bapa hari ini menghadapi pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak. Kemahiran keibubapaan dan teladan yang baik adalah keperluan terhadap pembangunan keluarga Malaysia yang bahagia.
Keluarga adalah unit asas dalam masyarakat. Keluarga bahagia adalah “nadi negara”. Dalam unit inilah, ibu bapa menyediakan suasana untuk membesarkan anak-anak. Membesarkan bukan sahaja bermaksud secara fizikal tetapi yang lebih penting ialah pembangunan psikologi dan penerapan nilai-nilai murni.
Ketika ini, 40 peratus daripada rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 18 tahun. Kira-kira separuh daripada kumpulan ini boleh digolongkan sebagai belasan tahun.
Jadi adalah amat penting untuk remaja belasan tahun ini diberikan peluang terbaik membesar sebagai orang dewasa yang mempunyai kepercayaan antara satu sama lain. Ini akan menyumbang kepada kebaikan untuk masyarakat.
Kebahagiaan menjadi ibu bapa membawa bersama tanggungjawab yang amat berat. Mudah untuk memperkatakan isu ini tetapi berat untuk dilaksanakannya.
Mereka yang mempunyai anak pasti tahu betapa susahnya membesarkan mereka. Kita bukan sahaja mesti menyediakan keperluan asas tetapi juga aspek kerohanian dan bimbingan moral.
Ibu bapa perlu menanam dan mempraktikkan nilai-nilai positif dan berkualiti sepanjang masa.
Nilai kejujuran, ketabahan, kesabaran, toleransi, ketekunan, keadilan, menghormati orang tua dan kesedaran sivik perlu diterapkan.
Ia menjadi asas kepada anak-anak untuk membina keyakinan diri dan ketabahan serta membezakan perkara yang baik dan sebaliknya.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
Read more...
01 July 2009
Lubuk virus

Pekerja di Los Angeles membawa sepanduk menggesa kerajaan memberi perlindungan keluarga berikutan penularan wabak selesema babi.
Selesema babi dijangka cetuskan semula wabak yang berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 serta menyebabkan jutaan penduduk dunia mati
TEMPOH lebih seminggu lalu mencatat titik hitam sejarah peradaban manusia moden yang biarpun dikelilingi pelbagai peralatan serba canggih tetapi terpaksa akur dengan ancaman virus 'ganas' haiwan dan terbaru, selesema babi.
Ketika dunia terus bergelut dengan ancaman selesema burung yang belum berkesudahan, kemunculan semula wabak yang pernah menggemparkan Amerika Syarikat pada 1976, dikesan seawal 13 April lalu di Mexico, jiran terdekatnya.
Dalam tempoh itu, lebih 1,000 kes dilaporkan di sekurang-kurangnya sembilan negara dengan lebih 100 kematian setakat ini.
Selesema babi atau jenis baru virus H1N1 yang menggabungkan genetik babi, manusia dan burung bukan setakat mendatangkan gejala seperti demam dan dijangkiti menerusi sentuhan langsung dengan babi selain tersebar dari manusia kepada manusia, namun boleh menyebabkan maut.
Berbanding haiwan lain, babi diketahui sebagai 'lubuk' pengeraman virus influenza dan boleh dijangkiti lebih daripada satu virus daripada spesies berbeza. Bahayanya, virus utama membabitkan babi sukar dikenal pasti kerana sistem imun atau daya tahan tubuhnya yang menyebabkan jangkitan serius dan mudah tersebar.
Apa yang membimbangkan, selesema babi bukan sekadar wabak bermusim, tetapi diramalkan pakar sebagai pandemik atau wabak besar-besaran di seluruh dunia.
Buktinya, kematian ramai di Mexico, negara pertama dan disyaki 'pusat' penularan wabak itu dan seterusnya merebak ke negara termasuk yang berstatus negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Kanada, New Zealand, Israel dan Sepanyol.
Ancamannya itu memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menaikkan aras amaran ke tahap lima, Khamis lalu - cuma satu aras di belakang tahap teratas amaran pandemik, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa selesema babi itu mungkin melarat kepada pandemik.
"Semua aspek kemanusiaan bakal terancam ketika berlaku pandemik," kata Pengarah WHO, Margaret Chan di Geneva.
Kenyataannya berserta langkah sewajarnya yang diambil kerajaan di hampir semua negara dunia bagi mengatasi penularan penyakit, mencetuskan persoalan mungkinkah selesema babi ini bakal melenyapkan manusia. 
Imej imbasan pelancong yang dirakam mesin pengesan suhu badan di lapangan terbang antarabangsa yang menjadi pintu masuk utama.
Apakah benar andaian ini? Apakah ia mampu mencetuskan wabak selesema di seluruh dunia seperti pernah berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 yang turut dicetuskan haiwan? Pada 1918 misalnya, pandemik Selesema Sepanyol meragut lebih 50 juta nyawa yang disifatkan kes terburuk dalam era sejarah moden. Kira-kira 39 tahun kemudian atau 1957, wabak Selesema Asia meragut empat juta nyawa hasil jangkitan daripada itik liar di selatan China yang menular ke Singapura, Hong Kong dan Amerika pada tahun sama. Sebelas tahun kemudian, wabak Selesema Hong Kong meragut lebih sejuta nyawa.
Jika dilihat, pandemik yang berasal dari perkataan Greek 'pan' merujuk semua dan 'demos' atau rakyat, diukur berdasarkan bilangan mereka yang terjejas serta fakta ia boleh menjangkiti mereka yang sihat, selain kumpulan berisiko seperti warga tua.
Andaian kemungkinan selesema babi mampu melenyapkan manusia dilontarkan seorang pakar wabak selesema global yang terkenal dari Universiti Minnesota, Amerika, Michael Osterholm.
Kebimbangannya itu disuarakan menerusi kenyataan yang dipetik kebanyakan media utama dunia: "Apa yang sukar sekarang ialah kita mungkin berdepan krisis kesihatan paling buruk atau mungkin sekadar akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan tidak muncul-muncul lagi.
"Atau ia mungkin menjadi permulaan kepada pandemik influenza yang amat dahsyat. Buat masa ini, kita tidak mengetahui kedudukan sebenar. Inilah yang menjadi masalahnya."
Jika dilihat, wabak selesema babi bukannya baru. Ia pernah muncul pada 1976 di New Jersey, Amerika Syarikat apabila 500 askar disahkan menghidapnya. Program pembasmian diarahkan, tetapi akhirnya dihentikan selepas vaksin yang diberikan sebaliknya meninggalkan kesan sampingan yang jauh lebih buruk dan membahayakan daripada ancaman selesema babi.
Kini, 33 tahun kemudian, ia muncul lagi dengan profil mangsanya termasuk anak kecil dan warga tua. Kemunculannya itu turut menjadikan sekurang-kurangnya tiga pandemik meletus dalam tempoh seabad lalu dan menular dalam tempoh beberapa bulan ke sebahagian besar dunia.
Tidak hairanlah, kemunculan terbaru selesema babi ini disifatkan pakar WHO sebagai tidak boleh dielak dan ketara. Malah menurut WHO, pandemik itu boleh muncul menerusi beberapa kitaran pada jarak beberapa bulan.
Kemunculan selesema babi itu turut meletakkannya sebaris ancaman selesema burung, Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) dan Ebola. Selesema burung misalnya, biarpun muncul pada 1997, tetapi terus mengancam manusia yang bersentuhan atau terdedah kepada ayam serta unggas dijangkiti virus H5N1. Setakat ini, ia meragut 257 nyawa dengan 421 orang dijangkiti di 14 negara.
Sars pula yang menyebabkan sindrom pernafasan yang boleh membawa maut, mencetuskan panik apabila mula dikesan pada 2002 dan menular ke 37 negara dengan 774 kematian daripada 8,000 kes. Ia kemudian 'senyap' dan tiada satu pun kes dicatatkan pada 2005.
Ebola pula yang menyebabkan pendarahan dalaman dan luaran yang serius, dikatakan pakar boleh tersebar menerusi udara tetapi kes jangkitan itu setakat ini menerusi cecair.
Banyak kerja sebenarnya yang perlu dibuat andai selesema babi ini menular kepada wabak besar-besaran termasuk melaksanakan kuarantin mandatori, pemberian ubat dan sekatan perjalanan keluar masuk menerusi pintu sempadan negara yang sudah pasti mencetuskan panik.
Apa yang pasti, setakat ini, selesema babi masih dalam lingkungan menyaingi ancaman Sars, selesema burung dan Ebola. Hanya masa menentukan sama ada ia setanding pandemik Selesema Sepanyol, Selesema Asia dan Hong Kong biarpun ramai yang berharap biarlah ia menjadi ancaman sementara.
INFO: Tahap Amaran Pandemik Selesema Babi
Tahap 1 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan tidak menjangkiti manusia.
Tahap 2 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan menjangkiti manusia.
Tahap 3 - Tiada penularan atau penularan virus selesema yang terhad antara manusia ke manusia tetapi tidak menyebabkan wabak dalam komuniti.
Tahap 4 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia serta boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti.
Tahap 5 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia di sekurang-kurangnya dua negara dalam satu rantau WHO dan memberi `isyarat kuat' bahawa pandemik pasti berlaku.
Tahap 6 - Fasa pandemik yang menunjukkan wabak menular ke seluruh dunia.
Sejarah pandemik demam selesema
Wabak Peloponnesian - 30,000 maut
Seramai 30,000 penduduk Athens mati pada 430 Sebelum Masihi ketika peperangan Peloponnesia antara penduduk Athens dengan Sparta. Selain pening, gejala lain seperti ruam kulit, demam, batuk darah, sakit perut, muntah dan dahaga yang teruk hinggakan ada yang terjun ke dalam perigi.
Wabak Antonine Plague - Lima juta mati
Wabak sempena nama Maharaja Rom, Marcus Aurelius Antoninus yang mati pada 180 Selepas Masihi. Wabak ini dibawa ke Rom oleh tentera yang pulang daripada berperang dari Mesopotamia. Ia merebak ke benua kecil Asia, Mesir, Greek dan seluruh empayar Rom dan meragut lima juta nyawa dalam masa 15 tahun.
Wabak Justinian Plague – Kira-kira 25 juta hingga 100 juta kematian
Namanya sempena Maharaja Byzantine, Justinian dan wabak ini dipercayai berasal sama ada di wilayah Asia Tengah atau Ethiopia (Habsyah). Ia menjadi kes pertama wabak bubonik dicatatkan dan berlaku selama 50 tahun yang meragut 25 juta hingga 100 juta nyawa. Perdagangan dunia turut lumpuh.
Wabak 'Black Death' - 25 juta kematian
Ia melanda pada zaman pertengahan Eropah dari akhir 1347 hinggalah awal 1351. Ia dikatakan disebarkan oleh kutu dan tikus. Mangsa lazimnya mati dalam kesakitan dalam masa lima hari selepas dijangkiti kuman itu.
Wabak Selesema Sepanyol - Lebih 50 juta kematian
Ia berlaku pada 1918 dan menjadi kes terburuk pernah berlaku dalam era sejarah moden dan disebabkan sejenis virus selesema H1N1 dijangkiti kira-kira 40 peratus jumlah penduduk dunia ketika itu. Ia meragut lebih 50 juta kematian, majoritinya mereka golongan muda.
Wabak Selesema Asia - Empat juta maut
Berlaku pada 1957, membabitkan itik liar di Guizhou, selatan China dan melalui proses mutasi dengan jenis virus manusia. Menular ke Singapura pada Februari 1957, Hong Kong pada April dan Amerika Syarikat pada Jun tahun sama. Jangkitan paling ramai di kalangan pelajar sekolah, golongan muda, wanita hamil serta orang tua yang mencatatkan kumpulan paling ramai mati.
Wabak Selesema Hong Kong - Sejuta maut
Dikesan pada 1968, kes pertama dikesan di Hong Kong yang disebabkan jenis virus dikenali H3N2 yang meragut sejuta nyawa di seluruh dunia. Ia kembali pada pada 1970 dan 1972. Mangsa berusia 65 tahun ke atas paling ramai mati.
Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) - 800 kematian
Dikesan di Guangdong, selatan China pada 2002 tetapi menjadi tumpuan ramai pada Februari 2003 selepas kematian seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat dalam pesawat pulang dari Shanghai. Virusnya mudah tersebar secara pantas ke Kanada, Amerika dan beberapa negara Asia. Daripada 8,096 kes, 774 kematian dilaporkan.
Selesema Burung
Ada banyak jenis selesema burung. Jenis paling bahaya H5 dan H7 sering menyebabkan kematian unggas dan jenis yang paling dibimbangkan adalah H5N1. Ia hanya diketahui menyerang unggas sehinggalah kes pertama jangkitan manusia dikesan di Hong Kong pada 1997. Data WHO menunjukkan 256 maut di seluruh dunia sejak 2003 dan saintis turut memantau perkembangannya kerana bimbang mutasi berlaku dan boleh dijangkiti berjuta-juta penduduk dunia.
Demam Selesema - Meragut 250,000 - 500,000 kematian setiap tahun
Tersebar ke seluruh dunia setiap tahun dan memuncak ketika musim sejuk. Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan pemberian suntikan vaksin, khususnya kepada kanak-kanak dan warga tua. Amalan kerap membasuh tangan dan sentiasa sihat, menjadi perlindungan terbaik.
Read more...
30 June 2009
'Mat rempit hanya di Malaysia'

Aksi berani mat rempit di jalan raya boleh mengundang kemalangan maut.(Gambar hiasan)
GEJALA mat rempit hanya wujud di Malaysia, malah tiada sebarang jurnal antarabangsa yang pernah melaporkan masalah itu kecuali di negara ini.
Pakar pengangkutan awam yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, berkata ini disebabkan beberapa faktor termasuk penggunaan motosikal sebagai pengangkutan utama di Malaysia berbanding negara asing.
"Di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia misalnya, ramai berkereta atau menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja. Tidak ramai yang bermotosikal. Malah jika ada motosikal pun, mereka menggunakan motosikal berkuasa tinggi.
"Keadaan sebaliknya di sini kerana ramai bermotosikal. Malah lebih ramai daripada yang berkereta. Jadi wujudlah kelompok atau kumpulan tersendiri seperti mat rempit sama ada di luar bandar dan bandar. Merempit itu sudah menjadi satu budaya di kalangan pemilik motosikal ini," katanya.
Prof Abdul Rahim berkata, di luar negara, jika ada pun, hanyalah lumba kereta haram dan bukannya motosikal.
"Hanya ada beberapa negara yang melaporkan kejadian lumba kereta haram seperti Australia, New Zealand, Amerika, United Kingdom, Sweden, Croatia, Jepun, dan Hong Kong. Bagaimanapun, perlu diingat, keadaan di luar negara terkawal, tidak seperti Malaysia yang hampir setiap malam ada saja kejadian merempit." katanya.
Beliau turut mengaitkan gejala mat rempit itu dengan faktor cuaca. Di Malaysia, cuacanya sama sepanjang tahun, manakala di luar negara cuacanya empat musim.
"Apa yang pasti, tiada siapa pun yang mahu bermotosikal ketika musim sejuk." katanya.
Prof Abdul Rahim turut menyuarakan kebimbangannya kerana perkembangan semasa menunjukkan gejala mat rempit bukannya berkurangan atau terkawal, sebaliknya semakin menjadi-jadi. Buktinya, jika dulu cuma 10 atau 20 orang mat rempit bergerak dalam satu kumpulan, kini bilangan mereka mencecah hingga 200 orang.
Ditanya faktor utama yang menyumbang kewujudan mat rempit ini, beliau menyifatkan sekurang-kurangnya lima faktor iaitu sikap mat rempit, ada 'peminat' gejala itu, pengaruh permainan video, pengaruh media dan penguatkuasaan undang-undang yang longgar,
"Sikap mat rempit yang menyifatkan perbuatan mereka itu memberikan kepuasan dan keseronokan tersendiri. Mereka berasa teruja dapat beraksi di jalan raya, ditonton ramai, ada peminat serta ganjaran seperti wang dan wanita untuk ditiduri.
"Tidak kurang juga yang menjadikan aksi rempit itu cara meleraikan pertelagahan seperti kumpulan mana yang memandu paling laju. Merempit ini memberi kepuasan rekreasi kepada mereka. Jika orang lain seronok panjat gunung atau kegiatan sukan lain, mat rempit menganggap membonceng motosikal dengan laju dan mempamerkan aksi bahaya itu satu kepuasan. Lebih-lebih lagi jika mereka ada kawan yang meminati perkara sama," katanya.
Prof Abdul Rahim turut menyelar sikap pengeluar filem dan drama bersiri yang berlumba-lumba menghasilkan cerita mengenai mat rempit yang disifatkannya hanya memberi publisiti meluas dan menggambarkan mereka sebagai hero atau ikon.
"Pengarahnya pula mendakwa produksi itu memberi pengajaran. Tetapi saya mahu soal kembali, apa gunanya pengajaran yang cuma 20 peratus berbanding keburukan sebanyak 80 peratus lagi?
"Pernahkah beliau terfikir berapa ramai yang akan meniru aksi dipaparkan? Aura filem sedemikian bukan saja di ibu negara tetapi menular sehingga ke segenap pelosok tanah air. Jadi apa rasionalnya menghasilkan drama atau filem yang mempopularkan gejala sosial sedemikian?"
Prof Abdul Rahim juga menggesa pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) mewujudkan satu pangkalan data khas bagi pesalah merempit ini, khususnya mengesan mereka yang tegar dan harus dikenakan hukuman lebih berat apabila mengulangi kesalahan itu.
"Pangkalan data itu menjadi catatan rekod kesalahan dan rujukan pihak berkuasa itu sendiri. Selain itu, kerajaan juga harus lebih tegas dengan menggantung lesen mat rempit selama dua tahun. Kita harus lebih serius dan tegas menangani permasalahan mat rempit ini," katanya.
Read more...
29 June 2009
Dunia unik serangga


Serangga daun kering, rama-rama terbesar antara spesimen ratusan tahun di Muzium Negara
Kumbang jenis Macrodontia Cervicornis.
MEMILIH pembangunan dan kemodenan bererti ada yang harus dikorbankan. Selain bukit kian terhakis, hutan makin gondol dan sungai menghimpun sampah-sarap, habitat haiwan yang menghuni di dalamnya turut diancam bahaya kepupusan.
Selain haiwan liar, serangga dan unggas penghuni tetap hutan dan belukar semakin susut bilangannya. Jika sebelumnya, spesis seperti belalang, pepatung, kumbang, riang-riang dan sebagainya biasa ditemui meskipun di kawasan sekitar rumah, generasi kini, sekadar mengenali nyamuk dan lalat.
Bahaya kepupusan membangkit kesedaran Muzium Negara untuk mengabadikan dan menyimpan koleksi serangga melalui pameran pameran Kenali Serangga (KS), baru-baru ini.
“Spesimen yang ada dalam simpanan muzium termasuk spesies serangga seperti kumbang dan rama-rama yang berhadapan bahaya kepupusan. Jika muzium tidak mengambil langkah menyimpannya, kemungkinan besar generasi akan datang tidak kenal sama sekali rupa dan bentuk serangga ini,” kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Ibrahim Ismail.
Pameran berkenaan berjaya menghimpunkan kira-kira 200 spesis serangga termasuk 15 ekor rama-rama terbesar di dunia, Rajah Brooke.
Rama-rama berkenaan yang disenaraikan di bawah order Lepidoptera mempunyai sayap bersisik, berwarna dengan corak yang menarik dan memukau pandangan.
“Namun, warna kepak spesis betinanya lebih menarik berbanding rama-rama jantan yang mempunyai sayap berwarna pudar,” katanya yang berharap pameran berlangsung seminggu yang berakhir kelmarin, dapat mendedahkan kepada umum pengetahuan terperinci mengenai serangga berkenaan.
“Jika sebelumnya, kita hanya berpeluang menatap rama-rama sama ada di televisyen, buku dan majalah. Menerusi usaha seperti pameran ini, pengunjung dapat menyaksikan secara dekat serangga itu untuk menghayati serta menikmati keindahan rupa serta warnanya.
“Ini secara tidak langsung memberi pengalaman baru dan keseronokan kepada pengunjung,” ujarnya.
Selain rama-rama, pameran itu turut menghimpunkan 58 ekor kumbang pelbagai spesis, 32 ekor riang-riang dan selebihnya serangga daun seperti belalang dan mentadak, serangga ranting, pepatung, belalang, tebuan, penyengat serta tidak terkecuali labah-labah gergasi yang menjadikan jumlah keseluruhan 200 ekor.
Dalam sekian banyak spesis haiwan comel itu, kumbang diisytiharkan terbesar di dalam kelas serangga. Dikenali dengan nama saintifik Coleoptera, kumbang dikenal pasti melalui sayap hadapannya yang diubahsuai menjadi keras dan tegar digelar elytra.
Kelip-kelip atau kunang-kunang, kumbang ketik, bubuk, kumbang viola dan kumbang rusa antara ahli kumpulan ini yang dipertontonkan kepada orang ramai.
Pengunjung juga berpeluang melihat dari dekat Cicadidae iaitu salah satu famili riang-riang yang tergolong dalam order hemiptera.
“Riang-riang adalah serangga yang menghasilkan bunyi bingit dan nyaring serta tinggal di hutan. Ia diakui sebagai serangga mengeluarkan bunyi paling bising di dunia,” kata Ibrahim.
Keunikan dan misteri dunia serangga semakin enak diterokai melalui kehadiran belalang mempunyai sesungut pendek dibandingkan tubuhnya.
Belalang dilabelkan di bawah nama saintifik Acrididae yang memiliki organ pendengaran (timpana) di bahagian sisi ruas abdomen pertama dan ruas kaki ketiga ini turut dijadikan sajian popular sesetengah negara di dunia.
Turut dipamerkan, kumpulan belalang yang lazimnya ditemui di kediaman; mempunyai kaki belakang besar dan panjang bagi memberi daya tujahan hadapan yang kuat ketika serangga ini melompat.
Sementara, kecekalan untuk hidup ditunjukkan oleh spesis serangga yang mampu melakukan penyamaran melalui bentuk serta struktur tubuhnya. 
Serangga ranting yang memiliki bentuk badan mirip ranting berupaya mengelirukan pemangsa melalui perilaku mendiamkan diri di tempat atau habitat ia berehat.
Manakala, serangga daun yang mempunyai struktur tubuh mirip daun mampu mengelakkan diri dari dikesan melalui pergerakannya yang seolah-olah daun ditiup angin.
Ibrahim berkata, semua spesimen dipamerkan sudah sekian lama berada dalam simpanan muzium bahkan ada di antara spesis serangga berkenaan berusia lebih seratus tahun.
“Serangga ini bertahan lama kerana melalui prosedur pengawetan yang begitu baik,” katanya.
Teknik serta kaedah pengawetan serangga turut didedahkan kepada pengunjung oleh pakar serta pegawai bertauliah.
“Usaha ini bukan saja memberikan ilmu bahkan pengalaman baru yang tidak mungkin diperoleh di mana-manapun,” katanya.
Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
Read more...
28 June 2009
Virus H1N1 ancam manusia

Apakah dimaksudkan dengan selesema babi?
Ia sejenis masalah pernafasan yang disebabkan virus influenza A dijangkiti babi. Ada banyak jenis virus dan jangkitannya sentiasa berubah. Ia sebelum ini tidak menjangkiti manusia, tetapi keadaan ketika ini membuktikan sebaliknya dan mudah tersebar di antara manusia, dipercayai menerusi batuk dan bersin.
Ia juga jenis baru virus H1N1 yang turut menyebabkan wabak besar-besaran demam selesema pada 1918. Rawatan yang ada setakat ini berkesan, tetapi ia tidak mempunyai sebarang vaksin. Biarpun H1N1 ialah jenis sama yang menyebabkan jangkitan demam selesema di kalangan manusia, tetapi versi terbaru virus ini amat berbeza. Ia mengandungi bahan genetik yang lazimnya ditemui dalam virus yang dijangkiti manusia, unggas dan babi.
Virus demam selesema mampu menukar komponen genetik di antara satu sama lain. Versi baru jenis virus H1N1 itu hasil campuran beberapa versi virus berkenaan di dalam ‘induk’ haiwan yang sama. Babi misalnya, disifatkan lubuk paling sesuai bagi membolehkan virus ini saling bergabung. Biarpun virus ini lazimnya menular pada musim luruh dan sejuk, ia juga boleh merebak sepanjang tahun.
Bagaimana wabak berlaku?
Mutasi virus demam selesema sentiasa berlaku dan berubah yang menyebabkan perubahan kecil protein di permukaannya yang dikenali sebagai antigen. Sistem daya tahan atau imun badan mungkin kebal terhadap jangkitan itu jika ia pernah berdepan virus sama sebelum ini, tetapi boleh menjadi lemah jika ia membabitkan antigen baru. Virus selesema yang menjadi tumpuan ramai sekarang adalah sejenis virus influenza A H1N1 yang dijangkiti unggas, mamalia tertentu serta manusia.
Mutasi virus selesema
Virus influenza A boleh melalui proses mutasi dalam dua cara - perubahan antigenik yang mana antigen sedia ada berubah. Satu lagi membabitkan perubahan gabungan dua atau lebih antigen. Perubahan antigen ini berlaku dari setahun ke setahun membabitkan jenis yang lazimnya dijangkiti manusia. Berikutan itu, manusia mempunyai separuh, jika tidak sepenuh kekebalan. Sebaliknya, virus H1N1 yang baru itu dilihat berasal daripada perubahan antigen babi di Mexico.
Potensi virus ini
Nama selesema babi itu memberi gambaran kurang tepat kerana ia seolah-olah mengaitkan babi sebagai ‘lubuk’ campuran beberapa jenis virus selesema iaitu gabungan genetik babi, unggas dan manusia. Ada antara antigen itu membabitkan jenis baru yang tidak pernah disaksikan sistem imun hampir keseluruhan manusia. Berikutan itu, jenis baru ini berpotensi mencetuskan pandemik atau wabak besar-besaran.
Bolehkah manusia dijangkiti selesema babi?
Ia lazimnya tidak dijangkiti manusia, kecuali kes tertentu membabitkan mereka yang bersentuhan dengan haiwan itu. Malah ada kes yang sebelum ini jarang berlaku yang mana manusia menyebarkan virus itu kepada individu lainnya. Wabak terbaru ini menjadi bukti jangkitan antara manusia dari manusia itu secara mudah dan cepat yang sekali gus memerlukan perhatian segera pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia. Virus itu tersebar dari manusia kepada manusia, sama seperti virus selesema lain menerusi batuk, bersin atau sentuhan pada permukaan yang dijangkiti.
Apakah ia jenis baru virus?
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan sekurang-kurangnya beberapa kes jangkitan manusia membabitkan jenis H1N1 yang belum pernah dilihat sebelum ini. H1N1 ialah jenis sama yang menyebabkan wabak demam selesema di kalangan manusia sering berlaku. Tetapi kali ini, jenisnya berbeza kerana mengandungi material genetik yang lazimnya ditemui dalam virus yang dijangkiti manusia, unggas dan babi.
Contoh kejadian penyebaran selesema babi di kalangan manusia?
1976 - Wabak selesema babi di kalangan anggota tentera di Fort Dix, New Jersey. Virus itu menyebabkan masalah pneumonia atau radang paru-paru yang dihidapi sekurang-kurangnya empat askar dan satu kematian lain. Virus itu tersebar dengan mudah berikutan persekitaran latihan ketenteraan dan terhad kepada pihak luar.
1988 - Seorang wanita 32 tahun yang hamil dan diketahui sihat, dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru dan mati lapan hari kemudian. Pemeriksaan lanjut menemui virus H1N1. Empat hari sebelum jatuh sakit, mangsa mengunjungi satu pesta pameran babi dan binatang itu diketahui mempunyai gejala selesema babi.
Sejauh mana bahayanya?
Simptom selesema babi sama seperti jenis yang mencetuskan demam selesema yang sering berlaku, seperti demam, batuk, sakit tekak, sengal badan, kesejukan dan lemah atau lesu.
Perlukah kita bimbangkan ancamannya?
Berikutan ciri-ciri virus baru ini yang memungkinkan penyebaran dari manusia kepada manusia, ia perlu dipantau rapi sebagai persiapan kemungkinan mencetuskan wabak besar-besaran pada peringkat global. Pihak WHO sudah memberi amaran, jika kes di Mexico dan Amerika Syarikat itu sama, ia boleh mencetuskan pandemik atau wabak besar-besaran di seluruh dunia dan menegaskan keadaan sekarang sememangnya serius, biarpun ada pakar menyifatkannya terlalu awal untuk menilai keadaan itu secara keseluruhannya. Tetapi mereka tidak menolak kemungkinan dunia semakin hampir kepada wabak demam selesema besar-besaran sejak wabak yang tercetus pada 1968.
Pakar turut mengkategorikan tahap ancaman itu di paras empat berbanding skala enam peratus. Tiada siapa pun tahu impak keseluruhan wabak besar-besaran itu, tetapi pakar sebaliknya sudah memberi amaran ia boleh menyebabkan kehilangan berjuta-juta nyawa.
Hakikat, kesemua kes di Amerika Syarikat dan lainnya yang menyebabkan gejala atau simptom sederhana, disifatkan sebagai satu perkembangan yang menggalakkan. Ia menunjukkan seriusnya wabak di Mexico berkemungkinan besar disebabkan faktor geografi yang berbeza dan disifatkan amat luar biasa yang mungkin menunjukkan ada virus kedua yang tiada kaitan menular dalam masyarakat dan berkemungkinan tidak semudah itu mencetuskan masalah di seluruh dunia.
Kemungkinan lain, mangsa yang dijangkiti di Mexico, mungkin mendapatkan rawatan lewat di negara lain.
Andaian lain, mungkin juga virus yang tersebar di Mexico berbeza daripada jenis yang tersebar di tempat lain dan ini pun masih perlu disahkan oleh analisis makmal. Namun, hakikat majoriti mangsanya masih muda juga disifatkan menjadi petunjuk yang agak aneh kerana andai masalah ini dikaitkan dengan musim demam selesema, ia lazimnya menyerang mangsa yang lebih tua.
Berapa lamakah tempoh mereka yang dijangkiti menyebarkan kepada orang lain?
Mereka yang dijangkiti selesema babi, disifatkan sebagai boleh menyebarkan virus itu selagi masih ada simptom berkaitan sehingga tujuh hari sejak gejala itu mula dikesan. Kanak-kanak misalnya, berpotensi dijangkiti bagi tempoh lebih lama.
Simtpom atau gejala?
Demam, batuk, sakit badan, sukar bernafas
Bolehkah virus ini dikawal?
Virus ini sudah pun menunjukkan tanda-tanda penularan hampir di seluruh dunia dan kebanyakan pakar percaya usaha mengawalnya pada era yang menyaksikan perjalanan udara suatu kelaziman, sememangnya amat sukar.
Cara rawatan dan vaksinnya?
Pihak berkuasa Amerika Syarikat berkata ada dua jenis ubat yang sering digunakan bagi merawat demam selesema - Tamiflu dan Relenza yang terbukti berkesan merawat kes sebelum ini. Namun, ia perlu diberi seawal mungkin bagi memastikan keberkesanannya. Penggunaan ubat ini juga menyukarkan virus itu dijangkiti orang lain. Kerajaan Britain sudah pun menyediakan bekalan 33 juta dos Tamiflu yang dipesan awal bagi berdepan pandemik ini. Namun, tidak jelas sejauh mana keberkesanan vaksin yang ada sebagai perlindungan jenis baru virus ini yang secara genetiknya berbeza daripada jenis lain. Saintis Amerika sudah pun menghasilkan vaksin baru tetapi ia memerlukan masa untuk disempurnakan dan dihasilkan bagi memenuhi permintaan besar dunia. Ada satu vaksin yang digunakan bagi melindungi manusia daripada versi awal selesema babi di Amerika pada 1976. Bagaimanapun, ia menyebabkan kesan sampingan serius, termasuk kira-kira 500 kes sindrom Guillain-Barré yang menyebabkan lebih banyak kematian berbanding kesan wabak ketika itu.
Apa harus lakukan untuk selamat?
Mereka yang mempunyai simptom atau gejala demam selesema atau ada kemungkinan terdedah kepada virus selesema babi, perlu mendapatkan rawatan perubatan termasuk segera ke hospital.
Bagaimana mengelak jangkitan?
Elakkan berada di tempat mereka yang kurang sihat dan menghidap demam serta batuk.
Amalan kawalan am jangkitan dan persekitaran yang bersih, boleh mengurangkan risiko menyebarkan virus.
Tutup hidung dan mulut apabila bersin atau batuk dengan menggunakan tisu dan dibuang dengan cara betul.
Kerap basuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman dan air bagi mengelak penyebaran virus dari tangan ke muka serta kepada orang lain. Juga, kerap cuci permukaan seperti tombol pintu, menggunakan cecair cucian yang sesuai.
Gunakan topeng pernafasan jika menjaga mereka yang sakit, selain mengelak risiko menyebarkan virus.
Segera berjumpa doktor jika mempunyai simptom dan pernah melawat Mexico, New York, California, Texas dan Ohio di Amerika Syarikat serta ke Kanada selepas 17 April lalu.
Read more...
Warna aura lambang karakter, peribadi anda

Warna aura tidak akan menipu siapa diri anda sebenarnya. Dalam psikologi sudah diakui bahawa setiap orang mempunyai keperibadian dan karakter tertentu.
Warna aura adalah bahagian dari keadaan diri seseorang yang membabitkan keperibadian, karakter, kesihatan dan kejiwaan.
Namun warna ini boleh berubah mengikuti keadaan diri seseorang. Warna aura berkenaan dapat dihuraikan di bawah:
Merah
Mengungkapkan aktiviti hidup dan melambangkan kemahuan atau kehendak yang sangat mendalam. Orang yang mempunyai aura merah seorang yang aktif, produktif, selalu memandang ke hadapan, tidak sensitif dan ego, pemimpin, suka mengkritik, mudah rasa tidak aman dan sentiasa fikir bahawa dia adalah benar. Ia turut melambangkan seorang itu suka bersaing, berani bertindak, tekad dan juga panjang akal.
Kebaikan mempunyai aura merah ialah mereka berupaya menjadi pemimpin dan mempunyai fokus yang jelas bagi mencapai tujuan.
Keburukan mempunyai aura merah adalah sukar bekerja dengan orang lain kecuali jika masing-masing mendapatkan apa diinginkan. Mereka ini suka bertengkar, ego dan kurang sensitif.
Jingga
Mengungkapkan kehangatan. Orang yang mempunyai aura berwarna jingga sukakan kesenangan duniawi, tentangan, berkhayal, membantu orang lain, menyendiri dan tidak suka di kawal atau di kongkong. Kebaikan mempunyai aura jingga adalah mereka dikategorikan sebagai mempunyai akal yang panjang dan kreatif. Selain itu mereka amat berani dan mempunyai kebolehan mengetahui siapa lawan dan siapa kawan.
Keburukan mempunyai aura berwarna jingga adalah terlalu mementingkan diri sendiri. Lazimnya mereka kurang suka hidup berkeluarga dan lebih gemar bersendirian.
Kuning
Mengungkapkan intelektual. Orang yang mempunyai aura kuning suka menyenangkan orang lain, sukakan humor dan membuat orang ketawa, suka mengambil risiko, seorang yang peka dan penuh prihatin, setia dan sukakan kebebasan.
Kebaikan mempunyai aura kuning adalah mereka suka bersukan, sangat prihatin dengan penampilan diri dan mementingkan kesihatan yang baik.
Keburukan mempunyai aura kuning adalah mereka agak pemalu sekiranya berada di kalangan orang yang tidak dikenali. Selain itu, mereka adalah orang yang suka memberontak dan tidak mudah berkongsi perasaan sedih dan juga masalah dengan orang lain.
Hijau
Mengungkapkan kesegaran dan ketenangan. Mempunyai pemikiran yang cepat, cemerlang dan pandai. Tidak suka diperintah, suka bersaing dan mempunyai personaliti serta penampilan yang menarik. Tetapi keburukannya adalah orang ini tidak sabar terutama ketika mendengar keluhan atau masalah orang lain. Keburukan mempunyai aura berwarna hijau ialah mereka ini terlalu agresif dan berpandangan bahawa semua orang harus bersetuju dengan pandangannya. Tidak cenderung untuk mengakui sesuatu kesalahan yang telah dibuat. Kebaikan mempunyai aura hijau pula mereka mempunyai keperibadian yang kuat dan jarang ada orang yang boleh lawan berdebat dengan mereka.
Biru
Mengungkapkan kesetiaan. Seseorang yang mudah memberikan perhatian kepada orang lain dan mahir berkomunikasi. Cenderung mengubah diri sendiri jika terdapat sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Seorang yang sensitif dan mempunyai naluri yang sangat kuat. dia dapat merasakan jika sesuatu akan terjadi.
Kebaikan mempunyai aura berwarna biru mereka mampu merasakan dan mengetahui apa yang difikirkan orang lain. Mereka ini juga mempunyai ramai kawan kerana mereka mudah disenangi oleh orang lain.
Keburukan mempunyai aura berwarna biru adalah mereka terlalu dramatis apabila ia berkaitan dengan soal cinta dan pandai memanipulasikan orang lain.
Indigo
Mengungkapkan sifat bijak yang amat mendalam. Seorang yang halus dan lemah. Mempunyai kulit putih dan pucat dan tidak suka keluar rumah. Mempunyai sifat keanak-anakan dan mempunyai perasaan yang peka. Kurang bertanggungjawab dan suka mengagungkan dan membanggakan diri sendiri.
Kebaikan mempunyai aura berwarna indigo adalah mereka mempunyai kekuatan mental yang sangat mendalam. Keburukannya mereka kurang pandai berkomunikasi dan suka menyendiri.
Ungu
Mengungkapkan spiritual atau kerohanian yang mendalam. Seorang yang dinamis dan berkarisma, mempunyai perasaan penuh kasih sayang dan mudah simpati. Selain itu, meminati muzik dan boleh dijadikan sahabat yang baik.
Sehingga kita berjumpa lagi dengan artikel yang berlainan. Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-77887791 atau e-mel ke dnd@worldwellness.com.my
Oleh Dr Noordin Darus
dnd@worldwellness.com.my
Read more...
27 June 2009
Glamor dan derita legenda muzik

Oleh MOHD YUSMAN AWANG
yusman.awang@kosmo.com.my
BAKAT, impian dan misteri hidupnya membuatkan dia diangkat sebagai legenda. Sayangnya, Michael Jackson meninggal dunia pada usia muda – 50 tahun di Los Angeles, Amerika Syarikat.
BELIAU menderita sepanjang hayatnya biarpun diri dipuja jutaan peminat. Salutan kemilau glamor juga belum dapat membuatkan hidupnya gembira.
Raja Pop Dunia, Michael Jackson, 50, yang meninggal dunia di UCLA Medical Center, Los Angeles, Amerika Syarikat, kelmarin, sebenarnya memiliki sejarah yang suram dari segi kesihatannya.
Tanpa mengira masalah kesihatan dalaman atau psikologikal yang dialaminya selepas menjadi ikon terkenal sejak zaman kanak-kanak, Michael pada usia muda lagi telah mengalami tragedi yang menyebabkan tahap kesihatannya menurun.
Pada tahun 1984, ketika berusia 25 tahun, Michael terbabit dalam satu kebakaran ketika sedang menyanyi pada sesi rakaman iklan untuk Pepsi-Cola, apabila berlaku kesilapan teknik terhadap bom asap yang digunakan sebagai kesan khas dalam iklan tersebut.
Beliau terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian kulit kepalanya. Akibatnya, beliau mengalami ketagihan terhadap pil penahan sakit yang terpaksa diambilnya berikutan tragedi itu.
RAJA Pop yang tidak akan hilang daripada memori peminatnya.
Pada era 1980-an, Michael juga dilaporkan mengalami kesakitan akibat penyakit lupus (SLE) yang berpunca daripada sistem pertahanan tubuh yang abnormal. Bagaimanapun, kesakitan yang dialaminya itu beransur reda.
Pada masa yang sama, Michael menjalani beberapa pembedahan plastik yang termasuklah pembedahan pada bahagian hidung iaitu rinoplasti dan implan pada bahagian pipinya.
Pada tahun 1993, pakar kulit Michael, Dr. Arnold Klein mengesahkan Michael telah didiagnosis menghidap penyakit kulit yang jarang menyerang manusia, dikenali sebagai vitiligo.
Vitiligo menyebabkan individu yang mengidapnya mengalami kehilangan melanin, iaitu pigmen yang menentukan warna kulit, rambut dan mata.
Penyakit ini hanya menyerang satu hingga dua peratus daripada populasi dunia dan setakat ini dunia perubatan belum mengetahui apakah puncanya. 
MICHAEL mula disaluti glamor sejak kanak-kanak lagi.
Pada tahun 1990, Michael dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesakitan pada bahagian dada. Masalah ini berlanjutan selama tiga tahun hinggakan konsertnya yang dijadualkan pada Ogos 1993 terpaksa ditunda selepas beliau mengalami dehidrasi.
Konsert tersebut akhirnya berlangsung pada November 1993 tetapi terpaksa dipendekkan kerana Michael mengalami ketagihan terhadap pil tahan sakit serta terbabit dengan kes mahkamah atas tuduhan mencabul kanak-kanak.
Ketika menjalani latihan di Beacon Theater di New York pada Disember 1995, Michael pengsan di atas pentas kerana mengalami dehidrasi dan tekanan darah rendah. 
Ketika para juri sedang berdebat mengenai kes yang mendakwanya atas tuduhan mencabul kanak-kanak pada Jun 2005, Michael dimasukkan hospital bagi mendapat rawatan. Menurut jurucakapnya, ia bagi menghilangkan kesakitan pada bahagian belakangnya.
Spekulasi hangat diperkatakan pada Disember tahun lalu selepas Michael dilaporkan sakit disebabkan kekurangan Alpha-1 antitripsin, iaitu penyakit berkaitan genetik yang jarang menyerang manusia.
Ia membawa kepada spekulasi lebih hangat apabila pada Mei tahun ini, Michael dikatakan menghidap kanser kulit.
Namun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AEG Live, Randy Phillips, memberitahu CNN: "Michael Jackson sangat sihat sekarang. Dia tiada sebarang masalah berkait kesihatannya."
Bagaimanapun, kelmarin (Khamis di AS), ketika berusia 50 tahun, Michael pengsan di rumah yang disewanya di Holmby Hills, lalu dibawa ke UCLA Medical Center. 
Peguam keluarga Jackson, Brian Oxman, dalam pada itu berkata: "Kecederaan Michael, yang dialaminya ketika membuat persembahan, yang mana kakinya pernah patah selepas jatuh di atas pentas dan tulangnya retak, menambahkan penderitaannya dari segi kesihatan.
"Saya sendiri tidak tahu sampai ke tahap mana ubat-ubatan yang diambilnya bagi mengatasi masalah kesihatannya itu."
Serangan jantung yang dikatakan menjadi punca kematian Michael merupakan tanda-tanda penyakit jantung yang telah menyerang kira-kira 300,000 rakyat AS setiap tahun.
Dr. Clyde Yancy dari Persatuan Jantung Amerika memberitahu: "Tanpa bantuan segera bagi menyedarkan kembali seseorang yang pengsan akibat serangan jantung, kadar survival adalah di antara lima hingga 15 peratus."
"Jika proses menyedarkan kembali individu tersebut mengambil masa lebih dari tiga hingga enam minit, individu akan mengalami gangguan pada penglihatannya."
Tambahnya: "Jika lebih daripada lima minit, kemungkinan mangsa untuk meneruskan hayat agak tipis, terutama bagi individu pada usia lanjut. Individu pada usia muda boleh bertoleransi terhadap serangan jantung dengan lebih baik."
Kenyataan itu mungkin merungkai sebab kematian Michael yang sebenarnya sedang sibuk membuat latihan bagi konsert kemunculan semulanya di London bermula 13 Julai ini dan akan berlanjutan sehingga Mac 2010.
Namun segala perancangan itu tidak kesampaian dan anak kelahiran Gary di Indiana, Illinois pada 29 Ogos 1958 itu meninggalkan semua yang menyanjunginya dan kini menjadi satu sejarah dan kenangan buat semua.
Read more...
26 June 2009
Rambut pendek, kemas lebih memikat

Gambar Hiasan.
RAMBUT pendek, segak lagi kemas sudah cukup untuk tampil dengan gaya menarik. Fakta ini diakui menerusi kaji selidik dijalankan gandingan Brylcreem bersama Harian Metro, baru-baru ini.
Jawapan diterima mewakili bilangan sama rata daripada jejaka, 65 peratus dan wanita sebanyak 60 peratus.
Jika rambut pendek dan kemas terlalu drastik dan inginkan gaya kurang konvensional, pilihan terbaik mungkin gaya rambut ala bintang filem Korea. Hampir 30 peratus jawapan memilih gaya ini sebagai satu gaya yang mampu menarik perhatian.
Namun, jika ingin memilih gaya lain sekalipun, jauhi daripada rambut panjang bintang rock 80-an. Hanya dua peratus daripada 800 responden mengatakan gaya ini hebat.
Selain ciri fizikal, jejaka kurang didekati jika karakternya suka sekadar bercakap besar, tetapi bila tidak ada masa, tidak mampu melakukannya
Personaliti yang juga tidak disukai adalah jejaka bercakap dengan sungguh licik dan pintar hingga wanita 'termakan' katanya.
Sudahlah bercakap besar, berjanji manis pula apatah lagi jejaka pengecut dan suka lari daripada masalah.
Kini, perkara yang tidak disukai sudah diselongkar, bagaimana cara untuk menambat hati wanita? Sebenarnya tidak sukar sama sekali.
Wanita akan tertarik hingga mata tidak berkelip dengan jejaka berbadan gagah, stail baju berpotongan sederhana dan kelihatan sofistikated, dipadankan pula dengan bau harum kelelakian.
.
Read more...