Tarikh :20 Jun 2009(Sabtu)Masa:8.00am-2.00pm Tempat:PKG Ganun,Alor Gajah.Melaka.Penceramah :Pn.Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin,Masjid Tanah.Melaka.Sasaran:Guru SK Pegoh dan SK Sungai Buluh.
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
20 June 2009
Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan Siri 3/2009
19 June 2009
Kasih ayah(Selamat Hari Bapa-21 Jun)

Anakku Sazali dengarlah
Lagu yang ayahanda karangi
Sifatkan laguku hai anak
Sebagai sahabatmu nanti
Anakku Sazali dengarlah
Lagu yang ayahanda karangi
Sifatkan laguku hai anak
Sebagai sahabatmu nanti
Anakku Sazali juwita
Laguku jadikan pelita
Penyuluh di gelap gelita
Pemandu ke puncak bahagia...
BEGITU puitis lirik lagu Anakku Sazali ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Baitnya syahdu dan menyentuh jiwa, membayangkan keakraban hubungan dan kasih tidak berbelah bahagi antara seorang bapa dan anak.
Kasih bapa kepada anak melebihi segalanya. Jasanya tidak terhitung, cuma semua itu sukar dimengertikan si anak, sehinggalah suatu hari kelak giliran anak pula bergelar bapa.
Islam meletakkan bapa pada kedudukan yang tinggi dan menjadi kewajipan setiap anak memuliakan bapa, mentaati dan menghormatinya, berbuat baik dan berkata dengan sopan.
“Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia.
“Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.’” (Surah al-Isra': 23-24)
Teks al-Quran itu mengajar manusia melayani orang tua. Tetapi sejauh mana ketaatan itu? Apakah pula yang dikatakan kebajikan terhadap orang tua?
Menurut Imam al-Ghazali, kebanyakan ulama berpendapat, ketaatan kepada orang tua wajib dalam hal meragukan dan tidak wajib dalam hal yang jelas haram kerana meninggalkan sesuatu meragukan adalah warak (berhati-hati), sedangkan keredaan orang tua adalah wajib.
Berbakti kepada orang tua tidak hanya kepada bapa atau ibu yang Muslim.
Walaupun kedua-duanya kafir, anak harus berbuat baik kepada mereka dan termasuk berbuat baik dan tidak berjihad kecuali dengan izin mereka.
Dalam hadis sahih diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w meminta izin kepadanya untuk berjihad.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apakah ayahmu masih hidup?” Orang itu menjawab: “Ya.” Nabi bersabda: “Berjihadlah bagi kedua orang tua.” (Hadis riwayat Muslim)
Melalui hadis lain disebutkan orang itu menjawab: “Ya, kutinggalkan mereka menangis.” Nabi berkata: “Pergilah, buatlah mereka tertawa, sebagaimana engkau membuat mereka menangis.”
Jangan sesekali membuatkan bapa menitiskan air mata. Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a, dia berkata, bersabda Rasulullah bermaksud: “Tangis kedua orang tua termasuk penderhakaan.” (Hadis riwayat Bukhari)
Menurut al-Qurtubi, termasuk kesempurnaan dalam berbakti kepada kedua orang tua ialah menjalin hubungan baik dengan orang yang mereka cintai.
Diriwayatkan dari Muaz ibn Jabal r.a, Rasulullah bersabda, ertinya: “Sesiapa berbakti kepada kedua orang tuanya, beruntunglah dia dan Allah menambah umurnya.” (Hadis riwayat Abu Ya'la, Tabrani dan al-Hakim)
Bagi anak yang sudah ketiadaan bapa, masih boleh berbakti kepadanya.
Diriwayatkan Abu Usaid, seorang Badwi, dia berkata: “Aku sedang duduk bersama Nabi s.a.w, kemudian datang kepadanya seorang lelaki Ansar.
Dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah aku masih boleh berbakti kepada ayahku sesudah dia meninggal?”
Baginda menjawab yang bermaksud: “Ya, mendoakan rahmat bagi keduanya, memohonkan ampun bagi keduanya, melaksanakan wasiat mereka, menghormati teman mereka, menjalin hubungan dengan kerabat daripada pihak mereka berdua. Inilah yang masih boleh engkau lakukan.”
Sebagai anak, tutur kata dengan bapa sewajarnya sopan dan beradab, tidak mengguriskan hati, malah melayaninya dengan penuh keikhlasan, hormat dan rendah diri.
Diriwayatkan dari Aisyah r.a, dia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi bersama seorang tua.
Nabi bertanya: “Siapakah yang bersamamu?” Orang itu menjawab: “Ayahku.” Baginda bersabda: “Jangan berjalan di depannya dan jangan duduk sebelum dia, jangan memanggilnya dengan namanya dan jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain memakinya.” (Hadis riwayat Tabrani)
Menurut Atha’, perkataan lemah-lembut seperti “wahai ayah, wahai ibu” tanpa menyebut namanya.
Ibnul Baddaah at-Tujaibi berkata: “Aku berkata kepada Said Ibnu Masayyab, semua yang ada dalam al-Quran mengenai berbakti kepada kedua ibu bapa sudahku ketahui, kecuali firman-Nya bermaksud: “Dan berkatalah kepada keduanya dengan perkataan yang mulia.” Apakah perkataan yang mulia itu?”
Ibnu Masayyab berkata: “Ia adalah perkataan hamba yang berdosa kepada tuan yang bengis dan keras.”
Begitulah kiasan dalam hubungan interaksi antara anak dan bapa. Tetapi kini ada anak sewenang-wenangnya menengking bapa, memaki hamun, malah sampai menghumbankan bapa ke penjara dan mencederakannya.
Bongkaknya, seperti sudah lupa asal usul.
Ibnu Abbas berkata, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat reda kedua orang tuanya di waktu pagi dan petang, dia pun mendapat dua pintu syurga yang terbuka dan jika seorang, satu pintu. Sesiapa di waktu petang dan pagi membuat marah kedua orang tuanya, dia mendapat dua pintu neraka yang terbuka, jika seorang, satu pintu.”
Tetapi bagi si anak pantang melihat bapa melakukan perkara bertentangan.
Bapa, walaupun kerap kali berdepan dengan anak bermasalah, tetap bersabar dan menutup aib sehinggalah dia dapat melihat anaknya menjadi orang berguna.
Malah, anak selalu berkira soal makan minum dengan bapanya. Sudahlah wang jarang dikirim, bertanya khabar jauh sekali. Beberapa kali diberi, sudah mula mengungkit itu dan ini.
Satu kisah terjadi pada zaman nabi. Diriwayatkan dengan Isnad bersambung dari Jabir ibn Abdillah r.a, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ayahku mengambil hartaku.”
Kemudian Jibril turun kepada Nabi dan berkata: “Allah Azza wajalla menyampaikan salam kepadamu dan berkata kepadamu: “Apabila orang tua itu datang kepadamu, tanyailah dia mengenai sesuatu yang dikatakannya dalam dirinya dan hanya didengar kedua-dua telinganya.”
Ketika orang itu datang, Nabi berkata: “Mengapa puteramu mengeluhkan kamu? Apakah engkau ingin mengambil hartanya?”
Orang tua itu berkata: “Tanyailah dia, ya Rasulullah, apakah aku membelanjakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku?”
Rasulullah berkata: “Janganlah ceritakan hal ini kepada kami. Beritahulah aku mengenai sesuatu yang engkau ucapkan di dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu.”
Orang tua itu berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, Allah Azza wajalla selalu menambah keyakinan kami kepadamu. Aku sudah mengucapkan sesuatu di dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku.”
Rasulullah berkata: “Katakanlah supaya saya mendengarnya.”
Orang itu berkata: “Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan kubiayai engkau di kala dewasa. Engkau minum daripada rezeki yang aku berikan padamu.
“Bila engkau sakit pada waktu malam aku tidak tidur dan gelisah semalaman suntuk kerana penyakitmu, seakan akulah yang terkena bukannya engkau dengan penyakit yang menimpa orang lain sehingga aku menangis.
“Diriku takut engkau binasa, supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.
“Apabila engkau jadi besar dan mencapai akhir umur, aku pun tidak mengharapkanmu, engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.
“Kiranya bila engkau tidak memelihara hak aku sebagai bapa, engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan. Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku, dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu.”
Ketika itu, Nabi memegang leher baju putera orang itu dan berkata: “Engkau dan hartamu milik ayahmu.”
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
Read more...
17 June 2009
Kamera dalam usus

KAMERA berharga RM6,000 ini boleh mendiagnosis sehingga 85 peratus masalah usus.
EndoKapsul boleh merekodkan sehingga 56,000 keping gambar sepanjang lapan jam ia bergerak di kawasan usus pesakit.
CUBA bayangkan, perut anda dibelah dan usus kecil yang memiliki kepanjangan kira-kira enam meter dikorek keluar dari perut sebelum dimasukkan tiub berkamera semata-mata untuk mengenal pasti masalah yang ada padanya.
Bagi sesetengah orang yang menghidap cirit-birit atau sembelit berlanjutan tanpa sebarang rawatan, mungkin kaedah endoskopi ini terpaksa dilalui bagi merawat sindrom rengsa usus (IBS).
Kaedah konvensional yang telah diguna pakai selama hampir 50 tahun ini telah membantu banyak masalah kesihatan melibatkan usus sama ada usus kecil ataupun besar. Namun proses tersebut agak rumit dan memerlukan pengawasan berterusan daripada pakar.
Selain endoskopi, pesakit juga perlu meminum sejenis cecair khas sebelum melakukan imbasan sinar X bagi mengenal pasti masalah pada usus.
Bagaimanapun hasil diagnosis melalui kaedah ini dikatakan tidak begitu memberangsangkan kerana imej yang terhasil sukar dipastikan entitinya kerana imbasan sinar X hanya berwarna hitam dan putih.
“Badan kita mempunyai imej 3D. Jika seseorang itu menjalani imbasan sinar X di bahagian perut, berbagai-bagai andaian boleh diputuskan daripada keputusan sinar X.
“Boleh jadi warna hitam yang dilihat itu ketumbuhan dan mungkin juga ia adalah sambungan ke usus besar,” jelas Pakar Bedah Gastroenterologi di Pusat Pakar Alpha Kota Damansara, Dr. Robert P. Jalleh. 
SELEPAS menelan kamera endoKapsul, pesakit boleh melakukan aktiviti seperti biasa
Selain endoskopi, doktor akan melihat kepada gejala seseorang di samping meneliti sejarah perubatan pesakit bagi tujuan diagnosis.
Tidak perlu belah perut
Seiring dengan kemajuan dalam bidang perubatan, kini imej di dalam usus kecil sudah boleh dilihat secara jelas tanpa perlu menjalani sebarang pembedahan.
“Pesakit kini berpeluang memilih untuk menggunakan kaedah pembedahan atau hanya menelan kapsul berkamera yang dipanggil endoKapsul untuk memberi gambaran jelas mengenai masalah yang wujud di dalam usus kita,” katanya.
Tambah Robert, apa yang lebih meyakinkan, endoKapsul bukan sahaja memudahkan malah mampu meningkatkan ketepatan diagnosis sehingga 85 peratus dan pesakit digalakkan bergerak seperti biasa bagi mempercepatkan kapsul kamera ini turun ke usus kecil.
“Kapsul dengan kamera binaan ini sememangnya beresolusi tinggi dan imej yang dirakam boleh dilihat jelas pada skrin komputer.
“Dengan ukuran 26x11 milimeter atau dua kali ganda saiz kapsul biasa, endoKapsul merupakan kaedah untuk mengenal pasti penyakit dalam usus kecil yang paling efektif setakat ini,” katanya.
Dengan kepantasan merakam dua keping gambar sesaat, endoKapsul boleh merekodkan sehingga 56,000 keping gambar sepanjang lapan jam ia bergerak di kawasan usus pesakit.
“Sebelum menelan endoKapsul, pesakit diminta berpuasa dan minum ubat khusus bagi membersihkan usus mereka.
“Selepas itu, lapan pad antena akan dipasangkan di bahagian abdomen pesakit sebelum kapsul diberi untuk ditelan.
“Setiap imej yang dirakam akan disalurkan ke pad seterusnya disimpan pada satu alat perakam yang dipasang di pinggang pesakit.
“Selepas lapan jam, pad tersebut akan ditanggalkan dari tubuh pesakit dan doktor akan meneliti setiap imej yang dirakam menggunakan komputer untuk mendapatkan pengesanan yang lebih optimum,” katanya.
ANDA boleh mengetahui penyakit yang dihidapi dengan melihat gambar-gambar usus anda sendiri
Jelas Robert, imej yang jelas dihasilkan endoKapsul memang membantu para doktor mengenal pasti kawasan yang bermasalah namun tiada kawasan tepat yang boleh ditentukan oleh kapsul ini.
“Kita cuma boleh menganggarkan masalah itu berada di bahagian atas, tengah atau bawah bergantung pada masa dan imej kawasan usus yang dihasilkan namun kita tidak tahu lokasinya secara tepat,” jelasnya.
Walaupun kewujudan kapsul berkamera mempermudahkan para doktor mengenal pasti jenis penyakit di bahagian yang paling sukar dicapai itu, tidak semua pesakit boleh menggunakan peralatan serba canggih ini.
“Kaedah endoKapsul memang sangat membantu tetapi ia bukan satu-satunya cara yang kita boleh guna untuk mengesan penyakit di bahagian usus. Bagi pesakit yang mempunyai sejarah penyakit tertentu, mereka tidak boleh menggunakan kaedah ini.
“Oleh sebab itu, sebelum mengesyorkan endoKapsul kepada pesakit, doktor akan mengkaji sejarah kesihatan mereka bagi mengelak sebarang kerumitan yang mungkin timbul sekiranya mereka menelan kapsul ini,” jelasnya. 
KEMBUNG perut dan najis berdarah mungkin petanda awal usus anda bermas
Tambahnya, memandangkan kos kapsul tersebut mencecah RM6,000 sebiji dan ia hanya boleh digunakan sekali sahaja, tidak semua pesakit mampu membelinya dan mereka lebih cenderung menggunakan kaedah biasa.
“Kebanyakan hospital sama ada swasta atau kerajaan sudah memiliki teknologi ini namun ia bergantung kepada pesakit sama ada untuk membelinya atau tidak.
“Walaupun begitu, terdapat pesakit yang amat digalakkan menggunakan kapsul ini terutama warga emas yang mungkin berdepan risiko lain sekiranya terpaksa menjalani pembedahan pengesanan konvensional,” katanya.
Rengsa si usus kecil
Kebanyakan kes penyakit yang melibatkan usus kecil amat jarang ditemui di negara ini namun masih ramai yang berisiko berdepan penyakit di bahagian usus kecil sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal.
“Di Malaysia, 90 peratus kes dilaporkan melibatkan usus besar dan hanya 10 peratus berkaitan usus kecil.
“Antara penyakit yang sering dilaporkan ialah sindrom rengsa usus yang juga dikenali sebagai IBS.
“Ia merupakan gangguan terhadap fungsi usus di mana pesakit mengalami sakit perut yang bukan sahaja berulang-ulang tetapi juga kronik.
“Antara simptomnya, perut memulas, senak, kembung, angin dan perubahan tabiat membuang air besar. Terdapat juga pesakit yang mengalami cirit-birit, sembelit atau gabungan kedua-duanya sekali.
“Jika anda mendapati najis anda berdarah, segera dapatkan rawatan kerana ia bukan ciri-ciri IBS dan tidak mustahil ia merujuk kepada penyakit yang lebih serius,” katanya.
Robert memberitahu, pembuangan air besar yang normal adalah berbeza-beza iaitu minimum tiga ketul najis sehari. Tetapi jika yang berlaku sebaliknya, bahan-bahan kumuh yang tersimpan di dalam badan seseorang dalam jangka masa yang lama boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit.
“Jika orang sihat membuang air besar sama ada satu atau dua kali sehari, ada pesakit IBS melakukannya dua kali seminggu atau hanya sekali dalam tempoh dua minggu.
“Dalam kes cirit-birit pula, terdapat pesakit yang membuang air besar sehingga 10 kali sehari tetapi yang keluar hanya cecair. Ini menyebabkan pesakit tidak puas dan akan mengulanginya beberapa jam kemudian,” jelasnya.
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
nor.afzan@kosmo.com.my
Read more...
16 June 2009
Bantu anak bertutur

BACAKAN buku cerita kepada anak agar mereka cepat bertutur.
WALAUPUN telah memasuki umur dua tahun, namun anak anda masih tidak boleh bertutur dengan jelas.
Perkara tersebut, boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Ada sesetengah ibu bapa pula sering membandingkan kebolehan anak sendiri dengan anak orang lain.
Sedangkan, pada hakikatnya, kanak-kanak membesar melalui fasa yang berbeza di antara kanak-kanak seusia dengannya.
Ibu bapa mungkin menganggap anak mereka lembap jika si anak lebih lambat memperoleh kemahiran bertutur, membaca, bergaul dan berdikari berbanding dengan kanak-kanak lain.
Ada juga sesetengah ibu bapa yang tidak berasa bimbang tentang prestasi intelek anak-anak mereka walaupun si anak memang lembap jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya.
Kadangkala, persekitaran dan cara ibu bapa yang tidak menggalakkan perkembangan anak boleh menjadi punca sesetengah kanak-kanak lembap dari segi pencapaian bahasa, kemahiran sosial dan kebolehannya melakukan aktiviti.
Justeru, anda boleh mencuba beberapa tip yang boleh membantu anak-anak bertutur dengan cepat:
* Ibu bapa perlu selalu berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak-anak dari dalam perut atau ketika usia mereka masih bayi lagi.
* Apabila bercakap dengan mereka, gunakan ayat yang pendek dan mudah. Apabila anda mahu menerangkan sesuatu kepada anak-anak, pastikan ada ruang (pause) antara satu ayat dengan ayat lain supaya anak mendapat peluang untuk memberi tindak balas.
* Gunakan mimik muka yang bersesuaian untuk menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat.
* Selalu membacakan buku untuk anak dan meluangkan masa bercerita kepada anak.
* Sediakan bahan permainan yang boleh dan mampu membantu mereka membina kecerdasan otak.
* Dedahkan anak-anak dengan interaksi sosial. Ini kerana dengan cara ini, ia dapat memberi peluang kepada anak-anak untuk mendengar perbualan.
* Banyakkan aktiviti seharian. Ini kerana ia dapat digunakan untuk membantu anak bercakap dan mengembangkan keupayaannya menggunakan bahasa, antaranya mengemukakan soalan atau arahan, mempelajari perkataan-perkataan baru dan bercakap dengannya.
* Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik dan berusaha memberi perhatian serta mendengar dan cuba memahami apa yang disampaikan si anak. Jika apa yang diucapkannya tidak jelas, bantu mereka menyebut beberapa perkataan yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebut oleh anak.
* Amalkan bercerita kepada anak-anak sebelum mereka tidur.
* Bagi yang beragama Islam, berikan anak anda minum air zam-zam atau air daripada bacaan surah Yasin.
Sumber : KOSMO
Read more...
15 June 2009
Rotan = Disiplin?

ISU hukuman rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan langkah terbaik mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar peraturan.
ISU hukuman rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan langkah terbaik mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar peraturan.
Walaupun dulu ramai anggota masyarakat yang tidak menyokong hukuman ini dan lebih memilih sesi kaunseling, kini masyarakat merasakan ia jalan penyelesaian terbaik.
Jika mengimbau persekolahan zaman 60-an dan 70-an, jika guru merotan pelajar yang melakukan kesalahan, ia perkara biasa dan mendapat sokongan ibu bapa.
Murid atau pelajar sedar jika dirotan, ia adalah kerana kesalahan sendiri dan mereka tidak berani mengadu kepada ibu bapa kerana aduan itu tidak dilayan, sebaliknya mereka mungkin dirotan lagi.
Memang sakit apabila dirotan, tetapi kebanyakan pelajar yang pernah menerima hukuman itu, kini menjadi manusia berguna, memegang jawatan tinggi dan disegani masyarakat.
Malah, ada pelajar yang pernah dirotan berterima kasih kepada guru kerana mengambil tindakan berkenaan.
Tetapi, suasana kini berbeza kerana hukuman merotan dianggap ketinggalan zaman dan guru yang melakukan perbuatan itu mungkin menerima 'hukuman' ibu bapa.
Ada ibu bapa mengambil tindakan undang-undang, membuat laporan polis atau memukul guru yang merotan anak mereka.
Disebabkan takut dikenakan tindakan undang-undang, rotan hanya disimpan dalam laci meja dan akibatnya, pelajar semakin liar dan tidak terkawal.
Saban hari, ada saja kes membabitkan disiplin pelajar dilaporkan malah polis terpaksa campur tangan.
Rentetan daripada perkembangan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Pejabat Peguam Negara membuat keputusan segera berhubung pelaksanaan hukuman merotan pelajar sekolah.
Beliau berpendapat sudah sampai masanya satu tindakan drastik dilakukan bagi menangani masalah disiplin pelajar sekolah.
"Peraturan sekarang yang melarang guru menyentuh pelajar menjadi kekangan utama melaksanakan hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar.
"Justeru, bagi mengelak ibu bapa menggunakan saluran undang-undang terhadap guru yang merotan anak mereka, keputusan itu sangat diperlukan," katanya.
Katanya, pelajar tidak dihukum tanpa sebab dan ibu bapa perlu memahami guru merotan anak mereka bertujuan membendung mereka mengulangi kesalahan.
Dari segi kuasa merotan, hanya pengetua dan guru besar boleh melakukan, tetapi mereka boleh menurunkan kuasa itu kepada guru lain.
Bagaimanapun, hukuman rotan hanya boleh dilakukan selepas amaran bertulis dikeluarkan kepada pelajar.
Hukuman itu tidak boleh dilakukan di tempat terbuka, kesalahannya itu mesti direkodkan dan ada saksi ketika hukuman merotan.
Hakikatnya, boleh atau tidak hukuman merotan ini?
Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Azreena Wan Jaafar, berkata kesesuaian hukuman rotan itu bergantung kepada usia anak atau pelajar.
Dari segi psikologi, bagi pelajar sekolah hukuman rotan pelajar adalah langkah terakhir, tetapi bagi murid sekolah rendah, ia tidak sesuai.
"Jika hukuman rotan dikenakan terhadap murid sekolah rendah, ia akan meninggalkan kesan negatif kepada mereka.
"Parut di rotan pasti boleh hilang, tetapi parut di hati mungkin menjadi dendam," katanya.
Azreena tidak menolak kemungkinan, tindakan itu mengakibatkan murid murung dan tidak mahu ke sekolah kerana takut dirotan.
"Apa yang paling membimbangkan, mereka juga mungkin terdorong untuk menjadikan rotan itu sebagai hukuman kepada sesiapa yang mereka rasakan melakukan kesalahan.
"Pada usia sekolah rendah, otak mereka cepat menangkap apa yang dilakukan orang dewasa.
"Ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat terhadap tumbesaran mereka," katanya.
Bagi pelajar di sekolah menengah, mereka mungkin boleh menerima hukuman berkenaan.
"Namun, kita juga perlu melihat, siapa yang merotan dan di mana ia dilakukan.
"Jika dilakukan pengetua atau guru disiplin dan dilaksanakan di tempat tertutup, ia tiada masalah.
"Bagaimanapun, jika yang merotan itu guru biasa dan dilakukan di khalayak ramai, mereka mungkin berdendam," katanya.
Emosi guru adakalanya tidak stabil dan tertekan. Jadi, jika guru biasa yang menjatuhkan hukuman, Azreena khuatir mereka akan memukul pelajar sekuat hati bagi menghilangkan tekanan itu.
Tetapi, itu tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak boleh dihukum. Elak memukul di bahagian sensitif seperti muka, perut atau kepala.
Pukul pula jangan terlalu kuat, cukup sekadar memberi 'pengajaran dan peringatan' supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada
usia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud).
"Jika mahu memukul, lebih baik ibu bapa atau guru memukul anak dengan tangan kerana mereka dapat merasakan sendiri kesakitan dialami si anak," katanya.
Sementara itu, bapa kepada empat orang anak lelaki, Mohd Zaidi Syukri, 48, berkata beliau tidak ada masalah apabila anaknya dirotan kerana melakukan kesalahan.
"Jika hukuman itu boleh menyedarkan anak, kita patut menyokong, bukan membela anak yang melakukan kesalahan.
"Jika ibu bapa selalu membela, anak lebih berani melakukan kesalahan dan mungkin menconteng arang di muka kita nanti," katanya.
Menurut Zaidi, hukuman rotan bukanlah hukuman yang kejam kerana kesakitan dek rotan itu akan hilang juga.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
Read more...
14 June 2009
Katarak punca buta

WUJUD kaitan antara pendedahan kepada UV dengan penyakit-penyakit mata yang mungkin menyebabkan buta. - Gambar hiasan
Oleh: NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 20 peratus atau tiga juta orang di seluruh dunia menjadi buta setiap tahun kerana katarak
MATAHARI sering dikaitkan dengan kesan kerosakan pada kulit manusia. Tetapi, tahukah anda bahawa kesan radiasi ultra lembayung (UV) boleh menyebabkan kerosakan penglihatan?
Menurut satu kaji selidik yang dilakukan peneraju dunia dalam teknologi seri warna berubah-ubah, Transitions Optical pada April 2009, hanya 38 peratus daripada rakyat Malaysia sedar akan kesan buruk terhadap mata. Masalah tersebut disebabkan pendedahan yang terlalu lama kepada sinar UV.
Kajian itu merupakan sebahagian daripada kaji selidik Penglihatan Sihat Secara Global yang dilakukan ke atas 15 buah negara termasuk Malaysia.
Bercakap mengenai UV, ia terdiri daripada sinaran bertenaga tinggi dari matahari yang terletak berhampiran dengan spektrum penglihatan lembayung.
Lebih daripada 99 peratus daripada radiasi solar UV diserap oleh struktur hadapan mata. Terdapat bukti saintifik yang mengatakan bahawa penyerapan UV oleh mata mungkin menyumbang kepada perubahan yang berkaitan usia pada mata serta beberapa jenis penyakit mata yang serius.
Bukan itu sahaja, UV boleh menjadi punca kepada perkembangan pelbagai gangguan penglihatan seperti katarak yang berkaitan dengan usia, pterygium, kanser kulit di sekeliling mata, fotokeratitis dan perubahan pada selaput mata.
Biarpun banyak faktor telah dicadangkan sebagai risiko kepada katarak dan kemusnahan macular, terdapat bukti penyelidikan dan epidemiologi kukuh yang menunjukkan bahawa wujud kaitan antara pendedahan kepada UV dengan penyakit-penyakit mata yang mungkin menyebabkan buta.
"Kurangnya, kesedaran terhadap perkara sebegini amat membimbangkan kerana satu daripada dua rakyat Malaysia terdedah kepada cahaya matahari pada setiap hari, sama ada sewaktu ke tempat kerja ataupun beriadah," jelas Pengarah Urusan Transitions Optical, Paul Peiffer pada majlis Transitions Daripada Sudut Kesihatan, bertempat di Heritage Mansion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, kaji selidik itu menunjukkan kurangnya kesedaran turut menyebabkan kesan sampingan tertentu UV kepada mata.
Katanya, sebanyak 96 peratus daripada responden tidak sedar bahawa pendedahan kepada sinar UV untuk jangka masa panjang boleh mengakibatkan katarak.
Daripada 16 juta kes buta setiap tahun yang disebabkan oleh katarak, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 20 peratus ataupun tiga juta orang di seluruh dunia menjadi buta setiap tahun kerana katarak.
"Katarak adalah satu daripada banyak penyakit yang disebabkan oleh pendedahan sinar UV tanpa sebarang perlindungan.
"Ia merupakan kekaburan pada lensa di bahagian dalam mata yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun.
"Kajian menunjukkan bahawa kesan pendedahan kepada cahaya matahari adalah bersifat kumulatif dan lama kelamaan boleh menyebabkan penyakit serius kepada mata seperti katarak dan kemusnahan macular, iaitu punca utama buta seluruh dunia," jelas Perunding Pakar Oftalmologi Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn, Dr. Linda Teoh.
Selain katarak dan kemusnahan macular, jelasnya, kesan serius jangka panjang kerana pendedahan UV termasuklah kanser kulit di sekitar mata.
Memandangkan 90 peratus daripada semua kanser kulit berkaitan UV berlaku di bahagian atas leher dengan anggaran 10 peratus semua kanser kulit bukan melanoma berlaku pada kelopak mata, kawasan di sekitar mata memerlukan perhatian khas bagi mengurangkan pendedahan kepada UV.
Dr. Teoh berkata, pendedahan untuk jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan mata seperti pingueculae, ketumbuhan kekuningan beninga dan pterygia iaitu ketumbuhan merah berbentuk tiga segi pada mata.
Kesan jangka pendek pula termasuklah selaran matahari ke atas permukaan mata iaitu keadaan yang amat menyakitkan yang dikenali sebagai fotokeratitis, yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan sementara.
"Sudah tentu mencegah lebih baik daripada merawat. Amat penting diingatkan bahawa pencegahan awal untuk meminimumkan kerosakan yang mungkin berlaku akibat pendedahan dalam jangka masa panjang kepada sinar UV adalah penting," ujar Dr. Teoh.
Dalam pembentangan kaji selidik yang dijalankan oleh Transitions Optical, tidak ramai mengetahui tentang risiko kemusnahan pada mata dan kawasan lembut di sekitar mata yang tidak dapat dicapai oleh losen pelindung matahari.
Hanya 37 peratus menggunakan kanta dengan penghalang UV untuk melindungi mata daripada sinaran tersebut.
Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diambil oleh pengguna dan anak-anak mereka bagi menjaga keselamatan mata ketika berada di bawah sinaran matahari:
n Hadkan pendedahan kepada sinaran matahari antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.
n Pakai topi dan perlindungan lain.
n Pakai cermin mata yang boleh menghalang radiasi Gelombang panjang radiasi ultra lembayung (UVA) dan Gelombang sederhana radiasi ultra lembayung (UVB).
n Sentiasa ingat bahawa sinar UV memberi ancaman pada setiap hari termasuk ketika hari mendung.
n Sentiasa melindungi kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa di luar rumah. Ini kerana, mereka lebih berisiko terdedah pada sinar UV.
Read more...
13 June 2009
Buku sifir dalam poket

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com
Kerana sumbangannya yang tidak ternilai dalam bidang pendidikan, Bibi Zuhara masih dihargai walaupun sudah bersara. Baru-baru ini, beliau ditabalkan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Putrajaya 2009.
CUBA bayangkan anda seorang guru besar sekolah. Apa perasaan anda apabila ada ibu bapa sanggup menukarkan anak-anak mereka ke sekolah lain, lantaran keputusan peperiksaan murid yang semakin buruk di sekolah yang anda ketuai.
Situasi ini turut menyebabkan rekod kecemerlangan sekolah terjejas sehingga nama sekolah tercicir daripada perhatian senarai sekolah terbaik.
Itulah cabaran yang didepani Datin Bibi Zuhara Dilbarkhan sewaktu bergelar guru besar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seksyen (SS) 19, Subang Jaya, Selangor pada awal tahun 2000.
Namun, hidup berpegang pada pepatah azimat, 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih', Bibi Zuhara yang juga seorang guru Matematik melihat semua itu sebagai satu cabaran untuk dirinya mendidik anak bangsa.
Berkat kepimpinan dan sokongan padu guru-guru di sekolah itu, peratusan murid yang memperoleh kesemua A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melonjak daripada 78 peratus kepada 99 peratus.
Keputusan itu berjaya menaikkan kembali reputasi sekolah yang telah menurun sehingga tiba-tiba nama SRK SS 19 mula menjadi sebutan ramai.
Daripada sebuah sekolah tercicir yang kemudiannya muncul sebagai sekolah cemerlang, lebih manis SRK SS 19 diletakkan dalam senarai antara 40 buah sekolah terbaik di Malaysia yang mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR dari tahun 2001 hingga 2005.
Malah, berkat kepimpinan beliau di SRK SS 19, Kementerian Pendidikan menganugerahkan sekolah tersebut Sekolah Harapan Negara pada tahun 2001, seterusnya memperkasakan sekolah itu di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PPIP).
Yang pasti, curahan tenaga, bakti dan pengorbanan sepenuh jiwa Bibi Zuhara bukan hanya di SRK SS 19.
SRK Seafield, Subang Jaya; Sekolah Rendah Rakyat, Kuching, Sarawak dan terakhir di SRK Precint 11 (3), Putrajaya muncul antara beberapa sekolah yang banyak mengalami perubahan terutama dalam rekod kecemerlangan murid hasil kepimpinan Bibi
Bahkan, kesungguhan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sebagai pendidik sebenarnya bermula sejak beliau menjadi guru Matematik lagi.
Semasa Bibi Zuhara menjadi guru lagi, beliau begitu bersemangat mengajar dengan mengkhusus subjek Matematik, Bahasa Melayu dan Sains.
Memulakan kerjaya guru pada usia 21 tahun, antara sekolah yang pernah menerima sentuhan khidmatnya adalah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Hamzah, Machang, Kelantan (1973 - 1976); Sekolah Rendah Bandar Jerantut, Pahang (1976 - 1983); Sekolah Rendah Beserah, Kuantan, Pahang (1983 -1984) dan Sekolah Rendah Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang (1984-1986).
Selain itu, beliau juga pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Sri Subang Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor (1987 - 1997) dan SRK Seksyen 9, Shah Alam, Selangor (1998 - 1999).
Rahsia kejayaan beliau yang juga isteri kepada bekas pesara Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (Senior Asistan Komisioner) itu adalah dengan mewajibkan semua murid daripada darjah satu hingga enam mempunyai buku sifir di dalam poket baju atau seluar sebagai jalan usaha untuk mereka menghafal sifir.
Malah, beliau sanggup mencetak beratus-ratus buku sifir kecil kerana ingin melihat kesemua muridnya meminati Matematik dan seterusnya cemerlang dalam subjek tersebut.
"Setiap kali selepas perhimpunan, saya akan bertanya sifir kepada setiap murid.
"Murid yang tidak dapat menjawab akan didenda. Bagi yang dapat menjawab pula, akan diberikan hadiah. Justeru, ke semua murid akan sentiasa bersedia setiap kali sesi perhimpunan bermula," katanya yang berjaya melonjakkan nama sekolah melalui strategi itu.
Bukan itu sahaja, ibu kepada tiga cahaya mata ini turut mengendalikan kelas tambahan bagi murid yang lemah dalam subjek Matematik dan Sains.
"Ramai murid terkejut, selain terpaksa menggunakan buku sifir kecil sebagai panduan memandangkan ada di antara mereka sebelum ini, tidak suka subjek Matematik yang dianggap sukar.
"Namun, masalah itu tidak berpanjangan apabila mereka dapat menguasai subjek ini dengan baik, sekali gus membolehkan prestasi subjek Matematik naik secara mendadak," katanya yang bersara sebagai guru selepas menabur bakti dan mengabdikan diri dalam bidang yang dicintainya itu selama 33 tahun.
Jelasnya, kebanyakan murid yang lemah dalam subjek Matematik juga adalah disebabkan mereka tidak menguasai sifir. Mentaliti mereka juga sentiasa mengatakan bahawa subjek Matematik adalah susah tetapi sebenarnya tidak.
Apa yang menakjubkan, kesemua sekolah yang diterajui dan diajar oleh Bibi Zuhara mendapat keputusan cemerlang dan menjadi sekolah terbaik.
Kerana itulah juga, beliau menerima anugerah Guru Cemerlang sebanyak lima kali berturut-turut.
Bekas lulusan Maktab Perguruan Melayu Perempuan Melaka itu, berkata, murid yang lemah tidak boleh terus dimarahi, sebaliknya mereka perlu diajar mengenai cara penguasaan yang betul.
"Itulah sebahagian rahsia kejayaan saya, selain semangat berpasukan yang ditonjolkan guru sekolah dalam penyediaan kelas tambahan dan kelengkapan lain.
Hakikatnya, kecemerlangan sebenar berpunca daripada diri murid itu sendiri apabila mereka bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran menjelang musim peperiksaan," katanya.
Walaupun telah bersara, semangat Bibi Zuhara untuk memberikan ilmu kepada anak-anak bangsa tidak pernah surut dari fikirannya.
Kerana sumbangan besarnya itu, sempena Hari Guru 2009 pada Mei lalu, beliau dianugerahkan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Putrajaya 2009.
Read more...
12 June 2009
11 June 2009
Kenali karakter melalui tarikh lahir
PELBAGAI elemen dapat dikenal pasti antara anda dengan si dia dicintai. Antaranya, persamaan minat dan cita rasa.
Ilmu kaji bintang atau sains metafizik turut meletakkan kajian terhadap elemen nombor atau tarikh lahir sehingga boleh menzahirkan karakter seseorang.
Elemen logam, air, kayu, api dan tanah dinyatakan dalam bentuk tersirat menerusi tarikh lahir berkenaan mengenai pelbagai jenis sikap. Walaupun ia sekadar tekaan berdasarkan nombor atau tarikh lahir, semak panduan berikut jika mahu mempercayainya. Andai sebaliknya, abaikan saja.
Lahir pada 1 haribulan - Si dia berjiwa seni dan gemar bersantai sambil menenangkan fikiran. Ajaklah si dia bersantai di pesisiran pantai.
2 haribulan - Anda boleh mengharapkan pemberian sejambak bunga atau patung beruang kerana si dia berjiwa romantik. Pada peringkat awal, dia malu-malu kerana takut dikecewakan. Mulakan perhubungan sebagai teman rapat.
3 haribulan - Sikap si dia sukar diramal. Lalu anda harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Si dia gemar melancong atau berkhemah, ini membuatkan si dia kekurangan masa untuk bersama.
4 haribulan - Kurang yakin dan takut mencuba sesuatu yang baru. Apa kata, setiap kali si dia bercadang melakukan sesuatu perkara, berilah sepenuh sokongan kepadanya.
5 haribulan - Selalunya si dia gemar memendam perasaan. Walaupun menyukai seseorang, sukar baginya berterus terang.
6 haribulan - Si dia umpama magnetik. Semua orang sukakannya. Ringan tulang dan bersedia membantu sesiapa saja.
7 haribulan - Cepat panas baran dan mudah mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya dilafazkan hingga menyinggung perasaan orang lain. Ada kalanya boleh menimbulkan persengketaan.
8 haribulan - Si dia agak pendiam dan sukar didekati. Si dia hanya berbicara jika kena pada topiknya.
9 haribulan - Pandai mengambil hati dan penyayang. Tapi awas! Ramai gadis yang mengejarnya. Maknanya, anda mempunyai ramai saingan.
10 haribulan - Jujur, berterus terang dan berusaha mendapatkan apa yang diingini. Si dia mudah disenangi dan anda pula harus pandai mengambil hatinya.
11 haribulan - Mementingkan kerjaya, ada kalanya sampai lupakan kehidupan sosial.
12 haribulan - Lebih bersikap sederhana. Tidak suka memikirkan hal remeh-temeh. Bagi mereka, yang penting adalah kerjaya dan soal masa depan.
13 haribulan - Tegas membuat keputusan. Mungkin kali pertama mengenalinya, seseorang cepat bosan tetapi dia penyayang.
14 haribulan - Berjiwa penyayang dan sukakan kanak-kanak. Si dia juga mementingkan keluarga.
15 haribulan - Suka memendam rasa. Sering mengukir senyuman namun di hati, siapa tahu?
16 haribulan - Garang! Walaupun garang, ada kalanya dia punya sikap romantik dan penyayang. Tidak hairanlah lelaki jenis ini amat sukar didekati.
17 haribulan - Lembut namun tegas dalam membentuk keharmonian perhubungan.
18 haribulan - Berkebolehan melukis dan kreatif. Banyak menghabiskan masanya dengan hobi ini.
19 haribulan - Mudah tersinggung dan agak manja. Si dia suka jika anda melayannya seperti bayi. Melalui lirikan dan senyuman manja anda, sudah cukup untuk menawan hatinya.
20 haribulan - Tenang dan bersahaja. Ada kalanya jika menghadapi situasi mencemaskan, riak wajahnya tetap tenang tetapi tidak hatinya.
21 haribulan - 'Angin' tidak menentu tetapi masih boleh dikawal. Gemar bersantai di kafe sambil mendengar muzik rentak perlahan.
22 haribulan - Agak emosi dan sukar mengawal perasaan. Tetapi jiwanya mudah cair dengan pujuk rayu gadis.
23 haribulan - Ego dan pentingkan diri sendiri. Si dia juga mementingkan kawannya.
24 haribulan - Takut menghadapi kekecewaan mungkin disebabkan kisah silamnya.
25 haribulan - Gembira dan gemar berlawak.
26 haribulan - Si dia mudah dipengaruhi. Jangan terkejut jika dia mempunyai koleksi kekasih.
27 haribulan- Walaupun nampak ganas, sebenarnya dia berjiwa sentimental. Jangan pula anda mengambil kesempatan ke atas dirinya.
28 haribulan - Si dia suka memerintah. Anda perlu tahu mengawal perasaan sekiranya si dia bersikap begitu pada anda.
29 haribulan - Gemar bertukar pasangan. Renungan manja anda dapat mencairkan si dia.
30 haribulan - Boros berbelanja terutama 'menyolek' kereta kesayangannya. Jika boleh, beri nasihat supaya dia mengawal perbelanjaan dan simpan duit untuk masa depan.
31 haribulan - Gemar bergaya dan pentingkan penampilan. Si dia juga sukakan gadis yang berpersonali
Read more...


