
Pilihan di hati anda,sengsara atau bahagia seketika.Yang nyata najis dadah musuh utama negara.Berganda derita jika menghampirinya.Berbahagia jika menjauhinya.
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
21 January 2009
'Jauhi DADAH Dekati IBADAH !
20 January 2009
Azam Mendidik Anak.

Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?(Sumber:Akhbar KOSMO)
KITA sering mendengar resolusi tahun baru kebanyakan orang adalah untuk berhenti merokok, lebihkan senaman atau mengubah tabiat pemakanan. Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?
Mungkinkah terdapat teknik mendidik anak yang perlu anda tukar? Ataupun terdapat tabiat anak anda yang perlu diubah?
Berikut adalah sesetengah resolusi mendidik anak yang mungkin boleh dipertimbangkan.
Jadikan contoh
Kebanyakan ibu bapa tidak sedar akan pengaruh mereka terhadap anak-anak.
Anak biasanya cenderung terpengaruh dengan tabiat merokok, pengamalan diet yang tidak sihat, tidak memakai topi keledar dan sebagainya jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai tabiat buruk.
Ibu bapa perlu menjadi model yang baik sama ada dari segi tingkah laku mahupun kaedah pengurusan emosi.
Mendisiplinkan anak
Belajar mendisiplinkan anak secara efektif amat mustahak. Mendidik mereka kaedah bertindak balas dan mengurangkan tingkah laku yang buruk adalah salah satu contohnya.
Disiplin dan hukuman bukan perkara yang sama. Jika anda berdepan dengan masalah mendisiplinkan anak, maka jangan segan mendapatkan bantuan. Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Teknik didikan tertentu tidak semestinya boleh diaplikasikan untuk semua anak.
Didikan adalah sebahagian besar daripada disiplin. Jika anak melenting, mengehadkannya daripada menikmati pelbagai keistimewaan mungkin satu tindakan yang wajar.
Tetapi, si anak tidak mungkin belajar atau tahu apa yang betul sehinggalah anda menunjukkan kepadanya. Luangkan masa untuk menerangkan perilaku yang betul kepada anak.
Adakah anda memahami perkara yang dilakukan oleh anak? Mengapa anak kecil memandang anda dan sejurus selepas itu memukul abangnya atau melontarkan sesuatu ke atas lantai? Tidakkah dia tahu itu sesuatu yang salah?
Dia mungkin tahu tetapi tidak bermakna apa yang dilakukan itu jahat. Sebaliknya, kebanyakan kanak-kanak berada dalam kedudukan menerokai had mereka. Inilah satu proses normal dan merupakan sebahagian daripada perkembangan semula jadi. Jika anda berusaha memahami rasional anak, boleh jadi kemarahan dan reaksi anda tidaklah seteruk yang disangkakan.
Sebahagian besar ibu bapa telah mengukuhkan perilaku buruk anak tanpa disedari. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak disalurkan dengan pelbagai perhatian negatif dan tidak konsisten. Sekiranya anda masih tidak dapat memahami mengapa anak bertindak sedemikian, maka ini mungkin bermakna teknik mendisiplinkan anak anda itu tidak berkesan.
Pemakanan sihat
Dewasa ini kebanyakan ibu bapa dilihat cenderung memanjakan anak. Malah, mereka juga terlupa meminta anak membasuh pinggan mangkuk setiap kali selepas makan. Sepatutnya, anak perlu belajar menghabiskan makanan agar tidak meninggalkan separuh daripada sajian tersebut di dalam pinggan.
Jika anda sentiasa membiarkan lebihan makanan berada dalam pinggan secara konsisten, tabiat ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Untuk menyelesaikan masalah ini, anda mungkin boleh memberikan hidangan kecil kepada anak bagi melatihnya menghabiskan semua makanan. Sediakan juga pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayuran, daging dan produk tenusu rendah lemak. Hadkan pengambilan minuman bersoda, tinggi gula dan makanan kaya lemak dalam diet pemakanan anak anda.
"GALAKKAN anak aktif dalam aktiviti fizikal bagi mengelakkan risiko menjadi obes.
Aktiviti fizikal
Bilangan kanak-kanak dan anak remaja yang obes kian bertambah. Menghabiskan masa berjam-jam di depan televisyen, bermain permainan video dan komputer adalah antara puncanya. Jadi, selain pengamalan diet yang seimbang, pastikan anak diberi masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti fizikal secara kerap untuk kekal sihat dan cergas.
Berkomunikasi secara efektif
Adakah anda tahu bagaimana berinteraksi dengan anak? Apakah yang akan anda lakukan apabila anak bermasalah? Belajar berkomunikasi dengan anak jelas merupakan satu kemahiran penting.
Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama anak. Misalnya, pendidikan seks, bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah serta alkohol.
Sentiasa bersedia
Apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama berdepan dengan masalah didikan anak yang spesifik? Misalnya, ketika anak bercakap bohong, mencuri atau ponteng sekolah? Anda mungkin tidak bersedia untuk setiap situasi tetapi perancangan awal mungkin dapat membantu.
Membuat perancangan awal juga boleh membantu anda berdepan dengan anak-anak yang sukar dikawal.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://pediatrics. about.com.
Read more...
19 January 2009
Majlis Pelantikan Pengawas Sekolah & Pusat Sumber , Ketua & Penolong Ketua Darjah SK Pegoh.

Tarikh:19 Januari 2009 Masa:8.00am
Perasmi:Tn.Ho Yew Meng,Pegawai Bomba & Penyelamat Daerah Alor Gajah.
Read more...
18 January 2009
17 January 2009
Budaya Nasihat Ke arah Kesejahteraan Umat.

Jangan menjadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim.
- Gambar hiasan .
Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.
DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.
Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.
Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.
Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.
"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."
Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.
Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.
Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103. (Sumber Akhbar Kosmo)
Read more...
16 January 2009
Perjumpaan Ibubapa Murid Tahun 6 Dengan Guru-Guru UPSR SK Pegoh.

Tarikh:16 Januari 2009 Masa: 8.30 am
Read more...
13 January 2009
Azzah "Ulat Buku"
Buku 'teman setia' Azzah
Kanak-kanak berusia sembilan tahun ini mampu menghabiskan sebuah buku cerita setebal 40 muka surat dalam masa satu atau dua hari. Tahun lalu dia meminjam 203 buah buku dari perpustakaan.(Sumber :Akhbar Kosmo)
Azzah mampu menghabiskan sebuah buku cerita setebal 40 muka surat dalam masa sehari atau dua hari. Buku itu kemudian dipulangkannya semula ke perpustakaan dan menukarnya dengan buku lain.
Menurut kanak-kanak itu lagi, dia sanggup berbasikal seorang diri ke Perpustakaan Komuniti Siber Ilmu yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya semata-mana mahu mendapatkan bahan bacaan baru.
"Azzah memang minat baca buku, tapi tak sangka pula minat ini diiktiraf oleh perpustakaan negeri," katanya yang menerima pengiktirafan tersebut setelah meminjam 203 naskhah buku dan majalah sepanjang tahun lalu.
Malah, jumlah pinjamannya juga jauh lebih tinggi berbanding penerima anugerah yang sama bagi kategori warga tua dan dewasa iaitu Tan Ewe Tat, 56, dan Mahani Sharif Hussin yang masing-masing meminjam 113 dan 165 buah buku untuk tempoh yang sama.
Tidak pernah membayangkan dirinya untuk bergelar ulat buku, Azzah mengakui minat untuk membaca kini bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi untuk menagih pengetahuan dan maklumat.
Meminati buku cerita bahasa Melayu, Azzah menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor setelah dewasa kelak.
Anak kedua dari tiga beradik itu mula menunjukkan minat membaca ketika berusia empat tahun.
Namun ketika berada di kelas tadika semasa berusia lima tahun, minatnya semakin ketara apabila mula pandai membaca. Hasilnya, Azzah lebih lancar membaca berbanding kanak-kanak lain seusianya.
Menurut Saidatul Naziha, anaknya mula rajin ke perpustakaan untuk meminjam buku cerita ketika berusia tujuh tahun.
"Saya dan suami tidak pernah menyekat minatnya, malah kami sering bawa dia ke pameran buku dan membelikan bahan bacaan yang baru untuknya.
"Saya juga tidak pernah menetapkan waktu baginya untuk membaca buku di rumah kerana bagi saya, ia satu tabiat yang harus diberi galakan dan bukan dihalang," jelasnya.
Walaupun dia amat berbangga dengan sikap 'ulat buku' yang ditunjukkan puteri tunggalnya itu, tetapi Saidatul Naziha sedikit terkilan kerana minat itu tidak ditiru oleh anak sulungnya, Muhamad Hafiz, 12, dan anak bongsunya, Muhamad Mustaffa, 6.
Namun ibu kepada tiga anak ini tetap berbangga apabila pada usia Azzah yang baru setahun jagung, dia sudah mendapat pengiktirafan yang mungkin jarang diperoleh oleh kanak-kanak seusianya.
"Kini, saya dan suami pun terikut-ikut dengan sikap 'ulat buku' yang ditunjukkannya apabila mula menjadikan membaca sebagai hobi mengisi masa senggang di rumah, selain mesti bawa bahan bacaan semasa perjalanan jauh," ujarnya.
Read more...


