HASIL karya Jaja bukan sahaja bereksperimentasi dengan lukisan dan warna tetapi sarat dengan tema tertentu dalam kehidupan.
IMPIAN terbesar bagi kebanyakan pelukis muda adalah untuk melihat hasil-hasil karya mereka terpampang dalam pameran solo. Sejujurnya, tempoh perjalanan untuk mencapai impian itu tidak selalunya mudah. Lebih-lebih lagi dalam industri seni lukis tempatan yang tidak kurang sengit.
Ada anak seni yang mungkin mengambil masa sesingkat lima tahun manakala ada pula yang memakan masa lebih sedekad sebelum karyanya diangkat dalam sebuah pameran solo.
Bagi pelukis berbakat besar, Nur Yusniza Mohd. Yusof atau Jaja, 27, perjuangannya dalam bidang seni lukis sejak berusia 14 tahun nyata tidak sia-sia. Anak sulung kepada pelukis terkemuka tempatan, Yusof Gajah itu kini boleh tersenyum gembira dengan pameran solo pertamanya yang sedang berlangsung di Galeri Metro Fine Art, Hotel Legend, Kuala Lumpur sehingga 20 November ini.
Terkenal dengan subjek kucing-kucing berwajah ceria dan palitan warna-warna garang, secara naturalnya pameran solo Jaja itu juga membawa pengunjung ke alam kucing di bawah tema Meowland.
Sejumlah 41 keping hasil karya Jaja yang dihasilkan dari tahun 2007 sehingga 2010, dipamerkan untuk tatapan umum. Koleksi lukisan pelbagai saiz yang majoritinya dihasilkan pada kain kanvas itu menawarkan peminat seni atau pencinta kucing dengan seribu satu penampilan kucing yang menakjubkan.
Imaginasi dan daya kreativiti anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, itu diterjemah ke dalam seni berbentuk naif yang comel dan menenangkan jiwa. Imej-imej kucing hitam putih, kucing bersiar-siar di taman, bersantai di Kafe Meow Meow dan menjadi pari-pari kucing bersayap merupakan antara hasil karya yang terpampang di ruang pameran.
Jaja yang dihubungi, sejujurnya melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas kepercayaan kurator galeri, Kim, untuk mempamerkan koleksi hasil titik peluhnya itu.
“Saya memang sangat gembira. Harap-harap menerusi pameran solo yang pertama ini, kerjaya saya dalam bidang seni lukis akan pergi lebih jauh selepas ini,” kata ibu kepada seorang anak itu.
Menyifatkan melukis sebagai satu bentuk terapi, graduan diploma dalam jurusan psikologi itu biasanya lebih terdorong untuk menghasilkan lukisan dengan subjek yang ceria.
Teknik lukisan genre naif itu mula menarik perhatian Jaja selepas dia terbaca tentang hasil karya seorang pelukis Indonesia, Erica Hestu Wahyuni. Gaya lukisan yang tersendiri hanya terbentuk selepas dia banyak berlatih dengan berpandukan kepada hasil karya dan teknik idolanya itu.
Namun, sudah pastinya pengaruh terbesar Jaja dalam dunia seni lukis datang daripada bapanya, Yusof. Ketika ramai yang ingin menjadi anak murid bapanya, Jaja rasa cukup bertuah kerana dia merupakan anak Yusof Gajah.
LUKISAN bertajuk Chilling memperlihatkan kucing-kucing bersantai di Meow Meow Cafe.
--------------------------------------------------------------------------------
“Banyak yang saya belajar daripada papa - cara bekerja, memegang lukisan sehinggalah bagaimana kita harus menghargai sesebuah lukisan tidak kira ia milik kita ataupun orang lain.
“Misalnya, bagi papa, lukisan tidak boleh diletak di atas lantai kerana ia seharusnya dihormati,” terangnya yang menggunakan akrilik sebagai medium melukis.
Jaja turut menyimpan harapan agar suatu hari nanti, hasil karyanya tidak hanya terpampang di atas dada kanvas. Sebaliknya, dia ingin meluaskan bakat kepada medium lain seperti buku mahupun pakaian. Lukisan-lukisan Jaja sudah pun dibeli sebagai koleksi peminat-peminat seni di Brazil, Amerika Syarikat dan Jepun.
Dalam pameran Meowland itu, seramik-seramik kecil yang dilukis dengan subjek kucing dijual pada harga RM25 setiap satu, manakala harga lukisan pula bermula dari RM100 sehingga RM4,500 setiap satu.
Pameran Meowland akan berlangsung sehingga 20 November ini di Galeri Metro Fine Art, Tingkat Bawah, Hotel Legend, 100, Jalan Putra, 50350 Kuala Lumpur.
Oleh YEO LI SHIAN
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
14 November 2010
Meow Meow anak Yusof Gajah
13 November 2010
MAKAN buah pala untuk elakkan insomnia.
MAKAN buah pala untuk elakkan insomnia
NATIONAL Science and Technology Authority dalam buku Guidebook on the Proper Use of Medical Plant menjelaskan buah pala mengandungi bahan-bahan yang bermanfaat untuk kesihatan.
Lebih menarik peranan bahan tersebut dikatakan cukup ampuh untuk mengatasi rasa mual, masalah muntah, insomnia, kekejangan dan sakit sendi.
EKSTRA: Penyelidik dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat, Dr. Peggy Mason, memberitahu coklat mampu merangsang sistem otak yang mengawal bahagian sedar individu yang dapat mengurangkan rasa sakit. Kandungan favanols dan flavanolds yang terdapat dalam coklat juga membantu mencegah penyakit kronik seperti strok, tekanan darah tinggi serta jantung.
Hutang punca gemuk
KAJIAN oleh pakar Jerman mendapati individu yang gagal melunaskan hutang mereka dalam tempoh yang ditetapkan berisiko sehingga dua kali ganda untuk mengalami kegemukan.
Ketua penyelidik, Eva Muenster dari Universiti Mainz membuat kesimpulan itu hasil penyelidikan ke atas 949 responden.
Kesemua responden itu ialah individu yang mendapat khidmat kaunseling berhubung hutang yang mereka tanggung.
Eva kemudian membandingkan keputusan tersebut dengan individu yang bebas hutang. Hasilnya, 11 peratus responden yang mempunyai banyak hutang mengalami obesiti berbanding 25 peratus responden yang bebas hutang.
Malah, 11 peratus responden tadi akan menghadapi masalah psikologi dan akan makan dalam kuantiti yang banyak untuk mengurangkan tekanan.
EKSTRA: Kajian Leningrad Scientific Conference mendapati sarang lebah propolis kaya dengan vitamin A dan B2. Ia juga mengandungi semua vitamin (kecuali vitamin K) dan 14 jenis mineral yang diperlukan oleh tubuh. Ahli kimia Britain, Prof. Arnold Buckett pula menjelaskan sarang lebah memiliki banyak khasiat lain eperti antikulat, antibakteria dan antivirus.
Read more...
12 November 2010
Nikmat berhenti merokok
KETAGIHAN merokok ibarat membunuh diri secara perlahan-lahan
“BERHENTILAH merokok. Simpan duit itu untuk buat kebaikan,” pesan Mohammad Ameen, 30, bekas perokok tegar yang mula merokok sejak belasan tahun lagi itu.
Lelaki yang berasal dari England Utara itu pernah membelanjakan sehingga RM30 sehari untuk menampung kos ketagihannya itu.
Namun, pada bulan Ramadan 2008, beliau memutuskan untuk berhenti sepenuhnya menghisap 25 batang rokok sehari yang selama ini dilakukannya itu.
“Seorang cendekiawan memberitahu saya merokok itu haram kerana apabila seseorang itu merokok dia sebenarnya sedang memusnahkan dirinya sendiri.
“Kita semua tahu bahaya merokok jadi memang benarlah kita merosakkan tubuh kita.
“Tambahan pula, pakar perubatan mengatakan perokok sebenarnya sedang membunuh diri dengan perlahan,” ujarnya.
Bagaimanapun, ketika memutuskan untuk berhenti merokok, Mohammed Ameen sudah pun memasang niat yang besar.
“Ketika saya memutuskan untuk berhenti merokok saya juga berjanji untuk menggunakan wang perbelanjaan untuk rokok itu untuk melakukan penghijrahan spritual yang paling besar dalam hidup saya, iaitu mengerjakan haji,” kata Mohammed Ameen.
Kokain
Akuinya, sukar sekali untuknya berhenti merokok. Namun, Mohammed Ameen nekad bahawa ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan walaupun adakalanya beliau sendiri berasa ragu-ragu usaha itu akan berhasil.
“Ia merupakan satu usaha yang paling sukar saya pernah lakukan dalam hidup saya kerana saya sangat seronok menghisap rokok, setiap batang yang pernah saya hisap.
“Jadi ketika berhenti merokok, ia amat sukar. Tetapi kerana saya sudah nekad dan sanggup mengharunginya, akhirnya saya berjaya juga.
“Selepas dua tahun, rasa mengidam untuk menghisap rokok sudah hilang tetapi keinginan itu masih ada. Keluarga saya juga sangat gembira apabila mereka tahu saya sudah berhenti merokok.
“Tak sangka saya berhabis sehingga RM14,991 untuk merokok dalam setahun!” luahnya.
Biarpun berat untuk ditanggung, Mohammed Ameen berasakan keputusan untuk berhenti merokok merupakan keputusan terbaik yang pernah dilakukan dalam hidupnya.
“Saya tahu pada bulan Ramadan ramai yang cepat-cepat merokok sebaik saja berbuka puasa. Tetapi kalau difikirkan sejenak, selepas menahan diri daripada merokok selama 18 jam kenapa tidak dilanjutkan tempoh itu sehingga 24 jam?
“Daripada menggunakan duit itu untuk melayan ketagihan seperti itu, lebih baik gunakannya untuk kebajikan.
“Ramai yang tidak sedar ada begitu banyak bahan kimia dalam sebatang rokok. Sejumlah 85 peratus daripada kes kanser paru-paru berlaku disebabkan tabiat merokok.
“Malah, bukan perokok saja yang menderita, orang di sekelilingnya juga menyedut toksin berbahaya ketika berada dekat dengan mereka,” kongsi Mohammed Ameen.
Pada hari ini, Mohammed Ameen sudah berada di bumi Mekah dan bersedia untuk mengerjakan haji.
Malah, Penasihat Kesihatan Berhenti Merokok NHS itu kini menggunakan pengalamannya itu untuk menasihati perokok tegar yang lain agar mempertimbangkan keputusan untuk berhenti merokok.
“Saya bermula sebagai sukarelawan di sini tetapi kemudian saya berasa saya boleh memberi nasihat kepada orang lain.
“Memanglah saya sendiri berhenti merokok secara mengejut tanpa menggunakan sebarang bentuk gantian namun saya harap orang lain akan menggunakan apa jua bentuk bantuan yang diperlukan untuk berhenti merokok.
“Pergilah dapatkan nasihat daripada pusat-pusat pemulihan berdekatan tempat tinggal anda. Saya sudah berjumpa ramai perokok yang gagal berhenti merokok kerana mereka tidak mempunyai sokongan yang berterusan,” pesannya. – ASIAN IMAGE
Susunan FATIMI NADIAH ZAINUDEEN
Read more...
11 November 2010
Banjir bukan pesta air
JANGAN biarkan anak-anak bermain air banjir dan pantau pergerakan mereka.
BARU-BARU ini bahagian utara Semenanjung terutama di Kedah dan Perlis dilanda bencana banjir teruk.
Setiap kali tiba musim tengkujuh, akan terdengar keluhan-keluhan daripada mangsa banjir walaupun mereka telah menerima bantuan yang sepatutnya.
Penyelesaian kepada masalah itu bermula dengan anda sendiri. Sekiranya persiapan awal dilakukan, pasti tidak akan timbul masalah kekurangan bekalan makanan dan keselesaan tempat tinggal.
Minggu ini GenK ingin berkongsi tip-tip persediaan bagi menghadapi bencana tersebut iaitu ketika, sebelum dan selepas menghadapi banjir.
* Sebelum banjir
Stok makanan: Sekiranya anda merasakan kawasan tempat tinggal berisiko untuk menghadapi situasi itu, bersedialah dengan makanan kering lebih awal kerana anda mungkin akan terputus bekalan makanan sekiranya banjir buruk berlaku.
Air bersih: Sediakan air bersih secukupnya untuk tujuan memasak, minuman dan mandi. Simpan dalam kuantiti yang banyak agar dapat bersedia sebelum bekalan air diputuskan ketika banjir.
Maklumat terkini: Sentiasa peka terhadap hebahan-hebahan melalui media mengenai situasi banjir di tempat anda. Ia boleh membantu memberikan gambaran awal terhadap keadaan banjir di tempat anda.
Kenal pasti lokasi pemindahan: Dapatkan maklumat terperinci mengenai lokasi pusat pemindahan terdekat dan nombor telefon orang yang boleh dihubungi jika ingin mendapatkan bantuan untuk berpindah.
Bekalan ubatan: Bersedialah dengan bekalan ubat-ubatan sekiranya berlaku kecemasan. Sekiranya mempunyai masalah kesihatan dan sedang mengandung, segeralah berpindah ke pusat kesihatan.
Alatan kecemasan: Sediakan alatan kecemasan yang boleh membantu seperti lilin, bateri, lampu suluh dan alatan memasak pakai buang.
* Ketika banjir
Kawasan selamat: Berpindahlah ke kawasan yang lebih tinggi atau pusat pemindahan apabila diarahkan oleh pihak keselamatan.
Dokumen penting: Selamatkan dokumen-dokumen penting seperti surat beranak, transkrip peperiksaan, pasport dan sijil-sijil lain ke kawasan lebih tinggi.
Kebersihan: Jaga kebersihan diri dan sentiasa membasuh tangan dengan sabun.
Makanan: Elakkan makanan yang tidak di masak.
Keselamatan kanak-kanak: Jangan biarkan anak-anak bermain air banjir dan pantau pergerakan mereka.
Suis elektrik: Pastikan peralatan elektrik tidak digunakan sekiranya rumah anda ditenggelami banjir. Matikan serta-merta punca elektrik tersebut bagi mengelakkan pengaliran arus yang berbahaya.
* Selepas banjir
Keselamatan rumah: Sebelum memasuki rumah, pastikan tiada binatang berbisa, keretakan dan benda-benda yang membahayakan anda dan penghuni.
Penyakit taun: Penyakit taun dan denggi sering menyerang mangsa-mangsa banjir. Pastikan keselamatan dan kebersihan keluarga untuk mengelakkan penyakit selepas banjir.
Bersihkan peralatan: Bersihkan segala peralatan di rumah anda dengan menggunakan air bersih
Read more...
10 November 2010
Bagaimanakah bintang terbentuk?
Pembentukan gumpalan awan yang berwarna cerah mungkin juga disebabkan letupan yang terhasil ketika bintang mula terbentuk.
Sejak ratusan tahun dahulu manusia menjadikan bintang sebagai rujukan arah berikutan kedudukannya yang tetap dan mudah untuk dikenal pasti ekoran cahayanya yang amat terang.
Sebenarnya bintang tidak berklip sebagaimana sering kita dengar ungkapan kerlipan. Namun, kerana kedudukan bintang terlalu jauh sinarannya seolah-olah berkelip.
Sehingga kini, bintang terus menjadi pujaan manusia berikutan ia merupakan antara ciptaan Tuhan yang mengagumkan.
Malah, antara bintang yang terdekat dengan planet bumi adalah matahari.
Namun tahukah anda bagaimana bintang terbentuk?
Ia terbentuk dalam gumpalan awan bermolekul iaitu sebuah medium antara bintang-bintang lain yang luas dengan kerapatan yang tinggi.
Pada peringkat awal, pembentukan bintang bermula dengan proses gas yang berkumpul lalu membentuk gumpalan awan di ruang angkasa lepas.
Gumpalan awan tersebut sebenarnya mengandungi gas hidrogen dan sekitar 23 hingga 28 peratus gas helium serta beberapa peratus elemen berat.
Setelah beberapa lama, teras awan tersebut bertukar menjadi sebuah kawasan yang memiliki kepadatan yang amat tinggi sehingga tidak stabil secara graviti, berpecah dan berlakunya letupan.
Sebahagian daripada daya graviti teras bintang yang hilang dalam kemusnahan tersebut bertukar sebagai haba infra dan sekali gus meningkatkan suhu teras.
Apabila kepadatan dan suhu menjadi cukup tinggi, pelakuran deuterium bermula, seterusnya tekanan luaran menghasilkan sinaran secara memperlahankan.
Manakala bahan lain dari gumpalan awan disekelilingnya akan berterusan diserap ke dalam proto bintang.
Akhirnya, hidrogen mula bergabung diteras bintang, dan bahan penyalut yang lain mulai hilang.
Bagi bintang berjisim tinggi, tempoh proses pembentukannya boleh dibandingkan dengan skala masa lain bagi evolusi mereka. Ia lebih pendek, dan proses tersebut tidak ditetapkan dengan jelas.
Bintang akan mencapai jujukan utama apabila terasnya mencapai suhu yang mencukupi untuk mencetuskan perlakuran hidrogen dan memulakan keseimbangan hidrostatik.
Sepanjang bintang yang berada di dalam jujukan utama, ia secara perlahan-lahan menukarkan hidrogen kepada helium dan hayat bintang dalam jujukan utama akan tamat apabila hampir ke semua hidrogen dalam teras habis digunakan.
Proses pembentukkan bintang tersebut memakan masa yang amat panjang iaitu jutaan tahun
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
Read more...
09 November 2010
Catur pelajar istimewa
PERMAINAN catur menajamkan kemahiran minda dan fokus pelajar istimewa ini.
SEORANG pemain tekun melihat buah catur, sementara lawannya mengerut dahi tanda berfikir panjang.
Dua watak itu menunjukkan kematangan dan sikap profesional pemain catur biarpun mereka baru berusia belasan tahun.
Setiap langkah diatur sebaik mungkin mengikut hukum permainan catur, apatah lagi permainan catur menuntut strategi tersendiri untuk menewaskan lawan.
Hakikatnya, dua remaja itu bersama-sama 14 pelajar yang terlibat dalam pertandingan catur tersebut bukanlah remaja biasa.
Mereka merupakan insan istimewa yang mengalami masalah lembam, terlalu aktif dan kegagalan memberi tumpuan.
Ada juga dalam kalangan peserta yang mengalami masalah autisme iaitu sejenis kecacatan seumur hidup yang berlaku terhadap sesetengah kanak-kanak sejak kecil lagi.
Pertandingan Catur Pelajar-Pelajar Istimewa Jabatan Pendidikan Khas Negeri Terengganu yang berlangsung di Hotel Permai, Kuala Terengganu itu turut menampilkan pelajar yang mengalami masalah disleksia.
Pesakit disleksia nampak normal seperti orang lain. Namun, masalah mereka adalah dari segi bahasa. Mereka menjadi keliru dengan huruf yang seakan-akan sama dari segi zahir penglihatan dan bunyinya.
“Saya suka sangat bermain catur kerana fikiran saya akan tenang dan saya boleh fokus untuk melakukan sesuatu,” kata seorang peserta, Anas Bazli Alias dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, Kuala Terengganu.
PESERTA beraksi bak pemain profesional biarpun menghidap autisme dan disleksia.
Apa yang pasti, saat memulakan gerakan pertama buah catur setiap kanak-kanak istimewa itu sama seperti remaja lain yang sihat dan normal.
Bak seorang pahlawan, setiap masa digunakan sebaik mungkin untuk merencana langkah sekali gus memerangkap lawan.
Paling menarik, tiada watak autisme, disleksia dan lembam dipamerkan pada wajah kanak-kanak itu. Sebaliknya mereka tampil sebagai manusia sempurna dalam permainan yang cukup menguji minda.
“Kita kagum dengan kebolehan pelajar istimewa ini dalam menguasai permainan catur kerana permainan ini memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi dan dalam masa yang sama, ramai pelajar normal tidak tahu bermain catur,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Yusof Awang Hitam.
Yusof yang merupakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir melihat pertandingan itu lebih bersifat menyedarkan masyarakat agar golongan pelajar istimewa tersebut tidak dipinggirkan dalam segala bentuk kehidupan.
Katanya, pelajar istimewa sebegini perlu mendapat pendidikan khas mengikut keperluan masing-masing dan tidak disogokkan dengan pendidikan biasa yang mungkin akan memberi kesan kepada keupayaan mereka.
Menurutnya, pertandingan catur itu yang dianjurkan bersama Hotel Permai dengan sokongan daripada Unit Pendidikan Khas merupakan satu langkah bijak ke arah menguji keupayaan pelajar-pelajar terbabit.
Sepanjang pertandingan itu, 14 pelajar istimewa yang terlibat tampil dengan gaya tersendiri.
Ada yang lebih suka mendiamkan diri sementara ada pelajar lain sentiasa bergelak-ketawa.
Apapun, misi pelajar itu tetap satu iaitu menampilkan kebolehan diri yang selama ini tidak diketahui oleh umum.
“Kita sengaja mengadakan pertandingan di sebuah kafe berbanding di dewan kerana inilah masanya untuk kita melayan pelajar istimewa ini.
“Kita mahu mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan kerana mereka juga insan yang perlu diberi perhatian. Inilah antara visi hotel kami iaitu menjadikan setiap insan itu sebagai tetamu,” kata Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali.
Sementara itu, seorang guru, Mohd. Zuhairi Mazlan menjelaskan, penglibatan pelajar istimewa dalam pertandingan seumpama itu merupakan satu cara untuk membentuk minda dan penumpuan mereka.
Jelasnya, ada peserta yang memang sukar memberi tumpuan semasa berada dalam bilik darjah, namun tiba-tiba berubah apabila lebih fokus ketika bermain catur.
“Misalnya seorang peserta dari sekolah saya, dia menjalani latihan selama seminggu sebelum menghadapi pertandingan ini. Di sekolah, dia berlatih dengan berlawan dengan komputer,” katanya.
Antara sekolah yang mengambil bahagian dalam pertandingan sehari itu ialah SMK Ketengah Jaya Dungun, SMK Tun Telanai, SMKA Sheikh Abdul Malik, SMK Bukit Besar, SK Pusat Bukit Besar, SK Gong Nangka, SK Seri Geliga dan SK Seri Gelugor.
Selepas melalui lima permainan, pelajar istimewa dari SK Pusat Bukit Besar, Mohd. Amir Zul Helmi diumumkan sebagai pemenang dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300, hamper serta baucar penginapan hotel.
“Saya baru sahaja berjinak-jinak dalam permainan catur dan saya berbangga kerana tergolong dalam kelompok manusia yang pandai bermain catur,” kata Mohd. Amir yang mengalami masalah lembam.
Read more...
08 November 2010
Temui spesies baru di hutan Amazon
PELBAGAI keunikan boleh ditemui di hutan Amazon.
HUTAN hujan terbesar dunia yang masih kekal, hutan Amazon membuktikan reputasinya sebagai 'bintang' biodiversiti sejak 10 tahun lalu. Ia berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan pada 26 Oktober lalu oleh kumpulan pemuliharaan Tabung Hidupan Liar (WWF).
Di antara tahun 1999 hingga 2009, para saintis mengumpulkan lebih 1,200 spesies tumbuhan dan haiwan di Amazon. Antaranya termasuklah ular anakonda sepanjang empat meter, burung kakak tua berwarna pelangi yang botak dan ikan keli merah yang kecil serta buta.
Himpunan penemuan tersebut menunjukkan spesies baru ditemui di hutan Amazon setiap kira-kira tiga hari selama satu dekad.
WWF membentangkan laporan bertajuk Amazon Alive! pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali ke-10 untuk konvensyen biologikal diversiti di Nagoya, Jepun.
HAIWAN di hutan Amazon sedang bergelut untuk hidup kerana pemanasan global.
Perwakilan kerajaan dari serata dunia bertemu untuk membincangkan sasaran baru untuk mengatasi kemerosotan biodiversiti dunia berdasarkan kegagalan mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini pada mesyuarat tersebut.
"Laporan itu dilakukan adalah bagi membuatkan masyarakat teruja terhadap kehebatan Amazon, malah untuk menarik perhatian mengenai hak Amazon untuk menjadi fokus terhadap usaha pemuliharaan," kata Pengarah Urusan WWF untuk Amazon, Meg Symington.
LEBIH 1,200 spesies haiwan dan tumbuhan berjaya ditemui di Amazon sejak 10 tahun lalu.
--------------------------------------------------------------------------------
Hutan Amazon ialah rumah kepada satu daripada 10 spesies darat di bumi yang kebanyakannya tidak ditemui lagi di kawasan lain di dunia ini.
"Kita perlu berhati-hati dengan kemusnahan habitat. Dengan keadaan seperti sekarang, kita mungkin akan kehilangan banyak spesies sekiranya kita tidak bertindak sekarang," kata Symington.
Symington berkata, organisasinya bekerja dengan pembuat polisi di seluruh negara yang berkongsi hutan Amazon. Ia penting kerana rantau itu yang dianggarkan mempunyai keluasan kira-kira 6.7 juta kilometer persegi dan mempunyai 600 jenis habitat tanah dan air yang berbeza.
Negara-negara yang berkongsi hutan Amazon ialah Brazil yang menguasai 60 peratus hutan, Bolivia, Peru, Ecuador, Colombia, Venezuela, Guyana, Surinam dan French Guiana.
Dalam pada itu, walaupun sebahagian besar hutan Amazon kekal misteri dan tidak disentuh manusia sejak berabad lamanya, dalam masa 50 tahun lalu lebih 17 peratus pokok-pokok Amazon telah ditebang untuk tujuan pertanian dan perladangan.
Berdasarkan laporan WWF, secara kasarnya 80 peratus tanah yang dibangunkan kini menjadi tempat pembiakan lembu.
Bagaimanapun Symington berkata, kerajaan di rantau berkenaan telah mengambil tindakan serius dalam membina kawasan yang dilindungi sekali gus berjaya mengurangkan pencerobohan Amazon di Brazil.
"Tetapi sebahagian daripada punca penurunan itu adalah ekoran kegawatan ekonomi. Apabila harga komoditi meningkat, terdapat tekanan untuk mengubah bentuk tanah penternakan itu," katanya.
Selain membekalkan keperluan asas kepada lebih 30 juta penduduk Amerika Selatan, laporan berkenaan menggesa masyarakat seluruh dunia mengambil bahagian ke atas usaha mempertahankan hutan hujan berkenaan.
Tumbuhan dan pokok-pokok hutan Amazon menyimpan antara 90 hingga 140 bilion tan karbon. Walaupun sekiranya sebahagian karbon itu dikorbankan melalui penebangan hutan pada masa depan, laporan itu memberi amaran bahawa ia bakal menyebabkan peningkatan gas rumah hijau di atmosfera sekali gus menyumbang kepada pemanasan global.
Read more...
Forensik bantu selesai kes jenayah
Mengenalpasti mayat yang telah reput memerlukan kepakaran forensik. - Gambar hiasan,
DI luaR bilik mayat sebuah hospital di ibu negara, terdengar raungan seorang isteri apabila mengetahui kematian tragis suaminya. Tambah menyedihkan, punca kematian si suami itu tidak diketahui. Pihak polis membuat kesimpulan awal bahawa mangsa dibunuh kejam.
Namun siapakah pembunuh? Apakah motif di sebalik kejadian yang berlaku? Bagaimanakah hendak mengesan pembunuh terbabit? Apakah benar mangsa telah dibunuh?
Dalam situasi berkenaan adakah penjenayah akan bebas begitu sahaja sedangkan isteri si mati itu terpaksa menanggung trauma seumur hidup?
Dalam keadaan beginilah kepakaran bidang forensik amat diperlukan. Ia untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan.
Pensyarah di Fakulti Sains Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Amidon Anan berkata, apabila berlaku sesuatu kematian yang mempunyai hubung kait dengan perbuatan jenayah, setiap aspek yang terdapat di lokasi kejadian akan diambil kira.
Setiap elemen yang ditemui di tempat kejadian tidak diambil mudah kerana ia mungkin bakal menjadi faktor utama bagi mengesan dalang di sebalik kejadian tersebut.
Satu lagi aspek penting dalam mengesan penjenayah terbabit dan mengheretnya ke muka pengadilan ialah melalui bedah siasat.
Namun kata Amidon, bedah siasat hanya dijalankan jika terdapat keraguan pada punca kematian.
Sekiranya punca kematian jelas, bedah siasat tidak diperlukan. Malah Islam juga tidak membenarkan mayat dibedah tanpa tujuan tertentu kerana perbuatan tersebut menghina dan menganiayai mayat.
“Pemeriksaan tersebut melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenal pasti punca kematian atau setakat mana perubahan, kemalangan dan kecederaan,” ujar beliau yang merupakan bekas Ketua Unit Tempat Kejadian, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelas pakar forensik itu lagi, selain pihak polis, doktor juga turut bertanggungjawab mengumpul bukti bagi mendakwa suspek ke muka pengadilan.
Contohnya, dalam satu kes rogol dan bunuh, pihak polis tidak dapat mengesan pembunuhnya melainkan melalui bedah siasat untuk mencari kesan-kesan seperti air mani atau kesan-kesan luka yang melekat pada badan mangsa.
Apabila ujian DNA dijalankan, maka pihak polis mempunyai bukti yang sah dan tepat untuk memberkas penjenayah terbabit.
“Dalam situasi ini, memang bedah siasat adalah wajib dilakukan untuk mengetahui siapa yang bersalah melakukan pembunuhan.
“Dalam kes sedemikian juga kita tidak boleh biarkan penjenayah terlepas begitu sahaja kerana membahayakan nyawa orang lain.
“Secara tidak langsung, hasil bedah siasat tersebut mampu menyelamatkan nyawa orang lain daripada menjadi mangsa kekejaman penjenayah,” jelas beliau.
Hasil bedah siasat katanya, juga penting dalam mengembangkan ilmu forensik.
Hasil penyelidikan yang diperoleh melalui proses itu katanya, mampu mengelakkan nyawa orang lain daripada terancam.
Islam sendiri jelas Amidon, turut membenarkan untuk melakukan bedah siasat berdasarkan kepada prinsip qawa’id al-shari’at iaitu kaedah-kaedah yang menghalang atau membenarkan perkara-perkara yang haram dilakukan.
“Islam menggariskan agar pembedahan dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat,’’ katanya.
Malah menurutnya, dalam satu hadis daripada Aisyah RA., Rasulullah SAW bersabda: “Memecahkan atau mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya atau mematahkannya sewaktu hidupnya. (Riwayat Abu Daud)
Menurut Amidon lagi, dalam Islam mayat adalah sesuatu yang mulia dan tidak boleh dicampakkan ke laut atau dibiarkan di tepi-tepi longkang seperti sampah.
“Sebab itu, orang yang meninggal dunia akan diurus dengan baik iaitu dimandikan, dikafankan dan kemudian disembahyangkan sebelum dikebumikan,” ujarnya .
Tegas beliau lagi, siasatan anggota polis semata-mata belum mencukupi untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan.
Ia memerlukan gabungan penemuan yang pelbagai jenis supaya penjenayah tidak dapat lari daripada pendakwaan di mahkamah.
“Kerja-kerja pakar forensik tidak selesai selagi tidak memberi keterangan di mahkamah mengenai apa yang ditemui daripada hasil ujian bahan bukti yang ditemui,’’ ujarnya yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini lebih daripada 20 tahun.
Jelas beliau lagi, perkara paling penting bagi seorang pakar forensik adalah kemampuan menjelaskan bahan bukti supaya dapat difahami umum.
Namun kini, dengan tekonologi moden, ia mampu mengaitkan seseorang suspek kepada mangsa atau kejadian jenayah melalui hubungan persekitaran tempat jenayah itu dilakukan.
Tegas beliau, bukan sekadar cap jari, malahan kesan gigitan, ikatan ataupun bahan bukti lain boleh menentukan suspek disabit kesalahan atau dibebaskan.
Oleh ZUHAYATI YAZID
Read more...
07 November 2010
Bintang terbesar di galaksi
Perbezaan saiz bintang R136a1 (berwarna biru kanan sekali) berbanding matahari (berwarna kuning) dan bintang-bintang yang lain yang pernah ditemui.
Kerlipan serta cahaya bintang sentiasa menemani langit malam. Sejak kewujudan alam, bintang pasti muncul saban malam.
Malah, kerlipan tersebut turut dijadikan sebagai panduan oleh manusia dalam menentukan arah ketika berlayar mahu pun sebagai rujukan bulan.
Sehingga abad ini, bintang terbesar yang temui hanya sekitar 150 massa matahari (Solar Mass) iaitu unit yang digunakan dalam mengira jisim bagi sesebuah bintang mahupun planet di ruang galaksi.
Malah, matahari sendiri yang juga merupakan bintang terbesar bersaiz sekitar 1.98892 didarab dengan 10 kuasa 30 atau sekitar 332.950 kali ganda massa bumi atau 1.048 kali ganda massa planet Musytari (Jupiter).
Namun baru-baru ini, sekumpulan ahli astronomi antarabangsa yang diketuai oleh United Kingdom telah menemui sebuah bintang terbesar di ruang cakerawala iaitu sehingga 300 massa matahari.
Bintang tersebut kini dikenali sebagai R136a1 sekali gus mengejutkan dunia astronomi kerana sehingga kini saiz bintang terbesar yang boleh diterima dalam komuniti tersebut hanyalah sebesar 150 massa matahari.
Lebih membanggakan, penemuan bintang terbesar tersebut turut melibatkan saintis nuklear fizik dari Malaysia.
Mereka adalah Prof. Madya Dr. Hasan Abu Kassim dan pelajar PhD beliau, Norhasliza Yusof daripada Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).
Menurut Hassan, ia merupakan kajian Norhasliza dalam teori permodelan bintang yang dinamakan Evolusi Stella bagi mengkaji serta menentukan saiz sesebuah bintang.
Untuk melengkapkan kajian tersebut, Norhasliza perlu kerjasama kumpulan saintis dari luar negara untuk mendapatkan data serta menjalankan uji kaji.
Teori Evolusi Stella telah digunakan Norhasliza untuk tujuan kajian tersebut.
"Ketika Norhasliza membentangkan teori tersebut, ia telah mengejutkan ketua penyelidik bintang dari Universiti Sheffield, United Kingdom dan sekali gus diterima untuk diguna pakai dalam kajian mereka," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Teori permodelan tersebut telah digunakan dan dibuktikan benar serta tepat dalam menganggarkan saiz sesebuah bintang.
Jelas Hassan lagi, Norhasliza telah berada di United Kingdom bersama enam lagi pengkaji astronomi sejak Januari 2009 bagi mengukur saiz bintang-bintang baru melalui teori tersebut.
Hasilnya kumpulan penyelidik yang dianggotai oleh Norhasliza berjaya menemui bintang baru. Salah satunya adalah bintang R136a1 sekali gus merupakan bintang yang terbesar serta telah mengejutkan dunia.
Norhasliza yang menerima biasiswa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa- bangsa Bersatu (UNESCO) untuk sesi 2008-2009 dan biasiswa Commonwealth bagi 2010 berkata, pada peringkat awal kumpulan beliau seolah-olah tidak meyakini bintang yang ditemui itu adalah sebesar 300 massa matahari.
"Setelah berbandingan serta pengiraan dilakukan berkali-kali akhirnya kami (kumpulan penyelidik) bersetuju bahawa ia (R136a1) merupakan sebuah bintang.
"Malah ketika pengumuman yang dilakukan oleh kumpulan saya ketika itu di sebuah persidangan astronomi di Jerman, ia amat mengejutkan komuniti saintis astronomi seluruh dunia," katanya.
Malah, menurut Norhasliza, terdapat sebilangan saintis yang tidak mempercayai serta mengatakan ia adalah sesuatu yang amat besar dan mustahil.
Namun, akhirnya para saintis tersebut akhirnya akur dan mengiktiraf R136a1 merupakan bintang yang tersebar pernah ditemui abad ini.
Kajian yang melibatkan dua fasa, iaitu pemerhatian dan permodelan dengan UM terlibat di peringkat permodelan.
Hasil maklumat serta data yang diperolehi daripada kedua-dua fasa tersebut digabungkan dan dianalisis bagi mendapatkan keputusan yang terbaik.
Bagi tujuan tersebut, kumpulan penyelidik yang dianggotai Norhasliza yang dijadualkan menamatkan PhD beliau pada 2011 telah menerima geran penyelidikan sebanyak RM140,000 dari UM.
Melalui penemuan tersebut, ia sekali gus melonjakkan imej negara amnya dan Universiti Malaya khususnya di kalangan komuniti saintis astronomi dunia.
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
Read more...
05 November 2010
Cedera jiwa
KESAN trauma akibat peristiwa mencemaskan mungkin berlarutan sehingga bertahun lamanya. - Gambar hiasan
BUNYI ciut tayar kereta sewaktu membrek di luar rumah membuatkan Nina gelisah. Bukan sekali dua dia berkeadaan begitu malah, setiap kali mendengar bunyi tayar berdecit atau melihat paparan kemalangan dalam berita televisyen, tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang.
Walaupun terselamat dalam satu kemalangan beberapa tahun lalu, Nina mendapati dia mudah resah, panik dan tersentak sewaktu tidur. Situasi yang berlarutan itu menyebabkan Nina menjadi seorang yang murung.
Mengulas kejadian cedera jiwa yang dialami Nina, Pakar Runding Psikiatri, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman menjelaskan, apa yang dilalui Nina ialah simptom klasik gangguan tekanan pascatrauma (PTSD).
Jelas beliau, keadaan tersebut berlaku apabila seseorang terdedah kepada satu peristiwa buruk hingga membawa kepada trauma.
Trauma, menurut Daniel, adalah peristiwa yang tidak biasa dialami dalam kehidupan seharian seseorang.
Gemuruh
“Seringkali ia dikaitkan dengan keadaan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang pernah bertugas di Vietnam dan mengalami pelbagai kejadian dramatik,” katanya yang ditemui di Hospital Pantai Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambung beliau, penyebab PTSD mungkin berdasarkan beberapa faktor selepas sesuatu insiden sama ada ia berlaku pada diri sendiri atau hanya melihat insiden tersebut.
Jelasnya, terdapat tiga faktor yang berkait rapat iaitu faktor kecenderungan, pencetus dan kemudaratan.
“Bagi mereka yang datang daripada keluarga yang mempunyai darah gemuruh, kecenderungan untuk mendapat PTSD adalah tinggi.
“ Ini kerana urat saraf yang membawa bahan kimia untuk mengawal gemuruh tidak stabil,” ujarnya.
Selain itu, peristiwa seperti kemalangan atau rogol boleh menjadi pencetus kepada penyakit itu.
Jelas Daniel, bukan luar biasa sekiranya sesuatu insiden yang dipendam selama bertahun-tahun akan tercetus semula.
“Ia umpama api dalam tanah gambut yang menunggu masa untuk marak kembali,” ungkapnya yang turut menyatakan, individu yang mempunyai personaliti pendiam atau suka memendam perasaan berisiko mengalami PTSD.
Jelas Daniel, antara kes yang pernah ditangani olehnya ialah pesakit yang dirogol ahli keluarga terdekat sewaktu kecil.
Perkara tersebut dipendam hinggalah ia tercetus kembali ketika mahu berkahwin atau menjalinkan hubungan dengan seseorang.
“Perasaan trauma akan menghantui individu tersebut kerana ia seolah-olah memantulkan kembali memori silam ketika dirogol walaupun dalam perspektif berbeza,” dedah Daniel sambil memberitahu PTSD boleh tercetus walaupun melibatkan perkara kecil.
Termasuk dalam kategori gangguan keresahan, pesakit PTSD juga mengalami serangan panik, kemurungan, cepat berdebar atau gangguan tidur.
Sebenarnya, PTSD mula dikaji selepas tamat Perang Bosnia terutama di kawasan Sebrenica yang menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai.
Kajian dilakukan ke atas wanita yang dirogol oleh tentera Serb di hadapan suami mereka.
Berdasarkan temu bual dan pemerhatian, kebanyakan suami mangsa rogol mengalami PTSD.
“Keadaan tidak dapat berbuat apa-apa membuatkan rata-rata suami mangsa rogol khususnya yang sedang mengandung menghidap PTSD walaupun cuma melihat kejadian tersebut.
“Ia mengambil masa yang cukup lama sebelum mereka menyedari perkara tersebut,” kata Daniel.
Tambah Daniel, keadaan yang sama dialami veteran perang AS di Vietnam atau mangsa kemalangan, mangsa dera atau sesuatu yang melibatkan antara hidup dan mati.
Oleh SHANIKA ABDULLATIB
Read more...