Motivasi ibarat kunci dalam menghidupkan enjin.
SETIAP manusia pasti pernah mengalami perasaan putus asa atau hilang motivasi diri. Semangat yang sebelum ini menyala bak api musnah dek perkara yang dikejar masih tidak kesampaian dan dibelenggu pelbagai masalah. Ia sekali gus mewujudkan satu tekanan yang melumpuhkan seluruh sistem saraf kita.
Kesemuanya kelihatan lesu dan tidak bermaya. Motivasi ibarat kunci dalam menghidupkan enjin.
Motivasi adalah satu keperluan. Meskipun konsepnya kurang difahami namun ia adalah proses dalam merealisasikan matlamat yang diingini. Kita harus tahu cara-cara untuk memotivasikan diri. Kita juga perlu mempunyai semangat yang tinggi walau keadaan seteruk mana pun. Sesiapa yang luntur semangat ketika melalui situasi yang sukar akan berdepan dengan kekalahan walaupun perjalanannya belum pun berakhir.
Motivasi yang datang dalam diri adalah lebih berkuasa daripada motivasi dari luar. Ia mampu memberikan anda satu penghormatan, penghargaan dan kepuasan di samping meraih prestasi dalam bidang yang dilakukan. Berikut tip untuk membangkitkan semula semangat anda yang hilang:
Berjuang
Kadang-kadang kita perlu memberikan sedikit desakan pada minda. Duduk termenung dan bermain dengan emosi hanya menyebabkan diri terus berada di awang-awangan. Cuba katakan pada diri sendiri bahawa anda harus segera sampai ke sasaran yang diingini. Langkah sebegini secara tidak langsung mampu memprogramkan semula diri supaya anda bertindak segera dalam sebarang perkara yang anda lakukan.
Merehatkan minda sementara
Ada ketikanya motivasi akan hilang disebabkan bebanan kerja yang terlalu banyak dan mendesak. Situasi sebegini mengakibatkan diri rasa tertekan seterusnya menghilangkan tumpuan dan mewujudkan perasaan malas. Cuba berehat sebentar. Mendengar muzik sambil menyanyi mampu mengeluarkan tekanan dari dalam diri kita.
Selain itu, cuci mata dengan memandang persekitaran anda. Mungkin ada objek yang mampu menaikkan semangat anda semula. Contohnya buruh binaan yang sanggup berhempas pulas di bawah panas terik matahari untuk mencari rezeki.
Fahami tujuan hidup
Sekiranya anda hilang motivasi, jangan hanya menyerahkan hidup kepada nasib. Ini mempengaruhi kekuatan diri kita seterusnya membenarkan kegagalan hadir dalam hidup kita.
Menyandarkan kehidupan kepada nasib adalah perkara yang tidak berguna dan dianggap bodoh. Tanam dan timbulkan semula sifat tanggungjawab dan mengasihi diri sendiri. Sekali anda merasa mampu mengawal hidup kekalkan pendirian tersebut. Hidup yang tidak memiliki arah hidup lebih menakutkan daripada hidup yang tidak mencapai tujuan.
Berfikiran positif
Terdapat sesetengah individu melihat musibah dan masalah yang dihadapi sebagai satu perkara yang membebankan. Namun sebenarnya ia adalah satu proses kehidupan yang perlu ditempuhi oleh setiap manusia. Berfikiran positif dapat membuatkan seseorang berdaya maju dan menjalani segala rintangan tanpa dibebani seribu perasaan buruk dan takut.
Lupakan masa silam
Jangan biarkan diri anda terus dihimpit kenangan yang menyedihkan atau kegagalan lalu. Ia mungkin menjadi beban seterusnya memusnahkan motivasi diri. Mungkin sebelum ini kita pernah melakukan kesalahan dan mengecewakan orang lain namun biarkan ia berlalu. Betapa kuat anda memikirkannya hakikatnya ia tidak akan berubah. Mulakan hari baru anda dengan sentiasa merebut peluang.
Bayangkan kejayaan yang pernah diperoleh. Gunakan momen tersebut untuk memotivasikan diri menjadi personaliti yang baru.
Sentiasa berfikir bahawa peluang akan sentiasa ada sekiranya kita rajin berusaha untuk mencorakkan masa depan kita menjadi yang lebih baik.
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
10 July 2010
Motivasi ibarat kunci
07 July 2010
Mantap minda anak
MEWARNA...latihan melukis dan mewarna mampu melatih otak mereka menjadi lebih aktif
SEMUA kanak-kanak gemar bermain malah mereka bermain setiap masa tanpa mengira waktu.
Ada ibu bapa bimbang sekiranya anak mereka bermain sehingga malas belajar. Namun kajian pakar kanak-kanak menunjukkan, selain boleh membuatkan kanak-kanak leka, bermain juga adalah proses pembelajaran paling berkesan serta memantapkan pemikiran mereka.
Untuk melihat sama ada kanak-kanak itu serius atau tidak, lihat ketika mereka bermain. Ini kerana kanak-kanak akan memberikan tumpuan seratus peratus ketika mereka bermain.
Antara permainan yang boleh diperkenalkan kepada kanak-kanak seawal usia 18 sehingga 24 bulan ialah melatih mereka untuk mendengar cerita yang dibacakan menerusi buku sekurang-kurangnya lima minit setiap hari. Lakukan hubung kait menerusi gambar dengan aktiviti yang pernah dilakukan suatu ketika dulu, tunjukkan gambar kemudian minta anak anda menamakan haiwan itu, sebut lebih 50 perkataan dengan terang dan beri jawapan ringkas pada setiap persoalan anak anda.
Menurut Pakar Psikologi dan Pensyarah Kolej Universiti Sunway, Elaine Yong, setiap hari ibu bapa harus meluangkan masa 20 minit bersama anak-anak sama ada melakukan aktiviti bermain atau belajar.
"Pertemuan ini harus dilakukan setiap hari secara bersemuka. Bermain dan belajarlah bersama anak.
"Ini kerana cara ini mampu mewujudkan perhubungan yang sihat serta mengeratkan kasih sayang antara satu sama lain," katanya. Namun jangan sesekali memberikan tekanan kepada anak dengan mengharapkan mereka mampu melakukan seperti mana keinginan ibu bapa.
Setiap anak juga menunjukkan perkembangan berbeza justeru, jangan membeza-bezakan anak anda dengan anak orang lain. Bagi memberikan sifat yakin, harga diri serta bersemangat tinggi, Abbott Nutrition mengadakan promosi bergerak Abbott's Gain EyeQ-lympix bertempat di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Acara membina minda terbesar ini mempamerkan pelbagai aktiviti menggabungkan unsur keseronokan dan pembelajaran. Pada masa sama, aktiviti ini direka untuk mencabar kemahiran matematik, memori dan logikal kanak-kanak di samping kemahiran mereka menanggapi sesuatu perkara. Antaranya meneka bunyi alat muzik, melukis dan mewarna, bermain bowling dan menyusun abjad.
Ini bertujuan memberitahu kepada ibu bapa bahawa tahap kecerdasan (IQ) merangkumi semua peringkat, bukan hanya menjurus kepada akademik semata-mata.
Menurut Pengurus Pemasaran Bahagian Pemakanan Pediatrik Abbott Nutrition, Goh Kay Yin, selain perkembangan minda menerusi aktiviti bermain, penting untuk melengkapkan kanak-kanak dengan stimulasi dan khasiat pemakanan sesuai.
"Cara terbaik memastikan anak-anak mencapai potensi diri adalah dengan memastikan mereka menerima pelbagai khasiat makanan.
"Ia seperti membina menara menggunakan batu-bata. Asas yang kukuh dan stabil diperlukan agar anda mampu membina bangunan setinggi mungkin.
"Walaupun acara ini dikhaskan untuk kanak-kanak, pada masa sama kami ingin mendidik ibu bapa mengenai peraturan asas ketika memilih khasiat sesuai untuk kanak-kanak. Pemakanan mereka harus mengandungi kombinasi khasiat seimbang untuk menyokong pertumbuhan secara menyeluruh," katanya.
Hasil penyelidikan menunjukkan peningkatan pengambilan DHA tidak mencukupi untuk membantu perkembangan otak mereka.
Perkembangan otak yang lengkap memerlukan khasiat kombinasi lemak (omega 3, asid lemak omega 6 dan fosfolipid), vitamin dan mineral (kolina, besi dan zink).
Menurut Goh, ramai ibu bapa percaya DHA dan AA saja sudah mencukupi untuk perkembangan otak anak mereka. Justeru, ibu bapa biasanya akan menggandakan pengambilan DHA dan AA dan mengabaikan khasiat lain yang sama atau lebih penting dalam membantu perkembangan mental mereka secara menyeluruh.
"Sistem nutrisi Eye-Q di Gain Plus mengandungi kombinasi khasiat diperlukan kanak-kanak iaitu DHA, AA, asid alfa linolenik (ALA), asid linoleik (AA), fosfolipid, kolina, taurina, zat besi dan zink bagi memudahkan kanak-kanak mendapatkan khasiat lengkap untuk perkembangan otak mereka," katanya.
Read more...
05 July 2010
Gigitan Aedes bahaya
MANGSA denggi hilang selera makan, loya, demam dan sakit seluruh badan
REBECCA Saw tidak pernah suka pada doktor. Bukan sebab takut pada ubat ataupun jarum, tetapi wanita berusia 29 tahun itu menganggap berjumpa dengan doktor itu satu perkara yang membazir masa. Persepsi itu bagaimanapun berubah selepas dia pengsan di jalan raya pada suatu hari.
Waktu itu, demam panas yang berlarutan sejak seminggu lalu masih belum reda dan dia juga terasa pening. Lalu, kenderaan yang dipandu diberhentikan serta-merta di bahu jalan. Belum sempat dia berbuat apa-apa, sekujur tubuh lemah itu terus 'koma' seketika.
"Apabila sedar semula, saya dapati rupa-rupanya saya pengsan di dalam kereta dengan enjinnya masih hidup. Tak dapat saya bayangkan akibatnya kalau saya pengsan sewaktu memandu," ceritanya dalam satu majlis pelancaran kempen 1Malaysia Bersama Kita Menghapuskan Denggi, tidak lama dahulu.
Tanpa melengahkan masa, anak kelahiran Pulau Pinang itu terus memandu ke sebuah klinik terdekat. Tindakan ternyata tidak silap.
Sebabnya, demam panas yang nyaris-nyaris meragut nyawanya di tengah jalan akhirnya disahkan sebagai demam denggi. Rebecca terpaksa dimasukkan ke wad selama seminggu.
Insiden tersebut sesungguhnya cukup terkesan dalam ingatan Rebecca. Lebih-lebih lagi kesakitan yang perlu dilalui oleh pesakit demam denggi sepertinya sangat menyeksa minda dan fizikal. Malah, ia sukar untuk diterjemahkan dalam kata-kata.
Senario ini bagaimanapun cukup difahami oleh Suzanne Selvarajah, 35 tahun. Tidak mungkin lupa akan episod pahit bergelut dengan demam denggi, wanita ini sebenarnya bertuah kerana terselamat daripada maut kali kedua akibat demam denggi. Kali pertama bergelar mangsa denggi kira-kira sedekad yang lalu, dia baru berusia 26 tahun.
"Masa itu, selama tiga hari berturut-turut saya demam panas. Jadi, saya bergegas untuk berjumpa dengan doktor dan digesa menjalani ujian darah. Barulah saya sedar amaun platelet darah sudah berada di bawah 100 dan saya terpaksa dimasukkan ke wad," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Sejujurnya seperti kebanyakan orang, Suzanne langsung tidak menduga demam denggi boleh menjadi begitu serius. Selain memerlukan perhatian perubatan penuh, dia turut 'bergelut' dengan rasa sakit pada serata tubuh dalam tempoh empat hari dia dimasukkan ke wad.
Setelah pulih, jauh daripada jangkaannya dia akan diserang insiden sama buat kali kedua. Demam panas yang menyerangnya pada pembuka tirai tahun 2008 itu jauh lebih 'mendidih' suhunya sehinggakan Suzanne terpaksa bergolek-golek di atas lantai marmar berkali-kali.
Panas
"Saya baring di atas lantai untuk menyejukkan badan. Setiap kali bahagian yang dibaring menjadi panas, saya akan bertukar tempat dan keadaan itu berulang banyak kali," ujarnya berterus-terang.
Malah, demi untuk membuang 'panas' badan itu, pelbagai petua lama dan moden turut dicuba oleh Suzanne termasuk nasihat mendiang ibu mertuanya yang mencadangkan agar dia 'mengewap' tubuh ala sauna. Malangnya segala usaha itu sia-sia.
Sebabnya, situasi kali ini nyata tidak semudah serangan kali pertama. Lebih memburukkan keadaan, dia disahkan mendapat sejenis demam denggi yang lain daripada empat kategori denggi sedia ada. Di hospital kerajaan tempat Suzanne menerima rawatan kecemasan, bilangan platelet darahnya kian menurun. Daripada sejumlah 42 platelet, bilangan itu menjunam kepada 36.
"Darah mulai mengalir keluar dari kedua-dua belah telinga saya. Keadaan menjadi sangat kritikal dan doktor terpaksa memberikan plasma beku segar secara intravena," tambahnya.
Tetapi usaha itu diberhentikan apabila seluruh tubuh Suzanne dipenuhi dengan tompok-tompok besar berwarna merah. Dia juga diserang sawan. Bagi mengawal suhu badannya, Suzanne diletakkan di bawah aliran air.
Pada peringkat itu, jumlah platelet darahnya telah mencecah 28 - satu keadaan yang sangat meruncing hingga mengakibatkan dia berada dalam tahap kejutan kritikal (DSS).
"Bayangkan, setiap kali saya berpusing, ada kesan darah di atas bantal. Hanya selepas saya menyentuh mata, baru tahu ada air mata berdarah. Rasa seperti mayat yang disumbatkan kapas pada semua rongga wajah kerana mata, telinga dan hidung, semuanya berdarah," jelasnya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu.
Belum cukup dengan penyeksaan itu, anak kelahiran Melaka itu turut mengalami kesakitan tulang yang serius. Menyifatkan rasa sakit itu seakan-akan tulang yang dipulas kuat, dia hanya mampu bertahan dengan curahan air mata setiap hari. Trauma berada di wad sekitar 16 hari bagi Suzanne akhirnya sampai ke penghujung apabila dia ditempatkan di dalam sebuah kotak yang berisi air sejuk.
Meningkat
MANGSA denggi hilang selera makan, loya, demam dan sakit seluruh badan.
--------------------------------------------------------------------------------
Kini, selepas hampir dua tahun terlepas daripada ambang maut denggi buat kali kedua, Suzanne sedar dia sememang sangat bernasib baik. Tetapi menerusi tindakan pantas dan pengetahuan yang betul tentang demam denggi, sesiapa sahaja boleh mengelak daripada gigitan nyamuk Aedes.
"Mencegah denggi sebenarnya tidak sukar. Sesiapa pun boleh melakukannya dan semua ini hanya memakan masa 10 minit seminggu," tambahnya sambil memberitahu kini, senarai barangan runcitnya termasuk dua botol penyembur aerosol.
Kempen 1Malaysia Bersama Kita Menghapuskan Denggi yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin, itu merupakan anjuran bersama pengeluar jenama produk kawalan serangga terkemuka, Reckitt Benckiser bersama Kementerian Kesihatan Malaysia. Datuk Rosnah yang melahirkan rasa bimbang terhadap bilangan kes denggi yang meningkat turut menggesa orang ramai agar datang ke hospital untuk diagnosis awal.
"Denggi tidak memilih mangsanya dan sebab itulah semua orang perlu bertanggungjawab untuk bertindak membanterasnya bagi memastikan keluarga serta persekitaran kediaman kita bebas daripada penyakit maut ini," tambahnya.
Dalam konteks dunia, sekitar 50 juta hingga 100 juta orang menderita akibat denggi. Di Malaysia pula, statistik menunjukkan bilangan kes denggi turut meningkat. Pada tahun 2006, Malaysia merekodkan sejumlah 30,285 kes denggi dengan 49 kematian dan angka tersebut meningkatkan kepada 48, 846 pada tahun berikutnya. Angka kematian juga bertambah kepada 98 dengan sejumlah 49,335 kes pada tahun 2008.
Perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh pula berkata, adalah mustahak seseorang mangsa denggi untuk melindungi diri daripada serangan kali kedua. Demam denggi yang terdiri daripada Denggi Jenis 1, 2, 3 dan 4 biasanya mendominasi pada musim-musim berbeza. Kitaran denggi dikatakan hadir pada setiap lapan atau 40 tahun.
"Lazimnya, sekitar lima hari selepas gigitan nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas dengan perkembangan segala bentuk jangkitan denggi. Sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan darah adalah petanda klasik demam denggi," katanya.
Demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa berbeza. Pada fasa pertama atau fasa febril (hari pertama hingga hari ketujuh), mangsa turut mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan.
Masuk fasa kedua atau fasa kritikal (hari ketiga hingga hari ketujuh), demam awal bagi sesetengah pesakit mungkin telah reda. Namun, dalam segelintir kes serius, kebocoran kapilari darah akan berlaku dalam jangka masa pendek.
Dr. Mat Rifin berkata, kebanyakan mangsa menyangka diri mereka kebal selepas serangan demam denggi kali pertama. Hakikatnya, hampir 90 peratus kes jangkitan sekunder berlaku kepada mereka yang pernah mendapat denggi sebelum ini. Sebabnya imunisasi tidak hadir untuk semua jenis denggi.
"Oleh itu, penting untuk mangsa denggi hadir untuk diagnosis awal agar rawatan bersesuaian boleh diberikan segera. Biasanya pergantungan kepada cecair intravena hanya untuk memperbetulkan dehidrasi tubuh selain kebanyakan simptom lain," tambahnya sambil menjelaskan bahawa penambahan produk darah mungkin diperlukan dalam kes-kes serius.
Read more...
04 July 2010
Lawan radikal bebas
AMALAN... ibu bapa perlu didik anak memakan sayur dan buah sejak kecil.
RAMAI antara kita terlebih makan tetapi masih kekurangan zat yang benar-benar diperlukan badan. Meskipun negara kita mewah dengan pelbagai jenis makanan, kebanyakan orang masih tidak mendapat sesetengah khasiat terutama yang hanya dibekalkan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Sembilan hingga 13 hidangan sehari? Siapa yang boleh makan sayur dan buah sebanyak itu setiap hari? Tidakkah ia keterlaluan? Mungkin ya bagi kebanyakan orang terutama yang tidak suka makan sayur atau hanya makan sayur tertentu saja.
Dalam soal selidik yang dijalankan Persatuan Advokasi Kanser Malaysia (Empowered) ke atas 400 warga kota di tiga kawasan di Lembah Klang (Sentul, Sri Pantai dan Selayang Prima) mendapati responden mengaku suka makan sayur tetapi kekerapan pengambilannya ialah dua atau tiga kali (hidangan) seminggu.
Peratusan kegemukan dan obesiti yang semakin tinggi bukan petanda kita mendapat semua khasiat diperlukan tetapi ia menunjukkan ketidakseimbangan pengambilan makanan.
Gaya pemakanan kita hari ini lebih banyak mengandungi lemak yang jelas boleh menjadi antara pencetus utama pelbagai masalah kesihatan terutama penyakit gaya hidup yang kebanyakannya dikategorikan sebagai penyakit kronik.
Penasihat Perubatan Institut Kesihatan Nutrilite, Dr Kip Johnson, berkata ada banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk mengamalkan pemakanan sihat seperti tekanan, tidak cukup tidur, gaya hidup sibuk dan kurang pengetahuan mengenai ilmu pemakanan.
“Semuanya saling menyumbang dan boleh melemahkan sistem ketahanan badan,” katanya.
Memang, tiada siapa yang mahu sakit. Kalau boleh, semua orang mahu hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera sepanjang hayat. Persoalannya, adakah cara mudah untuk mendapatkannya? Ya, ada.
Menurut Dr Johnson, caranya ialah dengan memastikan kita makan cukup sayur dan buah setiap hari, lebih baik jika ia mewakili semua warna yang ada - hijau, kuning-jingga, merah, putih dan biru-ungu.
Mengapa perlu ada semua warna ini dalam pemakanan harian kita? Ini kerana setiap warna mengandungi fitonutrien atau nutrien tumbuh- tumbuhan berlainan yang bertindak sebagai antioksi- dan untuk melindungi sel dan mempunyai manfaat kesihatan yang khusus.
Kesedaran mengenai kepentingan fitonutrien inilah menyebabkan Amerika Syarikat menyediakan garis panduan pemakanan yang menyarankan rakyatnya mengambil sekurang-kurangnya sembilan hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan sehari bagi membendung pelbagai penyakit kronik termasuk obesiti di negara berkenaan.
“Berdasarkan Laporan Fitonutrien Amerika 2009, sebanyak 69 peratus rakyatnya kekurangan fitonutrien daripada kategori sayur dan buah hijau; merah (70 peratus); putih (80 peratus); biru-ungu (88 peratus) dan kuning-jingga (79 peratus). Dalam kata lain, di kalangan rakyat Amerika, hanya 31 peratus yang mendapat cukup fitonutrien daripada kategori sayur dan buah hijau serta 12 peratus kategori buah biru- ungu,” katanya.
Bagaimana keadaan di Malaysia? Kajian WHO pada 2003 mendapati lebih 80 peratus rakyat Malaysia mengambil kurang lima hidangan sayur dan buah setiap hari dan hampir 40 peratus penduduk makan hanya satu atau dua hidangan sayur sehari. Keadaan ini amat menyedihkan kerana negara kita sangat mewah dengan sayur-sayuran dan buah-buahan yang boleh dibeli dengan harga murah. Ini termasuk ulam-ulaman yang terbukti mengandungi banyak manfaat terhadap kesihatan.
“Apa yang boleh dilakukan untuk makan cukup sayur dan buah seperti yang disarankan? Mudah, dengan mengambil satu atau dua hidangan sayur dan buah setiap hari daripada setiap kategori warna. Ini bermakna anda perlu ‘mewarnakan’ pemakanan anda, pastikan setiap hari anda makan sayur atau buah berwarna hijau, merah, kuning-jingga; putih dan biru-ungu.
“Secara umumnya penentuan warna sayur akar atau ubi dan buah-buahan dibuat berdasarkan warna isinya bukan kulit. Inilah sebabnya pisang tidak dimasukkan dalam kategori kuning tetapi putih. Bagaimanapun ada beberapa pengecualian seperti epal merah yang diletakkan di bawah kategori merah kerana kajian mendapati ia mengandungi fitonutrien dalam kumpulan merah walaupun isinya putih. Begitu juga dengan epal hijau,” katanya.
Warna dan khasiatnya
Fitonutrien adalah nutrien atau zat semula jadi yang ada di dalam tumbuh-tumbuhan seperti likopen dalam tomato, resveratrol daripada anggur dan lutein dalam bayam. Fitonutrien ini menawarkan perlindungan antioksida yang sangat luas untuk melawan tindakan radikal bebas di dalam sel yang boleh merosakkan sel dan akhirnya menyebabkan pelbagai penyakit termasuklah kanser.
Ia boleh dibahagikan kepada lima kategori warna dan setiap satu mempunyai kelebihan tersendiri dalam memberi perlindungan kesihatan iaitu:
a. Hijau
Mengandungi fitonutrien isotiosianat, lutein, zeantin, beta karotein dan Epigallocatechin gallate (EGCG).
Fungsinya: Untuk kesihatan sel, paru-paru, menyokong fungsi arteri atau salur darah dan hati; meningkatkan penyerapan kalsium
Sumber: Kubis daun, bayam, lada benggala hijau, selada air, salad, zukini (mentimun Jepun), brokoli, kubis Brussels, kacang panjang, kacang buncis, kacang hijau, bendi, kangkung, mentimun, teh hijau, epal hijau dan semua sayur lain yang berwarna hijau. EGCG juga boleh didapati dalam teh hijau, hitam dan oolong yang membantu mengawal paras kolesterol darah.
b. Merah
Mengandungi likopen dan asid elagik.
Fungsinya: Untuk menjaga kesihatan prostat dan asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam sel.
Sumber: Epal merah, kranberi, tembikai, limau gedang merah jambu, jambu batu (merah), delima, lobak radish, rasberi, strawberi, ceri, tomato.
c. Kuning-jingga
Mengandungi alfa karotein, beta karotein, beta kriptozantin dan hesperidin
Fungsinya: Untuk kesihatan mata; fungsi imun atau daya ketahanan badan yang sihat; mengekalkan penghidratan, pertumbuhan dan perkembangan yang sihat
Sumber: Oren, labu, lobak merah, aprikot, keledek, limau, betik, jagung, nanas, lemon (limau kapas), buah markisa.
d. Putih
Mengandungi alisin, kueresetin, isoflavon, EGCG, isotiosianat dan antosianin
Fungsinya: Mengekalkan kesihatan tulang, memperbaiki peredaran darah dan menyokong fungsi salur darah, merangsang fungsi enzim
Sumber: Buah pir, kac--ang soya, bunga kubis, bawang putih, parsnip, lobak putih, kacang putih, cendawan, pisang, kentang,
e. Biru-ungu
Mengandungi kuersetin, resveratrol, asid elargik, antosianidin dan prosianidin.
Fungsi: Antosianidin dan resveratrol ialah kumpulan fitonutrien yang mempunyai ciri antioksidan yang kuat dan berperanan penting dalam melindungi tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas serta menyokong kesihatan jantung dan salur darah. Ada kajian menunjukkan antosianidin juga menyumbang kepada kesihatan DNA, kulit dan melancarkan pencernaan.
Sumber: Buah tin, anggur, beri biru, boysenberi, kubis merah (ungu), anggur hitam, terung, keledek ungu, kacang hitam, plum, bit.
Langkah awal
Perubahan perlu dibuat sedikit demi sedikit kerana peningkatan pengambilan sayur dan buah mendadak boleh mendatangkan kesan sampingan. Kita boleh mengalami masalah kembung perut atau sembelit jika tidak minum air secukupnya iaitu antara satu hingga satu setengah liter. Ini kerana kandungan serat dalam sayur dan buah akan menyerap banyak air yang boleh membuatkan kita sembelit.
Langkah pertama ialah membahagikan makanan anda mengikut kategori warna seperti yang sudah diterangkan. Buat permulaan, cubalah ambil satu hidangan daripada setiap kumpulan warna. Kemudian apabila sudah berasa selesa, tambahkan kepada dua hidangan supaya jumlah keseluruhan mencapai 10 hidangan sayur dan buah sehari yang merangkumi semula kumpulan warna.
“Cabar diri anda. Anda boleh lakukan cabaran ini bersendirian, bersama keluarga atau kawan-kawan. Buat catatan setiap hari untuk melihat perkembangan positif dalam gaya pemakanan anda. Ini secara tidak langsung akan menggalakkan anda untuk meningkatkan atau setidak-tidaknya mengekalkan gaya pemakanan yang baik dan sihat.
“Memang sukar untuk mengubah tabiat makan yang sudah diamalkan sejak kecil. Namun untuk kebaikan diri sendiri, buatlah perubahan kecil pada satu masa, contohnya jika sebelum ini anda tidak pernah makan sayur, ambillah satu hidangan sehari. Pada masa sama, lengkapkan hidangan tengah hari atau malam dengan buah- buahan sama ada ia dimakan sebelum (pembuka selera) atau selepas makan sebagai pencuci mulut.
“Tidak ada waktu khusus atau terbaik untuk makan buah kerana anda tetap akan mendapat khasiatnya walaupun ada sesetengah pendapat mengatakan ia lebih baik diambil ketika perut kosong; kecuali jika anda mahu menurunkan berat badan.
“Ini kerana kandungan serat dan air di dalam buah- buahan akan membuatkan anda cepat kenyang dan kenyang itu bertahan lama. Jadi, ia akan mengurangkan kecenderungan untuk makan banyak terutama makanan yang mengandungi banyak lemak. Selain itu kandungan serat juga turut membantu menurunkan paras kolesterol dan mengawal paras gula dalam darah,” katanya.
Mungkin ada yang tidak tahu bahawa nutrien tumbuh-tumbuhan ini juga memberi sumbangan besar kepada kesihatan tulang. Setiap kategori warna membantu menguatkan tulang dalam cara berbeza. Kumpulan hijau membantu meningkatkan penyerapan kalsium, putih dan merah berfungsi menyihatkan tulang, biru-ungu memberi perlindungan antioksidan dan kuning-jingga mengekalkan ketumpatan tulang.
Bagi anda yang kerap mengalami masalah kurang tenaga, cepat penat dan sukar menumpukan perhatian kepada satu-satu kerja; sayur- sayuran dan buah-buahan dapat membantu mengatasi gejala ini.
Kumpulan hijau membantu mengekalkan kepekaan; kumpulan putih menyokong tenaga dan merangsang metabolisme protein; kumpulan merah mengekalkan paras tenaga; kumpulan biru-ungu pula membantu mengawal dan mengekalkan paras gula dalam darah yang menjadi sumber tenaga.
“Mereka yang mudah mendapat jangkitan sebenarnya mempunyai daya ketahanan badan yang lemah. Daya ketahanan badan atau sistem imun boleh diperkuatkan dengan mengambil cukup sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari. Fitonutrien daripada semua kumpulan warna bertindak dari dalam sel untuk membantu menyihatkan dan menguatkan sel itu sendiri. Malah, kumpulan putih bertanggungjawab memastikan badan mampu menghasilkan sel darah putih yang sihat dan boleh berfungsi dengan baik. Selain kulit, sel darah putih adalah benteng utama dalam sistem imun kita,” katanya.
Pilihan sayur atau buah terpulang kepada selera individu, kemampuan kewangan dan sama ada ia mudah diperoleh. Namun, lebih gelap warna sayur atau buah, kandungan fitonutrien lebih tinggi. Malah ia juga banyak didapati di dalam kulit buah-buahan dan sayur-sayuran. Justeru, jika boleh, makanlah dengan kulitnya sekali untuk mendapat lebih khasiat.
Cara terbaik ialah membeli hasil keluaran tempatan pada musimnya kerana harganya jauh lebih murah. Gunakan peluang ini untuk menikmati sebanyak mungkin kebaikan daripada sumber alam.
Dr Johnson berkata, buah- buahan tempatan lebih baik daripada yang diimport kerana ia petik ketika buah sudah cukup matang atau hampir masak dan kandungan fitonutriennya lebih banyak berbanding buah-buahan import yang dipetik awal dan diperam.
Namun, penjagaan makanan saja tidak cukup untuk menentukan kesihatan anda. Ia perlu dilengkapi dengan senaman sekurang-kurangnya berjalan cepat 30 minit sehari, empat atau lima kali seminggu. Lebih baik jika ia boleh dilakukan setiap hari. Badan manusia memang direka untuk melakukan banyak pergerakan; sebab itulah kita ada sendi, otot dan tulang. Jadi, jangan sia-siakan anugerah tuhan dengan ‘bersantai’ sepanjang hari. Banyakkan berjalan walaupun anda terikat dengan kerja dalam pejabat.
“Gaya hidup cergas dan senaman sebenarnya mampu mengubah gen seseorang. Tahukah anda apabila anda mencecah umur 40 tahun, ada empat hingga tujuh jenis sel kanser mula terbentuk dalam badan tetapi ia boleh ‘diubah’ melalui pemakanan sihat dan kerap bersenam. Ia juga cara terbaik untuk mengawal dan mengurangkan tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental jika tidak dijaga.
“Kita juga perlu cukup rehat (tidur selama enam hingga lapan jam sehari). Ketika tidur, badan akan memperbaiki tisu yang mengalami kerosakan. Kalau tidak cukup rehat, badan kita mengalami keadaan kerintangan insulin di mana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dan bimbang ia akan berakhir dengan kencing manis.
“Bagi yang berasakan tidak mendapat cukup zat daripada makanan, bolehlah mengambil makanan tambahan. Pun begitu lebih baik jika khasiat itu diperoleh daripada makanan segar. Paling utama, kita mesti bersikap dan berfikiran positif; barulah boleh menjalani hidup yang sihat dan bahagia,” katanya.
Read more...
03 July 2010
Kuatkan daya ingatan
PERMAINAN yang memerlukan daya strategi seperti catur boleh menajamkan fikiran dan memori.
OTAK merupakan satu bahagian anatomi tubuh yang hebat fungsinya kerana mampu merakam segala perkara dan peristiwa. Meskipun begitu, masalah kelemahan daya ingatan boleh terjadi kerana kita tidak melatih diri mengulang ingat sesuatu maklumat.
Tidak mustahil jika ramai di antara kita pernah mengalami situasi tidak dapat mengingati barang yang baru sahaja diletakkan. Ada sesetengah pula yang tidak dapat mengingati tempat kenderaan diletakkan ketika hendak pulang dari pusat beli-belah.
Insiden itu sering membuatkan seseorang cuba mengaitkannya dengan faktor usia dan penuaan.
Namun hakikatnya, ingatan boleh diumpamakan sebagai otot dalam tubuh kita. Semakin kita menggunakannya, semakin kuat otot tersebut.
Sebagai remaja khususnya pelajar, memiliki daya ingatan amat penting untuk menentukan kecemerlangan dan kejayaan dalam peperiksaan. Daya ingatan ini berkait rapat dengan keupayaan mental dan fizikal yang sihat.
Daya ingatan yang bagus juga membantu seseorang melontarkan pandangan atau pendapat yang jitu dan bernas dalam perbincangan serta pembelajaran.
Dalam membina daya ingatan itu, terdapat beberapa aspek yang ditekankan. Mungkin panduan yang disenaraikan oleh genK dapat membantu dalam memastikan daya ingatan sentiasa di tahap optimum.
* Tidur yang mencukupi
Seperti kita memerlukan oksigen, tidur yang mencukupi dan berkualiti turut memberi manfaat kepada kita. Tidur ini bukan sahaja mampu meningkatkan daya ingatan, malah memberikan kesan yang menakjubkan iaitu membantu meningkatkan penumpuan dan kecekapan kerja, menulihkan fungsi tubuh dan juga meningkatkan kesejahteraan emosi.
TIDUR yang berkualiti menjana upaya pemikiran yang lebih baik.
Namun, dalam gaya hidup semasa, ada sesetengah orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan waktu tidurnya. Keletihan itu hanya akan mengganggu maklumat atau data yang disimpan oleh otak di samping menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Seeloknya rancang waktu tidur anda.
* Mengawal tekanan dan kemurungan
Ada sesetengah perkara dalam hidup ini kita tidak mampu mengubahnya meskipun telah berusaha keras. Berhadapan dengan hal-hal yang yang datang secara tidak direlakan atau diduga ini menyebabkan berlaku tekanan dalam hidup. Tekanan ini hanya membuatkan jiwa kita tidak tenteram dan mencetuskan kemurungan dalam hidup.
Dengan ini kita tidak dapat berfikir dengan jelas seterusnya menjejaskan daya ingatan. Oleh itu, kawal tekanan melalui bermeditasi, membaca al-Quran, beriadah, mengunjungi sauna, menggunakan aromaterapi dan sebagainya.
* Pengambilan ubat
Sesetengah daripada kita terlampau taksub untuk menjadi seorang yang bijak pandai dengan berusaha mendapatkan daya ingatan yang kuat. Ia ditambah dengan bisikan daripada rakan-rakan yang telah mencuba pelbagai kaedah sampingan. Keadaan ini membuatkan seseorang sanggup membelanjakan wang untuk produk-produk kesihatan yang kononnya dapat meningkatkan daya ingatan.
Namun, ada sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan penerimaan sistem tubuh hinggakan memberi kesan sampingan yang memudaratkan. Sebaiknya kita mendapatkan rujukan terlebih dahulu daripada pakar perubatan yang bertauliah sebelum membelinya untuk kebaikan kita.
SENAMAN adalah antara cara terbaik untuk mendapatkan minda dan fizikal yang sihat.
* Bersenam
Seperti kata pepatah, otak yang cerdas bermula daripada badan yang sihat. Bagi membina badan yang sihat semestinya daripada aktiviti yang dapat menggerakkan anggota tubuh yang melancarkan peredaran darah ke otak.
Otak itu sendiri memerlukan oksigen yang mencukupi bagi memastikan tubuh dapat berfungsi ke tahap optimum.
Kekurangan bekalan oksigen hanya akan menyebabkan kita mudah mengantuk seterusnya menjejaskan kecergasan dan keaktifan otak. Luangkan masa untuk bersenam walaupun sekadar berjalan kaki dalam jarak tertentu.
* Aktiviti yang mencabar
Otak kita sentiasa perlu diaktifkan untuk meningkatkan fungsi dan memanjangkan keupayaannya. Otak yang sentiasa aktif akan menajamkan daya ingatan agar tidak dimakan usia.
Dalam mengalakkan otak berfikr secara keseluruhannya aktiviti seperti permainan catur, sudoku, sahibba dan monopoli boleh merangsang pemikiran kita.
Permainan yang berunsur mengatur strategi dan bermain dengan angka ini mampu membuatkan penumpuan dan daya kreativiti kita terserlah. Secara tidak langsung ia membantu mengembangkan minda dan menajamkan daya ingatan
Read more...
Raih iktibar di tanah asing
Menjejak, Meneladani, Memimpin, jelas boleh dirumuskan bahawa setiap langkah yang dilakukan oleh ahli-ahlinya membawa nilai pulangan yang tiada tandingannya.
KALAU berbicara dalam konteks penghayatan ilmiah, tidak keterlaluan kalau seseorang menyifatkan bahawa pengisian pembelajaran di peringkat sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi di negara ini banyak tertumpu pada konsep teori dan berpaksikan peperiksaan.
Walaupun itu menjadi kesempatan hebat untuk golongan muda menyerap seberapa banyak cabang ilmu, namun masih ada kekosongan lain yang perlu dikejar dan dicapai. Perkara yang dimaksudkan itu adalah pengalaman yang mengisi minda dan jiwa.
Maka, pelbagai aktiviti tambahan di luar jadual pembelajaran formal menjadi 'buruan' mereka yang cintakan bentuk pengisian baru. Demi mendapatkannya, seseorang remaja atau belia perlu berhadapan dengan beberapa cabaran sampingan seperti pengurusan waktu, halangan kewangan, pemilihan program ideal dan sumber dorongan yang berterusan.
"Sebenarnya ada di antara ibu bapa yang mahukan anak mereka mengikuti aktiviti berfaedah di luar waktu pembelajaran. Tetapi mungkin disebabkan mempunyai kekangan dari segi kewangan hasrat itu terpaksa dilupakan," jelas Presiden Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD), Muhammad Suhail Ahmad, 28.
Menyedari hakikat itu, GPTD yang sudah berusia sembilan tahun tidak pernah pasif dalam menggariskan matlamatnya. Bergerak dengan kapasiti kewangan yang diusahakan sendiri, kumpulan organisasi bukan kerajaan itu sentiasa memikirkan aktiviti bermanfaat untuk disertai ahli-ahlinya.
Idea penubuhan GPTD tercetus daripada gagasan meneladani jatuh bangun sesebuah tamadun. Digerakkan oleh kumpulan anak muda berpendidikan tinggi, GPTD mendedahkan ahli-ahlinya kepada pelbagai aktiviti belia dan khidmat sosial.
"Selain merencana program latihan dan projek pendidikan di dalam negara, kami turut melanjutkan minat mereka terhadap pembinaan jaringan yang lebih besar.
"Ini dicapai melalui program kembara global bagi menjejak tamadun dunia seterusnya mendalami tokoh-tokoh Islam yang sepatutnya dijadikan contoh terbaik buat mereka," terang lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.
KUNJUNGAN Jelajah Tokoh Luar Negara sempat menatap makam Nabi Ayub.
Menurut Muhammad Suhail, aktiviti asas GPTD seperti bengkel kemahiran, latihan imam muda, kem asas relawan dan diskusi grup dapat berkembang dengan wujudnya matlamat tersebut.
"Ini meliputi penguasaan bahasa strategik, kajian lokasi, aktiviti sosial dan pembinaan jaringan relawan antarabangsa menerusi projek-projek khas di luar negara.
"Peluang itu membolehkan mereka menilai kehebatan Al-Fateh, Cheng Ho, Wali Songo, Hamka, Ibnu Battutah dan Jil Saladin dengan berkunjung sendiri ke negara-negara yang berkaitan dengan tokoh-tokoh dunia itu," jelasnya yang kini giat menyusun jadual buat 400 ahli GPTD.
Latihan asas
Walau bagaimanapun, setiap ahli GPTD perlu melalui beberapa proses latihan untuk menguji kredibiliti mereka sebelum layak mengikuti projek jelajah tamadun.
Melalui Program Outreach misalnya, setiap ahli diberi tugasan untuk mendekati golongan miskin, pesakit, mangsa bencana, orang kurang upaya (OKU) dan Orang Asli.
"Pengalaman menjalin perhubungan dan mendalami kehidupan golongan tersebut perlu dicapai terlebih dahulu. Selain melatih sikap berdikari dan rajin membantu, skil interaksi turut memainkan peranan penting," katanya yang menguji rekrut GPTD dengan kebiasaan bermalam di madrasah dan masjid.
Jika sudah berjaya dalam siri latihan domestik yang mengambil masa selama setahun, barulah para peserta diberi peluang mengikuti program jelajah di luar negara. Apabila terpilih, mereka perlu berada di negara tersebut sekurang-kurangnya sebulan bagi mengumpul maklumat sejarah dan tokoh tamadun.
"Kami ingin melihat daya ketahanan mental dan fizikal mereka termasuk beberapa skil lain. Kelebihan itu sebenarnya mempersiapkan mereka agar mampu mengharungi kehidupan serba sederhana dan mencabar di negara-negara kunjungan nanti.
"Ketika itulah mereka dapat menilai keistimewaan berada di negara sendiri yang serba lengkap dengan kemudahan. Kebanyakan peserta yang mengikuti program ke luar negara ini lebih menghargai negara sendiri apabila mereka pulang ke tanah air," ulas Muhammad Suhail.
Bekas pengamal undang-undang ini sempat berkongsi pengalamannya ketika menjalani Program Jejak Tokoh Luar Negara selama setahun di Guangzhou, China.
Sewaktu berkunjung ke Masjid Saad Abi Waqqas untuk menunaikan solat Jumaat, dia tersentuh hati tatkala melihat bilangan para jemaah yang melimpah sehingga ke luar masjid kerana keterbatasan ruang.
SENI bina Masjid Umawi yang terletak di Syria cukup mengkagumkan.
--------------------------------------------------------------------------------
Mereka khusyuk mendengar khutbah dan bersembahyang meskipun terpaksa menghamparkan tikar di kaki lima. Ketika itu, hujan sedang renyai dalam asakan suhu serendah lapan darjah Celsius.
Muhammad Suhail yang turut berada dalam saf tersebut terpaksa membuat keputusan menanggalkan stoking agar tidak diresapi air hingga menambah kesejukan yang dirasainya.
Terkesan dengan pengalaman itu, Muhammad Suhail telah mempelajari sesuatu. Kalau di bumi Komunis itu, umat Islam minoriti itu sanggup mengimarahkan masjid dalam cabaran cuaca ekstrem, tentu sekali umat Islam di Malaysia tidak punya alasan untuk melangkah ke masjid yang sememangnya lebih luas, selesa dan serba lengkap segala-galanya.
Pengalaman berharga
Bagi Penolong Setiausaha GPTD, Abdul Hakim Shahbuddin, 24, dia belum berkesempatan untuk mengikuti program jejak tokoh dengan sedalam-dalamnya disebabkan komitmen pengajian di UIAM yang perlu didahulukan.
Namun lima tahun lalu, Abdul Hakim berpeluang mengikuti lawatan pendek ke Jepun dan Korea. Dengan membawa misi mengumpul maklumat mengenai kebangkitan Islam di dua buah negara itu, dia dikejutkan dengan keakraban yang ditunjukkan para pelajar Malaysia yang menerima kehadirannya seperti keluarga sendiri.
"Saya membuat kesimpulan bahawa pemahaman tentang Islam di kalangan Muslim Jepun dan Korea masih perlu dibimbing dengan lebih mendalam. Mereka sebenarnya amat memerlukan tenaga pengajar namun bilangannya begitu terhad," terangnya.
Dalam pada itu, sepanjang 10 hari berada di Korea, Hakim pada awalnya berniat untuk bermalam di masjid. Disebabkan sikap ramah penduduk dan pelajar di sana, dia dipelawa untuk tinggal di asrama pelajar dan rumah keluarga angkat.
"Antara cabaran saya adalah untuk mendapatkan bekalan makanan halal. Jadi inilah pentingnya skil berdikari dan komunikasi supaya kita boleh menyelesaikan kemusykilan itu dengan penduduk Muslim di sana," ujar Abdul Hakim.
SEBILANGAN kanak-kanak rancak melakukan tarian tradisional masyarakat Pulau Kokos.
--------------------------------------------------------------------------------
Bagi seorang ahli GPTD, Mohd. Shazni Abdullah, 24, pengalaman berada di tiga buah lokasi iaitu Syria, Turki dan Lubnan masih segar dalam ingatannya.
Baru sahaja berkunjung ke sana awal Januari lalu, Shazni sempat menghabiskan masa dengan mempelajari corak kehidupan masyarakat negara tersebut selama enam bulan.
"Tujuan kunjungan saya adalah untuk memperkukuhkan persahabatan GPTD dengan kumpulan NGO dan sukarelawan di sana. GPTD dalam proses untuk mengembangkan rangkaian bagi membolehkan lebih banyak projek kerjasama dijalankan.
"Kembara itu juga membawa manfaat tersendiri buat saya yang ingin memperkukuhkan kemahiran bahasa dan pertuturan Arab. Bahasa yang digunakan mereka sebenarnya amat berlainan dengan apa yang dipelajari. Mereka lebih banyak guna bahasa pasar," jelas graduan Pengajian Islam UIAM itu.
Seterusnya, sambil mengembara dia turut tidak melepaskan peluang menziarahi makam sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan juga lokasi-lokasi bersejarah di negara terbabit.
Selaras dengan motto GPTD iaitu Menjejak, Meneladani, Memimpin, jelas boleh dirumuskan bahawa setiap langkah yang dilakukan oleh ahli-ahlinya membawa nilai pulangan yang tiada tandingannya.
Mereka yang sudah lulus intipati kembara GPTD tentunya terasa mewah ilmu, pengalaman dan iktibar seterusnya mahu menyampaikan kisah tersebut kepada yang lain.
Rencana Utama!»
Raih iktibar di tanah asing
Raih iktibar di tanah asing
Tembakau bencana untuk wanita
.Pemotoran!»
Cruze harapan Chevrolet
CRUZE dijangka mampu menghangatkan kembali nama Chevrolet di pasaran automotif negara.
Cruze harapan Chevrolet
Jentera sarat teknologi.Horizon!»
Radius titik pertemuan budaya
Radius titik pertemuan budaya
Berjaya dua dalam satu
.Varia!»
Signatur Sekinchan di Setiawangsa
Peminat ikan bakar kini tidak perlu lagi memandu jauh untuk menikmati keenakan ikan bakar dari Sekinchan.
Signatur Sekinchan di Setiawangsa
Piala Dunia versi sawah.Iklan@KOSMO!
Read more...
02 July 2010
Piala Dunia versi sawah
BERMAIN bola sepak di tapak sawah berlumpur lebih sukar berbanding padang bola biasa.
DEMAM kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 kini semakin menjadi-jadi. Pelbagai ragam dan cara dilakukan bagi menghangatkan kejohanan terbesar dunia itu.
Padang permainan yang biasanya dikunjungi kanak-kanak telah bertukar menjadi padang bola. Begitu juga dengan gelanggang futsal yang kini dijadikan gelanggang bola. Semuanya disebabkan Piala Dunia.
Bagi masyarakat Kampung Gong Baru di Tok Nasek, Kuala Terengganu, mereka turut tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama merasai kehangatan Piala Dunia.
Bagaimanapun, cara yang dilakukan sedikit berbeza iaitu dengan menganjurkan Piala Dunia versi sawah menerusi kejohanan Cabaran Futsal Sawah 2010.
Ini bermakna, pemain-pemain akan beraksi di atas tapak bekas sawah yang berselut dan berlumpur.
Malah, setiap pasukan yang bertanding akan menggunakan nama pasukan yang beraksi pada Piala Dunia seperti Brazil, Argentina, Belanda dan Perancis.
"Kita dapat melihat pasukan Argentina dan Belanda beraksi di sawah yang berselut. Tetapi sesetengah bahagian lain padang ada yang bertanah keras. Menariknya walaupun bermain di kawasan sawah belia-belia kita menunjukkan semangat yang tinggi seolah-olah mereka berada di pentas Piala Dunia," kongsi Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd. Hanafiah Ismail, 47.
SEORANG pemuda terjun ke dalam tali air berdekatan padang bola untuk membersihkan diri.
Tambah Hanafiah, penganjuran Cabaran Futsal Sawah itu merupakan acara tradisi Kampung Gong Baru dan telah diadakan sejak 10 tahun lalu.
Namun, penganjuran tahun ini yang disertai 16 pasukan bagi kategori Jiran Muda (dewasa) dan 10 pasukan bagi kategori Tunas Jiran (bawah 15) dianggap cukup istimewa sempena kejohanan Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung di Afrika Selatan.
"Semua orang bercakap tentang Piala Dunia, tetapi tidak semua orang tahu Piala Dunia juga boleh diadakan di sawah. Saya rasa, inilah keunikkan kejohanan ini.
"Pemain juga boleh memilih sama ada mahu memakai kasut ataupun tidak. Terpulang kepada mereka kerana apa yang penting adalah bagaimana mereka bermain dalam selut yang licin dan kotor.
"Selepas sahaja bermain, kebanyakan pemain akan mengambil peluang dengan terjun ke tali air yang terletak bersebelahan sawah itu untuk mencuci badan," cerita beliau.
Seorang pemain, Mohd. Eddy Zuikhwan, 19, berkata, dia dapat merasai satu keseronokan yang berbeza apabila menyertai kejohanan ini walaupun terpaksa bermandi lumpur serta berpanas di bawah terik matahari.
"Kalau orang luar nampak, memang melucukan kerana mereka akan beranggapan yang kami sedang bermain selut pada waktu tengah hari. Baju yang berwarna merah ataupun putih akan bertukar menjadi hitam gara-gara kesan selut," katanya yang beraksi dalam kategori Jiran Muda.
Eddy yang mewakili pasukan Afrika Selatan pada kejohanan itu turut melahirkan rasa gembira kerana dapat terlibat dalam aktiviti yang jarang dianjurkan itu.
MERAIKAN kemeriahan Piala Dunia dengan cara yang berbeza, warga Kampung Gong Baru bermain bola sepak di tapak sawah yang berlumpur.
Sementara itu, Mohd. Emir Rafiuddin, 14, yang mewakili pasukan Portugal bagi kategori Tunas Jiran mengakui kesukaran bermain bola di tapak sawah berbanding di padang rumput.
"Kalau bermain di padang rumput, kita tidak berdepan kesukaran untuk berlari atau menggelecek bola berbanding ketika bermain di tapak sawah yang berselut.
"Walaupun tempoh masa yang diberi hanya tujuh minit, tetapi kepenatan yang dirasai cukup memeritkan," ujarnya.
Read more...
01 July 2010
Malas punca kegagalan
ORANG yang malas selalunya tidak menetapkan matlamat hidup. - Gambar hiasan
DALAM menempuh hidup yang serba mencabar, tidak dinafikan ada segelintir daripada kita yang akan ketinggalan.
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada kegagalan. Antaranya tidak mempunyai tujuan hidup, kurangnya keyakinan, tidak berdisiplin dan tidak berani mengambil risiko.
Namun, faktor utama mungkin boleh dikaitkan dengan sifat malas. Perasaan itu wujud seiring dengan keengganan kita melakukan sesuatu tugas dan suka menunda kerja. Seterusnya, melarikan diri daripada kewajipan.
Implikasi yang diberikan oleh perasaan ini amat kuat. Apabila satu perasaan itu terdetik di hati secara langsungnya akan mempengaruhi fikiran dan fizikal kita. Keadaan ini akan menjadi teruk sekiranya rasa tersebut dilayan dalam jangka masa yang lama. Pengaruhnya amat kuat dalam memberi impak kepada kejayaan seseorang.
Keselesaan kita berada dalam sesuatu lingkungan atau zon membuatkan sukar untuk kita keluar melakukan perubahan. Seharusnya kita harus membuka mata dan melihat kerana motivasi itu ada di mana-mana sahaja.
Lihatlah pada kerajinan yang ditunjukkan oleh seorang pengutip sampah dan pemandu bas. Mereka sanggup melakukan kerja bertahap rendah kerana sudah tiada pilihan untuk melakukan tugas yang bertaraf hebat. Bukankah mereka lebih baik daripada golongan malas yang menunggu bulan jatuh ke riba?
Sehubungan itu, seorang individu yang masih dibuai perasaan malas harus mengaplikasikan faktor persekitaran mereka sebagai penyuntik motivasi.
Mungkin panduan yang disenaraikan ini mampu digunakan oleh remaja dan pekerja untuk terus menongkah arus perdana yang semakin sengit persaingannya.
1Menetapkan tujuan: Orang malas tidak memiliki motivasi untuk berkembang ke arah kehidupan yang lebih baik. Ini membuatkan mereka tidak mempunyai tujuan atau matlamat hidup yang nyata dan jelas. Keadaan ini hanya mengakibatkan kehidupan mereka terumbang-ambing dan menjadi pasif, seterusnya cenderung menyerahkannya kepada nasib.
Dengan itu, kehidupan yang kita dijalani akan berasa bosan. Jika diamati, tujuan hidup ini mampu menyentuh emosi dan mencetuskan perasaan untuk berbuat sesuatu. Secara tidak langsung mendorong dan membakar semangat manusia agar berjaya. Setiap manusia yang diciptakan itu adalah unik sama ada dalam aspek minat, kecenderungan, kebolehan, cara berfikir dan bertindak.
Sehubungan itu, tetapkan apa tujuan hidup anda dan mulakan langkah yang berani.
2Berani hadapi ketakutan: Orang yang malas juga boleh dikaitkan dengan mereka yang takut menghadapi kegagalan. Ia disebabkan mereka berasa malu dan kurang keyakinan untuk mendepani masalah yang dihadapinya.
TANPA usaha meningkatkan produktiviti, tiada yang akan berubah dalam hidup. - Gambar hiasan.
--------------------------------------------------------------------------------
Berani menghadapi risiko untuk meraih kejayaan dalam hidup adalah penting bagi setiap individu. Setiap perjuangan perlu disertai dengan risiko.
Di saat anda dihantui perasaan cemas dan takut, seharusnya jangan melarikan diri tetapi menghadapi dengan tenang kerana kejayaannya mampu membangkitkan keyakinan diri. Gunakan masa silam kita sebagai guru paling berguna untuk mengubah kehidupan. Kata orang, alah bisa tegal biasa.
3Meningkatkan kemampuan diri: Untuk terus memangkin kejayaan seharusnya kita perlu terus berlatih dan berusaha meningkatkan kemampuan diri. Berada dalam keadaan yang sama hanya mengakibatkan produktiviti dan motivasi untuk berjaya semakin berkurang.
Belajar adalah kunci untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Sekiranya kita terus tekun, secara langsung kemampuan kita juga akan meningkat. Semangat ketekunan itu boleh terus membara jika anda menyemat dalam fikiran dengan kata-kata 'saya ingin dan mahukan perkara tersebut'.
Contohnya, jika kita ingin menjadi perunding cara, maka fokuskan kelakuan kita ke arah tersebut dengan mengasah kemampuan, mendiagnosis masalah, mencari penyebab, menganalisis, menyediakan jalan penyelesaian dan memperbaiki kemampuan berkomunikasi.
4Disiplin diri: Disiplin melatih seseorang mengawal kelakuan mereka untuk berjaya. Ia menggabungkan sikap sabar, berorientasi matlamat dan tanggungjawab dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Perkara yang perlu ada dalam pemikiran seseorang dalam mencapai tahap disiplin yang tinggi adalah kekuatan dalam melawan segala dugaan.
Golongan berdisiplin adalah mereka yang menghormati janji dan komitmen yang telah dibuat dalam diri mereka. Sikap begini secara langsung membina semangat kemahuan yang tinggi, pergorbanan, tumpuan, sikap terbuka dan mencabar minda mereka untuk mencapai apa yang diingini.
5Lingkungan positif: Jika perasaan malas mulai muncul dalam diri anda, jangan terus berdiam diri. Langkah terbaik dalam menghilangkan perasaan tersebut adalah dengan menghampiri orang yang sedang tekun dan bersemangat melakukan sesuatu.
Dekati mereka yang sedang bekerja keras dalam merealisasikan impian mereka. Berada dalam lingkungan golongan yang mempunyai arah hidup, optimis dan motivasi diri secara tidak langsung akan menginspirasi dan menimbulkan semangat yang membuak-buak untuk terus berada dalam landasan yang betul
Read more...
30 June 2010
Jangka hayat planet terpanas
SEBUAH planet dalam Galaksi Bima Sakti bakal musnah dalam tempoh 10 juta tahun
KETIKA pelbagai pandangan dikeluarkan para saintis di seluruh dunia mengenai ketibaan kiamat, sebuah planet dalam Galaksi Bima Sakti dipercayai bakal musnah dalam masa 10 juta tahun lagi.
Sekeping imej konsep yang dikeluarkan artis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menunjukkan planet terpanas berkenaan mungkin menjadi planet yang mempunyai jangka hayat terpendek.
Keadaan itu disebabkan ia dimusnahkan planet induknya sendiri berdasarkan pengamatan yang dibuat menggunakan instrumen baru di teleskop NASA iaitu Cosmic Origins Spectrograph (COS).
Planet yang dinamakan sebagai WASP-12b itu dijangka mempunyai hayat 10 juta tahun sebelum ia lenyap sepenuhnya. Ia begitu dekat dengan bintang yang seakan-akan matahari hingga mengalami pemanasan sehingga 2,800 darjah Fahrenheit. Suhu itu membuatkannya berubah bentuk menjadi seperti bentuk bola ragbi.
Atmosferanya telah membesar tiga kali ganda berbanding radius Musytari manakala saiznya adalah 40 peratus lebih besar berbanding planet itu.
"Kami melihat pembentukan awan debu yang besar di sekeliling planet itu.
"Kami juga mengenal pasti elemen kimia yang belum pernah dilihat di planet berkenaan di luar sistem solar kita," kata ketua kumpulan sains, Open University, Britain, Carole Haswell.
Read more...
28 June 2010
Pemansuhan peperiksaan tak boleh selesai masalah
PELAJAR negara ini cukup sinonim dengan peperiksaan dan dianggap tunjang utama dalam menentukan kecemerlangan individu serta institusi pendidikan.gambar hiasan.
Peperiksaan menjadi ukuran kebijaksanaan dan kejayaan negara melahirkan pelapis generasi masa depan lebih berwibawa, selain dianggap aset kecemerlangan.
Justeru, apabila ada cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), pelbagai pihak tampil melontarkan pandangan.
Ada bersetuju kerana berasakan sistem berorentasikan peperiksaan sudah lapuk dan tidak relevan dengan konsep pendidikan alaf baru tetapi tidak kurang yang membantah. Persoalannya, adakah pemansuhan itu mampu mengubah senario sistem pendidikan negara ke tahap lebih baik atau sebaliknya? Profesor Pendidikan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron berkata, peperiksaan sedia ada tidak perlu dimansuhkan supaya tahap penguasaan dan pemahaman pelajar boleh dinilai.
Menurutnya, peperiksaan adalah teras dalam menentukan institusi persekolahan sudah bersedia mencapai sasaran atau masih memerlukan sokongan demi melancarkan proses pembelajaran.
"Memansuhkan peperiksaan tidak boleh menyelesaikan masalah. Perkara yang perlu diperbetulkan adalah pelaksanaan sistem pendidikan bagi melancarkan proses pemberian dan penerimaan ilmu.
"Menilai kesediaan dan mengukur prestasi pelajar adalah menerusi peperiksaan. Melalui cara ini, institusi pendidikan boleh membuat kesimpulan sama ada proses pendidikan diterima berjaya atau sebaliknya," katanya.
Falsafah pendidikan menggariskan tiga kaedah asas menilai prestasi pelajar iaitu penilaian rujukan kendiri seperti memperbaiki pencapaian, penilaian rujukan norma (membandingkan prestasi) dan penilaian rujukan kriteria (pembelajaran pada tahap dijangkakan).
Menurutnya, jika pelajar boleh memberi tindak balas positif terhadap kaedah asas itu, bermakna mereka berkemampuan menjalani proses pembelajaran.
Justeru, masyarakat perlu jelas dan memahami matlamat utama peperiksaan serta tidak melihatnya sebagai mekanisme menyusahkan pelajar.
"Sebahagian besar masyarakat mengaitkannya sebagai tekanan akademik, bebanan yang merosakkan pembangunan modal insan serta sosial. Lihat peranan dan kepentingannya dalam melaksanakan falsafah pendidikan negara.
"Juga nilai kesediaan pelajar secara berperingkat terhadap proses pembelajaran supaya dapat memperbaiki pencapaian, " katanya.
Beliau mengakui sistem pendidikan negara juga perlu lebih anjal dan menggunakan mekanisme pendidikan berbeza seperti yang dilaksanakan negara maju.
"Negara seperti Korea menilai tahap pelajar menerusi peperiksaan khas dengan penentuan kelas mengikut tahap kesediaan, selain melakukan pemantauan berkala bagi melihat peningkatan," katanya.
Dr Isahak berkata, kaedah itu diperakui, malangnya tidak dipraktikkan di negara ini mengakibatkan pelajar lemah terus ketinggalan.
Tiada istilah pelajar gagal dalam falsafah pendidikan dan masing-masing mempunyai keupayaan berbeza yang memerlukan lebih masa, bimbingan dan latihan bagi memantapkan pencapaian.
"Sistem pendidikan lebih fleksibel berdasarkan minat, kebolehan dan bakat perlu diwujudkan supaya pengakhiran proses pembelajaran mampu mencapai sasaran.
"Jika peperiksaan ingin dimansuhkan, pastikan wujud sistem pendidikan lebih berkualiti dengan penjanaan pelbagai program alternatif seperti melaksanakan ujian mudah berkala.
"Keputusan ujian juga perlu dihebahkan untuk tatapan umum supaya masyarakat boleh melihat prestasi semasa. Sebarang pendekatan sekali pun, perlu ikut kemampuan pelajar," kata Dr Isahak.
Read more...