Memberus sekurang-kurangnya dua kali sehari, selepas bangun dari tidur dan sebelum tidur.
PENJAGAAN gigi perlu bermula sebelum gigi pertama si manja mula tumbuh. Walaupun gigi bayi belum kelihatan semasa beberapa bulan pertama selepas kelahirannya, ia sebenarnya sudah terbentuk, hanya belum keluar daripada gusinya sahaja.
Penjagaan gigi yang tidak betul menyebabkan kerosakan gigi. Jika dibiarkan, kerosakan ini akan menusuk struktur tulang gigi dan menjejaskan perkembangan gigi kekalnya. Erti kata, gigi si manja mungkin akan tumbuh secara tidak teratur apabila membesar.
Pengambilan gula pada peringkat awal kehidupan (seperti menghisap puting dicelup madu), digandingkan pula dengan kebersihan oral yang tidak betul merupakan faktor dominan yang mengakibatkan kerosakan gigi.
Penjagaan gigi si manja lebih baik dimulakan dari awal kerana ia akan memanfaatkannya di kemudian hari.
Memberus gigi membantu mencegah kerosakan gigi tetapi anda perlu pastikan si manja tahu cara yang betul. Berikut adalah petua memberus gigi untuk memastikan kebersihan mulutnya.
Memberus sekurang-kurangnya dua kali sehari, selepas bangun dari tidur dan sebelum tidur. Pengumpulan plak berlaku lebih cepat semasa waktu tidur akibat penghasilan air liur yang berkurangan.
Ajar teknik memberus gigi yang betul. Beritahu si manja yang memberus gigi hadapan sahaja tidak akan menjamin kebersihan keseluruhan mulutnya.
Memberus permukaan tepi dan belakang gigi adalah penting dalam mengekalkan kebersihan mulutnya.
Jangan tergesa-gesa apabila memberus gigi. Luangkan sekurang-kurangnya tiga minit setiap kali memberus gigi.
Petua mudah untuk mencegah kerosakan gigi
Elakkan si manja tidur dengan menghisap botol yang mengandungi minuman manis seperti susu atau jus epal kerana ia menyebabkan giginya diselaputi cecair manis semasa tidur.
Amalkan tabiat minum air kosong kerana ia lebih baik untuk kesihatan. Apabila ingin memberi snek, berilah buah-buahan dan sayuran berbanding gula-gula dan aiskrim.
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
09 February 2010
Putih berseri gigi si manja
08 February 2010
Ainan mahasiswa berusia 10 tahun
Pada usia tujuh tahun, Ainan mula mendapat perhatian dunia kerana kepintaran luar biasanya dan menjadi kanak-kanak termuda lulus subjek kimia di peringkat GCE O-Level.
Hari ini dia mengukir satu sejarah lagi apabila bergelar mahasiswa universiti.
"SEJAK kelahirannya dia merupakan bayi yang luar biasa. Apabila saya bercakap, dia memalingkan kepalanya kepada saya dan terus berhenti menangis," luah Valentine Cawley, 41, mengenai anak sulungnya, Ainan Celeste Cawley, 10.
Petanda lain mengenai kelahiran anak sulung Valentine turut dirasai oleh isterinya, Syahidah Osman Cawley, 30, seorang pelukis potret dan penulis.
"Ketika saya mengandungkan Ainan, berlaku gerhana matahari penuh. Saya dan suami dapat menyaksikan gerhana matahari tersebut bersama-sama," katanya.
Bagi mereka, semua itu merupakan antara petanda baik bahawa anak sulung mereka mempunyai keistimewaan.
Tekaan mereka ternyata benar apabila Ainan menunjukkan perkembangan yang luar biasa selepas kelahirannya.
Ainan mula merangkak pada usia empat bulan, berjalan ketika enam bulan dan berlari ketika lapan bulan. Malah, pada usia Ainan mencecah enam tahun, dia mula menunjukkan minat membaca buku kimia.
Kelibat Ainan membaca buku kimia disedari ibu saudaranya. Lalu ibu saudaranya bertanya kepada Ainan sama ada dia faham isi kandungan buku tersebut.
"Ya, saya faham apa yang dibaca," jawab Ainan ringkas.
Sejak itu, buku kimia menjadi santapan mindanya. Ketika kanak-kanak seusianya baru menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, Ainan pula sudah mendalami subjek kimia.
"Setiap hari Ainan akan menunjukkan kertas kerja kimianya kepada saya termasuk idea-idea kimia yang direka sendiri olehnya. Hasil yang ditunjukkan kebanyakannya menghurai mengenai simbol kimia yang begitu kompleks.
"Otaknya begitu pantas memberi tindak balas kepada subjek kimia," kata Valentine.
Setahun selepas mempelajari subjek kimia, Ainan menduduki ujian kimia peringkat O-Level ketika usianya tujuh tahun. Kanak-kanak berdarah Ireland di sebelah bapa dan Melayu Singapura di sebelah ibunya itu lulus ujian tersebut menjadikan dia manusia termuda mencapai rekod itu.
Kejayaan Ainan dicatatkan dalam Singapore Book of Records.
Sejak tahun 2007, nama genius muda itu sememangnya menjadi sebutan seluruh dunia. Beberapa rekod lain dicipta Ainan selepas itu seperti pelajar politeknik termuda di dunia.
Terbaru dia mencipta satu rekod lagi baru apabila menjadi kanak-kanak pintar kimia pertama di dunia yang mendaftar masuk ke sebuah universiti. Sejak awal tahun ini Valentine dan Syahidah memilih universiti di Malaysia, Kolej Universiti HELP di Pusat Bandar Damansara untuk menyambung pengajian Ainan.
Ini bermakna pada usia 10 tahun, Ainan sudah bergelar seorang mahasiswa. Kanak-kanak itu meneruskan pengajian dalam Ijazah Program Amerika.
Ainan di HELP
AINAN mampu menghuraikan simbol kimia yang kompleks.
Berdepan dengan situasi yang hampir sama dengan ibu bapa kanak-kanak genius lain, Valentine dan Syahidah sebenarnya sedikit bergelut dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik buat Ainan.
"Kami berdepan dengan sistem pendidikan yang tidak sanggup membuat pengecualian untuk menampung keperluan Ainan.
"Ramai beranggapan kanak-kanak pintar tidak memerlukan bantuan khas, walaupun pada hakikatnya semakin pintar seseorang itu, semakin banyak yang mereka perlu pelajari," kata Valentine.
Sekiranya kanak-kanak genius dipaksa untuk menuruti sistem pendidikan konvensional, maka mereka akan merasa bosan, kecewa, sekali gus hilang minat terhadap pendidikan.
"Ainan menghadiri sekolah dasar selama tiga tahun di Singapura dan merasa bosan," cerita Valentine.
Bapa kanak-kanak genius itu merupakan seorang penulis, pakar fizik kerajaan, pengasas dan pengarang majalah Arts. Dia juga seorang artis persembahan yang pernah mendapat liputan saluran televisyen Cabel News Network (CNN) dan agensi berita, Reuters.
Mencari sebuah universiti yang dapat memberikan pendidikan terbaik kepada Ainan, usaha Valentine dan Syahidah akhirnya berlabuh di Malaysia. Mereka menghubungi Presiden Persatuan Kanak-kanak Bergeliga Malaysia (NAGCM), Zuhairah Ali, untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Dalam masa seminggu, Zuhairah telah mendapatkan tawaran daripada beberapa buah kolej dan universiti di Malaysia.
Mereka mendapati Kolej Universiti HELP paling sesuai untuk Ainan.
Selain menuntut dalam Ijazah Program Amerika Ainan juga akan mengambil kursus sains komputer, di samping meneruskan pengajian kimia, subjek fizik dan matematik peringkat A-Level.
"Dia juga akan mengambil subjek sastera liberal untuk menjamin satu latar belakang pendidikan yang luas serta sebagai persediaan menghadapi tugas dan cabaran akan datang. Program pembelajarannya akan berubah mengikut minat Ainan," kata Valentine.
Memudahkan lagi pemantauan Valentine terhadap anak sulungnya itu, dia bersetuju menerima tugas Penyelidik Psikologi di Jabatan Psikologi, Fakulti Sains Tingkah Laku di Kolej Universiti HELP.
Demi Ainan juga, Syahidah dan dua adik Ainan, Fintan Cawley, 6, dan Tiarnan Cawley, 4, juga menetap di Malaysia.
VALENTINE percaya Ainan akan mendapat pendidikan yang lebih baik dan fleksibel di Kolej Universiti HELP.
Fintan dan Tiarnan turut menunjukkan perkembangan kecerdasan minda yang hampir dengan Ainan cuma mereka memiliki kekuatan masing-masing dalam bidang berbeza.
Sementara itu, Pengarah Jabatan A-Levels Kolej Universiti HELP, Jahn Cheah, melahirkan rasa gembira dan bangga kerana memperoleh seorang pelajar genius di universiti itu.
"Kami akan pastikan Ainan menerima sokongan penuh terutamanya sebagai kanak-kanak istimewa yang memerlukan pendidikan yang berbeza. Kami pasti Ainan akan seronok menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman yang baru di HELP," katanya.
Tiada makanan tambahan
Tidak terlalu bimbang dengan sajian makanan untuk Ainan di Malaysia, akui Syahidah tiada makanan khas atau istimewa diberikan untuk Ainan.
"Dia makan apa saja yang dia mahu. Apa yang saya tahu, Ainan sangat suka makan biskut cip coklat dan roti canai.
"Semasa saya mengandungkan Ainan, saya tidak mengidam makanan yang pelik-pelik. Saya mengandung normal seperti wanita lain," kata Syahidah.
Kanak-kanak pintar.
VALENTINE bersama dengan isterinya, Syahidah dan tiga orang anaknya (dari kiri) Tiarnan, Ainan dan Fintan.
Malaysia juga mempunyai kanak-kanak pintar. Adi Putra Abd. Ghani, 11, yang merupakan seorang kanak-kanak prodigi dalam bidang matematik di Malaysia.
Adi yang dilahir di Bagan Serai, Perak memiliki kepintaran dalam matematik sejak berusia lima tahun lagi.
Dia mampu mencetuskan formula-formula baru dalam bidang matematik yang hanya boleh dilakukan oleh profesor matematik di universiti sahaja.
Adi juga begitu mahir dalam bidang matematik terutamanya algebra, trigonometri, darab antara lima hingga enam digit.
Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar, memang dari sudut psikologi beliau bersetuju terdapat faktor genetik dan persekitaran yang menyebabkan seorang kanak-kanak itu pintar.
"Kebanyakan kanak-kanak pintar disebabkan oleh faktor genetik. Namun begitu, jika ia ditambah dengan stimulasi, rancangan masa depan dan persekitaran yang sihat daripada ibu bapa mereka, kanak-kanak itu akan menjadi lebih pintar apabila mereka dewasa kelak," katanya.
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my
Read more...
07 February 2010
Tangan bersih hindar penyakit
Murid-murid mesti diajar mencuci tangan yang betul sebagai langkah mencegah penularan wabak H1N1.
KEBERSIHAN tangan sangat penting untuk mengurangkan risiko jangkitan ke atas diri sendiri, keluarga atau komuniti secara umumnya.
Menyedari kepentingan membasuh tangan, rangkaian sabun antibakteria Antabax melancarkan program kesedaran dan Pendidikan Antabax - Tangan Bersih, Mencegah Penyakit di Sekolah Kebangsaan Desa Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Program yang mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan itu bertujuan mendidik lebih kurang 150,000 murid dari 150 sekolah rendah di seluruh negara tentang kepentingan membasuh tangan sebagai langkah mencegah penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).
Selain itu, ia juga bertujuan menyokong matlamat kementerian supaya setiap rakyat sama ada pelajar mahupun ibu bapa mereka sentiasa berhati-hati dalam menghadapi ancaman wabak tersebut.
Majlis pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (Kesihatan Am), Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman.
Pada program berkenaan, semua pelajar didedahkan dengan sesi taklimat dan demonstrasi mengenai cara membasuh tangan yang betul.
Mereka juga ditunjukkan tujuh kaedah yang betul untuk membersihkan tangan.
Pelbagai ekspresi ditunjukkan oleh murid-murid saat mengikuti demonstrasi yang dijalankan. Ada yang terpinga-pinga dan tidak kurang juga yang melakukan dengan bersungguh-sungguh.
Sementara itu, menurut Hasan, pelbagai langkah mudah boleh dilakukan orang ramai untuk kekal sihat seperti mengamalkan kebersihan diri yang sempurna.
Ini termasuklah kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, menutup mulut dan hidung dengan tisu semasa batuk atau bersin, membuang tisu yang sudah digunakan, tidak keluar rumah apabila sakit, mengelak menyentuh mata, hidung dan mulut serta mengehadkan hubungan dengan individu yang sakit.
"Langkah-langkah itu mampu mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit seperti selesema. Penularan penyakit berjangkit seperti demam selesema juga boleh berlaku melalui sentuhan.
"Kementerian Kesihatan turut menasihati orang ramai supaya mengamalkan cara hidup sihat, mengambil diet seimbang dan senaman yang cukup untuk meningkatkan daya ketahanan diri bagi melawan penyakit," katanya.
Hasan berharap dengan terlaksananya kempen itu ia dapat menerapkan sikap menjaga kebersihan diri di kalangan kanak-kanak sebagai satu amalan berterusan.
Read more...
06 February 2010
Gergasi laut yang dizalimi
DEMONSTRASI yang mengecam kegiatan memburu paus sering dijalankan namun sejauh manakah gesaan itu diberi perhatian?
KEDENGARAN jeritan dan sorakan di tengah lautan. Keterujaan itu seiring dengan kegigihan kumpulan anak kapal yang sedang berusaha menarik seekor paus sepanjang hampir 20 meter naik ke atas kapal.
Darah merah lantas mencemarkan kebiruan air laut di situ. Semakin banyak ia mencurah saat paus itu meronta-ronta minta dilepaskan. Namun, kuasa tombak yang dibedil dari atas kapal gergasi itu jauh tertusuk lalu menembusi tulang-temulangnya.
Setelah berjaya dinaikkan, paus itu menghadap seksaan paling kejam. Ia ditembak berkali-kali untuk memastikan hayatnya benar-benar sudah berakhir. Hanya selepas itu, proses melapah pun bermula.
Kalau membayangkan siri perbuatan itu, ia seolah-olah meletakkan manusia sebagai makhluk yang paling kejam.
Walaupun menerima persepsi sedemikian, bagi pemburu-pemburu paus dari Jepun itu, ia bukanlah satu kekejaman. Sebaliknya, ia suatu proses yang biasa dilakukan para pelaut tersebut untuk mencari sumber makanan bagi mengisi perut yang kosong.
PAUS kelabu seperti ini sentiasa terancam saat ia muncul di permukaan laut untuk mengambil nafas atau bermain dalam kelompoknya.
"Paus ditangkap kerana kami menghargainya. Secara fitrah, ikan paus yang dilahirkan di laut adalah untuk kami memburunya. Kami rasa paus berasa 'gembira' untuk dimakan.
"Saya tidak pernah mendengar sesiapa pun yang mengeluh kesal. Kanak-kanak di sini pun tidak bersedih kerana paus yang mati. Paling nyata, mereka mungkin berkata tangkapan hari ini nampak sedap," kata salah seorang bekas pemburu Yuichi Kimura yang berasal dari Ayukawa, Jepun.
Di restoran-restoran Negara Matahari Terbit itu, hidangan daging paus bukanlah sesuatu yang asing. Makanan eksotik itu menjadi kegemaran malah merupakan sebahagian daripada makanan wajib penduduknya.
KEHADIRAN kapal besar yang dilengkapi tempuling seperti Yushin Maru ini adalah ancaman menakutkan buat paus dan kumpulan pergerakan antipemburuan.
Walaupun menyedari haiwan tersebut sudah semakin pupus, Jepun masih enggan membuang tabiat itu kerana ia telah menjadi tradisi mereka sejak ratusan tahun dahulu.
Menurut kajian, tradisi memakan daging paus dan pemburuannya telah wujud sejak abad ke-12 di Jepun. Tetapi selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, permintaan terhadapnya semakin tinggi lantaran selera terhadap mamalia laut itu semakin meningkat.
Tradisi dan kontroversi
Di negara yang mengalami kekurangan sumber makanan yang serius itu, paus bukan sahaja diambil dagingnya untuk memenuhi selera di meja makan. Bahagian-bahagian paus yang lain turut dijadikan sumber minyak bagi lampu, sabun, baja dan sebagainya.
Kata Yuichi, tradisi atas kapal Jepun tidak seperti amalan anak kapal pemburu paus di Amerika Syarikat. Kalau kapal Amerika membuang daging mamalia tersebut setelah mengambil bahagian tertentu yang boleh dijadikan minyak, pelaut Jepun pula memanfaatkan setiap inci paus yang ditangkap.
Isu pemburuan paus dan kerisauan terhadap kepupusannya telah mula dibangkitkan sejak 1925 dan telah dibawa ke Persidangan Geneva. Undang-Undang Pemburuan Paus telah digubal pada 1931 dan mula dikuatkuasakan pada 1934, namun Jepun dan Jerman tidak menghiraukannya.
Begitupun pada 1947, daging paus telah menguasai pasaran Jepun sebanyak 50 peratus berbanding daging-daging lain. Malah pada sekitar 1954 pula, satu Akta Pemakanan Sekolah telah menyenaraikan daging paus dalam program pemakanan di sekolah kerana mereka percaya ia dapat meningkatkan nutrisi kanak-kanak Jepun.
Tanpa terkesan terhadap tekanan gerakan kumpulan pencinta haiwan dan pelbagai pertubuhan global lain yang mewakili survival haiwan itu, daging paus terus menjadi sebahagian daripada makanan mereka kerana ia dipercayai berkhasiat dan rendah lemak.
KAPAL ini sedang menarik masuk seekor paus minke bersama anaknya di Lautan Antartik. Jepun mendakwa penangkapan paus adalah untuk tujuan ‘penyelidikan’.
Bagaimanapun, selepas ekonomi negara tersebut pulih, permintaan terhadap daging ikan paus sedikit menurun selepas daging-daging lain menjadi popular di pasaran menjelang 1970.
Kerajaan negara tersebut walau bagaimanapun terus berusaha meningkatkan semula permintaan dan minat terhadap daging paus.
Sebuah syarikat telah ditubuhkan dan bertanggungjawab menghantar daging paus ke sekolah, hospital dan restoran. Walaupun pengedarannya percuma, penjualannya tetap dikawal bagi memastikan harganya berada di tahap yang memuaskan.
Pengharaman
Selaras dengan larangan oleh Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa (IWC), misi pemburuan paus di Lautan Antartik bagaimanapun telah dihentikan oleh Jepun pada 1986-1987. Ini berikutan langkah negara-negara Barat yang melobi pengharaman tersebut atas hujah bahawa haiwan itu diburu secara melampau sehingga membawa kepada kepupusan.
Walaupun berat menerima penguatkuasaan itu, Jepun terpaksa akur menghentikan aktiviti memburu paus minke di kawasan pesisiran pantai sejak tahun 1988.
DAGING paus menjadi kegilaan diet rakyat Jepun kerana mempercayai nilai khasiatnya yang tinggi.
Namun, kontroversi itu tidak tamat begitu sahaja. Jepun sebenarnya masih meneruskan aktiviti yang membunuh beratus-ratus ekor paus setahun. Cuma mereka memberi alasan pemburuan dan pembunuhan itu atas nama 'penyelidikan'.
Alasan tersebut telah menerima kritikan daripada negara-negara antipemburuan paus seperti Amerika Syarikat dan Australia yang melihatnya sebagai pemburuan komersial. Umum tahu, paus akan tetap berakhir di atas pinggan sebagai hidangan di restoran dan dapur rumah mereka.
Sepanjang tahun 2009 yang mempunyai 10 musim memburu paus, Jepun yang memiliki sebuah kapal industri, empat kapal tempuling dan dua kapal patrol telah membunuh 935 ekor paus minke, 50 ekor paus fin dan 50 spesies humpback setiap musim.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Paus Antarabangsa (IWC), tangkapan paus dengan permit oleh Jepun dari 1988 hingga 2008 di Pasifik Utara dan Hemisfera Selatan adalah sebanyak 11,368 ekor.
Ekoran ia berhampiran perairan Australia, kerajaan negara kanggaru tersebut lantang memberi komen mengenai kegiatan tersebut.
Pada tahun 1994, Australia mengumumkan bahawa kawasan sejauh 200 batu nautika (370 km) yang mengelilingi Wilayah Antartik Australia sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Zon itu termasuk dalam bahagian selatan kawasan Tempat Perlindungan Paus Laut Selatan yang telah diisytihar IWC.
Pada Disember 2007, kerajaan Australia mengumumkan rancangan untuk mengawasi pemburu paus Jepun yang memasuki perairan mereka. Perdana Menteri, Kevin Rudd, turut membuat bantahan rasmi terhadap aktiviti pemburuan paus oleh Jepun dan mengancam untuk mengambil tindakan melalui mahkamah antarabangsa.
"Jika kita tidak boleh menyelesaikan masalah ini secara diplomatik kami tidak akan menunggu lama untuk mengambil tindakan undang-undang.
"Kami serius dalam hal ini. Saya lebih suka menyelesaikannya secara diplomatik tetapi jika gagal, pasti ada jalan alternatif untuk menyelesaikannya," kata Kevin.
Jepun telah mengundang masalah yang lebih besar apabila kapal milik mereka, Shonan Maru 2, telah melanggar bot canggih milik kumpulan antipenangkapan paus Persatuan Pemuliharaan Sea Shepherd 6 Januari lalu.
BOT canggih Ady Gil ini musnah di bahagian hadapannya kerana mendakwa kapal Jepun, Shonan Maru 2, melanggarnya ketika melakukan aktiviti pemburuan paus.
Muncung bot bernama Ady Gil itu telah patah akibat dirempuh Shonan Maru 2, dan akibatnya kedua-dua belah pihak saling menyalahkan kedudukan dan peranan masing-masing.
Sea Shepherd dalam satu kenyataan memberitahu, kapal The Shonan Maru 2 tiba-tiba menghidupkan enjin dan melanggar Ady Gil sehingga bahagian depan bot itu putus.
Institut Penyelidikan Cetacean (ICR) Jepun pula mendakwa lima warga New Zealand dan seorang rakyat Belanda dalam bot canggih itu cuba merosakkan kemudi dan kipas dengan menggunakan tali selain menembak 'cahaya laser' kepada anak kapalnya dan melontarkan bom busuk.
"Mereka telah membuktikan bahawa mereka tidak mengendahkan undang-undang dan nyawa manusia, sama seperti nyawa paus. Enam anggota kami boleh terbunuh dalam kejadian itu," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sea Shepherd, Chuck Swift.
Jurucakap bagi ICR, Glenn Inwood, pula membalas dengan menyifatkan tindakan Sea Shepherd itu sebagai usaha meraih publisiti semata-mata.
Hakikatnya, selagi ada permintaan dalam pasaran daging paus di Jepun, selagi itulah pemburuan terhadapnya tidak akan berakhir.
Walaupun kesedaran masyarakat Jepun terhadap isu kepupusan paus sudah menampakkan sedikit peningkatan, ia masih belum cukup untuk menghalang kegilaan aktiviti pemburuannya. Tradisi tersebut terlalu kuat untuk dikatakan salah, apatah lagi untuk dihentikan.
Read more...
05 February 2010
Pujuk anak buat kerja sekolah
Sokongan ibu bapa penting bagi membolehkan anak melakukan kerja sekolah tanpa disuruh.
MEMANG memenatkan. Mana tidaknya hampir setiap hari harus mengingatkan anak-anak supaya membuat kerja sekolah. Yang naik risau kita, bukannya anak-anak. Mereka selagi tidak mendengar leteran atau desakan, tidak akan angkat punggung untuk membuat kerja sekolah.
Lagi memeritkan, kitalah yang harus duduk bersama-sama semasa membuat kerja sekolah sehingga kerja-kerja rumah lain tergendalam. Lagi teruk apabila ibu atau bapa yang menyelesaikannya kerana anak-anak langsung tidak faham atau mengantuk.
Ini adalah antara rungutan-rungutan yang selalu diluahkan oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah.
Kadangkala leteran itu telah menjadi 'lagu merdu' bagi anak-anak dan bukan lagi arahan yang perlu diikuti dan ditakuti.
Ini sebenarnya adalah lumrah hidup kanak-kanak. Mereka sememangnya tidak suka membuat kerja sekolah. Sehubungan itu, tanamkan minat mereka untuk menyukai kerja sekolah.
Selain itu, ibu bapa harus ingat bahawa anda tidak boleh memaksa mereka melakukannya atau belajar.
Begitu juga, menyelesaikan kerja sekolah adalah masalah anak-anak. Justeru, mereka harus menggerakkan pensel mereka. Otak mereka harus berfikir. Punggung mereka harus diletakkan di kerusi.
Ramai ibu bapa beranggapan bahawa kerja sekolah adalah masalah mereka. Jadi mereka mewujudkan suasana yang tidak menyenangkan seperti menjerit, marah, mengugut atau menarik balik keistimewaan yang diberi. Bagaimanapun kebanyakan taktik ini tidak memberi kesan.
Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi peluang kepada anak-anak membuat kerja sekolah. Tugas kita ialah menyediakan struktur dan mewujudkan sistem. Tugas anak ialah menggunakan sistem itu.
Sehubungan itu, terdapat beberapa panduan yang boleh dilakukan bagi memujuk anak membuat kerja rumah.
Wujudkan ruang sesuai untuk membuat kerja sekolah
Antara alasan mengapa anak-anak tidak berminat membuat kerja sekolah ialah tidak cukup peralatan. Kadangkala tidak mempunyai rujukan yang sesuai dan tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.
Justeru, wujudkan satu tempat atau stesen kerja sekolah atau tempat belajar di rumah. Stesen itu mestilah:
Jauh daripada ruang televisyen atau tempat permainan video.
Lengkapkan dengan meja, kerusi atau komputer bergantung pada umur anak.
Pastikan alat tulis lengkap.
Buat jadual
Dengan jadual ia boleh membentuk tabiat untuk melaksanakan kerja rumah di kalangan anak-anak. Ini sekali gus mengurangkan tekanan ibu bapa.
Sebagai ibu bapa, buat jadual dan tetapkan waktu yang sesuai setiap hari. Pastikan bilakah masanya anak mesti melakukan kerja sekolah. Beri kelonggaran kepada mereka untuk menentukan waktu yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran.
Kadangkala bagi mengelakkan melakukan kerja sekolah, anak akan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai tugasan pun.
Justeru itu, masa yang telah ditetapkan melakukan kerja rumah haruslah diganti dengan waktu untuk belajar.
Ingatkan mereka 10 minit sebelum waktu ditetapkan supaya mereka peka. Insya-Allah, selepas beberapa minggu atau bulan, anak anda akan melakukannya sendiri tanpa disuruh.
Bantu menguruskan perancangan kerja sekolah
Bantu anak untuk membuat perancangan menguruskan tugasan sekolah.
Sediakan perancangan harian atau kalendar. Galakkan anak untuk membuat nota tarikh hantaran terakhir atau ujian akan datang dalam kalendar. Bantu mereka membuat jadual dan jelaskan bahawa waktu yang terurus tidak akan membebankan mereka.
Selalu ingatkan mereka. Apabila anak telah biasa menggunakan kalendar dan jadual waktu, mereka akan tahu manfaat dan melakukan kerja sekolah itu sendiri.
Jadikan diri sebagai contoh
Banyak kanak-kanak merasakan melakukan kerja sekolah adalah satu bebanan dan ia dilakukan secara terpaksa kerana arahan ibu bapa.
Akibatnya mereka jadi terganggu apabila tibanya waktu belajar. Untuk atasi masalah ini cuba minimumkan gangguan semasa anak-anak belajar seperti menutup televisyen dan radio.
Ibu bapa perlu gunakan waktu ini melakukan kerja-kerja rumah, uruskan pembayaran bil dan sebagainya.
Dengan ini, anda bukan sahaja meredakan gangguan, tetapi menunjukkan kepada anak bahawa anda juga melakukan 'kerja' di luar waktu kerja anda.
Read more...
04 February 2010
Sekolah biasa lahirkan pelajar berprestasi tinggi
Berbekalkan prasarana yang baik beserta guru terlatih dan pelajar yang terpilih, sesebuah sekolah itu dilihat memiliki potensi tinggi untuk mencapai tahap SBT.
SEKOLAH berprestasi tinggi (SBT) merupakan satu penanda aras berbentuk kolektif yang mengambil kira prestasi keseluruhan komponen dalam sistem di sesebuah sekolah itu.
Justeru, berbekalkan prasarana yang baik beserta guru terlatih dan pelajar yang terpilih, sesebuah sekolah itu dilihat memiliki potensi tinggi untuk mencapai tahap SBT.
Namun bagaimana dengan sekolah-sekolah lain yang berada di hujung ceruk?
Lokasinya jauh di pedalaman, tiada komputer, tiada Internet dan para pelajarnya dalam kedaifan. Sejauh manakah kecemerlangan prestasi dapat diharapkan terhadap sesebuah sekolah sedemikian?
Juga beserta sistem sama yang diguna pakai, maka purata prestasi sekolah tidak menunjukkan banyak perubahan dari tahun ke tahun. Kelihatan faktor ekstrinsik meletakkan sempadan terhadap prestasi sekolah sedemikian. Benarkah begitu?
Dalam situasi ini, pemerkasaan faktor intrinsik menjadi fokus utama ke arah menghasilkan kecemerlangan mengatasi sempadan kejayaan yang didefinisikan oleh kekangan faktor ekstrinsik.
Keinginan, tekad, motivasi, azam atau apa sahaja ungkapannya merujuk kepada tumpuan ke arah matlamat yang ingin dicapai.
Umpamanya dengan menanam tekad kepada warga sekolah untuk berusaha mara ke hadapan waima tidak memiliki kelebihan seumpama sesebuah sekolah SBT. Dengan tekad yang tinggi untuk maju maka kecemerlangan prestasi sekolah dapat dicapai, insya-Allah.
Oleh yang demikian peranan dan kerjasama setiap warga sekolah adalah perlu dalam mencetuskan perubahan yang diimpikan.
Perubahan tersebut tidak semestinya membuahkan 'A' bagi setiap mata pelajaran untuk semua pelajar, tetapi sekurang-kurangnya terdapat peningkatan terhadap prestasi setiap pelajar.
Jika yang gagal menjadi lulus, yang memperoleh 'B' akhirnya mendapat 'A', maka hal ini juga merupakan satu kejayaan buat pelajar dan sekolah kerana usaha transformasi yang dijalankan telah membuahkan hasilnya. Proses penambahbaikan yang berterusan terhadap usaha tersebut mampu menjamin kelangsungan peningkatan prestasi sekolah.
Guru agen perubahan
Faktor latar belakang seseorang pelajar itu turut mempengaruhi keupayaan dan motivasinya untuk belajar. Pelajar daripada latar kemiskinan mungkin memiliki prestasi akademik yang rendah disebabkan oleh faktor kehidupannya itu.
Tambahan pula, rasa rendah diri akibat kemiskinan diri mungkin menyebabkan mereka lebih tercicir dalam pelajaran dan pergaulan dengan rakan.
Justeru, para pelajar sedemikian perlu diberi lebih perhatian oleh guru memandangkan mereka bukan sahaja kekurangan kemudahan atau peluang untuk cemerlang dalam pelajaran tetapi juga memerlukan lebih rangsangan motivasi untuk menghadapi cabaran suasana kehidupan mereka.
Selain peranan kaunselor terlatih yang dapat menyediakan sesi kaunseling secara empat mata dengan pelajar, para guru lain juga boleh berperanan sebagai pakar motivasi kepada para pelajar mereka. Umpamanya, sebahagian kecil daripada masa mengajar mereka mungkin boleh digunakan untuk menyampaikan sedikit kisah motivasi untuk dikongsi bersama dengan para pelajar.
Para guru mungkin berhadapan dengan kerenah dan disiplin pelajar yang pelbagai di samping perbezaan dari segi keupayaan pelajar memahami pengajaran guru.
Maka di sini guru bukan sahaja berperanan sebagai mualim yang menyampaikan ilmu, tetapi juga perlu berperanan sebagai murabbi dalam membentuk sahsiah dan akhlak yang terpuji di kalangan anak didiknya.
Misi dan visi pengetua
Sebagai pemimpin tertinggi sesebuah sekolah itu, pengetua memiliki tanggungjawab dalam merencana hala tuju pencapaian sesebuah sekolah itu. Berdasarkan sumber kewangan dan modal insan yang ada, pengetua berusaha mengadunkan ramuan yang dimiliki untuk menghasilkan resipi kejayaan yang lebih bermakna.
Pengetua boleh menetapkan matlamat prestasi yang realistik untuk dicapai secara bersama dengan sokongan para guru dan warga sekolah yang lain. Seterusnya bersama-sama merangka sistem ke arah mencapai matlamat tersebut.
Pengetua seterusnya memantau pelaksanaan sistem yang dirangka bagi memastikan ia selari dengan matlamat yang ditetapkan.
Sebagai contoh, pengetua menetapkan supaya diadakan kelas tambahan pada waktu petang dan seterusnya memastikan program sedemikian berjalan seperti yang dirancangkan.
Bagi sekolah-sekolah biasa, mungkin bukan semua aspek SBT tidak dapat dicapai secara sepenuhnya berdasarkan sumber yang ada.
Namun, modul-modul pengajaran yang terbukti berjaya oleh SBT sewajarnya dikongsi bersama dengan sekolah-sekolah lain untuk dipraktikkan.
Ibu bapa dan pelajar
Sebagai ibu bapa, sokongan kita amat diperlukan dalam menggalakkan anak-anak melalui alam persekolahan sebaik mungkin. Sekolah perlu dilihat sebagai pelengkap kepada proses pendidikan anak-anak oleh ibu bapa, dan bukan sebaliknya.
Di samping itu, ibu bapa juga boleh mengambil kesempatan dengan belajar daripada anak-anak tentang ilmu yang diperoleh di sekolah.
Pendidikan merupakan satu jalan bagi pelajar keluar daripada kepompong kemiskinan. Dengan pendidikan dapat menjadikan seseorang itu berilmu, dengan ilmu seseorang itu dapat menuju ke arah kejayaan di dunia juga di akhirat.
Walau sedaif mana sesebuah sekolah itu, walau sejauh mana pelajar mengembara menuju ke sekolah, mungkin ia adalah lebih baik daripada langsung tidak bersekolah.
Sekurang-kurangnya hal ini membolehkannya membaca, menulis dan mengira. Asas kemahiran sedemikian diperlukan oleh anak-anak pada zaman ini.
Kesimpulan
SBT merupakan satu usaha positif Kementerian Pelajaran dalam mewujudkan penarafan kepada sekolah-sekolah di Malaysia.
Melalui langkah ini diharap lebih banyak sekolah dapat berusaha ke arah mencapai tahap SBT dan seterusnya melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang untuk pembangunan modal insan negara.
Di samping itu, diharapkan agar aspek pembangunan rohani dan akhlak pelajar dapat ditekankan dalam program SBT bagi mewujudkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dari sudut keterampilan, keimanan dan akhlak.
Bagi para pelajar juga, walau di mana kita menuntut, apa yang lebih penting adalah semangat dan fokus kita untuk tekun belajar serta meletakkan pengharapan kepada Allah agar usaha kita diberkati dan dikurniakan kejayaan.
Read more...
03 February 2010
Berwuduk hilangkan rasa marah
Rasulullah SAW bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud).
PERNAHKAH anda marah kerana disakiti atau berasa hati? Namun, bagi mengawal keadaan anda tidak perlu menonjolkan emosi tersebut. Menegur tidak salah tetapi anda perlu belajar mengawal perasaan marah. Sifat marah yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kerosakan.
Marah memang sifat semula jadi manusia, berpunca daripada keadaan tidak adil, disindir, dihina, dituduh bukan-bukan, diperalat, difitnah dan diancam kehilangan sesuatu yang berharga.
Jika kita berhadapan dengan orang sedang marah, cubalah hadapi dengan langkah berikut:
Beri peluang orang sedang marah itu bercakap atau meluahkan terlebih dahulu punca kemarahannya.
Ketika berhadapan dengan individu sedang marah, jangan menyampuk dan merendahkannya.
Kaji punca kemarahannya dan cuba atasi. Sekiranya berpunca daripada kesilapan kita, mintalah maaf daripadanya.
Cubalah bertanya beberapa soalan bagi membantu menyelesaikan masalahnya. Terima kemarahannya dengan tenang.
Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:
Mengubah Posisi. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)
Berwuduk. Rasulullah SAW bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud).
Minum air.
Mendiamkan diri ketika marah.
Berlindung kepada Allah daripada syaitan.
Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.
Berfikiran positif.
Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.
Bawa bertenang seperti menarik nafas.
Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.
Read more...
02 February 2010
Jom bebaskan tekanan
USAH simpan tekanan anda, luahkanlah dengan cara yang betul agar anda tidak dilanda kemurungan.
Sama seperti orang dewasa, golongan remaja juga tidak terkecuali daripada dibelenggu masalah dan mendorong kepada tekanan. Luahkan tekanan anda, tapi biarlah dengan cara yang betul!
USAH simpan tekanan anda, luahkanlah dengan cara yang betul agar anda tidak dilanda kemurungan.LEWAT kebelakangan ini semakin kerap kita mendengar mengenai individu yang mengalami tekanan dan kemurungan jiwa, baik disebabkan oleh tekanan kerja, masalah cinta, perpecahan keluarga, masalah kewangan dan sebagainya.
Remaja hakikatnya antara golongan yang sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran yang akhirnya turut mendorong kepada tekanan.
Selain masalah percintaan atau perhubungan remaja, golongan muda mudah tertekan bila berdepan musim peperiksaan atau masalah personaliti diri. Persoalannya adakah tekanan wajar diluahkan atau lebih baik disimpan untuk mengelakkan ia diketahui orang?
Jika mahu diluahkan apakah cara terbaik kerana bukan sedikit yang menzahirkannya dengan cara yang salah seperti melarikan diri dari rumah, menjadi pembuli bahkan ada yang lebih tragis sanggup membunuh diri.
Untuk pembaca ruangan GenK, jom kita ikuti beberapa tip yang boleh diamalkan remaja bagi mengurangkan tekanan dalam kehidupan seharian.
1) Tidur yang mencukupi
Tidur yang mencukupi dapat merehatkan badan serta otak. Kajian menunjukkan, seseorang yang tidur tiga hingga empat jam kurang daripada kadarnya yang biasa akan mengalami tekanan.
Bukan itu sahaja, ia juga boleh melemahkan sistem pertahanan badan dan menjadikan diri anda mudah dijangkiti kuman.
Penemuan itu dilaporkan dalam majalah perubatan Lancet pada bulan Oktober 1999.
2) Berwuduk (bagi yang beragama Islam)
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri dengan mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Secara psikologi ia membantu memberikan kita pemikiran yang lebih positif. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar lebih tenang semasa sesi ulang kaji.
3) Lakukan kegiatan luar seperti
bersukan
Badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Justeru, segala tekanan sewaktu bekerja sekurang-kurangnya dapat dilepaskan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.
4) Amalkan diet
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet. Pemakanan yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis.
5) Menangis sepuas hati
Tekanan yang dihadapi dapat diredakan melalui luahan hati. Biasakan dengan menzahirkan masalah anda di atas kertas atau meluahkannya kepada rakan karib anda. Jika anda mahu menangis, lakukan sahaja. Menangislah sepuas-puasnya tapi anda perlu tahu bila masa terbaik untuk berhenti.
6) Tingkat keyakinan diri
Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh biarpun ia susah.Kita perlu positif dengan setiap arahan dan perubahan agar ia tidak memberikan impak negatif pada emosi kita. Apa yang penting kita mesti menghargai kebolehan diri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.
7) Cintai diri sendiri
'Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain'. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding mencintai diri orang lain. Dari situ barulah kita akan lebih menghargai diri sendiri dan mahu mencapai yang terbaik demi masa depan kita.
8) Tarik nafas dalam-dalam
Bila anda tiba-tiba rasa mahu marah atau diserang panik, tarik nafas dalam-dalam.Lakukannya beberapa kali. Apabila anda menyalurkan oksigen yang mencukupi ke otak, ia akan membantu anda berfikir dengan lebih wajar.
Read more...
01 February 2010
Rumah sains alam maya
Anda berminat bidang sains tetapi masih tercari-cari laman web yang menarik? Layarilah www.newscientist.com.
INGIN melihat bagaimana evolusi spesies haiwan cimpanzi dan lengkap bersama foto-foto menarik? Jika anda bukan pencinta haiwan tetapi meminati pelbagai jenis gajet dan teknologi baru seperti perkembangan dunia telefon bimbit, teknologi laser atau aeroangkasa, laman web www.newscientist.com menyediakan pelbagai maklumat sains menarik untuk dikongsi bersama.
Pada muka utamanya dibahagikan beberapa kolum utama seperti angkasa lepas, teknologi, persekitaran, kesihatan, gaya hidup, fizik, matematik dan sains.
Turut dipaparkan pada muka utama berita-berita terbaru dunia sains daripada isu berkaitan teknologi, penemuan baru sehinggalah masalah kesihatan.
DAPATKAN berita-berita menarik mengenai dunia sains, teknologi dan gajet menerusi laman web NewScientist.
Jika anda merasakan tajuk-tajuk bahan bacaan yang diberikan terlalu banyak, anda boleh mencuba kolum tajuk-tajuk bacaan yang paling banyak dilayari. Ia akan memudah dan menjimatkan masa anda kerana kebiasaannya tajuk-tajuk bacaan paling popular adalah bahan yang paling menarik.
Tidak ketinggalan www.newscientist.com memaparkan sudut video di mana pembaca yang ingin melihat rakaman video boleh menekan butang main. Antara topik terbaru yang dipaparkan ialah teknologi berkaitan robotik.
Dengan melayari laman itu segala yang ingin anda ketahui mengenai sains boleh didapati hanya dengan klik di hujung jari.
Read more...
31 January 2010
Mana bantal saya?
Memiliki bantal busuk hingga dewasa bukan perkara yang mustahil.
BU, mana Kiki?” soal Aliyah Afifah Zamrud kepada ibunya. “Tak payah bawa Kikilah. Kita nak pergi stesen minyak saja,” balas ibunya. “Ala, nak Kiki juga....” rengek anak sulung daripada tiga beradik itu kepada ibunya lagi.
Kiki yang dimaksudkan kanak-kanak comel berusia enam tahun ini adalah anak patung Garfield yang sudah berwarna pudar. Anak patung ini menjadi teman karib si comel ini sejak dia berusia satu tahun lagi.
Menurut ibunya, Suhaiza Sharudin, bukan sahaja anak sulungnya, malah anak keduanya, Aliyah Athirah juga mempunyai tabiat yang sama. Bezanya, si kakak mengendong Kiki manakala adik pula dengan bantal kecil yang sudah pun bertukar warna (bantal busuk).
Namun ibu berusia 34 tahun ini mungkin bernasib baik sedikit kerana Aliyah Athirah ‘merelakan’ bantal busuk itu ditukar sarung tetapi tidak isi dalamnya. Jika tidak katanya, malu juga memandangkan bantal ini mempunyai ‘corak’ tersendiri dan tidak lagi berwarna putih bersih.
Kedua-dua teman karib kanak-kanak dikendong ke mana sahaja mereka pergi.
“Balik kampung atau melancong sudah pasti dibawa. Keluar dari rumah untuk ke kedai sekejap pun hendak bawa malah ke taska juga, cuma mereka tinggalkan dalam kereta kerana malu dengan kawan-kawan,” katanya lagi.
Situasi seperti ini pastinya bukan sahaja dialami oleh Suhaiza malah ramai ibu di luar sana melalui pengalaman yang sama. Anak sukar untuk berpisah dengan teman akrab mereka - “si bantal busuk.”
Punca
Mengulas isu minggu ini, Pakar Psikologi Kanak-kanak dari Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Mastura Badzis berkata tabiat tidak mahu renggang dengan bantal ini dipanggil clinging behaviour atau tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu benda dan tidak mahu berenggang dengannya.
Ia tidak terhad kepada bantal atau anak patung sahaja, sesetengah kanak-kanak menjadikan kain selimut tertentu, sapu tangan dan seumpamanya sebagai objek selesa mereka.
Tingkah laku pautan (clinging behaviour) adalah sikap biasa yang sering terjadi kepada bayi dan kanak-kanak diperingkat awal,” katanya.
Biasanya tabiat itu bermula di rumah dan berlaku kepada kanak-kanak yang kurang stimulasi dan mahukan sesuatu atau peneman untuk menenangkan diri mereka.
“Kanak-kanak yang begini akan memegang bantal, kain atau anak patung sebelum tidur kerana rasa ingin ada seseorang bersama mereka,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata perlakuan menggentel bantal atau kain ini seakan memberi kanak-kanak tadi ketenangan dan keselesaan sehingga menjadikan mereka asyik. Dek keasyikan menggentel bantal tadi membuatkan mata mereka mudah terlelap dan perkara ini berulang-ulang sehinggalah ia menjadi satu tabiat yang sukar dikikis.
Kata beliau lagi, sesetengah kanak-kanak ini juga berbual dengan bantal atau anak patung kesayangan mereka.
“Ini merupakan satu cara untuk mereka berkomunikasi dan ia dipanggil teman imaginasi (imaginary friends). Sebenarnya mereka mahukan seseorang untuk meluahkan perasaan, namun disebabkan kesibukan ibu bapa atau pengasuh, luahan itu terpaksa disalurkan kepada teman imaginasi tadi,” kata beliau.
Selamat
Menurut Dr. Mastura, satu lagi punca tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu ini juga disebabkan oleh rasa ingin selamat (sense of secure).
“Kanak-kanak kecil belum memahami konsep kehilangan sementara,” katanya.
Jelasnya, mereka tidak faham bahawa sesuatu benda yang hilang itu akan muncul kembali dan kerana itu mereka mahukan ada sesuatu yang menjadi peneman mereka.
“Dengan melakukan perlakuan demikian seperti menggentel bantal, kain dan sebagainya membuatkan mereka rasa selamat dan tidak ditinggalkan keseorangan,” jelasnya.
Risau
Dr. Mastura berkata, sebenarnya ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan tabiat mengendong bantal atau anak patung ini kerana ia bersifat sementara.
“Dalam hal ini ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengelakkan tabiat ini daripada berterusan,” katanya.
Ibu bapa atau pengasuh katanya perlu cuba memisahkan anak dengan rakan karib mereka ini secara perlahan-lahan.
Masa yang terbaik untuk memisahkan kanak-kanak ini katanya adalah ketika umur mereka mencecah tiga tahun. Sebaliknya jika dibiarkan perlakuan ini mungkin akan berterusan sehingga mereka dewasa.
Namun, terdapat juga kanak-kanak yang boleh berpisah dengan teman akrab mereka ini dengan sendirinya selepas memasuki taska kerana malu kepada rakan-rakan yang lain.
“Aktiviti seharian di taska yang banyak juga mengurangkan kebergantungan kanak-kanak tadi terhadap bantal atau anak patung mereka,” katanya.
Bantal busuk hingga dewasa
Memiliki bantal busuk hingga dewasa bukan perkara yang mustahil.
“Memanglah tidak ada kesan sampingan, tetapi tabiat ini boleh berlarutan hingga dewasa dan sukar dikikis jika tidak dikawal,” kata Dr. Mastura.
Sesetengah individu sukar berpisah dengan tabiat ini disebabkan ibu bapa mereka terlalu mengikut kehendak anak yang mahukan bantal busuk sentiasa ada bersama.
Dalam hal ini katanya, peranan ibu bapa dan pengasuh perlu ada untuk mengelakkan tabiat ini berterusan.
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto HAYAT SUET
Read more...