Kampung Morten yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka memiliki pemandangan yang indah dan menyimpan sejarah serta tarikan tersendiri.
PINTU gerbang yang tertera tulisan Kampung Morten, Kampung Ku Indah sudah cukup membuatkan orang yang melaluinya terpesona.
Tarikan itu bukan sekadar kerana tulisan tersebut, sebaliknya pemandangan kampung yang bersih dan kedudukannya seolah-olah ia terletak di atas sebuah pulau dengan keistimewaan tersendiri. Pemandangan dari kaki lima kampung pula dihiasi dengan deruan bot-bot siar sungai yang tidak pernah bosan membelah Sungai Melaka yang mengalir lesu.
Itulah aura Kampung Morten yang terletak di pinggir Sungai Melaka. Ia berdiri gah walaupun dikelilingi bangunan tinggi di setiap penjurunya.
Kampung itu boleh dikatakan sebagai sebuah muzium besar yang hidup. Ini kerana setiap penghuni deretan rumah berwarna terang yang tinggal di sana menjalani kehidupan harian seperti biasa.
Penghuninya 100 peratus masyarakat Melayu. Mereka masih mengamalkan cara hidup Melayu, selain mengekalkan bentuk rumah kampung negeri Melaka.
Pinjam wang
Menurut sejarah, Kampung Morten seluas 5.02 hektar itu dibuka pada tahun 1922. Ia menempatkan 100 buah rumah dengan anggaran 600 orang penduduk.
Mengikut cerita, kampung unik itu mendapat nama Kampung Morten selepas salah seorang penduduk ketika itu berjumpa dengan seorang pegawai daerah bernama J.F Morten untuk meminjam wang.
NIZAN Misni meluangkan masa melihat gambar aktiviti belia-belia Kampung Morten.
--------------------------------------------------------------------------------
Ketika itu kampung tersebut dimiliki oleh dua orang lelaki iaitu Abdullah Maarof dan Pak Khalil. Sementara pengasasnya ialah Datuk Othman Md. Nor.
Disebabkan terlalu kepinginkan kampung tersebut, salah seorang penduduk kemudian bertindak berani dengan meminjam wang sebanyak RM10,000 daripada pegawai Inggeris itu.
Hasrat penduduk kampung itu tertunai apabila pegawai daerah terbabit menghulurkan wang yang diminta untuk membeli kampung itu. Dua orang lelaki yang merupakan tuan tanah itu bersetuju untuk menjualkan tanahnya kepada penduduk kampung.
Terharu dengan pinjaman tersebut selain gembira kerana berjaya memiliki kampung itu, sebagai mengenang jasa JF Morten penduduk kampung sepakat menamakan kampung itu sebagai Kampung Morten sehingga hari ini.
SIAR kaki di tepi Sungai Melaka dan Kampung Morten yang menjadi tempat riadah orang ramai pada waktu petang.
--------------------------------------------------------------------------------
Mengelilingi kampung tersebut, sudah pasti sebuah rumah yang diberi nama Villa Sentosa menjadi lokasi wajib disinggahi.
Lebih menarik, struktur kediaman tersebut masih kekal seperti asal walaupun ia telah dibina pada suku pertama abad ke-20.
Sangat fasih berbahasa Inggeris dan boleh bertutur dalam bahasa Jepun, pemiliknya, Abdul Rahim Hashim, 74, memberitahu, segala perkakasan di dalam rumah keluarganya itu merupakan barang-barang asli dan langsung tidak diubah.
VILLA Sentosa lokasi yang wajib dikunjungi jika anda singgah ke Kampung Morten.
--------------------------------------------------------------------------------
"Dari ruang tamu hinggalah meja makan semuanya asli mengikut adat budaya zaman dahulu," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Antaranya ialah gong, kamera, keris dan sundang yang menjangkau usia lebih 100 tahun. Itu belum termasuk ayat-ayat suci al-Quran yang digantung di dinding yang berusia 200 tahun.
Nilai sejarah
Rumah yang mengenengahkan konsep binaan rumah Melayu asli itu turut menempatkan pelamin bagi pasangan Melayu bersanding dan dihias dengan begitu unik tanpa menghilangkan nilai-nilai sejarahnya.
Tarikan Villa Sentosa bukan sahaja pada barang antiknya, bahkan reka bentuk rumah itu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bertatahkan jubin pelbagai warna.
SALAH sebuah rumah tradisional Melaka yang terdapat di Kampung Morten.
--------------------------------------------------------------------------------
Sebelum beredar, Abduk Rahim sempat membacakan serangkap pantun kepada kami.
Villa Sentosa nama rumahnya,
Telah dibina berdekatan Sungai Melaka,
Jika anda sudi melawatinya,
Anda tidak akan lupa selama-lamanya.
SEORANG pengunjung memukul gong yang berusia 200 tahun yang terdapat di Villa Sentosa.
--------------------------------------------------------------------------------
Lupakan sebentar reka bentuk rumahnya, kami menyelami pula budaya mereka. Umum mengetahui walaupun dihimpit pembangunan, masyarakat setempat masih mengamalkan cara hidup kampung.
Bagi Nizam Misni, 41, dia tidak pernah merasa sukar untuk tinggal di kampung itu walaupun berada di tengah-tengah bandar.
"Kami penduduk kampung yang masih mengamalkan 100 peratus adat budaya orang Melayu. Misalnya bertukar-tukar juadah, bertarawih secara jemaah di surau pada bulan Ramadan seperti yang dilakukan oleh orang-orang Melayu di kawasan pedalaman," katanya.
VILLA Sentosa sentiasa menjadi tumpuan pelancong kerana mempunyai pelbagai barangan antik dan bersejarah.
--------------------------------------------------------------------------------
Bukan itu sahaja, suasana menjadi lebih meriah ketika Hari Raya Aidilfitri. Para penduduk kampung sibuk beraya dari rumah ke rumah dengan masing-masing melaram baju Melayu dan baju kurung baru.
Menurut Nizam, pada sambutan Hari Raya Aidiladha aktiviti lembu korban juga dijalankan. Sukar untuk membayangkan betapa meriahnya suasana ketika itu.
"Tidak pernah terfikir pun untuk berpindah ke mana-mana. Biarlah sampai bila-bila pun saya tetap berada di kampung ini, anak jati Kampung Morten," katanya menutup bicara.
Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
nuzulsham@kosmo.com
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
14 January 2010
Bak sebuah muzium hidup
Reda, maaf, syukur bantu kawal emosi
Kemarahan tidak berlaku tanpa sebab. Ia adalah transformasi perasaan misalnya kecewa dan putus asa yang akhirnya boleh melarat kepada perasaan marah. - Gambar hiasan.
ADA masanya kita tidak sedar apa puncanya kita marah-marah. Mungkin disebabkan perasaan cemburu atau kecil hati. Atau persekitaran yang memberi kita tekanan sehingga menimbulkan perasaan marah.
Bayangkan juga jika anda terpaksa berdepan individu yang sering marah-marah apatah lagi jika tidak diketahui apa puncanya. Apabila sudah marah, ada saja yang tidak kena. Lebih parah lagi orang yang dibelenggu perasaan marah sering tidak mampu mengawal diri lantas bertindak di luar kewarasan fikiran. Dua insiden mengejutkan Ahad lalu tidak mustahil ada kaitannya dengan perasaan marah yang tidak dapat dibendung lagi.
Di Nibong Tebal, Pulau Pinang, seorang ibu sanggup membakar diri kerana kecewa dengan kedegilan anaknya. Sementara itu, di Kuala Lumpur, seorang lelaki Indonesia dibunuh kerana bercinta dengan isteri orang.
Menurut Pensyarah Jabatan Pendidikan dan Kaunseling Psikologi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah, untuk memahami kemarahan, seseorang perlu memahami psikologi.
Kemarahan tidak berlaku tanpa tiada sebab. Ia seperti satu transformasi yang berubah disebabkan sesuatu. Misalnya, kecewa dan putus asa boleh melarat kepada perasaan marah.
"Lebih mudah, marah terjadi kerana ada sesuatu bertindak sebagai pencetus. Jika seseorang berfikiran negatif, maka dia tidak boleh menguruskan kemarahan tersebut dengan baik. Misalnya, dalam kes Roslina Rosli, 33 yang membakar dirinya, mungkin dia berasa kecewa, merajuk, diketepikan dan tidak dihormati oleh anaknya. Justeru itu, dia seharusnya mengawal kemarahannya pada peringkat awal," jelasnya.
Tambah Dr. Haslee, mungkin wanita tersebut juga tertekan kerana tidak dibantu oleh suaminya dalam menangani emosi marah. Dalam kata lain, perasaan wanita tersebut tidak diurus dengan baik. Lazimnya, seorang wanita akan berasa lebih tenang jika emosinya mendapat sokongan orang tersayang.
Sementara itu, marah terdiri daripada dua jenis iaitu marah yang terkawal dan tidak boleh dikawal.
"Seseorang yang mengalami kemarahan tidak terkawal boleh mengamuk dan bertindak tidak rasional. Individu seperti ini ialah orang yang berfikiran negatif.
"Manakala mereka yang boleh mengawal kemarahan mempunyai minda yang boleh berfungsi dan berfikir untuk memperbaiki keadaan dan bukan memburukkan situasi," ujarnya.
Untuk mengawal kemarahan, seseorang perlu ada kesedaran. Jika mereka sedar, kita ada kesempatan memperbaiki keadaan dan diri. Jika kita tangani peristiwa itu secara positif, seseorang boleh berada dalam keadaan gembira dan reda.
"Tafsiran sesuatu peristiwa mempengaruhi fikiran dan jika positif, kita dapat membuat pilihan mengawal dengan baik. Dalam kes yang lepas, mangsa sebenarnya perlu dibantu jika perbuatannya itu menyusahkan orang lain. Dia perlu mendapatkan rawatan. Realitinya, peristiwa itu menyebabkan dia melepaskan kemarahan dan tekanan dengan cara yang salah," jelas beliau.
Pendekatan RMS
Justeru itu, Dr. Haslee telah menghasilkan pendekatan RMS untuk membantu meningkatkan kesihatan psikologi. Kaedah ini lebih praktikal diguna dalam kaunseling.
"RMS merupakan singkatan untuk Reda, Maaf dan Syukur. Reda ialah menerima takdir dengan hati yang terbuka. Oleh itu, jiwa akan tenang. Selain itu, setiap orang perlu ada sifat pemaaf kerana kita tidak akan menyimpan setiap kemarahan di dalam hati. Kita akan melepaskan perasaan itu dan membiarkannya pergi. Jika kita tidak memaafkan orang lain, kita akan sakit hati dan bersikap keras hati. Justeru itu, perasaan bengang akan timbul dan menganggu cara berinteraksi dengan orang lain," jelasnya. Sementara itu, seseorang juga perlu ada perasaan syukur. Apabila seseorang bersyukur, ia bermaksud dia sentiasa berterima kasih setiap apa yang dimilikinya. Namun, Dr. Haslee memberitahu, ramai yang tidak bersyukur dengan kelebihan dan memperbesar-besarkan kekurangan. Jika ini berlaku, maka banyak benda negatif akan berlaku.
Dalam konteks ibu dan anak, si ibu perlu menerima kekurangan anak dan bersyukur dengan kekurangannya. Tiada siapa yang membantu diri sendiri melainkan fikiran kita menjadi positif. Si anak juga perlu mengamalkan sistem RMS iaitu reda, bersedia memaafkan diri sendiri dan orang lain serta bersyukur dengan apa yang ada di sekeliling.
Persoalan mengawal kemarahan ini datang daripada diri sendiri. ia boleh menghasilkan emosi matang dan emosi tidak matang.
"Contohnya di pejabat, jika ada berlaku kesilapan dalam kerja, seorang ketua yang mempunyai emosi matang akan berfikir dahulu sebelum bertindak. Jika ketua tidak mempunyai emosi yang matang, dia akan melenting untuk melepaskan kemarahannya. Ini bermakna, dia belum berjaya mengatasi kemarahannya," katanya.
Dalam pada itu kemarahan yang berpanjangan boleh memudaratkan diri dan orang lain. Hakikatnya, kemarahan ini tidak memberi sebarang faedah. Tetapi orang yang memendam perasaan juga boleh memakan diri. Jika dia tidak berjaya mengurus kemarahan, dia akan melepas dengan cara yang salah.
Pengurusan kemarahan
Dengan itu, setiap individu perlu bijak mengurus kemarahan. Pengurusan kemarahan adalah teknik mengurangkan emosi marah dan reaksi fisiologi yang timbul apabila marah. Kita tidak mungkin menghapuskan kemarahan sepenuhnya, tapi kita boleh mengurangkannya dan belajar menanganinya.
"Kita mempunyai cara yang mudah iaitu kaedah 5W1H iaitu apa, di mana, siapa, bila, mengapa dan bagaimana. Jika setiap individu mempunyai jawapannya, maka dia akan tahu punca kemarahannya. Walaupun nampak remeh, ia dapat membantu menjawab pertanyaan kepada kita marah. Misalnya, jika si ibu tadi dapat menjawab persoalan-persoalan ini, dia mungkin dapat mengurus kemarahan dengan betul," katanya.
Jika individu sanggup membunuh kerana cemburu, ini bermakna perasaan ini memang tidak dapat dikawal. Tekanan perasaan seperti kesempitan duit dan cemburu merupakan punca-punca lazim kepada sifat marah. Ia secara tidak langsung menganggu kawalan emosi. Dr. Haslee menambah, meningkatnya tekanan akan menyukarkan kita mengawal perasaan.
"Penjagaan diri juga penting untuk mengawal emosi. Ia dapat mengawal kesihatan fizikal dan emosi. Jika kita tersilap makan, kita ada simptom tetapi sakit perasaan, seseorang itu hanya makan hati," ujarnya.
Mengulas tentang perhubungan suami dan isteri, Dr. Haslee memberitahu, suami sebagai ketua keluarga perlu tahu keadaan keluarga sama ada berlaku kekurangan dan perubahan.
" Paling mudah, kita mengikut cara Nabi Muhammad S.AW. Rasulullah berjaya mengawal kemarahan kerana mungkin baginda sentiasa bersyukur. Perkara inilah yang perlu dilakukan setiap umat Islam," jelasnya.
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Read more...
13 January 2010
Pentingnya menjaga warisan alam
IBU BAPA berperanan mendekatkan anak-anak dengan alam sekitar.
- gambar hiasan
Jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Zainal Abidin yang pernah hangat satu ketika dulu, pasti kita sedar akan mesej yang cuba disampaikan tentang betapa eratnya alam sekitar dengan manusia.
Bait-bait awal dalam lagu tersebut 'Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa' memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini.
Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengeka
Jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Zainal Abidin yang pernah hangat satu ketika dulu, pasti kita sedar akan mesej yang cuba disampaikan tentang betapa eratnya alam sekitar dengan manusia.
Bait-bait awal dalam lagu tersebut 'Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa' memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini.
Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan menerima padahnya.
Buktinya, hari ini perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, kenaikan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksik adalah antara kesan buruk yang terpaksa ditanggung oleh kita kerana kealpaan dalam menjaga alam sekitar.
Banyak pihak yakin bahawa salah satu cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada golongan kanak-kanak.
Melentur buluh
Bukanlah alasan yang bijak jika kita mengatakan anak-anak masih terlalu kecil dan mentah untuk memahami keperluan menjaga alam sekitar.
Pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' memberi maksud bahawa anak-anak perlu diasuh sebaik mungkin pemikiran dan sikapnya untuk menjaga alam sekitar supaya mempunyai rasa bertanggungjawab yang dibawa sehinggalah mereka menjadi dewasa.
Banyak inisiatif yang boleh difikirkan dan diamalkan oleh ibu bapa terutamanya dalam kehidupan seharian di rumah.
Sebagai memberi kesedaran dan pendidikan awal tentang penjagaan alam sekitar, ibu bapa boleh membelikan atau membawa anak-anak ke perpustakaan untuk membaca bahan-bahan yang berkaitan.
Sebagai alternatif lain, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melayari laman-laman web seperti www.kitarsemula.com, www.kid-at-art.com atau www.compostguide.com dan sebagainya yang sarat dengan maklumat, panduan dan petua penjagaan alam sekitar.
Melalui bahan-bahan pembacaan seperti ini, secara umumnya anak-anak akan dapat menghayati konsep 3R dalam penjagaan alam sekitar, iaitu 'reduce'' (kurangkan), 'reuse' (gunakan semula) dan 'recycle' (kitar semula).
Anak-anak perlu diberitahu akan fakta-fakta yang bersifat realisitik tentang alam sekitar. Misalnya, beratus-ratus pokok dapat diselamatkan daripada ditebang jika kertas-kertas terpakai dikitar semula secara bijak.
Kitar semula
Begitu juga fakta bahawa kitar semula bahan buangan mampu menjimatkan kos pengendalian pembuangan sampah sarap sehingga ratusan juta ringgit oleh kerajaan.
Antara usaha-usaha lain dalam penjagaan alam sekitar yang boleh diterapkan kepada anak-anak di rumah adalah:
l Mengasuh anak-anak menggunakan sumber alam secara berhemah terutama penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan di dapur boleh dikitar semula untuk menyiram tanam-tanaman. Suis elektrik dan lampu perlu dimatikan jika tidak digunakan lagi.
l Menggalakkan anak-anak untuk tidak membuang sampah merata-rata tetapi buang di tempat yang sepatutnya. Adalah lebih baik juga untuk mendidik dan memberikan contoh kepada mereka dengan mengasingkan jenis-jenis sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya.
Wujudkan tong sampah di rumah mengikut jenis-jenis bahan buangan tersebut bagi memudahkan anak-anak membuang sampah mengikut kategorinya.
l Mengajar anak-anak untuk mengumpulkan bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitar semula yang memberikan bayaran ke atas bahan-bahan tersebut.
Anak-anak akan turut berminat menambahkan jumlah wang tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan cara yang mudah sebegini.
l Beritahu anak-anak bahawa sisa-sisa makanan harian tertentu boleh dikitar semula menjadi 'baja kompos' yang boleh digunakan sebagai baja untuk menanam bunga atau sayur.
Dengan cara ini anak-anak akan turut dapat dididik akan konsep 'berbakti kepada tanah' dan memberikan pulangan melalui hasil tanaman bunga-bungaan atau sayur-sayuran.
l Majalah-majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula oleh anak-anak dengan cara mengumpulkan atikel-artikel tertentu untuk dijadikan buku skrap atau ensiklopedia peribadi tentang apa sahaja topik yang menjadi minat mereka.
l Ibu bapa perlu menerapkan sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang-barang yang difikirkan tidak perlu seperti pakaian lama yang boleh dibuat kraf tangan menjadi beg, selimut, atau alas meja. Tin atau botol plastik pula boleh diubahsuai menjadi tabung, bekas alat tulis atau arca.
l Pakaian milik anak-anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada anak-anak yatim atau badan-badan kebajikan.
Begitu juga dengan amalan di mana pakaian dan barang-barang permainan anak-anak boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan mereka yang lain.
l Untuk mengurangkan penggunaan beg plastik terutamanya yang berunsurkan styrofoam dan tidak mamu dilupuskansecara semulajadi, terapkan amalan membawa beg sendiri dalam diri kita dan anak-anak ketika hendak membeli-belah.
l Galakkan anak-anak untuk menyertai program yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar. Misalnya menyertai program gotong royong membersihkan kawasan kejiranan, menyertai ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar dan sebagainya.
Kita perlu sedar bahawa walaupun sumbangan kita dan anak-anak terhadap pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar nampak seperti terlalu kecil, namun jika semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab yang serupa, sudah tentu ia akan menjadi begitu berkesan dan bermakna.
Sikap positif dalam menjaga warisan alam sekitar sebegini diharapkan akan menular menjadi budaya yang akan terus dipraktikkan oleh anak-anak kita ini pada masa hadapan dan diperturunkan kepada generasi seterusnya.
Read more...
12 January 2010
Usah abai penjagaan diabetes
Rawatan diabetes adalah tanggungjawab sepanjang hayat, baik bagi penghidap mahupun ahli keluarga terdekat.
TABIAT makan yang tidak terkawal membawa mudarat.Gambar Hiasan.
BUKAN sekadar orang yang gemuk cenderung menghidap diabetes. Mereka yang kurus juga berisiko mendapat penyakit kencing manis ini jika corak pemakanan dan gaya hidup sihat tidak dijaga atau diamalkan.
Paterikan dalam fikiran tentang peringatan ini - diabetes adalah penyakit yang serius.
Maka, bagi mereka yang telah didiagnosis menghidapinya, hendaklah membulatkan tekad untuk mengikuti komitmen penjagaan kesihatan sepanjang masa.
Percayalah, usaha itu berbaloi kerana bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kesihatan, malah menghindarkan masalah yang mengancam nyawa.
Berikut adalah 10 kaedah rawatan dan penjagaan yang membolehkan penghidap menikmati hari mendatang dengan lebih baik:
1. Komitmen untuk menangani diabetes
Pasukan perubatan seperti doktor, jururawat dan pakar diet boleh membantu anda dalam memahami dan menyokong rutin penjagaan diabetes. Pokok pangkalnya, diri anda perlu berjanji untuk berubah dan melaksanakan penjagaan itu demi masa depan sendiri.
Antara aspek gaya hidup yang perlu diberi tumpuan adalah soal pemakanan sihat, senaman dan berat badan.
Pada masa yang sama, pastikan paras gula dalam darah selalu diperiksa supaya paras sasaran seperti yang dinasihatkan doktor dapat dicapai.
Jangan berlengah jika memerlukan perhatian dan rawatan diabetes dari pihak klinik atau hospital.
2. Hentikan tabiat merokok
Jika anda menghisap rokok atau apa juga jenis tembakau lain, dapatkan panduan doktor untuk menghentikan tabiat tersebut.
Merokok akan meningkatkan risiko terhadap pelbagai komplikasi diabetes seperti serangan jantung, strok, kerosakan saraf dan penyakit buah pinggang.
Perokok yang menghidap diabetes adalah tiga kali ganda berhadapan dengan maut akibat penyakit kardiovaskular berbanding penghidap diabetes yang tidak merokok.
3. Kawal tekanan darah dan paras kolesterol
Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah.
Paras kolesterol yang tinggi juga perlu diberi tumpuan memandangkan kemungkinan kerosakan saluran darah itu lebih berganda bagi penghidap diabetes.
Apabila kedua-dua masalah ini bergabung, seseorang penghidap boleh diancam masalah kesihatan yang mengancam nyawa seperti serangan jantung dan strok.
Semua itu boleh dicapai dengan mengambil pemakanan sihat dan sering bersenam.
RUJUK kepada pakar diet untuk memahami konsep pemakanan ideal.
4. Ikuti pemeriksaan tahunan untuk mata dan fizikal
Dengan mengikuti rutin pemeriksaan diabetes, tidak bermakna pemeriksaan tahunan terhadap tubuh dan mata boleh diabaikan.
Semasa pemeriksaan kesihatan tubuh, doktor boleh mengenal pasti komplikasi yang berkaitan diabetes seperti tanda-tanda kerosakan fungsi buah pinggang, saraf atau masalah jantung.
Pemeriksaan mata pula boleh mengesan sekiranya seseorang pesakit mengalami katarak, glaukoma atau kerosakan pada retina.
5. Pastikan vaksin yang terkini
Gula dalam darah tinggi boleh melemahkan sistem imunisasi seterusnya meningkatkan kepentingan pengambilan vaksin. Dapatkan konsultasi doktor tentang vaksin flu untuk menghindar komplikasi demam selesema.
Vaksin pneumonia yang lebih daripada satu dos suntikan amat penting bagi penghidap diabetes yang ebrusia 65 tahun ke atas. Tidak ketinggalan, pastikan anda mengambil tahu tentang suntikan tetanus dan juga hepatitis B.
6. Jaga kebersihan gigi
Diabetes membuatkan penghidapnya cenderung kepada jangkitan gusi. Maka, nasihat mengenai rutin memberus gigi sekurang-kuragnya dua kali sehari itu banyak kepentingannya.
Selain itu, pastikan amalan flos dilakukan dan pastikan temu janji dengan doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun. Temui doktor gigi segera jika terlihat gusi dalam keadaan berdarah, bengkak atau kemerah-merahan.
7. Beri perhatian kepada kaki
Gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan saraf di kaki lantas menjejaskan pengaliran darah ke bahagian tersebut. Jika dibiarkan kemelaratan itu tanpa dirawat, sebarang kejadian luka dan lepuhan boleh menjadi jangkitan serius.
Antara langkah penjagaan kaki adalah seperti membasuh kaki dengan air hangat setiap hari, mengeringkannya dengan baik terutama di celah-celah jari, sapukan pelembap hingga ke pergelangan kaki dengan losyen serta rawat kaki secepat mungkin jika terdapat luka, ruam, lepuhan atau bengkak.
8. Ambil aspirin harian
Aspirin mengelakkan darah anda daripada tersumbat. Dengan mengambil aspirin setiap hari. ia mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.
Kedua-dua penyakit ini adalah kemungkinan yang berbahaya jika seseorang itu menghidap diabetes. Maklumat lanjut tentang terapi pengambilan aspirin harian boleh ditanyakan terus kepada doktor. Tanyakan juga dos yang bersesuaian.
SELAIN suntikan insulin, penghidap perlu peka kepada vaksin terkini bagi penyakit lain.
9. Elakkan minuman beralkohol
Bergantung kepada berapa banyak anda minum dan makan pada waktu yang sama, alkohol akan menyebabkan gula dalam darah menjadi rendah.
Bagi mereka yang memilih untuk minum, dinasihatkan agar tidak berlebihan dan jangan lupa untuk makan. Kiraan pengambilan kalori harian juga perlu dikira dalam makanan dan minuman beralkohol itu.
10. Hindari stres
Kalau anda dalam keadaan stres, pastikan rutin penjagaan diabetes anda akan terganggu. Penghasilan hormon akibat daripada stres yang berpanjangan boleh menghalang insulin daripada menjalankan fungsinya dengan baik.
Bagi menanganinya, pastikan anda meletakkan had kepada stres dan mulakan pengkhususan keutamaan dalam kerja. Kalau punya masa terluang, pelajari teknik relaksasi dan dapatkan tidur yang secukupnya.
Read more...
11 January 2010
Tarikan SJKC
CEMERLANG...kejayaan anak Melayu di SJKC turut mempengaruhi ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah berkenaan.
JIKA dulu tidak ramai di kalangan ibu bapa masyarakat Melayu yang menghantar anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tetapi kini sebaliknya.
SJKC yang diperkenalkan sejak 1880 itu kini semakin menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka menimba ilmu, sekali gus meningkatkan jumlah pelajar bukan berbangsa Cina belajar di sekolah itu.
Terbaru, sesi persekolahan bagi 2010 mencuri perhatian apabila 70 peratus murid tahun satu di SJKC Kou Hua, Kuala Nerang, Terengganu terdiri daripada murid Melayu.
Daripada 19 murid tahun satu yang mendaftar, 14 daripadanya Melayu, Cina (tiga) dan dua murid Siam. Dengan itu, hampir 50 peratus daripada 96 jumlah keseluruhan murid di sekolah itu adalah Melayu.
Selain sekolah itu, kebanyakan SJKC di seluruh negara juga menerima pelajar baru terutama di kalangan masyarakat Melayu.
Peningkatan bilangan murid terutama Melayu yang mendaftar di SJKC menimbulkan pelbagai tanda tanya. Apakah faktor yang menyebabkan ibu bapa kini lebih cenderung menghantar anak ke SJKC berbanding Sekolah Kebangsaan (SK)?
Adakah ia disebabkan sistem pendidikannya? Adakah ia mungkin disebabkan kemudahan infrastruktur yang lebih canggih dan lengkap? Mungkinkah kejayaan yang dicapai pelajar Melayu yang bersekolah di SJKC seperti dibuktikan Mohamad Daniel Idrus iaitu pelajar Melayu tunggal di SJKC Bachang, Melaka yang meraih 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, menjadi perangsang?
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata banyak faktor yang dilihat menjadi penyebab ibu bapa kini lebih memilih SJKC berbanding SK sebagai tempat anak mereka menimba ilmu.
Salah satu daripada faktor itu, menurut Mohd Ali, dasar keterbukaan yang diamalkan di negara ini iaitu ibu bapa bebas untuk memilih sekolah yang mereka rasakan terbaik untuk anak masing-masing.
"Wujudnya kesedaran terhadap kepentingan bahasa Mandarin dalam kehidupan dan kerjaya anak mereka kelak di samping prestasi murid di SJKC yang lebih cemerlang juga menjadi faktornya.
"Ia diikuti dengan kecemerlangan kaedah pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik serta disiplin murid yang terkawal," katanya.
Selain itu, kata Mohd Ali, kemudahan prasarana di SJKC yang lebih baik dan lengkap turut menarik minat ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan.
"Sebagai ibu bapa, kita pasti akan memilih yang terbaik untuk anak, lebih-lebih lagi yang berkaitan pendidikan.
"Jadi, dengan keadaan sesetengah SK terutama di luar bandar tidak mempunyai prasarana yang lengkap, sudah pasti mereka memilih SJCk kerana ia lebih lengkap," katanya.
Menurutnya lagi, guru di SJKC yang lebih komited, berdedikasi dan sentiasa menitikberatkan kemajuan serta prestasi murid turut menjadi faktor penyebab ibu bapa menghantar anak ke SJKC, sekali gus meningkatkan bilangan murid Melayu di sekolah berkenaan.
"Akademik dan kokurikulum di SJKC juga seimbang kerana setiap murid diwajibkan menghadiri aktiviti kokurikulum yang dijalankan setiap minggu," katanya.
Dalam hal ini, saya berharap pihak kerajaan dapat memperkasakan SK supaya ia menjadi pilihan ibu bapa bukan saja untuk masyarakat Melayu tetapi juga Cina dan India untuk menghantar anak mereka menimba ilmu.
"Kemudahan dan prasarana di semua SK juga perlu dilengkapkan di samping memastikan menempatkan guru yang berkaliber serta berdedikasi untuk mengajar.
"Kaedah pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik juga perlu dipertingkatkan selain memperbaiki sistem disiplin di SK," katanya.
Kata Mohd Ali, apa yang paling penting dan perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan dengan mewujudkan subjek tambahan di SK iaitu bahasa Mandarin dan Tamil.
"Bahasa Mandarin sangat berguna kepada masa depan anak. Justeru, dengan penawaran subjek itu di SK, ia berupaya menjadikan SK sebagai pilihan utama ibu bapa untuk menghantar anak menimba ilmu," katanya.
Sementara itu, bapa kepada Mohamad Daniel, Idrus Md Zin, berkata beliau mempunyai alasan tersendiri memilih SJKC untuk anaknya menimba ilmu.
"Alasannya cukup senang. Saya mahu dia belajar menguasai pelbagai bahasa selain bahasa Melayu dan Inggeris.
"Ini kerana, agama sendiri ada mengatakan kalau mahu mendidik anak, kita kena ikut zaman mereka sekarang. Jadi, zaman sekarang selain bahasa Melayu dan Inggeris, bahasa lain terutama Mandarin juga sangat penting.
"Selain berkomunikasi, mereka kelak boleh menggunakan bahasa itu untuk kegunaan dalam kehidupan dan kerjaya mereka, lebih-lebih lagi bahasa Mandarin adalah bahasa perantaraan utama di dunia," katanya.
Menurutnya, kaedah pembelajaran yang diguna pakai di SJKC terutama dalam subjek Matematik dan Sains juga menjadi salah satu faktornya.
"Walaupun sistem pendidikan yang digunakan sama di semua sekolah, kaedah pembelajarannya cukup berlainan terutama Matematik dan Sains.
"Disiplin pelajar di SJKC terutama yang membabitkan kerja sekolah juga sentiasa mendapat perhatian guru dan ia mendorong murid untuk sentiasa melaksanakannya sebaik mungkin.
"Jika murid gagal untuk melaksanakan kerja yang diberikan, guru akan memberitahu ibu bapa untuk mengambil tindakan sewajarnya. Ia tidak berakhir dengan pemberitahuan saja kerana mereka akan sentiasa membuat pemantauan, " katanya.
Menurut Idrus lagi, komunikasi antara ibu bapa, guru dan pihak sekolah serta komitmen dan tanggungjawab guru yang tinggi terhadap kemajuan murid turut menjadi faktor dia menghantar anaknya menimba ilmu di SJKC.
"Di SJKC, guru banyak berinteraksi dengan ibu bapa terutama yang berkaitan dengan murid.
"Jika ada sebarang masalah tidak kira dari segi pelajaran atau disiplin, mereka akan segera menyelesaikannya di samping memaklumkan kepada ibu bapa untuk tindakan selanjutnya.
"Sebagai contoh, ketika Mohamad Daniel masih di tahun satu, beberapa pelajar darjah enam masuk ke kelas mereka dan mengambil peralatan tulis mereka.
"Selepas mengetahui perkara itu daripada Daniel, saya kemudian menghantar surat kepada guru kelasnya dan dalam sehari saja, perkara ini berjaya diselesaikan," katanya.
Idrus berkata, bagi sesetengah guru, mereka menganggap tugas dan tanggungjawab mereka adalah semata-mata untuk mengajar tetapi ia berlainan di SJKC.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
Read more...
10 January 2010
Program pembangunan profesional tingkat martabat, baiki kualiti guru
Guru tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran apabila melihat kejayaan anak kita, cukuplah sekadar sumbangan guru dihargai dan diingati.Gambar hiasan.
PENGUMUMAN Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sedar wujud keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti guru dengan pesat menerusi program pembangunan profesional yang berterusan adalah berita gembira dan ditunggu-tunggu oleh seluruh warga pendidik di Malaysia. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran itu meniupkan semangat baru untuk warga pendidik memajukan diri mereka.
Antara strategi dirangka untuk memartabatkan profesion perguruan ialah meningkatkan kualiti guru dengan menaikkan taraf semua maktab perguruan kepada institut pendidikan guru yang menawarkan program pada peringkat ijazah. Di samping itu, kementerian akan memperketat syarat pemilihan guru pelatih, menambah baik persekitaran pengajaran, menaikkan imej, menanam harga diri dan semangat tinggi di kalangan guru serta memberi sokongan berterusan kepada profesion perguruan.
Selain itStrategi ini juga bertujuan memberi galakan kepada individu yang berkebolehan dan berbakat menyertai profesion perguruan dan melihat bidang ini mempunyai prospek kerjaya menarik. Segala strategi ini dijangka mampu memberi motivasi dan galakan kepada guru untuk lebih bekerja keras dalam menjalankan amanah mendidik anak bangsa yang menjadi pewaris masa depan negara.
Profesion perguruan sentiasa dilabelkan sebagai satu kerjaya mudah, tidak mencabar, masa bertugas yang pendek, banyak cuti dan sebagainya. Kenapa kita sering mendengar persatuan perguruan meminta pelbagai tuntutan daripada kerajaan, mengapa kita sering membaca luahan guru yang tidak berpuas hati dengan beban tugas yang pelbagai. Jawapannya cukup mudah kerana guru adalah satu profesion yang dipertanggungjawabkan dengan beban tugas pelbagai. Pengalaman dan pemerhatian mendapati guru bukan saja memainkan peranan untuk mengajar dan mendidik, malah lebih daripada itu.
Guru memainkan peranan yang pelbagai selain penekanan bidang akademik pelajar, guru juga perlu memastikan kokurikulum pelajar juga seiring dengan pencapaian akademik. Itu tidak lagi termasuk tugas pengurusan dan pentadbiran contohnya mesyuarat tidak kira masa termasuk pada hari minggu, mengiringi pelajar untuk projek sekolah ke peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Individu yang terbabit dalam bidang perguruan antara warga Malaysia yang berkebolehan, cemerlang akademik, berkelulusan tinggi, berbakat dan berjaya dalam pelbagai aspek. Namun, mengapa individu yang cemerlang dan menjadi aset berguna ini memilih profesion perguruan berbanding profesion lain yang lebih hebat seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perundangan dan sebagainya. Individu ini berjiwa besar dan mencintai anak bangsa dan melihat bidang perguruan sebagai wadah untuk mereka mendidik anak bangsa dengan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki.
Walaupun ganjaran dan pendapatan diperoleh tidak memadai dengan tanggungjawab dipikul dan ilmu dimiliki, golongan guru tetap menjalankan amanah diberikan sebaik mungkin. Kenapa tidak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang menjadi payung kepada seluruh guru di Malaysia mempertimbangkan sedikit ganjaran atau insentif khas kepada guru untuk menghargai pengorbanan mereka selama ini mendidik dan meluangkan masa tanpa berkira mendidik anak kita sehingga berjaya menjadi manusia berguna.
Guru tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran apabila melihat kejayaan anak kita, cukuplah sekadar sumbangan guru dihargai dan diingati. Namun, masyarakat sering tidak meletakkan guru pada tempat sepatutnya dengan segala penat lelah yang mereka sumbangkan.
Sekiranya profesion perguruan tidak dimartabatkan pada tempat sepatutnya pada hari ini, kesannya pada masa akan datang bidang perguruan tidak lagi dipandang tinggi dan kurang penyertaan golongan profesional kerana ganjaran tidak setimpal dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, kemahiran dan ilmu dimiliki mereka.
Ganjaran bukanlah isu utama kepada guru, namun tanggungjawab mereka juga bertambah seiring dengan kemajuan negara dalam membentuk modal insan berkualiti. Oleh itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan untuk memastikan profesion guru di Malaysia mencapai standard kualiti yang diingini, menjadi prospek kerjaya yang menarik, memberi motivasi kepada guru untuk terus menjalankan amanah dan memartabatkan profesion guru di mata masyarakat Malaysia.
u, Kementerian Pelajaran akan menyediakan banyak peluang peningkatan kerjaya, termasuk peluang kenaikan pangkat kepada guru dan pengetua cemerlang sebagai insentif untuk terus meningkatkan pencapaian, sekali gus membolehkan pengajaran dan pembelajaran lebih baik. Ini seharusnya dilihat sebagai usaha dan perkembangan positif dalam memartabatkan profesion perguruan kerana program pembangunan profesional yang berterusan mensasarkan kepada matlamat mempertingkatkan kompetensi, ilmu pengetahuan serta kebolehan guru.
Penulis ialah pelajar sarjana Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan UKM
Read more...
Cerita malam Kemensah Heights
JALAN mati di belakang tembok Zoo Negara ini tiba-tiba berbau wangi.
MASIH kaya dengan tumbuhan menghijau serta aliran sungai yang menyegarkan, Kemensah Heights yang terletak betul-betul di belakang Zoo Negara di Hulu Klang, Selangor sememangnya cukup redup pada waktu siang.
Sungguhpun begitu, menjelang lewat malam, kawasan yang menempatkan deretan rumah teres, banglo dan kondominium itu mampu mengundang perasaan seram terutama jika melalui lorong yang gelap lagi sunyi.
Dakwaan ada penduduk terpandang kelibat pocong dan puntianak di beberapa lokasi sekadar memanjangkan lagi cerita-cerita paranormal di perumahan elit yang dahulunya dilimpahi hutan tebal itu.
Bukan sekali dua, malah difahamkan kejadian penduduk terserempak dan diganggu oleh entiti itu pada waktu tengah malam hingga pukul 3 pagi sering berlaku.
Bagi warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, ramai yang tidak betah bekerja lama di situ, apatah lagi jika terpaksa bertugas pada sebelah malam.
Kebanyakan mereka mengadu terdengar bunyi orang berjalan dan berlari malah ada juga yang mengaku sering diganggu bunyi-bunyi aneh yang tidak mampu dijelaskan.
Puntianak rumah banglo
“Seorang kawan saya pernah ternampak puntianak bertenggek di tangki air rumah banglo ini semasa ia dibina.
“Akibat terlalu terkejut dan takut, dia yang hamil dua bulan mengalami keguguran,” kata Wati, seorang warga Indonesia yang turut bekerja menyiapkan pembinaan banglo itu. Wati sudah hampir lima tahun tinggal di kawasan Kemensah.
Dia yang kerap mendengar cerita pelik daripada rakan-rakannya bagaimanapun belum pernah melihat sendiri rupa hantu yang sering diperkatakan itu.
“Saya selalu lalu di kebanyakan lokasi yang dikatakan berhantu, tapi Alhamdulillah, saya belum berjumpa lagi. Kalau ada peluang, nak juga tengok,” ujarnya ketawa.
Untuk merasai sendiri kewujudan entiti di kawasan itu, krew Jurnal mula menyusuri sebatang jalan mati yang bersempadan dengan Zoo Negara.
Digelar kawasan permainan pocong, beberapa penduduk kononnya sudah terserempak dengan makhluk itu di situ. Walaupun tidak menemui sebarang imej pelik, haruman kuat bunga melur menusuk ke hidung jurugambar Jurnal.
Peliknya, tiada sebatang pun pokok bunga di situ, yang ada hanya pokok kayu. Beberapa ketika kemudian, sewaktu ingin merakamkan gambar jalan berkenaan, kamera yang digunakan pula gagal berfungsi dengan baik untuk beberapa minit.
Biarpun berdepan dengan beberapa perkara aneh, kami tidak berjaya merakamkan sebarang imej hantu di kawasan tersebut.
Pemandu wanita
Seterusya ialah ‘jalan bukit’, lokasi panas yang dikatakan banyak gangguan pelik berlaku.
“Pernah ada seorang wanita kena kacau ketika melalui jalan ini pada pukul 11 malam. Keempat-empat pintu keretanya diketuk kuat sedangkan keretanya sedang bergerak laju.
“Dengan muka pucat lesi dan nafas yang tertahan, dia pergi ke tempat saya berniaga,” cerita seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ana.
Selain itu, sebuah banglo tinggal dan sebatang lorong yang juga jalan pintas, dikaitkan dengan kewujudan puntianak.
“Di banglo itu, ada penduduk yang ternampak puntianak terbang melintasi rumah tersebut.
“Di laluan pintas yang berdekatan dengan bengkel bas itu dahulu ada perempuan Indonesia mati bunuh diri,” kata Wati pula. Wanita ini gemar melalui jalan pintas itu dari tempat kerja ke rumah kongsinya.
Lokasi terakhir yang kami tuju pada malam itu merupakan sebatang pokok yang sering menjadi lokasi kemalangan tidak kira malam ataupun siang.
“Walaupun pokok itu berdiri di selekoh yang tidak tajam, namun dalam sebulan ada dua tiga kemalangan kereta berlaku di situ termasuk menghentam pokok tersebut,” ujar Ana.
Pada malam itu, krew Jurnal kebetulan bertemu seorang pengamal perubatan alternatif yang berasal dari Jawa Timur, dikenali sebagai Ustaz Sugantaro, 37.
Jangan takut
Mesra dengan panggilan Pak Ainul, dia yang sedang menziarah seorang rakannya dikatakan mahir mengubat orang yang terkena sihir atau diganggu syaitan dan jin.
Ketika ditanya adakah betul wujud makhluk halus di sekitar Kemensah, Pak Ainul berkata dia hanya dapat merasai kehadiran makhluk itu di atas sebatang pokok tidak jauh dari tempat dia berdiri.
Katanya, kehadiran makhluk halus boleh dirasai dengan kehadiran angin yang boleh ‘diberatkan’ oleh entiti berkenaan.
“Saya dianugerahkan deria keenam yang membolehkan saya melihat dan merasai kehadiran kuasa jahat.
“Ada yang dihantar untuk mengganggu dan ada yang hadir hanya untuk melihat dunia anak Adam.
“Hanya apabila saya diperlukan untuk merawat pesakit, baru saya akan berunding dengan jin dan syaitan itu.
“Jika tidak saya tidak akan mengganggunya. Biar sama-sama aman,” katanya yang tidak menolak kewujudan aktiviti paranormal di Kemensah.
Tidak menafikan wujudnya perasaan takut di kalangan masyarakat terhadap hantu yang mempunyai pelbagai rupa ini, Pak Ainul memberitahu: “Sebagai manusia yang tercipta sempurna, kita tidak perlu takut dengan makhluk ghaib.
“Tidak mungkin syaitan mengalahkan manusia. Yang penting, kita berserah pada Yang Maha Kuasa dan isikan jiwa dengan amalan yang dituntut agama,” ujarnya.
Read more...
09 January 2010
Asrama, kini rumah keduaku
Rakan-rakan merupakan pengganti adik-beradik bagi berkongsi suka dan duka. - Gambar hiasan.
Semester persekolahan telah pun bermula. Bagi yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan ditawarkan memasuki sekolah berasrama, sudah pasti kini asrama menjadi rumah kedua dan rakan-rakan menjadi ahli keluarga serta warden asrama dan guru pengganti ibu bapa.
Kehidupan di asrama walaupun ada cabarannya namun ia sebenarnya mengajar diri kita untuk berdikari dan berdisiplin tinggi. Disiplin dan peraturan ketat di asrama mampu membentuk perwatakan dan keperibadian seseorang supaya menjadi manusia berguna dan bersemangat waja.
Memang tidak mudah mengharungi kehidupan tinggal di asrama terutama bagi yang tidak pernah berpisah dengan keluarga, kerana di asrama semuanya dilakukan sendiri.
Berbeza di rumah mungkin segala-galanya disediakan ibu bapa, tetapi di asrama, semua perlu mencuci pakaian dan mengemaskan bilik tidur sendiri.
Selain itu, mereka juga perlu menjalankan aktiviti rutin termasuk membersihkan tandas dan kawasan asrama, serta aktiviti lain untuk kebaikan diri, asrama dan sekolah.
Justeru, ketabahan dan pengorbanan amat penting diutamakan bagi menjamin kejayaan pelajar tinggal di asrama.
Di sini terdapat beberapa tip berguna bagaimana untuk menguruskan kehidupan apabila tinggal di asrama.
Positifkan diri
Tinggal di asrama merupakan momen-momen indah yang pasti dikenang sampai bila-bila, tambahan pula semangat kekeluargaan yang dipupuk semasa tinggal di asrama membuatkan ia seperti sebuah keluarga besar yang harmoni.
Malah tinggal di asrama juga sebenarnya memberi peluang untuk kita mengenal diri kita dengan lebih dekat .
Pertama kali bermalam di asrama mungkin memberi kelainan kepada diri kita, tambahan pula terpaksa tidur berlainan di tempat sendiri.
Namun, cuba positifkan diri bahawa tinggal di asrama banyak memberi kebaikan daripada keburukan serta mampu mematangkan diri kita.
Jika terpaksa berkongsi bilik asrama dengan orang lain yang tidak dikenali cuba terapkan perasaan menghormati kepada rakan sebilik.
Hormati rakan sebilik walaupun kita baru kita mengenali dirinya.
Pengurusan wang
Sementara itu, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan wang. Jika sebelum ini kita hanya diberikan wang poket untuk membeli makanan semasa waktu rehat tetapi apabila tinggal di asrama mungkin kesemuanya harus diuruskan sendiri.
Bermula dengan membeli keperluan diri sehinggalah membeli makanan dan juga membeli pakaian.
Harus diberikan peringatan, amalkan tabiat berjimat cermat, beli perkara yang penting dan di perlukan sahaja.
Jangan boros dengan membeli benda-benda yang tidak berguna selain itu, keadaan itu hanya memberi impak yang negatif pada diri sendiri.
Amalkan satu tabiat menyelamatkan wang anda daripada perkara-perkara tidak penting serta tetapkan jumlah setiap bulan wang supaya anda dapat membina satu jaring keselamatan untuk sebarang kecemasan.
Selain itu, amalkan juga sifat menabung untuk diri sendiri, biarpun dengan jumlah sedikit tapi ia sangat berguna apabila waktu kecemasan.
Jalinan hubungan
Tinggal di asrama sebenar memberi peluang untuk kita menambah kenalan dan membina hubungan sehingga ke akhir hayat kita.
Oleh itu, kutiplah pengalaman sebanyak mungkin semasa berada di asrama.
Jadikan kawan-kawan di asrama seperti adik-beradik, kongsikan bersama-sama suka dan duka.
Oleh itu, terapkan perasaan kasih sayang dan saling hormat antara satu sama lain.
Malah tidak salah jika ada yang menegur kekurangan diri, tetapi tegur secara berhati-hati jangan sampai rakan terasa dengan diri kita.
Siapkan kerja-kerja sekolah
Tinggal di asrama ada pahit dan manisnya, namun keseronokan tinggal di asrama pasti menjadi momen-momen indah yang diingati sampai bila-bila.
Jika anda diberikan kerja-kerja sekolah, teruskan menyiapkan jangan amalkan sikap lewa dan melengah-lengahkan kerja kerana memberi tekanan kepada diri sendiri.
Pupuk semangat sukakan membaca supaya dapat mempertingkatkan diri dalam pelajaran
Buat perancangan semasa belajar dan beri tumpuan sepenuhnya semasa waktu belajar.
Jadikan rakan-rakan rapat sebagai pesaing utama untuk berlumba-lumba dalam mendapat tempat terbaik semasa di kelas.
Amalkan pelajar berkumpulan serta berkongsi pendapat bersama rakan-rakan di asrama.
Pandai membahagikan masa
Sama ada anda aktif atau tidak semasa di asrama, pastikan anda tahu membahagi-bahagikan masa supaya keadaan tidak menjadi kelam kabut.
Berikan masa untuk membuat kerja-kerja rutin di di bilik asrama seperti membasuh baju dan mengemaskan bilik.
Biarpun sesibuk mana tapi amalkan kebersihan diri supaya bilik asrama sentiasa kelihatan bersih dan terurus.
Sememangnya tinggalkan asrama mempunyai keseronokan tersendiri walaupun pada awalnya kurang menyenangkan.
Namun terapkan pada diri sendiri supaya dapat mengimbangi antara waktu belajar dan juga bersosial.
Susunan ZUHAYATI YAZID
Read more...
08 January 2010
Perjuangan sifat murni
GURU boleh memainkan peranan dalam memupuk anak-anak ke arah yang baik. - Gambar hiasan.
ADA sesuatu yang masih segar dalam minda Liu Man San. Lelaki berusia 63 tahun itu masih ingat lagi insiden seorang budak nakal di dalam salah sebuah kelasnya.
"Saya ternampak budak itu sangat senyap di satu sudut. Jadi, saya pun panggilnya ke depan. Tetapi, dengan penuh reaksi, dia berdiri dan menjerit 'APA? APA? Awak nak apa?'"
"Orang lain mungkin anggap dia biadap. Padahal budak itu sebenarnya ada kisahnya sendiri," cerita Man San kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.
Sebenarnya, budak lelaki itu tidak pernah mendapat 'ganjaran' yang baik setiap kali namanya dipanggil guru. Jadi, tidak hairanlah dia sentiasa berpendapat nasib malang akan terus menimpanya.
Sebaliknya, Man San menghadiahkannya seketul batu dari Australia sebagai ganjaran. Ganjaran itu sebagai menghargai kepatuhannya untuk tidak membuat bising.
Cukup terkejut dengan tindakan Man San itu, budak tersebut berkali-kali menundukkan kepalanya sebagai tanda terima kasih.
Insiden itu nyata sangat signifikan bagi golongan pendidik seperti Man San. Sekurang-kurangnya peristiwa itu adalah contoh terbaik yang membuktikan bahawa setiap orang anak sebenarnya memiliki sifat positif.
Berbekalkan ideologi tersebut, Man San dan isterinya, Doreen Liu telah menterjemahkan pengalaman puluhan tahun sebagai pendidik ke dalam sebuah naskhah sulung yang berjudul Footperints in the house (Footprints). Buku setebal 105 muka surat itu diharapkan menjadi satu panduan berguna untuk membantu golongan penjaga menerapkan nilai-nilai murni dalam anak atau pelajar.
Doreen, 63, yang bersara sebagai Guru Kanan Hal-Ehwal Murid, memiliki sekitar 40 tahun pengalaman dalam dunia pendidikan. Ibu kepada seorang anak itu memberitahu, golongan muda menjadi sasaran pembaca buku itu memandangkan karakter mereka lebih mudah dibentuk.
"Pengalaman bekerja dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) cukup menyedarkan kami. Kami nampak lambakan masalah sosial hari ini banyak yang berpunca daripada soal karakter atau sifat-sifat murni.
"Lagipun, sukar nak membentuk semula karakter atau pemikiran generasi lama. Sebab itulah kami ingin mulakan daripada golongan muda," jelasnya yang berasal dari Pulau Pinang.
Sebagai salah seorang jurulatih utama bagi sebuah projek yang diiktiraf oleh World Vision Malaysia, The Virtues Project, pasangan suami isteri ini ingin mengajak dunia berbuat baik. Bukan dengan hanya berkata-kata tetapi menterjemahkan konsep kebaikan kepada satu tindakan.
Tambahnya, sifat-sifat murni merupakan asas kepada sesuatu karakter seseorang. Demi membangunkan sifat-sifat murni ini, pengetahuan dan pemikiran seseorang tidak harus hanya dilihat dalam konteks sehala.
"Sebaliknya, pelbagai cabang pengetahuan sepatutnya berintegrasi menjadi satu. Sebab itulah, sebagai contoh, kebanyakan kontraktor pembinaan tidak melihat kepada aspek pemuliharaan persekitaran ketika membina bangunan.
"Apa yang lebih dipentingkan oleh mereka ialah struktur atau reka bentuk bangunan," kata Man San yang banyak terlibat dalam aktiviti-aktiviti amal.
Suka menyelitkan strategi-strategi penting dalam membentuk sifat-sifat murni menerusi programnya, dia berkata, segalanya harus bermula dari rumah.
Footprints yang mengadunkan pengetahuan dari segenap lapisan subjek. Sains, moral, sifat-sifat murni dan prinsip universal yang lain mengajak pembaca khasnya anak menghayati kandungan buku itu.
Terbahagi kepada lapan bab yang membawa pembaca kepada bahagian-bahagian rumah berbeza, Doreen berkata: "Sifat-sifat murni sememangnya satu anugerah untuk sesesuatu karakter."
DOREEN dan Man San bersama Linda Kavelin Popov (dua dari kiri) dan pengasas The Virtues Project, Dr. Don Popov.
--------------------------------------------------------------------------------
Ruang tamu disifatkan sebagai destinasi paling menarik dalam sesebuah rumah. Sebabnya, di dalam bilik inilah pelbagai tindakan seseorang boleh mencerminkan keperibadian dan karakternya. Sebagai contoh, kunjungan tetamu atau kenalan ke rumah kita perlu disambut dengan kemesraan dan kemurahan hati.
Bagi memperkukuhkan pemahaman pembaca tentang topik yang disentuh, latihan-latihan mudah juga diselitkan. Malah, pemilihan subjek sains yang betul boleh memperkuatkan lagi ideologi tentang sesuatu sifat murni. Lebih mustahak lagi, ia mengingatkan pembaca dan mengajar anak bahawa manusia seharusnya hidup sebagai satu keluarga tanpa mengira faktor kaum, bangsa dan warna kulit atau rambut.
Memakan masa kurang sebulan untuk ditulis, Footprints tidak mungkin berjaya dicetak tanpa sumbangan murni seorang kenalan lama. Menggelarkan beliau sebagai seorang 'Samaritan' (orang baik) daripada pengeluar tilam terkemuka King Koil Malaysia, Man San berkata, semua orang mampu menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik di dunia.
Setakat temu bual ini berlangsung, 2,500 naskhah cetakan awal buku ini telah berjaya dijual.
Golongan muda khasnya mempunyai potensi yang luas. Menggesa masyarakat mengubah persepsi yang menganggap 'orang muda hanya suka bersuka-ria', pasangan ini percaya golongan muda ibarat emas yang belum diasah.
"Mereka sebenarnya boleh capai banyak impian besar jika diberi peluang. Misalnya, ada seorang anak gadis ini. Dia pernah hadiri seminar sifat-sifat murni kami dan selepas tamat pengajian dia memberitahu, dia telah pergi ke Nepal.
"Untuk apa? Dia telah menyertai sebuah NGO sebagai tenaga pengajar di perkampungan terpencil di Nepal. Itulah antara kejayaan yang ditunjukkan apabila anak ada kesedaran dan sifat murni," cerita Man San.
Malah, pasangan dari Klang ini sendiri sudah menjadi tauladan terbaik. Doreen yang melibatkan diri dalam kegiatan NGO seawal tahun 1970-an banyak melancong bersama suami untuk tujuan-tujuan amal. Bekerja dengan kedaifan kelas-kelas yang tidak dilengkapi dengan peralatan asas adalah antaranya.
Namun, hanya selepas Forum Wanita Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Beijing, China pada tahun 1995, mereka lebih serius untuk komited dalam kerja-kerja sosial.
"Kami mula mempertingkatkan keupayaan dalam aspek pembangunan wanita dan pendidikan untuk kanak-kanak serta golongan muda.
"Saya dan Man San kerap berkunjung ke luar negara untuk menghadiri kursus khas untuk perkembangan sosial. Hanya selepas itu, barulah kami mula mengadakan bengkel serta seminar tentang nilai sesebuah pendidikan," terang Doreen, ibu kepada seorang anak perempuan itu.
KANAK-KANAK merupakan golongan yang lebih mudah dididik berbanding orang
dewasa. - Gambar hiasan
Antara organisasi yang pernah menerima khidmat mereka sebagai jurulatih sukarelawan termasuk HAWA, majlis perbandaran di Kota Kinabalu dan Sandakan, Sabah, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Yayasan Bhineka di Padang, Indonesia dan kem pemulihan serenti dadah.
Bagaimana pula perancangan jangka panjang pasangan ini? Jelas Man San, dua buah buku daripada siri yang sama akan menyusul. Tetapi, mereka berharap ada individu ataupun syarikat korporat yang berminat menaja penghasilan dua buku tersebut demi kesejahteraan dunia sejagat.
Read more...
07 January 2010
Takut ke sekolah kecelaruan sementara
'Simptom' ini adalah kecelaruan sementara yang berlaku ekoran masih tidak selesa dengan situasi yang baru mereka alami.-Gambar hiasan.
MUSIM cuti sekolah untuk tahun 2009 sudah berakhir dan tiba masanya untuk kembali ke sekolah. Perasaan untuk menjejakkan kaki semula ke sekolah pasti mengujakan lebih-lebih lagi apabila dapat bertemu rakan-rakan selepas bercuti panjang.
Namun tidak kurang juga yang dilanda gementar dan gundah-gulana terutama bagi mereka yang baru bergelar 'murid sekolah'.
Sesetengah kanak-kanak berasa gugup dan takut pada hari pertama mereka berada di sekolah. Malah ada juga yang menangis dan meraung tanpa mempedulikan persekitaran.
'Simptom' ini adalah kecelaruan sementara yang berlaku ekoran masih tidak selesa dengan situasi yang baru mereka alami.
Kaunselor Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Noraniza Mohd. Noor memberitahu, kecelaruan tersebut hanyalah bersifat sementara.
''Selepas keadaan semakin selesa dan mereka mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baru itu, keadaan akan bertukar menjadi seronok.
''Biasanya selepas mempunyai kawan-kawan dan berasa selesa di sekolah, perasaan takut dan gementar akan hilang.
"Begitupun ketegasan daripada ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka juga adalah penting,'' tegasnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Noraniza berkata, perasaan ini muncul apabila anak-anak ini takut untuk menyesuaikan diri tambahan pula dengan suasana serta mempunyai guru dan kawan-kawan baru.
Dalam rata-rata kes, kata beliau, kanak-kanak yang takut ke sekolah juga kerana mengalami kesukaran untuk berkomunikasi yang menjadi penyebab ketidakselesaan.
Kebimbangan tersebut menyebabkan keengganan untuk ke sekolah.
''Apa yang penting, dalam tempoh berdepan dengan kesukaran itu, kanak-kanak memerlukan sokongan padu daripada orang terdekat terutama ibu bapa dan adik beradik,'' ujarnya bersungguh.
Menurutnya lagi, kecelaruan itu biasanya akan berlaku pada lima hari awal persekolahan.
Namun tegasnya, kecelaruan tersebut biasanya akan hilang selepas memasuki minggu kedua persekolahan serta selepas mereka mempunyai keseronokan tersendiri seperti mempunyai kawan baik.
Menurutnya, mengakui terdapat lima peratus yang mengalami kecelaruan tersebut pada kanak-kanak yang baru menjejaki ke sekolah.
Dalam pada itu, peranan ibu bapa dalam mengatasi permasalahan ini adalah penting.
"Seharusnya terangkan kepada anak-anak bahawa menghadiri ke sekolah adalah perkara penting bagi memastikan dia sentiasa dalam keadaan berilmu.
''Selain itu, alihkan perhatian kecelaruan itu kepada perkara-perkara yang menyeronokkan mereka seperti membeli makanan kegemaran serta membeli mainan kepada mereka.
''Tidak salah amalkan perkara tersebut, jika ia tidak keterlaluan namun di sebalik itu kongsikan mereka juga dengan cerita-cerita yang melibatkan persekolahan supaya mereka sukakan perasaan untuk ke sekolah,'' ujarnya lagi.
Noraniza menggalakkan ibu bapa berkongsi perasaan dengan anak-anak supaya mereka dapat meluahkan tentang alasan mereka enggan ke sekolah.
''Pertimbangkan semua kemungkinan tersebut, tunjukkan rasa simpati dan sokongan serta memahami kekecewaan yang mereka alami,'' katanya.
Namun katanya, nyatakan kepada mereka yang kita memahami kegelisahan yang dialami tetapi dalam masa yang sama harus tegas agar dia seronok ke sekolah.
Selain itu, tegas beliau lagi, cuba mengenali rakan-rakan di sekolah, keadaan ini akan memberi keseronokan kepada kedua-dua pihak kerana saling membantu pada waktu memerlukan.
''Cuba kenali siapa rakan-rakan sekelasnya, dengan cara ini ia boleh memberi keseronokan kepada mereka,'' katanya.
Sebagai ibu bapa, tidak semua tindakan mereka betul dan anak-anak harus mengikutinya, jadi biarkan mereka membuat kerja dengan cara sendiri.
''Perlu diingatkan bahawa apa yang sesuai dengan kita tidak semestinya sesuai dengan gaya kerja anak oleh itu, bebaskan
Read more...