Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






18 December 2009

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431
















KEDATANGAN tahun baru 1431 Hijrah mengingatkan kita kepada rentetan peristiwa penting yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa tersebut merupakan hari bersejarah yang cukup istimewa bagi seluruh umat Islam dan menyingkap rahsia yang tersendiri.

Ia bukan sahaja membawa kepada bermulanya perkiraan Takwim Hijrah, bahkan ia juga merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi.

Hari bersejarah ini disambut setiap tahun oleh seluruh umat Islam di Malaysia bagi memperingati peristiwa penghijrahan tersebut. Konsep sambutan kebiasaannya dengan mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri.

Sambutan sedemikian merupakan satu inisiatif dan pendekatan yang baik kepada seluruh masyarakat Islam dalam mengimbau kembali sejarah penghijrahan Rasulullah SAW.

Intipati semangat cekal yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW semasa penghijrahan baginda wajar diteladani dan diaplikasikan oleh seluruh umat Islam, terutamanya dalam mengemudi bahtera kehidupan ke arah yang lebih baik demi mencapai keredaan Ilahi.

Jika diimbas kembali sejarah penghijrahan Rasulullah SAW, pelbagai laluan sukar, risiko berbahaya dan cabaran genting yang terpaksa baginda harungi terutamanya dalam menangkis serangan musuh demi mencapai keadaan yang lebih baik.

Cabaran-cabaran yang dihadapi tidak pernah mematahkan semangat baginda, malah ia berjaya ditangani dengan baik melalui perancangan, strategi dan tindakan bijak baginda dan para sahabat sehingga membawa kepada kejayaan penghijrahan tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam konteks hari ini tiada lagi corak penghijrahan seumpama yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat. Namun demikian, konsep hijrah tetap berterusan di kalangan umat Islam. Ia tidak hanya statik kepada penghijrahan dari satu tempat ke destinasi yang lain sahaja. Bahkan ia mempunyai pengertian yang lebih luas dan menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan.

Dalam erti kata lain, konsep penghijrahan pada hari ini menjurus kepada hijrah daripada kejahatan kepada kebaikan dan daripada kebaikan ke arah yang lebih baik. Konsep penghijrahan pula perlulah secara istiqamah (konsisten) dan berterusan dalam meningkatkan iman kita menerusi usaha membersihkan sifat keji (mazmumah) dan melazimkan diri dengan sifat terpuji (mahmudah).

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik, dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahuinya.

Mereka itu ialah orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya. (Surah an-Nahl, ayat 41-42).

Jika diamati secara terperinci, konsep hijrah dewasa ini menuntut umat Islam memanfaatkan segala peluang yang ada dan meningkatkan jati diri bagi memantapkan lagi keimanan untuk menghadapi pelbagai onak duri dalam era globalisasi yang serba mencabar.

Ia merupakan aspek penting yang perlu ditekankan bagi menggapai kemajuan mengikut acuan berlandaskan syariat Islam.

Dalam konteks ini, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah diri dan berusaha memperbaiki diri serta kehidupan dari semasa ke semasa. Jika usaha memperbaiki diri serta kehidupan dapat dilaksanakan secara berterusan dan memberi impak positif, ia memberi gambaran bahawa pengertian hijrah berjaya dihayati dan dilazimkan dalam kehidupan seharian.

Titik peralihan hijrah tidak hanya terhad kepada perubahan sikap diri sendiri dan kehidupan sahaja. Malah ia juga turut merangkumi titik perubahan terhadap persekitaran yang didiami. Misalnya, sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini kita diancam oleh perubahan iklim global yang cukup serius sehingga membawa kepada beberapa bencana alam yang besar.

Masalah ini tidak pernah lekang walaupun telah banyak usaha dan persidangan dilakukan bagi memperolehi jalan penyelesaian yang sewajarnya. Malah, usaha tersebut seperti dipinggirkan dan tidak membuahkan kejayaan ekoran tidak mendapat kerjasama daripada beberapa negara termasuk negara yang tergolong sebagai ‘gergasi dunia’.

Namun demikian, persidangan yang berlangsung di Copenhagen, Denmark yang dijadualkan berakhir pada hari ini diharap dapat memacu penghijrahan sikap yang besar terhadap usaha penggemblengan isu perubahan iklim yang kian meruncing dari hari ke hari.

Daripada komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua negara anggota (dengan kehadiran 15,000 peserta dari 192 negara) sepanjang persidangan berlangsung, ia telah menampakkan petanda dan titik peralihan positif dalam tindak balas antarabangsa berhubung isu perubahan iklim.

Mesyuarat tersebut yang beragenda untuk mencapai perjanjian baru mengenai pelepasan gas rumah hijau serta mengumpul berbilion-bilion dolar dana bagi menyalurkan bantuan dan teknologi hijau kepada negara-negara miskin diharap mampu mencapai matlamatnya tidak seperti usaha-usaha sebelum ini yang hanya termateri di atas kertas dan ‘hangat-hangat tahi ayam sahaja’ dek kerana tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada semua negara anggota.

Justeru, dengan kedatangan tahun baru hijrah ini diharap agar semua negara anggota terutamanya negara-negara Islam mengambil ‘roh’ hijrah Rasulullah agar matlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan melestarikan alam sekitar dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sikap curiga antara negara miskin dan negara kaya dalam berkongsi kos pengurangan gas rumah hijau perlu dikikis agar tidak mencabuli matlamat asal penganjuran sidang kemuncak tersebut.

Sudah tiba masanya untuk setiap negara Islam menghayati pengertian konsep hijrah untuk disuai padankan dengan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kepentingan bersama. Tidak ada ruginya negara-negara pengeluar utama membuang sikap egoistik mereka demi mencapai satu penyelesaian kepada permasalahan yang tidak pernah menemui titik noktahnya.

Dengan menginjaknya tahun baru hijrah ini, setiap negara khususnya negara Islam perlu menanam azam dan tekad yang kukuh untuk berhijrah daripada teknologi yang tidak mesra alam kepada teknologi hijau yang lebih selamat dan sihat kepada alam sekitar.

Hijrah ke arah pelestarian alam ini penting bagi menghentikan rintihan derita alam yang telah lama menagih sekelumit belas ihsan dan pengertian daripada sang khalifah.

Mudah-mudahan secangkir keprihatinan khalifah bumi dapat melorongkan penghijrahan yang tulus bagi memberi nafas baru kepada alam untuk terus teguh berdiri dan menyumbang bakti kepada seluruh penghuni bumi.

Tugas pelestarian alam tidak hanya terletak di bahu tampuk kepimpinan negara semata-mata, sebaliknya ia juga perlu digalas oleh setiap individu. Sudah sampai masanya setiap umat Islam berhijrah dari segi sikap iaitu mengusir sikap pesimis terhadap alam dan menyuburkan sikap optimis dengan disusuli niat kerana Allah SWT.

Firman Allah S.W.T. bermaksud: “…Sesungguhnya aku berhijrah kepada Tuhanku” (Surah al-Ankabut, ayat 26). Bahkan, dari segi pembangunan dan kemajuan umat, ia juga perlu selari dengan tuntutan agama dan dikembangkan secara berperingkat dan teliti demi meraih hasil yang positif.

Justeru, sempena ulang tahun 1431 Hijrah, setiap umat Islam perlu menetapkan tekad dan iltizam baru sejajar dengan matlamat serta aspirasi agama, bangsa dan negara.


Wap dan asap kelihatan jelas di loji kuasa arang batu Gelsenkirchen, Jerman. Loji kuasa arang batu adalah antara pengeluar terbesar karbon dioksida yang dipercayai menyebabkan perubahan iklim. – AP

Oleh ROSMIDZATUL AZILA MAT YAMIN




PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Sains

dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia


Read more...

17 December 2009

Berjuang demi ilmu



















Pelajar-pelajar dari Malaysia di Taman Diraja Lazienki, Warsaw ketika musim luruh.

Kecemerlangan pelajar Malaysia jadi motivasi kekalkan nama baik negara

ORANG kata merantau di seberang laut menyeronokkan, namun saya rasakan keadaan sebenar tidaklah seindah apa digambarkan dan kini, hampir semua perkara yang sebelum ini hanya ditatapi di kaca televisyen, sudah dirasai sendiri.

Berjauhan dengan keluarga mematangkan diri ini dan membuatkan saya mula melihat perspektif kehidupan lebih luas dengan mengenali masyarakat antarabangsa, mengenali pelbagai masalah serta gelagat manusia di sekeliling.




Tatkala kaki melangkah di bumi Poland, saya kekok dengan kawalan keselamatan ketat di lapangan terbang dan dipandang pelik oleh masyarakat tempatan. Ketika itu, masalah komunikasi menjadi isu utama. Penduduk tempatan sangat bangga dengan bahasa ibunda mereka sehinggakan tidak mahu bertutur dalam bahasa Inggeris.

Namun, ia tidak mematahkan semangat kami meneruskan perjuangan untuk belajar selama enam tahun ditambah pula dengan kelebihan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Medical University of Warsaw.

Bagaimanapun, saya dan rakan mengikuti kelas bahasa Polish. Bahasa ini mudah dikuasai. Ia seakan-akan sama dengan bahasa Republic Czech. Ternyata, apabila mampu berbahasa Polish, masyarakatnya tempatan menjadi lebih mesra melayan kami.

Pelajar Malaysia di sini dipandang tinggi kerana prestasi cemerlang dalam akademik berbanding pelajar antarabangsa lain. Jadi, saya jadikan rekod pencapaian itu sebagai motivasi untuk mengekalkan nama baik negara.

Memandangkan komuniti Malaysia hanya kira-kira 50 orang, hubungan sesama pelajar dan Kedutaan Malaysia di Poland sangat akrab.

Awalnya, rimas mata melihat gelagat remaja di sini yang mempraktikkan budaya kuning. Namun, di sebalik semua itu, ada juga gelagat masyarakat mereka yang menyentuh hati sambil lidah memuji-muji kekaguman.

Mereka suka membaca walau di mana sekalipun termasuk di stesen bas, dalam kereta api, di taman-taman dan juga semasa menunggu lampu isyarat tatkala sedang memandu.

Berdasarkan pemerhatian, rata-rata penduduk di sini mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjalani aktiviti seperti bersenam di gimnasium selepas waktu pejabat atau kelas setiap hari. Cuaca sepanjang tahun tidak membenarkan mereka melakukan aktiviti luar kecuali semasa musim panas.

Kini, tiada lagi istilah lepak kedai mamak di tengah malam. Bak kata orang, ‘masuk kandang kambing, mengembek, masuk kandang lembu, menguak’.

Dalam kesibukan, tentu ada kelapangan. Ketika cuti, saya berjalan makan angin. Inilah peluang terbaik merantau ke negara berhampiran seperti Republik Czech, Perancis, Itali, Sepanyol, Ireland, Jerman, England dan Scotland.

Kesempatan diambil untuk mengenali budaya asing termasuklah bahasa, tarian, makanan dan cara hidup. Tidak dilepaskan juga untuk mempelajari sejarah mereka untuk dijadikan contoh teladan.

Antara pengalaman manis selama berada di sini ialah semasa kali pertama menganjurkan program Malam Kebudayaan Malaysia. Bertema ‘Glimpse of Malaysia’, kami menyajikan tetamu dengan upacara perkahwinan olok-olok tiga bangsa utama Malaysia, iaitu Melayu, Cina dan India, serta tarian tiga bangsa itu.

Berwarna-warni dan cukup meriah ditambah pula dengan kepelbagaian sajian makanan Malaysia yang disediakan sendiri pelajar dan kakitangan kedutaan. Persembahan kami menerima pujian daripada kedutaan negara lain, sekali gus diberi peluang membuat persembahan di University of Gdansk, Poland.

Satu persoalan yang kerap diajukan kepada kami ialah mengenai makanan halal. Walaupun tidak semewah pelajar di negara lain, namun, perkara itu tidak menjadi masalah bagi kami. Bekalan daging halal boleh didapati di masjid di Warsaw, di kedai makanan Arab atau menerusi Ikatan Pelajar Islam Poland.

Bagi sesetengah daripada kami, pengalaman menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan di sini agak mencabar memandangkan bulan puasa selalunya jatuh pada musim panas, bilangan jam pada hari siangnya agak panjang, iaitu kira-kira 16 jam.

Tambahan pula, bagi mereka yang tidak dapat pulang beraya di tanah air bersama keluarga tersayang, bercucuran air mata tatkala lagu raya berkumandang. Sebak tetap sebak, namun, itulah nasib merantau di negara orang.



•Penulis adalah pelajar tahun kedua, Medical University of Warsaw, Poland
Oleh Nurul Sazwani Mohd Nor Aldin
upen@bharian.com.my
Read more...

16 December 2009

Bukan salah teknologi























ISU pemanasan global sering menjadi topik hangat ditambah pula sogokan satu demi satu berita kemusnahan dan bencana alam malah ia turut menjadi filem yang mengingatkan manusia betapa dunia sudah tiba ke minit yang terakhir.

ISU pemanasan global sering menjadi topik hangat ditambah pula sogokan satu demi satu berita kemusnahan dan bencana alam malah ia turut menjadi filem yang mengingatkan manusia betapa dunia sudah tiba ke minit yang terakhir.

Kenaikan suhu di seluruh dunia dan penggunaan bahan kimia berlebihan menyakitkan alam yang bukan lagi muda usianya.


Suatu ketika dulu, aliran tenang air sungai menyejukkan mata memandang dengan kehidupan flora dan fauna yang penuh kehijauan menemani hidup manusia sejak jutaan tahun lamanya.

Kini, ia terhakis atas nama teknologi dan prasarana yang mengubah segala-galanya sehingga menyukarkan kehidupan manusia pada generasi akan datang.

Manusia yang sibuk mengejar kemewahan dan keselesaan hidup hampir alpa terhadap tanggungjawab mereka dalam memastikan flora dan fauna ini sentiasa terpelihara daripada ancaman tamak yang membahayakan.

Tidak dinafikan, teknologi adalah keperluan dalam menelusuri hidup manusia namun dalam masa sama perlu memastikan pencemaran udara, air dan alam sekitar tidak berleluasa pada tahap yang membimbangkan.

Teknologi tidak harus dipersalahkan kerana ia bukan bebanan kepada bumi. Hakikatnya, manusia sendiri yang menjadi punca utama berlaku semua bencana ini.

Tangan manusia sendiri tidak pandai menggunakan teknologi sebaik demi keselamatan bumi sebagai tempat bergantung hidup mereka dianugerahkan Tuhan yang menawarkan planet bagi tujuan perlindungan .

Antara masalah pencemaran yang paling ketara ialah penebangan hutan secara berleluasa, hakisan tanah berpunca dari pembangunan yang tidak terancang, pencemaran air sungai dan laut, kemusnahan kepelbagaian biologi dan kandungan udara yang berjerebu.

Semua aktiviti dan kejadian ini akan mengakibatkan fenomena seperti penipisan lapisan ozon, peningkatan suhu dunia, bekalan air minuman yang tidak selamat, kepupusan sumber alam flora dan fauna dan juga pendedahan kepada tahap kualiti udara yang tidak sihat.

Pencemaran alam sekitar yang tidak terkawal ini mendatangkan kesan negatif bukan saja kepada manusia bahkan lain-lain makhluk di muka bumi ini.

Justeru, teknologi yang difitnah sebagai punca itu memainkan peranan penting dalam memelihara bumi di samping meneruskan fungsi sebagai entiti pemudah kehidupan manusia tanpa mencacatkan planet ini.

Manusia sebagai penggerak bumi perlu memastikan teknologi seharian yang digunakan mereka selamat dan menjejaskan nyawa planet ini.

Antaranya, barangan elektronik seperti mesin basuh, peti sejuk, penghawa dingin dan peralatan audio visual yang menjadi sebahagian daripada keperluan isi rumah masa.

Walaupun produk berkenaan memberikan kemudahan kepada pengguna, ia juga mengeluarkan bahan yang boleh mencemarkan alam sekitar, sekali gus mampu memendekkan jangka hayat bumi.

Menyedari hakikat ini, beberapa negara sudah mula memberikan penekanan terhadap pembangunan produk mesra alam sekitar bagi mengurangkan kesan yang boleh membahayakan bumi.

Program EnergyStar seperti diperkenalkan di peringkat global dengan sasaran mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau atau penggunaan Label Penarafan Tenaga yang menyediakan maklumat penggunaan tenaga perlu diberi perhatian oleh pengguna.

Pengguna perlu menilai kesan penggunaan produk yang tidak memberi kesan kepada muka bumi dan bukan mementingkan kecantikan produk atau harga semata-mata.

Selain itu, peranan syarikat pembangunan produk kelengkapan rumah dan elektronik perlu diambil kira bagi memastikan mereka tidak mengabaikan keperluan menghasilkan produk yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Panasonic adalah contoh syarikat yang memberikan komitmen mereka menerusi polisi alam sekitar syarikatnya sendiri.

Syarikat itu sudah membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti penjagaan alam sekitar termasuk pengeluaran produk mesra alam sekitar dan aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

Menerusi produk mesra penggunanya atau lebih dikenali `Eco Ideas', Panasonic mengetengahkan tujuh produk yang dibangunkan berasaskan inisiatif eko iaitu panel paparan plasma (PDP), sistem bunyi teater rumah, kamera digital, kamera video digital, penghawa dingin, peti sejuk dan mesin basuh.

Untuk peti sejuk dan mesin basuh, ia didatangkan dengan pelbagai ciri teknologi mesra eko terkininya yang mampu mengurangkan kesan kerosakan di muka bumi.

Peti sejuk Panasonic dibangunkan dengan teknologi pembalikan yang dapat mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 20 peratus berbanding model sebelumnya.

Ia juga dibangunkan dengan panel insulasi vakum (U-Vacua) yang dapat meningkatkan kadar insulasi dalamannya sebanyak 10 kali.

Penggunaan kaedah itu juga dapat memastikan makanan yang disimpan lebih selamat kerana bebas daripada bahan berbahaya seperti raksa.

Reka bentuk dram mesin basuh condong yang diperkenal pada produk Panasonic pula mampu mengurangkan penggunaan air sebanyak 50 peratus berbanding rekaan menegak atau konvensional.

Mesin basuh yang dilengkapi dengan pam haba penjimatan tenaga berkelajuan tinggi termaju Panasonic itu juga adalah inovatif yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga.

Keperluan menggunakan produk mesra eko adalah perlu bagi memastikan pengeluaran karbon dioksida dapat dikurang dan pembaziran air serta tenaga elektrik dihadkan.

Sikap dan tabiat manusia terutama masyarakat di negara ini titik penting untuk menyelamatkan bumi.

Ketua Pegawai Operasi, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Piarapakaran Subramaniam pernah menjelaskan bantuan teknologi dapat merubah gaya hidup pengguna yang memelihara bumi.

"Satu daripada perubahan gaya hidup yang perlu diamalkan sekarang ialah penjimatan tenaga kerana apabila kita mengurangkan bil bahan api atau elektrik, kita sebenarnya memainkan peranan membantu memulihara bumi.

"Dalam satu abad ini banyak berlaku kecairan ais di kutub, peningkatan suhu purata bumi yang mendadak dan kenaikan aras laut," katanya.

Katanya, kebanyakan rumah dan pejabat masih menggunakan tenaga daripada

stesen jana kuasa berasaskan karbon seperti diesel dan gas asli yang melepaskan banyak gas karbon dioksida.

Selain itu, penggunaan sel tenaga perlu diambil kira bagi memastikan harga elektrik dijana berpatutan dan mampu mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang menjadi punca pemanasan global.

Di Tokyo, ribuan penduduk di kawasan kekurangan bekalan kuasa di Jepun mula beralih menggunakan sel tenaga untuk menerangi dan memanaskan kawasan rumah mereka.

Kediaman rasmi Perdana Menteri negara pula menjadi rumah pertama dilengkapkan dengan sel tenaga itu pada 2005, kira-kira 3,000 penduduk lain turut mendaftar untuk memasang peralatan berbentuk kotak kelabu itu di luar rumah mereka.

"Konsep sel tenaga ini diketahui sejak penghujung abad ke-14 lagi tapi mula digunakan pada 1965 oleh kapal angkasa Amerika Syarikat (AS), Gemini 5," kata Naib Presiden Kanan Nippon Oil Corp, Michihiro Mohri.

Sel tenaga mampu menghasilkan kuasa elektrik dan kuasa haba menerusi tindak balas kimia di antara oksigen dan hidrogen.

"Hidrogen boleh didapati daripada pelbagai sumber seperti hidrokarbon, gas asli, biomas atau sampah dan ia digunakan untuk menghasilkan metana," katanya.

Selain menghasilkan tenaga elektrik, sel khas itu membekalkan bekalan air panas untuk rumah. Sel bersaiz kecil itu juga tidak memiliki motor dan bertindak dengan senyap.

Jepun yang hampir tidak memiliki sumber tenaga asli, cuba mengurangkan kebergantungan mereka terhadap import minyak yang semakin mahal dengan

membangunkan teknologi penghasilan sumber tenaga alternatif.

Projek sel tenaga yang dibiayai kerajaan itu turut membabitkan syarikat teknologi dan tenaga Jepun seperti Nippon Oil, Tokyo Gas, Sanyo Electric, Toshiba, Matsushita Electric Industrial, Mitsubishi Heavy Industries dan Toyota Motor.

Pada 2006, Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan sebanyak 18,956 kes yang menjadi punca pencemaran sungai kebanyakannya terdiri daripada loji kumbahan (48 peratus), industri pembuatan (45 peratus), ladang ternakan (4.58 peratus) dan industri berasaskan pertanian (2.6 peratus).

Koliform dan ammonia adalah antara punca pencemaran yang boleh menyebabkan penyakit serius jika air ini digunakan secara terus.

Mencegah manusia daripada menghasilkan sisa kumbahan memang mustahil namun kita boleh mengeksploitasinya sebagai sumber tenaga.

Terdapat projek di India yang mengekstrak gas metana daripada tangki septik terus ke rumah untuk kegunaan memasak dengan proses penapaian dilakukan terhadap sisa kumbahan.

Ia menukarkan 75 peratus daripada Keperluan Biokimia Oksigen (BOD) secara anaerobik (tindak balas metabolisma dalam sel tanpa oksigen) kepada gas metana seterusnya ia dikumpulkan melalui paip.

Melalui kaedah ini, pencemaran air oleh sisa kumbahan boleh dikurangkan sebanyak 25% melalui rawatan di loji.

Manakala, lebih 3.6 juta penduduk Yokohama, Jepun menghasilkan sejumlah 16,000 meter padu sisa kumbahan setiap hari yang ditukar menjadi sumber tenaga apabila loji kumbahan ditransformasikan menjadi penjana elektrik.

Projek mesra alam itu membolehkan 70 peratus gas metana yang diekstrak digunakan untuk menghasilkan 30 juta kilowatt jam tenaga elektrik untuk kegunaan rawatan kumbahan.

Bakinya pula digunakan untuk rawatan sisa melalui pembakaran untuk menghasilkan abu yang kemudiannya digunakan untuk tujuan penambahbaikan tanah dan penghasilan simen.

Tenaga solar pula akan terus dijadikan teknologi yang mampu merubah struktur penggunaan tenaga di negara memandangkan matahari adalah sumber utama di negara ini dengan penerimaan cahaya mencukupi jika diukur dengan faktor geografi.

Malaysia terletak di kawasan khatulistiwa iaitu kawasan muka bumi yang paling hampir dengan matahari dan menerima paling banyak cahaya matahari.

Cahaya matahari yang terus memancar boleh menghasilkan elektrik secara semula jadi mampu digunakan industri automotif atau perumahan.

Contohnya, penggunaan teknologi hibrid yang menggunakan bateri dicas boleh mengambil cahaya matahari sebagai sumber utama menghasilkan tenaga.

Pendek kata, pemanasan global bukan ketakutan kepada penduduk dunia jika mereka sendiri pandai memanfaatkan sumber yang ada di permukaan planet sebagai penerus hidup dan tidak menyalahkan teknologi semata-mata.
Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my

Read more...

15 December 2009

Tulang kuat untuk kanak-kanak hebat















AKTIVITI fizikal di luar rumah bukan sahaja membantu menguatkan tulang, malahan meningkatkan penghasilan vitamin D melalui pendedahan kepada cahaya matahari.

BERIKAN anak anda tulang yang kuat untuk melengkapi minda cerdas mereka. Para ibu sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anak.

Walaupun perkembangan otak adalah penting, para ibu tidak seharusnya mengabaikan kesihatan tulang anak mereka.

Tambahan pula, membina tulang yang kuat bukan sahaja menyumbang kepada keseluruhan perkembangan anak anda malah ianya juga penting untuk mencegah osteoporosis di masa hadapan.

Bermula awal

Penjagaan tulang perlu bermula sejak awal lagi! Dan zaman kanak-kanak adalah waktu yang paling sempurna untuk memulakannya kerana ketika inilah tulang terbentuk dengan pantas.

Lebih banyak jisim tulang yang berjaya dikumpulkan, lebih kuatlah tulang apabila ia membesar.

Tanpa tulang, anak anda tidak mungkin dapat melakukan semua aktiviti yang digemarinya. Mereka tidak mungkin dapat berlari, melompat atau bermain.

Tulang bukan sekadar menyokong tetapi juga melindungi organ-organ yang lain. Ia juga membolehkan anak anda bergerak dan berperanan sebagai tempat penyimpanan mineral seperti kalsium dan fosforus, selain bertindak sebagai persekitaran di mana sel darah dihasilkan.

Anak anda memerlukan pemakanan yang betul dan senaman yang secukupnya untuk memastikan tulang yang sihat dan kuat.

Perkara pertama yang perlu anda pastikan adalah anak anda mendapat kalsium secukupnya untuk keperluan hariannya.

Saranan Pengambilan Nutrien untuk warganegara Malaysia adalah 500 miligram (mg) bagi kalsium untuk kanak-kanak berumur setahun hingga tiga tahun, 600 mg untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dan 700 mg untuk yang berumur antara tujuh hingga sembilan tahun.

Kalsium

Segelas susu boleh memberikan anak anda kira-kira 250 mg ke 500 mg kalsium. Jadi, pastikan anak anda meminum dua gelas susu sehari untuk memberikan mereka kalsium yang mencukupi setiap hari.

Janganlah susah hati jika anak anda tidak sukakan susu. Walaupun ia sumber kalsium yang terbaik, terdapat pelbagai pilihan untuk mendapatkan kalsium bagi anak anda.

Sebagai contoh, keju, tairu, aiskrim, susu soya dan sesetengah jenis minuman (seperti minuman koko dan malt) mungkin mengandungi kalsium yang hampir sama dengan segelas susu.

Kebanyakan makanan lain seperti bijirin sarapan dan biskut juga kini diperkaya dengan kalsium. Jadi, ingatlah untuk membaca label makanan untuk mengenalpasti kandungan kalsiumnya.

Bermain & vitamin D

Bermain di luar merupakan sebahagian dari proses membesar dan ini merupakan senaman yang baik untuk anak anda.

Senaman menahan berat yang memaksa badan memikul beratnya sendiri seperti berjalan, berlari, bermain tenis atau badminton boleh merangsang pertumbuhan tulang.

Hasilnya, tulang akan menjadi lebih kuat dan tumpat. Jadi, bergembiralah jika anak anda suka bermain bola sepak lewat petang di padang.

Itu baik untuk tulangnya!

Paling tidak pun, bermain di luar lebih baik dari hanya terperap di dalam rumah. Zaman teknologi kini boleh membahayakan tulang anak anda kerana lebih ramai kanak-kanak kini memilih berhibur dengan televisyen, internet dan permainan video berbanding bermain di luar untuk menggerakkan tulang dan badan mereka.

Cubalah galakkan anak anda untuk menjadi lebih aktif dan tetapkan had masa untuk aktiviti pasif di rumah.

Satu lagi keburukan bermain di dalam rumah adalah kekurangan vitamin D. Anak anda memerlukan vitamin ini kerana ia membantu dalam penyerapan kalsium.

Vitamin D boleh diperolehi dari makanan diperkaya seperti susu, keju, mentega dan marjerin tetapi badan kita boleh menghasilkannya sendiri apabila terdedah kepada cahaya matahari.

Jadi, biarkanlah anak anda bermain di bawah cahaya matahari untuk 10 hingga 20 minit setiap hari.

Mereka bukan hanya sekadar dapat bersenam malahan akan mendapat vitamin D juga.

Walaupun begitu, cara terbaik untuk kanak-kanak belajar adalah apabila ibubapa memberikan contoh yang baik kepada mereka.

Anak anda menganggap anda sebagai contoh yang perlu diikuti dan sudah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan mereka mempelajari tabiat yang baik dari anda.

Berikut adalah beberapa cara untuk anda memupuk penjagaan tulang yang baik bagi anak anda di rumah:

l Menyediakan snek yang kaya dengan kalsium

l Menghidangkan makanan sekali dengan susu

l Mengelakkan dari memberi minuman ringan kepada anak-anak

l Keluar bersiar-siar atau bersukan dengan anak anda apabila ada masa lapang

Setiap ibu mahukan anak-anak mereka bijak dan sihat. Walaubagaimanapun, ada yang terlalu menekankan perkembangan otak sehinggakan mereka lupa tentang kepentingan badan yang sihat.

Lagipun, kanak-kanak yang sihat belajar dengan lebih baik daripada mereka yang kurang sihat. Kesihatan tulang paling penting pada usia ini.

Mereka memerlukan tulang yang kuat bukan sahaja untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka malahan untuk manfaat di masa hadapan.

Semuanya dalam Gen

Osteoporosis adalah penyakit yang boleh diwarisi. Jika salah seorang dari ahli keluarga anda menghidapi osteoporosis, besar kemungkinan anda dan anak-anak anda juga berisiko menghidapinya.

Osteoporosis adalah penyakit kemerosotan tulang yang menjadikan tulang lebih nipis dan cenderung kepada keretakan.

Dan walaupun tulang kanak-kanak kembali pulih selepas keretakan, ianya tidak sama jika anda berusia lebih 50 tahun.

Anda perlu hidup dengan keretakan itu dan inilah kesan osteoporosis ke atas anda. Jadi anda perlu mengambil langkah untuk mencegahnya dari berlaku.

Penjagaan tulang yang baik bermula dari zaman kanak-kanak, jadi anda perlu memastikan bahawa anak-anak anda mengambil hidangan yang sihat dan seimbang serta kaya dengan kalsium dan mendapat senaman secukupnya di bawah cahaya matahari.

Mulakan sekarang, dan buatlah perubahan dalam hidup anak anda!

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.


Read more...

14 December 2009

Beban pelajar kita



























SEJARAH Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapati jumlah mata pelajaran yang perlu diambil pelajar sentiasa tidak konsisten, diubah dari semasa ke semasa.


Sejak sistem pensijilan terbuka dilaksanakan bermula 2000, ia tidak mengehadkan jumlah mata pelajaran calon SPM menyebabkan ada pelajar mengambil sehingga 20 subjek.


Bagaimanapun, bagi mengelak sebarang masalah dengan keputusan A1 yang tidak konsisten dalam kalangan pelajar cemerlang selain memudahkan Kementerian Pelajaran membuat perbandingan, jumlah subjek calon SPM dihadkan kepada 10 subjek saja bermula tahun depan.

Bagaimanapun, di atas permintaan banyak pihak, Kabinet bersetuju membenarkan calon SPM mengambil tambahan dua subjek, tetapi keputusan keseluruhan hanya dikira berdasarkan 10 mata pelajaran utama.

Ini memberi pilihan kepada pelajar sama ada mahu mengambil Bahasa Cina atau Tamil, Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan Tamil.

Persoalannya, berapakah subjek sebenarnya yang paling sesuai diambil pelajar? Adakah dengan memaksimumkan subjek untuk calon SPM ini adalah jalan terbaik?

Atau sistem pembelajaran sekolah menengah perlu dirombak dan berteraskan kepada pembelajaran di universiti supaya pelajar tidak tertekan dengan subjek yang banyak?

Bekas pengetua sebuah sekolah kerajaan, Yahya Tahrin, berkata keputusan memaksimumkan 10 subjek diambil calon SPM memadai dan penambahan dua subjek itu tidak memberi tekanan kepada pelajar.

Beliau yang mempunyai 32 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan mengakui sistem pembelajaran terbaik selain menjamin masa depan pelajar ialah melalui sistem pengkhususan.

"Saya menyokong sistem pengkhususan kerana ia memudahkan pelajar membuat pilihan ketika memohon memasuki menara gading kelak.

"Kebanyakan pelajar di universiti mengikuti sesuatu program bukan berlandaskan minat, tetapi kerana mendapat tawaran dan keliru ketika membuat pilihan kursus.

"Ini memberi impak kepada masa depan pelajar kerana ramai mungkin gagal atau mendapat keputusan kurang cemerlang kerana mereka belajar kursus yang mereka tidak minat," katanya.

Justeru, melalui sistem pengkhususan yang diterapkan bermula di tingkatan empat, pelajar tahu hala tuju dan memberi fokus untuk mencapai cita-cita apabila memasuki universiti nanti.

"Apabila pelajar mempunyai hala tuju pasti proses pembelajaran menjadi mudah serta berjalan lancar selain mereka sendiri berusaha meneroka bidang itu," katanya.

Pengkhususan dalam sesuatu bidang, katanya sudah lama diamalkan di luar negara dan buktinya, lahir tokoh terkenal seperti Tiger Woods.

"Di Malaysia, pelajar tidak diberi peluang membuat pengkhususan sebaliknya perlu belajar pelbagai ilmu.

"Sistem pelbagai ilmu yang diterapkan dalam pendidikan negara bukan tidak bagus, tetapi pelajar kadangkala tertekan dan tidak fokus," katanya.

Pengalamannya ketika di sekolah menengah mendapati pelajar yang hanya mengambil tujuh subjek untuk SPM pun tidak mampu menghadapinya.

Pelajar yang tertekan dengan pembelajaran dan tidak minat dengan subjek yang diambil lebih rela ponteng sekolah.

"Syarat wajib masuk universiti hanya mengambil kira lima subjek, tetapi kita memaksa pelajar mengambil antara 10 dan 12 mata pelajaran.

"Tidak hairan jika ada pelajar yang cemerlang turut gagal dan tersalah pilih kursus, akhirnya masa depan mereka terjejas," katanya.

Mengenai sistem peperiksaan SPM terbuka yang memberi kebebasan pelajar memilih subjek elektif, katanya sistem itu sedikit kelam-kabut pelaksanaannya.

"Saya mendapati pelajar tidak mempunyai arah tuju.

"Jika di tingkatan tiga, pelajar tidak minat belajar, jangan paksa mereka menumpukan kepada akademik sebaliknya beri galakan ke sekolah vokasional atau teknik," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Profesor Madya Datuk Mohd Ali Hassan berkata jumlah subjek yang ditetapkan kementerian itu paling wajar dan tidak membebankan pelajar.

Beliau berkata, pelajar boleh mengambil seberapa banyak subjek dalam peperiksaan, namun ia dihadkan kepada 12 subjek bagi melahirkan pelajar berkualiti.

"Sekarang ini, ramai pelajar yang berlumba-lumba untuk mengumpul gred A, tetapi dalam sistem pendidikan apa yang kita mahu adalah kualiti bukannya kuantiti.

"Kita mahu pelajar lebih mendalami dan memahami, bukan belajar untuk gred A atau lulus peperiksaan," katanya.

Selain itu, langkah memaksimumkan 12 subjek itu bertujuan memberi peluang pelajar menikmati waktu muda mereka.

"Jika pada usia remaja, mereka terlalu menumpukan kepada akademik, bila pula pelajar dapat menikmati keseronokan usia muda bersama rakan-rakan.

"Paling penting, keputusan ini untuk meringankan beban ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tambahan," katanya.

Apabila ditanya mengenai kewajaran sistem pembelajaran sekolah menengah dirombak dan dilaksanakan seperti di pusat pengajian tinggi (IPT), katanya langkah itu masih terlalu awal.

"Di IPT, mereka mengamalkan sistem pengkhususan, tetapi kita mahu pelajar di sekolah mengutip sebanyak mungkin ilmu pengetahuan, bukannya mengkhusus dalam satu bidang.

"Selepas SPM, mereka boleh membuat pengkhususan bidang mana yang sesuai untuk diterokai," katanya.

Katanya, pelajar tidak akan keliru atau tersalah pilih program selepas SPM kerana di di sekolah, mereka dibekalkan dengan pelbagai ilmu.


SEJARAH Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapati jumlah mata pelajaran yang perlu diambil pelajar sentiasa tidak konsisten, diubah dari semasa ke semasa.Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
Read more...

Tangani kemurungan



















AMALKAN gaya hidup sihat. Tidak terkecuali, lakukan aktiviti senaman ringan sekurang-kurangnya berjoging bagi mengeluarkan peluh.
AMALKAN gaya hidup sihat. Tidak terkecuali, lakukan aktiviti senaman ringan sekurang-kurangnya berjoging bagi mengeluarkan peluh.

Ia mungkin nasihat yang sering didengari, namun itu antara cara mengelak seseorang daripada terjebak masalah kemurungan, kata penasihat psikiatrik Pusat Perubatan Sunway, Dr Ting Joe Hang.

Menurutnya, individu yang mengalami masalah kemurungan menyebabkan fikiran mereka terganggu hingga menjejaskan hubungan sosial.

Mereka juga akan berasa sedih berlebihan, cepat letih, buntu fikiran dan rasa rendah diri. Selain itu, mereka lazimnya mengalami gangguan ketika tidur, tiada selera makan dan putus asa.


Menurutnya, kebanyakan individu tidak tampil ke depan untuk berhadapan dengan masalah ini kerana beranggapan ia sesuatu yang remeh dan boleh dirawat dengan masa.

Malah individu terbabit beranggapan jika berjumpa pakar, masyarakat akan memandang serong dan menganggap mereka mempunyai masalah jiwa.

"Rasa malu untuk bersuara mengenai masalah dialami banyak mendorong mereka menyembunyikan hakikat sebenar hingga membawa kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga dan rakan.

"Malah ada antara pesakit berada dalam peringkat kemurungan teruk hingga boleh menyebabkan mereka membuat keputusan untuk membunuh diri," katanya ketika ceramah mengenai cara menangani masalah kemurungan di pusat perubatan berkenaan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Walaupun tidak banyak dilaporkan, menurutnya, ia antara kesan terburuk yang boleh berlaku kepada pesakit kemurungan melampau.

Ini menjadikan kemurungan sebagai masalah global yang boleh dialami semua peringkat masyarakat tanpa mengira bangsa dan pekerjaan.

Dianggarkan 15 hingga 20 peratus daripada penduduk di Malaysia mengalami masalah kemurungan. Ini menunjukkan penyakit berkenaan semakin menghantui masyarakat setempat.

Golongan yang kerap dikaitkan dengan masalah kemurungan adalah wanita kerana mereka mengalami kadar perubahan peringkat hormon terutama selepas mengalami haid, hamil, selepas bersalin, pramenopaus dan putus haid.

Atas dasar perubahan hormon ini, ia menyebabkan wanita paling ramai didapati mengalami kemurungan yang sedikit sebanyak memberi banyak tekanan dalam kehidupan seharian mereka.

Bagaimanapun, katanya, faktor genetik turut sama berperanan menyebabkan kemurungan selain faktor persekitaran dan gaya hidup.

"Ia boleh diwarisi jika ada antara ahli keluarga yang pernah mengalami masalah ini," katanya.

Selain itu Ting berkata, jangan terlalu memberi tekanan kepada diri untuk mencapai sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan kerana ia boleh memberi kesan kepada emosi dan perasaan.

Dia menyarankan seseorang itu sentiasa membuat pertimbangan sewajarnya dalam keadaan tenang tanpa perlu tergesa-gesa bagi mengelakkan masalah tidak diingini pada masa depan.

"Justeru, kita seharusnya mendapatkan rehat yang cukup dan tidak terlalu berfikiran negatif sepanjang masa.

"Jalani hidup secara sederhana dan amalkan persaingan sihat sesama sendiri untuk mengelak tekanan terhadap diri sendiri," katanya.


Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my


Read more...

13 December 2009

Apabila Facebook menjadi fenomena dunia






















Terdapat hampir 350 juta pengguna Facebook di seluruh dunia sekarang ini.

AFILA dan Azira, masing-masingnya berusia 23 dan 20 tahun mungkin gelihati bila mendapati 'akhirnya' pak usu mereka menyertai laman sosial interaktif, Facebook pada April lalu iaitu pada tahun kelima kewujudan Facebook. Ini kerana hanya beberapa minggu sebelum itu, bapa saudara mereka ini 'sibuk menasihati' mereka supaya berhati-hati di alam maya dan tidak mendedahkan identiti diri.

Faktor kedua mendorong penulis menyertai Facebook ialah kerana 'dipujuk-paksa' oleh rakan yang enggan menghantar gambar kami di Phuket menggunakan e-mel, sebaliknya meminta mengambilnya dari akaun Facebook miliknya.

Maka penulis pun membuka akaun Facebook. Dan jika anda pun baru menyertai Facebook dalam waktu yang bersamaan dengannya, ketahuilah kita membentuk 350 juta pengguna Facebook di seluruh dunia sekarang ini.

Angka luar biasa besar itu yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pada 1 Disember lalu, tidaklah memeranjatkan kerana minat untuk memiliki akaun Facebook sudah menjadi fenomena di mana-mana.

Meskipun mendapat saingan daripada beberapa rangkaian sosial lain seperti Friendster dan Twitter, sekurang-kurangnya di Malaysia Facebook kekal teratas sebagai pilihan utama.

Menurut mashable.com, Facebook mencatat sekurang-kurangnya 500,000 pengguna setiap hari. Ini kerana untuk menjadi pengguna adalah cukup mudah dan percuma.

Banyak juga kelebihan yang boleh diperoleh daripada Facebook seperti menemukan kembali rakan-rakan sekolah yang berdekad lamanya terpisah, menyambung persahabatan dan membuat kawan baru, walaupun penulis menolak beberapa permintaan bila mendapati mereka lahir sebelum 1991.

Bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa Facebook hanyalah satu daripada bentuk permainan Internet yang melekakan, ia kini diguna secara meluas untuk tujuan komersial bagi sektor perniagaan dan platform propaganda bagi entiti politik untuk sampai ke sasaran audiens.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan akaun Facebook baru-baru ini, ia menjadi tajuk berita utama media.

media

Kebelakangan ini, media-media arus perdana Barat tidak teragak-agak memetik kenyataan seseorang individu atau selebriti dalam Facebook sebagai bahan berita. Bulan lalu, bekas calon Naib Presiden AS, Sarah Palin menulis dalam akaun Facebook kepada sejuta 'rakan-rakannya', membidas penggunaan gambarnya yang berseluar pendek di muka depan sebuah majalah. Jelas, Palin tidak memerlukan agensi perhubungan awam lagi.

Pada Rabu lalu, Facebook melaksanakan kawalan tambahan bagi privasi atau 'bebas dari gangguan atau perhatian awam'. Pengguna Facebook tentu perasan kepada soalan mengenai penetapan arahan pada kerahsiaan butir-butir peribadi yang terpampang semasa membukanya minggu ini.

Kawalan tambahan itu terpaksa dilakukan oleh Facebook setelah menerima banyak kritikan mengatakan syarikat itu tidak cukup sensitif terhadap privasi pengguna. Usaha Facebook sebelum ini menerusi inisiatif Beacon turut dikritik, apabila pengguna mendapati mereka secara tidak semena-mena menjadi 'orang penghubung' bagi servis atau laman-laman web dalam Facebook yang kerap mereka sertai.

Kawalan tambahan ini memberikan pengguna alat yang mudah tetapi lebih berkuasa untuk mengehadkan perluasan maklumat peribadi mereka. Paling signifikan dalam penambahbaikan itu ialah keupayaan untuk mengehadkan sesiapa untuk melihat tulisan atau gambar atau video yang disiarkan oleh pengguna di dalam rangkaian termasuk. Maknanya, tiada lagi sesiapa yang tidak berkenaan (terutama pengiklan) daripada menyalahgunakan maklumat peribadi pengguna.

Dalam konteks ini, sesetengah pejuang privasi berkata, senarai rakan-rakan ini sama sensitif dengan maklumat peribadi kerana dengan meninjau pada senarai rakan-rakan yang dikenali itu pun boleh mendedahkan maklumat sulit.

Mengapa Facebook melakukan perubahan ini? Jawapannya mudah. Ia adalah atas nama perniagaan semata-mata dan elemen utama perniagaan Internet ialah menarik lebih banyak trafik dan mencipta dagangan daripada sekurang-kurangnya satu maklumat yang didedahkan oleh pengguna.

Satu lagi tarikan dalam Facebook ialah permainannya seperti FarmVille - yang secara umumnya begitu mudah dimainkan tanpa perlu banyak berfikir, asalkan rajin 'bercucuk tanam' atau realitinya, menekan tetikus berjam-jam.

Menurut Daniel Lyons menerusi artikelnya dalam Newsweek, permainan FarmVille walaupun mengasyikkan, ia sebenarnya meletakkan pengguna dalam keadaan 'dipergunakan' secara tidak langsung oleh kelompok yang diistilahkan sebagai Scammers.

Facebook meraih keuntungan dengan menjual ruang iklan, sesetengahnya kepada scammers," katanya.

Oleh JOHARDY IBRAHIM

Read more...

12 December 2009

Saksi keindahan hujan meteor geminid hiasi langit awal pagi esok























HUJAN meteor menghiasi pusat kaji bintang Beijing, China pada 1998. Fenomena serupa dijangka berlaku pada esok atau Isnin jika melihat ke arah sebelah timur terutama awal pagi.

SATU daripada fenomena cakerawala menarik sepanjang tahun ini ialah hujan meteor geminid. Meteor adalah tahi bintang. Tahi bintang boleh kelihatan saban malam ketika ruang angkasa tidak dilindungi awan atau diganggu oleh cahaya lampu.

Tahi bintang ini kelihatan sekali sekala, tidak kelihatan seperti datang menurun dalam jumlah yang banyak. Jika anda ingin melihat tahi bintang dalam jumlah yang banyak, buatlah perancangan dan persediaan pada awal pagi esok atau Isnin ini sekitar jam 2 pagi hingga ke fajar menyinsing.

Itulah waktu kemuncak hujan meteor geminid yang pasti akan berlaku seperti diduga oleh ilmuwan astronomi. Di seluruh dunia, berjuta-juta peminat astronomi sama ada di kalangan amatur atau profesional akan turut mendongak ke langit ke arah Timur menghadap gugusan Gemini bagi menyaksikan satu sajian alam semesta yang menawan ini.



Tahi bintang geminid boleh dilihat di pelosok mana saja, dari kedua-dua hemisfera selatan dan utara dunia. Sebenarnya meteor geminid sudah boleh kelihatan mulai selesai waktu senja tetapi kekerapannya atau pesta tahi bintang geminid akan berlaku selepas tengah malam dan memuncak pada waktu pagi.

Pada awal pagi, tarikh berkenaan dijangkakan kita boleh melihat sekurang-kurangnya 100 tahi bintang dalam tempoh waktu sejam. Fenomena ini bagaikan menghiasi ruang langit yang gelap itu. Ia kelihatan indah dan fenomena ini dikatakan sebagai suatu sajian cakerawala paling menarik bagi menutup tirai fenomena astronomi untuk 2009.

Kita akan dihidangkan satu pertunjukan bola api kecil yang menyeberangi langit. Bagi tahun ini ia berlaku ketika anak bulan belum muncul, bererti tiada sinaran bulan yang boleh menjejas penglihatan kita terhadap fenomena itu.

Tahun lalu, kemuncak hujan meteor geminid terjadi pada saat serentak purnama penuh. Sajian hujan meteor geminid ini akan mengatasi hujan meteor perseid dan leonid yang berlaku masing-masing pada Ogos dan November lalu.

Apa yang sebenarnya berlaku tatkala fenomena ini? Apabila bumi berputar dan menghadap buruj Gemini, maka akan kelihatan tahi bintang turun bagaikan hujan yang terang lagi jelas seakan-akan bersumber daripada gugusan itu, lantas namanya meteor geminid.

Tahi bintang berupa kerlipan cahaya yang terang itu berhayat tidak sampai dua saat. Ia bergerak dengan kelajuan sekitar 35 kilometer sesaat. Kelajuan meteor geminid menembusi atmosfera bumi dikategorikan sebagai meteor yang berkelajuan sederhana.

Jika tahi bintang itu sampai ke daratan bumi, ia menjadi meteorit. Jika kita halusi cahaya meteor geminid terpantas, ia kelihatan berwarna kuning dan biasanya pula berwarna kebiruan. Jaluran cahaya itu adalah akibat serpihan daripada objek langit, digelar 3200 phaethon, juga dinamakan sebagai komet purba yang sudah mati memasuki atmosfera bumi.

Pergeseran itu menyebabkan terjadinya jaluran cahaya di angkasa bumi. Serpihan itu yang terdiri daripada ais atau debu tidak tahan lama. Ia terbakar dan meninggalkan kesan jalur cahaya yang indah dilihat.

Meteor geminid dikesan sejak 150 tahun dulu dan dipercayai setiap tahun ia akan bertambah jelas dengan syarat cuaca ketika melihatnya adalah gelap gelita. Pada tahun ini, objek 3200 Phaethon berada pada jarak 18 juta kilometer dari bumi, jarak terdekat pernah ia hampiri. Objek langit 3200 Phaethon adalah sebesar saiz bumi.

Jadi bersedialah menunggu detik awal pagi esok dan Isnin ini. Pada waktu itu nanti, hujan meteor geminid pasti terjadi. Hujan meteor geminid adalah peristiwa yang terjadi setiap tahun dan dianggap paling memberikan pertunjukan yang memuaskan.

Jika ditakdirkan malam esok hingga Isnin ini bercuaca baik, maka anda boleh melihat hujan meteor geminid dan menikmati pengalaman bahawa anda benar-benar melihat hujan meteor.


Oleh Ramli Abdul Samad

Penulis ialah Pengurus Pengetahuan, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang

Read more...

11 December 2009

Keriangan di Melaka




























MELAKA memang terkenal dengan sejarah, warisan budaya dan seni yang bertapak sejak 600 tahun lalu. Ada yang mengatakan apabila melawat Melaka bermakna melawat satu Malaysia.

MELAKA memang terkenal dengan sejarah, warisan budaya dan seni yang bertapak sejak 600 tahun lalu. Ada yang mengatakan apabila melawat Melaka bermakna melawat satu Malaysia.

Kini, Melaka terus mempergiatkan usaha promosi produk pelancongan lebih-lebih lagi bandar Melaka baru saja diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai kota warisan Unesco.


Tidak semua negeri mempunyai latar belakang sejarah seperti Melaka kerana negeri ini mempunyai kelebihan terutama kesan penaklukan kuasa asing Portugis, Belanda dan Inggeris.

Malah, hasil hubungan kuat antara Melaka dengan dunia luar juga mewujudkan pelbagai bangsa hasil perkahwinan campur rakyat tempatan dan pedagang dulu kala. Antara yang popular adalah masyarakat Baba Nyonya, Eurasian- Portugis dan Chitty.

Kunjungan penulis dalam program Kembara Cuti-Cuti Satu Malaysia (KCC1M) ke Melaka baru-baru ini mencetuskan idea baru berkenaan negeri pelancongan ini.

Antara destinasi percutian keluarga adalah A Famosa Resort. Taman tema yang cukup sinonim dengan nama runtuhan kota tinggalan Portugis pada kurun ke 16 ini amat mudah dilawati kerana lokasinya bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan (Plus).

Perjalanan dari Kuala Lumpur hanya memakan masa sejam. Dari Melaka pula, anda mengambil masa kurang 30 minit jika memandu kereta.

Menjadi tumpuan untuk mereka yang mendambakan ketenangan, ia menjadi pilihan berikutan landskapnya yang masih diliputi hutan semula jadi.

Di samping itu, ia menjadi destinasi libur ideal buat keluarga berikutan menyediakan kawasan taman tema air selain padang golf untuk peminat sukan jenis itu.

Tidak hairanlah apabila musim cuti persekolahan memang kawasan ini sentiasa dipenuhi pelancong. A Famosa Resort seluas 520 hektar ini menempatkan Animal World, Golf Resort serta Water World, di samping pilihan penginapan termasuk D'Savoy Condotel, Beverly Hills Condotel.

Di sini, pengunjung boleh menyewa serta memilih unit banglo yang unik rekaannya seperti Villa D'Amour, D'Faro dan D'Lagos. Ia sesuai untuk membawa keluarga yang ramai.

Malah, di setiap unit banglo ini juga turut menempatkan kolam renang selain dilengkapi set perabot dan kemudahan lain untuk keselesaan pengunjung yang tinggal dalam jangka masa panjang.

Bagi yang ingin merasai pengalaman kemeriahan Cowboy Town yang biasa kita lihat di televisyen juga tersedia di sini. Bermula jam 8.30 malam suasana di Cowboy Town ini cukup meriah serta berwarna-warni menyambut kedatangan pelawat.

Di sini pelawat berpeluang menyaksikan pertunjukan haiwan yang dilatih melakukan pelbagai aksi menghiburkan. Memang menarik! Mana tidaknya di sini haiwan liar daripada sebesar seperti gajah, harimau, unta hingga sekecil burung, ayam dan itik semuanya 'bijak' dan melucukan. Pertunjukan selama lebih sejam itu memang berbaloi.

Jarak antara penonton dan pertunjukan itu pula agak dekat membolehkan mereka dapat mengambil gambar dengan lebih jelas.

Jika berkesempatan haiwan yang melintasi tempat duduk penonton itu akan berhenti bagi memberi peluang kepada penonton mengabadikan gambar bersama mereka.

Tidak ketinggalan persembahan Red Indian memukau penonton melakukan aksi bermain api. Selain itu beberapa penonton juga ditarik bersama bagi menjayakan persembahan mencari 'pahlawan'.

Paling dramatik apabila 'pahlawan' Red Indian mengeluarkan api daripada mulut sehingga bahang panasnya singgah ke tempat duduk penonton. Mereka juga beraksi memasukkan api ke dalam mulut sehingga ia padam.

Pada akhir pertunjukan penonton turut disajikan dengan persembahan bunga api selama beberapa minit sehingga kawasan itu bermandi cahaya yang mungkin dapat dilihat kenderaan yang melintasi Lebuhraya Plus.

>Info

>Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa lebih kurang satu jam setengah melalui Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) menghala Melaka. Kemudian ambil persimpangan keluar tol Alor Gajah dan ikut papan tanda ke resort berkenaan. Maklumat lanjut, hubungi talian 06-552 0777 06-552 0777 atau www.afamosa.com.


Oleh Mohd Fadly Samsudin
rencana@hmetro.com.my

Read more...

10 December 2009

Rahsia keju



















KEJU yang sudah siap diproses dan disimpan sehingga matang.

Pembuatan keju Swiss melalui proses teliti bagi hasilkan produk bermutu tinggi

KEJU memang istimewa. Selain terkenal dengan pelbagai khasiat, ia juga digemari kerana keunikan tekstur dan rasanya. Faktor itulah juga antara yang menyebabkan makanan pejal berasaskan produk tenusu itu digemari meskipun berbau kurang sedap.

Khasiat keju juga didapati jauh lebih tinggi daripada susu biasa dalam jumlah sama. Kandungan protein misalnya, 100 gram keju rata-rata mengandung 22.8 gram protein, sedangkan susu segar hanya 3.2 per 100 gram. Begitu juga dengan kandungan kalsium, keju mengandungi 777 miligram (mg), tetapi susu segar hanya sekitar 143 mg setiap 100 gram berat bahan.




Keju turut bermanfaat kerana biasanya tahan lama dan mempunyai khasiat lain seperti kandungan lemak, mineral dan fosfor yang tinggi. Beberapa kajian pernah dilakukan terhadap keju mendapati ia mampu membantu seseorang memperkuatkan tulangnya, malah kehadiran pelbagai jenis mineral yang tinggi turut menjadikan makanan itu sangat baik bagi melindungi gigi daripada ancaman karies kerana mempunyai sumber kalsium yang bagus dan umumnya menyediakan lebih kurang 25 peratus kalsium dalam pembekalan makanan.

Hasil kajian menunjukkan, masyarakat Barat adalah antara yang paling tinggi menikmati keju. Statistik yang dikeluarkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan rakyat Denmark, Greece dan Perancis adalah antara penggemar keju apabila secara purata setiap seorang penduduknya menikmati 28 kilogram, 25 kilogram dan 24 kilogram keju setahun.

Lawatan penulis ke kilang pembuatan keju di La Maison du Gruyere (Demonstration Cheese-Dairy), di Gruyere, Switzerland, baru-baru ini menambahkan lagi rasa kagum terhadap makanan pejal berkenaan, khususnya rahsia proses pembuatannya.

Gruyere, daerah di Wilayah Fribourg di Swityzerland terkenal dengan pembuatan keju, sekali gus dijadikan nama keju terkenal itu. Perjalanan ke situ mengambil masa lebih kurang 30 minit dari Berne atau dua jam dari Zurich.

Jika dari Gruyere, bertentangan dengan stesen kereta api, Pringy-Gryuere, La Maison du Gruyere terletak betul-betul di hujung jalan. Di situ pengunjung akan dapat melihat rumah di antara bangunan besar dan moden, kilang keju, muzium, restoran serta kedai.

Untuk masuk ke dalam La Maison du Gruyere, pengunjung perlu membayar tiket berharga 7 CHF (Swiss Frank) atau lebih kurang RM23. Di dalamnya, pengunjung boleh menyaksikan sendiri bagaimana keju Gruyere AOC dihasilkan dari satu peringkat ke satu peringkat mengikut cara moden sehingga siap untuk dipasarkan. Menariknya, pameran yang dipaparkan membawa konsep pengembaraan penggunaan pancaindera seperti mendengar, bau, sentuhan, melihat dan merasa sendiri keju yang sudah siap diproses.

Pegawai Pemasaran, La Maison Du Gruyere, Fabienee Porchet, berkata keju dari Switzerland barat, lembut dan terkenal dengan rasa sedapnya.

Pembuatannya sekurang-kurangnya sejak 1115 Sebelum Masihi yang bermula dari pekan kecil di Gruyeres dan kini ia masih dihasilkan oleh perkampungan tenusu keju di Switzerland barat mengikut resipi tradisional.

Fabienee berkata, untuk menghasilkan keju Swiss yang enak dan bermutu tinggi ia mestilah bermula daripada penjagaan lembu yang terbaik termasuk cara penggembalaan seperti persekitaran dan makanan dimakannya sama ada ketika musim panas atau sejuk serta kemahiran pembuat keju itu sendiri. Inilah yang menjadi asas utama bagi proses pembuatan keju di Gruyere, sekali gus menghasilkan produk yang terjamin mutunya.

Justeru, tidak hairanlah jika penggembalaan lembu di Gruyere sangat teliti bagi memastikan ternakan berkenaan dapat menghasilkan susu yang banyak, segar dan sedap mutunya untuk diproses bagi membuat keju. Antara diet makanan semula jadi bagi lembu yang diternak di daerah itu ialah herba, vanila, thym, cumin dan gandum. Malah, seekor lembu memerlukan 100kg rumput segar untuk dimakan setiap hari dan 85 liter air. Lazimnya, susu mula diperah ketika lembu itu berusia setahun.

“Dengan penjagaan yang baik, seekor lembu akan menghasilkan sekurang-kurangnya 24 liter susu sehari. Susu itu akan diperah setiap pagi dan petang. Jumlah susu lembu yang diproses di Gruyere ialah 5.7 juta liter setiap tahun. Susu yang sudah diperah akan dihantar peladang ke kilang dan ia dilakukan dua kali sehari. Di kilang, tugas seterusnya diserahkan kepada pembuat keju untuk menghasilkan keju,” katanya.

Fabienee berkata, pengalaman dan kepakaran pembuat keju adalah penting bagi memastikan keju yang berkualiti dapat dihasilkan. Malah, untuk menjadi pembuat keju sekurang-kurangnya memerlukan latihan selama empat tahun. Justeru, tidak hairanlah jika pembuat keju Gruyere adalah antara yang terbaik di Switzerland.

Sebelum kerja proses membuat keju dimulakan, pembuat keju akan mengambil contoh susu yang dihantar peladang untuk dianalisis di makmal. Selepas itu barulah kerja lain dimulakan dan antara proses awal untuk menghasilkan keju ialah pempasteuran iaitu memanaskan susu sehingga 32 darjah. Tekstur keju akan menjadi lembut apabila suhunya mencapai 57 darjah.

Apabila susu berkenaan bersatu antara satu sama lain, pembuat keju akan menambah agen penapai yang lain dan menuangkan zat pembantu penggumpalan atau rennet sejenis enzim penggumpal. Rennet itu akan membuat susu itu bertukar menjadi dadih. Perubahan daripada peringkat cecair kepada padat mengambil masa sekurang-kurangnya 50 minit. Pada tiga atau empat minit proses terakhir adalah penting bagi kualiti dihasilkan.

Dalam tempoh singkat itulah pembuat keju perlu menunjukkan kepakaran sepenuhnya kerana dengan pergerakan pantas dan kepakaran mata, pembuat keju mula memotong gumpalan menjadi bahagian yang sama besar. Semakin kecil potongan, semakin sedikit cairan yang dikandung keju itu sehinggalah ia semakin keras. Beberapa proses lain diteruskan dan terakhir, keju ‘dimatangkan’ dalam keadaan tertentu. Semakin lama dimatangkan, keju akan semakin keras.

“Proses menyiapkannya agak lama dan keju itu akan disimpan sekurang-kurangnya selama tiga hingga lima bulan. Keju yang dihasilkan di Gruyere kemudian di pasarkan untuk pasaran tempatan dan juga di luar negara. Dua pertiga daripada hasil pengeluaran adalah untuk pengguna di Switzerland manakala selebihnya atau satu pertiga di eksport ke Kesatuan Eropah dan Amerika Utara,” kata Fabienee.

FAKTA: Asal-usul keju

•Sejarah menunjukkan pembuatannya sudah dihasilkan sejak zaman prasejarah. Namun, tiada bukti pasti di mana pembuatan keju pertama kali dilakukan sama ada di Eropah, Asia Tengah, mahupun Asia Barat. Bagaimanapun, kajian dibuat mendapati amalan pembuatan keju sudah tersebar ke Eropah sebelum zaman kuno Romawi.


•Sementara, perkiraan awal menunjukkan bahawa pembuatan keju bermula antara 8000 hingga 3000 Sebelum Masihi manakala pembuat keju pertama dikatakan, adalah masyarakat di Asia Barat atau suku nomad di Asia Tengah. Bukti arkeologi pertama mengenai pembuatan keju pula ditemukan pada mural di makam Mesir Kuno yang dibuat pada 2000 sebelum masihi.


•Biar mana sekalipun asal usul dan bila pembuatannya bermula, makanan padat yang dibuat daripada susu haiwan itu antaranya lembu, kambing dan unta ternyata dikenali di seluruh dunia. Malah, kini terdapat ribuan jenis keju di dunia yang menawarkan pelbagai khasiat tersendiri.


INFO: Perkara menarik mengenai keju
•Terdapat pelbagai jenis keju. Setiap satu menampilkan kelainan sama ada dari segi gaya, rasa dan teksturnya. Keadaan ini bergantung dari mana sumber susu yang digunakan untuk membuat keju berkenaan diperoleh. Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh diet yang diambil oleh haiwan terbabit.


•Walaupun ada beratus-ratu jenis keju yang dihasilkan di seluruh dunia, secara umum cara pembuatannya adalah sama yang mana


•Jenis keju boleh dibezakan berdasarkan cara pembuatannya. Umumnya, ada dua kelompok besar keju iaitu keju segar dan keju padat.


•Terdapat beberapa kajian yang diutarakan oleh pakar pemakanan bahawa keju yang berbeza menyediakan fungsi atau manfaat pada tubuh yang juga berbeza.


•Keju popular sebagai antara makanan berkhasiat kerana ia kaya dengan pelbagai nutrien berguna. Ia juga adalah sumber penting yang membekalkan karbohidrat, kalsium, fosforus, zink, riboflavin, protein dan lemak. Selain itu, ia turut menyediakan vitamin serta mineral seperti vitamin A dan vitamin B12.


•Walaupun keju berkhasiat, bagi mereka yang alah dengan laktosa, selain penderita sakit ginjal, jantung dan hati, pakar pemakanan menganjurkan pengambilan keju perlulah dihadkan kerana keju juga mengandungi garam dan lemak yang agak tinggi.



Oleh Nor Affizar Ibrahim

Read more...