Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






20 September 2009

Padamkan kemarahan, leraikan prasangka pada hari kemenangan























Kunjung mengunjungi eratkan persaudaraan.

RAMADAN berlalu dan ketibaan 1 Syawal dimeriahkan dengan sambutan Aidilfitri sebagai tanda kegembiraan, kesyukuran dan kejayaan umat Islam seluruh dunia menunaikan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa. Bagi yang berkemampuan, mereka dituntut mengeluarkan zakat fitrah sebagai pernyataan menyucikan diri dan bayaran lazimnya dalam bentuk wang, digunakan membantu Muslimin lain yang tidak berkemampuan supaya sama-sama dapat merasai kemeriahan Aidilfitri.

Ramai anak di perantauan balik ke kampung. Pastinya ada yang menunggang motosikal, memandu kereta atau menaiki pengangkutan awam. Jalan dan lebuh raya yang sesak menuntut semua pemandu bersabar, berhemah, berhati-hati dan bertolak ansur. Jangan tertekan dan tergesa-gesa. Patuhi undang-undang lalu lintas dan jangan mencetuskan tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. Kemalangan demi kemalangan masih gagal dibendung setiap hari sekali gus meragut nyawa mangsa dan sempena Aidilfitri yang mulia ini, jangan kepulangan anda disambut tangisan.

Jadikan sambutan ini sebagai langkah membuka lembaran baru dalam silaturahim antara suami isteri, anak dengan ibu bapa serta di kalangan rakan serta sanak saudara. Saling mohon kemaafan dan keampunan dengan penuh keikhlasan bagi salah silap lalu. Padamkan kemarahan, leraikan prasangka dan maafkan kesalahan mereka kerana sebagai insan kerdil masing-masing tidak terlepas daripada kesilapan. Buang ego dan dendam sebaliknya hulur 10 jari berjabat tangan dengan tekad tidak mengeruh atau memutuskan lagi silaturahim.

Syawal ini juga peluang merapatkan semula silaturahim di kalangan saudara mara yang sekian lama terputus hubungan. Islam didirikan dengan asas silaturahim iaitu seluruh umatnya adalah bersaudara. Insaflah bahawa trend umat Islam masa ini semakin cenderung kepada individualistik. Akibatnya, jiran tetangga tidak disapa dan saiz keluarga semakin kecil. Justeru, ambil keberkatan Aidilfitri untuk melebar dan memanjangkan semula silaturahim.

Kemuliaan Aidilfitri boleh dijadikan titik permulaan penyatuan di kalangan yang berseteru dan berselisih faham akibat prasangka, perbezaan pendapatan hatta berlainan parti politik. Sejak sekian lama, Aidilfitri menjadi wadah memperkasa perpaduan melalui rumah terbuka dihadiri pelbagai kaum. Alangkah meriah Aidilfitri apabila perayaan itu disambut dalam suasana negara yang aman makmur serta rakyatnya hidup harmoni.

Aidilfitri turut menuntut umat Islam memuliakan hari kebesaran ini dengan melakukan amalan bertakbir, bertasbih serta bertahmid. Jangan cemari hari mulia ini dengan maksiat. Hayati kalimah ‘fitr’ yang bermaksud fitrah iaitu kejayaan manusia balik kepada asal kejadiannya yang bersih dari dosa atau noda. Sebuah hadis diriwayatkan Tabrani daripada Ubadah bin Soib menyatakan: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari Kiamat.”

Read more...

19 September 2009

Esok Hari Raya !!




















Read more...

Tragedi Menyayat Hati Menjelang Syawal





















ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan salah seorang mangsa kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa sekeluarga di Kilometer 94.8, Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) dekat Gurun, Kedah, semalam. Empat beranak itu terperangkap dalam kenderaan mereka yang meletup dan terbakar selepas merempuh sebuah kereta jenis Naza Citra dan treler

GURUN 18 Sept. – Empat sekeluarga rentung manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 94.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat sini awal pagi ini.

Mereka yang terbunuh ialah Pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Mohd. Yusof Ahmad, 53; isterinya, Hasnah Hamzah, 52, serta dua anak gadis mereka, Hazwani Izati, 24, dan Hafizatun Alimi, 20.

Kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi itu melibatkan kereta Perodua MyVi dinaiki keluarga terbabit serta sebuah Perodua Viva, Naza Citra dan treler.

Empat beranak itu terperangkap dalam kenderaan mereka yang meletup dan terbakar selepas merempuh sebuah kereta jenis Naza Citra dan treler.

Sebelum itu, treler terbabit yang membawa peralatan komputer dipercayai terbabas dan terbalik sehingga melintang di atas laluan lebuh raya.

Seorang pemandu Naza Citra, Kamarulzaman Husain, 36, yang mengikut dari belakang tidak sempat memberhentikan kenderaannya lalu merempuh treler berkenaan.

Selepas itu, kereta yang dinaiki keluarga malang tersebut pula terlanggar dua buah kenderaan itu.

Sebuah kereta Viva yang dipandu Azhar Abdul Rahman, 38, juga tidak sempat mengelak dan kemudian merempuh kereta Perodua MyVi berkenaan dan terbabas ke bahu lebuh raya.

Utusan Malaysia difahamkan, ketika kejadian, keadaan kawasan terbabit agak berkabus tebal ekoran hujan lebat yang turun lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kesemua mangsa yang maut itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Nuri, Alor Setar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

‘‘Kita percaya kereta MyVi itu dipandu oleh Hasnah. Mereka sekeluarga dalam perjalanan membawa Mohd. Yusof yang mengalami sakit perut untuk menemui doktor pakar di HPP,” katanya di sini hari ini.

Hashim memberitahu, pada peringkat awal, polis tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa kerana semua dokumen pengenalan diri mereka musnah terbakar.

Bagaimanapun, semakan butiran kereta berkenaan kemudian mendapati ia milik Mohd. Yusof dan disahkan oleh anggota keluarga yang lain.

‘‘Kamarulzaman cedera termasuk patah di beberapa bahagian badan dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim sebelum dipindahkan ke Hospital Pantai Utara Sungai Petani.

‘‘Sementara Azhar yang juga cedera parah dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut. Keadaan kedua-dua mangsa kini stabil,” katanya.

Tambah Hashim, pemandu treler berusia 32 tahun dari Seri Kembangan, Selangor yang cedera ringan kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Dalam pada itu, seorang pekerja syarikat kargo, Norhamidi Daud, 36, yang berada di belakang semua kenderaan berkenaan berkata, kemalangan itu berlaku dalam tempoh yang begitu singkat.

‘‘Selepas ternampak kereta tersebut merempuh antara satu sama lain, saya memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk membantu mangsa.

‘‘Bagaimanapun, sebaik sahaja turun dari kereta, saya terdengar seolah-olah bunyi letupan sebelum melihat asap tebal di lokasi itu,” katanya.

Dia yang dalam perjalanan dari Yan ke tempat kerjanya di Pulau Pinang berkata, tidak lama kemudian orang ramai membantu mengeluarkan mangsa sebelum melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.


Read more...

Selenggara kenderaan anda





















PERIKSA kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan

UMAT Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada hari esok. Jadi, hari ini adalah hari yang paling sibuk bagi warga kota yang mahu pulang ke kampung. Tradisinya, kita pulang ke kampung dengan memandu kereta.

Apabila tiba hari raya, lebuh raya akan berubah menjadi tapak pasar malam.

Maka kedengaranlah keluhan tentang fasiliti yang tidak cukup dan lebuh raya yang perlu ditambah lorongnya. Apa pun, lebuh raya tetap akan menghadapi masalah serupa jika kereta terus bertambah setiap hari.

Jadual perjalanan

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (Plus), Khalilah Datuk Mohd. Talha memberitahu, pihak PLUS Expressways telah melaksanakan inisiatif Jadual Waktu Perjalanan (TTA) bagi melancarkan trafik di lebuh raya.

Diperkenalkan sejak tiga tahun lalu, TTA dibuat berdasarkan kajian PLUS tentang pola perjalanan orang ramai di lebuh raya pada musim-musim perayaan.

Jadual itu terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu bagi mengurangkan kesesakan.

"Menjelang hari raya, kami menjangkakan jumlah trafik di lebuh raya kendalian PLUS terutama Lebuh Raya Utara Selatan meningkat secara mendadak.

"Dianggarkan sebanyak 1.3 juta kenderaan akan memasuki lebuh raya pada waktu puncak, berbanding hanya satu juta kenderaan pada hari-hari biasa," katanya sewaktu dihubungi Kosmo!.

Bagi menghadapi peningkatan jumlah trafik tersebut, kira-kira 2,500 orang kakitangan PLUS dan 400 orang anggota pasukan keselamatan akan ditempatkan di lokasi seperti plaza-plaza tol serta kawasan Rawat dan Rehat sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan.

Namun begitu, PLUS turut menjangka aliran trafik yang lebih lancar pada musim perayaan kali ini berikutan pembukaan Laluan Terus Tanpa Henti Kuala Lumpur-Pulau Pinang sejak 14 Julai lalu. Para pengguna tidak lagi perlu berhenti di Plaza Tol Ipoh Selatan dan Jelapang. Ini akan mengurangkan masa perjalanan mereka hampir 30 minit.

Khalilah menyarankan pengguna lebuh raya supaya menggunakan kad PLUSMiles Touch 'n Go untuk melancarkan laluan di plaza tol.

Bagaimanapun, Khalilah menasihatkan pengguna supaya bersedia untuk tempoh perjalanan yang panjang. Periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Semak senarai periksa yang dicadangkan agar perjalanan lancar dan selamat.

Enjin

Enjin kereta merupakan bahagian terpenting yang menentukan sama ada anda beraya di kampung atau termenung menunggu trak tunda membawa kereta anda ke bengkel.

Sekiranya perbatuan dan jadual berada pada titik terhampir, jangan tunggu selepas pulang dari kampung untuk digantikan pelincirnya.

Ketika pulang ke kampung, kenderaan lebih banyak dalam keadaan statik atau bergerak perlahan. Enjin dan komponen yang bergerak menjadi lebih mudah panas dan bertekanan. Dengan pelincir baru, ia dapat mengimbangi tekanan enjin tersebut.

Selain enjin, radiator penyejuk juga perlu dipastikan berfungsi dengan baik. Pastikan tiada kebocoran dan tangki simpanan air radiator mencukupi. Jangan isi terlalu penuh. Ikut sukatan yang disyorkan. Jangan lupa sediakan air simpanan sekiranya berlaku kebocoran atau air tangki kering tiba-tiba dalam perjalanan

Pastikan kipas penyejuk radiator berputar dengan baik setiap kali suis auto berfungsi. Dengan membuka hud enjin, anda boleh menguji kipas tersebut dengan menekan suis penghawa dingin. Kipas enjin dan kipas penghawa dingin biasanya berputar serentak.

Periksa semua bekalan air pada tangki pengelap cermin, cecair kotak gear (tukar jika sudah sampai masanya) dan air bateri. Jika jadual penyelenggaraan tali sawat sudah atau hampir sampai, jangan tunggu lagi.

Akhir sekali, ambil masa untuk memeriksa sebarang kebocoran atau lelehan minyak pelincir. Kadangkala kebocoran kecil boleh mendatangkan masalah yang serius. Jika kebocoran di kawasan yang tidak sensitif, ia boleh dibiarkan. Tetapi awas jika kebocoran tersebut menyebabkan kandungan minyak pelincir berkurangan dengan ketara. Jika ragu-ragu, bawa bersama minyak pelincir tambahan.

Pastikan tayar mempunyai tekanan yang secukupnya seperti yang disarankan pengeluar. Pastikan juga tayar mempunyai bunga yang cukup. Jangan lupa tayar ganti serta peralatan untuk membukanya.

Pad brek

Jika pad brek sudah hampir habis, tukarkan saja. Percayalah, pada musim perayaan ini, adakalanya anda terpaksa menekan brek lebih kerap berbanding pedal minyak.

Bahagian yang paling jarang diperiksa oleh kebanyakan pemandu ialah lampu hadapan tinggi dan rendah. Sekiranya lampu rendah terlalu tinggi, laraskan kembali kerana anda mungkin mengganggu pemandu yang datang dari arah bertentangan.

Lampu isyarat membelok juga perlu diperiksa. Pastikan semuanya berkelip dengan baik. Seterusnya ialah lampu belakang, lampu brek dan brek ketiga. Lampu undur, lampu penunjuk nombor pendaftaran juga perlu berfungsi. Menjadi satu kesalahan jika lampu nombor pendaftaran anda tidak menyala pada waktu malam.


Ia mungkin nampak remeh, namun pengelap cermin yang rosak boleh menyebabkan penglihatan terganggu terutamanya ketika hujan dan waktu malam.

Kereta adalah satu perkara, namun yang lebih penting ialah pemandu. Kereta paling selamat dan paling canggih sekali pun tidak akan berguna tanpa pemandu yang tidak bersedia.

Berehatlah secukupnya sebelum memandu. Rancang perjalanan anda. Berhenti jika mengantuk dan jangan sekali-kali hilang pertimbangan di jalan raya

Oleh IRWAN ASRI MOHD. NOR
irwan@majalahkereta.com.my
Read more...

18 September 2009

Akhir Ramadan sebagai pengukur jati diri


















RAMADAN merupakan bulan yang mulia dan umat Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada pembersihan jiwa atau kerohanian. Suasana bulan Ramadan yang begitu meriah disambut oleh umat Islam dengan pelbagai program ibadah dan kegiatan kebajikan.

Sembahyang tarawih yang diamalkan setiap malam di surau dan masjid sepatutnya dijadikan simbol perpaduan umat Islam tanpa mengira perbezaan pemahaman politik. Alangkah indahnya konsep berjemaah di masjid-masjid itu dijadikan asas persaudaraan dalam Islam.

Sejauh manakah umat Islam dapat menghayati konsep perpaduan melalui ibadah sembahyang tarawih itu hanya dapat dinilai sendiri oleh setiap individu Islam.

Ramadan dikenali sebagai bulan pengampunan. Dosa-dosa umat Islam terampun jika mereka sentiasa menunaikan sembahyang tarawih dan membersihkan diri dalam bulan ini.

Melakukan ibadah puasa secara ikhlas dan mengikuti peraturannya secara sempurna sudah cukup untuk individu Islam mendapat pengampunan daripada Allah. Dosa-dosa seperti manakah yang diampuni oleh Allah?

Dosa-dosa peribadi berkaitan dengan dosa terhadap Allah seperti tidak menunaikan sembahyang kerana jahil atau kurang keimanan mungkin mudah diampuni oleh Allah.

Dosa-dosa berkaitan dengan manusia seperti memfitnah, menyakiti, mencuri, tidak membayar hutang atau menyalahgunakan kuasa, membohongi rakyat dan memakan wang derma atau zakat yang diperuntukkan kepada orang miskin dan anak-anak yatim tidak akan diampuni oleh Allah selama mana individu tersebut tidak menyerahkan kembali hak-hak rakyat dan orang miskin.

Puasa boleh memberi keinsafan kepada individu Islam bagaimana tersiksanya apabila lapar dan dahaga. Kesan daripada mengamalkan puasa boleh menjadikan umat Islam berfikir betapa kejamnya orang yang mengambil hak orang miskin demi memperkayakan dirinya. Adakah perasaan begini tersemat dalam hati setiap individu Islam?

Apabila suasana begini berlaku maka timbul persoalan sejauh manakah keimanan dan penghayatan umat Islam terhadap ibadah dan penyerahan diri kepada Allah?

Puasa adalah salah satu cara yang paling baik untuk memulihkan jiwa yang kosong, sifat tamak, rakus dan angkuh.

Puasa sepatutnya dijadikan sebagai pengukur hawa nafsu. Jika puasa itu dihayati sepenuhnya maka sikap tamak dan rakus dapat dikurangkan kerana perut yang lapar dan jiwa yang diserahkan kepada Allah.

Perasaan lapar dan dahaga membangkitkan semangat untuk menderma dan prihatin terhadap golongan miskin. Orang yang memiliki hati yang lembut dan diiringi dengan pengalaman lapar dan dahaga mampu mengawal diri.

Allah adalah Maha Pengasih dan Penyayang serta Pendidik manusia. Allah amat memahami sifat dan tingkah laku manusia sering dihasut oleh hawa nafsu. Oleh itu Dia memberi pertunjuk kepada manusia dan melatih mereka bagaimana cara untuk mengawal hawa nafsu.

Puasa merupakan cara melatih manusia supaya menundukkan hawa nafsu, menanamkan sifat simpati dan belas kasihan serta amanah dalam hidup.

Ramadan dipilih sebagai bulan untuk mendidik dan melatih umat Islam mengembalikan fitrah ciptaan manusia iaitu satu makhluk yang begitu akur kepada perintah Allah dan dihormati oleh makhluk Allah yang lain.

Hawa nafsu jika tidak dikawal boleh menyebabkan manusia menjadi buta terhadap kebenaran dan terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka tidak pernah merasai puas hati dengan apa yang dimiliki.

Sifat ini boleh mendorong seseorang itu mengemis atau mengambil harta orang lain. Ini merupakan satu sifat yang amat tercela dan dimurkai oleh Allah.

Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam berkaitan dengan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang meminta dari harta orang lain untuk menambah kekayaannya sesungguhnya dia meminta bara api neraka! Sama saja dosanya meminta banyak atau sedikit."

Berdasarkan kepada peringatan Rasulullah SAW maka umat Islam jauhilah daripada sifat-sifat keji tersebut. Puasa adalah sebaik-baik cara untuk melatih diri menjadi umat Islam yang gigih dan amanah.

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN-Penulis ialah pensyarah kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Read more...

17 September 2009

Jadikan Ramadan inspirasi Syawal















AMALAN bertadarus dalam Ramadan perlu diteruskan pada bulan-bulan lain

RAMADAN terbukti berfungsi sebagai bulan tarbiyah dan pelaburan kerana di dalamnya terkandung janji Allah SWT berserta gugusan pahala yang berlipat ganda sebagai anugerah buat sekalian hambanya natijah dari perlaksanaan amalan-amalan wajib dan amalan-amalan sunnah yang disyariatkan.

Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan amalan puasa tersebut. (riwayat Muslim)

Allah SWT tidak pernah mengabaikan setiap perlakuan amal soleh setiap hamba-Nya meskipun hanya seberat zarah.

Firman Allah yang bermaksud: Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). (al-Zalzalah: 7).

Demikian pula sesiapa yang melakukan kejahatan walau seberat zarah, amalannya tetap akan diperlihatkan kepadanya. Firman Allah yang bermaksud: Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). (al-Zalzalah: 8)

Ramadan inspirasi syawal

Ramadan al-Mubarak yang berlalu sewajarnya dijadikan inspirasi dalam mempertingkatkan amalan dan menjaga produktivitinya agar mencapai tingkat istiqamah dalam membina jati diri Muslim yang cemerlang selama saki baki umur masih dibekalkan oleh Allah SWT.

Syawal yang dirai merupakan proses pertama dalam menilai tingkat penghayatan seseorang sepanjang Ramadan, adakah dia mencapai objektif yang dicita-citakan memperolehi keampunan dan pembebasan dari azab api neraka pada hari kiamat?

Apakah keintiman hubungannya Allah semakin dirasai dan bertambah kukuh? Apakah tali silaturrahim sesama Muslim terjalin erat dalam usaha mentaati perintah Allah SWT dan mencari keredaannya?

Apakah segala amalan yang pernah dilakukan pada saat Ramadan mampu dipraktik untuk kesekian kalinya?

Syawal yang bermakna

Hari raya adalah satu peluang yang cukup besar dan bermakna untuk meningkatkan kualiti amalan, memulihkan hubungan sesama manusia yang merupakan tuntutan syariat Islam, berlapang dada, murah hati, ukhuwah, belas kasihan dan kasih sayang.

Sentiasa istiqamah dalam kebaikan

Daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tingkatkanlah amalanmu dengan baik, atau lebih dekatlah kepada kebaikan, dan bergembiralah, kerana amalan seseorang itu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga. Para sahabat bertanya, "Adakah amalanmu juga begitu, wahai Rasulullah"? Jawab Rasulullah SAW: "Amalanku juga begitu. Tetapi Allah melimpahiku dengan rahmat-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Meneruskan amalan Qiamullail dan ibadah lain

Daripada Abu Umamah r.a Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang melaksanakan qiamullail pada dua malam Eid (Aidil Fitri dan Aidil Adha), dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT, hatinya tidak akan mati pada hari matinya hati-hati manusia." (riwayat Ibn Majah)

Niat untuk bangun malam melakukan amal ibadah tidak hanya berkutat atau berhenti pada pepatah Melayu 'hangat-hangat tahi ayam'.

Rasullullah mencela umatnya ketika melakukan suatu perkara ghairah melakukannya di peringkat permulaan namun layu terkulai di penghujungnya.

Daripada Abdullah bin Amr ibn al-As berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Abdullah, janganlah engkau seperti si pulan, suatu ketika dahulu dia melakukan solat malam (tetapi sekarang) dia tidak melakukannya lagi." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melakukan puasa enam hari dalam bulan Syawal

Daripada Abu Ayyub Al-Ansari r.a sesungguhnya dia telah dikhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringi puasanya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun." (riwayat Muslim)

Meneruskan amalan bersedekah

Daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: "Ya Allah, berikanlah ganti (kembangkanlah harta) bagi orang-orang yang berinfak (menghulurkan sedekah)" dan satu yang lain pula berdoa, "Ya Allah, binasakanlah harta orang-orang yang kikir (kedekut)". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Istiqamah menjauhi amalan yang bertentangan

Istiqamah itu bukan sahaja dituntut dalam perihal amal kebaikan sahaja, akan tetapi istiqamah turut dituntut dalam meninggalkan perkara-perkara yang keji dan berdosa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui akan salahnya dan akibatnya. (ali-'Imran: 135)

Dalam suasana meraikan kedatangan Syawal dan Aidilfitri khasnya, umat Islam dilarang melakukan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam. Antaranya:

1. Membazir dan berlebih-lebihan dalam berbelanja. Perbuatan ini amat bertentangan dengan perintah Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (al-Isra': 27)

2. Hilangnya perasaan kasih sayang dan simpati terhadap fakir miskin. Perlakuan ini bertentangan dengan sabda baginda SAW.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga". (riwayat al-Tirmidzi)

3. Meniru cara atau etika orang-orang kafir dalam berpakaian ketika menyambut Aidilfitri terutama wanita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti Yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu Dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu. (al-Ahzab: 33)

Daripada Ibn Umar r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia termasuk dalam golongan mereka". (hadis sahih riwayat Abu Dawud).

4. Meninggalkan solat berjemaah di masjid. Perlakuan ini bertentangan dengan anjuran Rasulullah agar menunaikan solat secara berjemaah di masjid bagi kaum lelaki.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Solat berjemaah itu adalah lebih baik daripada solat bersendirian iaitu sebanyak 27 darjat (ganjaran)." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai kesimpulan, aidilfitri adalah bukti kesyukuran hamba atas segala limpah kurniaan Allah yang Maha Kuasa
Oleh MOHD. NORZI NASIR

Read more...

16 September 2009

Tak sempat salam raya























“Saya terkejut apabila mendapati kelima-lima jari anak saya itu hancur dan berlumuran darah,” kata ibu mangsa,Puan Siti Zainab Din, 52 tahun.

ALOR STAR: Ketika Aidilfitri bakal disambut hujung minggu ini, seorang remaja terpaksa merayakannya di hospital apabila kelima-lima jari tangan kirinya putus selepas terkena mercun bola ketika bermain mercun berkenaan di rumahnya di Kampung Teloi Tua, Sik, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Muhd Luqman Abudin, 15, bermain mercun berkenaan seorang diri berhampiran rumahnya sebelum ia tiba-tiba meletup di tangannya.

“Kali pertama menyalakannya, mercun itu tidak meletup. Saya kutip semula dan ketika menyalakannya kembali, ia terus meletup sebelum saya sempat membalingnya,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Kejadian itu menyebabkan sebahagian tapak tangan dan lima jari tangan kiri pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Enggang, Sik itu hancur.



Sementara itu, ibu mangsa, Siti Zainab Din, 52, berkata ketika kejadian dia membasuh pakaian di rumahnya dan terkejut apabila melihat anaknya itu berlari sambil menangis di rumah mereka.

Read more...

Kekalkan cara pemakanan sihat



























TERUSKAN amalan pemakanan seimbang dan berhemah ke bulan-bulan berikutnya selepas berakhirnya Ramadan

SETELAH lebih tiga minggu berpuasa, umat Islam kini menghampiri penghujung Ramadan 1430 Hijrah. Begitu pantas masa berlalu, meninggalkan mereka yang alpa dengan tibanya minggu terakhir berpuasa.

Suasana puasa tahun ini mungkin agak hambar berikutan ancaman wabak Influenza A H1N1 dan isu-isu yang terus disensasikan. Namun, sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk, acara-acara sepanjang Ramadan dan Syawal tetap dikongsi bersama, tanpa mengira bangsa dan agama.

*Gastrik puasa

Seperti tahun-tahun sebelum ini, masih ada umat Islam yang ditangkap kerana tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Bila ditahan, alasan yang paling biasa adalah gastritis (gastrik), tidak sihat atau terlupa.

Tidak dinafikan terdapat individu yang diperakui doktor bertauliah mempunyai masalah kesihatan mahupun gastrik teruk yang menyukarkan mereka berpuasa.

Bagaimana pula golongan yang hanya mengalami gastrik, sakit perut atau apa sahaja penyakit yang hanya menyerang di bulan Ramadan?

Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, yang juga merupakan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh berkongsi pengalaman memeriksa dan merawat mereka yang mengalami masalah sistem penghadaman di bulan puasa.

“Masalah sistem penghadaman boleh bermula dari esofagus, perut, usus kecil mahupun usus besar.

“Untuk masalah sistem penghadaman di bulan puasa, biasanya ia melibatkan bahagian esofagus, perut dan usus besar.”

Menurut beliau, biasanya terdapat dua kumpulan yang hadir dengan gejala gastrik, iaitu yang telah lama menghidap gastrik atau mereka yang cuma mengalami gastrik di bulan puasa.

Sesetengah pesakit yang mengadu mengalami kesakitan di bahagian abdomen ketika berpuasa mungkin bukan menipu, sebaliknya akibat kandungan asid perut yang tinggi.

Pesakit juga mungkin mengalami masalah perut yang sensitif terhadap asid, sedangkan paras asid perut adalah normal.

“Golongan remaja yang mengalami gastrik misalnya, ada yang tidak menunjukkan kesan luka di dalam perut (melalui ujian endoskopi).

“Masalah mungkin berpunca dari jumlah asid yang banyak atau perut menjadi sensitif terhadap asid,” jelasnya.

Dr. Ahmad Shukri menerangkan kandungan asid perut berlebihan boleh menyebabkannya naik ke esofagus dan membawa kepada rasa sakit atau panas di bahagian dada (heart burn) atau pedih ulu hati.

Jumlah asid perut yang tinggi mahupun penyakit refluks asid juga boleh menolak asid jauh ke atas, sehingga ke dalam mulut.

*Pulih puasa

Walaupun gastrik merupakan antara masalah yang biasa timbul dan dikaitkan dengan amalan berpuasa, ada juga yang sembuh darinya di bulan Ramadan.

Dr. Ahmad Shukri mendedahkan terdapat di kalangan pesakit yang kembali normal ketika berpuasa, mungkin akibat perubahan amalan pemakanan.

“Sebelum Ramadan, pesakit mungkin makan terlalu banyak, atau memilih makanan berminyak, berlemak atau berkarbonat.

“Tidak hairan juga mereka semakin pulih di bulan Ramadan memandangkan cara pemakanan pada waktu berkala (sahur dan berbuka puasa) sepanjang berpuasa, berbanding mereka yang makan tidak mengikut waktu, termasuk yang hanya makan bila perut sudah memberi syarat ‘sakit’ di ulu hati.”

Beliau turut menegaskan, golongan yang pulih masalah gastriknya di bulan puasa kebiasaannya tidak mempunyai kaitan dengan masalah ulser mahupun barah dalam salur penghadaman mereka.

“Pesakit gastrik biasa tidak menunjukkan gangguan selera makan mahupun penurunan mendadak berat badan.

“Golongan ini juga tidak menunjukkan gejala serius seperti muntah atau najis yang berdarah. Tanpa gejala serius, pesakit tidak perlu terlalu bimbang dengan masalah gastrik mereka,” ujarnya.

Namun, Dr. Ahmad Shukri bertegas mereka yang mengalami gastrik tidak mempunyai alasan untuk membiarkan diri mereka merana sehinggakan tidak mampu berpuasa.

Beliau memaklumkan kini terdapat bermacam bentuk rawatan untuk masalah gastrik dan sistem penghadaman, sama ada untuk mengurangkan asid perut, menyembuhkan luka, melancarkan pergerakan najis di dalam usus dan sebagainya.

“Mereka yang sudah mempunyai pengalaman diserang gastrik pada masa khusus, seperti ketika bulan puasa, perlulah menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sebelum tibanya bulan Ramadan. Jangan biarkan diri merana!”

Selain gastrik, beliau menerangkan terdapat juga banyak kes sembelit di bulan puasa. Ini secara mudahnya dikaitkan dengan kekurangan air sehingga menyebabkan najis menjadi keras dan sukar dikeluarkan.

“Lama-kelamaan, najis yang sukar keluar akan membawa kepada masalah angin, tersumbat, kembung dan juga sakit perut.

“Sembelit juga boleh membawa kepada masalah buasir, terutamanya jika pesakit meneran dengan kuat sehingga menyebabkan salur darah di sekitar dubur membengkak dan berdarah,” katanya.

Untuk mengelakkan sembelit, pesakit dinasihatkan meningkatkan pengambilan serat dan juga air. Serat bukan sahaja memanjangkan rasa kenyang, malahan dapat menyimpan air.

Mereka yang mengalami gejala hilang selera dan penurunan mendadak berat badan turut diingatkan supaya lebih berjaga-jaga.

“Gejala tersebut, ditambah dengan sejarah keluarga yang mempunyai sejarah kanser (sama ada pada sistem penghadaman atau barah yang lain dalam keluarga), memerlukan perhatian rapi.

“Pesakit dinasihatkan menjalani pemeriksaan endoskopi (OGDS) sebelum atau selepas bulan puasa, ataupun pemeriksaan segera jika keadaan dilihat membahayakan kesihatan dan nyawa,” jelas Dr. Ahmad Shukri.

Beliau turut memaklumkan kemungkinan berlakunya gastrik (dispepsia) dengan ulser atau tanpa ulser, mahupun kanser yang berpunca dari aktiviti bakteria Helicobacter pylori yang berada di dalam perut dalam jangka masa yang lama, tanpa disedari.

*Amalan berbuka

Waktu berbuka boleh dikatakan waktu yang paling dinanti-nantikan umat Islam yang berpuasa, terutamanya anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa.

Dr. Ahmad Shukri mengulangi peringatan supaya waktu berbuka dimulakan dengan sesuatu yang ringan terlebih dahulu, seperti buah-buahan atau buah kurma mengikut sunah Nabi.

“Solat dahulu selepas berbuka ringan dan makan berat selepas solat. Ini dapat merangsang pengeluaran asid dan enzim sistem penghadaman untuk menerima makanan yang berat.

“Elakkan mengambil banyak makanan berminyak atau berlemak kerana ini akan melambatkan fungsi sistem penghadaman. Kurangkan juga makanan pedas dan masam kerana ia akan menyebabkan perut kurang selesa,” jelasnya.

Walaupun pengambilan air yang cukup diberi penekanan, beliau menasihatkan mereka yang berpuasa untuk mengelakkan minuman berkafein kerana ia akan menyebabkan otot pencerut (sphincter) pada esofagus menjadi lemah dan membolehkan asid perut naik ke atas.

Dr. Ahmad Shukri turut menyarankan orang ramai mengelakkan amalan makan lewat malam, dekat dengan waktu tidur, mahupun terus tidur selepas makan. Ini katanya akan menyebabkan asid perut mudah naik ke dalam esofagus atau refluks asid sehingga boleh menyebabkan radang esofagus (oesophagitis).

“Walaupun di waktu malam bulan puasa, adalah lebih baik mengamalkan pengambilan makanan yang sedikit berulang kali daripada makan dengan banyak dalam satu hidangan.

“Jika anda perlu mengambil ubat tertentu, dapatkan nasihat doktor mengenai cara mengambilnya di bulan puasa. Mungkin sekali di waktu sahur dan sekali di waktu berbuka.”

Seperti mana digalakkan mempercepatkan berbuka puasa, mereka yang berpuasa turut digalakkan melewatkan waktu bersahur mengikut sunah Nabi.

“Ini dapat mengurangkan tempoh perut kosong dan memudahkan amalan berpuasa,” kata Dr. Ahmad Shukri.

*Dugaan Raya

Tidak dapat dinafikan kehadiran Syawal amat dinanti-nantikan ramai umat Islam, ada di antaranya sehingga terlupa akan segala keberkatan dan kelebihan Ramadan.

Walaupun Ramadan tahun ini membawa dugaan-dugaan tertentu kepada umat Islam, bagi Dr. Ahmad Shukri, Hari Raya Aidilfitri itu sendiri membawa dugaan yang besar.

“Besar dugaannya di Hari Raya. Bermacam juadah terhidang dan begitu mudah untuk kita lupa diri selepas sebulan menahan lapar dan dahaga.

“Perlu diingatkan, perut kita perlu diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga angin dan hanya satu pertiga ruang untuk makanan. Akan menjadi beban besar jika kita makan terlalu banyak.”

Selepas sebulan dilatih mengamalkan pemakanan teratur, dua kali sehari (pagi dan malam) di bulan Ramadan, sikap melahap bukan sahaja akan membebankan perut, malahan organ lain juga (seperti pankreas).

Dr. Ahmad Shukri memaklumkan amalan makan berulang kali sepanjang hari selepas tamatnya bulan puasa akan menyebabkan sistem penghadaman menjadi berkecamuk akibat campuran bermacam jenis makanan.

“Tambahan lagi, jika seseorang itu mempunyai alahan (intolerence) terhadap bahan atau makanan tertentu.

“Mungkin sukar untuk mengesan bahan atau makanan berkenaan (seperti kacang atau susu) memandangkan telah dicampurkan ke dalam hidangan Raya,” jelasnya.

Cara makan juga memainkan peranan penting! Beliau mencadangkan amalan mengunyah dilakukan lebih lama dari biasa dan bukannya terus menelan apa yang dimasukkan ke dalam mulut.

Ini bagi membolehkan perut dan usus bersedia dengan mengeluarkan asid dan enzim yang diperlukan untuk penghadaman.

Selain jumlah dan jenis makanan, perkara yang penting untuk diperhatikan adalah tahap kebersihan makanan.

Masalah kebersihan makanan telah dibangkitkan sepanjang bulan Ramadan hasil jualan makanan yang tercemar mahupun telah basi di beberapa gerai bazar Ramadan.

Ini juga mungkin berlaku ketika menjamah makanan di rumah terbuka ataupun ketika bertandang ke rumah rakan dan saudara-mara, terutamanya jika makanan telah lama dihidangkan atau terdedah kepada lalat dan serangga.

“Pengambilan kuih raya yang banyak juga perlu diberi perhatian terutamanya kepada mereka yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Ini memandangkan banyak kuih raya yang dijual secara komersial kini mempunyai banyak gula, kolesterol dan bahan sampingan lain, mengikut cara kuih itu dimasak.”

Dr. Ahmad Shukri turut mengingatkan mereka yang mempunyai penyakit tertentu supaya beringat dan mengambil ubat di pagi Raya sebelum keluar bertandang ke rumah rakan dan saudara.

“Mereka yang mempunyai masalah perut (seperti gastrik) perlu mengelak dari mengambil terlalu banyak makanan berlemak ataupun minuman berkarbonat.

“Adalah lebih elok jika mengambil sedikit makanan ringan di rumah sebelum keluar. Walaupun ingin menjaga hati tuan rumah, jangan sampai merosak hati dan perut sendiri,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan semua umat Islam supaya tidak memusnahkan segala manfaat yang dikumpul dengan berpuasa sepanjang Ramadan.

Tegasnya, puasa selama sebulan telah membolehkan sistem penghadaman berehat dan merupakan satu titik permulaan untuk kita semua mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.

“Jangan pula kita jadikan sambutan Hari Raya alasan untuk memusnahkan segala kelebihan berpuasa di bulan Ramadan.

“Di penghujung Ramadan, di permulaan Syawal, jadikan titik permulaan untuk hidup sihat dan kekalkan amalan pemakanan yang teratur dan seimbang!”
Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my




Read more...

15 September 2009

Kisah puasa saudara baru























FIKIRAN Aisyah semakin tenang selepas memeluk Islam pada Jun lalu.

"SEBELUM masuk Islam, saya sudah belajar berpuasa dengan kawan-kawan Melayu. Namun, selepas memeluk Islam pada bulan Jun tahun ini, nikmat berpuasa itu lebih dirasai.

"Walaupun terasa penat dan dahaga, saya tetap meneruskan puasa sehingga waktu berbuka," kata Nur Aisyah Mariana Abdullah, 24, kepada Kosmo! ketika ditemui di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur.

Sebelum memeluk Islam, gadis yang berasal dari Sarawak itu mempunyai ramai kawan beragama Islam di Kolej Cosmopoint, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Dari situ, timbulnya minat Aisyah ke arah Islam selepas melihat rakan-rakannya bersolat dan berpuasa. Ajaran Islam semakin dekat di hatinya apabila dia mula bercinta dengan lelaki Melayu.

Namun, siapa sangka dunia indah yang diimpikan anak kedua daripada empat beradik itu perlu dilalui dengan pahit getir kehidupan sebelum dia memeluk Islam.














SAUDARA baru daripada pelbagai kaum tidak kekok membaca ayat-ayat suci al-Quran.





Gadis yang dahulunya beragama Kristian itu pernah hilang pertimbangan apabila teman lelaki berketurunan Melayu yang diharapkan untuk membawanya memeluk Islam mengambil keputusan untuk meninggalkannya pada April lalu.

Lebih parah, ibu bapa Aisyah juga tidak dapat menerima keinginan anak mereka untuk memeluk Islam.

Ibu bapa Aisyah tidak lagi memberinya wang pada setiap bulan sehingga dia terpaksa berhenti belajar di peringkat diploma di kolej tersebut.

Aisyah yang ketika itu terumbang ambing masih lagi beragama Kristian walaupun hatinya sudah semakin dekat dengan Islam. Dia mengakui, ketika itu dia tidak tahu kepada siapa boleh mengadu.

Dalam keadaan itu, tatkala syaitan menguasai diri, dia pernah cuba bertindak untuk membunuh diri di rumahnya di Kuala Lumpur.

Sungguhpun begitu, pintu harapan untuk bergelar saudara Islam masih lagi terbuka luas buat Aisyah apabila dia dipertemukan dengan seorang polis berpangkat Sarjan ketika operasi menyelamatkannya daripada membunuh diri.

Lelaki yang kini menjadi bapa angkatnya itu memberi Aisyah harapan, kekuatan dan semangat untuk mendekatkan diri ke arah Islam.

Polis itu kemudiannya membawa Aisyah ke Jawi bersama dua orang saksi.

Manis mengenakan baju kurung dan bertudung, Aishah kini menjadi saudara Islam, bersama-sama umat Islam yang lain mengerjakan ibadah puasa yang dituntut agama suci itu.

Aisyah tetap pasrah dan reda dengan setiap ujian yang datang. Yakin, sesukar manapun perjalanan hidup, masih ada keindahan dan kemanisan yang akan dikecapi.


"Sekarang saya menetap di Setapak Indah, Kuala Lumpur bersama dua orang rakan perempuan.

"Walaupun tanpa ditemani keluarga, saya gembira mempraktikkan Islam bersama saudara Islam yang lain. Saya memiliki ramai rakan beragama Islam yang berlainan kaum dan kami bersama-sama mengerjakan ibadah puasa," katanya yang jauh di sudut hati, masih lagi mengharapkan penerimaan keluarganya.

Ulasnya, jiwa dan fikirannya tidak lagi berkecamuk seperti dahulu. Kini, selepas tiga bulan mendekatkan diri dengan agama Islam, Aisyah berasa tenang dan lebih bersemangat untuk meneruskan hidup.

Aisyah juga memberitahu, masa terluangnya banyak diisi dengan menghadiri kelas agama di Jawi, selain bekerja separuh masa sebagai agen kosmetik dan agen insurans.

Sementara itu, bagi Mohammad Kamal Meng Abdullah, 49, pula, pertama kali berpuasa menyebabkan dia hampir-hampir pernah ingin meneguk air kerana tidak tahan dengan tekak yang terasa kering dan dahaga.

Tetapi, semua itu hanya berlaku kira-kira empat tahun lalu. Kini, Kamal atau nama asalnya Kam Chee Meng, bukan sahaja berpuasa penuh, malah tidak pernah meninggalkan solat lima waktu.

Dia yang menetap di asrama di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur bersama 11 lagi saudara Islam lain akan memastikan dirinya bangun bersahur setiap hari.

Jelasnya, dengan bersahur sahaja sudah membuatkan umat Islam memiliki pahala sunat di bulan Ramadan.

Meskipun hanya bersahur air dan kurma, Kamal mampu mengharungi puasa sehingga waktu berbuka.

Lebih membanggakan, lelaki yang berasal dari Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu juga pandai membaca ayat al-Quran yang pendek.

Apabila diminta membaca beberapa potongan ayat al-Quran, kedengaran bunyinya pelat. Namun bacaannya tidak silap dan Kamal boleh membaca dengan tajwid yang baik.

Menurut anak keempat daripada lima orang adik-beradik itu, hatinya terbuka untuk memeluk Islam pada tahun 2005 apabila mendapati agama tersebut begitu indah.



MOHAMMAD KAMAL menadah tangan dan membaca doa sebelum berbuka puasa.
Sebelum ini, Kamal pernah menganut agama Buddha dan Kristian tetapi beranggapan agama Islam adalah agama yang realistik dan sempurna.

Dia yang dahulunya bekerja sebagai tukang masak seronok mempraktikkan Islam sehingga hayatnya.

Bagi Maimunah Sher Abdullah, 53, pula, dia baru sahaja memeluk Islam empat bulan yang lalu.

Maimunah yang dahulunya dikenali dengan nama S. Minder Kaur memberitahu, pertama kali berpuasa menyebabkan dia berasa pening dan hampir-hampir pitam.

Mungkin masih belum boleh menyesuaikan diri, Maimunah sentiasa melatih dirinya dan kini ibu kepada tiga orang anak itu mampu berpuasa penuh.

Maimunah mula memeluk Islam selepas dia merasakan hidupnya kosong selepas ditinggalkan suami. Dia yang kemudiannya menetap dengan adik-beradiknya mula berminat dengan agama Islam.

Anak lelakinya, Mohd Haikal Abdullah terlebih dahulu mengambil keputusan untuk memeluk Islam sebelum berkahwin dengan gadis Melayu.

Maimunah menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam kepada anaknya dan Mohd Haikal gembira dengan keputusan ibunya itu.

Malangnya, adik-beradik Maimunah tidak dapat menerimanya dan menghalau Maimunah keluar dari rumah.

Kini, Maimunah menetap di Segambut bersama rakan-rakan saudara Islam yang dianggapnya sebagai adik-beradiknya.


Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my
Read more...

Didik si kecil menabung



























Galak anak menyimpan sejak kecil pupuk tabiat kewangan berhemah

Lima hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya. Bagi kanak-kanak khususnya, tentu tidak sabar untuk meraikan hari lebaran itu terutama apabila mengingatkan duit raya yang bakal diterima

Ada juga yang sudah berangan-angan atau merancang untuk membeli pelbagai barang dengan menggunakan duit raya diperoleh. Lagi pun, bukan mudah untuk mengumpul duit yang banyak dalam masa singkat. Setahun sekali itulah peluang yang ada dan bagi kanak-kanak, sekali-sekala apalah salahnya ‘berbelanja besar’ dengan duit yang ada.

Bagaimanapun, sebagai ibu bapa perlulah mengingatkan kepada anak bahawa duit yang ada tidak boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya, malah jika boleh tanamkan dalam diri mereka sikap suka menabung.

Kaunselor Kredit Agensi Kaunseling & Perkhidmatan Kredit, Mohd Nasir Mustafa, berkata tabiat menyimpan atau menabung adalah nilai murni dan harus disemai sejak kecil lagi kerana wang simpanan itu boleh dijadikan kegunaan pada masa hadapan.

Beliau berkata, sikap suka menabung juga dapat mendidik anak mengenai kepentingan nilai wang dan mendisiplinkan mereka dalam menguruskan hal kewangan.

“Sebagai ibu bapa kita kena ubah sikap anak yang suka berbelanja tidak menentu dan pastikan mereka membuat tabungan sendiri dengan duit yang diperoleh. Untuk mendidik anak menabung, ibu bapa tidak perlu menunggu sehingga anak besar kerana tiada jangka waktu tertentu untuk menerapkan nilai baik itu. Malah, seelok-eloknya perlu dimulakan seawal yang boleh iaitu apabila kanak-kanak itu sudah mengenal huruf dan tahu menghargai apa yang dimiliki. Bukan saja menabung, tetapi juga menghargai barang lain yang dimiliki,” katanya.

Mohd Nasir berkata, mendidik, menggalakkan dan memberi kepercayaan kepada anak untuk bijak berbelanja sejak kecil turut akan memupuk tabiat kewangan yang baik di kalangan kanak-kanak. Sikap positif itu bukan saja akan berkekalan apabila anak memasuki alam persekolahan tetapi boleh berterusan sehingga mencapai ke sekolah menengah mahupun apabila mereka sudah bekerja suatu hari nanti.

Katanya, untuk anak yang sudah bersekolah ibu bapa boleh menggalakkan anak membuat mini bajet mereka sendiri iaitu mencatat atau merekod jumlah wang yang diperoleh dan perbelanjaannya setiap hari.

Berikan mereka wang saku supaya boleh membantu membina keupayaan anak merancang perbelanjaan dan menyediakan mini bajet berkenaan. Bagi memutuskan berapa banyak yang perlu diberikan kepada mereka, ibu bapa wajar fikirkan dengan teliti jenis perbelanjaan yang boleh digunakan untuk wang saku itu.

Misalnya, bagi belanja sekolah elok jika ibu bapa pergi tinjau harga makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah sebelum memutuskan berapa banyak wang saku yang diperlukan oleh anak anda.

Jika perlu, berikan wang saku dalam beberapa pecahan wang bagi menggalakkan mereka menabung. Contohnya, jika wang saku RM2, berikan anak anda wang kertas RM1, manakala selebihnya dalam bentuk wang syiling supaya dia boleh mengasingkan beberapa keping wang syiling untuk dimasukkan ke dalam tabung.

“Ambil langkah satu persatu dalam mendidik anak menabung. Misalnya, selain memberi wang saku anda juga boleh menyuruhnya membawa bekalan ke sekolah. Tengok macam mana corak perbelanjaan anak itu, adakah wang saku dan bekalannya habis atau masih ada lagi baki wang yang tidak dibelanjakan.

“Jika bekalan habis dan wang pun habis, anda perlu nasihatkan supaya berjimat serta kena beritahu anak betapa pentingnya menyimpan wang. Sebagai dorongan, elok juga adakan sistem ganjaran dan anak tentu teruja untuk menabung,” katanya.

Mohd Nasir berkata, selain memberikan wang saku secara harian ada juga ibu bapa yang mengamalkan mengikut mingguan dan juga bulanan kepada anak. Terpulang kepada ibu bapa untuk menentukan tetapi memberi elaun mingguan dan bulanan ada pro dan kontra.

Dengan jumlah yang banyak diterima anak mungkin terdorong belanja lebih daripada sepatutnya. Tetapi dengan memberi jumlah wang banyak dalam satu masa anak mungkin lebih bijak menguruskan dan mengimbangkan antara pendapatan serta perbelanjaan.

“Untuk kanak-kanak yang masih berada di sekolah rendah, lebih sesuai diberikan wang saku secara harian. Lagipun, ibu bapa tentu tidak mahu masalah lain timbul di sekolah apabila anak diberikan jumlah wang yang banyak seperti hilang, rakan lain buli dan sebagainya. Berbeza dengan anak yang sudah memasuki menengah, mereka lebih matang untuk menguruskan diri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jangan halang hak anak untuk mengeluarkan sedikit wang simpanan atau pelaburan mereka untuk membeli sesuatu kerana, jika ibu bapa menghalang mereka, mungkin akan melemahkan minat mereka untuk menabung atau melabur.

Sebaik-baiknya, beritahu anak bahawa jika wang simpanan dikeluarkan sebelum matlamat mereka tercapai, maknanya lebih lamalah masa yang akan diambil untuk mencapai matlamat mereka.

INFO: Antara langkah untuk menggalakkan anak menabung



Galakkan anak-anak anda menyimpan resit seperti pembelian buku, permainan atau barangan lain dalam sampul surat atau menyimpan jurnal perakaunan yang mudah bagi membolehkan mereka menjejaki perbelanjaan dan tabungan mereka. Kaedah ini boleh menanamkan tabiat merekodkan perbelanjaan supaya mereka boleh belajar mengurus kewangan mereka secara sistematik pada masa hadapan.


Bagi anak yang masih kecil pelbagai cara kreatif boleh digunakan. Misalnya, belikan tabung yang telus. Sambil anak memasukkan wang ke dalam tabung itu setiap hari, dia boleh tengok wangnya semakin bertambah dan tidak lama lagi bolehlah dia mencapai matlamatnya. Anak yang lebih besar boleh menyimpan rekod simpanan dalam buku nota dan buat pengiraan setiap minggu.


Tetapkan matlamat tabungan anak mungkin sejenis barang permainan yang istimewa, buku, basikal atau permainan Play Station yang terkini. Matlamat itu mestilah realistik dan boleh menggalakkan mereka untuk menabung. Matlamat itu mestilah matlamat anak, bukannya matlamat anda. Kemudian, tinjau kos barang yang hendak dibeli itu dan congak berapa banyak anak anda perlu menabung setiap minggu bagi membeli barangan berkenaan dalam satu jangka masa.


Jika boleh, setiap kali anda ke bank untuk berurusan atau untuk melabur dalam unit amanah, bawa sekali anak-anak dan bukalah akaun simpanan untuk mereka. Laburkan sebahagian daripada wang simpanan mereka dalam dana amanah dan ajak mereka sama-sam
Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my

Read more...