Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






22 August 2009

Persiapan mendapat berkat Ramadan

















Masjid sentiasa menjadi tumpuan di bulan Ramadhan.

BAGAIKAN menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruh mukmin di pelusuk dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Rasulullah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bahkan ketika Syaaban, Rasulullah mengajar sahabat doa: “Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan.”

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap:

l Tahap terbaik (khusus al-khusus) - Seseorang Islam yang berjaya mengawal puasanya bukan setakat makan dan minum tetapi mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasanya.

Khusus - Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia masih lagi tidak dapat mencegah diri dari maksiat batin.

l Umum - Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa juga perbuatan yang boleh membatalkan puasanya tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin.

Antara punca yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam hari ini masih berada pada tahap kedua dan ketiga disebabkan nilai dan mutu kehidupan seseorang itu sendiri yang masih berada di takuk lama walaupun menyedari sedang berpuasa. Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan yang melebihkan tumpuan dalam hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah dengan sepenuhnya dan makan serta tidur yang berlebihan.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan Allah akan mengampuni dosanya yang lalu” (riwayat Muslim).

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatan-mu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (riwayat Bukhari).

Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dilaksanakan, kita perlu memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan berkat ini. Antaranya ialah:

l Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

l Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.

l Mengurangkan tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan.

l Beriktikaf dalam masjid terutama pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

l Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

l Usah terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh sepanjang bulan ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu:

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah fardu dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”

Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mengharap keberkatan dan pahala yang berlipat ganda dari Allah Taala. Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.



Read more...

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1430H























Read more...

20 August 2009

Lelaki luah perasaan tanpa kata-kata























Gambar Hiasan

ANDA mungkin antara wanita bertuah. Cantik, berjaya dan hidup mewah kerana memiliki kerjaya hebat. Kalau sudah berkeluarga, anda bagaikan menghampiri kesempurnaan kerana dianugerahi suami penyayang serta dilimpahi kemewahan. Ringkasnya, apa lagi yang anda dambakan dalam hidup kerana semuanya sudah dimiliki.

Percaya atau tidak, jika pada zahirnya anda kelihatan sempurna, hakikatnya dalam hubungan bersama suami, masih banyak kekurangan diri yang perlu diperbaiki.

Hubungan dengan suami atau teman lelaki ada ketikanya melalui fasa agak sukar kerana berlaku salah faham, kurang prihatin atau silap tanggapan terhadap sesuatu perkara.

Ia mungkin nampak kecil hanya disebabkan wanita kurang memahami suami atau teman lelaki atau mungkin, suami atau teman lelaki yang tidak faham naluri dan kehendak wanita.



Dalam hal ini, ada sesuatu harus dipelajari kedua-duanya untuk mencapai persefahaman. Panduan berikut mungkin boleh digunakan untuk lebih memahami pasangan:


Wanita suka melihat sesuatu perkara remeh bagi lelaki itu sebagai perkara besar, contohnya soal pilih gerai makan.

Wanita cerewet memilih gerai makan sehingga suka tarik muka jika gerai itu tidak berkenan di hati, sedangkan lelaki anggap soal makan agak mudah, boleh makan di mana saja.


Wanita sensitif tidak tentu pasal kerana inginkan perhatian sedangkan lelaki banyak memikirkan perkara penting.


Wanita suka diberi perhatian dan ada kalanya manja tidak bertempat. Sikap ini menyebabkan mereka 'syok sendiri' dan suka dipuji. Jika tidak dipuji mereka mungkin merajuk.


Ada wanita terlalu perasan dan mudah menjeruk perasaan kerana sering mengharapkan lelaki memahami mereka sedangkan mereka tidak mahu memahami lelaki.


Lelaki tidak suka menunjukkan perasaan mereka melalui kata-kata, tetapi hanya memerhati. Wanita harus terima hakikat itu.


Ada wanita suka membeli-belah terlalu lama hingga membosankan lelaki, menyebabkan lelaki malas dan tidak beri perhatian pada sikap wanita yang suka menghabiskan masa untuk tujuan itu.


Ada wanita terlalu banyak cakap mengenai diri orang lain dan mudah ke arah 'mengata dan mengutuk' jika dilayan kata-kata mereka, ini menyebabkan lelaki suka berdiam diri.


Lelaki lebih suka menyuarakan perasaan hati mereka melalui perbuatan dan bukan perkataan.


Lelaki suka berdiam diri dan tidak suka bising, tetapi tidak bermakna mereka tidak prihatin kepada anak dan isteri.


Suami tidak suka diperintah, dikongkong dan dikawal. Jika isteri atau teman wanita melakukan 'kawalan' kepada lelaki, dia akan bosan dan tidak akan memberi perhatian kepada apa juga permintaan wanita.


Adakalanya wanita kurang bijak menunjukkan kasih sayang kepada suami, tetapi hanya mengharapkan suami memberi kasih sayang.


Jangan terlalu bergantung pada suami dan teman lelaki pada perkara yang mampu wanita lakukan, tetapi ada pula wanita yang suka bergantung harap sangat kepada suami dengan tujuan suami sentiasa berada di sisi mereka. Ini mungkin tidak digemari suami atau teman lelaki.


Wanita mesti memahami diri mereka sendiri dan peranan mereka serta mengubah perangai mengikut peringkat umur dan keperluan.

Jika masih muda elok juga merajuk, tetapi jika sudah mempunyai anak ramai dan berusia, elakkan perbuatan itu kerana ia tidak memberi faedah.


Sesetengah wanita suka bertanya itu dan ini kepada suami atau teman lelaki, tetapi tidak suka kepada jawapan diberikan mereka. Ini membuatkan suami atau teman lelaki bosan melayan soalan wanita.


Wanita tidak perlu menunjuk-nunjuk kecantikan, kepandaian dan kekayaan mereka. Kelebihan itu mungkin memperbodohkan lelaki sehingga mereka tidak berminat melayan kerenah wanita sedemikian.
Read more...

19 August 2009

Peluk anak setiap hari






















Gambar Hiasan.

MEMBESARKAN anak adalah pengalaman berharga buat mereka yang bergelar ibu bapa. Melalui proses sejak kecil sehingga menuju kedewasaan, orang tua bakal berdepan pelbagai pengalaman.

Kata bijak pandai, acuan yang baik diasaskan ketika anak masih kecil kerana ia bakal menjurus kepada pembentukan seterusnya.

Bahkan, ada yang mengatakan proses pembentukan terbaik adalah ketika masih dalam kandungan kerana di situ bermulanya asas terbaik.

Namun, ramai yang mengeluh kerana sikap anak-anak kini yang di luar kawalan disebabkan pengaruh rakan sebaya yang boleh menggoyahkan disiplin diri.



Mulakan hidup anak dengan panggilan nama yang baik. Panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak malu dan berasa rendah diri.


Berikan anak pelukan setiap hari kerana kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan kebijaksanaan minda atau otak yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.


Pandanglah anak dengan pandangan kasih sayang (pandangan ini akan membuatkan anak lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran).


Berikan peneguhan setiap kali anak berbuat kebaikan (berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).


Jangan harapkan anak yang belum matang melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan itu membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuk melakukan kesilapan.


Apabila berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga (ini kerana anak-anak akan terus membesar sedangkan masa terus berlalu dan tidak akan kembali).


Dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, ibu bapa jangan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.


Dengarlah cerita anak kerana cerita itu tidak akan dapat didengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (ini akan mengajar anak mengenai giliran untuk bercakap).


Tenangkan anak setiap kali mereka memerlukannya.


Tunjukkan kepada anak cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.


Buat sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut hari lahirnya. Sediakan hadiah yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak belajar menghargai. (Anak-anak yang lahir daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).


Kemungkinan anak menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan anda mengajar mereka lebih daripada sekali.


Luangkan masa bersama anak di luar rumah, pegang tangan anak-anak apabila berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan berasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.


Dengar mimpi ngeri anak-anak. Mimpi ngeri mereka begitu realistik dalam dunia mereka.


Hargai permainan kesayangan anak. Pada masa sama, mereka akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Minta kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.


Jangan membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.


Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.


Terimalah hakikat yang kadangkala anda bukan ibu bapa sempurna. Ini akan mengurangkan tekanan menjadi ibu bapa.


Read more...

18 August 2009

Mengembali nostalgia sejarah warisan dunia


















Eye On Melaka serta bangunan yang dilimpahi cahaya lampu merupakan salah satu senario yang dapat dilihat sepanjang perjalanan menaiki River Cruise Melaka.

SEPERTI yang diketahui umum, sejarah Kesultanan Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara, seorang raja Srivijaya dari Palembang yang memerintah pada tahun 1400 hingga 1424.

Melaka memperoleh namanya sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh.

Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku di mana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja.

Melihatkan kejadian itu, Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai negeri Melaka.

Kini Melaka digelar sebagai bandar raya bersejarah kerana ia sememangnya merupakan sebuah negeri di Malaysia yang kaya dengan sejarah.

Boleh dikatakan segenap cerok pastinya mempunyai sejarahnya tersendiri dan salah satu tempat yang mempunyai nilai-nilai sejarah ialah Sungai Melaka.

Sungai Melaka merupakan sungai yang terpenting semasa kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan ia mempunyai nilai sejarah yang tersendiri kerana di kiri kanan sungai itu merupakan kawasan perbandaran, penempatan, perkuburan, perniagaan, perkapalan, pelabuhan dan banyak lagi sejak ratusan tahun yang lalu.

Lantaran itu keputusan kerajaan negeri Melaka pimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk mengindahkan Sungai Melaka sebagai destinasi pelancongan adalah satu keputusan yang tepat dan ia pernah mendapat gelaran 'Venice of the East' daripada orang Eropah pada satu ketika dahulu.

Sungai yang muaranya terletak di Bandar Hilir itu menyimpan pelbagai kisah dan cerita bermula zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga peralihan masa kepada zaman penjajahan Belanda, Portugis, Inggeris dan Jepun.

Satu ketika dulu, Sungai Melaka pernah dilabel antara sungai paling tercemar di negara ini dan kini kerajaan negeri bangun mengembalikan kegemilangan Sungai Melaka.

kegemilangan

Pelbagai usaha serta pendekatan dilakukan dalam usaha memulih dan mengembalikan kegemilangan sungai itu yang satu ketika dulu merupakan pusat dagangan utama di Asia Tenggara.

Sedikit demi sedikit, wajah Sungai Melaka pada hari ini berjaya ditransformasi melalui peruntukkan yang disalurkan oleh kerajaan Pusat sebanyak RM320 juta.

Usaha tersebut ternyata tidak sia-sia apabila hari ini lebih banyak produk pelancongan baru ditambah seperti hotel bertaraf lima bintang, restoran eksklusif dan kedai cenderamata yang banyak dibina di sepanjang sungai.

Menurut Pemandu Pelancong Melaka, Shaukani Abbas, transformasi tersebut turut meliputi usaha mengindahkan dengan konsep pencahayaan kawasan antara Jambatan Hang Jebat hingga ke Jambatan Hang Tuah.

''Dalam masa yang sama Jambatan Hang Tuah dan Jambatan Hang Jebat turut dinaik taraf, pembaikan jambatan pejalan kaki di Kampung Morten dan jambatan pejalan kaki berhampiran stesyen bas ekspres lama serta pembaikan Jambatan Tan Khoon Cheng selain beberapa projek pembangunan di kawasan muara Sungai Melaka.

''Sekitar perkampungan tradisional Melayu Kampung Morten, disediakan laluan pejalan kaki di sepanjang Sungai Melaka yang dikenali sebagai River Boardwalk,'' katanya.

Tidak cukup dengan itu, dalam usaha merancakkan lagi kemasukan pelancong asing dan tempatan, perkhidmatan River Cruise Melaka telah diperkenalkan.

River Cruise Melaka membolehkan pengunjung menyusuri Sungai Melaka dan kini ia muncul antara aktiviti pelancongan popular di negeri Melaka terutama di waktu malam.

Dengan menaiki River Cruise Melaka, anda dapat mengalami pelayaran menakjubkan sejauh enam kilometer menyusuri Sungai Melaka selama 45 minit.

Menurut Ali Rustam, perkhidmatan River Cruise Melaka akan dikembangkan lagi dan kini kerajaan negeri telah menempah teksi air dalam usaha menjadikan pengangkutan air sebagai salah satu kemudahan selain jalan raya.

''Kita telah menempah teksi air yang bermuatan 15 penumpang dari United Kingdom dan akan sampai dalam tempoh sebulan.

''Hari ini kita mempunyai River Cruise Melaka yang membawa pelancong menyelusuri Sungai Melaka dan selepas ini kita akan menyediakan perkhidmatan makan malam atas bot pula.

''Ini akan dipromosikan di hotel-hotel dan saya menjangkakan hujung November ini makan malam atas bot boleh dimulakan,'' ujarnya ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.

Ketika anda menaiki River Cruise Melaka, anda akan dapat menikmati pemandangan bangunan dan rumah kedai peninggalan era Belanda, rumah-rumah tradisional Melayu dan banyak lagi pemandangan yang menarik peninggalan sejarah warisan dunia.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai tarikan baru turut diwujudkan di sepanjang sungai antaranya kincir air, Eye On Melaka, air pancut muzikal dan banyak lagi untuk mempopularkan lagi Sungai Melaka di pentas antarabangsa.

Yang paling menarik kincir air yang dibina pada tahun 2007 dan siap dibina pada tahun 2008 berstrukturkan teknologi Islam yang boleh diperoleh di Syria dan Lijiang, China.

Jelas Shaukani lagi, sepanjang perjalanan selama 45 minit itu, pelancong akan melalui tujuh jambatan iaitu jambatan Kampong Morten, jambatan stesyen bas espress lama, jambatan Hang Tuah, jambatan Pasar, jambatan Kampong Jawa, jambatan Chan Koon Cheng dan jambatan Tan Kim Seng.

''Pelayaran dengan River Cruise Melaka akan bermula dari Taman Rempah ke Muara Sungai dan ia akan berakhir di Taman Rempah semula.

''River Cruise Melaka menyediakan bot biasa dan bot khas di mana bot biasa orang dewasa akan dikenakan bayaran sebanyak RM10 manakala kanak-kanak RM5.

''Sementara itu untuk bot khas RM20 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak dan bagi bot khas ia hanya disediakan setiap hujung minggu dan bot tersebut turut disediakan hiburan,'' tambahnya.

River Cruise Melaka beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam.

Bagaimanapun hari ini, Sungai Melaka menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan pelancong tempatan malah turut dibanjiri pelancong asing yang terpegun dengan wajah baru sungai itu terutama keindahannya pada waktu malam.

Oleh mariatul qatiah zakaria
(Mengikuti Program Meneroka Melaka Bandar Raya Warisan Dunia UNESCO 2009 di Melaka, baru-baru ini)

Read more...

17 August 2009

Merawat anak demam






















Sentiasa awasi suhu badan anak ketika demam.
APABILA anak demam, ibu bapa disaran segera membawa anak berjumpa doktor terutama jika mereka tidak mempunyai pengetahuan untuk merawatnya.

Demam adalah keadaan di mana suhu berada di atas tahap normal iaitu 38 darjah Celsius. Namun demam yang sesungguhnya ialah apabila suhu melebihi 38.5 darjah Celsius.

Tip penting semasa merawat anak demam:

lMencari penyebab demam dan perhatikan perilaku anak. Jika perilaku anak hampir sama seperti biasa, maka anda tidak perlu risau kerana demam biasa adalah tidak berbahaya.

lCegah dehidrasi kekeringan cecair dalam badan. Bayi dan kanak-kanak berisiko mengalami dehidrasi. Berikan anak lebih banyak cecair seperti air, kuah sup, jus buah segar yang dicampur air dan sebagainya.

lJika anak muntah atau cirit-birit, berikan minuman garam oral bagi menggantikan cecair yang telah keluar daripada badan.

lPastikan bilik anak tidak panas. Pasang kipas atau pendingin hawa dan pakaikan anak baju nipis.

lBeri anak makan apa yang diingininya. Jangan dipaksa. Elakkan makanan berlemak kerana makanan ini sukar dihadamkan oleh tubuh.

lWalaupun sebaiknya anak tidak ke sekolah kerana bimbang berjangkit dengan kanak-kanak lain, namun ini bukan bermakna anak harus berada di tempat tidur seharian.

lIbu bapa harus berjumpa doktor apabila bayi mereka yang berusia tiga bulan mempunyai suhu melebihi 38 darjah Celsius, tiga hingga enam bulan dengan suhu lebih 38.3 darjah Celsius, lebih enam bulan dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.

lBerbincang dengan doktor jika terdapat tanda-tanda tidak mahu minum atau terdapat tanda dehidrasi, gelisah, muntah atau cirit-birit.

lAnak nampak tidak selesa, gelisah atau asyik menangis.

lAsyik tidur dan sukar dikejutkan.

lSering kejang, kaku atau sakit kepala yang teruk.


Read more...

16 August 2009

Upin & Ipin ke peringkat antarabangsa





















Upin & Ipin membawa lembaran baru dalam filem animasi tempatan

FILEM Geng: Pengembaraan Bermula telah mendapat satu lagi pengiktirafan bertaraf global apabila meraih kejayaan bagi kategori Audience Choice Award dalam Indonesian International Film Festival for Kids 2009 (Kidsfest 2009) di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Filem anismasi tiga dimensi (3D) pertama Malaysia ini merupakan satu-satunya filem tempatan yang tercalon untuk bersaing dengan filem luar negara seperti The Happiness of Kati' (Thailand), The Letter for the King (Belanda), Mia & The Migoo' (Perancis), Niko & The Way to the Stars (Finland) dan 'Teo's Voyage' (Mexico).

Filem hasil karya Produksi Les' Copaque ini mempamerkan gelagat lucu sepasang kembar comel yang telah berjaya menambat hati penonton.

Filem tersebut buat kali pertama ia ditayangkan di Blitz Megaplex pada 18 Julai lepas.

Kembar kesayangan ramai ini telah pun mempunyai pengikutnya sendiri setelah muncul di saluran TPI Indonesia pada tahun lepas.

Dengan sambutan yang hebat ini, Produksi Les' Copaque yakin bahawa filem ini bakal menjadi gempar apabila ia ditayangkan di Blitz Megaplex, Indonesia September ini.

Ini akan menjadikan filem Geng sebagai filem animasi tempatan pertama yang mendapat keistimewaan tayangan perdana di Indonesia.

Segala persiapan bagi mempromosikan filem ini sedang diusahakan bagi menghangatkan lagi kemunculannya.

Siri mini animasi 3D Upin & Ipin mendapat sambutan yang menggalakkan setelah ditayangkan di saluran TPI Indonesia pada tahun lalu.

Kini TPI Indonesia masih lagi meneruskan tayangan Upin & Ipin musim kedua yang memaparkan aktiviti mereka sepanjang bulan Ramadan.

Siri mini Upin & Ipin kini telah pun memasuki musim ketiga dengan cerita yang lebih menarik dan berintipatikan imej global.

Produksi Les' Copaque berharap ini akan menjadi pemangkin pada jualan barangan Upin & Ipin serta akan menambahkan lagi bilangan peminat apabila filem Upin & Ipin Angkasa yang dijangka muncul pada 2011.

Geng akan meneruskan lagi perjuangannya untuk ke peringkat antarabangsa dan bakal menggegarkan pawagam di India pada bulan November ini berikutan minat yang mendalam dari syarikat antarabangsa.

Trailer yang telah dialih bahasa ke bahasa Hindi boleh disaksikan di laman web http://www.indiatales.com.

Filem Geng: Pengembaraan Bermula telah ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Februari lalu.

Filem ini telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila berjaya mencatatkan kutipan kedua tertinggi dalam sejarah perfileman iaitu sebanyak RM6.314 juta untuk hasil jualan tiket sahaja.

Ini telah menaikkan lagi penjualan barangan cenderahati dan telah berjaya menarik TM-salah sebuah rangkaian telekomunikasi
terkemuka untuk menjadi penaja utama siri ini
Read more...

15 August 2009

Masjid Selat atas laut


















MELAKA bukan sahaja merupakan sebuah negeri yang kaya dengan peninggalan sejarah tetapi ia juga merupakan sebuah pusat penyebaran dan perkembangan Islam yang terulung di Nusantara.

Sehubungan itu, masjid-masjid telah didirikan untuk dijadikan tempat belajar ilmu agama seperti fikah, usuluddin, tasauf, tafsir dan mengaji al-Quran.

Masjid-masjid yang kekal hari ini menjadi monumen dan warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.

Tidak hanya setakat itu, kerajaan negeri Melaka turut membina masjid-masjid baru dalam usaha meningkatkan lagi syiar Islam di samping memenuhi keperluan berikutan pertambahan penduduk di negeri itu sendiri.

Terbaru dan terkini, Masjid Selat, Melaka, yang dibina di Pulau Melaka dan terletak di tepi Selat Melaka, selat yang terpanjang dan tersibuk di dunia.
















Menelan belanja hampir RM11 juta, masjid tersebut yang dibina di atas tanah yang berkeluasan 1.8 hektar mempunyai ciri-ciri seni bina Melayu dan Timur Tengah.

Daripada jumlah RM11 juta, kerajaan Persekutuan memberi peruntukan sebanyak RM7 juta.

Masjid tersebut mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah pada satu-satu masa.

Ia mula dibina pada Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika itu pada 24 November 2006.

Menurut Pemandu Pelancong, Shaukani Abbas, masjid tersebut penting kerana ia dapat meniup semangat baru kepada seluruh masyarakat Islam di negeri ini.

Ini kerana, katanya, masjid berkenaan terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan eksklusif selain perumahan yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama.

Beliau memberitahu, selain untuk tujuan solat, rakyat dan para pelancong juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pemandangan di perairan Selat Melaka pada bahagian pelantar masjid.

"Pembinaan masjid tersebut di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan Bandar Hilir adalah mercu tanda baru di negeri ini serta menunjukkan usaha kerajaan negeri yang sentiasa meningkatkan syiar Islam.

"Masjid yang dibina di atas permukaan laut berdekatan pulau buatan manusia ini akan menjadi satu lagi mercu tanda dan tarikan pelancongan di negeri ini," ujarnya ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.

Jika diteliti, seni bina dan kedudukan Masjid Selat, Melaka, amat menarik. Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, masjid berkenaan begitu mirip sebuah masjid terapung yang terdapat di bandar Jeddah, Arab Saudi.

Untuk pengetahuan bersama, masjid tersebut merupakan ilham daripada Ali Rustam yang pernah menyertai lawatan ke Jeddah satu ketika dahulu.

Jika kita meninjau masjid ini dengan lebih dekat lagi, pastinya seribu ketenangan jiwa tercipta bagi melupakan sebentar segala cengkaman masalah dunia.

Masjid yang didominasi rona putih lambang kesucian, benar-benar jelmaan keindahan dan kehalusan seni bina bagi menarik hamba-hamba-Nya supaya lebih dekat dengan Allah SWT.

Bersujud di dalamnya sambil dihembus angin selat yang bertiup pastinya menjadikan solat tarawih sempena bulan Ramadan ini misalnya adalah terbaik pernah kita laksanakan.

Pada masjid ini terdapat pelbagai keunikan yang sukar untuk diungkap melalui kata-kata. Namun yang paling ketara ialah binaan menaranya yang setinggi 30 meter. Menara yang menjulang tinggi di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat itu sebenarnya tidak sekadar menara untuk melaungkan azan ke seluruh alam. Sebaliknya, dengan kedudukan fizikal terletak di pinggiran selat itu maka menara itu mempunyai dwi fungsi sebagai Rumah Api.

Rumah Api yang mengeluarkan cahaya amaran kepada perahu-perahu sehinggalah kapal-kapal yang melalui Selat Melaka itu. Memberikan juga panduan kepada pesawat yang terbang di ruang udara.

Kubah Besar Masjid Selat yang mampu dilihat jelas dari jarak jauh dengan warna biru keemasan yang bergabung dengan birunya air laut, mencetuskan satu lagi fenomena perpaduan yang menjadi tunggak Melaka Bersejarah.

Ini kerana ada rekod sejarah yang mengatakan walaupun bangsa-bangsanya terdiri dari Melayu, Cina yang digelar Baba dan Nyonya sehinggalah India dikenali sebagai Jawi Peranakan atau Chettiar, itulah uniknya Melaka, mereka kesemuanya bersatu atas nama Islam.

Siri lawatan ke Melaka kini tidak akan lengkap jika kita tidak mengunjungi Masjid Selat.

Walaupun mungkin akan lebih dipengaruhi emosi dan nostalgia sejarah dengan keunikan-keunikan Masjid-masjid lain seperti Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Kampung Hulu, Peringgit dan sebagainya.

Rekaan masjid ini mendaulatkan konsep seni bina Melayu. Ini apabila kita dapati elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian menjadi konsep rekaan.

Empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah yang besar. Iaitu kubah besar yang indah dan unik menaungi Dewan Besar Solat yang berukuran 24 diameter.

Masjid Selat begitu lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi segala fungsi dan aktiviti yang mengimarahkan masjid.

Selain Dewan Solat, terdapat Dewan Serba Guna, Perpustakaan, Kelas-kelas Pengajian dan sebagainya.

Namun pandangan mata begitu tertumpu juga kepada keindahan seni buatan mimbar masjid ini. Berasaskan kepada kayu jati, mimbar tersebut diukir dengan seni ukiran yang sangat halus bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bunga.

Seni-seni kaligrafi, ayat-ayat suci al-Quran turut memenuhi ruang dan dinding masjid.

Seni muqarnas di bahagian atas mihrab terdiri dari jubin-jubin yang terpilih namun dibina dengan paten-paten geografi dengan kedalaman yang berbeza bagi menghasilkan sistem bunyi akustik baik dan mengurangkan gema.

Untuk kenal lebih dekat, marilah ke Masjid Selat bagi memperhebatkan lagi ibadat dan menyuntik lagi semangat Ramadan tahun ini!


Read more...

H1N1 ancaman kepada ibu hamil






















MINUM air dengan banyak mampu meningkat tahap kesihatan ibu mengandung.

KALI terakhir dunia diserang wabak pandemik influenza A ialah dalam tahun 1918. Wabak yang melanda selama lebih kurang dua tahun itu dikenali sebagai Spanish Flu telah menyebabkan kematian lebih 50 juta manusia di seluruh dunia.

Kini wabak daripada virus yang sama iaitu H1N1 daripada jenis influenza A kembali menjadi pandemik yang membimbangkan penduduk dunia.

Salah satu golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit ini ialah ibu mengandung.

Terdapat beberapa faktor mengapa ibu mengandung dikategorikan sebagai berisiko untuk terkena jangkitan virus H1N1.

Pakar perbidanan dan sakit puan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. S. Silvam berkata, ketika mengandung lazimnya pernafasan wanita terbabit akan berubah berbanding wanita normal.

"Ketika mengandung, rahim akan mengembang dan meningkatkan tekanan pada bahagian usus sekali gus menyebabkan pengembangan diafram (bahagian antara paru-paru dan perut) terhad dan membuatkan nafas tersekat-sekat (pendek).

"Keadaan akan menjadi bertambah buruk jika wanita hamil tersebut dijangkiti H1N1 yang lazimnya akan menyerang sistem pernafasan dengan memasuki bahagian kerongkong pesakit," jelasnya ketika ditemui di kliniknya yang terletak di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Selain itu, menurut Dr. Silvam sistem imuniti (kekebalan tubuh) bagi ibu mengandung juga rendah menyebabkan mereka mudah terdedah dan mendapat jangkitan penyakit termasuk H1N1.

Jadi walaupun seorang ibu mengandung itu berada dalam tahap kesihatan yang memuaskan mereka tetap berisiko untuk dijangkiti kuman kerana kuasa daya lawan penyakit kurang ketika mengandung.

Dr. Silvam berkata, apabila ibu mengandung berhadapan dengan masalah kesihatan, doktor yang merawat akan lebih berwaspada untuk memberi ubat-ubatan kerana takut mendatangkan kesan negatif kepada bayi dalam kandungan.

"Dalam tiga peringkat mengandung, pertama, kedua dan ketiga trimester, peringkat pertama dan ketiga perlu diberi perhatian. Peringkat ketiga mengandung lebih berisiko untuk mendapat jangkitan dan kesannya sehingga boleh menyebabkan kematian.

"Di Amerika Syarikat, setakat ini sudah lebih 300 kematian akibat H1N1 dan antara lima dan enam peratus mangsa adalah daripada kalangan ibu mengandung.

"Perlu diingatkan juga bahawa wabak ini masih belum menemui penawarnya justeru langkah pencegahan sebelum terkena amatlah penting," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, ibu mengandung dinasihatkan jangan pergi ke tempat yang menjadi tumpuan ramai orang kerana dikhuatiri akan mengalami jangkitan daripada orang yang tidak dikenali.

Sekiranya terdapat sedikit simptom seperti demam, selesema, sengal-sengal sendi dan sebagainya, sebaiknya mereka mengasingkan diri (kuarantin) di rumah dan pakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan daripada menjangkiti ahli keluarga lain.

"Kurangkan mencium anak-anak lain dan mesti buang topeng, tisu bekas hingus dan batuk ke tempat yang tertutup," jelasnya.

Rawatan

Dr. Silvam menerangkan apa yang penting ialah setiap ibu mengandung tidak perlu panik apabila muncul simptom sebaliknya segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pengesahan tentang sama ada mereka telah terkena jangkitan.

"Pengesahan boleh dilakukan melalui ujian dengan mengambil sampel air liur untuk dihantar ke makmal.

"Rawatan profilaksis atau cara untuk mengelak daripada terkena jangkitan dengan menggunakan antiviral juga boleh diberi kepada ibu mengandung.

"Virus ini masih tiada ubatnya dan apa yang perlu dibuat ialah menjaga kebersihan diri sebaik mungkin," katanya.

Selain itu, Dr. Silvam menambah, apa yang perlu ditekankan ialah pentingnya pemahaman tentang penyakit ini.

Apabila simptom Influenza A H1N1 ini terjadi kepada wanita hamil, doktor akan memberikan rawatan secara simptomatik iaitu rawat satu persatu masalah mereka.

"Jika demam, maka doktor akan merawat demam hingga baik. Jika demam terlalu tinggi memang akan membahayakan ibu dan bayi tetapi ibu akan dirawat dengan memberikan beberapa dos paracetamol.

"Begitu juga jika selesema dan batuk. Jika simptom terjadi pada trimester pertama kandungan, doktor akan lebih berhati-hati dalam memberi ubat kerana khuatir risiko ubat kepada bayi.

"Tetapi kalau selesema si ibu agak teruk maka mereka perlu dirawat dengan ubat yang diberi nama Tamiflu dan Revenza," jelasnya lagi.

Sewaktu kelahiran dan penyusuan bayi

Dr. Silvam berkata, jika simptom H1N1 terjadi kepada ibu yang hendak bersalin perkara paling tidak digalakkan oleh doktor ialah memberi ubat mempercepat kelahiran (induce). Ini kerana induce akan menyebabkan bayi mudah dijangkiti virus.

"Sebaiknya ibu perlu melahirkan bayi secara normal apabila tiba masanya. Ketika meneran untuk bersalin sudah tentu ibu yang mempunyai simptom tidak boleh memakai topeng (penutup hidung dan mulut), jadi orang di sekeliling mestilah mengambil langkah keselamatan dengan memakai topeng dan basuh tangan dengan bersih.

"Dalam tempoh 72 jam selepas ibu melahirkan dan menerima rawatan, ibu tersebut dianggap tidak menyebarkan virus tetapi langkah pencegahan kebersihan masih perlu diikuti dengan teliti. Sebagai contoh menutup mulut ketika batuk dan cuci tangan dengan kerap," jelasnya.

Dr. Silvam berkata, sebaiknya ibu yang baru melahirkan memberikan susu badan kepada bayi mereka dan jangan berhenti kerana susu ibu banyak antibodi yang membantu menguatkan ketahanan bayi daripada dijangkiti penyakit.

"Virus H1N1 tidak akan berjangkit menerusi susu ibu. Yang penting amal langkah berjaga-jaga, jangan terlalu dekat dengan orang lain dan jika ada sentuhan pastikan tangan dicuci dengan bersih," ujarnya.


Read more...

14 August 2009

Majlis Persaraan Guru Besar SK Seri Laksamana,Masjid Tanah.Melaka.





















Tarikh :14 Ogos 2009 Masa :8.30am Tetamu Kehormat-Tn.Hj.Isa Hj.Abu,Pengarah Pelajaran Melaka.Yang diraikan,Pn.Hjh.Siti Minah bt.Mahamud,Guru Besar,SK Sri Laksamana,78300 Masjid Tanah.Melaka




























Read more...