Gambar hiasan.
PELAN Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 sedang disemak semula supaya sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat. Tindakan ini memang perlu dan penting demi kesejahteraan dan pembangunan pendidikan negara.
Malah semakan terhadap PIPP ini juga jelas memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan pendidikan luar bandar dan juga pendidikan rendah, sesuatu yang akan menentukan kejayaan sistem pendidikan negara.
UNESCO pada 2001 menetapkan Matlamat Pembangunan Pendidikan Millennium Kedua (MDG) untuk memastikan semua kanakkanak yang berumur tujuh tahun bersekolah di seluruh dunia pada 2015. Sehingga 2006, data menunjukkan lebih 115 juta pelajar tidak bersekolah manakala lebih 150 juta lagi keciciran atau tidak berjaya menamatkan pengajian di sekolah rendah di seluruh dunia.
Di Malaysia sahaja, data kementerian mengenal pasti terdapat seramai 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur tujuh tahun tetapi masih belum berpeluang ke sekolah rendah.
Kajian oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkaitan kadar pulangan pelaburan pendidikan mendapati, pendidikan sekolah rendah memberikan pulangan modal perseorangan dan modal sosial yang paling tinggi berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan untuk sekolah menengah dan universiti.
Maksudnya setiap ringgit yang dibelanjakan untuk menjayakan pendidikan rendah akan menyebabkan masyarakat mendapat pulangan hasil yang lebih tinggi termasuk penjimatan kos pengurusan, misalnya pendidikan menangani masalah sosial seperti penagih dadah dan jenayah.
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan penekanan kepada pendidikan rendah. Sesetengah orang tidak dapat membezakan antara pendidikan asas dan sekolah rendah.
Apakah yang dikategorikan sebagai pendidikan asas? Tentulah bidang ilmunya dan bukan status sekolah tersebut. Maknanya pelajar diberikan ilmu asas bukannya ilmu rendah. Ilmu asas di sekolah rendah boleh sahaja menjadi sangat mustahak, penting dan tinggi nilainya berbanding ilmu di sekolah menengah atau di universiti sekalipun. Penting pada pelajar dan lebih-lebih lagi pada pembangunan negara.
Jika ilmu asas tidak kukuh, maka ilmu lanjutan yang dipelajari di sekolah menengah dan universiti tentunya tidak jelas atau berkualiti tinggi di dalam diri pelajar. Kebetulannya di kebanyakan negara, pendidikan asas dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah, maka kekeliruan ini berterusan di dalam masyarakat.
Pendidikan asas sebenarnya satu komponen ilmu yang diberikan kepada individu meliputi asas-asas kehidupan sama ada sebagai seorang individu manusia dan sebagai seorang ahli dalam sebuah negara.
Maka itu, pendidikan asas sering kali dikaitkan dengan akronim 3M (membaca, menulis dan mengira).
Sebenarnya pendidikan asas lebih daripada itu kerana pendidikan asas juga meliputi soal pendidikan kesihatan dan penjagaan diri, kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi serta berkaitan dengan pembangunan moral dan agama. Oleh itu apabila pendidikan rendah hanya menekankan soal pendidikan berkonsepkan 3M maka matlamat pendidikan asas gagal dicapai sepenuhnya semasa di sekolah rendah.
Pendidikan asas juga seharusnya tidak melibatkan satu proses pengaliran (streaming) yang rigid. Malah penilaian yang dilakukan kepada pelajar untuk pendidikan asas bukanlah sepatutnya melihat siapa yang paling pandai tetapi tumpuan sepatutnya diberikan untuk setiap pelajar mencapai tahap-tahap yang sepatutnya dicapai sepanjang program pendidikan asas.
Oleh itu, penggredan yang terlalu ketat melalui peperiksaan 'membunuh' potensi pelajar di dalam sistem pendidikan asas. Penilaian sepatutnya mengukur tahap-tahap yang telah dan belum dicapai tanpa membandingkan dengan ahli kumpulan yang lain.
Maka tidak hairanlah ada negara yang menggunakan istilah "sekolah asas" berbanding sekolah rendah. Pendidikan asas adalah satu konsep yang besar dan luar.
Tanpa mengira usia atau ruang, pendidikan asas boleh sahaja bermula sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti atau di usia tua.
Maka pendidikan untuk orang dewasa juga meliputi aspek ilmu asas. Jika seseorang dewasa ingin mempelajari asas komputer dan teknologi maklumat maka kurikulum pendidikan asas sepatutnya menyediakan peluang pendidikan tersebut, berbanding pendidikan sekolah rendah yang hanya tertumpu kepada kanak-kanak semata-mata.
Justeru itu, ke manakah golongan dewasa yang buta huruf perlu pergi jika mereka ingin belajar? Apakah kita akan menghantar mereka ke sekolah rendah untuk mempelajari pendidikan asas membaca, menulis dan mengira?
Malangnya masyarakat sering melihat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai sangat penting tetapi melihat ujian asas seperti kebolehan membaca, menulis dan mengira atau sebarang peperiksaan untuk pendidikan asas tidak begitu penting.
Malah ujian kebolehan bertutur, membaca, menulis dan mengira dianggap sebagai remeh dan tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Jika ditanya berapakah peratus rakyat kita yang benar-benar buta huruf, separa buta huruf atau tahap-tahap kemahiran mengira, sukar untuk dijawab dengan pasti oleh pihak kementerian hatta ahli akademik dalam bidang pendidikan sekalipun.
Media massa juga sangat kurang memberikan perhatian kepada pencapaian pendidikan asas berbanding keputusan peperiksaan di sekolah. Begitu juga guru sekolah rendah dikategorikan sebagai kurang penting berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.
Lihat sahaja kelulusan yang diperlukan untuk menjadi guru sekolah rendah dan gred tangga gaji mereka berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.
Maka itu sistem pendidikan asas perlu dipantau oleh pihak Kementerian Pelajaran agar tidak seorang pelajar pun tercicir daripada mendapat peluang pendidikan asas.
Jika kita tidak membuat persiapan dengan mengemaskan pendidikan asas dikhuatiri akan ada anak-anak yang tertinggal di peringkat sekolah rendah dan akan terus tercicir dalam mendapat peluang pendidikan di peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
Di peringkat pendidikan asas, anak-anak ini akan belajar pelbagai perkara, bukan untuk tujuan dinilai di dalam peperiksaan tetapi didedahkan dengan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. Kemajuan mereka dipantau secara dalaman oleh guru, dilakukan modifikasi tingkah laku dan strategi meningkatkan kognitif jika diperlukan.
Apakah guru kita terlatih untuk melakukan semua itu? Apakah latihan guru mempunyai topik penyelesaian masalah atau hanya sekadar mendedahkan bakal-bakal guru kepada teori-teori psikologi lama pendidikan yang sebahagiannya diragui oleh pakar pendidikan kontemporari?
Maka selepas pendidikan asas, anak-anak ini akan meneruskan pendidikan di peringkat pendidikan menengah dan tinggi.
Di peringkat asas, selain 3M yang menjadi keutamaan, kemahiran interpersonal, agama, nilai moral, jari diri kewarganegaraan, pendidikan kesihatan dan sukan serta keselamatan diri sepatutnya turut dilaksanakan.
Para pelajar juga seharusnya didedahkan kepada alam serta hubungannya dengan kehidupan manusia, seni dan muzik serta sains asas. Semua elemen ilmu asas ini digabung jalin dan tidak seharusnya terlalu terikat mengikut disiplin akademik tetapi satu bentuk kurikulum yang lebih berpusatkan pembangunan pelajar.
Kurikulum juga perlu lebih hidup dan menepati keperluan para pelajar untuk menguasai dan menguruskan kehidupan mereka.
Pakar-pakar kurikulum seharusnya lebih bijak untuk menentukan isi kandungan pelajaran, tahap serta pedagogi yang sesuai untuk melaksanakan pendidikan asas kepada para pelajar. Penggabungan kurikulum secara holistik akan lebih memberikan makna kepada pelajar berbanding sistem pendidikan sekarang yang terlalu terikat kepada disiplin ilmu yang khusus.
Matlamat akhir pendidikan asas ialah jika seorang anak di bandar besar seperti Kuala Lumpur boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, maka perkara yang sama juga boleh dilakukan oleh pelajar di sekolah pedalaman.
Jika anak-anak di Damansara tahu bahawa menjaga gigi itu penting untuk kebersihan diri, perkara yang sama juga perlu diketahui oleh pelajar di Long Pasia atau Long Batu.
Semua ini hanya boleh dilakukan jika pendidikan asas diselia dan dirancang dengan teliti. Guru-guru seharusnya mempunyai garis panduan pembelajaran dan pengajaran dan diberikan peluang untuk membina kurikulum sendiri berasaskan garis panduan tersebut.
Maka kita akan dapat melihat nanti anak-anak di Pulau Langkawi menjalankan pembelajaran mereka berasaskan kehidupan tempatan - suatu tempat yang rapat dengan kehidupan mereka.
Sementara anak-anak di Kuching pula akan juga mempelajari sesuatu yang rapat dengan mereka. Jika mereka belajar tentang pencemaran air, maka setiap anak-anak ini akan berpeluang untuk melihat pencemaran di sungai yang berdekatan. Jika mereka belajar tentang tempat bersejarah, maka mereka berpeluang menyelaminya sendiri di bandar atau daerah mereka.
Anak-anak ini pada peringkat asas belum lagi perlu untuk mempelajari sesuatu yang "jauh" dari mereka. Mereka bukan sahaja belum mengalami perkembangan kognitif yang lengkap sehingga umur mencecah 11 tahun (itulah pandangan umum para pakar teori perkembangan kanak-kanak), malah kurikulum yang di luar lingkungan bukan sahaja sukar tetapi tidak dapat menarik perhatian serta motivasi pembelajaran kanak-kanak.
Albert Einstein pernah berkata: "Jika ditanya pada anda apakah maksud pendidikan? Maka jawablah, pendidikan ialah perkaraperkara yang masih tertinggal di dalam ingatan seseorang apabila beliau sudah melupakan hampir semua perkara yang dipelajari semasa di sekolah dahulu".
Jika diingat-ingat kembali tentunya pembaca boleh bersetuju bahawa sebahagian besar perkara di dalam pendidikan asas bukanlah perkara yang mudah untuk kita lupakan.
Oleh: ANUAR AHMAD ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
22 July 2009
Cukupkah sekadar pendidikan 3M?
21 July 2009
Manfaat berjalan kaki
Senaman melangkah laju beri kesan kesihatan serta kecantikan
RAMAI wanita yang beranggapan senaman di gimnasium saja sudah memadai untuk mendapatkan badan yang sihat serta cergas. Tanggapan sedemikian menenggelamkan satu lagi amalan senaman yang bukan saja mudah dibuat, tetapi tidak membabitkan sebarang kos.
Inilah keistimewaan aktiviti atau senaman berjalan kaki laju yang memberi lebih banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan berbanding berjalan kaki secara santai.
Ini bukan sekadar andaian, tetapi terbukti menerusi beberapa kajian termasuk kajian di Belanda membabitkan 5,209 responden dalam tempoh 46 tahun. Hasil kajian yang disiarkan Archives of Internal Medicine mendakwa amalan berjalan kaki 30 minit sehari, dapat menambah kira-kira 1.3 tahun kepada hayat seseorang.
Malah, amalan berjalan kaki laju itu mempunyai sembilan manfaat iaitu:
Berat badan stabil
Amalan berjalan kaki laju juga meningkatkan metabolisma tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang, lebih banyak lagi kalori akan terbakar apabila metabolisma tubuh meningkat sehingga peningkatan berat badan sukar berlaku.
Menurunkan berat badan
Selain mampu menstabilkan berat badan, mereka yang mengalami pertambahan berat badan disarankan supaya melakukan senaman berjalan kaki laju secara rutin.
Risiko elak serangan jantung
Seperti yang kita semua tahu, otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras supaya ia sentiasa berfungsi dengan normal. Justeru, berjalan kaki laju mempercepatkan aliran darah ke dalam koroner jantung.
Selain itu, kelenturan pembuluh darah menguncup dan mengembang ketika berjalan laju juga cenderung menyebabkan tekanan darah menjadi lebih rendah selain dapat mengurangkan risiko berlakunya darah beku di pembuluh darah ke jantung.
Angin ahmar atau strok
Walaupun masih tiada bukti kukuh mampu mengaitkan senaman berjalan kaki laju dengan strok namun kajian dilakukan terhadap 70,000 pesakit di Sekolah Kesihatan Awam Harvard, Amerika Syarikat, yang sering berjalan kaki iaitu purata 20 jam seminggu, risiko mereka diserang strok menurun sebanyak 2 daripada 3 kes.
Mencegah kencing manis
Dengan membiasakan berjalan kaki laju sekitar 6 kilometer sejam dipercayai mampu mencegah masalah diabetes Tahap 2 terutama di kalangan individu bertubuh gempal. (Sumber: Institut Diabetes dan Masalah Hati Kebangsaan).
Gula di dalam darah juga dapat dikawal dengan cara berjalan kaki (brisk walking), justeru ubat tidak diperlukan. Ia bermakna, berjalan kaki laju sama manfaatnya dengan mengambil ubat anti diabetes.
Mencegah osteoporosis
Pergerakan badan yang aktif dan berjalan kaki laju boleh memperkuatkan otot badan serta tulang. Individu yang sering melakukan senaman dan cukup sumber kalsium di dalam badan boleh terhindar daripada ancaman kereputan tulang sehingga usia 70 tahun.
Meredakan sakit lutut
Lebih sepertiga mereka yang lanjut usia di Amerika Syarikat mengalami masalah sakit lutut atau osteoarthiris. Dengan membiasakan diri berjalan laju atau berjalan di dalam kolam renang mampu meredakan masalah itu.
Bagaimanapun, untuk penghidap osteoarthiris, mereka disarankan melakukan senaman berjalan kaki berselang-seli supaya sendi tidak terjejas.
Tekanan
Pergerakan badan terjadi ketika berjalan kaki laju juga sebenarnya dapat membantu pesakit yang mengalami tekanan perasaan. Berjalan kaki laju dapat menggantikan ubat anti tekanan yang harus diambil secara rutin. Kajian terhadap kaitan antara masalah tekanan perasaan dan berjalan kaki sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.
Kanser
Pembunuh nombor satu ini dikatakan mampu dijauhkan jika anda rajin berjalan kaki, setidak-tidaknya kanser usus besar. Seperti yang anda semua maklum, pergerakan badan membantu melancarkan penghadaman usus. Kajian juga ada menyebut mengenai peranan berjalan kaki di dalam mengurangkan risiko terkena kanser payudara.
Tip jalan laju
Pilih kasut yang dapat lindungi dan jadikan kaki selesa
Lokasi sesuai seperti tempat atau padang rata
Langkah betul - Buat langkah sebesar mungkin bagi pergerakan lebih laju
Gerakkan lengan ketika berjalan
Sematkan dalam minda yang anda sedang mengejar sesuatu
Tingkatkan kelajuan langkah serta tempoh senaman
Read more...
19 July 2009
Berhenti aniaya perut
RAKYAT Malaysia gemar makanan mengandungi lemak tinggi dan kurang makan sayur dan buah-buahan. Mereka juga tiada disiplin dalam waktu makan dan sering terlebih makan.
“Apa yang dimakan bukan bahagian yang sewajarnya dimakan, terutama apabila makan di tempat yang menyediakan menu Barat.
“Sebagai contoh, ikan dan kentang goreng, hidangan ayam (chicken chop) atau kambing biri-biri (lamb chop). Bahagian yang dihidangkan lebih untuk seorang dan terlalu banyak mentega dan krim digunakan.
“Kita tidak sedar kita sebenarnya terlalu menganiayai perut. Tahukah anda, perut kita mempunyai sistem dan ia bekerja mengikut aturan masa tertentu
“Perut manusia hanya boleh menerima sejumlah makanan pada satu-satu masa dan anda akan lebih membantu jika mengunyah makanan dengan sebaik-baiknya,” kata Pengurus Kanan, Dietetik dan Perkhidmatan Makanan, Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John.
Menurutnya, selepas makanan melepasi esofagus (saluran makanan dari mulut ke perut), ia melalui proses pencernaan di dalam perut dan ini mengambil masa sedikit. Perut, tambahnya, bertindak sebagai ‘pengisar’ nombor dua. Dari perut, ia melalui usus kecil dalam jumlah sedikit-sedikit.
“Jangan makan dengan lahap. Jika terlampau membebani perut anda, ia bukan saja mengembang tetapi anda memberinya lebih kerja dan menjadikannya bertambah letih.
“Lebih buruk jika anda terus-terusan makan sebelum perut selesai dengan proses pencernaan pertama. Jika ada yang mengambil sarapan pagi pada jam 8, waktu makan berikutnya ialah sekitar 12.30 tengah hari untuk membolehkan proses pencernaan selesai.
“Cuba fikir apa akan berlaku jika perut anda mogok? Bagaimana makanan akan diserapkan? Lebih teruk lagi jika anda menderita ulser perut, kolitis (radang kolon yang kronik) atau penyakit pencernaan yang lain. Apa akan terjadi pada perut anda?“ soal Easaw-John.
Tahu apa yang anda makan
Kita juga perlu tahu makanan yang diambil sebagai snek (di antara waktu makan); sama ada ia menyebabkan kalori berlebihan daripada disyorkan. Sebagai contoh, jika jumlah kalori harian disyorkan adalah 1,800 kcal, jumlah kalori bagi tiga makanan utama (sarapan, tengah hari dan malam serta snek) mestilah bersamaan 1,800 kcal.
Jika snek diambil menyumbang kepada pertambahan kalori, misalnya daripada 1,800 kepada 2,200 kcal, ini bermakna ia disimpan sebagai lemak yang menyebabkan berat badan bertambah.
Untuk mengelaknya kita perlu ubah tabiat makan, contohnya jika gemar nasi lemak untuk sarapan, beli bungkusan kecil (nasi lemak biasa) mengandungi 200 kalori saja.
Sepinggan nasi lemak dengan pelbagai lauk tambahan boleh mencapai antara 800 hingga 1,000 kalori. Begitu juga mi atau nasi goreng, beli bungkusan kecil tanpa ditambah lauk.
Gula dan gula tersembunyi
Beliau juga mengingatkan supaya berhati-hati dengan pengambilan gula jika mahu kekal sihat. Secara umumnya kita memerlukan enam hingga tujuh sudu teh gula sehari, termasuk gula tersembunyi.
“Gula ialah karbohidrat ringkas berbanding kanji yang dikenali sebagai karbohidrat kompleks. Apabila diserap, gula disimpan dalam tubuh sebagai lemak. Pengambilan gula semata-mata tidak menyebabkan kencing manis kerana banyak faktor lain menyumbang kepada penyakit ini.
“Lebih dibimbangkan ialah gula tersembunyi yang ada dalam hampir semua makanan seperti roti, kek, biskut manis, jeli, jem, gula-gula dan kaya. Jem mengandungi 60 peratus gula dan kaya pula 50 peratus.
“Sepotong kecil kuih mempunyai separuh sudu teh gula, sepotong kek bersaiz sederhana dengan gula ising mempunyai satu hingga dua sudu teh gula, manakala setin minuman berkarbonat pula antara lapan hingga sembilan sudu teh gula. Jika anda minum setin minuman berkarbonat, bererti anda menggunakan sepenuhnya kuota gula anda untuk hari berkenaan.
“Daripada segi kalori, setiap satu teh madu mengandungi 21 kalori, gula perang (16 kalori), gula pasir (15 kalori) dan jem (16 kalori). Lemak menyumbang kalori paling tinggi; satu gram lemak memberi sembilan kalori berbanding satu gram karbohidrat atau protin yang mengandungi empat kalori saja,” katanya.
Pada masa sama, kita perlu memeriksa label makanan untuk kandungan gula dan lemak bagi makanan diproses. Jika label menyebut bebas kalori, ini bermakna makanan itu mengandungi kurang daripada lima kalori satu hidangan. Kalau dilabel tertera bebas gula, lazimnya kandungan gulanya kurang daripada 0.5 gram bagi setiap hidangan.
“Perkataan ‘gula dikurangkan atau kurang gula’ bermakna makanan berkenaan mengandungi kurang 25 peratus gula bagi satu hidangan berbanding biasa.
“Jika label ditulis tiada tambahan gula, ini bermakna tiada gula ditambah ketika pemprosesan tetapi mungkin ada ramuan yang mengandungi gula asli, sebagai contoh buah-buahan kering,” katanya.
Bagi pengguna yang memilih menggunakan pemanis, ia 180 hingga 200 kali lebih manis berbanding gula biasa tetapi rendah kandungan kalori.
Keselamatan makanan
Tabiat pemakanan buruk di kalangan rakyat Malaysia disumbangkan banyak faktor seperti mengapa dan cara orang makan, jenis makanan, dengan siapa mereka makan serta cara orang mendapat, menyimpan, menggunakan dan membuang makanan. Selain itu faktor individu, sosial, budaya, agama, ekonomi, alam sekitar dan politik mempengaruhi tabiat makan seseorang.
“Di Malaysia, di mana-mana saja ada tempat makan, termasuk di bawah pokok, tepi longkang atau tepi jalan. Malah, ada yang dibuka 24 jam dan tiada halangan untuk seseorang makan berterusan. Selain itu, beri perhatian kepada makanan yang disaji secara bersepah seperti di pasar malam. Pastikan anda beli daripada gerai bersih.
“Malangnya, masyarakat kita tidak menitik beratkan soal kebersihan apabila memilih tempat makan. Jika sedap, gerai di tepi longkang pun akan penuh,” katanya.
Bagaimanapun, senario di Singapura berbeza dan patut dicontohi kerana mereka ada Program Makanan Jajaan Lebih Sihat yang bertujuan mempelbagaikan pilihan makanan sihat kepada pengguna. Malah, gerai yang memaparkan ramuan lebih sihat diberi logo piramid berwarna merah.
Setiap kedai makan yang bersih mendapat sijil daripada Lembaga Promosi Kesihatan Singapura, menandakan pengendali kedai itu mengamalkan persediaan makanan yang sihat. Malah, restoran juga dibuat pemeriksaan audit.
Untuk keselamatan, makanan perlu disediakan di tempat sesuai dan ada bekalan air sempurna. Bahan mentah seperti daging, ikan dan sayur perlu dikendali dengan betul bagi mengelak penyakit akibat bakteria Escherichia coli (E coli), Salmonella, Camphylobacter dan Listeria.
Bakteria ini boleh menyebabkan gejala seperti cirit-birit, demam, kejang perut, loya dan muntah-muntah. Makanan yang dimasak juga ada had luput.
Contohnya sebelum membeli nasi ayam, tanyakan fikirkan soalan ini: Di mana ayam yang sudah dimasak disimpan? Adakah ia di dalam dapur yang panas atau di belakang gerai? Adakah gerai itu berhampiran tandas?
Makanan yang dimasak tidak seharusnya dibiar terdedah lama kerana kebanyakan makanan tidak selamat dimakan selepas ada empat jam pada suhu bilik.
“Mengikut standard keselamatan antarabangsa, makanan perlu dilupus selepas empat jam disediakan. Hidangkan makanan secepat mungkin selepas dimasak dan jika ada baki, makanan itu mesti disimpan dalam bekas tertutup di dalam peti sejuk.
“Di sesetengah gerai menjual nasi campur, makanan dibiarkan terdedah sehingga berjam-jam lamanya. Jika dibiarkan makanan dalam suhu bilik, bakteria di dalam makanan itu membiak dengan cepat,” katanya.
Easaw-John berkata, mereka yang mengendali dan menghidangkan makanan perlu memahami tiga peraturan asas pengendalian makanan untuk mencegah penyakit iaitu makanan sejuk dan segar perlu disimpan di tempat sejuk dan makanan panas dalam keadaan panas di dalam bekas bersih.
Selain itu, perhatikan penampilan pengendali makanan dan pekerja gerai kerana sesetengahnya memakai apron kotor dan berkuku panjang. Jika pakaian atau apron kotor serta berkuku panjang, usah makan di gerai berkenaan. Lihat juga jika mereka menggunakan kain sama untuk mengelap meja dan pinggan.
Beliau turut mengingatkan supaya berhati-hati terhadap penggunaan bahan pengawet yang berlebihan di samping bahan perasa, minyak dan sos yang murah oleh sesetengah penjaja makanan. Semua bahan itu ialah “sahabat baik untuk pencetus kanser.”
“Lebih selamat jika anda memasak makanan sendiri, meskipun hanya nasi putih, sayur goreng dan telur goreng. Ambil lebih banyak sayur dan buah-buahan. Kandungan seratnya membantu membersihkan perut.
“Kalau pun anda makan di luar dengan keluarga atau kawan, pilih tempat bersih dan berkongsilah makanan. Bukan saja dapat mengurangkan makanan yang anda makan, tetapi ia lebih menjimatkan,” katanya berseloroh. — Bernama
Read more...
18 July 2009
Perintah solat 5 waktu
ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.
ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.
Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.
Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.
Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)
Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.
Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.
Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.
Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.
Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'
Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.
Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.
Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.
Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).
Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.
Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.
Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.
Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.
Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.
Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.
Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.
Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.
Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.
Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.
Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.
Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.
Read more...
17 July 2009
Perkasa budaya ilmu
MENGHAYATI Budaya Ilmu: Faham Ilmu, Amalan dan Panduan karya Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, mengumpul pandangan dan dimensi berkaitan konsep, nilai dan amalan ilmu dalam ruang lingkup memperkasakan budaya ilmu di institut pengajian tinggi (IPT).
Bergerak daripada pandangan sarjana terkemuka Amerika Syarikat (AS), Wahsington Irving dan Charles Henry Parkhurst, yang menekankan kepentingan menentukan matlamat sebagai petanda kepada minda besar, buku ini menjentik pemikiran pembaca untuk memahami dan menetapkan maklumat tertentu dalam hidup mereka.
Pengarang memberi tiga soalan yang perlu dijawab pembaca, iaitu membabitkan matlamat dan perancangan jangka pendek, kualiti dan jenama IPT serta matlamat hidup secara umum.
Bab 2: Konsep Ilmu mempermudahkan takrifan ilmu dengan melihatnya berdasarkan perspektif Islam dan meminjam sudut pandang sarjana seperti Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas serta Jonathan Lyons.
Dalam bab sama juga, beliau meninjau konsep pendidikan dengan memberi pengertian ilmu dan hikmah yang dikutip daripada al-Quran serta budaya ilmu di alam Melayu yang diperlihatkan oleh Raja Ali Haji, Hamka dan Pendita Za’ba.
Prof Zaini Ujang
Pengarang turut mengambil kesempatan berkongsi sejarah penubuhan UTM selepas mencatatkan gagasan universiti yang berasal daripada bahasa Latin, iaitu universitas yang bererti keseluruhan, komuniti, masyarakat atau perbadanan dan kemudian digunakan dengan meluas dalam institusi pengajian dalam menjalankan aktiviti keilmuan.
Dalam bab itu, pengarang melihat sepintas lalu mengenai perbezaan antara konsep universiti yang digagaskan tamadun Barat dengan budaya ilmu dalam tamadun Islam seperti perkembangan institusi keilmuan Universiti al-Azhar di Mesir yang berasaskan pembinaan Masjid al-Azhar.
UTM sebagai institusi sebenarnya mempunyai sejarah panjang seawal 1904, bermula dengan Sekolah Teknik Treacher di Brickfields, Kuala Lumpur sehingga dinaikkan taraf sebagai Maktab Teknik pada 1955 dan Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) yang akhirnya statusnya dinaik taraf sebagai UTM pada 1975.
Lewat Bab 4: Budaya Ilmu, pengarang memetik cadangan Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud untuk menyuburkan budaya itu, selain menyarankan perbahasan dan pertukaran idea tanpa terikat dengan sumber dari internet saja.
Dalam konteks penyuburan budaya ilmu dalam situasi setempat, pengarang mengingatkan pembaca untuk memperkasa ilmu pengetahuan sebagai asas pembangunan insan melalui pendidikan bersepadu dan menyediakan ekosistem intelektual, bersesuaian dengan matlamat budaya ilmu yang ditetapkan di IPT berkenaan.
Sesuai dengan latar belakang pengarang yang terbabit secara langsung dalam interaksi dengan golongan siswa siswi, beliau menekankan sembilan amalan hidup yang perlu dipraktikkan mereka untuk mengisi kehidupan sepanjang bergelar pelajar.
Pengarang sangat menitikberatkan pengurusan masa secara optimum, memiliki integriti dan keprihatinan sosial, mengasah kemahiran insaniah dan membaca sehingga mewujudkan tabiat membaca, keseimbangan antara pembelajaran berkesan dengan aktiviti kolej kediaman serta menjana minda kreatif dan inovatif.
Pengarang menamatkan perbincangan dengan memberi senario impian setiap pelajar di IPT, iaitu hari konvokesyen yang ada nilai tersendiri dalam manifestasi pengiktirafan universiti kepada graduan mereka dengan majlis dipenuhi tanda yang simbolik terhadap ketulusan dan keredaan pensyarah dalam menyampaikan ilmu serta mewarisi tradisi ilmu.
Buku ini turut meletakkan profil ringkas ulama, pemikir, ilmuwan dan sarjana seperti Ibnu Sina, Thomas Kuhn, Albert Einstein, Dr Ahmad Zewail, Za’ba, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof Dr Syed Hussein al-Attas dan Tan Sri Ainuddin Wahid, yang pandangan mereka dikutip oleh pengarang, sekali gus dapat memperkenalkan mereka kepada pembaca.
Selain itu, anekdot daripada sahabat Rasulullah saw dan ulama terdahulu serta petikan buku yang menarik, turut digunakan oleh pengarang yang dapat memberi tambahan ilmu kepada pembaca, sekali gus memudahkan kefahaman mereka dalam memahami idea pengarang.
Meskipun buku setebal 122 halaman terbitan UTM Press ini ditujukan kepada pelajar baru UTM sesi 2009/2010, kandungannya bersifat sejagat lalu layak ditatap oleh semua pelajar terutama yang baru melangkah di menara gading agar perjalanan ilmu mereka membentuk kematangan berfikir dengan tidak terperangkap dalam bidang yang diambil.
INFO:
Menghayati Budaya Ilmu: Faham Ilmu, Amalan dan Panduan
Pengarang: Prof Datuk Dr Zaini Ujang
Tebal: 122 halaman
Penerbit: UTM Press
Harga: Tidak dinyatakan
Bintang: ****
Pakar kejuruteraan alam sekitar
PROF Datuk Dr Zaini Ujang tidak hanya dikenali sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar, sebaliknya dianggap pemikir dan intelektual tempatan yang sering mengemukakan gagasan dalam ruang lingkup pemerkasaan budaya ilmu.
Anak kelahiran Kampung Inas, Johol, Negeri Sembilan, pada 3 Mac 1965 itu, menerima pendidikan di Sekolah Menengah (SM) Kem Terendak, Sungai Udang dan SM Ghaffar Baba, Masjid Tanah, sebelum menyambung pengajian ke UTM dalam bidang Kejuruteraan Kimia serta melanjutkan pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Newcastle, United Kingdom (UK).
Ibarat sirih pulang ke gagang, Prof Zaini kembali untuk berkhidmat di UTM pada 1988 dan diberi kepercayaan sebagai Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (Ipasa) bermula 2001 hingga 2006; Dekan Fakulti Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli (FKKKSA - 2006 hingga 2007 ) dan Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi (2007 hingga 2008).
Mantan Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA) dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia ini, mempunyai kepakaran dalam bidang rawatan air dan air sisa menggunakan kaedah inovatif seperti teknologi membran dan CP, selain turut diiktiraf berkepakaran dalam pengurusan sisa berbahaya serta pemodelan, pemeliharaan dan pengurusan sungai.
Kepakaran dan kepimpinannya turut dimanfaatkan pada peringkat kebangsaan apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan pada akhir 1990-an sehingga dianggap orang di belakang tabir dalam merealisasikan inisiatif dalam pengajian tinggi nasional seperti pengkorporatan universiti awam, pembentukan universiti swasta dan portfolio strategik dalam penyelidikan dan pembangunan akademik.
Beliau yang juga penulis ruang pojok di Berita Harian, menghasilkan lebih 15 buku termasuk Pengenalan Pencemaran Udara, Pengurusan Masa, Masa: Konsep & Pengurusan, Islam dan Alam Sekitar, Pencemaran Alam Sekitar: Perspektif Islam dan Universiti Mendukung Tradisi Intelektual.
Read more...
16 July 2009
Mesyuarat Pemantauan Pelaksanaan Program Sekolah Contoh(Model CO) Zon Selatan 2009
Tarikh:14-16 Julai 2009
Tempat: Tropical Inn,Johor Bahru.
Read more...
15 July 2009
Mudahnya merompak duit
UNCLE Kok, 53, bukan generasi pengguna teknologi maklumat (IT). Malah, satu-satunya gajet paling kerap digunakannya setiap hari cuma sebuah telefon rumah.
Namun, lelaki yang merupakan seorang pengarang sambilan ini cukup peka dengan perkembangan semasa termasuk risiko ancaman rompakan maya. Meskipun tidak celik IT, Kok sedar risiko tersebut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Suatu hari, Kok menerima panggilan yang memintanya agar memindahkan wang di dalam akaun banknya ke akaun pihak lain.
Alasannya, duit simpanan Kok dalam bank tersebut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. Si pemanggil mendakwa hanya dengan cara pemindahan itu, wang simpanan Kok boleh diperoleh semula.
Kok pada awalnya cukup meragui dakwaan tersebut. Lalu, dia cuba mendapatkan pengesahan daripada si pemanggil yang mendakwa dirinya adalah pegawai bank tersebut.
Setelah mendengar 'pengesahan' berkali-kali yang cukup meyakinkan, Kok terus bergegas ke bank. Di kaunter bank, dia telah membuat pemindahan sebanyak tiga kali dengan harapan segalanya akan kembali seperti asal.
Malangnya, selepas pemindahan wang tersebut dibuat, barulah dia sedar betapa dirinya telah diperbodohkan. Pada saat itu, sudah terlewat untuk dia mendapatkan semula wangnya sebanyak kira-kira RM50,000 itu.
Kisah di atas mungkin hanyalah satu contoh klasik betapa mudahnya kita dimanipulasi oleh orang lain. Biarpun tidak memerlukan sebarang gajet canggih sekali pun, maklumat peribadi tetap berisiko terdedah tanpa kita sedari.
Berbeza dengan penggunaan medium teknologi seperti Internet atau rangkaian sosial, mangsa lebih cenderung untuk terpedaya.
Seorang kerani yang hanya mahu dikenali sebagai Zurina, 27, pula pernah berkali-kali menerima surat rasmi menerusi e-mel daripada bank akaun simpanannya. E-mel itu memintanya mengemaskini maklumat peribadi dan tanpa disangka, pendedahan itu telah menyebabkannya kerugian ribuan ringgit.
Pakar IT dalam aspek keselamatan, Muhamad Hazrul Mohamed Hamzah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini berkata, terdapat satu terma yang merujuk pada bentuk manipulasi ini iaitu Kejuruteraan Sosial (Social Engineering).
"Istilah Kejuruteraan Sosial ini mungkin kedengaran baru. Tetapi ia sebenarnya satu seni penipuan sama ada secara bersemuka atau menerusi medium lain seperti Internet dan gajet yang telah berlaku sejak sekian lama.
"Penipuan ini biasanya dilakukan untuk memperoleh maklumat peribadi dan sulit daripada seseorang tanpa kerelaannya," katanya yang sudah lebih lima tahun berkecimpung dalam aspek keselamatan IT.
Menurut Muhamad Hazrul, lazimnya sasaran golongan penyangak ini hanyalah satu iaitu untuk mendapatkan akses data dan maklumat secara tidak sah. Trend masa kini lebih menjurus kepada rompakan maya yang tidak berpenghujung.
Memetik contoh penipuan pelanggan-pelanggan bank menerusi e-mel, penyangak akan membuat 'pertaruhan' dengan menghantar jutaan e-mel kepada bakal mangsanya.
"Bayangkan, penyangak hanya memerlukan seorang mangsa yang memberi maklumbalas dan itu sudah bermakna tipu helahnya berjaya. Satu lagi, ramai antara generasi IT hari ini, masih memandang remeh lampiran fail-fail dalam e-mel.
"Setiap kali, kita klik pada satu lampiran fail, tidak mustahil ia mengandungi malware yang akan memantau aktiviti perkomputeran dari tempat lain," jelasnya dengan terperinci.
Pola taipan kekunci akan direkodkan dan membantu penyangak mengenal pasti minat pengguna. Misalnya, pengguna yang kerap menggunakan space bar bererti dia seorang penggemar mainan video.
Dengan hanya berpandu pada 'pembayang' ini, penyangak akan mengirim e-mel bertemakan mainan video kepada mangsa.
"Apabila ini berlaku, pengguna perlu berhati-hati sewaktu membuka e-mel. Elakkan daripada mengklik sebarang lampiran kecuali selepas anda mengesahkan ia daripada sumber yang dikenali.
"E-mel bersifat penipuan (phishing) dari bank biasanya menggunakan istilah-istilah umum. Sebagai contoh, kandungan e-mel yang berbunyi Dear Valued Customer ataupun ..... your account is going to be closed merupakan indikasi ia satu penipuan atau spam," kata seorang lagi pakar IT, Muhammad Shahriman Samsudin.
Masalahnya, rakyat Malaysia terlalu percaya kepada entiti seperti bank sedangkan wujud golongan penyamar yang mendahagakan jalan pintas memperoleh wang.
Muhammad Shahriman turut menasihat pengguna komputer supaya tidak memuat naik terlalu banyak gambar atau maklumat peribadi dalam platform rangkaian sosial.
Platform seperti Facebook, MySpace dan Twitter yang sedang hangat dalam kalangan orang muda khasnya, sangat berisiko tinggi menjadi sasaran penggodam.
MUHAMMAD SHAHRIMAN memberitahu pemacu storan juga perlu diimbas oleh beberapa perisian antivirus sebelum digunakan.
Menggelarkan platform-platform ini sebagai Syurga Informasi Peribadi secara percuma, Muhammad Shahriman memberitahu, penggodam 'suka memancing di kolam yang banyak ikan'.
"Jangan sangka kalau dalam keadaan komputer yang dipadamkan, penggodam tidak mampu berbuat apa-apa. Sebenarnya, mereka telah lama memantau anda dari jauh.
"Jadi, sentiasa berjaga-jaga dan mengemaskini perisian antivirus. Tidak ketinggalan pemacu storan (thumbdrive) perlu diimbas oleh lebih daripada dua perisian antivirus," tambahnya.
Read more...
Keajaiban kismis
Ramai yang melihat harga kismis agak mahal, sedangkan snek ringan lain yang mungkin sama harga dengan kismis tidak menyediakan khasiat kepada anak-anak.
Apabila ditanya apakah snek makanan ringan untuk kanak-kanak, jawapan yang biasa diterima adalah makanan seperti keropok, ais krim, gula-gula, lolipop, kerepek ubi kentang dan jeruk.
Walaupun sedar pelbagai kesan sampingan yang negatif terkandung dalam makanan ringan tersebut terutama penggunaan monosodium glutamate (MSG), gula dan pengawet yang tinggi, masih ramai ibu bapa tetap mengamalkan diet makanan ini.
Apa kata mulai hari ini, anda cuba ubah persepsi terhadap snek makanan iaitu menggantikannya dengan bahan makanan yang lebih berkhasiat.
Kismis adalah salah satu alternatif bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak. Justeru, anda perlu mengubah persepsi bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.
Menurut Pakar Pembangunan Kanak-Kanak di sebuah hospital tempatan, Ruth Liew, ramai yang semakin lupa bahawa, kismis mempunyai kandungan gula daripada buah yang asli. Ia mampu memberi tenaga yang konsisten kepada kanak-kanak.
"Memang gula-gula mampu memberi tenaga yang lebih, tetapi ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hiper dan menjadi lemah apabila kandungan gula itu mula merosot.
"Berlainan dengan kismis. Dengan kismis, kanak-kanak akan dapat tenaga yang seimbang dan menyihatkan badan.
"Ia juga makanan ringan yang lebih baik daripada gula-gula. Gula-gula boleh meninggalkan kesan kerosakan pada gigi kanak-kanak dan tenaga yang diperoleh juga tidak sekata," jelas Ruth pada satu sesi penerangan tentang kebaikan kismis kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, kanak-kanak masa kini tidak lagi gemar dengan makanan yang terlalu pelbagai, sebaliknya mereka lebih gemar makanan yang lebih santai. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu menjadikan kismis sebagai snek makanan ringan untuk anak-anak yang masih bersekolah.
Tambah Ruth, untuk menjadikan kismis sebagai snek ringan kepada anak-anak, ibu bapa perlu memainkan peranan.
Bagi kanak-kanak atau golongan remaja yang sudah biasa atau gemar menikmati kismis begitu sahaja, ia bukan satu masalah lagi kepada ibu bapa.
"Bila mereka tengok TV, jangan bagi mereka kuaci atau keropok sebaliknya beri mereka kismis. Bekalkan juga kismis ketika ke sekolah," katanya.
Namun, jika ada yang tidak gemar menikmati kismis dalam bentuk mentah, ia boleh dicampur dalam pelbagai hidangan lain dengan cara mempelbagaikan makanan yang dicampur dengan kismis dalam hidangan waktu pagi, petang dan malam.
"Mereka mungkin tidak akan memilih kismis, tetapi ibu bapa perlu tahu khasiatnya. Terus beri galakan kepada anak-anak dengan mempelbagaikan masakan.
"Anda boleh campur kismis ke dalam bubur, sup, atau sayur-sayuran yang biasa dimakan anak-anak," kata Ruth yang mengakui ia juga boleh diamalkan dalam diet orang dewasa
Ruth yang menerima reaksi daripada ibu bapa yang memberi kismis kepada anak-anak juga memberitahu, hasil yang diperoleh amat positif.
"Ada ibu bapa mula mempelbagaikan cara pemakanan dan ada juga yang memberi kismis seperti memakan vitamin setiap hari.
"Malah, ada juga anak-anak yang gembira dengan amalan makanan anggur kering itu," jelas Ruth yang turut mengamalkan memakan kismis sejak kecil lagi.
Dalam Islam, kismis sudah lama disaran untuk pemakanan kanak-kanak kerana ia adalah makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius.
Menyedari kebaikan kismis dan kemampuannya menjadi snek dalam makanan kanak-kanak, masyarakat Barat turut mula mengambilnya dalam diet mereka.
Penelitian Christine D.Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi.
Antara antioksidan itu adalah asid oleanolic, oleanolic aldehyde, betulin, asid betulin dan 5-(hydroxymethyl)-2-furfural.
Asid oleanolic mampu menghambat pertumbuhan dua spesies bakteria penghuni mulut iaitu streptoccus mutan, penyebab plak dan kerosakan gigi serta porphyromonas gingivalis, penyebab penyakit periodontal.
Sementara itu, pakar pemakanan dari sebuah hospital swasta, Tan Yen Sing, berkata, kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.
"Malah, khasiat daripada kismis juga boleh mengurangkan risiko strok dan melemahkan perkembangan penyakit-penyakit organ dalam badan.
KISMIS boleh dipelbagaikan penggunaannya untuk memberi tarikan kepada si pemakan
Selain itu juga, kismis mengandungi fiber dan asid tartaric. Ia juga baik untuk kesihatan tulang dalam badan anda.
Katanya, kismis mempunyai banyak khasiat pemakanan, serat, antioksidan, vitamin dan kalium yang merupakan nutrien penting untuk badan.
"Saya menafikan memakan kismis akan membuatkan anda gemuk. Ia adalah mitos. Ini kerana, manis yang ada pada kismis adalah manis buah-buahan yang asli.
"Ia juga mudah untuk dibawa dan boleh dipelbagaikan dalam masakan seisi keluarga," ujar Tan Yen Sing.
Read more...
14 July 2009
Memperkasakan guru sebenar guru ,ke sekolah tidak jemu, mengajar tidak lesu !
-Gambar hiasan.
"The mediocre teacher tells. the good teacher explains.
The superior teacher demonstrate. the great teacher inspires."
~ William A. Ward
Pendahuluan:
Mempersiapkan generasi pelajar hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21 terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat persekolahan rendah, amat memerlukan kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikai dan diperlekehkan oleh masyarakat dan negara.
Usaha terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan mulai tahun 2001 adalah manifestasi dan bukti kepada komitmen bagi menggerakkan semua pihak untuk mencapai kecemerlangan pendidikan negara sebagai pusat kecemerlangan ilmu, sekali gus memartabatkan pendidikan yang bertaraf dunia.
Oleh kerana sifat sesuatu yang baru itu sering dipandang serong dan diragui, maka begitu juga persepsi sebahagian golongan pendidikan dan pentadbir pendidikan sehinggakan wujud semacam 'desakan' bagi mempermudahkan dan pengubahsuaian kepada instrumen Penarafan Kendiri Sekolah Berasaskan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini, adalah suatu sikap yang kurang wajar dalam konteks kita hendak memartabatkan pendidikan dan profesion keguruan.
Bagaimana Fenomena Pendidikan dan Pengurusan Sekolah masa kini?
Menurut Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Jemaah Nazir Sekolah (2001) menyebut bahawa; "Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan negara-bangsa dan global," (hlm.24).
Fenomena lain ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas kini dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir Sekolah juga mendapati kelesuan proses pendidikan ini ada kaitan secara sebab-akibat dengan amalan pentadbiran organisasi persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal mekanikal seperti pengendalian perjawatan, gaji dan bangunan.
Oleh itu kesempurnaan yang menonjol di sekolah bukan pada pelakuan manusianya tetapi pada hal-hal kebendaan, maka terhasillah keluaran sekolah yang berkembang di tahap persepsi atau tanggapan fenomena luaran sahaja sehingga kurang upaya menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional dan membangun.
Fenomena "Low Performing Schools"?
Salah satu kayu ukur bagi menentukan sesebuah sekolah itu baik, maju, meningkat dan membangun hingga ke tahap cemerlang (atau sebaliknya) adalah menerusi pencapaian peperiksaan. Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolh Rendah (UPSR) tahun 1999, sejumlah 1,919 buah sekolah rendah telah dikenalpasti sebagai "sekolah prestasi rendah" yakni sekolah-sekolah yang pencapaian peratus kelulusannya di bawah 30%
Dalam hubungan penarafan sekolah di bawah Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini pula pihak Jemaah Nazir Sekolah telah mendapati bahawa penilaian keseluruhan sekolah-sekolah setakat ini berada pada tahap tiga iaitu lemah dalam indeks komposit tahap sekolah dengan skor antara 30 hingga 49 peratus.
Kemudian kita didedahkan pula dengn dapatan hasil kajian sepasukan penyelidik Universiti Malaya terhadap "keberkesanan 3M" di antara sekolah-sekolah kebangsaan dengan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina khasnya, yang juga sekali lagi menampakkan "kelemahan dan ketidakberkesanan" yang ketara sekali berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan kita.
Lama sebelum ini pun YAB Perdana Menteri Dato' Seri Doktor Mahathir Mohamad pernah "menyelar" sikap "tidak serius" yang terdapat di kalangan segelintir Guru Besar di sekolah-sekolah kebangsaan dan senario negatif dan "kurang menarik" yang wujud dan berlaku di sekolah-sekolah ini. Apakah tidak ada kaitannya apabila kita memperkatakan prestasi dan kualiti pendidikan ini dengan masalah dan dilema yang dihadapi seperti isu-isu kegagalan memenuhi kuota 55% kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke IPTA kerana pencapaian yang rendah di dalam peperiksaan SPM dan STPM?
Rumusan kajian-kajian ini menyatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi. Untuk mengatasinya kita perlu berpatah balik jauh ke belakang. Usaha membentuk pelajar-pelajar Melayu yang berdaya saing perlu bermula di peringkat sekolah kebangsaan (Isahak Haron, 2001). Nah begitu lantang sekali seruan ini dan sudah sewajarnya disambut bukan sahaja dengan semangat ingin menebus maruah malah memartabatkan pendidikan berkualiti di kalangan anak-anak Melayu. Maka inilah yang hendak dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Ke Arah Pembaharuan Tema dan Sistem Pendidikan
Seperti yang diketahui abad ke-21 adalah era maklumat maka amatlah perlu kita dapat "melihat jauh ke depan" dalam konteks Wawasan 2020 dan perubahan-perubahan yang dibawa oleh era cyberspace, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping berakhlak dan beradab (Wan Liz Ozman Wan Omar, 2000).
Pembaharuan perlukan perubahan. Perubahan yang sangat utama dan penting ialah perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu berfungsi dan bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' perlu menjadi amal budaya setiap pelajar menguasai 'belajar cara belajar' (UNESCO, 1995) dari segi:
• Belajar untuk mengetahui (Learning to Know)
• Belajar untk membuat (Learning to Do)
• Belajar untuk menjadi insan sempurna (Learning to Be)
• Belajar untuk hidup bersama (Learning to Live Together)
Noor Azman Ibrahim (1998) menyenaraikan enam tema penting sistem pendidikan abad ke -21 dengan pembelajaran cara baru di mana pembelajaran tidak lagi merupakan satu proses yang dikendalikan oleh institusi pendidikan (Tapscott, 1996) Enam tema tersebut adalah:
• Tema 1 : Pekerjaan dan pembelajaran makin menjadi perkara yang sama.
• Tema 2 : Pembelajaran makin menjadi cabaran seumur hidup.
• Tema 3 : Pembelajaran beranjak dari sekolah dan universiti formal.
• Tema 4: Beberapa institusi pendidikan bekerja keras ke arah
kesesuaian dengan perubahan.
• Tema 5 : Kesedaran organisasi diperlukan untuk mewujudkan organisasi
pembelajaran (learning organization).
• Tema 6 : Media baru boleh mengubah pendidikan dengan mewujudkan
infrastruktur bekerja belajar.
Kewibawaan yang Dipersoalkan
Apakah ertinya apabila Tapscott (1996) menyatakan bahawa pembelajaran tidak lagi dikendalikan oleh institusi pendidikan awam (sahaja)? Di Amerika Syarikat murid-muird yang belajar di rumah (home schooling) semakin meningkat dari tahun ke tahun; merupakan fenomena baru sejak beberapa dekad lalu sebagai manifestasi kepada 'ketidakpercayaan' ibu bapa dan orang awam terhadap mutu dan prestasi pendidikan yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah awam.
Patricia M. Lings (1999) melaporkan sesi persekolahan tahun 1990-1991 terdapat 250,000 hingga 350,000 orang; sesi tahun 1995-1996 pula seramai 700,000 hingga 750,0000 orang kanak-kanak yang mengikuti homeschooling ini, dan manakala bagi sesei 1997-1998 telah mencecah seramai 1,000,000 orang kanak-kanak menyertai kaedah dan pendekatan belajar di rumah ini.
Salah satu daripada tiga sebab mengapa berkembangnya konsep belajar di rumah (homeschooling) ini menurut Erica Clery (1998), ialah wujudnya kebimbangan berlakunya 'kerosakan' mental, fizikal dan spiritual ke atas kanak-kanak yang belajar di sekolah-sekolah di bawah tadbiran dan seliaan kerajaan. Tidakkah 'bunga-bunga' kepada senario yang sama akan berlaku suatu hari nanti di negara kita sendiri, apatah lagi setelah mencapai status negara maju seperti yang diwawaskan? Tidakkah juga 'gejala-gejala kerosakan' ini sudah pun wujud dan berlaku dan saban tahun ianya semakin parah dan berdarah sehingga sistem pendidikan kita didakwa 'sudah ketinggalan zaman' oleh kesatuan perguruan kebangsaan Malaysia?
Dengan yang demikian kita selaku guru-guru perlulah menyedari, memahami, dan menghayati betapa konsep penambahbaikan yang berterusan itu perlu dilaksanakan tanpa garis penamat sebagaimana gagasan yang dibawa menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Memperkasa Diri
Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti (Jemaah Nazir, 2001). Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Maka itulah sumber manusianya perlu dibangunkan secara bersepadu menerusi latihan-latihan tertentu bagi memastikan setiap individu itu dapat mengembangkan potensi dan bakatnya. Pengalaman-pengalaman yang diterima menerusi program pembangunan profesional ini sama ada ianya bersifat latihan-latihan khusus atau pun pengalaman sebenar di tempat kerja sudah barang tentu membolehkan atau mengupayakan guru-guru bertindak atau berpelakuan secara berkesan untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolahnya.
Menjadi guru yang perkasa bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya, mental dan keintelektualannya, kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya. Oleh itu menjadi seorang guru yang perkasa amat dipengaruhi oleh tahap tinggi atau rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya; teguh, tegas dan utuh atau rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya; luas, tinggi dan mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi kesedaran-diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam kepimpinan. Seorang guru yang perkasa juga seorang guru yang cekap dan berkesan.
Eilane (2000) telah mengenalpasti beberapa ciri seseorang guru yang amat berkesan (highly effective) yang dikategorikan kepada tiga aspek iaitu:
• Ciri peribadi yang menjelaskan perwatakan.
• Ciri mengajar yang memberikan hasil.
• Ciri intelek yang menunjukkan ilmu, sedar-diri dan faham-kendiri.
1. Ciri Peribadi: seorang yang 'bermatlamat' (mission-driven) dan juga seorang yang 'asyik' dalam pekerjaannya. Kedua , ianya bersikap positif dan 'real' yakni yakin dalam apa pun yang dilakukan di samping sabar menerima 'kenyataan' biar pun pahit untuk ditelan. Ketiganya ia merupakan seorang 'guru-pemimpin'; di samping mengajar ia juga membimbing dan menunjuk ajar bukan sahaja anak didik malah rakan sejawat dan siapa sahaja.
2. Ciri Mengajar: seorang yang memiliki dan sentiasa menerapkan aspek 'dengannya' ("with-it-ness") dalam apa jua yang dibuat atau apa jua yang murid-muridnya mesti buat. Ia juga mempunyai stail yang tersendiri, sesuai dengan semua keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya, peraturan dan undang-undang. Ianya juga memiliki kepakaran memotivasi serta kebekesanan dalam pengajaran dan pembelajaran.
3. Ciri Intelektual: seorang yang suka 'membaca buku', dan mempunyai 'mental life' yang segar, berkembang dan bersifat 'berpenyugnguhan kendiri' (self-actualization) dengan minda yang sihat dan terbuka, melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh (banyak) di samping melihat, menganalisis, mensintisis dan menilai satu di dalam yang banyak.
Memperkasa dengan Penilaian dan Berpusatkan Prinsip
Guru sering menilai anak didiknya tetapi pernahkah kita menilai diri sendiri? Sedarkah kita sebagai guru yang kerjanya 'mengajar sepanjang hayat' (sebelum bersara wajib) kita telah tidak cukup melakukan satu perkara sepenting ini? Kalau begitu bagaimana kita tahu dan boleh meningkatkan tahap profesionalisme kita?
L. Dee Fink (1999), dalam satu artikelnya "Evaluating Your Own Teaching" menyebut:
" Assuming that no one is perfect and therefore everyone has room for
improvement, evaluation is the means by which ewe try to identify
whichaspects of our teaching are good and which need to be changed.
The question then arises as two who should take responsibility for
doing this evaluation. My believe is that evaluation is an inherent part
of good teaching. Therefore it is the teacher himself or herself who
should take primary responsibility for doing the evaluation."
"To improve is to change. And to be perfect is to change often", demikian ujar Winston Churchill. Jadi titik tolak bagi melakukan perubahan, dan kemudian mencapai kemahiran dan kesempurnaan memakan masa dan dayausaha. Bagi mencapai perubahan yang berjaya dan berkesan perlukan seseorang itu bukan sahaja menambah pengetahuan dan kemahiran baru malah sering pula memerlukan kita belajar semula sesuatu konsep, kaedah dan teknik yang mungkin kini sudah usang. Tidak ada orang yang tidak boleh melakukan aspek belajar semula ini kecuali seseorang itu sudah merasa dirinya sudah lengkap segala-galanya seperti kata Epictetus (55-135 M); "It is impossible for anyone to begin to learn what he believes he already knows." Pengalaman berserta beraneka kemahiran yang dititipkan oleh guru menerusi proses pengajaran dan pembelajaran umpamanya bermaksud melalukan perubahan sikap, seterusnya mengubah pemikiran dan paradigma sehingga terciptalah tangkah-laku yang dihasratkan itu tercapai. Menurut Dee Fink lagi penilaian bagi menghasilkan perubahan ke arah peningkatan profesionalisme individu seseorang guru itu amat besar faedahnya berdasarkan tiga sebab.
1. Pertama, tanpa mengambil kira bagaimana baik atau buruk kita sebagai guru-guru, kita semua mempunyai potensi, menjadi lebih baik lama-kelamaan. Sementara sebahagian guru-guru bertambah baik dan hampir menemui potensi mereka, sayang sebahagian yang lainnya mengalami peningkatan yang kecil sahaja sewaktu peringkat awal kerjaya dan kemudiannya seolah-olah 'mendatar' kualitinya malah kadang-kadang 'merosot'. Kenapa? Natijahnya terdapat perbezaan pokok di antara mereka yang berjaya dengan mereka yang gagal meningkat, adalah disebabkan golongan pertama itu mengumpul maklumat mengenai pengajaran mereka dan mengambil daya usaha bagi penambahbaikan sesetengah aspek daripadanya - setiap kali mereka mengajar.
2. Sebab kedua mengapa perlunya membuat penilaian adalah bagi mendokumentasikan kualiti seseorang bagi rujukan pihak lain, yang perlu mengetahui track record seseorang sepanjang kerjayanya. Satu cara sahaja guru-guru boleh membekalkan maklumat seumpama ini iaitu dengan cara mengumpulnya, dan inilah penilaian. Dengan kaedah ini juga dapat membantu seseorang guru itu memahami keberkesanan pengajarannya dengan lebih baik lagi.
3. Sebab ketiga pula merupakan satu keperluan yang bersifat peribadi dan keinginan manusia untuk menilai. Hal ini adalah bagi kepuasan mental dan psikologikal diri sendiri. Melakukan sesuatu kerja dengan baik adalah satu perkara; manakala satu perkara lagi dengan memiliki maklumat yang padu, kita tahu kita telah melakukan kerja dengan baik. Pengetahuan dan kepastian ini hanya mungkin jika kita membuat penilaian yang rapi dan telus.
Powerful" atau "Powerless
Selepas kita melakukan penilaian baharulah kita tahu status atau kedudukan tahap dan taraf ketrampilan kita selaku guru yang bagaimana; cergas dan cerdas; pantas dan tangkas; cekal dan tabah; mengurus masa atau membuang masa? Kemudian baru kita boleh "memilih" ada untuk menjadi guru yang "powerful" atau "powerless". Tentulah bagi menjadi seorang guru yang perkasa kita mestilah seorang yang "powerful" bukan sebaliknya. Jadi pilihan di tangan kita.
Perasaan dan perlakuan "tidak berdaya" ("powerless") boleh berlaku daripada sekecil-kecil insiden atau peristiwa sehingga kepada masalah atau perkara yang besar. Jika kita gagal mengatsasi atau membiarkan keadaan "tidak berdaya" ini kita akan menjadi lebih tidak berdaya saing, lemah jiwa dan raga, lemah mental dan spiritual akhirnya kita melihat dunia dan kehidupan tidak memberi erti apa-apa, selanjutanya kita kecewa dan sengsara serta merintih nasib dan takdir. Apa yang kita buat apabila kita memilih menjadi seorang yang "powerless" ialah; tak kisah, tunggu, lengah atau lewatkan, tidak ambil tindakan atau "buat de' "sahaja, hampa, jadi tidak peduli, abaikan dan jadi seorang yang acuh tak acuh.
Kemudian apa pula yang kita dapat bila kita merasa "powerless"; status quo, hubungan yang Kalah/Menang (Lose/Win), tidak dijangka/hasil yang tidak diketahui, ketidakpastian, hasrat dan angan-angan (fantasi), dan merosot keupayaan seterusnya prestasi jadi rendah.
Jadilah Seorang Yang Powerful
Jelas menjadi seorang yang "powerless" tidak menjanjikan sebarang kebaikan dan faedah sama ada dari segi peribadi, kumpulan, kelompok atau pun organisasi dan kerjaya yang kita ceburi. Tentulah kita memilih untuk menjadi "powerful" dan berjaya dalam semua bidang dan aspek kehidupan berkeluarga, sosial dan kerjaya dan dapat menyumbang kepada kesejahteraan bangsa dan negara menerusi tugas mendidik yang kita hayati ini.
Dalam menajdi "powerful" kita perlu kenal tiga "kuasa" yang masing-masing ada baik dan buruknya iatu i) kuasa paksaan, ii) kuasa utiliti dan iii) kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered).
Fokus kita ialah kepada kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered power) bagi mencapai hasrat menjadi guru yang perkasa; guru sebenar guru -- ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu! Kuasa berpusatkan prinsip adaah berasaskan apa yang anda boleh buat dengan orang-orang lain. Kuasa berpusatkan prinsip juga ertinya berasaskan 'hormat': individu yang dihormati akan dipercayai, disegani dan menjadi inspirasi kepada orang-orang lain, dan oleh itu kepemimpinannya diterima sepenuh hati. Oleh itu guuu-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan menjurus kepada kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika dan kehidupan yang proaktif (Blaine Lee, 1997).
Salah satu prinsip penting dalam mengurus diri dan organisasi ialah prinsip samarata atau adil (kepada orang lain dan kepada diri). Oleh itu satu keperluan yang mesti ada ialah keberanian menghadapinya, serta kemampuan dan keupayaan membuat teguran dan ulasan bagi membetulkan mana-mana individu yang tersasar dari landasan dan terkeluar dari tujuan dan matlamat organisasi. Di sini prinsip 'Bukan Kepada Siapa Betul Tetapi Kepada Apa Yang Betul' hendaklah menjadi pegangan. Intipati kepada prinsip ini ialah apa yang betul atau apa yang tidak betul bukan berdasarkan seseorang itu ketua (boss) atau penngikut (subordinate), tetapi kepada apakah persoalannya, apakah kesan atau implikasinya, atau apakah tafsiran dari segi falsah, peraturan, dan objektivitinya, di mana matlamat akhirnya semua orang akan buat perkara yang betul dan tidak dipertikaikan lagi.
Kesan dan Hasil Kuasa Berpusatkan Prinsip
Guru-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan memberi pengaruh kepada berlakunya transformasi budaya belajar dan mengajar yang hebat. Transformasi ialah perubahan, yakni perubahan yang disebabkan wujudnya perhubungan di mana 'hormat' menjadi asasnya. Manusia tidak setia kepada logo -- mereka setia kepad orang lain (pemimpin berprinsip). Blaine Lee (1997) dalam bukunya The Power Principle: Influence With Honour menyenaraikan empat kesan yang terhasil daripada kuasa berpusatkan prinsip ini sebagaimana berikut:
1. Kuasa berkekalan : Apabila kesan dan pengaruh orang perkasa ini tetap bersama atau di alam diri walaupun orang itu sudah tiada di dunia ini. Ertinya pengaruh orang yang perkasa ini meninggalkan kesan yang bukan sedikit malah berterusan sehingga pengaruh ini di 'turunkan' pula keapada generasi seterusnya. Tidak seperti kesan daripada kuasa paksaan yang cuma berkesan selagi orang takut. Juga tidak seperti kesan kuasa utiliti, ia datang dan ia pergi dan sangat bersifat sementara. Tetapi kuasa berpusatkan prinsip mewujudkan perhubungan yang berkekalan -- ia tidak terhenti bila pengurusan baru mengambil alih, tidak juga menjadi ketinggalan zaman bila muncul sesuatu yang baru.
2. Tingkah-laku Proaktif : Kuasa berpusatkan prinsip menggalakkan tingkah-laku proaktif yang membina dan membawa perhubungan yang bukan bersifat situasional tetapi transformasional yang bererti kita membuat pilihan kepada mana yang lebih penting dan mana yang lebih bernilai dan berharga. Tingkah-laku proaktif melahirkan tingkah-laku yang dihormati: tak perlu penyeliaan, tak perlu mandur. Guru-guru yang bertingkah-laku proaktif dalam konteks ini sebenarnya memiliki standard dalaman yang lebih tiggi daripada apa yang diletakkan kepadanya. Ia tidak memikirkan untuk buat perkara lain, kerana bertentangan dengan jiwanya. Jika tingkah-lakunya merosot ke bawah paras yang ditentukan (standard), guru yang proaktif ini mampu 'membetulkan dirinya'. Falsafahnya "Saya boleh buat lebih baik. Saya boleh jadi lebih baik."
3. Kawalan-kendiri : Ini bukan lagi kuasa yang datang dari luar. Kuasa berpusatkan prinsip fokusnya ke dalam diri. Ianya bergantung kepada keupayaan dalaman masing-masing bagi lebih tabah, lebih giat, lebih bersungguh-sungguh bila mengesampingkan apa yang mereka mahu berbanding apa yang lebih besar dan mustahak. Ini akhirnya membuatkan seseorang itu sanggup berkorban; iaitu melupakan apa yang kita hendak sekarang kerana hendakkan perkara-perkara yang lebih mendesak.
4. Membina Kesaling-bergantungan : Dalam kehidupan manusia tidak boleh hidup dan bekerja seorang diri, tidak kira sekaya mana atau selemah atau semiskin mana sekalipun, apatah lagi di dalam organisasi dan institusi zaman sekarang. Menerusi kuasa paksaan kita memupuk dan menggalakkan pelbagai jenis kebergantungan, manakala dalam kuasa utiliti ianya memupuk dan menggalakkan kebebasan -- kebebasan untuk memilih seperti kita boleh memilih untuk bersatu atau kita memilih untuk berpisah. Oleh itu kesaling-bergantungan adalah kesan daripada kuasa berpusatkan prinsip: yang boleh menjawab soalan, "Apa yang boleh dan apa yang akan jadi bila kita bersatu?" Kesaling-bergantungan juga melahirkan sinergi daripada seluruh individu agar matlamat dan objektif institusi dan organisasi tercapai dengan cemerlang dan gemilang.
Aspek-aspek yang kita buat daripada budaya berpusatkan prinsip ini adalah: meyakinkan; jadi sabar; jadi penyantun; mengajar; menerima; baik hati; menyayangi; belajar; berdisiplin; jadi istiqamah dan hidup dengan keutuhan.
Ini pula kesan atau hasil yang kita dapat dengan budaya berpusatkan prinsip: rakan dan perkongsian, transformasi yang bertimbal balik, sinergi, risiko yang diambil kira, pertambahan keupayaan, kawalan dalaman yang positif, kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika, hubungan yang saling bergantung, proaktiviti, kepercayaan, penyelesaian secara Menang/Menang (Win/Win), persetujuan rakan-kongsi dn kepuasan mendalam hubungan jangka-panjang.
Siapa Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu?
Sebagai golongan orang-orang yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru-guru bukan sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan karier mereka (Wan Liz Ozman, 2000). Jadi menyediakan diri menjadi guru yang perkasa perlukan latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada peluang dan kesempatan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang itu guru itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses peningkatan dan pembaharuan seperti tersirat di dalam Standard Tinggi Kualiti Pendidikan hari ini.
Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya. Guru ynag perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji; tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya.
Prinsip utamanya seorang guru yang perkasa mesti faham bahwa tugas 'mengajar dan mendidik serta meneladan' adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru sebenar guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad (menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan) dan kerja mengajar pula (tanpa sebarang muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas; yang di dalam Islam guru sebenar guru ini dikelaskan sebagai:
• Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
• Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
• Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
• Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
• Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran
Seorang guru yang perkasa tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi.
Penutup
Tugas murni lagi mulia kita sebagai guru seharusnya jangan dicemari dengan gejala-gejala buruk yang merosakkan sehingga kelemahan, kemunduran dan kegagalan pendidikan yang kita pikul hari ini dari segi menyediakan pengalaman-pengalaman berguna bagi kegunaan masa hadapan anak-anak didik kita nanti, akan menyebabkan adanya individu yang ingin maju tetapi hanya berlegar sekitar mediocrity, dan tidak pun berupaya menggunakan peranan mereka untuk citarasanya apatah lagi memenuhi citarasa bangsa dan negaranya. Kegagalan ini juga nanti menghasilkan individu yang menjalankan sekerja separuh hati, atau sekadar makan gaji (Jemaah Nazir, 2000).
Oleh itu selaku guru-guru kita sewajarnya menyedari hal ini dan oleh kerana itu juga amat penting diingat bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang kita tidak buat akan mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Dalam banyak senario kita boleh lihat dan nilai sendiri bagaimana guru yahg dikatakan seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa menampilkan sikap dan perlakuan positif seperti datangnya awal baliknya lewat; atau seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan dengan segelintir murid yang lemah., lambat dan dengan berbagai karenah; guru yang tidak lesu tetapi tetap bertenaga dari pagi sampai ke tengah hari (atau petang); ia tidak membezakan murid atau kelas yang cerdas dengan murid atau kelas yang kurang cerdas.
Jangan sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati, akibat dari sikap dan perbuatan kita, kita sangka yang rosak dan buruk hanyalah organisasi atau sekolah kita sahaja; malah kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah, buruknya perangai diri sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu ammarah kita sehingga kita tidak mampu lagi mengenal atau membezakan mana kaca mana intan, mana emas sepuluh mana emas sepuh.
Kita harus berani dan secara gentleman mengakui bahawa apa jua kelemahan dan kebejatan profesionalisme yang wujud dan berlaku di sekolah kita masing-masing (apatah lagi jika kita peneraju atau primadonanya) sehingga senario dan fenomena yang terpancar di kaca TV atau di dada-dada akhbar masalah-masalah sosial yang berkaitan dengan sistem pendidikan negara mendesak agar usaha pihak institusi pendidikan perlu diletakkan pada landasan yang lebih efisien lagi. Dan kita tidak mungkin menjadi efisien jika kita bukan seorang guru yang perkasa; jika kita seorang guru yang "powerless"; jika kita seorang guru yang tidak ada prinsip; jika kita seorang yang buta mata hati; jika kita seorang guru yang tahu tapi tidak mahu; atau jika kita seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya. Setiap dari kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang perkasa: ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu jika kita menghayati sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya;
"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam;
dia adalah orang yang beruntung.
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam,
dia adalah orang yang rugi.
Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam,
dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T." ٱ
Rujukan
Lee, Blaine (1997). The Power Principle: Influence With Honor. Simon & Schuster, New York, USA.
Elaine, McEwan (1998-2001). Ten Traits of Highly Effective Teachers, McEwan-Adwin Groups. http://www.elainemcewan.com/ten_traits_teachers.htm 30.09.2001
Clery, E.(1998). Home Schooling : The Meaning That The Homeschooled Child Assigns to This Experience. Issues in Educational Research, 8(1), 1-13. http://cleomurdoch.edu.au/gen/iir/iier8/clery.html
Fink, L.Dee (1999). Evaluating Your Own Teaching. Terbit dalam Improving College Teaching oleh Peter Seldin (ed.). University of Oklahoma Instructional Development Program, July 20, 1999.
Leblanc, Richard (1998). Good Teaching: The To Ten Requirements. Terbit dalam The Teaching Professor.
Noor Azmi Ibrahim (1998). Kurikulum Abad Ke-21: Pengembangan dan Penekanan, Jurnal Kurikulum Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Kuala Lumpur.
M.Lings, Patricia (1999). Homeschoolers: Estimating Number and Growth. National Institute on Student Achievement, Curriculum, and Assessment, Office of Educational Research and Improvement, U.S. Department of Education. Web Edition, 1999. http://www.nfie.org/2000/htm
Wan Liz Ozman Wan Omar (2000). Mengurus Agenda Abad 21 : Cabaran Dan Persiapan Dalam Era Globalisasi, Golden Books Centre Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
(Koleksi Pegawai KGSK)
Read more...
13 July 2009
Kebaikan bermain di luar rumah
Berapa kerapkah ibu bapa memberi peluang kepada anak-anak mereka bebas dan bermain di bawah sinaran terik matahari?
LEBIH kerap anak-anak mendapat peluang bermain di luar rumah, lebih banyak manfaat yang mereka peroleh
WAKTU bermain adalah saat yang ditunggu- tunggu oleh kanak-kanak. Namun, masih ada segelintir ibu bapa hari ini menyimpan rasa bimbang dengan aktiviti luar anak-anak mereka.
Terdedah di bawah pancaran matahari terik ataupun terkena jangkitan bakteria pada kulit antara kegusaran ibu bapa apabila anak-anak terlibat dengan aktiviti luar.
Tetapi tahukah anda bermain di luar rumah juga ada kebaikannya? Kempen Hari Keluarga Jom Main! bersama Jonhson's Baby Powder membawa mesej ini.
Acara yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini telah menempatkan sebuah taman permainan khas untuk ibu bapa dan anak-anak menikmati aktiviti di luar rumah.
PERMAINAN seperti ini memberi peluang kepada anak-anak meneroka satu dunia baru
Selain itu, mereka juga didedahkan dengan kebaikan aktiviti-aktiviti tersebut jika dimulakan pada usia muda.
Antara aktiviti yang diketengahkan seperti melukis wajah, melompat di atas belon gergasi, mencipta dan bermain layang-layang, sukan keluarga dan banyak lagi.
Kognitif
Menurut Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson, Stanford Guo, kebanyakan ibu bapa bersetuju bahawa udara segar, sinaran matahari dan senaman baik untuk anak-anak mereka.
Persoalannya, berapa kerapkah ibu bapa memberi peluang kepada anak-anak mereka bermain di bawah sinaran terik matahari?
Jelas Guo, banyak kajian mendedahkan kebaikan bermain bagi kanak-kanak, terutamanya permainan yang bebas dan tanpa struktur.
Dalam satu sesi temuramah, Guo memetik laporan klinikal oleh Kenneth R. Ginsburg yang diterbitkan dalam jurnal American Academy of Pediatrics. Jurnal tersebut menyatakan, bermain merupakan penyumbang utama kepada perkembangan kognitif, fizikal, sosial dan emosi serta kesejahteraan kanak-kanak.
SELAIN memberi kesan positif pada kognitif anak-anak, bermain di luar rumah juga menyihatkan
Sekali gus, ia memberi peluang kepada ibu bapa untuk berinteraksi dengan anak-anak mereka.
Kajian Ginsburg menyatakan, bermain membolehkan kanak-kanak menggunakan daya kreativiti mereka sambil mengembangkan daya imaginasi, ketangkasan serta kekuatan fizikal, kognitif dan emosi mereka.
"Bermain membolehkan kanak-kanak mencipta dan meneroka satu dunia yang dapat mereka kuasai dan mengawal rasa takut. Ia juga umpama satu latihan dan persediaan dalam proses menjadi dewasa.
"Malah, mereka memperoleh kebolehan-kebolehan baru yang meningkatkan keyakinan diri dan ketabahan bagi menghadapi halangan-halangan yang mendatang," kata Guo.
Tidur lena
Kanak-kanak juga digalakkan bermain di luar rumah kerana ruang yang luas menggalakkan mereka bebas berlari. Langkah sebegini membantu mereka tidur lena pada waktu malam dan mengurangkan risiko obesiti.
"Dengan pelbagai bukti kebaikan bermain terutamanya di luar rumah, masih terdapat banyak sebab kanak-kanak hari ini jarang bermain di luar berbanding dahulu.
KANAK-KANAK digalakkan bermain di luar.
"Kanak-kanak masa kini lebih banyak mendapat hiburan di dalam rumah melalui televisyen dan permainan komputer. Mereka juga sibuk dengan aktiviti-aktiviti lepas sekolah seperti tuisyen atau kelas bimbingan dan tiada waktu yang sesuai untuk bermain di luar.
"Segelintir ibu bapa juga tidak menggalakkan anak-anak mereka bermain di luar kerana merasakan ia tidak selamat tanpa pengawasan," tambahnya.
Sehubungan itu, Kempen Jom Main! Johnson's Baby Powder diperkenalkan untuk menggalakkan kanak-kanak bermain dan menjalani kehidupan sebenar seorang kanak-kanak.
Di Malaysia, tabiat gaya hidup yang tidak aktif semakin menjadi kebiasaan.
Sedangkan, peringkat usia seawal empat hingga enam tahun adalah perkembangan yang sangat penting dalam hidup mereka.
ANAK-ANAK seharusnya diberi peluang bersosial di luar rumah dengan aktiviti berfaedah
Selain menyediakan pengalaman bermain di luar rumah, Johnson's Baby Powder telah mengambil inisiatif memperkenalkan sebuah portal maklumat dalam talian, www.ilovejohnsonsbaby.com/jommain bagi membantu ibu bapa mendapatkan tip-tip bermain bersama si kecil pada hujung minggu.
Portal web tersebut turut menyediakan maklumat tentang perkembangan kanak-kanak prasekolah, tip-tip keibubapaan serta album gambar bagi golongan ibu bapa yang mahu berkongsi detik-detik keriangan bersama anak-anak mereka.
Read more...