Noran (kiri) dan Fatimah Haron menunjukkan buku Manual Guru: Pencegahan Buli di Sekolah pada majlis pelancaran di Kuala Terengganu semalam.
Sumber:manirah.othman@kosmo.com.my
KUALA TERENGGANU – Pelajar kesayangan guru dan budak baik adalah antara mereka yang sering dikenal pasti sebagai mangsa buli di sekolah.
Gejala itu juga didapati berlaku kerana tiga faktor lain seperti membuli untuk keseronokan, mengatasi perasaan bosan atau kerana merasakan pelajar sombong harus dibuli.
Namun, kebanyakan mangsa buli tidak melaporkan apa yang berlaku kerana beranggapan mereka kurang mendapat sokongan orang dewasa selain bimbang dengan ancaman balas dendam dan digertak pembuli.
Bagi mengatasinya, pendekatan terperinci dihuraikan dalam buku Manual Guru: Pencegahan Buli di Sekolah yang dilancarkan sempena Festival Hari Guru 2009 di sini semalam.
Manual itu dilancarkan bagi menangani gejala buli yang semakin menular dan buku tersebut merupakan panduan lengkap meliputi peringkat sekolah, bilik darjah dan individu yang dibahagikan kepada 12 modul.
Modul yang terkandung di dalam buku itu meliputi keseluruhan gejala buli termasuk jenis-jenis buli, kesan kepada pembuli dan pelajar yang dibuli, cara untuk mengatasinya dan beberapa fakta lain mengenai gejala itu.
Buku hasil tulisan tiga pensyarah dalam bidang psikologi dan kaunseling itu dihasilkan melalui kajian dan tinjauan di beberapa buah sekolah di beberapa negeri sejak tahun 2000.
Ia turut menghuraikan jenis pembuli iaitu pembuli bersiri dan tidak bersiri.
Menurut salah seorang penulisnya, Prof. Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub, buku seperti itu adalah yang pertama diterbitkan di negara ini.
Katanya, buku itu turut mengandungi panduan untuk pengetua sekolah, guru disiplin dan guru kaunseling tentang bagaimana mengesan dan menangani masalah buli.
Read more...
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
16 May 2009
Buku tangani gejala buli dilancar
15 May 2009
Digigit, diludah, ditendang
MENGUTAMAKAN kegigihan dan kejujuran dalam kerjaya menjadi prinsip wanita yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur ini dalam mendidik anak-anak istimewa.
Tanpa kedua-dua aspek itu, Nurfadzilah Abu Samad, 33, mungkin tidak mampu berdepan dengan pelbagai kerenah dan kesukaran menjadi pendidik kepada kanak-kanak istimewa.
"Saya pernah berputus asa dalam mengajar kanak-kanak istimewa ini dan tanggungjawab yang harus dipikul juga terlalu berat.
"Bayangkanlah, ada pelajar yang baring di luar kelas, ada yang memukul dan menggigit saya kerana tidak memberi perhatian terhadapnya dan pelbagai cabaran lain," kata Nurfadzilah yang memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1994 di sekolah pendidikan khas cacat pendengaran di Jalan Peel, Cheras sebelum beralih ke Sekolah Menengah Danau Kota, Setapak dua tahun lalu.
MENGUTAMAKAN kegigihan dan kejujuran dalam kerjaya menjadi prinsip wanita yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur ini dalam mendidik anak-anak istimewa.
Tanpa kedua-dua aspek itu, Nurfadzilah Abu Samad, 33, mungkin tidak mampu berdepan dengan pelbagai kerenah dan kesukaran menjadi pendidik kepada kanak-kanak istimewa.
"Saya pernah berputus asa dalam mengajar kanak-kanak istimewa ini dan tanggungjawab yang harus dipikul juga terlalu berat.
"Bayangkanlah, ada pelajar yang baring di luar kelas, ada yang memukul dan menggigit saya kerana tidak memberi perhatian terhadapnya dan pelbagai cabaran lain," kata Nurfadzilah yang memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1994 di sekolah pendidikan khas cacat pendengaran di Jalan Peel, Cheras sebelum beralih ke Sekolah Menengah Danau Kota, Setapak dua tahun lalu.
Lazimnya menjaga anak istimewa memerlukan kesabaran yang berlipat ganda. Ini kerana mereka mempunyai perangai tersendiri seperti tidak sabar, memberontak, cepat menangis dan mengamuk.
"Tidak kira apa tanggapan orang, ibu bapa harus yakin bahawa anak sindrom Down, hiperaktif, terencat akal, autisme atau gangguan obsesif kompulsif (melakukan sesuatu berulang kali) masih boleh diasuh untuk berdikari.
"Perkembangan anak bermasalah ini lebih baik dan memberangsangkan jika ibu bapa dapat menerima hakikat dan mencari jalan dengan menghantar anak ke sekolah khas secepat mungkin," kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu.
Nurfadzilah memberitahu, jika ada pelajar istimewa yang dirasakan berpotensi, dia akan membawa mereka pulang ke rumah selepas sekolah dan mengajar cara-cara pengurusan diri.
"Setiap kelas mempunyai 10 orang pelajar. Jika ada dua tiga orang yang berpotensi, sama ada dalam pelajaran atau tindak balas pertuturan, saya rasa rugi jika kita biarkan mereka begitu sahaja tanpa mengajarnya berdikari menguruskan diri.
"Ini penting untuk masa depan kanak-kanak tersebut. Apabila besar nanti, berkemungkinan mereka dapat bekerja dan hidup tanpa mengharapkan bantuan orang lain," katanya
Bagaimana dengan sambutan Hari Guru esok?
"Untuk sambutan Hari Guru, saya akan mengajar kanak-kanak ini untuk membuat kad dan kami guru-guru Program Pendidikan Khas Bermasalah (PKBP) akan mengadakan sedikit jamuan bagi meraikan Hari Guru dengan pelajar-pelajar istimewa ini," katanya.
Namun kalau di sekolah biasa, kebanyakan guru akan menerima ucapan, kad dan hadiah daripada muridnya, tetapi bagi guru pendidikan khas mereka terkecuali daripada mendapat keistimewaan tersebut.
"Bagi saya itu semua tidak penting. Apa yang penting ialah pendidikan diberikan buat kanak-kanak istimewa ini biarpun ia memakan masa yang lama.
"Tetapi jika mereka pandai berdikari dan menguruskan diri, itulah hadiah yang tidak ternilai buat saya," katanya.
Bagi Lee Fong Lan, 47, penglibatannya sebagai guru pendidikan khas adalah secara kebetulan.
Lee sebelum ini ialah seorang guru kaunseling yang mengajar di sekolah biasa iaitu di Taman Melati, Kuala Lumpur dan kemudian di Sekolah Menengah Chong Hua, Jalan Gombak, Kuala Lumpur.
"Kerjaya saya sebagai guru pendidikan khas bermula apabila saya mendapat tawaran biasiswa daripada pihak Kementerian Pelajaran untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana Pendidikan Khas di Universiti Malaya selama dua tahun.
"Selepas tamat Sarjana pada tahun 2002, saya mengikuti PKBP di Sekolah Menengah Seksyen Lima, Wangsa Maju selama lima tahun," kata ibu kepada empat orang anak itu.
Ujarnya, selepas mendapat tahu mengenai Program PKBP yang baru dibuka di Sekolah Menengah Danau Kota, Setapak pada tahun 2005, Lee membuat permohonan kerana sekolah tersebut lebih dekat dengan rumahnya.
"Jika mengajar tiga orang kanak-kanak istimewa, ibarat saya mengajar 30 orang. Penatnya tidak dapat digambarkan. Antara pengalaman dan cabaran yang saya hadapi termasuklah ditendang dan diludah oleh kanak-kanak autisme.
"Namun, ia menjadi satu kebanggaan kepada diri saya apabila kanak-kanak autisme itu kini semakin mendengar kata dan berkelakuan baik," katanya.
Meskipun aktiviti-aktiviti pembelajaran di Sekolah Danau Kota, Setapak itu dilihat tidak ubah seperti kelas tadika, ia bukan sesuatu yang mudah untuk 10 orang pembantu dan 22 orang guru mengawal anak istimewa yang berumur antara 14 hingga 20 tahun ini.
Read more...
12 May 2009
Buku Ubah Kehidupan
Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.
Sumber: SHAHAROM TM SULAIMAN
shaharomtm@yahoo.com
23 April 2009 adalah Hari Buku Sedunia. Tanpa disedari buku telah banyak mempengaruhi hidup kita. Ia memberi inspirasi kepada kita dan menjadi teman kala suka dan duka. Setidak-tidaknya, itulah yang berlaku pada Anna Quindlen. Dalam bukunya sepanjang 88 halaman, How Reading Changed My Life mengisahkan bagaimana pada masa kecilnya, dia kerap bermain di luar rumah seperti 'anak-anak normal' yang lain. Namun, dia mengakui, pada dasarnya kegiatan itu tidak selalu menyenangkannya. Dia mendapati 'tenggelam' di dalam keasyikan buku sentiasa membuatnya riang. "Ada bahagian terbaik dari diriku iaitu 'bergelut' dengan buku," tulis Quindlen.
Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.
"Tokoh-tokoh imajiner (buku) itu sentiasa menantiku pulang dan aku membawanya kembali ke kehidupan," ujarnya yang mengungkap betapa buku-buku dalam koleksinya telah mencipta daya tarikan yang luar biasa. Dalam buku tersebut, Quindlen melukiskan masa kanak-kanak, remaja, dan dewasanya sebagai sebuah perjalanan waktu yang ditandai dengan kesedaran baru yang diperolehnya daripada kegiatan membaca sama ada novel dan bukan fiksyen. "Saya percaya membaca pelbagai karya orang lain akan mengajar kita untuk menghayati dan menafsir pengalaman orang lain dan ini menjadikan saya menemukan 'mutiara-mutiara baru' dalam kehidupan saya," ujar Quindlen lagi di dalam bukunya.
Membaca karya-karya besar dan kitab-kitab suci membolehkan pembaca mengumpul pengalaman hidup berbeza sekali gus memahaminya dengan cara yang berbeza pula. Pembaca yang sama bakal menafsirkan dan 'merasakan' denyutnya dalam intonasi yang berlainan. Malah, setiap kali pembaca itu membuka halaman karya-karya, semakin 'kaya' dia. Membaca dalam konteks itu bukan lagi hafalan, tetapi memberi sebuah makna hidup yang baru. Ini kerana pengalaman hidup, pengetahuan, dan 'kekayaan batin' yang dipelajarinya sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Dan inilah yang dimaksudkan oleh Quindlen sebagai kesedaran baru atau 'mutiara-mutiara baru'. Membaca bukanlah sekadar mengasah fikiran, bahkan lebih daripada itu. Ia memberi santapan rohani. Maka di sinilah wujud keasyikan membaca, misalnya kita memperkayakan rohani kita dengan membaca karya-karya Pradmoedya Ananta Toer, Hamka, Naguib Mahfuz, Naawal El-Saadawi dan Ernest Hemingway. Kita menghadapi teks-teks yang mereka tulis berdasarkan kisah hidup, pengamatan, pengalaman empati dan kepedulian, pengetahuan dan juga kekeliruan mereka. Membaca dengan demikian, menyajikan kita apa yang kita 'dapat' daripada kehidupan yang kita jalani dengan apa yang Pradmoedya, Hamka dan Hemingway renungkan dari perjalanan hidup mereka. Bukankah ini memperkayakan pengalaman, pengetahuan dan kekayaan batin kita.
Derek Braker, seorang pengkritik buku tersohor di Amerika, membuat komentar dan memuji buku How Reading Changed My Life. "Membaca buku ini ibarat hadir dalam sebuah pesta," komen Braker. Katanya lagi: "Ia suatu pesta yang mana di dalamnya terkumpul segala cerita, pengalaman suka-duka, perjalanan intelektual, perjalanan hidup, dan lebih daripada itu, kita 'tenggelam' dalam dunia keasyikan membaca yang tersendiri. Bukankah apabila kita menghadiri sesuatu pesta, misalnya pesta menyambut Tahun Baru yang sering dirayakan oleh anak-anak muda, mereka akan tenggelam dalam keseronokan dan ekstasi yang tersendiri. Demikianlah membaca yang juga mempunyai ekstasi yang tersendiri. Cuma yang harus dibezakan ekstasi 'mana' yang memberikan kesan mendalam."
Quindlen dengan reputasinya yang pernah menjadi kolumnis surat khabar The New York Times memang layak menerima pujian Braker itu. Quindlen merupakan wanita ketiga dalam sejarah surat khabar tersebut yang beroleh kesempatan menulis kolum 'pendapat' yang amat berpengaruh itu. Dia juga pernah memenangi Pulitzer Prize untuk kategori komentar pada tahun 1992. Koleksi tulisan kolumnya dibukukan menjadi Thinking Out Loud yang diterbitkan oleh Random House dan duduk di deretan buku terlaris The New York Times selama lebih daripada tiga bulan. Quindlen juga menulis tiga buah novel terlaris iaitu Object Lesson, Black and Blue dan One True Thing yang kemudiannya difilemkan dan dibintangi oleh Meryl Streep.
Dengan pengalamannya yang panjang, Quindlen seperti ingin membahagikan sejarah dirinya sebagai penulis sekali gus pembaca dalam kapasitinya yang otoritatif. Dalam How Reading Changed My Life, Quindlen berupaya mengaitkan pengalaman membaca dengan kebiasaan membaca, dan bagaimana semua itu berubah dari waktu ke waktu. Dalam bukunya itu, Quindlen secara otoritatif membuat daftar atau senarai buku yang mampu 'menggiurkan' perasaan banyak 'ulat buku' atau pencinta buku. Dia menyenaraikan 10 buku yang boleh membantu remaja berasa lebih manusiawi; 10 novel moden yang membuat saya (Quindlen) bangga menjadi penulis; dan 10 buku bukan fiksyen yang membantu kita memahami dunia.
Bagi Quindlen, membaca buku bukanlah semata-mata sarana untuk menghimpun pengetahuan, tetapi juga cara untuk memperkuatkan hubungan emosi, mendalami realiti kehidupan, bahkan menghadapi cabaran ketidakadilan. Menerusi karya The Forsyte Saga karya John Galsworthy, dia mengakui telah membentuk kematangan psiko-seksualnya. Karya Charles Dickens pula telah mendorong lahirnya komitmen liberal untuk menentang ketidakadilan sosial.
Dalam kategori '10 buah buku yang akan saya selamatkan bila terjadi kebakaran', Quindlen menyebut antara lain, Bleak House karya Charles Dicken, Anna Karenina karya Leo Tolstoy dan The Collected Works of W.B. Yeats serta The Collected Plays of William Shakespeare. Manakala buku The French Lieutannant's Woman karya John Fowles dan The Bluest Eye karya Toni Morrison merupakan dua di antara 10 novel moden yang membuat Quindlen bangga menjadi penulis. Karya The Adventures of Sherlock Holmes oleh Arthur Conan Doyle dan The Spy Who Came in From the Cold karya John Le Carre, dimasukkan pula dalam senarai '10 novel misteri yang paling saya sukai untuk dibaca pada musim panas'.
Buku How Reading Changed My Life bukan sahaja menunjukkan keluasan bacaan Quindlen, bahkan memperlihatkan membaca adalah cinta abadinya. Dia membandingkan membaca buku seperti pertemuan dua sahabat yang akrab iaitu buku dan pembaca yang mana kedua-duanya menjadikan aktiviti hidup kita lebih bermakna. Pada hemat penulis, buku How Reading Changed My Life merupakan realisasi semangat dan budaya Iqra' yang dianjurkan al-Quran dalam kehidupan kita.
Read more...
10 May 2009
Telefon bimbit di sekolah
GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.
Sumber: Harian Metro
GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.
Ini dibuktikan dengan beberapa kejadian membabitkan pelajar dan penyebaran video lucah serta buli yang dirakam menggunakan telefon bimbit di sekolah.
Kini, isu membawa telefon bimbit ke sekolah mendapat perhatian ramai sehingga kementerian mengeluarkan arahan kepada sekolah supaya merampas daripada pelajar dan hanya dikembalikan jika ibu bapa atau penjaga menuntutnya.
Persoalannya, adakah tindakan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah semata-mata untuk menyebarkan unsur negatif?
Benarkah tumpuan mereka dalam pelajaran 100 peratus terganggu hanya kerana telefon bimbit?
Sesetengah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan turut membawa telefon bimbit ke sekolah.
Selain itu, adakah pelajar sendiri berkeras mahu membawa telefon bimbit ke sekolah atau diminta ibu bapa?
Pelajar sekolah menengah perempuan di Kuantan, Pahang, Nur Atiqah Najwa Zainuddin, 18, berkata dia membawa telefon bimbit ke sekolah bukan untuk menyebarkan perkara negatif, tetapi memudahkan berhubung dengan keluarga dan rakan.
Menurutnya, pelajar terikat dengan jadual waktu pembelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jika ada maklumat atau perubahan, mereka boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga dengan pantas.
“Sebagai pelajar, kami ada kelas tambahan serta aktiviti kokurikulum selepas tamat waktu persekolahan.
“Jika ada kelas tambahan atau aktiviti kokorikulum pada saat akhir, kami dapat memaklumkan kepada keluarga, jadi ibu bapa pun tidak risau,” katanya.
Katanya, membawa telefon bimbit satu langkah keselamatan terutama selepas tamat waktu persekolahan dan di luar sekolah.
“Tidak semua pelajar dijemput ibu bapa atau menaiki bas sekolah, ada terpaksa menggunakan pengangkutan awam ke rumah.
“Dengan menggunakan telefon bimbit, kami boleh menghubungi keluarga atau penjaga jika menghadapi masalah,” katanya.
Menurutnya, telefon bimbit bukan digunakan sepanjang masa, jika waktu pembelajaran, ia akan dimatikan bagi menumpukan kepada pengajaran guru.
“Soal fokus kepada pembelajaran tidak timbul jika mempunyai telefon bimbit kerana kami tahu bila untuk menggunakan kemudahan itu.
“Masyarakat jangan fikirkan soal negatif kerana banyak manfaat telefon bimbit kepada kami,” katanya.
Atiqah mengakui, sebagai pelajar perempuan, mempunyai sesuatu benda yang lebih terkini dan canggih daripada rakan sekelas adalah satu kebanggaan.
“Setiap hari, kami sesama pelajar akan sentiasa menunjukkan benda baru melalui telefon bimbit terutama lagu terkini.
“Kami sekadar bertukar pendapat, bukan menyalahgunakan kemudahan itu,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa, Mohd Yusrie Mohamed Satar, 43, berkata pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia keperluan dan langkah keselamatan jika mahu menghubungi keluarga.
“Saya sendiri lebih mudah menghubungi anak jika hari itu mungkin datang lewat untuk mengambil dia di sekolah.
“Isu telefon bimbit di sekolah ada pro dan kontra, tetapi masyarakat perlu melihat daripada aspek positif termasuk peningkatan jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah.
“Jika berlaku kes kecemasan selepas waktu persekolahan, apa cara untuk menghubungi jika tidak membawa telefon bimbit?
“Telefon bimbit masa kini adalah keperluan, bukan barangan mewah atau sekadar untuk bergaya,” katanya.
Mengenai penyalahgunaan dan mengganggu tumpuan pelajar di bilik darjah, bapa kepada tiga orang anak ini meminta guru kelas memantau dan mengambil tindakan keras jika pelajar bersalah.
“Guru boleh mengarahkan pelajar mematikan telefon bimbit dan meletakkannya di meja guru sepanjang sesi pembelajaran.
“Atau pihak sekolah boleh melarang penggunaan telefon bimbit sepanjang sesi persekolahan dan hanya boleh digunakan selepas waktu persekolahan,” katanya.
Read more...
Selamat Hari Ibu
Sumber:izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my
Menanti detik bergelar ibu!!
Ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan seorang cahaya mata, namun kesabaran dan usaha yang bukan sedikit akhirnya membuahkan hasil.
Ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan seorang cahaya mata, namun kesabaran dan usaha yang bukan sedikit akhirnya membuahkan hasil.
'APABILA bayi saya berumur lima bulan, saya masih tidak percaya bahawa saya sudah menjadi ibu. Tapi, apabila melihat perkembangan Muhammad Hazizi yang sudah pandai merangkak, baru saya sedar bahawa saya adalah seorang ibu.
"Selepas bersalin barulah saya merasa pengalaman menjadi seorang ibu. Bangun malam, tukar lampin dan menyusu. Jika dulu kalau membeli-belah hanya untuk diri sendiri, sekarang saya lebih memikirkan untuk anak," luah Sofiah Hanim Ahmad Anuar.
Hari ini, Sofiah Hanim, 35, antara wanita yang paling bahagia. Selepas hampir lebih sepuluh tahun menjadi isteri kepada Baharuddin Abdul Rahman, 39, Tuhan akhirnya memenuhi impian mereka bergelar ibu dan bapa kepada seorang bayi lelaki. Kelahiran Muhammad Hazizi memberi sinar baru dalam hidup Sofiah yang kini bergelar ibu.
Tidak dikurniakan cahaya mata adalah antara ujian dan dugaan yang ditempuhi oleh ramai pasangan yang berkahwin.
Seperti pasangan lain, baik Sofiah Hanim mahupun suaminya, mereka juga dilontar dengan pelbagai sindiran hanya kerana tidak memperoleh cahaya mata. Peringkat awal, Sofiah sedikit pun tidak peduli dengan cakap-cakap orang di sekeliling.
"Pada mulanya saya tidak peduli pun dengan cakap-cakap orang keliling. Biarpun, hakikatnya hati menahan sebak.
"Ramai yang tidak faham, seolah-olah saya dan suami menolak kehadiran cahaya mata. Sedangkan, dalam tempoh tersebut bukan sedikit rawatan dan ikhtiar yang kami lakukan," luah Sofiah.
Keinginan untuk menimang cahaya mata tidak pernah padam. Naluri untuk menjadi seorang ibu dan bapa sentiasa membara. Justeru, tiga tahun selepas perkahwinan, Sofiah dan suaminya berjumpa doktor.
Mengimbas segala usahanya bersama suami, Baharuddin Abdul Rahman, 39, mereka berjumpa pakar perbidanan dan sakit puan di salah sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor selepas tiga tahun berkahwin.
Sofiah mula bingung kerana dalam tempoh tiga tahun menjalani rawatan belum ada tanda-tanda dia akan hamil. Kosnya juga mencecah hampir RM10,000. Tapi bukan wang yang menjadi isu, sebaliknya penantian selama tiga tahun itu juga satu penyeksaan bagi Sofiah.
"Saya kemudian merujuk ke sebuah hospital di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Doktor memberitahu saya mengalami masalah ketidakseimbangan hormon, manakala sperma suami bermasalah, penemuan tersebut memberi saya sedikit harapan," ujar Sofiah ketika ditemui Kosmo! di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Namun, setelah lima tahun berulang alik harapan Sofiah masih samar-samar. Dalam tempoh itu juga, Sofiah yang bertugas sebagai pembantu akaun di Proton Edar, Subang Jaya, Selangor turut mendapatkan pelbagai rawatan tradisional.
Hampir setiap ceruk kampung dan bidan ditemuinya. Malah, dia juga mengunjungi Pulau Dayang Bunting, di Langkawi yang kononnya, sesiapa yang minum air di pulau tersebut kebarangkalian mendapatkan anak amat cerah.
"Kami juga sanggup minum air kolah dari tujuh buah masjid yang berbeza untuk mendapat berkat. Namun, semuanya tidak berhasil.
"Melihat orang lain bahagia menyambut Hari Ibu bersama anak-anak, saya pula menangis di sisi suami," kata Sofiah sebak.
Namun, perasaan untuk menjadi ibu mengatasi segala-galanya. Tidak pernah kenal putus asa, kali ini dia ke klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
"Harapan untuk mendapat anak semakin terbuka apabila klinik LPPKN mencadangkan rawatan permanian beradas (IUI)," ujar Sofiah.
Namun, seminggu sebelum menjalani rawatan tersebut, mereka menghadapi masalah dengan pihak LPPKN.
Dalam kesedihan mengenang kegagalan demi kegagalan, Sofiah kemudiannya tertarik dengan satu iklan pemakanan produk Biodex Program Kehamilan. Tanpa menaruh harapan tinggi Sofiah tetap mencuba set pemakanan itu.
"Selepas tiga bulan, saya terpaksa menghentikan pengambilannya kerana harganya yang agak mahal," tambahnya.
Bagaimanapun, dalam tempoh itu berat badan Sofiah semakin hari semakin bertambah. Namun, dia tidak begitu ambil peduli kerana menyangka ia kesan daripada pemakanan produk tersebut.
Hinggalah pada 15 April 2008, perutnya seperti rasa ditendang sesuatu dari dalam. Pelik dengan perubahan itu, dia cuba melakukan ujian kehamilan. Kit ujian kehamilan menunjukkan sesuatu yang positif.
Tempoh penantian selama 11 tahun menyebabkan tidak semudah itu Sofiah mempercayainya. "Rosak agaknya kit ini," ujar Sofiah kepada suami yang kemudiannya membeli sebuah lagi kit baru.
Apabila kit baru juga menunjukkan keputusan yang sama, kali ini mereka segera bertemu doktor.
Alangkah terkejutnya apabila doktor mengesahkan kandungannya sudah masuk lima bulan.
"Kehadiran Muhammad Hazizi kini melengkapkan rumah tangga kami. Tangisan dan gelak ketawa Hazizi begitu menemteramkan jiwa saya dan suami.
"Inilah hadiah Hari Ibu yang paling bernilai sepanjang hayat," tutur Sofiah sambil mengusap lembut kepala anak sulungnya yang kini sudah berusia 9 bulan.
Read more...
09 May 2009
Ibu Idola Kami
Sumber:IZYAN LIYANA MOHD. DARIF-Akhbar Kosmo
Setiap individu punya cara tersendiri menghargai kasih sayang ibu mereka, bagaimana dengan para selebriti ini?
ESOK, merupakan hari istimewa buat wanita yang bergelar ibu, mama, emak, mummy, umi atau apa sahaja panggilan yang dipanggil oleh anak-anak. Biarpun berbeza panggilan, tetapi peranan dan tanggungjawab yang dipikul tetap sama.
Proses mengandung, melahirkan dan membesarkan anak-anak ditunaikan sebaik mungkin.
Semuanya dilakukan bagi memastikan anak-anak menjadi individu berguna pada keluarga, negara, bangsa dan agama.
"Mama adalah segala-galanya buat saya. Sejak dilahirkan sehinggalah apa yang dikecapi pada hari ini semuanya dibantu dan mendapat dorongan daripada mama.
"Biar sesibuk mana sekalipun dengan aktiviti harian dan kelab yang disertainya, mama sentiasa memastikan kebajikan rumah tangganya diselesaikan terlebih dahulu," jelas penyanyi Bila Rindu, Gadaffi Ismail Sabri, 21, atau Dafi mengenai ibunya, Muhaini Zainal Abidin yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.
DAFI banyak belajar erti kesabaran daripada mamanya, Muhaini Zainal Abidin.
Bahkan, personaliti ibunya yang sabar, berbudi bahasa dan bertutur secara lembut dengan anak-anak cukup menyenangkan hati Dafi dan tiga adik-beradiknya yang lain.
Belajar daripada sikap ibunya itu, bekas pelajar Akademi Fantasia 5 (AF5) tersebut menjadi seorang yang sabar dan menghormati orang lain tanpa mengira umur, darjat dan bangsa.
"Pernah sebelum ini saya bercakap kasar dan marah-marah, tetapi mama dengan tenang menyarankan saya supaya bercakap lembut. Tidak rugi mengamalkan sikap sedemikian, malah ia membuatkan kita dihormati.
"Menariknya tentang mama, dia tidak pernah membezakan kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak. Walaupun sudah meningkat dewasa, mama tetap menegur kesalahan yang kami lakukan," jelas anak kedua daripada empat beradik ini.
Bercerita mengenai sambutan Hari Ibu, Dafi dan adik-beradiknya kerap berkongsi wang membelikan hadiah dan kad ucapan.
"Kami pernah menghadiahkan mama tas tangan, pen, kasut, baju dan banyak lagi. Mama begitu menghargai pemberian kami kerana kebanyakan hadiah yang diterima masih disimpan rapi, khususnya kad ucapan," tambah Dafi yang pernah menuntut di Sekolah Menengah Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Sementara itu, penyampai radio Sinar FM, Roslindah Onn atau Linda Onn, melahirkan rasa gembira setiap kali menjelang Hari Ibu.
Pada hari istimewa itulah, Linda akan membelikan hadiah dan melayan ibunya, Saadiah Khamis, 67, bak tuan puteri.
"Lagipun ibu saya sudah sedia maklum bahawa dia akan menerima hadiah istimewa daripada keempat-empat anaknya.
"Ini kerana selain Hari Ibu, hari ulang tahun dan ulang tahun perkahwinan ayah ibu akan kami raikan," terang pengusaha restoran My Mom Chicken Rice dan My Asam Pedas Shop yang diinspirasi daripada ibu tercinta.
LINDA ONN mengagumi ketabahan ibunya Saadiah membesarkan anak-anak.
Mengimbas detik manis dan pergorbanan ibunya, luah Linda, memori tersebut tidak mampu dihuraikan satu-persatu.
Namun, kegigihan dan kecekalan hati ibunya membesarkan anak-anak tanpa bantuan pembantu rumah cukup mengusik jiwa.
"Bayangkan masyarakat kini yang hanya memiliki dua orang anak sudah menggunakan khidmat pembantu, tetapi ibu sebaliknya.
"Selain menguruskan suami dan anak-anak, ibu cekal berniaga makan daripada bisnes kecil-kecilan, warung, kantin dan berjaya membuka restoran," kata Linda yang tidak berkesempatan menyambut Hari Ibu kerana bertolak ke Eropah pada hari ini (Sabtu) atas urusan kerja.
Angkasawan kedua negara, Mejar Dr.Faiz Khaleed, pula memberitahu ibunya, Mazenah Mohamed, kerap memberikan pandangan positif dan risiko yang perlu dihadapi dalam sesuatu bidang yang ingin diceburinya.
"Sebagai contoh, sekiranya saya melahirkan hasrat berkecimpung dalam bidang sukan, ibu tidak akan membantah. Sebaliknya menjelaskan beberapa perkara positif mengenai dunia sukan.
"Namun, pada masa yang sama, ibu tidak lupa menerangkan beberapa risiko yang boleh timbul apabila saya melibatkan diri dalam sukan," tutur Dr. Faiz ketika dihubungi Kosmo!.
Sempena sambutan Hari Ibu, Faiz yang gemar bercuti di Port Dickson, Negeri Sembilan bersama keluarga menambah pemberian hadiah mewah bukanlah keutamaan beliau.
Tambah abang sulung kepada Faizal dan Faira: "Apa yang penting mereka akan keluar makan bersama-sama dan cuba menghidupkan suasana harmoni dan mengucapkan terima kasih kepada ibu." - IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
Read more...
05 May 2009
Hendak puji atau hukum?
Gambar Hiasan.
MENDIDIK anak untuk cemerlang memerlukan ilmu keibubapaan selain naluri kemanusiaan.
Jika anda memahami mengapa seseorang anak melakukan sesuatu perkara, pasti lebih mudah anda merangka penyelesaian menangani dan menasihati mereka.
Cara terbaik ialah meletakkan diri anda di tempat mereka dan tanya diri sendiri kenapa aku melakukannya begini.
Satu perkara yang anda perlu faham mengenai tingkah laku adalah:
Semua tingkah laku adalah untuk kebaikan diri sendiri
Mungkin tingkah laku anak anda tidak seiring adab sopan, peraturan atau disiplin tetapi percayalah mereka melakukannya kerana ada sesuatu yang mereka cari untuk kepuasan diri sendiri.
Selepas memahami 'hukum' ini anda perlu memikirkan sama ada anak perlu dipuji atau dihukum. Ini penting bagi melahirkan anak yang positif minda.
Namun, tidak ramai ibu bapa tahu bagaimana memuji atau menghukum anak. Kadang kala pujian ibarat melepaskan batuk di tangga.
Ada ketikanya hukuman tidak setimpal, tidak adil dan terlalu mengikut perasaan. Ini menyebabkan anak tidak mendapat pengajaran daripada kesalahan itu.
Hukuman terdiri dalam pelbagai bentuk:
Dimarahi dengan kata-kata tetapi tidak menyentuh sifat anak, hanya menyentuh tingkah laku mereka.
Dipukul sedikit (bagi anak-anak yang belum remaja).
Didenda melakukan kerja-kerja rumah.
Disekat sementara dari mereka menikmati hiburan kegemaran atau keluar bersama rakan-rakan.
Dikurangkan wang saku untuk tempoh tertentu.
Adalah penting hukuman diberikan selepas anak-anak dimaklumkan kesalahan mereka. Jika kesalahan pertama, jangan terus dimarahi atau didenda.
Namun, beritahu anak hukuman bakal menimpa mereka jika mengulangi kesalahan yang sama.
Untuk memuji dan memarahi atau menghukum secara berkesan, anda boleh menggunakan kaedah ini:
Maklumkan kepada anak-anak, sejak awal bahawa anda sentiasa melihat dan memberitahu mereka mengenai perkembangan tingkah laku mereka. Nyatakan bentuk ganjaran atau hukuman bakal diterima.
Pujian dan hukuman mesti disegerakan.
Beritahu kebaikan atau kesalahan secara terperinci.
Nyatakan dengan jelas perasaan anda dan kesan tingkah laku mereka terhadap maruah keluarga.
Diam seketika agar anak anda dapat memahami dan merasakan sama apa yang anda rasai.
Jika mahu memuji, galakkan anak-anak mengulangi tingkah laku baik itu. Jika ia suatu hukuman, pastikan anak anda tidak mengulanginya. Beritahu hukumannya jika mengulangi perbuatan itu.
Lihat mata anak ketika anda bercakap dan sentuh mereka bagi membina keyakinannya.
Read more...
04 May 2009
Program PERMATA Pintar
Maklumat lanjut sila layari sesawang http://www.permatapintar.com.my
Read more...
03 May 2009
Kucing 'belajar' di perpustakaan
FIDEL gemar mengikut tuannya ke perpustakaan Sumber:KOSMO
FIDEL, kucing hitam berusia lapan tahun, hampir setiap hari sejak dua tahun kebelakangan ini mengunjungi Perpustakaan Daerah Deal yang terletak di Deal, Kent, Britain. Ia mengikuti tuannya yang bekerja di perpustakaan itu.
Fidel akan menghabiskan masa di kerusi biru kegemarannya dan hanya akan meninggalkan perpustakaan apabila tuannya habis bekerja.
Staf perpustakaan itu memberitahu, mereka tidak pernah memberikan sebarang makanan kepada Fidel malah cuba menghalaunya, namun ia kembali semula.
Pengurus perpustakaan, Heater Hilton mengatakan Fidel amat popular di kalangan pengunjung perpustakaan.
"Saya fikir Fidel meminati lukisan kerana sering mengamati lukisan yang tergantung di dinding perpustakaan. Malah Fidel tiba lebih awal daripada pekerja perpustakaan dengan menunggu penuh sabar di pintu utama perpustakaan," ujarnya.
Fidel sebenarnya merupakan kucing terbuang yang diselamatkan tuannya dari sebuah pangsapuri di Deal. - Agensi
Read more...
01 May 2009
Selamat Hari Pekerja
Sumber:NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my
HARI ini adalah hari untuk mereka yang bergelar pekerja. Sama ada anda seorang guru, operator pengeluaran, pengarah, kontraktor binaan, kerani seorang tukang cuci atau apa saja pekerjaan yang anda lakukan, anda adalah pekerja.
Namun, lumrah setiap kali menjelangnya sambutan Hari Pekerja pelbagai isu-isu berkaitan golongan ini akan disuarakan. Semuanya untuk membela nasib golongan ini.
Pekerja diberhentikan kerana masalah ekonomi, gangguan seksual, gaji rendah, permohonan cuti tahunan dibekukan dan gagal menerima elaun kerja lebih masa, antara isu yang seringkali mendapat pendedahan.
Hari ini dengan kesedaran yang semakin tinggi, pendedahan media yang semakin luas, keberanian badan bukan kerajaan (NGO) dan ketegasan pihak kerajaan menyaksikan nasib pekerja di negara semakin terbela. Pelbagai dasar, akta dan undang-undang yang digubal sedikit sebanyak mendorong satu transformasi.
Pekerja mula memiliki hak keistimewaan tersendiri dan mampu menikmati kesenangan menerusi kuasa yang diterima.
Menyentuh mengenai keistimewaan yang diperoleh oleh para pekerja, masih ramai lagi yang belum mengetahui sejauh manakah pekerja-pekerja di Malaysia mendapat hak pembelaannya?
KEWUJUDAN skim latihan semula para pekerja yang diberhentikan adalah satu langkah terbaik.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang dihubungi Kosmo! berkata, ramai pekerja hari ini yang masih terikat dalam bentuk kerjaya konvensional dengan bekerja secara formal di sektor swasta dan kerajaan.
"Dari segi peruntukan memang terjamin, manakala dari segi keselamatan sosial pula membolehkan dua langkah diperkenalkan oleh pihak kerajaan dalam membantu para pekerja.
"Pertama, isu mengenai jaminan masa tua iaitu menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). KWSP adalah satu bentuk penyediaan jaminan kewangan selepas persaraan khususnya bagi pekerja swasta dan kerajaan yang memilih skim caruman tersebut.
"Majikan mencarumkan sebanyak 12 peratus daripada gaji pekerja, manakala pekerja pula mencarumkan sebanyak lapan peratus daripada gaji bulanan mereka.
"Setiap bulan, mereka akan mencarumkan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan sehingga mereka mencapai usia 55 tahun," katanya. Caruman yang dilakukan pada setiap bulan oleh majikan dan pekerja adalah menjadi hak pekerja dan boleh dikeluarkan apabila berusia 55 tahun.
Ketegasan kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang menyaksikan banyak majikan yang akur dengan mencarum dalam KWSP.
Kaedah kedua katanya, jaminan terhadap kemalangan para pekerja. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) ditubuhkan bagi menjaga keselamatan para pekerja.
KURANG pengetahuan mengenai hak dan pembelaan pekerja antara masalah yang dihadapi oleh para pekerja di Malaysia.
Selain itu, sekiranya majikan memberhentikan pekerjanya tanpa sebab yang munasabah, seorang pekerja itu boleh mempertikaikan tindakan majikan berkenaan melalui Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
"Melalui akta ini, mereka juga boleh menuntut kepada majikan agar mengambil semula mereka bekerja.
"Terdapat banyak kes yang membabitkan pemecatan dan pertikaian perusahaan yang lain telah dibawa ke Mahkamah Perusahaan," katanya. Mahkamah Perusahaan ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Yang pasti, pelaksanaan pelbagai organisasi, dasar dan peraturan ini mengangkat nasib pekerja di negara ini jauh lebih baik daripada pekerja di kebanyakan negara jiran bahkan di kalangan negara-negara membangun.
Tidak dapat dinafikan, masalah ekonomi hari ini telah memaksa banyak pihak mewujudkan skim latihan semula kepada para pekerja yang diberhentikan.
"Skim ini bertujuan agar mereka dapat kemahiran baru dan terus diserapkan ke sektor pekerjaan baru," ujarnya
CABARAN yang pelbagai perlu dihadapi pihak berwajib bagi menangani masalah para pekerja dan majikan
Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi Bajet Mini yang dibentangkan pada 10 Mac lalu bertujuan untuk bidang kemahiran para pekerja dan bagi menangani isu pemberhentian kerja.
Bagaimanapun bagi Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, dari segi hak dan pembelaan ke atas para pekerja di Malaysia, hakikatnya masih banyak yang tidak berubah.
"Ini kerana, pekerja di Malaysia mudah dipecat dan ditamatkan perkhidmatan.
"Ramai pekerja tempatan hilang pekerjaan atau diberhentikan oleh majikan. Walaupun majikan mempunyai kuasa pemberhentian kerja dan pembayaran gaji, namun isu ini masih belum dapat diselesaikan.
"Malah, ada sebahagian pekerja tidak tahu hendak menyelesaikan masalah yang dihadapi atau tidak pernah terdedah dengan akta yang digubal oleh pihak berwajib," ujarnya serius.
Selain itu katanya, sebab lain kenapa pekerja tempatan kurang mendapat hak dan pembelaannya adalah disebabkan jumlah pekerja yang menganggotai kesatuan pekerja yang sedikit.
"Apa yang lebih menyedihkan, ada pekerja yang suka mengambil kesempatan dengan apa yang ada. Sikap acuh tak acuh pekerja itu sendiri, dengan alasan walaupun tidak menganggotai kesatuan, mereka tetap menikmati manfaat sama seperti ahli kesatuan menyebabkan kesatuan semakin lemah," ujarnya sambil memberitahu, kesatuan telah wujud di Malaysia lebih 100 tahun, tetapi banyak hal yang diperjuangkan masih belum dapat dicapai.
Read more...